Wednesday, January 16, 2008

Peguam Syarie Menulis: Sepuluh ciri capai status Muslim unggul

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
exco_pgsm@yahoo.com

SEBAGAI sebuah tatacara yang mengawal kehidupan seharian, Islam menggariskan panduan lengkap, sistematik dan tersusun supaya kehidupan manusia tidak tersasar daripada matlamat mencari keredaan Allah SWT serta ibadat kepada Pencipta.

Islam amat menekankan pembangunan modal insan berasaskan ciri pembinaan sahsiah dan keperibadian Muslim. Ia kerana manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah SWT dan khalifah diberi kelebihan serta kekuatan ilmu.

Keunggulan keperibadian manusia hendaklah disulami dengan akhlak mulia, ilmu pengetahuan berpaksikan kepada kebesaran Allah SWT dan ketakwaan kepada-Nya.

Namun, apa yang menyedihkan sekarang ini, kita melihat wujud segelintir umat Islam tidak mampu menjadi contoh kepada orang lain. Umat Islam tidak memiliki akhlak mulia atau menjadi idola kepada orang lain.

Akhbar juga sering melaporkan ada umat Islam terbabit dengan rasuah, penyalahgunaan dadah, pelacuran, jenayah dan pelbagai perbuatan berlawanan dengan ajaran agama itu sendiri.

Lebih dahsyat lagi umat Islam dikatakan ketinggalan dalam kebanyakan bidang kerana mereka meninggalkan agama dalam kehidupan mereka. Apa saja dikaitkan kepada Islam dikatakan mundur, ketinggalan zaman dan tidak sesuai.

Mereka mencemuh akhlak Islamiah sebaliknya mendewa-dewakan apa saja dibawa dari Barat. Semua perkara dilihat hanya daripada lensa Barat dan mengetepikan panduan serta syariat digariskan Islam.

Dalam membahaskan ciri seorang Muslim, seorang ilmuwan Islam, Syeikh Hassan Al-Banna menggariskan 10 ciri jitu lagi mantap untuk memenuhi apa yang dikatakan 'keperibadian Muslim yang unggul'. Semua ciri ini saling lengkap melengkapi bagi menonjolkan kecemerlangan sahsiah Islam. Ciri itu adalah:

Akidah yang bersih. Ciri ini amat penting kerana ia menjadi teras kepada pembangunan modal insan sebenar. Dengan ada akidah yang mantap, sudah pasti umat Islam tidak akan tergelincir daripada landasan syariat Islam yang betul. Ia juga adalah suatu piawaian ke arah penyerahan diri seperti diikrarkan dalam solat di mana solatku, ibadahku, hidupku dan matiku semuanya bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam.

Ibadat yang betul. Ibadat yang betul akan menjurus kepada keikhlasan dan pembentukan peribadi yang mulia. Ia menunjukkan sesuatu ibadat itu mesti bersumberkan sumber yang betul, terdiri daripada al-Quran dan al-Sunnah serta sumber lain diterima ulama.

Akhlak yang mulia. Perilaku ini harus dimiliki setiap Muslim kerana akhlak mulia bukan saja akan menjaga hubungan antara makhluk, malah hubungan antara makhluk dan Penciptanya.

Kekuatan jasmani. Daya tahan yang kuat sehingga dapat melaksanakan tuntutan agama yang optimum amat diberi perhatian dalam Islam. Islam tidak pernah mengasingkan kekuatan fizikal dalam mencari keredaan Allah SWT. Ia amat jelas dilihat kerana beberapa amalan dalam Islam memerlukan kekuatan fizikal yang mantap seperti solat, puasa dan haji. Kekuatan jasmani adalah pencegahan kepada pelbagai penyakit.

Cerdas berfikir. Kecerdasan berfikir akan membawa kepada intelektualisme. Seorang intelek adalah aset kepada masyarakat. Oleh itu, seorang Muslim perlu memiliki wawasan luas dan kemampuan inteleknya tidak harus diragui orang lain.

Berjuang melawan hawa nafsu. Oleh kerana setiap manusia memiliki kecenderungan kepada sesuatu yang baik dan buruk, perlulah suatu semangat untuk melawan hawa nafsu yang buruk. Kesungguhan melawan hawa nafsu ini perlu disemai dalam diri umat Islam kerana ia akan berupaya melawan pelbagai maksiat dan kemungkaran.

Pandai menjaga waktu. Ia faktor penting bagi manusia khususnya kepada orang Islam. Umpamanya Islam mengajar perancangan waktu seperti solat pada awal waktu. Solat pada awal waktu perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian sebagai pengurusan masa yang tepat. Setiap tindakan kita perlu dirancang mengikut waktu sesuai.

Teratur dalam urusan. Ciri ini memerlukan profesionalisme dalam sesuatu urusan. Bersungguh-sungguh, bersemangat dan berkorban dalam melakukan sesuatu urusan akan menjadikan sesuatu perkara itu dapat dijayakan dengan cemerlang.

Memiliki kemampuan. Mempertahankan kebenaran dan berjuang menegakkan hanya boleh dilakukan sekiranya kita memiliki kemampuan dan kekuasaan dari segi pengetahuan, ekonomi dan sebagainya.

Bermanfaat kepada orang lain. Ciri ini akan menghakis sikap mementingkan diri sendiri dan sentiasa prihatin kepada kebajikan orang lain. Seseorang Muslim perlu berusaha menjadikan dirinya bermanfaat kepada orang lain. Jika pun beliau tidak memegang jawatan tinggi, sekurang-kurangnya kita boleh bermanfaat kepada ahli keluarga dan sahabat handai.

Semua ciri itu penting serta perlu ada bagi membangunkan modal insan. Walaupun ia mungkin menggunakan nama baru, ulama terdahulu sudah membincangkannya dengan panjang lebar seperti olahan dibuat Hassan Al Banna.

Pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pembangunan modal insan amat dititikberatkan oleh kerajaan. Ia menggariskan lapan teras Dasar Pembangunan Modal Insan merangkumi penambahbaikan sistem penyampaian pendidikan, latihan dan pembelajaran sepanjang hayat. Pembangunan kemahiran keusahawanan juga diberi penekanan pada rancangan itu.

Justeru, sekiranya formula pembangunan modal insan itu digarap dengan mengambil kira ciri digariskan Hassan Al-Banna, sudah pasti negara akan mencapai kecemerlangan kerana adunan itu akan menghasilkan natijah amat positif apabila insan yang dibangunkan itu bukan saja berguna kepada masyarakat, malah menjaga hubungan baik mereka dengan Pencipta.

Dengan cara ini akan lahir manusia yang mengejar kejayaan di dunia dan tidak sekali-kali mengabaikan persediaan mereka di akhirat nanti.

Penghayatan sebenar terhadap syariat Islam amat penting bagi membangunkan modal insan di Malaysia. Oleh itu, bagi menjayakan RMK-9, program berterusan berteraskan kepada sepuluh ciri yang ditulis di atas perlu dibuat.

Dengan cara berkenaan , negara kita akan terus maju di samping tidak mengetepikan aspek kerohanian dan spiritual.

Kemajuan yang dikejar bukanlah bersifat kemajuan material semata-mata, malah ia menjurus kemajuan yang bersifat spiritual.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Semua tulisan boleh dilayari di http://peguamsyarie.blogspot.com/ dan sebarang komentar boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com

No comments: