Oleh Zainul Rijal Abu Bakar dan Nurhidayah Muhd Hashim
exco_pgsm@yahoo.com
PADA 17 Januari lalu, berlangsung majlis pentauliahan peguam syarie baru bagi Wilayah Persekutuan. Majlis itu diadakan di Bangunan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Kira-kira 150 peguam syarie berjaya memperoleh tauliah dan diiktiraf sebagai peguam syarie yang layak beramal di Wilayah Persekutuan. Majlis pentauliahan dilakukan di hadapan Ketua Hakim Syarie Malaysia, Datuk Ibrahim Lembut; Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan, Hussin Ahamad dan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Jabatan Kehakiman Syarie Malaysia (JKSM), Datuk Asri Abdullah.
Majlis itu penting bagi menunjukkan pertambahan bilangan peguam syarie baru yang diterima masuk dan layak untuk beramal. Umum mengetahui bahawa dalam setiap tindakan di mahkamah sama ada Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil, peguam adalah pihak penting membantu perjalanan kes.
Perkara itu disentuh Persatuan Peguam Syarie (PGSM) pada majlis pentauliahan itu. Secara umumnya, profesion kepeguaman berpaksikan kepada minat, kesungguhan dan kecintaan kepada bidang guaman itu sendiri.
Seseorang peguam wajar berusaha memiliki kualiti seperti berintegriti, sabar, suka mencari ilmu, meluangkan masa, tenaga dan kepakaran untuk membantu pihak yang memerlukan tanpa menjadikan wang sebagai ganjaran dan matlamat utama. Sebaliknya, perlu menjadikan peluang berkhidmat dan membantu pihak teraniaya sebagai keutamaan.
Antara ciri yang perlu ada pada peguam ialah:
Mempunyai sikap positif dalam menjalankan tugasan. Peguam wajib menjalankan tugasan dengan penuh integriti di mana tugasan itu memerlukan mereka bersikap jujur, amanah terhadap pelanggan, menjalankan profesion dengan penuh kesungguhan tanpa menolak nilai profesional tinggi peguam. Peguam mesti bertindak dengan penuh keyakinan, menghormati orang lain sama ada pelanggan, peguam lain dan mahkamah dalam menegakkan keadilan.
Mengambil berat dan sabar dalam berurusan. Sikap ini menghendaki peguam untuk sentiasa menghormati dan melayan semua pihak sama ada pihak lawan dan peguam mereka dengan adil, baik dan sewajarnya serta menjauhi daripada bertindak tidak adil dan prejudis terhadap mana-mana pihak sepanjang proses undang-undang dilaksanakan.
Ia bermakna, walaupun peguam mewakili pelanggannya, pada masa sama, peguam di pihak lawan tetap dianggap kawan dan boleh berbincang dengan sebaiknya demi kesejahteraan kes dan pihak yang diwakili.
Cintakan ilmu dan sentiasa berusaha menambah ilmu. Peguam perlu sentiasa berusaha menambah ilmu dengan menggunakan pelbagai kaedah sama ada menghadiri seminar undang-undang, membaca buku atau bertanya kepada peguam lebih berpengalaman perkara yang belum difahami.
Dengan bekerjasama, kita akan lebih cepat memahami dan menyelesaikan sesuatu kekusutan yang belum diketahui. Peguam berpengalaman juga perlu terbuka untuk mendidik peguam baru sebagai pelapis profesion ini.
Bersikap baik dan mengambil berat. Peguam yang mengambil berat profesion ini akan mengambil pendekatan baik dan mengambil berat serta menghormati bukan saja kepada mahkamah dan rakan sekerja, tetapi juga seluruh manusia yang digaulinya.
Menghormati mereka memerlukan kita menepati setiap mesyuarat yang diputuskan, temu janji dibuat, mengambil berat kepada jadual tugasan dan memberi komitmen tinggi kepada apa yang perlu dilaksanakan.
Peguam mesti mewakili pelanggan dengan penuh kesetiaan dan kesungguhan, komited dalam tugasannya serta menghormati kepercayaan diberikan terhadapnya. Pada masa sama, kesungguhan dan kesetiaan kepada pelanggan tidak pula menyebabkan dia melakukan tindakan tidak benar, kasar dan biadab apatah lagi menzalimi lawannya. Setiap peguam perlu menjadi contoh kepada kebaikan, kepatuhan undang-undang dan menjaga sistem keadilan syariah yang diperjuangkan.
Bersungguh dan teliti. Peguam perlu sanggup berkorban masa, tenaga, kepakaran untuk memahami dan menguasai setiap fakta kes serta peruntukan undang-undang yang dibentangkan di hadapannya. Dengan menguasai fakta dan undang-undang, ia akan membantu peguam menjalankan tugasan dan mencari hujah yang perlu, bersesuaian dan mendalam untuk kebaikan pelanggannya.
Suka berkhidmat dengan hati yang luhur dan ikhlas. Peguam tidak wajar terbabit dalam urusan undang-undang saja, tetapi perlu turut sama dalam urusan memberi kebajikan kepada masyarakat, membantu dalam soal membabitkan perundangan, pendidikan, khidmat sosial, kebajikan dan sebagainya.
Ketika berurusan dengan pihak lawan serta peguam mereka atau mana-mana pihak yang terbabit dalam sistem perundangan negara, peguam mesti berusaha menjadikan sistem keadilan itu dapat berfungsi dengan baik dan cemerlang.
Peguam perlu mengelak daripada melakukan sesuatu yang boleh memberi kesan buruk, menjatuhkan nama baik Mahkamah Syariah, sistem perundangan syariah atau menyebabkan keyakinan masyarakat terhadap perundangan syariah terhakis.
Apa yang menjadi matlamat adalah mencari kebenaran, menamatkan perselisihan secara baik dan memberi hak kepada yang berhak dengan penuh keadilan seperti diperuntukkan hukum syarak.
Sebelum memilih untuk membawa sesuatu kes ke muka pengadilan dan meneruskan perbicaraan, peguam wajar mencari jalan dan mencadangkan kepada pelanggan alternatif untuk menyelesaikan pertelingkahan dan masalah seperti menggunakan kaedah sulh, mediasi dan sebagainya.
Hadis diriwayatkan Abu Dawud yang bermaksud: "Hakim itu ada tiga jenis. Satu di dalam syurga dan dua lagi akan ke neraka..." Sangat memberi penekanan mengenai konsep integriti. Hadis itu bukan saja ditujukan kepada hakim, malah untuk peguam kerana hakim yang akan ke neraka itu sudah pasti akan mengheret peguam yang berhujah secara palsu di depannya bersama mereka. Oleh itu, peguam hendaklah menjadi pembantu kepada kebenaran bukan kepada kebatilan.
Justeru, peranan peguam sangat besar sebagai pembantu mahkamah menegakkan keadilan demi meletakkan hak kepada mereka yang berhak. PGSM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua peguam syarie yang berjaya mendapat pentauliahan.
Penulis ialah Presiden dan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com/ dan sebarang komentar boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment