Oleh Penulis khas YaPEIM
Ahli majlis mesti bebas gejala berpuak-puak, elak permainan politik
SYURA adalah mekanisme pembuat keputusan yang sudah lama membudaya dalam kehidupan masyarakat Melayu. Cuma dalam tradisi Melayu, ia lebih dikenali dengan istilah musyawarah dan muafakat.
Nilai Islam ini sudah menyatu dengan nilai keaslian seperti tergambar dalam peribahasa "bulat air kerana pembentungan, bulat kata kerana muafakat". Memang syura adalah mekanisme terbaik untuk membuat keputusan. Al-Quran menyebut kepentingan syura pada dua tempat:
"…juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal keduniaan) itu." ( Ali `Imran :159).
"... dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka." (al-Syura: 38).
Ayat syura yang pertama (Ali `Imran: 159) berbentuk perintah (fi'l amr), manakala dalam ayat kedua pula syura disebut di tengah apitan dua kewajipan asasi, sembahyang dan zakat.
Berdasarkan cara al-Quran menyebut syura seperti dinyatakan itu, ulama mengambil kesimpulan hukum wajibnya amalan syura.
Mengurus manusia memang tidak mudah. Manusia adalah makhluk yang dimuliakan Tuhan, mereka punya maruah dan hak kemanusiaan harus dihormati. Kerana itu Islam menghendaki pengurus Islam mendapatkan kerelaan mereka yang diurus.
Selain itu, mereka berhak dilayani atau diperlakukan secara adil. Melalui syura matlamat mendapatkan keadilan dan kerelaan itu dapat dicapai.
Dalam hubungan ini, Abu A'la-Maududiy menyatakan perlunya syura dalam membuat keputusan membabitkan dua orang atau lebih. Adalah tidak wajar dari segi moral dan prinsip keadilan jika keputusan itu dibuat hanya oleh seorang atau satu pihak saja dengan memaksakan kemahuannya tanpa mempedulikan kepentingan pihak lain.
Ada dua sebab mendorong seseorang itu membuat keputusan sendiri dan memaksanya ke atas kumpulannya. Pertama, kerana kepentingan diri sehingga sanggup menafikan hak orang lain.
Kedua, kerana ia menganggap dirinya begitu unggul lalu meremehkan kemampuan orang lain dari segi etika. Kedua-dua sikap itu adalah tercela. Maududiy menegaskan bahawa hanya orang yang tidak takut kepada Allah SWT yang berani membuat keputusan sendiri tanpa musyawarah.
Untuk menjamin pengalaman syura yang sihat ia harus bertolak daripada sangka baik (husnu-`z-zan) di kalangan sesama anggota pembuat keputusan itu. Sangka baik ini pula hanya wujud jika ada sikap saling percaya mempercayai.
Andainya proses syura itu bertolak daripada perasaan buruk sangka dan saling tidak percaya, maka sesungguhnya syura yang sedemikian itu sebenarnya gagal sejak saat ia dimulakan.
Di kalangan peserta syura harus ada kesepakatan dari segi rujukan buku. Dalam konteks umat Islam, rujukan buku yang utama ialah al-Quran dan al-Sunnah, selepas itu barulah diikuti rujukan lain seperti perlembagaan, akta, undang-undang penubuhan dan sebagainya.
Syura tidak akan mencapai kesepakatan yang diharapkan jika anggotanya tidak terlebih dulu sepakat dalam soal rujukan buku.
Seterusnya harus ada kebebasan bersuara sepenuhnya di kalangan anggota pembuat keputusan. Yang dimaksudkan dengan kebebasan bersuara termasuk kebebasan dan keberanian berbeza pendapat dengan sesiapa saja termasuk ketua kumpulan.
Syura tidak akan dapat mencapai objektifnya jika ia dilaksanakan dalam suasana budaya takut bersuara dan takut berbeza pendapat. Syura juga tidak mungkin menyubur dalam budaya ampu dan budaya bodek.
Hasil syura juga banyak bergantung kepada ketua kumpulan. Ia juga harus mendapat kepercayaan daripada anggota kumpulan. Pemilihannya harus didasarkan kepada kriteria prestasi, kemampuan dan keikhlasan. Ketua yang tidak mampu, tidak jujur, ego dan degil tidak akan dapat mengendalikan syura dengan berjaya.
Setiap anggota peserta syura harus mendapat kepercayaan dan mandat penuh daripada pihak diwakilinya. Tanpa mandat penuh, seseorang itu tidak mungkin dapat turut serta membuat keputusan dan seterusnya memberikan komitmen kepada keputusan kolektif yang dibuat.
Tidak ada ertinya bersyura jika anggota pesertanya tidak berani membuat keputusan bagi pihak diwakilinya.
Syura bukanlah medan bertegang leher cuma untuk memperjuangkan kepentingan diri dan kelompok yang diwakili. Syura harus disemai sikap toleransi, timbang rasa dan setia kawan yang kental.
Syura yang sihat harus bebas daripada gejala berpuak-puak di kalangan anggotanya. Gejala seperti ini akan membawa berleluasanya 'permainan politik' dan perebutan sokongan secara tidak sihat. Sebaliknya ia akan menjadi medan pertarungan antara kumpulan yang tidak lagi berminat untuk mencari idea yang terbaik, sebaliknya lebih berminat memenangkan pendirian kelompok masing-masing.
Dalam keadaan wujudnya perbezaan pendapat, keputusan harus diambil berdasarkan suara terbanyak. Memang dalam Islam suara majoriti diakui sebagai kekuatan pemutus. Dalam istilah usul fiqh ini disebut al-kathratu hujjatun (suara majoriti adalah suara hujah atau kuasa pemutus).
Dalam keadaan demikian pihak yang menjadi minoriti harus tunduk kepada keputusan majoriti itu. Demikianlah yang dapat kita teladani dari Nabi SAW yang cadangannya dikalahkan suara majoriti dalam peristiwa pemutusan strategi perang Uhud.
Ternyata syura bukan sekadar pertemuan biasa. Andainya ia bertolak daripada niat yang tulus meneladani Sunnah Nabi SAW dan dilaksanakan dengan cara yang semestinya, syura bukan saja dapat menyumbang kepada pengurusan korporat, malah dapat membawa limpahan barakah dan keredaan Tuhan.
Bagaimanapun, ia hanya sebahagian daripada apa yang dinamakan pengurusan Islami. Masih banyak nilai dan kaedah Islam yang perlu diterapkan dalam budaya korporat kita.
(Bersambung minggu depan)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment