Friday, February 12, 2010

Soal Jawab: Silaturahim asas masyarakat cemerlang

Oleh Ustaz Zamuddin Jusoh

SAYA mempunyai keluarga yang sering bergaduh membabitkan hal remeh sehingga membabitkan kedua-dua ibu bapa. Bolehkah ustaz terangkan mengenai tuntutan Islam terhadap hubungan silaturahim dan kekeluargaan serta perkara berkaitan ketaatan terhadap kedua-dua ibu-bapa?

Nurashikin Ismail

Bandar Sungai Buaya, Rawang



KITA dapati sejak akhir-akhir ini, fenomena derhaka kepada kedua-dua orang tua dan sering mencetuskan pergaduhan antara saudara sendiri menjadi semakin parah dalam masyarakat yang mendakwa mempunyai tamadun tinggi. Ada yang berbakti secara bermusim seperti hari perayaan saja dan meninggalkan saudara mereka jauh setelah musim itu selesai.

Ingatlah bahawa apabila kembalinya seseorang ibu atau bapa ke rahmatullah, maka satu seruan dari sisi Allah SWT berbunyi: “Sesungguhnya hilanglah dari dunia ini orang yang telah kami muliakan kamu di dunia ini kerana kewujudannya”. (Maksud Hadis Qudsi)

Adalah menjadi satu kewajipan bagi seorang mukmin memohon keampunan kepada Allah SWT bagi kedua ibu bapanya dan seluruh orang yang beriman, menghubungkan silaturahim persaudaraan, menghulurkan bantuan pada perkara yang baik.

Maksud silaturahim ialah mengambil berat serta menyayangi mereka dengan menghulurkan bantuan yang diperlukan dengan cara berterusan. Perkara yang kurang diperhatikan dalam masyarakat hari ini adalah sesuatu yang amat penting dalam proses membina masyarakat cemerlang. Antara yang ingin dibicarakan di sini ialah:

l Berbakti kepada kedua-dua ibu bapa dan silaturahim mengikut pandangan al-Quran.

Memutuskan hubungan persaudaraan adalah sesuatu yang diharamkan oleh syariat Islam dan Allah SWT mengaitkan hubungan persaudaraan ini dengan namaNya yang mula. Firman Allah SWT: “Dan takutlah kamu akan Allah SWT yang kamu sering memohon pada-Nya dan peliharalah silaturahim. Sesungguhnya Allah SWT amat hampir kepada kamu”. (Surah An-Nisa, ayat 1)

Ini adalah peringatan daripada pemilik alam semesta bahawa silaturahim adalah antara cabang untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT. Ini bermakna memutuskan silaturahim adalah sesuatu yang amat buruk akibatnya di sisi Allah SWT yang menganugerahkan limpahan rezeki dan kepada manusia melalui hubungan ini.

Allah SWT mencipta menjadikan sebab dan musabab kepada sesuatu perkara. Ini dapat dilihat apabila seseorang bertemu saudaranya dengan perasaan riang gembira justeru Allah SWT akan memberi keberkatan dan kebaikan yang banyak.

Ditambah pula dengan sifat pemurah dalam ketakwaan kepada Allah SWT, lalu ia mendapat kasih sayang daripada manusia yang baik dan doa daripadanya, seterusnya mendapat keredaan Allah SWT. Mereka yang menyimpang tidak akan merasai nikmat ini. Firman Allah SWT: “Sesiapa yang bersikap bakhil sebenarnya dia bakhil terhadap dirinya sendiri.” (Surah Muhammad, ayat 380)

l Kelebihan berbakti kepada ibu bapa dan silaturahim mengikut paparan hadis Rasulullah SAW

Dalam sebuah hadis sahih daripada Anas Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menginginkan bahawa Allah SWT memurahkan rezekinya dan mendapat keberkatan pada umurnya, maka hendaklah ia menghubungkan silaturahim.”

Dari Abdullah Umar RA berkata: Rasulullah SAW bersabda “Keredaan Allah adalah di bawah keredaan kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan Allah adalah di bawah kemurkaan kedua-dua ibu bapa.” (HR Tirmizi dan di tashih oleh Ibnu Hibban dan Hakim)

Derhaka kepada kedua-dua ibu bapa adalah antara dosa besar. Sabda Nabi SAW: “Sebesar-besar dosa ialah syirik dan derhaka kepada ibu bapa.”

Sahabat bertanya: “Apakah seorang anak sanggup mencaci kedua-dua ibu bapanya?”

Jawab Nabi SAW: “Apabila seseorang mencaci ibu bapa orang lain, maka mereka akan mencaci ibu bapanya pula.” Sabda Rasul SAW: ‘Tidak akan masuk syurga mereka yang memutuskan silaturahim.”

No comments: