Oleh Azrina Sobian
MINGGU ini adalah minggu kedua untuk 2008. Rasanya masih belum terlewat membicarakan antara perkara penting berkait dengan tahun baru iaitu permulaan musim persekolahan yang sudah bermula.
Namun, perbincangan ini tidak sama sekali merujuk kepada persediaan kebendaan oleh ibu bapa, guru dan anak dalam menghadapi musim baru persekolahan. Perbincangan lebih kepada usaha membentuk anak yang kita hantar ke sekolah untuk menjadi orang berilmu, seterusnya melahirkan masyarakat Malaysia berilmu.
Apabila anak dihantar ke sekolah, apakah sebenarnya yang mereka fikirkan? Apa pula yang diharapkan ibu bapa? Adakah kita pernah bertanyakan soalan ini? Adakah kita, sebagai ibu bapa pernah benar-benar memikirkan harapan kita menghantar anak ke sekolah?
Jika soalan itu ditanyakan kepada ibu bapa, pelbagai jawapan akan kita terima, itupun jika mereka ada jawapan kepada soalan berkenaan. Umumnya, jawapan diberikan adalah hampir sama walaupun hadir dalam ayat berbeza.
Semua ibu bapa mahu anak menjadi pandai. Bagi masyarakat kita, menjadi pandai selalunya dikaitkan dengan lulus cemerlang dalam peperiksaan. Seterusnya anak itu layak masuk ke universiti dan akhirnya apabila lulus, mereka boleh mendapat pekerjaan baik dengan gaji lumayan.
Dalam proses disebutkan itu, terselit juga harapan lain. Contohnya, dalam usaha menjadi pandai, ibu bapa berharap anak juga boleh menjadi ahli masyarakat berguna dengan kembali menyumbang kepada masyarakat.
Jika kaedah disebut di atas benar, maka nyatalah bahawa usaha pembudayaan ilmu dalam masyarakat kita amat cetek sifatnya. Andai anak menganggap ke sekolah hanya untuk lulus peperiksaan, masuk universiti dan mendapat kerjaya hebat, maka ini bermakna usaha membentuk insan yang mencintai dan membudayakan ilmu dalam hidupnya sebenarnya tidak kesampaian.
Justeru, pemikiran bagaimana yang perlu ditanamkan dalam kotak fikiran anak kita? Sewajarnya, anak yang memulakan persekolahan diingatkan tujuan utama ke sekolah adalah untuk mencari dan mencintai ilmu serta menggunakan ilmu dengan cara betul.
Selepas itu, barulah kita mengajar anak itu bahawa jika mereka berjaya mencari, mencintai dan menggunakan ilmu dengan baik, maka pada ketika itulah mereka akan dianggap sebagai manusia yang pandai lagi berjaya. Tidak kurang pentingnya, anak perlu diingatkan bahawa usaha itu akan mendekatkan diri mereka dengan Allah.
Apabila anak muda sudah jelas tujuan mereka menuntut ilmu, maka tidak akan timbul lagi persoalan belajar bila perlu. Anak kita akan sentiasa dahagakan ilmu dan mencari ilmu demi mendapat keredaan Maha Pencipta.
Oleh itu, anak dididik untuk berpegang pada pencarian ilmu yang lengkap tentunya boleh dibezakan dengan mereka yang dangkal ilmu.
Pada saat ini, ilmu yang akan membezakan anak kita. Seperti disebut Prof Wan Mohd Noh Wan Daud dalam penulisannya, "perbezaan insan bukanlah semata-mata merujuk kepada unsur jasmani dan genetik (keturunan), tetapi paling penting merujuk kepada unsur rohani dan akhlak. Dalam hal ini pastinya pemilikan ilmu tinggi dalam diri manusia termasuk dalam kerangka rohani dan akhlak."
Permulaan persekolahan anak dengan pemikiran sebegini adalah penting. Jika mereka memulakan alam persekolahan dengan hanya memikirkan memperoleh ilmu, maka besar kemungkinan pembudayaan ilmu dalam masyarakat kita akan berjaya. Tetapi jika pemikiran salah ditanamkan dalam kotak fikiran pelajar muda itu, maka selamanya mereka tidak jelas sebab sebenar mereka belajar atau menuntut ilmu.
Sebenarnya, usaha membetulkan pemikiran anak agak sukar. Kesukaran berlaku kerana sebahagian besar ibu bapa dan ahli masyarakat tidak memahami tujuan menuntut ilmu. Jika yang dewasa gagal memahami, apakah harapan yang hendak kita letakkan kepada anak kecil ini?
Hasilnya, anak ke sekolah hanya untuk mengejar keputusan cemerlang atau cukup sekadar lulus peperiksaan dan boleh menjawab soalan ditanyakan guru. Oleh itu, dalam usaha membudayakan ilmu, seluruh lapisan masyarakat perlu melakukannya dan memahami matlamatnya.
Maka, fikirkanlah dan mulalah mengambil tindakan. Pembudayaan ilmu harus berlaku dalam setiap lapisan masyarakat, namun jika usaha ini dilakukan seawal mungkin iaitu kepada anak, maka kita akan mengecapi nikmat berpanjangan.
Oleh Azrina Sobian ialah Felo Pusat Sains dan Teknologi, Institut Kefahaman Islam Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment