Monday, January 7, 2008

Reda, berfikiran positif pemangkin kejayaan

Dr Juanda Jaya

PADA awal tahun ramai yang berazam untuk melakukan perkara baik dalam hidup mereka. Perancangan dan pelan tindakan menjadi agenda yang menghiasi hari orang berjaya. Kegagalan masa lalu dijadikan pengajaran, begitu juga bencana dan musibah yang menimpa menjadi api pembakar semangat untuk lebih cekal dan ghairah menghadapi kehidupan yang semakin mencabar.

Kegembiraan sentiasa menghiasi wajah kita kerana reda atas apa yang menjadi ketentuan qada dan qadar-Nya. Pernahkah anda terjumpa seseorang yang tidak menyebut daripada lidahnya kecuali keluhan dan rintihan? Atau mungkin kita sendiri pernah melakukan perbuatan yang sama.

Semua serba susah. Keadaan yang dihadapi tidak mengikut kehendak diri kita. Musim hujan buat hati jadi muram, musim buah macam-macam penyakit datang. Sebab durian, darah naik atau rambutan yang menyebabkan batuk, masuk pula musim perayaan nanti lagi bingung mencari wang.

Setiap orang yang waras pasti sentiasa memiliki dua perasaan berbeza dalam hatinya iaitu bahagia atau tertekan. Hakikatnya manusia dapat mengawal perasaan yang terbuku di hati dengan strategi reda kepada Allah Taala dan berfikir positif dalam apa juga keadaan dialami.

Ada pula yang sentiasa gagal, kalah dan redup saja bintangnya. Nasib yang tertulis selalu malang, hilang tuahnya. Lalu orang yang gagal ini semakin berputus asa hingga berkata seperti mana disebut di dalam Al-Quran yang mafhumnya: “Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia akan berkata: “Tuhanku telah memuliakanku". Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: “Tuhanku menghinakanku". Sekali-kali tidak (demikian). (Surah al-Fajr ayat 15-17).

Kerana kejayaan dan kegagalan itu, kedua-duanya adalah ujian bagi manusia. Ia bukan menjadi penilaian siapa mulia dan siapa pula yang terhina. Akhirnya manusia menjadi lebih optimis memandang kegagalan dan tidak cepat berpuas hati dengan kejayaannya.

Begitulah seharusnya seorang beriman menghadapi tentangan kehidupan. Namun demikian kita boleh menilai pencapaian diri sendiri dengan melihat kepada beberapa aspek yang mempengaruhi kualiti diri di sisi Allah Taala.

Apakah anda berkualiti pada pandangan Allah Azza Wa Jalla? Soalan ini mungkin susah untuk dijawab tetapi ada beberapa klu untuk anda fikirkan. Sesungguhnya apabila Allah SWT menghendaki kebaikan bersinar dalam diri anda maka Allah SWT akan mengatur hidup anda dengan memberikan empat dimensi yang menjadi sumber kekuatan anda.

Allah Taala menghendaki kejayaan dalam diri kita dengan empat kaedah;

l Menyedarkan diri kita daripada kesilapan. Siapakah yang menunjukkan kepada kita mengenai kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan? Sehingga kita boleh memilih yang mana haq dan mana batil. Allah Taala menggerakkan hati hamba-Nya untuk mengikuti seruan taubat, Dia pula yang melemahkan hawa nafsu untuk mendengar seruan iman. Dan Dialah Tuhan yang menjadikan kita memandang indah amalan taubat.

Sesungguhnya satu dosa yang dilakukan orang mukmin ada masa menjadi rahmat yang melahirkan rasa penyesalan, mencegahnya daripada rasa sombong dengan amalan dan membuat hatinya lembut kerana suka bertaubat.

Seperti firman-Nya dalam surah Al-Nur ayat 21 yang bermaksud; “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah syaitan. Barang siapa yang mengikuti langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan mungkar.

Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, nescaya tidak seorangpun dari kamu bersih (daripada perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Berlainan dengan orang fasik yang melakukan dosa, seolah-olah dosanya itu menjadi noktah hitam terakhir yang menutup seluruh dinding hatinya hingga tidak dapat sedikitpun cahaya hidayah menyusup masuk ke dalamnya.

Pada awal tahun ini setiap kegagalan yang diderita tahun lalu perlu difikirkan punca dan sebabnya, apakah kesilapan dilakukan sehingga kita terlepas daripada mendapat apa yang menjadi cita-cita dan impian kita. Sesungguhnya kesilapan masa lalu adalah pengalaman berharga untuk masa depan.

l Untuk berjaya manusia perlu diuji. Dalam memandang kehidupan ini, sepatutnya kita tidak terlupa bahawa semua elemen hidup adalah ujian bagi manusia. Isteri, anak, harta benda, ilmu, kepakaran, kemasyhuran, pangkat serta populariti dalam masyarakat semuanya adalah amanah yang berat seperti kita merasai beratnya penyakit dan musibah kehilangan orang dikasihi.

Jika tidak diuji, manusia akan tenggelam dalam kenikmatan hidup dan melupakan Allah. Setiap kejayaan dakwah yang diperoleh Rasul tidak terlepas daripada ujian kesusahan, seksaan dan penyakit, bahkan penghinaan dan pembunuhan secara kejam.

Setiap kesusahan akan dibalas dengan kemudahan. Allah pasti menepati janji-Nya kepada orang yang beriman.

Ramai manusia yang gagal kerana berada dalam zon selesa, tidak mahu merasai susah dan sakit untuk menebus kejayaan. Sesungguhnya anda tidak akan menjadi kuat melainkan dengan rasa sakit yang kuat juga.

Allah memuji orang yang kuat semangat dan sabar dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan berapa banyaknya Nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikutnya yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak pula menyerah kepada musuh. Allah menyukai orang yang sabar. (Surah Ali Imran ayat: 146)

l Kaedah kejayaan yang ketiga ialah, syukur terhadap jasa orang yang dengki. Allah SWT mendatangkan orang yang hasad sebagai pemacu kejayaan anda. Setiap manusia dilahirkan untuk bersaing antara satu sama lain bagi memastikan mereka berada dalam barisan hadapan.

Antara tanda seseorang berjaya adalah ramainya pesaing yang hasad dan dengki dengan kejayaan yang diperoleh. Seseorang mesti bersyukur ketika keadaan ini menimpa dirinya, siapa yang didengki maka dia memang layak untuk mendapat kemuliaan.

Golongan pendengki itu secara tidak langsung menaikkan kedudukan orang yang didengki menjadi lebih hebat daripada mereka. Jadi tak perlulah kita bersedih, bahkan banyakkan bersyukur jika mereka menjadi faktor kejayaan diri kita.

l Jika Allah menghendaki kejayaan dalam kehidupan anda maka hati anda menjadi jinak terhadap ilmu dan agama. Pernahkah anda berjalan di dalam kegelapan, tanpa bekalan dan petunjuk arah? Begitulah perumpamaan hidup tanpa hidayah Allah Taala.

Pencapaian setinggi apapun tidak berguna tanpa asuhan agama. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan barang siapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta".

Berkatalah ia: “Ya Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya adalah seorang yang melihat?” Allah berfirman: “Demikianlah, telah datang kepadamu ayat kami, maka kamu melupakannya, dan begitu pula pada hari ini kamupun dilupakan".

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my

No comments: