Wednesday, January 2, 2008

Peguam Syarie Menulis: Rancang program ilmiah sambut tahun baru

Oleh Mohamad Isa Abdul Ralip

SEMALAM adalah hari pertama kita melangkah ke tahun baru 2008 Masihi dan pada Khamis minggu depan pula kita akan menyambut tahun baru 1429 Hijrah. Kita semua kerap menggunakan tarikh Masihi berbanding tahun Hijrah sedangkan ia sangat berkait rapat dengan kita.

Kehadiran 2008 disambut penuh gemilang, dengan pelbagai program tetapi bagaimana pula sambutan terhadap kehadiran tahun Hijrah?

Tahun baru yang kita sambut bersandarkan kepada Kalendar Miladiah yang berasaskan kedudukan matahari. Tahun Miladiah atau Masihi atau Gregorian berasal daripada Kalendar Julian 'Julius Caesar' yang diperkenalkan sejak tahun 45 BC.

Kalender Gregorian hanya mula digunakan secara rasmi pada 1582 selepas melalui beberapa pengubahsuaian oleh Pope Greogory. Tahun Baru Hijrah bersandarkan Takwim Hijrah mula diperkenalkan ketika pemerintahan Khalifah Islam kedua, Saidina Umar Ibn al-Khattab dalam tahun 638 Miladiah.

Takwim Hijrah dipilih bersempena penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan umat Islam dari Makkah Mukarramah ke Madinah Munawwarah. Awal Muharam tahun pertama hijrah bersamaan dengan 16 Julai 622 Miladiah.

Sama ada kita menyambut Tahun Baru Miladiah (Tahun Baru) atau pun Tahun Hijrah (Awal Muharam), keduanya membawa satu penekanan iaitu kita akan meninggalkan tahun terdahulu dan menuju ke tahun yang baru.

Kebiasaannya masyarakat kita membincangkan mengenai azam baru, ingin mengubah diri daripada tidak baik kepada baik dan yang sudah baik kepada menjadi lebih baik.

Boleh dikatakan setiap kali menyambut tahun baru, hijrah diri dilakukan dengan bermuhasabah atau penilaian diri selari tuntutan agama yang menganjurkan manusia melakukan perubahan atau pembaharuan positif memperbaiki aqidah, akhlak, amal, ilmu dan sebagainya bagi mencapai taraf hidup lebih baik serta diredai Allah.

Dengan kata lain hijrah adalah tuntutan agama yang menghendaki manusia supaya berpindah daripada belenggu Jahiliah kepada Islam, kemunduran kepada kemajuan, hidup berpuak dan bermusuhan kepada hidup bersaudara dan bersatu padu.

Ini selaras hadis Rasulullah SAW daripada Abdullah bin Habsyi yang bermaksud: "Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah."

Setiap tahun kita menyambut perayaan tahun baru dengan mengatur pelbagai acara menarik dalam suasana gilang-gemilang. Kawasan tertentu di bandar besar seperti di Kuala Lumpur dihiasi dengan cahaya neon dan menjadi tempat berkumpul beramai-ramai bagi menghitung detik 12 malam.

Tahun Baru diraikan dengan perasaan suka ria dan penuh keceriaan. Lazimnya, pada sambutan tahun baru kita akan melihat anak muda bergaul bebas tanpa batasan, berpesta hingga ke pagi.

Sama ada kita sedar atau tidak, tahun baru yang dianjurkan setiap tahun sebahagiannya tidak selaras dengan kehendak Islam serta menyimpang daripada syariat dan adat kesopanan.

Soalnya, adakah kita mahu setiap kali tibanya tahun baru anak muda kita terpesona serta lalai sehingga melewati batas sepatutnya? Untuk itu marilah kita bersama berganding bahu dan bekerjasama supaya sambutan tahun ini disambut dengan cara lebih baik dan sempurna.

Kerajaan sama ada melalui pihak berkuasa tempatan atau agensinya, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya boleh menggembleng tenaga dengan merancang dan mengadakan program atau aktiviti berbentuk ilmiah seperti forum, seminar, diskusi dan ceramah.

Sewajarnya tahun baru menjadi titik permulaan untuk kita menilai diri, keluarga, masyarakat, negeri dan negara dan bukan sebagai landasan terbabit dengan keramaian yang membazir, berpesta hingga melalaikan diri serta mengandungi unsur menyimpang daripada ajaran agama yang sebenar.

Menilai diri penting bagi melahirkan seorang individu yang bertakwa serta berperibadi mulia. Menilai keluarga juga penting bagi melahirkan keluarga bertakwa dan bahagia. Dengan kukuhnya institusi keluarga maka kukuhlah institusi masyarakat sesebuah negeri atau negara.

Anak perlu dididik dengan didikan agama, bukannya mengejar keinginan dan kepuasan hidup semata-mata kerana ia boleh merosakkan serta memusnahkan hidup dan masa depan mereka.

Anak kita adalah generasi muda yang bakal mewarisi kepemimpinan negara. Malah generasi muda hari ini adalah golongan yang bertanggungjawab memastikan agenda Islam serta agenda negara dapat dipertahankan.

Sehubungan itu, generasi muda terutama golongan pelajar seharusnya tidak menghabiskan masa muda dengan kegiatan dan aktiviti tidak bermanfaat. Pergunakanlah masa muda untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran supaya tahu berdikari demi kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Ketika menyambut tahun baru, kita hendaklah mengawasi gerak-geri anak supaya tidak menyimpang ke jalan yang tidak diredai Allah. Selain itu, kita perlu menilai diri supaya tidak tersesat ke jalan yang mungkar dengan meningkatkan keazaman dan kekuatan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Semua itu dilakukan melalui amal ibadat untuk menimba dan menguasai ilmu pengetahuan serta kemahiran di samping sentiasa bersedia menghadapi serta menerima perubahan yang berlaku dengan dada terbuka.

Sempena tahun baru 2008 dan tahun baru Hijrah yang akan tiba, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengucapkan Selamat Tahun Baru 2008 dan Selamat Tahun Baru Hijrah 1429 kepada seluruh rakyat Malaysia.

INTI PATI

Lazimnya, pada sambutan tahun baru kita akan melihat anak muda bergaul bebas tanpa batasan, berpesta hingga ke pagi.
Kerajaan, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya boleh menggembleng tenaga dengan merancang dan mengadakan program berbentuk ilmiah seperti forum, seminar, diskusi dan ceramah.
Menilai diri penting bagi melahirkan seorang individu yang bertakwa serta berperibadi mulia.
Pergunakan masa muda untuk meningkatkan pengetahuan supaya tahu berdikari demi kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Semua komentar boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com

No comments: