KETIKA golongan agama di Eropah mendakwa sains adalah ajaran sesat dan uji kaji makmal perbuatan sihir, ilmuwan Islam terus mencipta keunggulan menerusi penyelidikan di makmal mereka pada zaman pertengahan.
Antaranya, ilmuwan Islam dari Sepanyol Abu Al-Qasim Maslamah bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Al-Majriti yang memiliki pengetahuan luas dalam ilmu matematik, astronomi dan kimia.
Siri Ilmuwan Islam terbitan TV3 yang menemui penonton setianya jam 7.30 malam ini mengisahkan Al-Majriti yang bukan saja cemerlang di Andalus, ketokohannya turut diakui ilmuwan Barat yang mengagumi buku hasil tulisannya, terutama mengenai akaun perdagangan.
Kepakarannya dalam teori bilangan dan angka menjadikan buku berkenaan rujukan seluruh dunia, selain hasil karangan mengenai perhitungan kejuruteraan. Seperti biasa, pemikiran Barat menciplak hasil penemuan cendekiawan Islam, tetapi apabila sudah maju, mereka lupa pihak yang membentuk peradaban kemajuan itu.
Al-Majriti berbeza dengan ilmuwan lain kerana ketelitian serta ingatannya yang kuat. Beliau sering menekankan, mereka yang dikhususkan dalam bidang analisis sains seperti kimia, juga perlu mempelajari ilmu matematik dan sains.
Dengan gabungan pengetahuan itu, katanya, umat Islam akan memiliki kelebihan dalam pekerjaan dari segi teori dan praktikal.
Penghasilan air raksa menunjukkan ketekunan dan ketelitian Al-Majriti apabila melakukan eksperimen yang akhirnya membawa kejayaan kepada kerjaya beliau. Eksperimen terkenal itu memperlihatkan bagaimana beliau menukarkan satu perempat tabung air raksa menjadi serbuk berwarna merah, selepas diletak di atas api selama 40 hari.
Al-Majriti akan memerhatikan eksperimennya itu dari semasa ke semasa untuk melihat perubahan pada air raksa yang membentuk oksida raksa hasil proses perubahan secara kimia. Sebagai ilmuwan teliti dalam kerjayanya, beliau sentiasa mendorong penyelidik untuk mengkaji bahan kimia menerusi proses percubaan di makmal.
Kesimpulan yang dicapai Al-Majriti daripada kaedah percubaan di makmal ialah bahan yang terhasil adalah sama dengan kumpulan bahan kimia yang diuji menerusi proses makmal. Penulisan ilmiah Al-Majriti yang terkenal ialah mengenai astrolab, sebuah peralatan kuno untuk mengukur ketinggian bintang di langit.
Ia adalah cakera diperbuat daripada kayu atau logam mempunyai ukuran darjah di tepinya dan tengahnya ada jarum penunjuk yang boleh bergerak.
Beliau menulis dua buku dalam bidang kimia bertajuk Rutbaj Al-Hakim dan Ghayah Al-Hakim yang menjadi rujukan ilmuwan Timur mahupun Barat hingga hari ini. Menyedari pentingnya buku Ghayah Al-Hakim, Raja Alfonso memerintahkan agar buku itu diterjemahkan ke bahasa Latin pada 1252 Masihi.
Buku lain karangan Al-Majriti ialah Thimar Al-Adad yang dikenali sebagai Al-Mu'amalat, Ikhtisar Ta'dil Al-Kawakib Min Zij Al-Battani, Rutbah Al-Hakim Fi Al-Kimiya, Al-Ahjar Rawdhah Al-Hada'iq wa Riyadh Al-Khala'iq serta Risalah Al-Asturlab, merangkumi ilmu sejarah, tabii dan pengaruh alam sekitar terhadap kehidupan.
Al-Majriti mempunyai ramai murid berjaya dalam kehidupan, seperti Abu Al-Qasim Al-Ghirnati, seorang jurutera dan ilmuwan dalam bidang perubatan dan Abu Al-Hakam Al-Karmani, seorang penduduk Cordova yang sangat terkenal sebagai pakar bedah dan jurutera.
Di sebalik kesibukannya mendalami pelbagai ilmu pengetahuan serta menterjemah buku ilmiah Yunani, Al-Majriti menggemari muzik, yang katanya, mempunyai persamaan dengan pengiraan ilmu matematik.
PROFIL
Nama: Abu Al-Qasim Maslamah bin Ahmad
Gelaran: Al-Majriti
Tarikh lahir: 338 Hijrah bersamaan 950 Masihi
Tempat lahir: Majrit (Madrid)
Meninggal dunia: Tahun 398 Hijrah bersamaan 1007 Masihi di Andalus
Sumbangan: Ilmuwan Arab Andalus yang pertama dalam bidang matematik dan ilmu astronomi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment