Oleh Izani Daud
SEMUA orang inginkan kesenangan hidup di dunia ini. Justeru, semua orang sibuk mencari harta atau kekayaan. Dengan ada kekayaan segala idaman dan harapan akan mudah diperoleh. Agama juga menggalakkan manusia mencari kekayaan, supaya dengan kekayaan seseorang tidak perlu mengharapkan bantuan atau pertolongan orang lain untuk hidup.
Harta diperlukan oleh manusia, tetapi adakah seseorang itu hidup untuk mencari kekayaan semata-mata? Adakah setiap gerak-geri, tindakan dan perjalanan hidup kita hanya perlu dihalakan untuk mencari kekayaan?
Ramai tersilap perhitungan dalam keharusan mencari kekayaan. Lalu mereka memburu kekayaan sebanyak yang mungkin. Lebih teruk lagi tanpa mengira halal atau haram, semuanya dibolot dan hendak dikaut.
Tidak cukup dengan wang melimpah ruah, dengan banglo yang besar, bahkan lebih daripada dua buah rumah. Begitu juga dengan kereta, diletakkan dua atau tiga buah kereta mewah menghiasi laman, dengan peralatan rumah pula serba indah.
Anak yang masih muda belia, yang masih belajar sama ada di institusi pengajian tinggi, mahupun masih di sekolah pula dibekalkan dengan kereta mewah kerana kekayaan yang ada mampu berbelanja apa saja. Sedangkan Allah berfirman, bermaksud: "Hai orang beriman! Janganlah harta bendamu dan anak melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Sesiapa yang berbuat begitu, itulah orang menderita kerugian" (Surah Al-Munafiqun:9)
Walaupun tidak dinafikan kekayaan itu perlu dalam kehidupan, untuk menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, maka kita perlu membuat perancangan atau batasan dalam mengumpul kekayaan itu. Kita hendaklah membuat sasaran, misalnya, kita ingin mencari kekayaan sehingga terkumpul wang RM200,000 atau RM500,000.
Apabila mencapai sasaran yang diidamkan, hendaklah kita berhenti daripada mencari wang atau katakan kita bercita-cita untuk mencari harta dengan sasaran memiliki dua banglo mewah, tiga kereta mewah, 10 hektar tanah dan 10 rumah gudang sewaan.
Selepas perkara yang kita cita-citakan itu tercapai, maka pada masa itu hendaklah berhenti mencari kekayaan. Memadailah dengan kadar yang ada. Usaha melebihi kadar itu sudah termasuk dalam kategori tamak. Allah melaknati orang yang tamak.
Perancangan atau membuat batasan dalam mencari harta kekayaan memang perlu. Hal ini kerana keinginan mencari kekayaan itu sendiri bersifat infiniti. Jadi, sekiranya tidak membuat batasan, kita tidak tahu di mana noktah pencarian kita itu, tidak tahu di mana tempat untuk berhenti.
Keadaan ini sangat berbahaya kerana boleh menyebabkan kita akan terus hanyut dibuai kenikmatan akhirnya membawa kepada kekufuran. Berhubung dengan hal ini Allah berfirman; "Kehidupan dunia ini hanya permainan dan kesukaan belaka! Dan kalau kamu beriman dan memelihara diri daripada kejahatan, Allah akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tiada meminta wang daripadamu." (Surah Muhammad:36)
Sebagai seorang Islam, kita jangan tertipu dengan kehidupan di dunia yang sementara ini. Kita perlu ingat bahawa kita tidak akan selamanya hidup di alam fana ini. Jika panjang sekalipun umur kita di dunia ini, belum tentu boleh mencecah 100 tahun. Tidak dinafikan ada mereka yang mempunyai jangka hayat sehingga 100 tahun, tetapi siapa yang boleh membuat jaminan?
Dalam dunia moden hari ini, pelbagai penyakit boleh menyerang manusia. Sesetengahnya pada usia muda sudah meninggal dunia.
Menginsafi umur atau hayat kita yang tidak lama ini, maka perlu setiap kita mempunyai wawasan untuk hari depan, berupa perancangan rapi untuk mengharungi hidup di dunia baru nanti iaitu alam akhirat, destinasi yang kekal abadi.
Sudahkah kita mempunyai bekalan amalan atau sudahkah kita laburkan wang untuk membeli saham akhirat?
Jika sekarang ini kita kaya-raya, tentunya kita ingin menjadi 'orang kaya' di akhirat. Janatul Firdaus satu-satunya tempat eksklusif yang di dalamnya penuh kenikmatan atau tiada tolok bandingannya dengan apa yang ada di dunia ini.
Janganlah kita leka dan terlena di dunia hari ini, di akhirat nanti baru terjaga. Pada masa hidup di dunia ini, kita hendaklah memanfaatkan harta yang dimiliki untuk jalan yang diredai-Nya, supaya kita beroleh penginapan eksklusif itu. Kalau tidak, menyesal kemudian hari, seperti firman Allah "Belanjakan (di jalan kebaikan) sebahagian rezeki kamu, sebelum kematian datang kepada seseorang antaramu, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku! Mengapa Engkau tidak berikan kepadaku sedikit tempoh barang sedikit waktu, supaya aku memberikan sedekah, supaya aku termasuk dalam golongan orang yang mengerjakan perbuatan baik?" (Surah l-Munafiqun: Ayat 10)
Justeru, jadikanlah diri seorang hamba sentiasa bertakwa dan berkualiti.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment