UMUMNYA, perubahan persekitaran adalah medan pendidikan semula jadi. Di samping bekalan pendidikan rasmi, modal insan dapat mencapai kematangannya dengan pengisian kaedah menakluk persekitaran dan cernaan pengalaman.
Semua usaha pendidikan bukan semata-mata bergantung kepada aturan siasah ditentukan, tetapi sejauh mana akal manusia bersedia terdidik. Usaha memupuk budaya berfikir tidak boleh disekat dengan menjumudkan sudut pandangan guna tenaga sedia ada kepada kotak had yang tidak wajar hingga membantutkan pembangunannya.
Peluang pembangunan kerjaya dan usahawan di Malaysia amat memberangsangkan. Dengan perhatian daripada kerajaan dan tahap pengiktirafan dunia ke atas negara, tidak mustahil Malaysia boleh menjadi pemain dalam apa saja bidang ekonomi sama ada pasaran barang atau perkhidmatan.
Masalah pokok kepada persoalan ini ialah mengenai sikap sesetengah pihak yang berfikiran kolot dalam usaha melahirkan masyarakat matang dan bijak. Pandangan umum terhadap seseorang pekerja yang berkhidmat dengan sesebuah badan dan pada masa sama menjalankan urusan atau perniagaan lain dianggap salah perlu diubah.
Islam tidak pernah melarang umatnya berusaha, malah menggalakkan terutama dalam perniagaan. Selama mana usaha atau pelaburan dijalankan tidak bercanggah dengan norma digariskan agama Islam, setiap individu bebas berusaha meningkatkan mutu kehidupannya.
Oleh itu, seorang pekerja yang makan gaji boleh dan perlu membuat himpunan pelaburan atau portfolionya tersendiri mengikut kemampuan dan keupayaan pengurusannya. Cara itu berkesan dalam usaha meningkatkan kematangan berfikir dalam pembangunan modal insan.
Perkara pertama yang menjadi tugas berat semua pihak ialah menyediakan satu masyarakat yang berbudaya berfikir. Tahap ini masih berada dalam keadaan membimbangkan. Mungkin Malaysia hampir berjaya mempunyai masyarakat berbudaya belajar, tetapi adakah pembelajaran mereka bakal merangsang usaha berfikir.
Ramai rakyat Malaysia memiliki ijazah, tetapi kadar membaca di kalangan masyarakat amat rendah. Petunjuk itu jelas memberitahu kita betapa kecenderungan masyarakat untuk berfikir atau dengan tepat lagi sikap ingin tahu melalui pembacaan amat kurang.
Maka lahirlah masyarakat Malaysia yang memiliki kelayakan untuk menuntut gaji lumayan padahal tiada kemahiran dalam melaksanakan tugasan. Walau secanggih mana sekalipun aturan ditetapkan, tetapi jika usaha mendidik dilaraskan kepada mereka yang bersikap seperti daun keladi apabila dicurahkan air, apa saja persekitaran dan peluang terdedah tidak memberi apa-apa kelebihan.
Kepentingan menyediakan masyarakat supaya berupaya mengenal pasti ‘bahan’ berfikir dan kaitannya dengan pendidikan persekitaran guna tenaga amat penting. Persekitaran sekarang sudah berubah.
Seorang pesawah yang memiliki beberapa ekar sawah boleh mengusahakan ladang sayur-sayuran dan pada masa sama menguruskan perniagaan daging di pasar bukanlah perkara luar biasa. Berbeza pandangan terhadap seorang pekerja sekarang, jika beliau melakukan banyak perkara dianggap tidak beretika dalam kerjayanya.
Seorang pekerja disarankan mempunyai kemahiran pelbagai supaya mereka berupaya melakukan tugasan di luar bidang mereka. .
Perkembangan pesat akan menjadi medan keuntungan kepada mereka yang bijak menggunakan sumber dan kesempatan sedia ada kepada penambahbaikan mutu kehidupan. Namun, masih ramai di kalangan yang makan gaji hanya berfikir untuk menumpukan pada kerja makan gaji semata-mata.
Keadaan itu sedikit sebanyak dipengaruhi salah faham mengenai larangan menjalankan urusan lain selain tugasan hakiki. Pada masa sama, graduan sibuk mencari ruang perjawatan untuk makan gaji menanti. Akhirnya, pengisian guna tenaga Malaysia akan menjadi tepu dan masalah pengangguran seperti yang kita alami sekarang lambat berakhir.
Masyarakat perlu faham bahawa penumpuan boleh diberikan kepada banyak perkara dan bukan kepada satu perkara saja. Yang penting ialah tahap profesional seorang pekerja membuat keputusan. Selama mana tidak bercanggah dengan kepentingan dan pengabaian kepada tugas hakiki, seorang pekerja boleh membentuk portfolionya tersendiri mengikut kecenderungannya seperti terbabit dengan bidang pertanian atau perusahaan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment