Saturday, February 27, 2010

Anugerah Maulidur Rasul rangsang semangat

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my


PELAJAR dan guru Sekolah Rendah Islam Kafa Masjid Az -Zubair Ibnul Awwam bergambar selepas diumumkan johan pertandingan perarakan Kategori Sekolah dan IPTA pada Sambutan Maulidur Rasul di Putrajaya, semalam.


Kerajaan beri penghormatan individu cemerlang beri manfaat untuk negara

"TIDAK terjangkau tinggi pekertimu, tidak tergambar indahnya akhlakmu, tidak terbatas segala jasamu, sesungguhnya engkau Rasul pilihan. Cekalnya hatimu menempuh dugaan, mengajar erti kesabaran, menjulang tinggi kemenangan, terpahat namamu di dalam al-Quran."

Bait indah dendangan lagu nasyid menggambarkan keperibadian serta kelebihan Nabi Muhammad SAW yang menjadi contoh sepanjang zaman sememangnya menimbulkan kekaguman dan pada masa sama, melahirkan rasa takut.

Mungkin itu yang cuba diluahkan pemenang Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1431 Hijrah/2010 Masihi, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, ketika dikelilingi media yang ingin mendapatkan maklum balas beliau pada Majlis Sambutan Maulidur rasul Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, Putrajaya, semalam.

Selain rasa malu atas anugerah diterima itu, Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu melahirkan rasa takut jika pengiktirafan diterima tidak setimpal khidmat disumbangkan.

"Nabi Muhammad sebagai individu sudah meninggalkan kita tetapi Baginda sebagai misi dan visi terus hidup. Apabila saya diberi anugerah Maulidur Rasul ini, saya tertanya sama ada mampu bawa masyarakat kepada misi dan visi sebenar.

"Ini buat saya rasa kecil dan takut soal pengiktirafan yang belum tentu dapat saya sempurnakan. Lagipun, masih ramai yang berwibawa dan banyak menabur bakti di luar sana tidak ditonjolkan. Saya rasa malu, takut anugerah ini tidak tepat dengan realiti," katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau tetap bersyukur, gembira dan rasa berkewajipan menerima pengiktirafan berkenaan selain berharap untuk terus berbakti kepada masyarakat dengan memberi pandangan yang boleh diterima serta sesuai mengikut keperluan masyarakat.

Anugerah disampaikan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Anugerah Perdana Maulidur Rasul mula diperkenalkan tahun lalu dan penerima anugerah menerima wang tunai RM50,000, sebuah plak, sijil dan hadiah iringan. Penerima pertama anugerah ini ialah Profesor Pendidikan di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Sidek Baba.

Anugerah Maulidur Rasul mula diperkenalkan pada 1413 Hijrah (1992 masihi) dan pencalonan terbuka kepada lelaki serta perempuan Islam dan bukan Islam yang terbabit dalam tugas serta perkhidmatan mencabar, berisiko tinggi, kritikal yang memberi kebaikan kepada rakyat dan negara. Penerima menerima hadiah wang tunai RM22,000 berserta hadiah iringan.

Penerima kali ini ialah bekas Pengarah Kesihatan yang aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan, Datuk Dr Abdul Razak Kechik; pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 yang mendapat 21A dan kini sedang melanjutkan pengajian di Jordan, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamel; Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn Bhd, Faiza Bayumi Syed Ahmad; pendakwah dan penceramah bebas, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz.

Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Yaacob Che Man dan satu-satunya penerima bukan Islam, Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Padi dan Tanaman Industri Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Tan Swee Lian.

Dr Tan berkata, pengiktirafan diterima hasil kerjanya di Mardi selama lebih 30 tahun itu diharap menjadi pendorong kepada penyelidik muda untuk menghasilkan penyelidikan yang membawa faedah kepada masyarakat serta negara.

Beliau yang berjaya mendapat hak milik intelektual bagi lima jenis ubi kayu dan empat jenis ubi keledek mengakui semangat 1Malaysia membolehkan rakyat mendapat pengiktirafan hasil sumbangan mereka serta menjadi pendorong kepada orang lain menyumbang untuk negara.

"Saya tidak boleh bandingkan diri saya dengan Nabi Muhammad tetapi saya berharap dengan anugerah Maulidur Rasul ini saya dapat menjadi contoh kepada penyelidik muda untuk bekerja lebih rajin demi negara," katanya.

Sementara itu, Dr Yaacob yang diiktiraf sebagai saintis pertama menerima Anugerah Saintis Halal di World Halal Research Summit 2009, mengharapkan usaha dilakukan untuk mempertingkatkan kepentingan logo halal Malaysia.

Katanya, status halal Malaysia sangat berwibawa dan dipandang tinggi termasuk oleh Pertubuhan Negara Islam (OIC) tetapi berdepan masalah dalam negara seperti kebanjiran logo halal digunakan disebabkan kelemahan undang-undang.

"Ini kelemahan tetapi menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal agama sudah mengambil usaha memastikan isu ini dapat diselesaikan. Kita harap apabila ada akta lebih kuat nanti tiada lagi berlaku penipuan logo halal atau isu logo yang pelbagai.

"Selain standard yang bagus, kita perlu ada undang-undang tegas selain penguatkuasaan berkesan untuk mengawal penggunaan logo halal," katanya yang banyak menjalankan penyelidikan bagi membangunkan industri halal.

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1431 Hijrah mengekalkan tradisi berarak sambil berselawat oleh kira-kira 100 kontinjen yang mengambil bahagian sebagai manifestasi kecintaan kepada Rasulullah SAW dan menonjolkan semangat serta syiar Islam.

Perarakan sejauh 2.5 kilometer itu bermula dari Masjid Tuanku Mizan menuju Masjid Putra, Putrajaya. Kontinjen terbabit dalam perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1431 Hijrah turut diadili bagi menentukan johan dan naib johan berdasarkan kategori.

Lima kategori dipertandingkan iaitu kategori agensi kerajaan, badan berkanun, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi (IPT) dan institut latihan dan sekolah. Pemenang menerima plak, sijil dan hadiah iringan.

No comments: