Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
PERSEKOLAHAN sesi 2008 sudah bermula. Semua murid dan guru kembali ke sekolah. Guru akan meneruskan tanggungjawab dan amanah sebagai pendidik dan murabbi di bumbung ilmu, manakala murid seharusnya sudah bersedia untuk menggali seberapa banyak ilmu yang mungkin.
Tugas guru bukan saja perlu pakar dalam profesion keguruan mengikut subjek pilihan, tetapi cemerlang sebagai pendidik dan pembimbing sesuai dengan matlamat kerajaan untuk melahirkan guru bertaraf dunia dengan kegemilangan jati diri.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang buruk dan keji, serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benarnya)." (Surah Ali-Imran, ayat 110)
Jelas, Islam mengharapkan guru dan pendidik supaya terus melaksanakan tanggungjawab besar yang dipikul untuk membimbing generasi hari ini menguasai pelbagai disiplin ilmu memenuhi keperluan cabaran masa depan.
Guru gemilang yang memberi pendidikan cemerlang akan sentiasa memandu pelajar meningkatkan pencapaian serta potensi mereka dengan memberi fokus kepada tarbiah, asuhan dan didikan untuk membentuk hati, jiwa, mental dan nurani dengan ciri insaniah untuk digelar insan berkualiti.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia." (Surah al-Rum, ayat 41)
Justeru, besarnya nilai dan makna pendidikan, maka peranan guru menjadi kian mencabar untuk melahirkan generasi insan cemerlang dalam ilmu keduniaan serta mantap dari aspek kerohanian sebagai bekalan akhirat.
Jasa dan pengorbanan guru begitu besar kerana tanpa bimbingan serta didikan mereka, negara tidak mungkin dilengkapi generasi bijak pandai yang kepakaran mereka memberi manfaat kepada kemajuan bangsa serta negara.
Pun begitu, tugas mendidik bukan hak mutlak guru kerana tanggungjawab mengajar walaupun satu ayat terbeban pada bahu semua umat Islam kerana kepentingan menuntut ilmu daripada amalan membaca sudah dijelaskan Islam.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Bacalah dengan nama Tuhan-Mu yang menjadikan sekelian makhluk. Tuhan yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhan-Mu yang maha pemurah. Tuhan yang mengajar manusia menulis dengan dengan kalam. Tuhan yang mengajar manusia apa yang manusia tidak mengetahuinya (Surah al-Alaq, ayat 1-5)
Berdasarkan mafhum itu, dapat difahami pendidikan bermula daripada proses penerokaan ilmu disertai asas agama yang kukuh. Salah satunya memulakan proses pencarian ilmu dengan menyebut nama Allah SWT untuk mendapatkan keredaan dan keberkatan-Nya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Menuntut ilmu itu adalah fardu kepada semua orang Islam." (Riwayat Bukhori dan Muslim).
Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: "Sesiapa yang ingin kebahagiaan di dunia, maka perlulah berilmu. Sesiapa yang inginkan akhirat, maka perlulah dia berilmu. Dan sesiapa yang inginkan dunia dan akhirat, maka perlulah dia berilmu." (Hadis riwayat Muslim)
Rasulullah SAW begitu menitikberatkan kepada setiap umatnya supaya meletakkan usaha untuk mencapai kebahagiaan diri masing-masing dengan mencari dan mempelajari pelbagai jenis ilmu serta kemahiran mengikut keperluan dan kecenderungan masing-masing.
Dalam konteks dunia pendidikan hari ini, pelbagai disiplin ilmu dipelajari oleh setiap individu perlu diselaraskan dengan pendidikan bestari sebagai persediaan melahirkan generasi umat berkualiti.
Sebagai guru pula, selain membimbing mereka juga perlu menjadi pelajar yang sentiasa dahaga ilmu baru dan berlumba -lumba mempertingkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang pendidikan supaya dapat memberi pembaharuan dalam bidang pengajaran.
Islam begitu menekankan proses pendidikan perlulah dilaksanakan sejak peringkat awal lagi. Ia kerana pada peringkat itu, pelajar masih mudah menerima didikan, asuhan dan kemahiran yang disampaikan. Di sinilah letaknya peranan besar ibu bapa dalam menentukan hala tuju masa depan anak mereka.
Mereka yang lambat bertindak dan tidak mampu mengikut arus kehidupan semasa, maka akan tertinggal dalam banyak lapangan hidup dan sudah pasti akan mendapat kerugian dalam kehidupan.
Anggota masyarakat sentiasa menyanjungi usaha dan khidmat mulia guru serta pendidik, tanpa mengira kemahiran atau bidang kerana melalui guru, kesinambungan pendidikan hari ini dapat terus dilaksanakan dengan sebaiknya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment