Bersama Prof Dr Sidek Baba
TRADISI sains Barat kini berkembang dalam keadaan yang luar biasa. Banyak penemuan baru dala, bidang genetik dan pengklonan. Kajian dan penelitian yang berterusan menyebabkan lahirnya teknologi nano, sel stem (darah tali pusat), kejuruteraan genetik mengenai penyakit, keturunan dan banyak lagi.
Pendekatan berdasarkan pengalaman serta penelitian dengan orientasi makmal dan uji kaji menjadikan sains berkembang berasaskan maklum balas terhadap fenomena serta cuba mencari jawapan kepada masalah dan isu berbangkit.
Sejak zaman Copernicus hingga ke zaman Kepler, Newton, Charles Darwin dan Stephen Hawkings, pencarian mengenai makna sains dan kaitannya dengan manusia dan Penciptaan sentiasa berlaku.
Teori mengenai sesuatu dibangunkan kemudian dikritik oleh saintis terkemudian dan lahir pula teori baru terhadap alam serta kehidupan, akhirnya sains menjadi suatu proses pencarian benda dan hakikat benda, kejadian dan hakikat kejadian, pengaruh sesuatu yang nyata dan pengaruh yang ghaib terhadap yang nyata.
Teori Dentuman Besar (Big Bang Theory) dan Lubang Hitam (Black Hole Theory) terus menjadi misteri saintis terkini untuk mencari jawapan dan hakikat daripada kewujudannya. Dalam tradisi sains Islam, faktor agama, nilai dan etika sentiasa menjadi adunan unik memahami fenomena dan alam.
Ilmuwan Islam seperti Ibn Nafis, Ibn Haitam, Ibn Sina, al Khawarizmi, al Zahrawi dan ramai lagi memulakan penerokaan sains dengan menghubungkan dirinya dengan Pencipta. Mengkaji benda dan fenomena tidak terputus dengan hakikat Penciptaan.
Daripadanya lahir hikmah yang tinggi memahami yang nyata dengan ghaib. Pertimbangan saintifik tidak hanya dalam batas akal, uji kaji dan hasil tetapi merentasi terhadap hikmah di sebalik kejadian dan manfaatnya kepada manusia.
Suatu ketika dalam sejarah sains Islam umpamanya, ilmu bedah dan peralatannya dipelajari dan diambil oleh orang Barat sebagai asas penting memajukan ilmu perubatan Barat. Kitab mengenai ilmu bedah karangan al Zahrawi diterjemah ke bahasa Barat dan dijadikan kurikulum utama di pusat pengajian hingga berabad lamanya.
Perkembangan mengenai ilmu bedah dan alatannya sudah tentu menjadi lebih maju dan canggih dari semasa ke semasa. Hari ini, kita memiliki kepakaran mengenai ilmu bedah, peralatannya yang canggih dan bermanfaat untuk pesakit.
Sifat ilmu adalah berkembang dan sifat teknologi juga sama kerana manusia terus mengkaji serta memajukan sesuatu berasaskan tapak dan landasan ilmu terdahulu. Oleh itu, melihat kemajuan Barat dalam ilmu perubatan dan pembedahan mempunyai kaitan dengan ilmu yang dikembangkan tamadun Islam.
Yang membezakan antara ilmu dan teknologi ialah nilai gunanya. Di Barat umumnya, nilai guna ilmu dan alat dikaitkan dengan kepentingan manusia serta komersial semata-mata tetapi dalam tradisi Islam, nilai guna ilmu dan alat dikaitkan dengan Pencipta iaitu Allah.
Nilai guna terhadap ilmu dan alat menghubungkan manusia dengan persoalan tasawwur atau pandangan alam terhadap sesuatu. Umpamanya, ilmu membuat kereta di German adalah berguna untuk orang Islam.
Ilmu komputer yang dipelajari di Amerika Syarikat juga berguna untuk orang Islam. Ilmu mengenai angkasa lepas adalah sesuatu yang amat relevan. Malah, ilmu persenjataan juga berkaitan dengan masyarakat Islam.
Menggunakan kereta, komputer dan senjata supaya ia memberi manfaat memerlukan pedoman nilai dan etika. Asas ini menjadi penting dan utama kerana ia berkaitan dengan kepentingan manusia dan kemanusiaan.
Tasawwur Islam bermaksud bagaimana ilmu dan alat, sains dan teknologi mempunyai kaitan rapat dengan hikmah kejadian dan manfaat di sebaliknya. Maju dalam sains dan teknologi dalam lingkungan hikmah dan manfaat menjadikan manusia terpedoman supaya hasil kajian saintifik mendekatkan manusia dengan Pencipta, hasil pengembangan teknologi memberi manfaat kepada manusia dan nilai kemanusiaan.
Hari ini, sebahagian daripada alat yang direka telah disalahgunakan untuk merosakkan manusia, alam dan persekitaran. Hari ini, isu 'kepanasan bumi' berbangkit menjadi isu utama di dunia. Al-Quran memberikan peringatan kepada manusia bahawa "kerosakan alam ini adalah akibat perbuatan tangan-tangan manusia."
Bayangkan kerakusan manusia merosakkan alam, persekitaran akibat dorongan kebendaan dan komersial memberi kesan kepada cuaca. Apabila tasawwur yang memandu manusia mengenai nilai guna sesuatu diabaikan, maka bencana akan menyusul.
Oleh itu, keperluan pedoman nilai dan etika berasaskan agama adalah penting dalam memahami fenomena dan kejadian. Tradisi tadabbur atau penyelidikan dianjurkan Islam harus memimpin manusia bahawa alam dan sumbernya adalah amanah yang perlu diuruskan dengan adil.
Dalam kaitannya dengan tradisi sains dan teknologi di Barat, asas manfaatnya adalah jelas. Ia bergantung kepada pengguna dan orang lain yang ingin mengembangkannya. Jika saintis dan umat Islam memiliki pandangan alam yang murni terhadapnya maka nilai guna yang bermanfaat akan dijadikan sandaran dalam aplikasi.
Komputer tidak hanya dimanfaatkan terhadap kecanggihan teknologinya semata-mata tetapi perisiannya dibangunkan berasaskan etika serta sistem nilai yang baik dan akan memberi manfaat kepada pengguna.
Ilmu pengkayaan uranium tidak hanya terarah untuk menghasilkan senjata pemusnah tetapi harus dimanfaatkan terhadap penghasilan tenaga yang memberi manfaat kepada kemajuan manusia. Inilah asas tasawwur yang mampu memandu manusia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment