JUDUL: Solat Khusyuk Solat Smart
PENULIS: M Siddiq Mustika
PENERBIT: PTS Millennia Sdn Bhd
PENGULAS: Jami'ah Shukri
SOLAT khususnya, sembahyang lima waktu adalah tiang agama dan menjadi rukun Islam kedua. Kewajipan menunaikan solat adalah satu tuntutan dan meninggalkannya adalah satu dosa besar.
Sesiapa yang meninggalkan solat sesungguhnya mereka menegakkan jalan hidupnya, manakala sesiapa yang meruntuhkan, sesungguhnya dia meruntuhkan jalan hidupnya.
Namun untuk memastikan solat yang ditunaikan diterima Allah SWT dan dilakukan dengan khusyuk pasti kita perlu menilai sejauh mana ia memenuhi tuntutannya. Buku garapan M Siddiq Mustika ini membincangkan secara mendalam mengenai solat smart yang sepatut diamalkan supaya tanggungjawab menunaikan rukun Islam itu tidak menjadi sia-sia.
Solat Smart mewujudkan kesihatan kepada jiwa dan fizikal manusia, selain merangsang pelbagai bentuk kecerdasan dalam diri manusia. Kesan kecerdasan dibangunkan menerusi solat smart yang memberi tunjang kepada kecemerlangan kehidupan dunia dan akhirat.
Mungkin kita menjadi umat Islam yang taat menunaikan solat. Bagaimanapun, sejauh mana ia dikerjakan dengan khusyuk, sepenuh hati dan mengikut tatatertibnya? Tidak kurang juga mulut melafazkan bacaan ayat al-Quran tetapi perasaan terus mengembara entah ke mana.
Justeru, dicadangkan supaya menegakkan solat dengan secara cerdas iaitu ia tidak saja dianggap ibadat spiritual yang memerlukan kehadiran hati, malah aktiviti fizikal dan mental serta kehadiran akal.
Program solat smart mempunyai empat unsur iaitu keperluan diri, tujuan solat sesuai dengan keperluan, jenis kecerdasan yang hendak ditinggalkan bagi memenuhi keperluan dan langkah awal bagi meningkatkan kecerdasan. Dengan mengatur program solat smart ini akan menjadikan ia lebih bererti, rajin dan bersemangat.
Strategi paling efektif dan lebih mendekatkan dengan tujuan solat adalah mendengar secara aktif, iaitu mengaktifkan fikiran dan terus berusaha menjaganya supaya ia tetap aktif dan menghayati setiap bacaan. Dengan mengaktifkan fikiran ketika mendengar bacaan solat, peluang memperoleh rahmat Allah SWT akan dicapai.
Selain itu, kita digalakkan menilai bagaimana cara Nabi Muhammad SAW bersolat supaya dapat dijadikan ikutan dalam menuju matlamatnya.
Secara keseluruhan solat menjadi lebih bermakna dengan menghayati serta mendalami kandungan buku ini yang memperincikan setiap genap berkaitan ibadat itu dalam lima bahagian dengan menekankan kepada persediaan diri bagi bersolat, mantapkan wujud solat, sistemkan fikiran anda dalam solat, hidupkan perasaan anda dalam solat dan tunjukkan solat anda bermakna.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment