Wednesday, February 27, 2008

Peguam syarie menulis: Peguam syarie perlu pertingkat ilmu

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

SERAMAI 150 peguam syarie bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menerima sijil pentauliahan mereka pada majlis yang disempurnakan Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan, Husin Ahamad.

Hadir sama di majlis yang diadakan di Dewan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur ialah Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Ibrahim Lembut dan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar. Segulung tahniah kepada mereka dan 'Selamat Beramal'.

Apabila memperkatakan mengenai peguam syarie, kita memperkatakan mereka yang membela anak guamnya di Mahkamah Syariah dalam kes di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.

Hakikatnya peguam syarie ada tugas tertentu dan tugas utamanya ialah mewakili pihak yang terbabit dalam prosiding perbicaraan dengan menghadirkan diri bagi pihak mereka, membela pelanggan secara lisan atau bertulis.

Ini bermakna tugas peguam merangkumi mengemuka, membela dan menjadi wakil kepada pihak yang terbabit dalam sesuatu kes. Menurut Almarhum Syaikh Mohd Abu Zuhrah mengenai peguam syarie, "seorang yang alim mengenai undang-undang yang mampu mencari kebenaran pihak yang benar dan menolak kepalsuan pihak yang bersalah bersandarkan kepada ilmunya mengikut kehendak undang-undang dalam menegakkan hak dan kewajipan dan pengekalan dan pengukuhan kepada kepada kebebasan awam."

Ini bermakna peguam syarie mempunyai tugas penting selain mewakili anak guamnya di mahkamah iaitu dengan membantu mahkamah menegakkan keadilan dengan meletakkan hak kepada yang berhak.

Dengan kata lain, peguam syarie sebenarnya adalah pegawai mahkamah yang membantu hakim mengendalikan kes di mahkamah syariah supaya mahkamah dapat menghukum dengan adil, tepat dan berkesan.

Tanpa bantuan peguam syarie akan menyukarkan mahkamah untuk membuat sebarang keputusan yang tepat dan adil kerana mahkamah berperanan untuk mendengar dan memutuskan kes saja. Peguam bertindak membentangkan fakta kes pihak yang bertikai, membentangkan daripada aspek perundangan dan prosedur kepada mahkamah supaya mahkamah dapat memberikan keputusan yang tepat dan adil berlandaskan hukum syarak.

Justeru, peguam syarie perlu mempersiapkan diri dengan ilmu untuk mencari kebenaran serta menolak sebarang kebatilan. Beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh peguam syarie sebelum dapat mewakili anak guamnya.

Allahyarham Prof Datuk Dr Mahmud Saedon Awang Othman berkata, peguam syarie hendaklah seorang yang berakhlak. Ini bermakna peguam syarie perlu memiliki akhlak serta budi pekerti yang mulia seperti dituntut hukum syarak.

Peguam syarie hendaklah melaksanakan amanah yang diberikan anak guamnya dengan jujur serta niat ikhlas melakukan ibadat. Niat penting bagi mengelakkan hak anak guam diabaikan.

Selain itu, peguam syarie hendaklah mempunyai pengetahuan syariah yang mendalam daripada aspek Usul Fiqh, Qawaid Fiqhiyyah, memahami Maqasid Syariah dan sebagainya.

Peguam syarie yang tidak mempunyai pengetahuan syariah mendalam akan menghadapi kesukaran mendapat membantu hakim dalam menegakkan keadilan terutama yang berhubung undang-undang syariah diamalkan di mahkamah syariah.

Peguam syarie, memahami undang-undang prosedur di Mahkamah Syariah yang terbahagi kepada dua iaitu prosedur atau tatacara mal dan prosedur atau tatacara jenayah. Tanpa memahami kedua-dua prosedur ini, peguam syarie dianggap gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai peguam syarie.

Peguam syarie hendaklah mengetahui Undang-Undang Keterangan Islam dan Kanun Jenayah Syariah yang diterima pakai di mahkamah syariah, selain mengetahui undang-undang berkaitan tugasan seharian dan memahami enakmen atau akta Keluarga Islam, Pentadbiran Agama Islam, Perlembagaan Malaysia, Kanun Tanah Negara, Akta KWSP dan undang-undang lain yang berkaitan.

Selain itu pengetahuan serta pemahaman berkaitan dengan Arahan Amalan Mahkamah Syariah yang dikeluarkan oleh JKSM juga perlu bagi memudahkan urusan pentadbiran serta pengamalan di mahkamah syariah lebih berkesan.

Mengetahui dan memahami undang-undang lain berkaitan arahan amalan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan di samping menyelesaikan permasalahan yang timbul lebih-lebih lagi dalam menyelesaikan permasalahan anak guam yang semakin kompleks hari ini.

Justeru, bagi melahirkan peguam syarie yang cemerlang hendaklah menyahut cabaran dengan mempertingkatkan ilmu pengetahuan terutama berkaitan perundangan syariah serta mendalami ilmu lain berkaitan tugasan mereka.

Ini adalah kerana peguam syarie mempunyai tugasan berat selain mendokong amanah anak guam, mereka bertanggungjawab membantu hakim di mahkamah menegakkan keadilan.

Selain itu, akhlak sebagai peguam syarie hendaklah dijaga dan dihayati supaya profesion ini lebih dihormati dan disegani bukan saja daripada aspek profesion tetapi nilai mulia yang ditampilkan mereka.

Hayatilah kisah Ka'b di mana Ka'b berjaya membantu Khalifah Umar memahami pengaduan seorang wanita mengenai suaminya yang gagal memberikan layanan wajib terhadapnya. Kisah Ibn Abbas membela seorang perempuan yang disabitkan kesalahan melakukan zina dan hendak direjam.

Dengan pembelaan itu, Khalifah Uthman membetulkan hukuman yang dijatuhkan dengan membebaskan perempuan berkenaan walaupun sebelum ini sudah berikrar di hadapannya bahawa dia melakukan zina.

Bersama YaPEIM: Mengekal persaudaraan tugas wajib masyarakat


MENGERAT PERSAUDARAAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin mengacau bubur asyura sempena Program Asyura Perdana Bersama Penduduk anjuran YaPEIM di Besut, Terengganu baru-baru ini. Pendekatan amalan gotong royong menerusi program membabitkan pelbagai lapisan masyarakat dapat membantu merapatkan lagi hubungan persaudaraan di kalangan umat Islam.

Keikhlasan dalam bersahabat dicapai jika dapat bersih diri daripada kepentingan peribadi

DR Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya al-Sahwah al-Islamiyyah Bayna al-Juhud wa al-Tatarruf menceritakan bagaimana Hasan al-Banna, seorang tokoh gerakan dakwah di Mesir berjaya menyelesaikan perselisihan membabitkan dua kumpulan berselisih mengenai solat sunat Tarawih.

Satu kumpulan inginkan supaya solat sunat dikerjakan sebanyak 20 rakaat dengan berhujahkan amalan Khalifah 'Umar al-Khattab manakala kumpulan satu lagi mahu solat itu dilaksanakan sebanyak lapan rakaat dengan bersandarkan sunnah Nabi SAW.

Setiap kumpulan mempertahankan hujah dan pendirian masing-masing sehingga mempertikaikan pendapat kumpulan lain. Perselisihan yang hampir-hampir membawa pertumpahan darah itu memaksa Hasan al-Banna mengemukakan persoalan prinsip dalam ajaran Islam.

Beliau bertanya kepada setiap kumpulan mengenai hukum mengerjakan solat Tarawih. Jawapan yang diberikan ialah sunat iaitu mereka yang mengerjakannya mendapat pahala tetapi tidak berdosa jika ditinggalkan.

Seterusnya beliau bertanya mengenai hukum menjaga persaudaraan dalam Islam. Jawapan yang diberikan ialah wajib dan satu kefarduan dalam agama serta cabang iman. Lantas, beliau melontarkan persoalan adakah harus dalam Islam jika meminggirkan perkara wajib untuk mempertahankan perkara sunat.

Justeru beliau meminta mereka beredar dan meninggalkan perselisihan itu jika benar-benar ingin terus berada dalam kesatuan persaudaraan sebenar. Sebagai alternatifnya, beliau meminta mereka mengerjakan solat tarawih di rumah masing-masing bagi mengelakkan perselisihan berulang kembali.

Kisah benar yang dipaparkan al-Qaradawi itu memberi isyarat kepada kita bahawa persoalan persaudaraan adalah perkara penting. Persaudaraan adalah nikmat kurniaan Ilahi kepada manusia yang benar-benar beriman dengan-Nya.

Malah ia juga satu nikmat paling berharga yang tidak ada tolok bandingnya dengan sesuatu pun di dunia ini. Inilah yang difahami daripada firman Allah yang bermaksud: "Dialah (yakni Allah) yang menyatukan hati-hati orang yang beriman walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang ada di bumi nescaya kamu tidak akan dapat menyatukan hati mereka (akan) tetapi Allah telah menyatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." – (Surah al-Anfal, ayat 63)

Persaudaraan berlandaskan iman dan takwa kepada Allah bukan sekadar nikmat ketika berada di dunia, tetapi rahmat Ilahi kepada hamba-Nya di akhirat. Rasulullah SAW ada menggambarkan suasana di padang mahsyar dengan tujuh golongan yang mendapat rahmat.

Persaudaraan adalah sendi yang menunjangi pembinaan sesebuah masyarakat. Ia juga adalah teras yang menyokong keharmonian hidup dalam masyarakat. Justeru, apabila Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, salah satu agenda utama baginda ialah agenda persaudaraan.

Inilah erti persaudaraan yang sebenar dalam Islam seperti mana firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara." – (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Ayat itu memberi petunjuk jelas bahawa apabila kita mengaku beriman, kita sebenarnya sudah membuat satu ikatan kukuh berlandaskan kalimah syahadah. Ikatan itu satu bukti tautan hati umat Islam antara satu sama lain tidak kira di mana mereka berada.

Ada beberapa cara bagaimana umat Islam boleh mengekalkan jalinan dan ikatan persaudaraan. Persaudaraan itu perlu dibina atas dasar keikhlasan kerana Allah. Dalam hubungan ini, Rasulullah SAW menceritakan bagaimana seorang lelaki menziarahi saudaranya di sebuah kampung.

Dalam perjalanannya, Allah menitahkan malaikat untuk menunggu lelaki itu. Apabila malaikat bertemu dengan lelaki itu lantas diajukan pertanyaan, "Ke manakah kamu hendak pergi?" Lelaki itu menjawab, "Aku mahu menemui saudaraku di kampung ini." Malaikat bertanya lagi, "Adakah kamu sedang berusaha untuk mengambil sesuatu nikmat kepunyaan kamu daripadanya?" Lelaki itu menjawab, "Tidak! Aku cuma mengasihinya kerana Allah" Malaikat itu menyatakan, "Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi kamu sebagaimana kamu mengasihinya kerana Allah."

Keikhlasan dalam bersaudara mampu dicapai jika seseorang itu dapat membersihkan dirinya daripada sebarang kepentingan peribadi. Walau bagaimanapun, fenomena masyarakat kita hari ini, ada yang mengaku bersaudara jika mahu mendapatkan sesuatu daripada orang lain.

Ada yang bersaudara mengikut musim tertentu. Apabila tiba musim, barulah menampakkan diri dan bertanya khabar. Persaudaraan jenis bermusim ini selalunya tidak kekal dan tahan lama. Persaudaraan yang cuba dijalin tidak bersendikan keikhlasan kepada Allah.

Persaudaraan yang berkekalan ialah persaudaraan yang boleh membantu membina kekuatan iman. Rasulullah SAW berpesan yang maksudnya, "Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri."

Di samping itu, persaudaraan sejati ialah persaudaraan yang boleh memacu diri supaya terus melakukan amal salih melalui pendekatan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Inilah yang dimaksudkan firman Allah: "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan berpesan-pesan dalam kesabaran." – (Surah al-'Asr)

Prof Hamka ketika menanggapi ayat ketiga dalam surah itu merumuskan, hidup berpesan-pesan dalam masyarakat adalah inti kebahagiaan hidup bermasyarakat. Hidup secara nafsi-nafsi amat merugikan.

Oleh itu pada pandangan beliau, kita perlu menghubungkan tali kasih sayang sesama manusia dengan memberi peringatan yang benar supaya perkara benar itu dapat dipertahankan dan dimartabatkan bersama. Manakala perkara salah dapat dihindar dan dijadikan sempadan.

Rasulullah SAW mengajarkan supaya kita memupuk persaudaraan dalam semua keadaan sama ada senang atau susah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Bandingan orang mukmin dalam kasih sayang dan sayang menyayangi adalah laksana satu jasad. Apabila satu anggota mengadu sakit maka ia turut dirasa oleh seluruh anggota yang lain dengan demam dan berjaga malam."

Itulah fitrah dan nikmat persaudaraan dalam Islam. Kita tidak akan rugi jika terus memelihara persaudaraan. Kita tidak perlu menggadai harga persaudaraan dengan perkara remeh temeh. Kita tidak perlu meletakkan persaudaraan di tahap tidak bernilai kerana berlainan pandangan, fahaman dan pendirian.

Kita tidak perlu membakar jaringan persaudaraan demi menegakkan benang basah. Semoga kita terus menjaga persaudaraan dalam suasana dan keadaan kita menentukan kepemimpinan negara.

Tuesday, February 26, 2008

Keilmuan tinggi jadi benteng kekuatan bangsa

Oleh Tuan Sidek Tuan Muda

MASYARAKAT Arab Makkah ketika dibangkitkan Rasulullah SAW adalah daripada keturunan Nabi Ismail, anak kepada Nabi Ibrahim. Mereka pada zaman sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW sudah beriman dengan Allah dan mematuhi agama-Nya berdasarkan syariat Nabi Ibrahim.

Mereka mentauhid dan menyembah Allah yang Esa, tidak menyekutukan-Nya dengan sebarang makhluk serta melaksanakan syariat-Nya seperti sembahyang dan puasa. Mereka juga menjaga dan memelihara Kaabah sebagai tempat suci. Begitulah orang Arab Makkah melaksanakan agama Allah.

Dengan berlalunya zaman demi zaman, kurun demi kurun, orang Arab mula mencampuradukkan yang betul dengan yang salah. Kebenaran yang mereka pusakai daripada nenek moyang diadukkan dengan kebatilan yang datang dengan tidak disedari, justeru menjadi cacat dan tercelalah seluruh bangsa Arab.

Mereka diselubungi kejahilan, hanyut dan sesat bersama orang yang terpukau dan terpedaya dengan kepalsuan. Dengan itu, menyusup masuk syirik ke dalam masyarakat mereka dan akhirnya menyembah berhala menjadi kebiasaan.

Mereka mula jauh daripada suluhan tauhid dan ciri agama Allah yang sebenar. Akhirnya, selepas satu jangka masa panjang menyeluruhlah kejahilan yang sangat sukar dihapuskan. Selepas itu, dibangkitkan Rasulullah SAW untuk menghapus kejahilan dan membawa cahaya ilmu pengetahuan menerangi bumi sehingga mereka kembali menjadi bangsa yang hebat dan berjaya menguasai dunia.

Tercatat dalam Fiqh al Sirah al Nabawiyyah (al Buti 1994), pencetus syirik menyembah berhala di bumi Makkah ialah Amru ibnu Luhay. Ibnu Hisyam meriwayatkan, cara Amru ibnu Luhay memulakan penyembahan berhala di Makkah.

Beliau ialah seorang saudagar. Pada satu ketika, beliau pergi ke Syam kerana urusan perniagaan dan melalui satu kawasan yang didiami suku Amaliq. Amru melihat mereka menyembah berhala lalu bertanya mengenai benda yang mereka sembah itu

Suku Amaliq menjelaskan, mereka menyembah patung berhala. Mereka sembahyang meminta hujan, hasilnya patung itu menurunkan hujan. Mereka minta pertolongan lalu patung itu memberi pertolongan.

Amru meminta supaya diberikan kepadanya salah satu berhala itu untuk dibawa pulang ke bumi Makkah supaya mereka menyembah seperti disembah suku Amaliq. Mereka memberikan kepada Amru berhala yang dinamakan Hubal. Berhala itu dibawa pulang ke Makkah dan bermulalah episod penyembahan berhala di Makkah.

Begitulah cara bermula dan berkembangnya penyembahan berhala di Tanah Arab. Bertukarlah keadaan asal mereka yang dulunya berada di atas akidah tauhid pusaka daripada Ibrahim dan Ismail kepada kepercayaan syirik dan akhirnya sampai ke peringkat sesat seperti bangsa lain yang sesat.

Al Buti dalam kitabnya itu menjelaskan, sebab utama mudahnya orang Arab ketika itu yang berada di atas landasan benar bertukar menyembah berhala ialah kerana ketandusan ilmu pengetahuan dan buta huruf.

Ilmu pengetahuan adalah perkara sangat penting dan mesti dititikberatkan setiap bangsa yang ingin sejahtera dunia mahupun akhirat. Ketika Rasulullah SAW dibangkitkan, Baginda sangat menekankan kepentingan ilmu pengetahuan bahkan wahyu yang pertama diturun iaitu Iqra' (Bacalah).

Ia menunjukkan tuntutan menuntut ilmu. Ada banyak ayat al-Quran dan hadis menerangkan mengenai pentingnya ilmu. Firman Allah bermaksud: "Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?" (Surah al Zumar, ayat 9)

Firman Allah lagi bermaksud: "Supaya Allah meninggikan darjat orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat." (Surah alMujadalah, ayat 11)

Begitu juga hadis Rasulullah SAW melalui sabdanya bermaksud: "Dan sesiapa yang merentasi satu jalan untuk mencari ilmu, Allah mempermudahkan kepadanya satu jalan ke syurga." (Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi bermaksud: "Dunia adalah tempat tercela dan semua benda di dalamnya adalah tercela kecuali zikir kepada Allah dan segala yang mentaati Allah, orang alim dan penuntut ilmu." (Hadis riwayat al Tirmizi)

Itulah antara ayat al-Quran dan hadis yang menjelaskan kelebihan ilmu dan orang yang berilmu. Ilmu adalah tunggak kekuatan sesuatu bangsa. Jatuh bangun sesuatu bangsa bergantung kepada sejauh mana mereka berilmu dan pada masa sama mempraktikkan ilmu berkenaan.

Dengan keilmuan yang lemah, seseorang atau sesuatu bangsa akan mudah dipermainkan oleh syaitan dan musuh Islam seperti yang berlaku ke atas penduduk Makkah, apatah lagi di zaman moden yang penuh mencabar ini.

Era globalisasi yang tidak mengenal batas sempadan, ajaran sesat, pengaruh jahat dan liar, anasir buruk bertentangan dengan Islam begitu meluas dan mudah sampai ke dalam masyarakat. Dalam masa yang sama, ia begitu sukar untuk disekat dan dihapuskan.

Benteng pertahanannya tidak lain dan tidak bukan melainkan keilmuan mencukupi bagi mempertahankan diri. Dengan ilmu saja dapat dibezakan antara hak dan batil.

Benarlah pepatah Melayu yang berbunyi 'ilmu itu pelita hidup'. Sifat pelita yang menerangi kegelapan malam pekat samalah dengan ilmu yang menyinari kehidupan dan menjadi pembeza antara betul dengan salah.

Apa yang berlaku ke atas orang Arab Makkah perlulah diinsafi dan diambil pengajaran. Mudah-mudahan ia memberikan panduan berguna dalam membina satu masyarakat yang cemerlang dan terbilang serta seimbang dunia akhirat. Semoga sejarah itu tidak berulang kepada kita.

Penulis ialah Pensyarah Pengajian Islam, Universiti Kuala Lumpur City Campus

Ufuk Minda: Gandingan pemimpin wibawa, pengikut peka cetus kemajuan

Bersama Dr Sidek Baba

PEMIMPIN dan pengikut mempunyai jalur pengaruh yang saling memberi kesan. Pemimpin yang melihat tanggungjawab kepemimpinan sebagai suatu taklif akan sentiasa menghubungkan amanah kepemimpinan dalam semangat khalifah.

Pengikut pula mempunyai amanah besar menentu dan membantu supaya kepemimpinan berada di landasan yang betul. Manfaat kepemimpinan serta pengikut dapat memberi kesan seimbang terhadap proses kemajuan dan perubahan.

Kepemimpinan dalam masyarakat majmuk mempunyai dimensi lebih luas. Keragaman dan kepelbagaian menuntut pendekatan bijaksana supaya faktor penting seperti hak asasi, keadilan, kesejahteraan dijadikan landasan.

Kepemimpinan dalam tradisi Islam harus mempunyai kualiti ihsan dan insan. Keihsanan memberi kesan langsung hubungan manusia dengan Allah dan keinsanan adalah tanggungjawab yang perlu disempurnakan terhadap negara dan sistem.

Rasulullah SAW memberikan asas ihsan iaitu dalam melakukan kerja yang bersifat ibadat walaupun kita tidak melihat Allah, tetapi berasakan Allah sentiasa melihat kita. Asas ini dirakamkan dalam firman Allah bermaksud: "Kemuliaan dan kecemerlangan disisi-Nya asasnya ialah ketakwaan." (Surah al Hujurat, ayat 13)

Pemimpin berjiwa muttakin sentiasa menginsafi bahawa daya kepemimpinan dan aktiviti kepemimpinannya sentiasa berlandaskan kepada takwa akan cenderung menjadikan Allah sebagai pedoman, al-Quran sumber petunjuk dan Rasulullah SAW teladan Qurani.

Asas ini memberi keyakinan kepada pemimpin bahawa Islam bukan hanya sebagai suatu sistem kepercayaan, tetapi mencorak kehidupan secara sistematik. Cabaran kepemimpinan Islam dilihat daripada keupayaannya menterjemah prinsip dan ajaran murni al-Quran ke dalam realiti dan sistem.

Pancaran akidah yang dimiliki kepemimpinan Islam tidak hanya terlihat kepada keyakinannya terhadap Allah, tetapi terlihat dalam kerangka membangun diri, masyarakat dan sistem yang sifatnya memperkasa.

Membangun ilmu yang sifatnya bersepadu adalah langkah memperkasa, menyediakan modal insan yang arif dalam hal keagamaan dan pada masa sama pakar dalam pengurusan sistem. Aplikasi keilmuan dan pendidikan Islam tidak saja melahirkan pemikiran besar, juga memiliki keupayaan memperkasa ilmu bersepadu.

Keperluan umat Islam kini ialah proses keilmuan dan pendidikan yang membuka jalan membangunkan modal insan secara seimbang. Pendidikan mekanistik didorong kesedaran nilai dan etika Islami boleh mencetuskan perubahan bermakna yang membimbing ke arah pembinaan tamadun.

Globalisasi yang mendatangi umat kini memerlukan upaya penyaringan yang tinggi disamping alternatif terbaik bagaimana penyelesaian terhadap model Islam dapat dilakukan secara bijaksana, strategik dan profesional.

Di sinilah perlunya wibawa pengikut yang tidak saja mampu memilih kepemimpinan sezaman, tetapi membantu kepemimpinan melakukan agenda kemajuan dan perubahan. Sifat Islam itu sendiri adalah dinamik dan cenderung ke arah perubahan.

Jiwa islah dan tajdid adalah syarat penting melihat masalah umat terkini dan memberikan jawapan yang komprehensif bagaimana alternatif dapat diberi dan pada masa sama dukungan pengikut membolehkan agenda pembaharuan berlaku.

Pengikut yang arif berasakan wibawa kepemimpinan penting dalam menempatkan diri di gelanggang terpilih. Ia merujuk kepada asas keilmuan yang baik, memiliki akhlak contoh, keupayaan menawarkan khidmat terbaik dan mampu memikir serta mencari pendekatan terhadap masalah kepemimpinan dan pengikut dengan bijaksana.

Ada pemimpin yang mempunyai idealisme tinggi, tetapi kurang memahami realiti lalu hilang kebijaksanaan membangun umat. Wujud juga kepemimpinan yang pragmatik, tetapi tandus dengan idealisme lalu hilang arah dalam hala tuju kepemimpinan.

Umat Islam memerlukan kepemimpinan yang didukung oleh idea segar bersumberkan al-Quran, memiliki upaya bijaksana memahami realiti dan melakukan aktiviti kepemimpinannya dengan bijaksana serta strategik. Kepemimpinan jenis ini amat diperlukan oleh umat masa kini.

Umat Islam memerlukan kepemimpinan yang amanah, adil, bijaksana dan memiliki teladan tinggi yang boleh dicontohi.

Begitu juga dengan pengikut supaya rasional dan bertimbang rasa bagi menentukan perubahan serta kemajuan tetap berlaku. Gandingan pemimpin berwibawa dan pengikut yang peka bakal merintis jalan ke arah sinergi lebih bermakna untuk perubahan dan kemajuan.

Perspektif Ikim: Kepemimpinan berasas wawasan murni

Oleh Wan Roslili Abd Majid

Kejayaan Khalifah Umar bentuk dasar pengawasan pentadbiran wajar dicontohi

ANTARA ciri yang menjadi asas kejayaan sesebuah kepemimpinan ialah kegigihan mencapai matlamat atau natijah perjuangan. Inilah contoh ditunjukkan Khalifah Umar ibn al-Khattab yang berjaya memimpin Madinah berasaskan matlamat yang suci.

Dalam ucapannya, beliau berkata, "Perumpamaan bangsa Arab adalah seperti unta yang kesakitan hidung. Ia akan mengikut arahan gembalanya. Oleh itu, gembalanya harus berhati-hati, ke arah mana ia patut dipandu. Bagiku, demi Tuhan kepada Kaabah ini, akan kupimpin mereka ke jalan yang benar."

Riwayat lain menyebut bahawa beliau menegaskan, "Ya Allah, aku ini kasar, jadikanlah aku lemah-lembut; aku ini lemah, kurnialah daku kekuatan. Bangsa Arab ini ibarat unta yang tiada pedoman dan tali kekangnya berada di tanganku. Saksikanlah bahawa aku akan memastikannya berada pada landasan yang benar."

Dengan matlamat membawa masyarakat pimpinannya menuju kebenaran, Khalifah Umar mengambil langkah membentuk dasar yang jelas disasarkan bagi mencapai matlamat itu. Lihat saja dasar penting seperti musyawarah (perundingan), pelantikan pegawai kerajaan berasaskan kelayakan dan kepakaran, pengawasan menyeluruh (al-riqabah) yang membabitkan pengawasan pentadbiran dan pengawasan rakyat dan amalan hisbah (menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran).

Menyentuh dasar pengawasan pentadbiran, Khalifah Umar menetapkan pengawasan dan pemantauan terhadap pegawai kerajaan oleh semua pihak. Antara langkah yang diambil bagi menjayakan dasar itu ialah memastikan semua gabenor wilayah dan pegawai kanan kerajaan berada di Makkah pada musim haji, ketika semua penduduk dari seluruh pelosok dunia Islam berkumpul.

Dalam perhimpunan umum diadakan, Khalifah Umar memberi peluang kepada individu atau rakyat yang mahu mengemukakan aduan atau ketidakpuasan hati terhadap pegawai kerajaan secara langsung di hadapan khalifah dengan kehadiran pegawai berkenaan.

Malah, aduan kecil juga dibuat oleh rakyat dalam perhimpunan itu. Selain itu, bagi menjayakan dasar pengawasan pentadbiran negara, pegawai kerajaan diwajibkan membentangkan penyata harta milik mereka ketika mula bertugas, sedang bertugas dan selepas tamat perkhidmatan.

Contohnya, Gabenor Bahrain pernah dikenakan tindakan kerana gagal mengemukakan bukti yang sah bagi sumber pendapatan dan kuda berbaka baik yang dimiliki ketika bertugas di negeri berkenaan.

Langkah lain yang dilaksanakan Khalifah Umar bagi melaksanakan dasar pengawasan ialah beliau dan pembantunya menyusun kegiatan rondaan di seluruh negara bagi mendapatkan maklumat secara langsung dan jelas mengenai kehidupan rakyat.

Kisah bagaimana Khalifah Umar menyelesaikan dengan sempurna permasalahan dihadapi rakyat seperti kemiskinan begitu masyhur dan ia jelas menggambarkan keadilan dan rasa tanggungjawab yang tinggi sebagai pemimpin.

Bagi dasar pengawasan rakyat pula, setiap rakyat diberikan peluang mengawasi pentadbiran dalam semua segi termasuk sistem pentadbiran khalifah sendiri. Ini memberikan peluang kepada pemimpin dan gabenor menerima teguran dan mengakui kesilapan, jika sememangnya kesilapan itu benar-benar dilakukan.

Di samping itu, pemimpin dan gabenor juga berpeluang meyakinkan orang ramai mengenai kebenaran diri serta tindakan mereka, jika mereka sememangnya berada di pihak yang benar.

Melalui dasar telus dan terbuka ini, ternyata Khalifah Umar mendidik setiap pegawai kerajaannya supaya sentiasa beriltizam tinggi melaksanakan amanah yang diserahkan dengan penuh rasa tanggungjawab, bukan untuk mencapai tujuan atau kepentingan tertentu.

Pemantauan menyeluruh terhadap pencapaian dan kesungguhan melaksanakan tugas juga mendorong mereka untuk sentiasa berhati-hati. Bagi rakyat yang diberi peluang terbabit secara langsung dalam pemantauan urusan pentadbiran negara, mereka dibimbing mencontohi nilai mulia yang dipamerkan pemimpin, terutama khalifah sendiri seperti benar, amanah, bertanggungjawab, adil serta saksama.

Menelusuri zaman pemerintahan Khalifah Umar, ternyata beliau sudah mencatat kejayaan begitu besar walaupun tempoh pemerintahannya agak singkat, iaitu kira-kira 10 tahun. Antaranya termasuklah mengasaskan Baitulmal, mahkamah dan pelantikan hakim (qadi), pembentukan beberapa jabatan penting seperti jabatan perang dan ketenteraan (Diwan al-Jund), Diwan al-Kharaj, jabatan jenayah dan polis.

Pencapaian lain ialah pembinaan terusan, pewujudan cukai terhadap hasil laut dan perlantikan pegawai pemungut cukai bagi hasil berkenaan, pembinaan rumah tumpangan untuk jemaah haji di antara Makkah dan Madinah, penubuhan kota penting seperti Basrah dan Kufah.

Selain itu, pada zamannya juga wilayah penguasaan tamadun Islam diperluas lagi. Beliau berjaya menakluk Mesopotamia dan sebahagian Parsi serta Mesir, Palestin, Sham, Afrika Utara dan Armenia.

Jika diteliti dengan mendalam, setiap ciri kehidupan diberikan perhatian tinggi oleh Khalifah Umar seperti ibadat, siasah, pentadbiran negara, muamalat dan kewangan, undang-undang dan keadilan serta pendidikan keilmuan.

Dalam bidang keilmuan, Khalifah Umar memberi dorongan terhadap usaha menuntut ilmu dan menjadikan Madinah sebagai kota atau pusat pengeluaran fatwa serta ilmu fiqh.

Sesungguhnya Khalifah Umar menjadi lambang pemimpin agung yang memiliki makna diri yang tinggi. Berasaskan ketakwaan, beliau berupaya mengenali dirinya dan mengetahui dengan jelas makna serta arah tujuan hidupnya.

Maka, beliau memiliki keupayaan membimbing rakyat pimpinannya menuju matlamat, jalan yang benar dan diredai Allah. Kisah perjuangan dan kepemimpinan Umar juga memberi isyarat penting bahawa bukan pemimpin saja yang menggalas tanggungjawab dan amanah berat, malah rakyat juga memiliki tanggungjawab yang sama.

Ini kerana, di tangan merekalah letaknya kuasa memilih pemimpin. Jika yang menjadi pilihan ialah pemimpin yang benar, bertanggungjawab dan bertekad mahu memimpin mereka kepada kebenaran seperti ditegaskan Khalifah Umar, maka mereka akan dibimbing dan dipimpin ke arah kebenaran.

Jika yang sebaliknya dipilih oleh mereka, maka kesan dan mudarat yang akan ditanggung mereka. Benarlah kata-kata Khalifah Umar bahawa kekuasaan adalah suatu bentuk ujian, sama ada bagi pemimpin, mahupun rakyat dipimpin, "Tuan-tuan sekalian, aku ini hanyalah salah seorang daripada kamu. Jika tidak disebabkan cadangan Khalifah Rasulullah yang lalu, yang tidak sepatutnya ditolak, maka aku tidak akan menerima jawatan ini. Sesungguhnya Allah menguji kamu dengan pelantikanku, seperti Dia mengujiku dengan memimpin kamu."

Penulis ialah Pegawai Penyelidik di Institut Kefahaman Islam Malaysia

Monday, February 25, 2008

Tajdid Iman: Muslim beriman mesti akur ketentuan nasib

Bersama Dr Juanda Jaya
juanda@kutpm.edu.my

SEORANG kanak-kanak akan meminta apa saja yang disukai dan ibu yang penyayang pula menuruti saja kemahuan anak. Jiwa anak yang lemah, serba tidak mengetahui baik dan buruk sentiasa menuntut diberi kepuasan demi mententeramkan hawa nafsunya.

Cuba kaitkan kejadian ibu dan anak dengan keadaan diri kita sebagai hamba kepada Allah SWT.

Kadang-kadang kita menghembus nafas panjang sambil mengeluh dan menyeksa diri jika apa kemahuan hati tidak diperoleh. Seperti anak kecil yang merajuk tidak dibelikan gula-gula. Dia tidak tahu makanan itu boleh merosakkan gigi.

Begitu pula halnya dengan hamba Allah SWT. Ilmu yang ada pada akal mereka tidak sampai kepada ketinggian ilmu Allah SWT. Apa yang hawa nafsu mereka kata sedap sebenarnya tidak menurut ilmu Allah SWT.

Orang beriman hendaklah akur dengan kehendak Allah SWT seraya berkata: "Kami mendengar dan kami taat". Sebuah realisasi rasa keimanan yang menggugurkan segala pilihan manusia.

Mengapa kemahuan kita sering bertentangan dengan kehendak Allah SWT? Pertama, ia menunjukkan ilmu manusia tidak mungkin menceroboh batas ilmu Allah Taala. Setiap malam kita berdoa meminta hajat yang diidamkan tetapi tidak pernah hajat itu menjadi kenyataan.

Di sebalik pilihan Allah SWT itu, ada hikmah yang tidak mungkin dicapai akal. Mungkin keadaan seperti sekarang ini lebih baik untuk agama dan akhirat kita. Jika semua yang kita mahu dapat dimiliki, boleh jadi kita akan mengalami kelalaian, takbur dan lupa diri sehingga memudaratkan agama kita.

Teori tokoh sains Islam terkenal, Profesor Harun Yahya mengenai sains yang menguatkan akidah menyatakan: "Tidak ada sekecil apapun peristiwa dalam hidup ini terjadi secara kebetulan. Hidup dan nasib nampak kelihatan tidak teratur, misteri, hebat dan sebaliknya, namun setiap elemennya adalah sistem keteraturan daripada sebuah reka bentuk menyeluruh yang sempurna. Ini adalah fakta penciptaan yang tidak dapat disangkal."

Semua yang terjadi pada diri kita adalah baik belaka kerana ia pilihan Allah SWT yang lebih mengetahui yang terbaik untuk kita jalani. Siapakah kita yang mahu mempersoalkan kenapa Engkau tidak memakbulkan doaku wahai Tuhan?

Hal inilah yang membuatkan Nabi Ayub hanya memilih pendekatan bertasbih memuji Allah SWT ketika ditimpa musibah sakit tenat dan malu meminta kurniaan kesembuhan kerana Baginda tidak pasti, adakah kesembuhan itu baik untuk agamanya atau sebaliknya.

Al-Quran menceritakan hal ini dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika dia menyeru Tuhannya: "(Ya Tuhanku), Sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan yang Maha Penyayang di antara semua penyayang." (Surah al-Anbiya, ayat 83)

Sebagai seorang Nabi mengapa Baginda tidak terus meminta: Ya Allah SWT, sembuhkanlah aku? Kerana keyakinannya kepada pilihan Allah SWT, menyebabkan Baginda tidak berani memilih untuk dirinya sendiri.

Sebab kedua kenapa permintaan kita bertentangan dengan kehendak Allah SWT ialah kerana Allah SWT akan memakbulkan segala hajat di akhirat, kerana mungkin dunia tidak sesuai untuk mewujudkan apa yang menjadi keinginan kita.

Allah Taala berjanji dalam al-Quran bagi sesiapa yang memilih akhirat dengan firman-Nya yang bermaksud: "Barang siapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambahkan keuntungan itu baginya dan barang siapa yang menghendaki keuntungan di dunia, Kami berikan kepadanya sebahagian daripada keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagian pun di akhirat kelak." (Surah al-Syu'arak, ayat 20)

Betapa susahnya menaruh sangka baik kepada Allah. Biarlah musibah itu menjadi kafarah atas dosa kita. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang muslim menderita keletihan, penyakit, kesusahan hati, hingga duri tajam yang menusuk dan mengganggunya, melainkan semua itu akan menjadi penebus bagi dosa-dosanya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Namun ramai manusia yang beranggapan musibah itu kerana kutukan Allah atau sebab 'tulah' kejahatannya kepada orang lain. Bukankah lebih baik kita menerima musibah di dunia daripada menderita seksaan akibat musibah di akhirat?

Sabda Baginda yang bermaksud: "Sangat mengagumkan keadaan seorang mukmin, segala sesuatu untuk dirinya adalah baik. Tidak mungkin terjadi sedemikian melainkan ke atas orang mukmin saja. Jika mendapat nikmat dia bersyukur, jika menderita kesusahan dia bersabar." (Hadis riwayat Imam Muslim).

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my

Pemimpin perlu utamakan kebajikan rakyat

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

KEPEMIMPINAN adalah satu bentuk amanah yang cukup berat, sarat dengan tanggungjawab dan kewajipan. Ini selaras dengan kewajipan sebagai khalifah di muka bumi ini yang Allah SWT kurniakan kepada manusia dengan misi membangun dan memakmurkan bumi.

Kepemimpinan itu bukanlah satu keistimewaan, sebaliknya adalah tanggung jawab cukup getir. Ia bukan satu kelebihan atau kemegahan tetapi satu pengorbanan. Ia juga bukannya kesenangan dan kemewahan tetapi kerja keras dan usaha bersungguh-sungguh.

Bahkan ia bukan tindakan secara semberono dan membuta tuli tetapi tindakan penuh strategi dan perancangan. Pendek kata, kepemimpinan adalah wadah pembangunan, kemajuan, kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Perlu diinsafi, Islam menganggap setiap manusia sama ada lelaki mahupun perempuan secara umumnya adalah pemimpin. Paling minimum, setiap orang adalah pemimpin terhadap dirinya sendiri dan yang paling tinggi ialah tanggungjawab pemimpin terhadap rakyat bawahannya.

Dalam hal ini, Baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya." (Hadis riwayat Bukhari)

Jelas daripada maksud hadis itu bahawa tanggungjawab dan kewajipan terpikul di bahu setiap Muslim berbeza antara satu sama lain bergantung kepada kedudukan dan kuasa kepemimpinan yang diamanahkan kepadanya.

Namun, tanggungjawab terbesar yang akan dipertanggungjawabkan kelak pada hari akhirat ialah tanggungjawab pemimpin terhadap rakyatnya. Tidak hairanlah Rasulullah SAW pernah memberi peringatan kepada setiap pemimpin mengenai tanggungjawab pemimpin yang sebenarnya.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Pemimpin yang menguasai urusan kaum Muslimin tetapi tidak bersungguh-sungguh memerhatikan kepentingan kaumnya, tidak nasihat menasihati demi kebaikan dan kesejahteraan mereka, kelak dia tidak dapat masuk syurga bersama-sama mereka." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikianlah betapa besar dan beratnya tanggungjawab seorang pemimpin yang diamanahkan Allah SWT kepadanya kuasa kepemimpinan untuk menerajui rakyatnya ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan abadi di dunia dan akhirat.

Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang sentiasa ingin berkhidmat dan berkorban demi kebahagiaan rakyat yang dipimpinnya dan tidak sekali-kali mengutamakan kepentingan dirinya, keluarganya mahu pun kerabat terdekatnya.

Lebih daripada itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Pemimpin sesuatu bangsa pada hakikatnya adalah pelayan bagi bangsa itu." (Hadis riwayat Abu Na'im dan Ibnu Babuwaih)

Sehubungan itu, memadailah Rasulullah SAW dan Khulafa' al-Rasyidin sebagai contoh ikutan terbaik dalam konteks kepemimpinan unggul dalam lipatan sejarah Islam. Baginda Rasulullah SAW sendiri adalah pemimpin yang amat mengambil berat kebajikan rakyatnya dan Baginda sanggup berkorban demi kesejahteraan mereka.

Pernah satu hari, Saidatina Aisyah kebingungan untuk menyediakan hidangan makanan Baginda. Di dapur tidak ada bahan yang boleh dimasak kecuali segenggam gandum. Akhirnya, gandum yang sedikit itulah yang dimasaknya untuk hidangan bersama Rasulullah SAW.

Tatkala Rasulullah SAW hendak makan, tiba-tiba daripada depan pintu rumahnya datang seorang mengucapkan salam, iaitu seorang lelaki yang kurus kering tubuhnya dan pakaiannya nampak lusuh. Dia pun berkata: "Ya Rasulullah! Saya ini orang miskin. Kami sekeluarga dalam beberapa hari ini menahan lapar kerana kami tidak memiliki apa-apa lagi untuk dimakan. Oleh kerana itu, tolonglah kami."

Rasulullah SAW hanya terdiam dan Baginda tidak tahu bagaimana dia harus menjawab kerana Baginda sendiri pun tidak memiliki apa-apa. Akhirnya Baginda berkata: "Wahai saudaraku! Aku pun hari ini tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan kecuali sekeping roti bakar. Namun, kalau kamu mahu menerimanya, dengan senang hati akan aku berikan kepadamu.

Saidatina Aisyah tidak senang hati kerana tidak ada makanan lagi yang dapat mereka berdua makan pada hari itu. Lalu Aisyah berkata: "Mengapa Rasulullah lebih mementingkan orang lain daripada diri sendiri?"

Baginda menjawab: "Wahai isteriku! Aku adalah pemimpin rakyatku. Kewajipanku adalah memberikan layanan dan perkhidmatan terbaik kepada mereka. Ingatlah, bagaimana aku harus menjawab apabila kelak Allah SWT bertanya kepadaku: Wahai Muhammad! Mana tanggungjawabmu sebagai pemimpin? Mengapa rakyatmu kelaparan sedangkan perutmu selalu kenyang?"

Begitulah contoh teladan ditunjukkan Rasulullah SAW sebagai pemimpin. Seorang pemimpin berkewajipan memberi layanan dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di bawah pimpinannya. Pendek kata, kebahagiaan dan kesengsaraan rakyat adalah cermin kejayaan atau kegagalan pemimpin.

Keadaan ini amat berbeza dengan realiti masyarakat dewasa ini yang rata-rata tertipu dengan kekuasaan sehingga mereka sanggup berusaha mendapatkannya dan meraihnya dengan berbagai taktik serta cara biarpun dengan saluran yang kotor dan terlarang.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya kalian semua berlumba-lumba untuk mendapatkan kekuasaan padahal pada hari akhirat nanti akan menjadi penyesalan kamu sekalian. Berbahagialah orang yang tidak mengejarnya dan celakalah orang yang berlumba-lumba mendapatkannya." (Hadis riwayat Jama'ah)

Sabda Baginda lagi yang bermaksud: "Apabila amanah disia-siakan, maka tunggulah saat kehancuran. Seorang sahabat bertanya: Apakah yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu, wahai Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab: Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang tidak berkelayakan, maka tunggulah saat kehancurannya." (Hadis riwayat Bukhari)

Kepemimpinan dalam Islam bukan sekadar kontrak perjanjian yang termeterai antara seorang pemimpin dengan masyarakat pimpinannya, tetapi juga satu ikatan perjanjian yang suci antaranya dengan Allah SWT dalam menjunjung titah dan perintah Ilahi serta menjauhi segala larangan-Nya. Pemimpin yang sebenar akan berkhidmat kerana Allah SWT dan akan berjuang menegakkan keadilan Islam demi kesejahteraan hidup rakyatnya.

Profesional agama perkukuh kerajaan

Oleh Hasliza Hassan

Calon lulusan pendidikan Islam dalam BN bawa perspektif baru

MELETAK calon yang memiliki latar belakang pendidikan agama untuk bertanding pada pilihan raya umum kali ini tidak sepatutnya dilihat sebagai tindakan mempolitikkan agama kerana membicarakan perihal agama dalam merencana pembangunan bangsa serta negara adalah siasah politik.

Oleh itu, ada pemimpin daripada aliran agama menjadi keperluan untuk memastikan setiap matlamat program pembangunan prasarana serta modal insan didasari oleh cita-cita untuk mencapai kejayaan bukan saja di dunia, malah di akhirat.

Muka baru yang diperkenalkan Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman di Pahang, Kapten (B) Mohd Johari Husin, berkata kehadiran calon berpendidikan agama dilihat dapat memantapkan lagi usaha membangunkan negara.

Beliau berkata, dengan ada pemimpin yang memiliki ilmu agama memperlihatkan bahawa sumbangan mereka diperlukan untuk menjadikan barisan kepemimpinan satu pasukan lengkap yang dianggotai calon daripada pelbagai latar belakang.

"Tambahan dengan suasana masyarakat sekarang yang melihat kepentingan agama dalam semua perkara dilakukan, maka calon pemimpin daripada aliran agama memberi perspektif baru untuk membentuk arah masa depan kepada pengikut mereka.

"Sebagai calon baru, saya tidak menafikan ketrampilan sebagai seorang berlatar belakang pendidikan agama itu bonus untuk mendekati masyarakat seterusnya mendapatkan kepercayaan mereka," katanya yang memiliki ijazah sarjana muda Perundangan Syariah dari Universiti Jordan.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Staf Agama Jabatan Arah Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kementerian Pertahanan selama lapan tahun, lapan bulan dan lapan hari sebelum bersara melahirkan kesediaan untuk menyambung khidmat kepada masyarakat sebagai wakil rakyat.

Katanya, dengan disiplin ilmu dan disiplin menjaga masa yang diraih bersama pengalaman ketika bertugas sebagai pegawai agama Kor Agama ATM, beliau yakin dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat.

Mohd Johari berkata, beliau akan meletakkan jiwa bangsa Melayu dan mengangkasakan kualiti pemikiran sebagai landasan berkempen kerana menjadi hasratnya untuk membangunkan masyarakat yang berilmu serta berketrampilan.

Hakikatnya, kemenangan calon dengan latar belakang agama pada pilihan raya umum sama ada yang mewakili BN atau pembangkang menunjukkan masyarakat memandang tinggi serta memberi kepercayaan terhadap kemampuan mereka untuk memimpin.

Pemilihan mereka sebagai calon juga membuktikan golongan aliran agama tidak dipinggirkan untuk menyertai barisan kepemimpinan negara sekali gus mematahkan tanggapan bahawa orang agama tidak layak berpolitik atau tidak boleh menjadi pemimpin.

Pada pilihan raya kali ini, ramai muka baru memiliki latar belakang agama yang diketengahkan sebagai calon. Walaupun ketokohan mereka masih belum terbukti ujian pertama sudah dilepasi dengan jayanya apabila diberi mandat untuk diletak sebagai calon.

Malah, pembabitan dalam bidang profesional menguatkan lagi keyakinan akan kebolehan mereka seperti calon Parlimen Tumpat iaitu Penyelaras Program Institut Kewangan dan Perbankan Islam Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Asraf Wajdi Dusuki dan calon Parlimen Marang, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir yang memiliki kelulusan dalam bidang pengajian Islam dari Universiti al-Azhar serta Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Edinburgh, United Kingdom.

Calon lain, Mohd Afandi Yusuff yang berkelulusan bidang Syariah dan Pengajian Islam dari Universiti Jordan (Parlimen Rantau Panjang) dan Mohd Nizar Zakaria, graduan bidang pendidikan daripada Institut Agama Islam Negeri Padang, Indonesia (Parlimen Parit) dan peguam syarie, Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir, graduan Kulliyah Syariah dan Undang-Undang Universiti Al-Azhar (Titiwangsa) dan bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Pirdaus Ismail yang dicalonkan semula di Permatang Pauh.

Barisan calon muka baru ini diharap akan mengikut jejak kejayaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin; bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Che Min Che Ahmad dan bekas Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Perak, Najmuddin Elyas Al-Hafiz yang menang pada pilihan raya 2004.

Parti pembangkang Pas memang sejak dulu dikaitkan dengan Islam juga mempunyai barisan calon memiliki latar belakang pendidikan agama walaupun tidak semuanya. Selain Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bekas Imam Masjid Negara, Taib Azamuddin Mohd.

Calon lain, Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan (Maran) lulusan jurusan Usuluddin Universiti Al-Azhar; Dr Mujahid Yusuf Rawa (Parit Buntar) yang juga lulusan Universiti al-Azhar dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Jengka) yang memiliki kelulusan dalam bidang Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Nasrudin berkata, meletakkan calon berpendidikan agama pada pilihan raya umum adalah pengalaman biasa dalam perjalanan politik negara dan muka baru yang ditampilkan memperlihatkan suasana kesegaran berpolitik di kalangan pengundi.

Katanya, tindakan mengetengahkan calon muka baru adalah ekoran muka lama yang mungkin mempunyai masalah di peringkat parti dan masyarakat dan perkara itu biasa bagi mana-mana parti politik.

"Suasana masyarakat sekarang perlu pada perubahan ke arah yang lebih baik dan tentunya pemimpin daripada golongan aliran agama menjadi tarikan kepada masyarakat yang menaruh harapan tinggi kepada mereka untuk memikul tanggungjawab dan amanah," katanya.

Bagaimanapun katanya, langkah BN menampilkan ramai muka baru yang berpendidikan agama bukan satu ancaman kepada Pas kerana masyarakat ingin melihat Islam akan menilai secara tulus dan adil siapa yang berniat ikhlas.

Malah katanya, pertembungan calon aliran agama daripada BN dan pembangkang pada pilihan raya umum adalah kesan positif bahawa masyarakat sedar Islam boleh diterima dalam politik dan Islam adalah agama praktikal.

Sunday, February 24, 2008

Ulul Albab: Konsep kesyumulan Islam terserlah di Malaysia

Oleh Abdul Rahman Haqqi

Pengiktirafan Sheikhul Al-Azhar bukti dakwaan pemerintahan kerajaan ketepi al-Quran, Sunnah tak benar Rasulullah

'I'LAM' atau 'ketahuilah' adalah istilah fenomental yang banyak digunakan al-Quran dan diikuti oleh kitab ilmu keIslaman secara keseluruhannya daripada ilmu akidah hingga fikah. Ia digunakan antara lain untuk mengingatkan, menyedarkan, menegaskan, menekankan dan menguatkan sesuatu perkara. Dan ia adalah inti daripada sesuatu perbincangan yang dibahas.

Dalam al-Quran, ia sama jamak atau tunggal, ada disebut sebanyak 29 kali. Sebagai contoh, ayat 19 Surah Muhammad maksudnya: "Oleh itu, maka tetaplah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah." Ayat ini datang sesudah perbincangan mengenai beberapa masalah akidah yang berkaitan dengan 'af'alullah' atau perbuatan Allah.

Ayat 20 Surah al-Hadid, contoh lain, menyatakan maksudnya: "Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang ditentukan) selepas itu engkau melihatnya menjadi kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terperdaya."

Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan dalam nota 1729 "Selepas diterangkan keadaan orang yang beriman dengan orang kafir di akhirat, maka dalam ayat ini diterangkan pula keadaan kehidupan dunia yang tidak patut dijadikan tujuan utama."

Dalam kitab fikah, kita juga banyak menjumpai istilah 'i'lam' yang berasal dari kata 'a-li-ma' dengan pengertian 'pengetahuan' dalam perbahasannya. 'Ketahuilah bahawa ia adalah begitu' dan 'ketahuilah bahawa itu adalah begini' adalah fenomena khas yang menghiasi kitab terbabit.

Selama empat hari Malaysia menjadi tuan rumah Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar 2008 bermula akhir minggu lalu. Multaqa yang menghimpun alumni berjaya Al-Azhar sedunia itu diadakan untuk julung kalinya di luar Mesir sebagai tempat bertapaknya Universiti Al-Azhar. Ia adalah suatu pengiktirafan yang luar biasa dari institusi pengajian tinggi tertua di dunia terhadap Malaysia.

Pengiktirafan itu tidak datang begitu saja tanpa adanya langkah sebelumnya dan kenyataan yang dirancang, ditunjukkan, dan dibuktikan oleh alumni Al-Azhar Malaysia. Ia adalah perjalanan sejarah tersendiri lulusan Al-Azhar di Malaysia sejak awal abad ke-20. Andainya tidak ada Al-Azhar dan alumninya yang bertaburan di seluruh negara, entahlah, akankah pengajian keIslaman dan pelaksanaannya berdiri megah dan bersinar di Malaysia seperti hari ini.

Al-Azhar dan alumninya mempunyai kedudukan tersendiri di Malaysia sama ada pada peringkat kerajaan, mahupun rakyat. Alumni Al-Azhar berada di mana-mana. Mereka berada di jabatan kerajaan dan dekat dengan masyarakat. Sheikhul Al-Azhar, Dr Sheikh Muhammad Sayyid Tantawi dalam ucaptama perasmian multaqa menyatakan bahawa lulusan Al-Azhar yang berasal dari Malaysia patut berbangga kerana mereka adalah antara insan terpilih yang dapat menyumbang kepada pentadbiran negara.

Beliau juga memuji Malaysia kerana kemajuan dalam pelbagai aspek terutama pentadbiran, ekonomi dan pendidikan yang menjadikannya contoh terbaik di kalangan negara Islam. Beliau berkata: "Malaysia begitu maju dalam banyak aspek dan sememangnya patut menjadi contoh kepada negara Islam. Pemerintahnya sentiasa berpegang kepada ajaran kitab suci dan sunnah Rasulullah untuk memastikan perpaduan, keamanan dan kemakmuran pelbagai kaum."

Multaqa yang penuh berkat kerana menghimpunkan ulama sedunia itu disempurnakan perasmiannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ia bertemakan 'Pendekatan Islam Hadhari Antara Warisan dan Cabaran Semasa' dan selain mengeratkan hubungan di kalangan alumni Al-Azhar, perjumpaan itu juga bagi membolehkan mereka berbincang serta mendapat pandangan berhubung isu semasa membabitkan umat Islam dalam usaha membina tamadun melihat kepada warisan Islam serta cabaran semasa.

Pendekatan sederhana Malaysia dalam menerapkan nilai Islam pada seluruh aspek kehidupan bernegara adalah satu kelebihan yang dilihat oleh Sheikhul Azhar sehingga beliau boleh memberikan pengiktirafan. Pengiktirafan yang walaupun dalam bahasa yang sederhana, tetapi mempunyai makna yang luas.

Sejarah Islam dan umatnya di Malaysia bukanlah kisah yang berlaku sehari dua lalu. Ia adalah kisah berabad lamanya yang menyaksikan Islam dan umatnya mengalami pelbagai kenyataan hidup.

Muhammad Taufik Arridzo dalam Kitab Fiqh Melayu di Nusantara menulis: 'Hubungan antara negeri Arab dengan Nusantara wujud sejak zaman sebelum munculnya Islam. Pada waktu itu alam Melayu menjadi tempat persinggahan kapal pedagang Arab yang belayar ke China sejak abad ke-5. Berdasarkan perhubungan ini, Arnold berpendapat Islam dibawa oleh pendakwah Islam ke alam Melayu sejak abad ke-7 (Ismail Hamid 1983: 10). Kenyataan ini bertepatan dengan resolusi seminar 'Sejarah Masuknya Islam ke Indonesia' yang diadakan pada 1963 di Medan, dan 1978 di Aceh (Mahayudin Hj Yahaya 1994: 1). Bagaimanapun, ia dikatakan mula berkembang ke seluruh alam Melayu pada kurun ke-13 (Hamka, 1997: 680).

Kedatangan Islam ke alam Melayu selain mengislamkan penduduknya juga mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa Islam (Syed Muhammad Naguib al-Attas 1984:36). Sehingga akhirnya Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama Islam di seluruh alam Melayu. Menurut Syed Muhammad Naguib al-Attas selain daripada Islam yang dianut, orang Melayu juga menerima pakai abjad Arab dan tulisan Arab menjadi kepunyaan orang Melayu dan dikenali sebagai tulisan Jawi. Kemudian, sebahagian huruf Arab disesuaikan dengan bunyi yang lazim pada bunyi lidah Melayu. Selain itu, Islam juga memperkaya perbendaharaan kata Bahasa Melayu dengan istilah dan perkataan Arab dan Parsi, sehingga selewat-lewatnya abad ke-16, Bahasa Melayu mencapai peringkat bahasa Sastera dan agama Islam (Syed Muhammad Naguib al-Attas 1984: 41)."

Kedatangan Islam ke Tanah Melayu, seperti dalam Negara Kita terbitan Jabatan Percetakan Negara 1982, 'mengukuhkan lagi kedudukan Empayar Kesultanan Melaka dan sebahagian daripada kejayaan ini kerana undang-undang Islam dijadikan asas pemerintahan.

Ia bermakna bahawa nilai Islam dalam pentadbiran negara dan kehidupan masyarakat sudah lama wujud dan diamalkan oleh Malaysia sejak zaman berzaman. Ia bukan setakat baru diamalkan dalam Perlembagaan 1957 atau Persekutuan Tanah Melayu sebelumnya.

'Kedatangan dan penghijrahan bangsa asing,' menurut Negara Kita, berlaku secara terus menerus dan menjadi semakin besar jumlahnya apabila kegiatan melombong bijih dan penanaman getah secara ladang dijalankan di negara ini. Aktiviti ini membawa kemasukan orang Cina dan India ke Malaysia secara besar-besaran. Ia berbeza dengan kedatangan peringkat pertama pada abad ke-14 iaitu hanya untuk berdagang dan bukan menetap."

Oleh itu, perjalanan Islam dan umatnya di Malaysia adalah sebenarnya perjalanan Malaysia itu sendiri. Dan pada akhirnya hari ini kita mendapati bahawa Malaysia adalah negara Islam contoh yang mengamalkan dasar Islam seperti diperakui Sheikhul Azhar.

Ketulusan dan ketelusan Malaysia dalam menerapkan nilai Islam sudah bermula sejak sekolah rendah lagi dengan menerapkan konsep pemahaman al-Quran secara menyeluruh menerusi J-Qaf, seperti dikatakan oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin dalam multaqa.

Dalam sektor ekonomi, Malaysia mempunyai sistem kewangan dan perbankan Islam yang paling menonjol sehingga menjadi satu daripada mazhab dalam pemikirannya.

Dalam politik, Malaysia juga mengamalkan konsep demokrasi Islam dengan istilah musyawarah permuafakatan di mana semua keputusan adalah berdasarkan kepada persefahaman semua pihak. Seseorang pemerintah Islam memegang tampuk pemerintahan berasaskan pemilihan umat Islam terhadapnya. Dalam menggunakan kuasa pemerintahan, dia bukan pemilik kuasa itu, tetapi sekadar mewakili rakyat. Bagaimanapun, rakyat sendiri juga bukan sumber kuasa yang sebenar. Mereka memperoleh kuasa iaitu daripada Allah berasaskan sistem 'khilafah'. (Dr Sobhi 'Abduh (1985), al-Hakim wa Usul al-Ahkam, 66)

Ada empat asas yang menjadi tonggak kedaulatan politik dalam negara Islam iaitu tugas membuat keputusan politik dan melaksanakannya adalah hak seluruh ummah dan tanggungjawab bersama di kalangan umat Islam; segala keputusan politik dan pelaksanaannya perlu tertakluk kepada prinsip syura (musyawarah); rujukan politik dalam semua hal tertakluk pada kepemimpinan ummah yang mewakili suara majoriti; dan rujukan undang-undang tertakluk kepada hukum syarak yang dianalisis daripada sumbernya dan diperakui oleh kalangan ilmuan fikah. (Lihat L Safi, al-'Aqidah wa al-Siyasah, 142-47)

Keempat-empat asas ini dilaksanakan Malaysia sejak kemerdekaannya 51 tahun lalu. Dan ia mencerminkan pelaksanaan nilai Islam dalam pentadbiran negara yang membawa Malaysia ke tahap kemakmuran dan keamanan yang meluas di kalangan masyarakat pada hari ini sehingga Sheikhul Azhar pun mengiktirafnya. Ketahuilah!

Saturday, February 23, 2008

Penyertaan ulama tempatan di multaqa kena lebih menyerlah

Oleh Hasliza Hassan



MULTAQA Sedunia Alumni Al-Azhar 2008 di Kuala Lumpur berakhir Isnin lalu menjadi landasan perbincangan serta percambahan idea daripada lulusan Universiti Al-Azhar Mesir yang terdiri daripada ulama dan cendikiawan.

Perhimpunan tiga hari lulusan Al-Azhar itu dilihat mencapai kejayaan dalam membangkitkan pelbagai isu membabitkan kepentingan umat Islam secara menyeluruh untuk mencari kata sepakat merencana agenda berkesan untuk pembangunan umat Islam seluruh dunia.

Multaqa bertemakan ‘Pendekatan Islam Hadhari di Antara Warisan dan Cabaran Semasa’, selain mengetengahkan pendekatan Islam Hadahri di Malaysia turut membincangkan mengenai masalah kemunduran umat Islam, sebab musabab serta kaedah terbaik memandu umat Islam ke arah kecemerlangan.

Bagi menghadapi cabaran masa kini, umat Islam perlu memberi penekanan kepada usaha menimba ilmu pengetahuan yang berkualiti untuk membina ketamadunan Islam tanpa meminggirkan tamadun dulu yang sepatutnya dijadikan panduan untuk terus maju ke depan.

Pendakwah dari Sarawak, Dr Juanda Jaya berharap apa dibincangkan pada multaqa kali ini terutama isu berhubung perkara berlaku di dunia antarabangsa tidak akan tinggal dalam alam retorik saja.

Sebaliknya, semua pihak perlu mencari penyelesaian terbaik dengan menganalisis keadaan semasa bagi memastikan wajah Islam laku di seluruh dunia dan berjaya membuktikan bahawa Islam adalah penyelesaian kepada masalah.

“Bagi saya, ia satu perjumpaan yang amat bermanfaat kerana kebanyakan pembentang kertas kerja memang terbabit secara langsung dengan keadaan di seluruh dunia Islam jadi mereka boleh memandu ke arah mencari penyelesaian terbaik kepada masalah yang melanda umat Islam sejagat.

“Sepatutnya penyertaan ulama tempatan lebih menyerlah kerana isu dibincangkan adalah isu antarabangsa yang turut memberi impak besar kepada isu setempat iaitu apa yang berlaku di Malaysia,” katanya.

Bekas Ketua Penolong Mufti Sarawak yang juga graduan lulusan Universiti Al-Azhar dalam jurusan Undang-Undang Islam itu berkata, masih ada lopongan yang boleh diperbaiki terutama dari segi isi kandungan kertas kerja supaya lebih fokus kepada isu semasa.

Katanya, bukan idea lama tidak baik tetapi perlu diperbaiki dengan memberi suntikan baru supaya apa juga tindakan akan dilaksanakan nanti benar-benar menepati kehendak serta keperluan semasa umat Islam.

Contohnya, pembentangan kertas kerja mengenai kesenian Islam membangkitkan soal hasil seni yang ada di Sepanyol dan Perancis sebenarnya adalah milik orang Islam tetapi disebabkan kaedah pemasaran menjadikan ia kelihatan seolah kesenian itu milik Barat.

Disebabkan itu, katanya, seni yang dihasilkan daripada roh Islam sudah tidak nampak walaupun hakikatnya ia berasal daripada kreativiti umat Islam.

Juanda berkata, alumni Al-Azhar terutama di Malaysia juga perlu bersikap proaktif supaya usaha lepasan Al-Azhar dapat digembleng bagi menghasilkan satu pemikiran yang baik dan dapat dikemukakan kepada kepemimpinan negara.

Beliau berkata, dengan cara itu pengaruh mereka akan lebih kuat kerana gabungan suara lebih ramai akan memberi impak besar berbanding suara individu tertentu dan lebih penting, kesannya dikongsi di seluruh dunia bukan saja di Malaysia.

“Perkara itu turut dibangkitkan wakil dari Tunisia yang mencadangkan supaya lepasan Al-Azhar menghantar sumbangan mereka kepada pihak universiti dan memberi cadangan pembaharuan yang perlu dilakukan di sana.

“Malangnya, agak menyedihkan kerana penyertaan daripada alumni tempatan kurang memberangsangkan. Sikap ini wajar diubah kerana lulusan Al-Azhar perlu sedar mereka memikul amanah menyebar risalah Al-Azhar di seluruh dunia,” katanya.

Multaqa Sedunia Alumni al-Azhar 2008 yang kali pertama diadakan di luar Mesir berlangsung bertujuan menyatupadukan graduan universiti al-Azhar yang berjaya pada peringkat antarabangsa di Kuala Lumpur.

Selain mengeratkan hubungan, perjumpaan itu bagi membolehkan mereka berbincang serta mendapat pandangan berhubung isu semasa membabitkan umat Islam dalam usaha membina tamadun melihat kepada warisan Islam serta cabaran semasa.

Pensyarah al-Quran dan al-Qiraat di Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd Nazri Abdullah, berkata multaqa yang diadakan selama empat hari bermula 15 Februari berjaya menghimpunkan graduan keluaran Universiti Al-Azhar.

Beliau berkata, ia membuktikan pengaruh Al-Azhar masih kuat dan kepercayaan terhadap sistem pendidikan di sana terus menebal berdasarkan jumlah pelajar yang melanjutkan pengajian di universiti itu yang sentiasa bertambah dari tahun ke tahun.

“Lulusan Al-Azhar sentiasa dipandang tinggi dan dari aspek pemilihan kakitangan, mereka lebih diutamakan berbanding graduan lulusan Jordan atau Indonesia. Malah, masyarakat berbangga dengan alumni Al-Azhar, umpamanya jika bujang memang hendak dijadikan menantu.

“Tetapi jika ada pendapat mengatakan barisan lulusan Al-Azhar yang baru gagal mempengaruhi masyarakat, ia mungkin disebabkan mereka kurang menonjol atau diketengahkan berbanding dengan graduan dulu yang terserlah ketokohan mereka yang terbabit dalam politik,” katanya.

Mohd Nazri berkata, sejajar dengan perkembangan hari ini, menjadi harapan beliau supaya Al-Azhar mengkaji semula peranan mereka melahirkan ulama dengan memberi nilai tambah kepada kurikulum pendidikan disediakan untuk pelajarnya.

Katanya, Al-Azhar sudah mempunyai asas betul serta kukuh dan hanya perlu menambah kurikulum dirasakan sesuai mengikut keperluan dunia hari ini seperti mencari ilmu yang dapat menangani cabaran globalisasi.

“Jika dulu ulama menyebarkan maklumat dalam bentuk menghasilkan buku tetapi hari ini mungkin perlu kepada pendekatan lain seperti menyebarkan risalah melalui internet. Maknanya, perlu ada ilmu baru dengan pendekatan pengajaran yang baru.

“Bukan kata ilmu lama tidak sesuai lagi, ilmu yang ada dikekalkan cuma diberi nilai tambah sesuai perkembangan dunia hari ini. Perkara ini patut dibincangkan Al-Azhar supaya ulama yang dilahirkan nanti adalah mereka yang benar-benar mampu menangani cabaran semasa,” katanya.