SIAPAKAH wakil Islam yang bakal menyertai dialog antara agama adalah isu dalaman yang perlu dibincangkan supaya penyertaan mereka disertai perancangan rapi dan dapat melaksanakan tanggungjawab itu dengan berkesan.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, berkata buat masa ini pihak yang dipilih mewakili Islam tidak dibuat secara terancang dan teratur malah, tiada kriteria jelas mengenai siapa yang layak.
Katanya, wakil Islam yang terbabit dalam dialog antara agama mestilah yang benar-benar layak, dipilih sendiri oleh umat Islam secara terancang kerana beliau memikul tanggungjawab besar menjelaskan Islam.
“Ia penting kerana kita mahu wakil itu melaksanakan tugas dengan baik demi memastikan kepentingan Islam terjamin. Pastinya wakil itu dipilih umat Islam sendiri bukan penganjur kerana kita tidak mahu akhirnya nanti Islam yang akan jadi mangsa.
“Oleh itu, nak wakil Islam kena orang yang betul-betul faham mengenai Islam dan dalam tuntutan sekarang, kena tahu semua ilmu mengenai ketamadunan Islam,” katanya pada forum Isu Tumpuan Dialog antara Agama dan Peradaban: Pengalaman Semasa Umat Islam pada Muzakarah Ke Arah Pendisiplinan Dialog antara Agama dan Peradaban anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim).
Mohd Nakhaie berkata, Islam bukan sekadar ilmu fardu ain, malah merangkumi ketamadunan dan jika wakil Islam tidak menguasai ilmu warisan Islam itu, ia akan menggagalkan, malah boleh mendatangkan masalah kepada Islam.
Beliau berkata, selain mendalami ilmu ketamadunan Islam, mereka yang ingin menjadi wakil Islam perlu mempunyai kemahiran meyakinkan khalayak mengenai kebenaran Islam dan pastinya pengetahuan agama lain diperlukan.
Contohnya, dialog antara agama Islam dan Buddha, maka wakil Islam perlu membuat kajian mengenai latar belakang agama Buddha sebagai strategi terbaik memudahkan mereka berhadapan serta berhujah dengan wakil agama itu.
Ciri ketiga yang perlu ada pada wakil Islam ialah kebolehan mengatur dan mencari kaedah sesuai untuk membabitkan diri dalam dakwah selain mempunyai kepakaran serta kemahiran untuk mengatur strategi yang berkesan
Justeru katanya, pemilihan wakil Islam bagi menyertai dialog yang disertai wakil agama lain perlu diatur dengan rapi dan kaedah pemilihan hendaklah memenuhi keperluan bersesuaian penganjuran serta persekitaran majlis itu.
“Kaedah penting kerana lain penganjur, lain topik dan persekitarannya. Apabila suasana berlainan perlu ada kaedah dan strategi tertentu. Wakil perlu pintar mengatur strategi yang berkesan bagi menyampaikan Islam dan meyakinkan hadirin terhadap kebenaran Islam,” katanya.
Bagaimanapun katanya, perkara itu tidak diambil peduli dan ilmu mengenai dialog tidak dibincangkan menyebabkan umat Islam tidak mempunyai ilmu berkaitan cara menyertai dialog sebaliknya mereka menyertainya secara tidak dirancang.
Akhirnya, mereka gagal menjelaskan Islam dengan berkesan dan kehadiran wakil Islam gagal meninggalkan impak seperti yang diharapkan.
Mohd Nakhaie berkata, kaedah dan strategi untuk berdialog perlu berteraskan prinsip dakwah bil hal yang mengambil kira penampilan umat Islam ketika menyertai dialog dan hujah atau rasional diketengahkan mereka.
Katanya, penampilan umat Islam boleh menjadi sebahagian faktor yang akan membawa kemenangan kepada mereka dengan syarat apa yang ditampilkan itu menggambarkan wajah Islam sebenar.
“Kata wakil Islam, tetapi penampilan nampak macam wakil Barat atau sekular. Islam akan gagal jika dia gagal menampilkan Islam. Hal ini kurang diberi perhatian menyebabkan kita lemah dalam persiapan menyertai dialog,” katanya.
Menyentuh mengenai dialog antara agama di Malaysia, beliau berkata, usaha berkenaan penting untuk mewujudkan suasana harmoni dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan agama, tetapi ia perlu dilakukan dengan kaedah yang betul, mengikut etika dengan formula, sistem dan kaedah betul serta persiapan rapi.
Katanya, pemimpin yang inginkan keharmonian dalam beragama perlu menyediakan struktur yang menyumbang kepada usaha kedamaian itu kerana tanpa perancangan, usaha baik boleh menjurus kepada isu yang menimbulkan konflik.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment