Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia
Sistem pajak gadai Islam diperkenal pada 1993 dapat sambutan baik
SEJAK merdeka pada 1957, Malaysia menikmati kadar pertumbuhan tinggi yang konsisten. Kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada harga konsisten meningkat daripada purata kadar tahunan 4.1 peratus pada separuh masa kedua 1950-an kepada 8.1 peratus pada 1970-an.
Bagaimanapun, kadar pertumbuhan ekonomi perlahan dicatatkan pada awal 1980-an, terutama disebabkan kemelesetan ekonomi dunia yang berterusan dan masalah ekonomi domestik.
Namun begitu, selepas 1987, ekonomi Malaysia mengalami pemulihan dengan purata kadar pertumbuhan KDNK sebanyak 8.5 peratus untuk tempoh 1987 hingga 1995 dan mengalami kemelesetan semula pada suku ketiga 1997. Prestasi ekonomi Malaysia yang menggalakkan ini dijangka akan berterusan hingga berakhir Rancangan Malaysia Ke 8 (RMK-8).
Pada masa sama, pengubahsuaian peranan sektor dalam ekonomi mengalami perubahan. Ekonomi Malaysia yang berorientasi perdagangan banyak bergantung kepada sektor pertanian, namun kebelakangan ini pergantungan terhadap sektor perkilangan semakin ketara.
Struktur ekonomi Malaysia sudah mengalami perubahan penting dengan sektor perkilangan mengatasi sektor pertanian dan memainkan peranan lebih dominan dalam proses pertumbuhan. Sektor kewangan kekal penting terutama untuk menyediakan pertumbuhan sedia ada.
Pada 2000, sektor perkhidmatan menyumbangkan 50.2 peratus daripada KDNK, peratusan ini dijangkakan mencapai tingkat 65 peratus untuk mencapai status negara maju.
Oleh itu, keinginan mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi seterusnya mencapai status negara maju pada 2020 memungkinkan penubuhan sistem kewangan yang maju. Sektor kewangan dilihat sebagai kunci pertumbuhan ekonomi Malaysia dan pemangkin untuk mencapai matlamat pertumbuhan di sektor ekonomi lain.
Namun begitu, sebahagian penduduk tidak mempunyai capaian kepada perkhidmatan kewangan yang disediakan oleh sistem kewangan formal. Mereka bergantung kepada sumber kewangan tidak formal.
Keupayaan institusi kewangan tidak formal mengumpulkan modal dan memobilisasikan sumber luarannya pula terhad. Oleh itu, untuk menyokong dana ini dicapai oleh kumpulan berpendapatan rendah, sumber dana diperoleh daripada pinjaman diberikan oleh geran kerajaan, geran agensi kerajaan, institusi kewangan formal dan pelabur individu. Dalam perkataan lain, institusi kewangan tidak formal dianggap pelengkap kepada institusi kewangan formal.
Objektif utama makalah ini untuk melihat sejarah perkembangan pajak gadai dan peranannya sebagai penjana ekonomi di Malaysia. Makalah ini juga akan cuba menjawab persoalan bagaimana isu kawal selia dapat memberi kesan kepada operasi dan perkembangan institusi pajak gadai.
Perniagaan pajak gadai sudah mula sejak abad ke-15 lagi dan diperkenalkan oleh pedagang Cina pada zaman kesultanan Melaka. Perniagaan itu terus berkembang apabila wujudnya kegiatan bijih timah di Larut pada abad ke 19.
Pada peringkat permulaan perkembangan, perniagaan ini tidak tertakluk kepada undang-undang tertentu. Bagaimanapun, pada zaman pemerintahan Inggeris, sistem pajak gadai berlesen mula diperkenalkan dengan pewartaan Ordinan Pajak Gadai 1871.
Pada mulanya, ordinan itu hanya diaplikasikan di negeri-negeri Selat, diikuti Negeri Bersekutu dan akhirnya Negeri Tidak Bersekutu. Walaupun pada masa itu sudah wujud enakmen pajak gadai di negeri tertentu, seperti enakmen Pajak Gadai 1917, undang-undang pajak gadai pertama di Johor. Usaha untuk menghasilkan satu akta seragam sudah berjaya dilakukan dengan penguatkuasaan Akta Pajak Gadai 1972 pada Jun 1973.
Pelaksanaan syariah sistem perbankan pada 1983 mendorong pelaksanaan di institusi kewangan lain seperti insurans, unit amanah dan pajak gadai Islam (Ar-Rahnu). Tujuan utamanya, menghapuskan hasil bunga (faedah) yang dikenakan pemilik pajak gadai sebagai ganjaran daripada wang tunai yang dipinjamkan. Kesannya akan dapat dilihat, wujud sistem pajak gadai di Malaysia, iaitu sistem pajak gadai konvensional dan sistem pajak gadai Islam.
Dalam usaha menghapuskan riba dan gharrar dalam sistem pajak gadai konvensional, sistem pajak gadai Islam diperkenalkan. Pada 1993, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dengan kerjasama Bank Negara dan Kementerian Kewangan memperkenalkan Skim Ar-Rahnu menerusi Bank Rakyat kepada masyarakat dan ia mendapat sambutan baik daripada pelbagai golongan.
Seterusnya YaPEIM meneruskan fasa kedua program Ar-Rahnu melalui kerjasama dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan Bank Pertanian. Kaedah pelaksanaan Ar-Rahnu di BIMB dan Bank Pertanian adalah sama seperti dilaksanakan di Bank Rakyat.
Institusi seterusnya yang terbabit adalah koperasi dan kerajaan negeri. Contohnya, Januari 1997, kerajaan Perlis menubuhkan Pajak Gadai Islam (PGI). Selain koperasi Bank Rakyat, beberapa koperasi lain seperti Koperasi Pengguna Pahang Berhad, Koperasi Gabungan Kecil Perak Berhad dan Koperasi Badan Berkanun Berhad (KOKANUN) di Terengganu juga melaksanakan Skim Ar-Rahnu.
Walaupun perkembangan perniagaan pajak gadai Islam amat menggalakkan, tetapi menurut Barjoyai (1999), nilai gadaian pajak gadai konvensional menguasai hampir 82 peratus pasaran dengan jumlah pinjaman sebanyak RM1.5 billion. Manakala pajak gadai Islam hanya menguasai 15 peratus pasaran dengan nilai pinjaman RM275 juta.
Beberapa ukuran dapat digunakan untuk melihat sumbangan pajak gadai dalam menjana ekonomi Malaysia. Pertama, sebahagian penduduk tidak mempunyai capaian kepada perkhidmatan kewangan yang disediakan oleh sistem kewangan formal.
Mereka bergantung kepada sumber kewangan tidak formal seperti pajak gadai. Ini boleh dilihat berdasarkan jumlah pinjaman yang dianggarkan sebanyak RM1,775 juta pada 1997. Manakala, jumlah keseluruhan pinjaman domestik pada tahun yang sama ialah RM 306.6 billion, dengan penyumbang utamanya ialah Bank Perdagangan (RM 276.4 billion), syarikat kewangan (RM102.5 billion) dan bank saudagar (RM23.1 billion). Ini bermakna pinjaman sebanyak 0.4 peratus daripada jumlah pinjaman di pasaran kewangan dan dengan itu layak dianggap sebagai bank kecil.
Bersambung minggu depan
Wednesday, January 30, 2008
Bersama YaPEIM: Al-Rahnu pilihan terbaik ummah
Labels:
(B) Bersama YaPEIM,
Al-Rahnu,
Ekonomi Islam,
Pajak Gadai
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment