Friday, February 5, 2010

Menegakkan keadilan mengikut kaca mata Islam

Oleh Mohd Kamel Mat Salleh

Akhlak mulia Rasulullah wajar diteladani supaya dapat nikmati kehidupan tenang

SATU daripada akhlak mulia penghias diri Rasulullah yang mesti menjadi ikutan ummah ialah adil dalam setiap perlakuan, tindakan dan hukuman. Adil bermaksud meletakkan sesuatu kena pada tempatnya.

Justeru, apabila seorang majikan mengambil seseorang bekerja di syarikatnya dengan kelayakan akademik bersesuaian dengan bidang pekerjaannya juga atas dasar pengalaman, maka majikan itu berlaku adil kepada pekerjanya.

Sesungguhnya skop perbincangan mengenai soal adil ini sangat meluas. Ia merangkumi aspek kehidupan manusia sama ada suami, isteri, anak, kawan, majikan, pekerja, pemimpin, orang bawahan, ibu dan bapa pasti berhadapan dengan persoalan adil dalam melakukan sesuatu perkara.

Hal ini disentuh al-Quran dengan contoh dan situasi berbeza. Semuanya memberi gambaran bahawa berlaku adil dalam kehidupan adalah satu tuntutan. Berikutan antara ruang lingkup perbahasan mengenai keadilan dan pengadilan menurut kaca mata Islam.

Menulis dengan adil dalam urusan hutang piutang. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang yang beriman, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga suatu masa tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar)." (Surah al-Baqarah: 282).

Keharusan berpoligami jika dapat berlaku adil terhadap isteri. Perkahwinan tuntutan agama bagi membina rumah tangga dan asas kepada perkembangan sebuah masyarakat. Mereka yang mempunyai cukup syarat disunatkan berkahwin dalam memastikan berlaku kelangsungan generasi manusia.

Perkahwinan juga sebagai kaedah mencegah perlakuan dosa dan maksiat lantaran tuntutan hawa nafsu manusia ada kala sukar dikawal. Syarak juga membenarkan seorang suami berkahwin lebih seorang isteri dengan syarat dia mampu berlaku adil pada semua isteri.

Adil dalam konteks ayat keharusan berpoligami ini ialah sekiranya suami mampu untuk adil dari sudut kasih sayang iaitu mengasihi isteri secara sama rata tanpa membezakan isteri pertama, kedua, tua atau isteri muda. Ayat al-Quran menegaskan walaupun poligami itu dibenarkan, amat sukar sebenarnya untuk suami berlaku adil terhadap semua isterinya.

Hal ini dinyatakan dalam Surah al-Baqarah: 129 bermaksud: "Dan kamu tidak akan dapat berlaku di antara isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya). Oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau-lampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayang) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awangan), dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" (Surah al-Nisa: 129).

Suruhan menegakkan keadilan dalam penghukuman. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil." (Surah al-Nisa: 58).

Suruhan menegakkan keadilan dalam penghukuman dan penyaksian. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.

"Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa) kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan, dan jika kamu memutarbelitkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi) maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Surah al-Nisa: 135)

Tegakkan keadilan dan kebenaran. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran, dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa, dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Me ngetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Surah al-Maidah: 8).

Adil dalam keterangan, percakapan dan menyempurnakan sukatan serta timbangan. Firman Allah bermaksud: "Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya) sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri), dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil - Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya � dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu), dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhinya)." (Surah al-Anaam: 152)

Damaikan persengketaan secara adil. Perintah membuat timbangan dengan adil dan tepat dalam berjual beli. Sebagai peniaga, antara sifat mulia ialah tepat dalam timbangan. Jika tidak dilaksanakan maka ia dianggap tidak adil dan khianat.

Allah menjanjikan balasan buruk jika tidak berlaku adil walaupun dalam membuat timbangan dan sukatan. Maka apabila perintah itu dilakukan dengan adil dan saksama maka balasan baik akan diberikan Allah. Justeru, pastilah mereka yang mengabaikannya pula akan menerima balasan buruk daripada Allah seperti dijanjikan-Nya.

No comments: