Bersama Prof Dr Sidek Baba
Penerokaan ke angkasa raya bimbing ummah lakukan revolusi perkukuh iman
ANGKASA raya adalah sumber penting bagi saintis mengkaji mengenai hubungan ciptaan Allah dengan bumi dan kehidupan. Perjalanan siang dan malam, silih ganti yang berlaku, sifat kejadian berpasang-pasang, perjalanan matahari, bulan, bintang dan galaksi mempunyai kaitan rapat dengan bumi.
Bulan umpamanya, mempunyai kaitan dengan cuaca, masa, musim, gelombang dan lain-lain. Matahari mempunyai kaitan dengan bulan dan bumi dalam menentukan siang dan malam. Matahari memancarkan cahaya diperlukan bumi. Allah mengimbangkan pancaran cahaya dengan lapisan ozon. Apabila lapisan ozon menipis ia menyebabkan kepanasan terhadap bumi meningkat.
Pengembara Arab satu ketika dulu menjadikan bintang sebagai pedoman arah perjalanan. Nelayan di laut juga menjadikan bintang sebagai pedoman cuaca, waktu dan arah. Ahli astronomi Islam menghasilkan balai cerap untuk melihat dan memantau perjalanan bintang dan cakerawala kerana ia ada kaitannya dengan bumi, manusia dan kehidupan.
Perjalanan bintang dan galaksi pada hari ini dikaji dengan alat canggih kerana ia memiliki maklumat saintifik yang sangat diperlukan bagi memandu saintis memahami lebih dekat dan terperinci mengenai rahsia alam serta misteri penemuan yang berlaku.
Al-Quran sebagai kunci mengenai ilmu dan hakikat memberi petunjuk serta pedoman kepada manusia mengenai kejadian langit dan bumi. Allah menciptakan alam dan segala sesuatu adalah bersebab. Penerokaan alam dan segala isinya membimbing manusia terhadap hikmah kejadian dan menambah keyakinan manusia terhadap Pencipta.
Manusia tidak melakukan penciptaan, malah manusia sendiri adalah dicipta. Dengan akal yang terbatas, manusia tidak memiliki kemampuan segala-gala mengenai rahsia alam dan kejadian. Al-Quran menjadi sumber terbaik bagaimana perisyaratan mengenai alam dan kejadian diberi.
Al-Quran terkandung mukjizat, sesuatu yang datang daripada Allah dan mengatasi logik manusia. Al-Quran tidak saja mengkhabarkan hal yang nyata, tetapi menyatakan hal yang ghaib. Yang nyata boleh disaksi dan dikaji oleh manusia. Yang ghaib dengan sifat jadinya sedemikian adalah wujud dan dipercayai oleh mereka yang beriman.
Roh adalah sesuatu yang ghaib. Kekuatan dan kehidupan jasad iaitu sesuatu yang nyata dan boleh dilihat dihidupkan oleh roh yang ghaib. Jasad, akal dan hati tidak memberi makna apa-apa jika roh sudah hilang daripadanya.
Sementara yang membolehkan jasad, akal dan hati berfungsi disebabkan adanya roh dalam badan. Sesuatu yang ghaib dengan sifat jadinya sedemikian menghidupkan yang nyata seperti jasad dan segala isinya.
Allah berfirman bermaksud: "Dan apakah orang yang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya. Dan dari air kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tidak juga beriman?" (Surah al-Anbiyaa', ayat 30)
Asas ayat itu membimbing saintis cuba memahami mengenai Teori Dentuman Besar atau Big Bang yang menjadi misteri bagi mereka. Teori itu menyentuh mengenai asal usul kejadian alam.
Allah menceritakan bagaimana galaksi terjadi melalui firman-Nya yang bermaksud: "Kemudian Dia menuju langit dan langit itu masih asap (gas), lalu Dia berkata kepadanya dan kepada bumi, "Datanglah kamu kedua menurut perintahKu dengan suka hati atau terpaksa. Keduanya menjawab, "Kami datang dengan suka hati." (Surah al-Fushshilat, ayat 11)
Fakta saintifik ini tidak diketahui orang Arab pada zaman Nabi Muhammad SAW. Hari ini maksud 'duhkan' atau 'gaseous' menjadi sumber saintifik mengenai Teori Dentuman Besar atau asal-usul mengenai kejadian alam.
Pada 1925, ahli ilmu bintang Amerika, Edwin Hubble menemui maklumat bahawa semua galaksi kelihatan berjarak antara satu dengan lain. Ia memberi makna bahawa alam ini berkembang (bertambah luas). Ia sudah menjadi suatu fakta saintifik.
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan langit itu Kami bangun dengan kekuasaan (Kami) dan sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya." (Surah Adz-Dzaariyaat, ayat 47)
Allah mengisyaratkan, sifat alam yang mengembang juga menjadi suatu fakta saintifik dan konsep muusiun dalam al-Quran memberi isyarat sedemikian.
Stephen Hawking dalam bukunya 'A Brief History of Time' menyatakan, "fakta saintifik yang menyatakan alam ini berkembang (meluas) adalah revolusi intelektual yang amat hebat pada abad ke-20 ini."
Al-Quran sebagai petunjuk adalah sumber ilmu yang mendahului zaman. Jauh sebelum saintis baik pada zaman Islam, sebelum atau selepasnya, ayat Allah menjadi mukjizat besar memberikan perkhabaran mengenai langit dan bumi.
Bagi orang beriman, perisyaratan itu menjadikan iman mereka semakin kukuh tetapi bagi yang ingkar, mereka terus menjadi kafir walaupun bukti mukjizat Allah selari dengan kajian saintifik kini.
Tuesday, January 8, 2008
Ufuk Minda: Al-Quran perisyaratan kajian alam
Labels:
(A) Dr. Sidek Baba,
(B) Ufuk Minda,
Al-Qur'an,
Sains
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment