Oleh Abdurrahman Haqqi
Kedatangan Maal Hijrah mesti disambut tindakan positif untuk memajukan kehidupan ummah
SUDAH semestinya kita berasa kagum kepada orang menemui formula attitude yang mempunyai 100 peratus hasil jumlah kiraan hurufnya yang amat penting dimiliki seseorang agar mereka berjaya secara hakiki dalam mengharungi bahtera kehidupan. Orang boleh memiliki ilmu pengetahuan, kekayaan, wang dan sebagainya, tetapi ia masih belum sempurna berbanding dengan memiliki sikap (attitude).
Penjelasannya adalah seperti berikut.
Dengan mengambil kira huruf abjad yang berjumlah 26 huruf dan masing-masing huruf mempunyai nombor urutnya sendiri seperti yang kita sedia maklum maka attitude akan berjumlah 100 dengan perincian a(1) + t(20) + t(20) + i(9) + t(20) + u(21) + d(4) + e(5) = 100. Cuba kita bandingkan dengan ilmu pengetahuan (knowledge) 96; harta kekayaan (wealth) 69; dan wang (money) 72. Jadi attitude atau sikap adalah sesuatu yang sempurna mesti dimiliki oleh setiap insan. Ia menurut pakar motivasi semasa.
Penemuan yang semacam ditemukan oleh pemikir itu sememangnya banyak kita jumpa dalam khazanah kemanusiaan. Penemuan berkenaan didedahkan oleh insan ulul albab yang selalu melakukan zikir dan tafakur.
Bagaimanapun, seseorang ulul albab, misalnya boleh menemukan dalam ayat al-Quran yang berjumlah lebih daripada 6,000 ayat, lima ayat yang setiap satunya memiliki 10 huruf ‘qaf’ dalam empat surahnya yang berurutan ditambah satu surah urutan lain. Cuba anda rujuk al-Quran dan perhatikan ayat 246 Surah al-Baqarah; ayat 181 Surah Ali Imran; ayat 77 Surah al-Nisa; ayat 27 Surah al-Maidah (ia surah yang berurutan); dan ayat 16 Surah al-Ra’du. Bukankah ini satu keajaiban yang ditemukan oleh ciptaan Allah paling berharga dalam diri manusia yakni akal? Apa yang dilakukan oleh insan ulul albab ini? Apakah dia dengan sengaja menemukannya? Atau hanya dengan bermain-main tanpa tujuan ketika membaca al-Quran? Ayat al-Quran ini disebut Ayat Lima oleh kalangan mujarrabat termasuk ahli sufi dalam masyarakat Islam.
Tidak lama dulu, penulis menyertai satu bengkel cara pengajaran yang dianjurkan oleh Universiti Islam Sultan Sharif Ali (Unissa) di Brunei Darussalam. Bengkel yang bertujuan mendedahkan kepada kaedah, teori dan capaian penyelidikan dalam proses pengajaran semasa di institusi pengajian tinggi seperti dinyatakan oleh pengerusi bengkel Dr Mohd Yusuf sebagai Timbalan Rektor Unissa. Seorang pemudah cara bengkel berkenaan, Dr Suaidi Datuk Syafei dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) menyoroti formula attitude di atas.
Oleh kerana penulis tertarik dengan formula berkenaan, maka penulis mensedekahkan masanya untuk membaca tulisan berkenaan attitude - antara hasilnya adalah coretan dalam tulisan ini.
Attitude atau sikap menggambarkan personaliti, sikap adalah diri kita. Dalam bahasa Inggeris, attitudes ditakrif sebagai “a disposition or tendency to respond positively or negatively towards a certain thing (idea, object, person, situation).” Sikap adalah sesuatu yang berbentuk dalaman dan sukar untuk difahami. Ia terletak dalam sanubari kita dan bukan semua sikap dapat dizahirkan secara terang dalam realiti kehidupan. Itulah sikap yang sering membuat manusia tertanya-tanya dan tercari-cari. Melalui sikap, manusia boleh mempelajari pelbagai ilmu baru untuk mempertingkatkan jati diri.
Itulah sikap sebenar yang perlu ada dalam diri manusia. Teori perubahan sikap atau Theory of Attitude Change dalam kajian ilmu psikologi mempunyai beberapa pendekatan antaranya Balance Theory yang kali pertama dikembangkan oleh Fritz Heider. Daripada namanya kita sudah faham apa yang ada dalam teori ini iaitu jika kita bersikap positif terhadap sesuatu yang positif maka hasilnya juga positif begitu pula sebaliknya yang digambarkan dengan formula (+1 x +1) dan (-1 x -1).
Teori kedua adalah Congruity Theory yang dikembangkan oleh Osgood dan Tannenbaum. Teori ini berkaitan dengan penilaian dan perhubungan antara sesuatu yang akan menentukan sikap sama ada associative (positif) atau dissociative (negatif) yang mempunyai skala 7 daripada +3 sampai -3.
Teori ketiga adalah Dissonance Theory yang dicadangkan oleh Leon Festinger tetapi memerlukan banyak lagi kajian kerana ia agak kontroversi dalam sudut ia memiliki kebolehan untuk membuat jangkaan yang tidak jelas. Dalam teori ini sikap diketegorikan kepada tiga jenis iaitu sama sikap; beza sikap; dan sikap yang tidak berhubung kait.
Sikap memainkan peranan penting untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu perkara atau usaha. Apabila seseorang itu gagal dalam sesuatu perkara, ramai orang akan menyatakan dia mempunyai sikap yang salah.
Sikap ini dibentuk daripada pengalaman dan persepsi seseorang terhadap sesuatu perkara atau fenomena. Persepsi seseorang terhadap sesuatu akan membentuk sikapnya terhadap sesuatu.
Setiap individu mempunyai latar belakang dan sikap yang berbeza terhadap rangsangan yang ada, sehingga motivasi yang muncul pada setiap individu berbeza. Sikap yang berbeza pada setiap individu berkenaan berinteraksi dengan nilai emosi, struktur sosial dan lingkungan. Sikap boleh berubah disebabkan oleh adanya kenyataan, lingkungan dan peristiwa baru, yang bersama-sama emosi dapat dipengaruhi dan diubah oleh perilaku. Perubahan sikap ini dimungkinkan kerana fikiran manusia adalah suatu kekuatan kompleks yang dapat mengadaptasi, mempelajari, dan memproses setiap informasi atau perubahan baru yang diterimanya.
Oleh itu, seorang individu pada hakikatnya selalu dituntut untuk mengetahui keperluan (need), keinginan (want) dan harapan (expectation) dirinya dengan mengamati perilaku sendiri, kemudian memilih metod yang boleh digunakan supaya dia terangsang untuk mahu bertindak sesuai dengan tujuannya. Dengan itu, semakin seorang individu dapat memahami dirinya sendiri, maka dia boleh dengan mudah mengintepretasikan keperluan yang ada dalam dirinya (inner needs) ke dalam tindakan (action).
Setidak-tidaknya ada tiga aspek sikap iaitu sikap komitmen, sikap emosi dan sikap berwawasan terhadap sesuatu objek dan menurut ahli psikologi sosial, sikap meliputi tiga komponen yang utama iaitu afektif, perilaku dan kognisi. Komponen afektif merangkumi emosi positif dan negatif individu terhadap sesuatu iaitu bagaimana perasaan seseorang terhadapnya. Komponen perilaku pula terdiri daripada kecenderungan atau bertujuan untuk bertindak pada tingkah laku tertentu yang berkait dengan sikap kita. Bagi komponen kognisi merujuk kepada kepercayaan dan pemikiran yang dipegang oleh seseorang terhadap sesuatu objek. Ketiga-tiga komponen dalam sikap ini saling berhubungan dan seterusnya berfungsi dalam pembentukan dan pemantapan sikap individu.
Perubahan sikap manusia sekurang-kurangnya boleh dilakukan dengan dua cara iaitu melalui metod yang cepat atau ditata perlahan dan sabar. Mengubah sifat dan sikap manusia akan kurang mulus apabila dilakukan dengan cara segera dan cepat kerana keperibadian yang sudah terbentuk dan tertanam serta berakar dalam hati ini tidak mudah dan tidak mungkin dibongkar dalam mudah dengan keperibadian yang terpuji. Oleh itu, ia memerlukan kesabaran dan langkah setapak demi setapak yang walaupun ia terasa agak lambat tetapi ia mantap dan terarah. Hasilnya akan terlihat walau diperlukan waktu untuk perkembangannya seperti menebar biji, tidak dapat langsung tumbuh dan dipetik buahnya.
Inilah yang berlaku pada peristiwa hijrah Nabi SAW pada 1429 tahun lalu apabila kita akan memperingatinya Khamis ini. Baginda tidak dapat mengubah sikap masyarakat Makkah dalam sekelip mata. Baginda memerlukan masa untuk akhirnya ada masyarakat yang bersikap menerima ajarannya, menolak ajarannya, atau tidak menerima dan tidak menolak ajarannya.
Sikap penentang Baginda menerima balasannya yang setimpal begitu pula sikap pengikutnya di kalangan sahabat yang menerima habuannya. Masing-masing menerima hasil daripada sikapnya terhadap ajaran Islam dibawa oleh nabi akhir zaman apabila tidak ada nabi selepas Baginda.
Keberkesanan mengharungi bahtera kehidupan boleh ditingkatkan sekiranya seseorang individu dapat memahami sikapnya terhadap suatu fenomena kehidupan sama ada agama, masyarakat, cendekiawan dan sebagainya yang diperhatikannya. Maklumat yang diperoleh itu boleh digunakan oleh individu berkenaan untuk merancang strategi yang bersesuaian dalam menghadapi bahtera berkenaan demi mengubah sikapnya dan seterusnya membawa kepada pencapaian yang cemerlang.
Dalam memerhati kehidupan di persekitaran kita, sikap kita mesti diselaraskan dengan janji kita dalam setiap solat inna salati wa nusuki wa mahyaya wa mamati lillahi rabbil ’alamin yakni sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan mati hanyalah untuk Allah semata. Sikap yang menjadikan kita selalu tunduk kepada kehendak Pencipta kita untuk melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya dengan sebenar-benarnya dan setulus-tulusnya.
Perubahan sikap dengan pengertian hijrah sikap kepada yang positif dalam semua aspek kehidupan akan membawa kita kepada kejayaan dan akan diimbasi dengan satu kenyataan al-Quran yang bermaksud: “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Nisa’: 100). Nawaitul hijrata lillahi ta’ala.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment