Saturday, March 1, 2008

Politik didasari nilai Islam wujud kepemimpinan adil, unggul

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

POLITIK antara bidang kehidupan manusia yang turut diberi perhatian Islam supaya umat manusia dapat menjadikan saluran politik sebagai wadah ke arah keharmonian dan kesejahteraan hidup umat sejagat.

Islam bukan sekadar urusan ritual dan individu yang berkaitan hubungan dengan Allah semata-mata, malah ia turut mencakupi hubungan sesama manusia dalam pelbagai lapangan hidup seperti ekonomi, politik, sosial dan sebagainya.

Pendapat menyatakan politik itu bukan daripada Islam adalah tidak benar. Begitu juga salah pandangan yang mengatakan agama hanyalah urusan ritual atau ibadat saja, manakala politik pula adalah urusan kenegaraan dan keduniaan.

Kenyataan di atas jelas berlaku pemisahan antara Islam dan politik dan inilah dianggap ulama Islam sebagai sekularisme.

Sehubungan itu, Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya Islam dan Sekularisme menegaskan bahawa sekularisme adalah suatu fahaman bersifat antiagama dan anti Tuhan. Dalam sejarah perjalanan sejarah moden dunia, fahaman sekularisme tajaan Barat moden sudah berjaya mensekularisasikan seluruh pelosok dunia, termasuk dunia Islam.

Ringkasnya, proses sekularisasi itu sebenarnya tidak lain daripada proses pembebasan manusia daripada kongkongan agama dan kawalan metafizik.

Perlu ditegaskan, peradaban Barat moden yang melanda umat Islam itu membawa semangat, fahaman, idea dan pandangan dunia yang amat tidak serasi dengan pandangan dunia serta matlamat peradaban Islam. Peradaban Barat moden mengetepikan Tuhan dan memberikan penghormatan tinggi kepada kebendaan.

Dalam kata lain, peradaban Barat moden adalah peradaban yang lebih mementingkan unsur individualistik dalam gaya hidup kerana ia juga bertunjang fahaman materialistik iaitu suatu fahaman dan sikap hidup yang memberikan tumpuan kepada usaha mencari kenikmatan kebendaan, sikap bermati-matian dalam kebendaan, sikap percaya kepada kebendaan saja dan menolak segala nilai luhur lain.

Di samping itu, peradaban Barat moden juga di dominasi fahaman sekular. Fahaman itu lazimnya merujuk kepada satu sikap kecenderungan menganggap sepi terhadap Tuhan dan semua persoalan serta kegiatan keagamaan disebabkan kesibukan hal duniawi hingga tidak sempat berfikir mengenai hal ukhrawi.

Selanjutnya, pengaruh sekularisme ini menjalar dalam aspek politik umat Islam sehingga tercipta satu gagasan utama dalam perjuangan politik masa kini iaitu kekuasaan adalah segala-galanya. Ini bermakna untuk mendapatkan kekuasaan, apa juga cara boleh dilakukan hatta dengan tindakan tidak berperikemanusiaan yang bercanggah dengan ajaran Islam sekalipun.

Gagasan itu akhirnya menghasilkan ungkapan masyhur dalam kehidupan umat Islam iaitu ‘tujuan menghalalkan cara’. Prinsip itu jelas bercanggah dengan ajaran Islam. Menurut perspektif Islam, tujuan tidak menghalalkan cara.

Malah, tujuan dan cara dua perkara yang berbeza antara satu sama lain. Sebab itulah lahir satu prinsip dalam ilmu kaedah usul fiqh yang diguna pakai oleh ulama iaitu ‘tujuan tidak menghalalkan cara’.

Prinsip ini bermaksud setiap amalan mesti didahului dengan niat betul. Kemudian, cara pelaksanaannya pula mesti berlandaskan syariah Islam. Dengan ini, barulah sesuatu amalan dilakukan itu dinilai sebagai amalan baik dan diberikan ganjaran Allah.

Sebaliknya, jika cara pelaksanaannya tidak mengikut lunas Islam walaupun tujuannya baik, maka amalannya itu tetap dinilai haram di sisi Islam. Jelas di sini, politik tidak dapat dipisahkan daripada Islam. Nilai agama sepatutnya mendasari perjalanan arena politik umat Islam.

Dengan kata lain, politik pada hakikatnya adalah satu saluran atau wadah yang membawa umat Islam ke arah matlamat disasarkan. Jadi, politik yang didasari atas landasan agama inilah dianjurkan Islam, bukan politik yang mendasari agama.

Jika agama disesuaikan menurut cita rasa politik, maka akan berlaku pertelagahan, perpecahan dan akhirnya kehancuran umat seperti banyak berlaku dalam kehidupan umat Islam dewasa ini.

Perlu ditegaskan, politik yang berpaksikan Islam akan melahirkan suatu corak kepemimpinan yang adil lagi unggul seperti mana yang pernah ditunjukkan Rasulullah SAW dan khalifah al-Rasyidin. Bukankah Rasulullah pernah menjadi pemimpin ketika menerajui kerajaan Islam Madinah.

Rasulullah SAW berjaya membentuk negara yang aman damai dan harmoni terdiri daripada masyarakat majmuk pelbagai bangsa, agama dan etnik di bawah peruntukan perlembagaan Piagam Madinah.

Kepemimpinan Rasulullah SAW dan generasi sahabat selepasnya sepatutnya dijadikan sumber rujukan umat Islam kini.

Masjid sebagai destinasi pelancongan

Oleh Ghafani Awang Teh

PELANCONGAN keagamaan yang dikaitkan dengan pusat dan tempat bersejarah sesuatu agama adalah produk pelancongan yang berkembang pesat. Banyak negara sudah melancarkan kempen tahun melawat di negara masing-masing turut mempromosikan pusat keagamaan sebagai destinasi pelancongan.

Malaysia turut mengambil langkah sama, tetapi tidak dinafikan usaha itu terutama menjadikan masjid sebagai destinasi pelancongan menjadi isu negatif di kalangan masyarakat yang beranggapan kedatangan pelancong terutama bukan beragama Islam boleh menjejaskan kesucian masjid yang menjadi rumah Allah.

Persoalan besar timbul ialah apakah hukum orang bukan Islam memasuki masjid? Berdasar pendapat Mazhab Syafie, orang bukan Islam dilarang secara mutlak memasuki Masjidil Haram seperti dinyatakan firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman. Sesungguhnya (kepercayaan) orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid al-Haram sesudah tahun ini dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu daripada limpah kurnia-Nya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah, ayat 28)

Masjid lain pula pada pandangan ulama Syafi’iyah adalah diharuskan jika bertujuan baik. Ulama ini berpegang pada hadis sahih diriwayatkan Bukhari, menjelaskan bahawa sekumpulan tentera Islam yang baru kembali dari medan perang Nejad membawa seorang tawanan perang bernama Tsumamah Utsaal dari Bani Hanifah yang ketika itu belum beragama Islam dan mengikatnya pada tiang dalam sebuah masjid.

Kemudian Rasulullah SAW menuju kepada tawanan itu seraya bersabda: “Lepaskanlah Tsumamah.” Kemudian Tsumamah berangkat menuju ke kebun kurma berdekatan masjid dan mandi. Selepas itu Tsumamah masuk semula ke dalam masjid sambil melafazkan kalimah dua syahadah menjadi seorang muslim.”

Berdasarkan hadis itu nyata bahawa jika tindakan membawa seseorang bukan Islam ke dalam masjid menjadi satu kesalahan tentu sekali Rasulullah SAW akan menegur tindakan sahabat membawa masuk Tsumamah ke dalam masjid itu.

Bagaimanapun bagi menjamin dan memelihara kesucian masjid, pihak pengurusan perlu membuat peraturan sesuai umpamanya dimestikan menutup aurat, tidak meninggikan suara atau membuat bising serta menentukan masa sesuai yang tidak mengganggu umat Islam menunaikan ibadat.

Dari aspek pelancongan, kita dapati Masjidil Haram Makkah dan Masjid Nabawi Madinah di Arab Saudi menjadi tempat kunjungan paling popular di dunia. Pada musim haji saja kira-kira 3 juta umat Islam mengunjungi Makkah dan Madinah.

Menurut Lembaga Pelancongan Arab Saudi menjelang 2020 dijangkakan seramai 45.5 juta orang Islam akan mengunjungi dua tempat suci itu dengan anggaran pendapatan sebanyak SR80 bilion setahun. Perbelanjaan besar umat Islam itu memberi peluang perniagaan yang besar kepada penduduk Arab Saudi.

Walaupun masjid dan tempat sejarah Islam yang ada di negara kita tidak sehebat di Arab Saudi, tetapi ia berpotensi besar untuk menarik pelancong terutama orang bukan Islam menziarahi masjid dan tempat sejarah Islam yang ada di negara kita.

Berdasarkan pemerhatian, perkara yang menjadi daya tarikan pelancong terutama pelancong bukan Islam ketika melawat masjid ialah keindahan menara, seni bina masjid, mihrab, mimbar, hiasan dalaman masjid yang tenang, tempat wuduk, peranan imam, kemerduan suara muazzin, peranan makmum dan cara umat Islam menunaikan sembahyang.

Bagi umat Islam, daya tarikan ini kelihatan perkara biasa, tetapi bagi orang bukan Islam adalah sesuatu yang perlu diketahui secara mendalam kerana nyata suasana ketenangan rumah Allah itu berbeza dengan suasana rumah ibadat agama lain.

Di sebalik kecenderungan besar pelancong bukan Islam terhadap produk pelancongan berasaskan keagamaan ini, maka sewajarnya umat Islam mengambil kesempatan memperluaskan pengetahuan mengenai Islam melalui pelancongan.

Bagaimanapun bukan mudah untuk menarik pelancong datang menziarahi masjid kecuali pihak pengurusan masjid mampu mengambil langkah tertentu seperti menyediakan maklumat berkenaan sejarah penubuhan masjid, persekitaran bersih dan ceria serta kemudahan tandas selesa.

Begitu juga fungsi dalaman masjid, menyediakan kemudahan tempat letak kenderaan yang selesa, menjalankan promosi luas kepada masyarakat setempat dan perkhidmatan pemandu pelancong selain menyediakan ruangan pameran serta galeri.

Pada masa ini antara masjid yang berpotensi besar menarik pelancong ialah masjid negeri dan Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Terapung Tengku Tengah Zaharah dan Masjid Kristal Jerteh di Terengganu, Masjid Ubudiah Kuala Kangsar, Masjid Kampung Laut Kelantan dan Masjid Ulu Melaka, Melaka.

Masjid yang paling berjaya menarik pelancong ialah Masjid Negara. Menurut laporan, Masjid Negara mendapat kunjungan kira-kira 255,800 pelancong asing sepanjang 2007.

Selari dengan usaha memakmurkan masjid ini, maka marilah kita merenungi firman Allah bermaksud: “Bahawasanya yang memakmurkan masjid ialah orang yang beriman kepada Allah, hari Akhirat, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, tidak takut melainkan kepada Allah, maka mudah-mudahan mereka yang memakmurkan masjid itu mendapat hidayah daripada Allah.” (Surah at-Taubah, ayat 18)

Penulis ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Kepentingan calon berpendidikan agama

Oleh Hasliza Hassan

BN tampil muka baru berwibawa, profesional bagi meneruskan gagasan Islam Hadhari

HANYA tinggal seminggu lagi 10.5 juta pemilih berdaftar akan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 kali ini dan sudah semestinya, mereka akan membuat pilihan berdasarkan selera masing-masing.

Sejarah politik tanah air menunjukkan faktor keperibadian calon antara menjadi pilihan pengundi apatah lagi jika seseorang itu mempunyai tingkah laku yang bersesuaian dengan budaya ketimuran.

Lebih menarik perhatian ialah jika calon itu menyerlah dari segi pencapaian dalam bidang akademik dan disegani pula kerana penampilan serta latar belakang ilmu agama dimiliki. Pastinya, perhatian lebih akan diberi kepada mereka.

Mengikut arus yang mempengaruhi kehidupan masyarakat, Barisan Nasional (BN) bukan saja mengekalkan calon kalangan profesional berlatar belakang pendidikan agama, malah menambah ramai muka baru daripada latar belakang yang sama dalam senarai calon pilihan raya umum kali ini.

Hakikatnya, calon berlatar belakang pendidikan agama yang memiliki kebolehan untuk memimpin sudah sebati dalam kepemimpinan negara dan diberi kepercayaan menerajui jabatan yang bertanggungjawab menguruskan keperluan keagamaan.

Pastinya nama seperti Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman dan Tan Sri Dr Yusof Noor yang masih kekal berkhidmat kepada negara adalah bukti nyata pentingnya golongan berpendidikan agama dalam barisan kepemimpinan.

Bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi, Wan Mokhtar adalah Menteri Besar Terengganu paling lama berkhidmat bermula dari 1974 hingga 1999 dan pastinya tempoh itu berikutan kepercayaan rakyat serta pemimpin negara terhadap kewibawaan beliau.

Lulusan Fakulti Ilmu Agama dari Universiti al-Azhar Mesir itu yang terbabit secara aktif dalam Umno sejak 1963 dipilih sebagai calon Parti Perikatan pada pilihan raya umum 1964 untuk Parlimen Kemaman.

Beliau yang bertanding menentang calon parti Front Sosialis, Wan Hamid Wan Ibrahim menang dengan majoriti 7,081 undi. Selepas itu beliau terus terpilih sebagai calon dan menang dalam lapan lagi pilihan raya.

Bagaimanapun, pada Pilihan Raya Umum 1999, beliau yang dicalonkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai, kalah kepada calon Pas, Awang Jusoh dengan perbezaan sebanyak 436 undi.

Ketokohan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Abdul Hamid Othman, tidak boleh disangkal kerana beliau adalah antara tokoh agama yang disegani pada peringkat antarabangsa dan pihak yang bertanggungjawab memastikan kejayaan penganjuran Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa di Malaysia.

Beliau yang juga lulusan dari Universiti al-Azhar Mesir dalam jurusan Undang-undang Islam dan memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) bidang Syariah dari Universiti St Andrew's Scotland adalah Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Beliau yang memulakan karier sebagai guru di Sekolah Tengku Ampuan Rahimah, Klang, pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Pendidikan Islam di Kementerian Pelajaran sebelum dilantik menjadi Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri pada 1984.

Pembabitan beliau sebagai ahli politik bermula apabila dipilih menjadi calon BN untuk Parlimen Sik pada Pilihan Raya Umum 1990, menewaskan calon Semangat 46, Datuk Zainal Abidin Johari dengan majoriti 8,329 undi.

Selepas memenangi pilihan raya itu, Abdul Hamid dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan apabila menang sekali lagi pada pilihan raya berikutnya, dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau yang dicalonkan untuk Parlimen Sik buat kali ketiga pada Pilihan Raya Umum 1999 bagaimanapun dikalahkan calon Pas, Datuk Shahnon Ahmad, dengan majoriti 478 undi.

Pengerusi Felda yang juga Pengerusi Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Yusof Noor yang juga lulusan Universiti al-Azhar mula bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1986 untuk Parlimen Setiu dan pada 1990, beliau bertanding di Parlimen Besut.

Anak kelahiran Kampong Raja, Besut, Terengganu itu kemudian dicalonkan untuk bertanding di tempat kelahirannya pada Pilihan Raya Umum 1995 sebelum dicalonkan semula ke Parlimen Besut pada pilihan raya 1999 dan tewas kepada calon Pas, Hassan Mohamed.

Selain menjadi wakil rakyat, Dr Yusof pernah memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Pengerusi Jawatankuasa Baitulmal Wilayah Persekutuan dan Menteri Perusahaan Awam dan menerajui Felda sejak Julai 2001 hingga kini.

Ironinya, ketiga-tiga tokoh ini tewas pada Pilihan Raya Ke-10 itu, tetapi BN tidak ketandusan tokoh berpendidikan agama untuk diketengahkan selepas itu.

Ini termasuk Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir, bekas Ketua Pengarah Pusat Islam Malaysia (DUN Melor) dalam Parlimen Peringat (kini Ketereh) dan Datuk Mustafa Taib yang berlatar belakangkan agama dan pernah menjadi panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan Malaysia yang bertanding di DUN Chetok.

Turut dicalonkan, Ketua Wanita Umno Kubang Kerian, Zaleha Hussin yang juga seorang ustazah bertanding di DUN Salor dalam kawasan Parlimen Pasir Mas. Bagaimanapun, kehadiran mereka tidak dapat memenangi hati pengundi di Kelantan ketika itu.

Pada 2004, BN mengemukakan calon muka baru yang berjaya menewaskan lawan masing-masing antaranya Pensyarah Jabatan al-Quran dan Sunnah, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr Mashitah Ibrahim di Kedah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin di Perak.

Di Selangor, BN meletakkan bekas Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Amran Kasimin sementara di Parlimen Permatang Pauh yang menjadi kubu kuat parti Keadilan, bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Pirdaus Ismail dipertaruhkan untuk menentang Datin Seri Dr Wan Azizah.

Pada pilihan raya umum kali ini, BN mengekalkan beberapa calon aliran agama iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin (Besut); Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Che Min Che Ahmad, Khazan Che Mat (Batu Rakit) yang mempunyai ijazah bahasa Arab dan syariah dari universiti di Jordan.

Turut mengiringi calon sedia ada, BN mengetengahkan muka baru yang dilihat memiliki kewibawaan yang pasti menambat hati pengundi dan memastikan kelangsungan memperjuangkan ajaran Islam diteruskan barisan pemimpin muda.

Mereka ialah Mohd Afandi Yusuff, calon kerusi Parlimen Rantau Panjang, Penyelaras Program Institut Kewangan dan Perbankan Islam Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Asraf Wajdi Dusuki yang akan bertanding di Parlimen Tumpat.

Muka baru diperkenalkan BN Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir (Marang) dan di Perak, Mohd Nizar Zakaria, graduan bidang pendidikan dari Institut Agama Islam Negeri Padang, Indonesia bertanding Parlimen Parit.

Pendekatan Islam Hadhari yang bermatlamat mengajak umat Islam menghayati 10 prinsip berteraskan ajaran al-Quran dan sunnah memerlukan pengalaman mereka yang memiliki latar belakang kepemimpinan bersifat global.

Dalam erti kata lain, mereka bukan saja mempunyai ilmu pengetahuan, malah mampu mengaplikasi ilmu yang ada dalam sistem pentadbiran bagi memenuhi keperluan semasa masyarakat dan negara serta memikirkan kaedah terbaik menangani cabaran yang datang.

Justeru, penampilan calon baru dengan semangat serta jiwa segar diharap dapat membantu kerajaan menjayakan gagasan Islam Hadhari menggunakan kuasa politik yang ada untuk membangunkan Islam secara bijaksana.

INFO: Ketokohan calon BN berpendidikan agama

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Abdul Hamid Othman disegani pada peringkat antarabangsa pernah menjadi calon BN untuk Parlimen Sik pada Pilihan Raya Umum 1990.

Pengerusi Felda yang juga Pengerusi Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Yusof Noor yang juga lulusan Universiti al-Azhar pernah memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Pengerusi Jawatankuasa Baitulmal Wilayah Persekutuan dan Menteri Perusahaan Awam dan menerajui Felda sejak Julai 2001 hingga kini pernah bertanding bagi Parlimen Setiu (1986) dan Besut (1990, 1999).

Datuk Mustafa Taib yang berlatar belakang agama dan pernah menjadi panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan Malaysia bertanding di DUN Chetok.

Ketua Wanita Umno Kubang Kerian, Zaleha Hussin yang juga seorang ustazah bertanding di DUN Salor dalam kawasan Parlimen Pasir Mas.

Pensyarah Jabatan al-Quran dan Sunnah, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr Mashitah Ibrahim di Kedah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin di Perak.

Bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Pirdaus Ismail bertanding Parlimen Permatang Pauh.

Friday, February 29, 2008

Jemaah lega bakal dapat masjid baru

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar

MASJID adalah institusi tertinggi dan paling mulia dalam Islam, tidak hanya kepada urusan ibadat semata-mata, malah sebagai pusat yang menjana kecemerlangan umat Islam. Masjid juga mempunyai pelbagai fungsi, termasuk sebagai pusat hal ehwal kemasyarakatan dan keilmuan.

Justeru, biarpun terpaksa menunggu hampir empat tahun, penduduk Kampung Permatang Duyong, Melaka menarik nafas lega apabila impian mereka untuk memiliki masjid akhirnya menjadi kenyataan.

Majlis pecah tanah dan pelancaran bagi pembinaan Masjid Permatang Duyong ini disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di tapak yang diwakafkan oleh penduduk kampung berkenaan, Allahyarham Wahab Hassan yang meninggal dunia pada 2004.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Yunos Husin; Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka, Ab Wahab Ab Latip; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka, Datuk Alias Md Saad dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Duyong, Gan Tian Loo.

Pengerusi Penaja Lembaga Masjid Permatang Duyong, Mejar (B) Borhanudin Yaakob, berkata pembinaan masjid itu adalah antara projek diluluskan pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), membabitkan kos RM2.4 juta.

Beliau berkata, masjid itu dibina atas tanah seluas 0.4 hektar dan boleh menampung kapasiti seramai 1,500 jemaah dalam satu masa. Pembinaannya dijangka siap pada April 2009.

“Kepadatan penduduk Kampung Permatang Duyong ketika ini tidak mampu menampung surau sedia ada yang sudah dinaik taraf yang hanya mampu memuatkan sehingga 600 jemaah pada satu masa.

“Masjid sebenarnya bukan saja tempat umat Islam bersolat tetapi peranannya perlu diperluaskan seperti institusi masyarakat. Dengan terbinanya masjid ini, penduduk diminta memanfaatkannya untuk melakukan kegiatan berfaedah seperti kelas fardu ain, kegiatan pendidikan dan sumber maklumat,” katanya mengharapkan masjid baru yang dibina kerajaan negeri itu mampu menarik minat golongan muda.

Isteri Allahyarham Wahab, Rasimah Sabtu, 78, ketika ditemui berkata, beliau bersyukur dan gembira kerana hasrat suaminya mewakafkan tanah berkenaan untuk dibina masjid di Kampung Permatang Duyong dicapai.

“Saya sungguh bangga pada hari ini. Inilah hajat suami saya ketika dia masih hidup. Walaupun tidak sempat melihatnya, tetapi cita-citanya untuk mewakafkan tanah kami bagi dibina sebuah masjid dicapai juga akhirnya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, kerajaan negeri komited untuk membina kemudahan masjid selesa sebagai tempat beribadat. Pada RMK-9 kerajaan negeri meluluskan pembinaan serta menaik taraf 10 masjid baru membabitkan kos kira-kira RM29.2 juta.

“Sehubungan itu, saya berharap supaya peruntukan yang diluluskan kerajaan dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan dan seterusnya kemudahan ini dapat digunakan umat Islam. Kerajaan negeri membina masjid bukan untuk bermegah tetapi membinanya untuk dimakmurkan dan dijadikan tempat membangun syiar Islam,” katanya.

Bicara Kalbu: Denda hingga menjatuhkan maruah ganggu sahsiah anak

Jawapan oleh Dr Rohayah Husain dan Dr Habsah Hassan

Soalan:

SEORANG pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di pedalaman didenda guru sekolah disebabkan kenakalannya. Beliau dimalukan di hadapan perhimpunan sekolah dengan berdiri sepanjang waktu persekolahan dan kertas yang melabelkan perkataan menjatuhkan harga dirinya digantungkan di bangunan sekolah. Akibatnya, pelajar itu mengalami kemurungan. Seminggu selepas kejadian, pelajar itu dimasukkan ke hospital kerana mengalami gangguan mental. Persoalannya, wajarkah pelajar dihukum hingga menjatuhkan air muka dan mendatangkan tekanan kepada mereka? Apakah tindakan sewajarnya bagi menghukum pelajar?
Ingin tahu,
Kelantan

MUNGKIN kita tertanya-tanya apakah kesalahan yang dilakukan anak ini sehingga beliau dihukum sebegitu rupa. Namun apapun kesalahan beliau, hukuman yang menjatuhkan maruah seseorang lebih-lebih lagi kanak-kanak perlu dihentikan.

Denda seperti ini akan menyebabkan kanak-kanak berasa rendah diri dan mudah memberontak. Keadaan ini akan mengganggu pembentukan sahsiah mereka. Persoalannya, apakah tujuan sesuatu denda dijalankan? Jika untuk mendidik dan merubah sikap, pastinya denda itu tidak membantu.

Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya Pendidikan Anak-anak dalam Islam mengulas kaedah pendidikan berkesan kepada kanak-kanak yang bercirikan lemah lembut, penuh belas kasihan dan berperingkat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ajarkan mereka dan jangan mengkasari mereka, sesungguhnya guru itu lebih baik daripada seorang pengeras." – (Riwayat al-Haris, at-Thayalisi dan al-Baihaqi)

Kaedah berperingkat dalam memulihkan disiplin anak adalah disarankan. Ia harus dimulakan dengan menunjukkan kesalahan melalui bimbingan, lemah lembut, memberi amaran sehingga peringkat merotan yang berpatutan.

Dalam kisah pelajar tadi, hukuman yang dikenakan memberi tekanan emosi yang serius kepadanya sehingga beliau terpaksa dimasukkan ke hospital. Beliau mengalami tekanan hingga memberi kesan kepada mentalnya.

Kemungkinan kenakalan beliau ketika di sekolah adalah manifestasi penyakit yang mula beliau alami beberapa bulan kebelakangan itu. Ibnu Khaldun menerangkan kesan akibat penggunaan kekerasan dalam mendidik. Katanya, kekerasan akan menjadikan anak seorang yang lemah semangat, pengecut dan rosaklah erti kemanusiaan dalam dirinya.

Menurut teori pembelajaran, pakar psikologi terkenal, B F Skinner menjelaskan bahawa sesuatu sikap yang baik akan dikekalkan atau bertambah jika diberi rangsangan positif yang berulang seperti pujian, kata-kata semangat dan hadiah.

Umumnya pakar psikologi menyarankan adalah lebih baik memperbanyakkan ganjaran terhadap perbuatan baik berbanding sering menghukum atau mencari kesalahan seseorang. Pengalaman kita sendiri membuktikan kita berasa yakin, lebih bertenaga dan mudah berubah jika diberi layanan seperti itu.

Apa yang berlaku kepada pelajar itu bukan kes terpencil kerana kita juga dikejutkan dengan kisah guru memukul murid menggunakan kasut hingga cedera dan diajar menipu tidak berapa lama dulu.

Didikan yang hanya mengikut perasaan wajar dihentikan, tetapi bukan guru saja harus dipersalahkan tetapi sistem pendidikan yang hanya berorientasikan kecemerlangan akademik, di samping bebanan kerja guru dan kurangnya penekanan kepada pembentukan akhlak.

Khabarnya kurikulum pendidikan sekolah rendah dan menengah akan dirombak dalam jangka masa terdekat, moga lebih banyak ciri pendidikan Rasulullah SAW diterapkan memandangkan Malaysia kini adalah negara Islam yang disegani.

Jawapan disediakan pensyarah dan pakar psikiatri, Dr Rohayah Husain bersama pensyarah dan pakar mikrobiologi, Dr Habsah Hassan dari Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kelantan dengan kerjasama Wanita Jim.

Jendela Hikmah: Nikmati dunia dengan prinsip Ilahi

Oleh Che Asmah Ibrahim
wanitajim0.yahoo.com

TERJEJAS: Selain daripada limpahan hujan lebat luar biasa, banjir juga dikaitkan dengan faktor pembangunan tidak terancang dilakukan manusia. - Gambar hiasan

Fenomena perubahan iklim antara kerosakan akibat daripada perbuatan manusia

SYARIAH Islam meliputi semua aspek kehidupan manusia termasuk urusan ibadat dan muamalat yang berkait terus dengan kehidupan insan, tidak hanya tertakluk kepada aspek perundangan serta kehakiman semata-mata.

Menurut ulama terkemuka Dr Yusuf Qaradhawi, Islam bukanlah semata-mata pensyariatan dan perundangan. Sebaliknya Islam juga adalah akidah yang menafsirkan erti kehidupan, ibadat, akhlak dan nilai mengangkat martabat manusia serta adab kesopanan yang menghiasi kehidupan.

Dalam erti kata sebenar, syariah Islam yang disempurnakan melalui perutusan Nabi Muhammad SAW menjamin perlindungan dan hak kepada semua makhluk untuk hidup sejahtera di muka bumi seperti digambarkan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: "Dan Kami tidak mengutuskan engkau Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta alam." – (Surah Al-Anbiya', ayat 107)

Oleh demikian, usaha memakmurkan bumi dan penjagaan alam semesta adalah sejajar dengan tuntutan syariat Islam.

Manusia adalah makhluk yang dikurniakan kelebihan akal oleh Allah dan dengan akal ini manusia dapat membezakan antara yang baik dan buruk. Ia membolehkan manusia membuat pilihan dalam banyak perkara berkaitan kehidupan mereka.

Sebagai khalifah, manusia adalah penerima amanat terbesar yang tidak sanggup diterima makhluk lain. Perkara ini dirakamkan dalam firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikul amanat itu oleh manusia." – (Surah al-Ahzab, ayat 72)

Disamping kurniaan akal, Allah juga menurunkan Rasul dan kitab untuk dijadikan panduan dan petunjuk kepada manusia dalam melaksanakan amanat sebagai khalifah di bumi yang kaya dengan pelbagai sumber.

Malah, setiap kejadian dan makhluk mempunyai kepentingan dan kaitan dengan kehidupan manusia. Sejajar martabat manusia sebagai khalifah, mereka seharusnya berperanan membawa kesejahteraan kepada sekalian alam, bukan melakukan kerosakan.

Manusia seharusnya sedar setiap langkah dan perbuatan akan memberi kesan kepada alam sekeliling. Kerosakan dan kemusnahan alam yang berlaku memberi kesan secara langsung kepada perjalanan hidup manusia.

Apabila sungai yang menjadi sumber bekalan air utama kepada kehidupan manusia, tumbuhan dan haiwan tercemar, ia akan menjejaskan mutu kehidupan seperti melakukan ibadat solat yang memerlukan kita menyucikan diri dengan air bersih.

Begitu juga apabila udara tercemar akibat perbuatan tangan kita sendiri, maka kita tiada pilihan melainkan menghirup kembali udara tercemar itu untuk tujuan pernafasan. Keadaan ini akan mendatangkan mudarat kepada kesihatan kita.

Kejadian jerebu yang melanda negara kebelakangan ini, bukan saja menjejaskan kesihatan manusia juga tumbuh-tumbuhan dan kehidupan di lautan disebabkan kekurangan cahaya matahari. Setiap kejadian pencemaran akan menjejaskan keseimbangan ekosistem yang akhirnya membawa kerugian kepada manusia sendiri.

Islam amat menitikberatkan penjagaan dan pemuliharaan alam sebagai satu amanah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Islam melarang kita daripada melakukan kerosakan di muka bumi dalam apa juga bentuk sehinggakan dalam peperangan sekali pun umat Islam dilarang melakukan kerosakan kepada tumbuh-tumbuhan, orang tua, golongan perempuan dan kanak-kanak.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi ini. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan." – (Surah al-Qasas, ayat 77)

Ayat itu menegaskan bahawa matlamat kehidupan duniawi tidak boleh terkeluar daripada hakikat kebahagiaan ukhrawi itulah menjadi matlamat akhir. Kesenangan duniawi mesti dipandu dengan prinsip Ilahi supaya menjurus ke arah kebaikan dan dapat menghindarkan manusia daripada melakukan kerosakan.

Abad ke-21 menyaksikan pelbagai kerosakan yang berlaku di muka bumi akibat daripada perbuatan tangan manusia atas alasan melaksanakan pembangunan material. Allah memberi peringatan mengenai kerosakan ini dalam firman-Nya yang bermaksud: "Telah
nampak kerosakan di daratan dan di lautan disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka supaya mereka kembali (ke jalan yang benar)." (Surah ar-Rum, ayat 41)

Kesan fenomena perubahan iklim adalah antara kerosakan yang berlaku akibat daripada perbuatan tangan manusia dengan kesan amat membimbangkan. Dunia pada hari ini berhadapan ancaman berlakunya pemanasan global disebabkan peningkatan suhu bumi, diikuti perubahan kepada taburan hujan serta kenaikan paras laut akibat daripada fenomena itu.

Perubahan itu seterusnya memberi kesan lebih besar kepada keseluruhan ekosistem. Kejadian banjir besar luar musim membawa kemusnahan pada skala besar diikuti kejadian kemarau panjang juga membawa kepada kemusnahan hutan yang tidak dapat dikawal manusia.

Kemusnahan alam yang berlaku akan mengganggu keseluruhan proses kehidupan yang saling berkaitan, bergantungan dan berinteraksi secara teratur dalam satu ekosistem.

Kejadian bencana alam yang berlaku sudah cukup memberi pengajaran dan amaran kepada manusia yang menyangka dirinya hebat dan megah dengan segala pembangunan dilaksanakan bahawa manusia tidak mampu untuk bertindak menangkis kemusnahan berlaku dalam sekelip mata.

Kejadian itu sepatutnya memberi kesedaran dan pengajaran kepada manusia bahawa setiap usaha pembangunan yang hendak dilaksanakan perlu mengambil kira tiga perkara iaitu hubungan dengan Penciptanya, hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam semesta.

Ketiga-tiga perkara ini adalah dasar kepada tindak tanduk manusia sebagai khalifah yang dapat melindungi manusia dan alam. Kegagalan menghormati ketiga-tiga perhubungan ini akan menyebabkan kehancuran proses kehidupan itu sendiri.

Penulis ialah Timbalan Ketua Wanita JIM yang juga Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor dan boleh dihubungi di emel wanitajim0.yahoo.com

Thursday, February 28, 2008

Hak Muslim: Isteri kedua hadapi masalah daftar kelahiran

excopgsm@yahoo.com

Soalan:

SAYA berkahwin dengan suami di Narathiwat, Thailand, sebagai isteri kedua. Saya diwalikan abang sendiri. Masalahnya, kini kami tidak dapat mendaftarkan kelahiran anak kerana tidak mempunyai sijil nikah. Kami diarahkan Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendapatkan Perintah Pengesahan Nikah di Mahkamah Syariah, tetapi kami dapati prosesnya rumit dan lama. Bagaimanakah status perkahwinan? Apakah yang perlu kami lakukan untuk mendapatkan sijil kelahiran anak dengan kadar segera? Tidak cukupkah sijil nikah asal daripada Majlis Agama Islam Narathiwat dan surat akuan bersumpah kami untuk mempercepatkan proses pendaftaran sijil nikah itu?

Inginkan hak,
Kuala Lumpur

PERSOALAN puan menjurus kepada prosedur pengesahan pernikahan di luar negara dan mendaftarkan kelahiran anak hasil pernikahan itu. Apa yang puan lakukan sebenarnya membawa risiko dan akibat yang puan sendiri perlu tanggung sekarang.

Apabila puan nekad bernikah di luar negara tanpa kebenaran mahkamah, puan juga perlu bersedia dan nekad melalui proses pengesahan nikah di mahkamah syariah untuk mendapatkan sijil nikah di Malaysia bagi membolehkan anak puan didaftarkan kelahirannya di Malaysia.

Seksyen 12(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) menyebut sesuatu perkahwinan bersalahan dengan akta itu tidak boleh didaftarkan.

Subseksyen (2) Seksyen 12 menyatakan, tanpa menjejaskan Seksyen 40(2) mengenai penalti kesalahan, sesuatu perkahwinan itu jika sah mengikut hukum syarak boleh didaftarkan mengikut akta itu dengan perintah daripada mahkamah.

Ia bermaksud, walaupun sesuatu perkahwinan itu dilakukan tidak mengikut prosedur ditetapkan akta, tetapi ia sah mengikut hukum syarak, maka ia masih boleh didaftarkan mengikut akta ini dengan mendapatkan perintah mahkamah terlebih dulu.

Isu di sini ialah kedudukan perkahwinan puan mengikut hukum syarak. Seksyen 11 Akta 303 memperuntukkan, sesuatu perkahwinan adalah tidak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, berdasarkan hukum syarak, untuk menjadikannya sah. Isu permasalahan puan adalah sama ada perkahwinan mempunyai semua syarat sah iaitu rukun perkahwinan berdasarkan hukum syarak.

Merujuk kepada rukun nikah mengikut Mazhab Syafie dalam I'a'natul Tolibin, ada lima rukun nikah iaitu adanya bakal isteri, bakal suami, wali, dua orang saksi lelaki dan sighah akad (lafaz ijab dan kabul). Dalam kes puan, rukun pertama dan kedua sudah dipenuhi.

Rukun ketiga iaitu perkahwinan dijalankan wali jika bakal isteri adalah anak dara berdasarkan hadis Rasulullah SAW diriwayatkan Aisyah bermaksud: "Tidak ada perkahwinan kecuali berwali."

Jumhur ulama bersepakat mengatakan perkahwinan tanpa wali adalah tidak sah dan batal. Ia juga berdasarkan sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Siapa saja perempuan kahwin tanpa izin walinya, maka perkahwinannya batal, maka perkahwinannya batal. Kemudian, jika (suaminya) mencampurinya, maka bagi perempuan itu berhak memperoleh mahar sebab apa yang ia anggap halal daripada mencampurinya; kemudian jika mereka (wali-walinya) berselisih, maka penguasa (hakim) yang menjadi walinya." (Hadis riwayat Imam yang lima kecuali Nasai)

Seksyen 13 Akta 303 pula memperuntukkan perkahwinan tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan melainkan kedua-dua pihak bersetuju terhadapnya sama ada (a) wali pihak perempuan sudah bersetuju terhadap perkahwinan itu berdasar hukum syarak.

Dalam isu puan ini tidak dinyatakan sama ada bapa kandung atau datuk sebelah bapa puan iaitu wali mujbir masih hidup atau tidak ketika pernikahan itu dan apakah persetujuannya sudah diperoleh. Susunan wali perlu dituruti dalam sesuatu pernikahan. Puan juga tiada menimbulkan alasan berkahwin di Thailand di mana isu ini perlu dijelaskan di mahkamah.

Rukun keempat iaitu dua orang saksi bersandarkan hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Dan daripada Imran bin Hushain dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Tidak sah nikah melainkan dengan wali dan dua orang saksi yang adil." (Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal)

Rukun kelima iaitu ijab dan kabul. Merujuk kitab Al-Fiqh Al-Islamiy wa Adillatuh, lafaz mestilah membawa makna nikah contohnya, "Saya nikahkan kamu." Perkataan nikah secara jelas membawa makna nikah dan kahwin tanpa sebarang keraguan.

Sesuatu lafaz juga mesti dalam bahasa boleh difahami orang yang berada dalam majlis terutama bakal suami, bakal isteri, wali dan dua orang saksi. Justeru, dalam isu ini semua keterangan perlu dinyatakan di hadapan hakim syarie.

Kitab Muwafaqat menjelaskan, pentaklifan syariah terhadap setiap Muslim bertujuan menjaga maqasid (tujuan) tertentu digariskan Islam. Antara maqasid terpenting ialah menjaga nasab dan keturunan.

Islam begitu mementingkan nasab dan keturunan kerana ia membabitkan hak antara satu sama lain. Justeru, maqasid syariah juga sudah menggariskan bahawa menjaga keturunan atau nasab adalah elemen mesti dan lebih diutamakan dalam isu ini supaya tidak berlaku perlanggaran hak.

Kitab Muwafaqat Fi Usulul Ahkam oleh Abi Ishak Ibrahim bin Musa menyatakan bahawa menjaga keturunan atau nasab adalah tersenarai dalam tujuan terpenting.

Status anak hasil pernikahan ini dan yang sedang membesar perlu diambil kira apabila ada kesamaran pada status pernikahan ibu bapanya. Oleh sebab itulah pentingnya pernikahan disahkan terlebih dulu bagi memastikan sememangnya anak adalah hasil pernikahan yang tulen, suci dan hakiki selari dengan tujuan syariah bagi menjaga nasab.

Jika pernikahan ini tidak sah, maka anak yang ada akan keliru dari segi nasab atau bapa mereka. Oleh itu, merujuk kepada usaha puan membawa surat akuan sumpah, sekadar surat akuan bersumpah dan sijil nikah dari luar negara bukanlah suatu proses yang tepat mengesahkan pernikahan dan nasab anak seseorang Islam.

Setiap keterangan berkaitan rukun pernikahan hendaklah didengar dan diputuskan Hakim Syarie yang berbidang kuasa. Alasan proses mahkamah yang rumit dan lama boleh diperbaiki dengan menyarankan supaya kes membabitkan pengesahan nikah dipercepatkan perbicaraannya demi menentukan nasab anak.

Namun, puan sendiri perlu mengemukakan segala dokumen dan saksi teratur serta memenuhi rukun pernikahan demi mengesahkan nasab anak untuk didaftarkan sijil kelahirannya.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak. Sebarang persoalan boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com

Calon perlu kawal tutur bicara, berakhlak mulia ketika kempen

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

CIRI utama kehidupan seorang Muslim ialah sentiasa menjaga akhlak dan adab sopan. Akhlak dan kesopanan adalah pakaian seorang mukmin sejati. Justeru, kempen pilihan raya bukannya masa untuk kita menanggalkan akhlak dan adab sopan.

Antara anggota badan yang paling banyak digunakan dalam kempen pilihan raya adalah lidah untuk tutur bicara. Calon dan penyokong parti akan menggunakan lidah sepuas-puasnya untuk menarik sokongan dan kepercayaan pengundi dengan menabur pelbagai janji manis.

Menjanjikan sesuatu yang baik kepada rakyat tidak salah, malah itulah yang sewajarnya, tetapi bukan janji kosong dan palsu. Ia juga bukan medan untuk menghamburkan tutur bicara sesuka hati tanpa kawalan sehingga menimbulkan bibit perpecahan serta kebencian sesama rakyat.

Lidah adalah nikmat kurniaan Allah dan sebaik-baik fungsi lidah ialah digunakan untuk berzikir kepada Allah atau melakukan kerja dakwah iaitu menyeru manusia kepada kebaikan dan kebenaran seperti firman Allah bermaksud: "Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah (agama-Nya) serta beramal salih serta berkata, "saya salah seorang Muslim." (Sural al-Fushilat, ayat 33)

Di sebalik kebaikannya, lidah juga boleh membawa kebinasaan kepada pemiliknya juga manusia lain. Medan pertuturan lidah tidak ada sempadan. Jika baik penggunaannya, maka baiklah natijahnya, tetapi jika buruk penggunaannya, maka buruklah natijahnya.

Justeru, keghairahan berkempen tanpa mengawal tutur bicara boleh menyebabkan pelbagai implikasi bukan saja kepada pemilik lidah, malah anggota masyarakat. Disebabkan lidah yang tidak terkawal boleh membawa perpecahan, benci membenci, permusuhan, fitnah memfitnah dan api perkauman.

Ketika berkempen (berceramah) lidah akan berputar ligat di hadapan pendengar menjanjikan yang manis-manis yang pada hakikatnya mungkin adalah kepalsuan atau pembohongan. Tidakkah pembohongan dan kepalsuan itu satu dosa yang terbit daripada lidah yang tidak bertulang?

Paling buruk yang mungkin berlaku dalam tempoh berkempen ialah kegagalan mengawal lidah daripada mengeluarkan fitnah dan hasutan. Lidah kedua-dua pihak (parti) yang cabar mencabar boleh menjadi panas dan akhirnya mencetuskan pertelingkahan atau pergaduhan.

Ketika berceramah atau berkempen ramai calon atau penyokong parti gagal mengawal perasaan lalu terhamburlah caci-maki dan tuduh-menuduh.

Sebaiknya, mereka yang dicaci atau difitnah mendiamkan diri daripada membalas cacian. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Diam itu adalah suatu hukum dan amat sedikit orang yang melakukannya." (Hadis riwayat Abu Mansurad-Dailani daripada Ibn Umar)

Tempoh berkempen pilihan raya perlu dihiasi dengan akhlak mulia, tutur bicara beradab dan bersopan. Sentiasalah ingat pesan Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang mengawal lidahnya daripada memperkata kehormatan orang lain, maka Allah akan menutup kecelaannya."

Fitnah adalah perbuatan melempar tuduhan keburukan terhadap seseorang tanpa bukti dan asas kukuh. Fitnah dan mengadu domba (namimah) biasanya seiringan. Justeru, ia wajib dijauhi kerana kesannya amat buruk sekali.

Rasulullah SAW pernah bertanya sahabatnya: "Adakah aku belum pernah menerangkan kepadamu orang yang paling jahat daripada kamu?" Sahabat menjawab: "Belum!", lalu Nabi bersabda bermaksud: "Mereka yang berjalan ke sana ke mari membawa fitnah, mereka yang membuat kerosakan antara sesama sahabat dan mereka yang mencari-cari kekurangan pada orang yang tidak bersalah." (Hadis riwayat Ahmad)

Oleh itu, jangan jadikan kempen pilihan raya medan atau kesempatan untuk menabur fitnah. Semua lisan keji itu dilarang dan dicela oleh agama. Kata-kata keji tidak seharusnya keluar daripada lidah mereka yang mengaku mukmin. Berjanjilah kepada rakyat sesuatu yang baik dan mampu dikotakan serta berpijak di bumi nyata.

Personaliti: Sebar syiar Islam menerusi karya

Oleh Hasliza Hassan

SUMBER ILMU: Mohd Yaakub menunjukkan buku hasil karyanya.

Dorongan kawan mengubah sikap Mohd Yaakub, semangat hasilkan buku agama

SESEORANG yang ada kekurangan diri akan melakukan sesuatu untuk memperbaiki diri, berbeza dengan mereka yang berasakan ilmu di dada sudah banyak selalunya berasa selesa dan beranggapan tidak perlu lagi berusaha mempertingkatkan diri.

Berasakan dirinya tergolong di kalangan yang masih mempunyai kekurangan, graduan Jabatan Komunikasi (pengkhususan bidang Komunikasi Organisasi) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd Yaakub Mohd Yunus mula mengorak langkah mendalami ilmu agama bagi memantapkan pengetahuan ke arah menjadi insan lebih baik.

Bermula daripada pembacaan buku agama dalam pelbagai bidang berkaitan kehidupan, akhirnya timbul minat di hati anak muda berusia 35 tahun itu untuk berkongsi ilmu diperoleh bersama keluarga dan kawan.

Maka terhasillah penulisan rencana pendek yang kebanyakannya disiarkan dalam laman forum dan atas dorongan rakan serta pelayar internet, beliau berjinak menceburi bidang penulisan dengan niat murni supaya perkara yang baik dapat dimanfaatkan lebih ramai umat Islam.

"Selain usia yang mematangkan, keputusan menjadi insan lebih baik mula menerpa hati apabila saya ingin mendirikan rumah tangga pada 2000. Saya sedar menjadi suami, bapa dan ketua keluarga bermakna saya bakal memikul tanggungjawab besar.

"Maka, hati saya berkata, untuk memikul amanah serta tanggungjawab yang datang bersama status itu, saya perlu menjadi insan lebih baik. Bertitik tolak dari situ saya mengambil inisiatif mendalami ilmu agama," katanya.

Beliau yang kini bertugas sebagai Penolong Naib Presiden di Bahagian Perbankan Perniagaan, Affin Bank Berhad berkata, seperti remaja lain beliau pernah melalui saat di mana hidupnya dipengaruhi kehendak untuk berhibur dan melakukan perkara bertentangan dengan syariat.

Perkara itu berterusan ketika melanjutkan pengajian di UIAM. Walaupun kenakalan beliau tidak pada tahap ekstrim, tetapi penampilan sebagai seorang yang sentiasa ceria serta suka ketawa menjadikan beliau dilihat sebagai seorang yang tidak serius.

Akibatnya, ramai rakan yang mengenali anak kelahiran Bentong, Pahang itu terkejut apabila berjumpa dengannya dan tidak percaya dengan perubahan 360 darjah dilakukan sehingga ada menyangka beliau terbabit dengan kumpulan tabligh.

Mohd Yaakub berkata, bukan saja orang di sekeliling, malah jika ditanya kepada dirinya, beliau sendiri tidak menyangka akan diberi hidayah serta dorongan Allah untuk berubah dan memperbaiki kekurangan diri.

Justeru, katanya, apabila diberi peluang berubah ke arah lebih baik beliau berasakan seolah menjadi satu amanah untuknya berdakwah dan bidang paling dekat dengannya ketika itu ialah bidang penulisan yang dari sehari ke sehari menjadi tabiat positif dalam diri.

"Di sini saya jelaskan pengaruh kawan memang ada kuasa untuk merubah perwatakan seseorang. Apabila saya mula berkongsi pandangan di ruang siber, saya berkenalan dengan ramai orang yang ikhlas memberi pandangan serta kritikan.

"Mereka juga memberi dorongan kepada saya untuk berubah menjadi lebih baik dan menyumbang pula kepada masyarakat. Uniknya, kebanyakan mereka bukan dalam bidang agama, tetapi mampu menghasilkan karya hebat yang menandingi mereka dalam aliran agama," katanya.

Katanya, perasaan menyesal terutama apabila mengingat kembali perkara pernah dilakukan yang bertentangan dengan hukum syarak menguatkan lagi semangat beliau untuk terbabit dalam gerakan dakwah melalui penghasilan buku agama.

Bak kata pepatah, 'di mana ada kemahuan di situ ada jalan', dan dengan keazaman kuat banyak perkara positif dapat dilakukan seperti menghasilkan buku agama begitu juga perkara negatif yang dibuang secara perlahan-lahan contohnya, tabiat merokok.

Menyentuh bidang penulisan, Mohd Yaakub berkata, beliau tidak mengikuti kursus atau bengkel penulisan secara khusus, tetapi berbekalkan minat serta serba sedikit ilmu dituntut di UIAM, diam tak diam, sudah tujuh buku berjaya diterbitkan.

Beliau berkata, tidak disangka buku yang dihasilkan sebagai memenuhi kemahuan hati untuk menyumbang kepada masyarakat rupa-rupanya menjadi jambatan yang menghubungkan serta mendekatkan beliau dengan lebih ramai kawan.

Disebabkan itu, katanya, beliau tidak kisah jika ada yang mempertikaikan hasil karyanya kerana pegangan penulisannya berteraskan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah yakni berpegang teguh dengan ajaran al-Quran dan sunnah serta golongan salafussalih terdiri daripada sahabat, tabiin dan tabiut-tabiin.

"Jalan atau manhaj salafussalih adalah jalan selamat untuk diikuti umat Islam. Dalam menyampaikan ilmu, saya suka menggunakan istilah amar makruf nahi mungkar kerana menjadi tanggungjawab semua umat Islam mendidik kepada kebaikan.

"Saya buat sekadar yang termampu berpandu kepada sabda Rasulullah SAW supaya sampaikan walaupun hanya satu ayat," katanya yang turut menghadiri kelas agama dipimpin ulama serta ilmuwan untuk memantapkan kefahaman mengenai ajaran Islam.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, sewajarnya kelahiran lebih ramai golongan profesional dalam bidang agama untuk saling bantu membantu mengajak masyarakat ke arah kebaikan dan menentang perkara mungkar diterima secara positif.

Beliau berkata, adanya kumpulan yang digelar 'profesional ustaz' bukan untuk mengambil alih tempat tuan guru atau ustaz, tetapi sekadar membantu menyampaikan ilmu agama melalui pendekatan kreatif, efektif dan bertepatan dengan teknologi terkini.

Malah, kumpulan pendakwah daripada ahli profesional dalam pelbagai bidang itu masih bergantung kepada alim ulama sebagai rujukan untuk mempelajari ilmu agama, selain kajian dilakukan dan maklumat daripada pembacaan.

Mohd Yaakub berkata, kelebihan ustaz daripada kalangan profesional ini ialah mereka tahu ada ruang kosong yang tidak digapai golongan agama dan cuba memenuhi ruang kosong itu bagi membantu masyarakat mendapatkan maklumat diperlukan.

Katanya, dalam keadaan dunia tanpa sempadan hari ini, cara untuk mempelajari ilmu agama tidak hanya bertumpu di masjid, surau atau kuliah yang dianjurkan pihak tertentu. Sebaliknya, orang ramai menuntut ilmu di mana-mana saja dan pada masa mereka suka.

Kewujudan laman web contohnya, memberi ruang lebih luas kepada pelayar internet untuk menimba ilmu agama dan pada masa sama, membolehkan mereka bertukar pandangan atau berbahas bagi lebih memahami serta menghayati ajaran Islam.

"Terus terang saya katakan, masyarakat hari ini bukan seperti zaman dulu, mereka mementingkan soal kesahihan dan ketulenan fakta. Mereka tidak boleh dimomokkan dengan sebarang cerita atau kisah saja.

"Ia bermakna cabaran untuk pendakwah lebih besar, bukan sekadar memberitahu apa yang boleh dan tidak, tetapi menerangkan dengan terperinci hikmah di sebalik larangan atau suruhan itu berpandukan kepada al-Quran dan sunnah yang menjadi landasan utama," katanya.

Wednesday, February 27, 2008

Iqra: Menjadikan angan-angan kenyataan

Judul: Kunci Kejayaan Minda
Penulis: Dr 'Aidh Abdullah Al-Qarni
Penerbit: Telaga Biru Sdn. Bhd.
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM 25.90 (Semenanjung); RM 27.90 (Sabah & Sarawak)

RAMAI melihat angan-angan sebagai sesuatu yang sia-sia. Sebenarnya angan-angan boleh menjadi sesuatu yang positif untuk dimanfaatkan dan mendorong seseorang berusaha menjadikan angan-angan sebagai satu kenyataan.

Kebanyakan pakar motivasi percaya bahawa angan-angan adalah langkah pertama ke arah mencapai kejayaan. Walau bagaimanapun, angan-angan itu haruslah praktikal dan selari dengan kemampuan serta usaha yang bakal digerakkan nanti.

Pakar motivasi juga percaya pemikiran kreatif yang mampu melukis bentuk kejayaan ingin dicapai membuka peluang lebih besar untuk melihat hasrat itu dilaksanakan. Seterusnya, kita bolehlah melakar langkah demi langkah untuk menjadikan bayangan itu satu realiti.

Itulah yang dijelaskan secara terperinci oleh penulis buku terkenal Dr 'Aidh Abdullah Al-Qarni dalam bukunya Kunci Kejayaan Minda yang mengajak pembaca menggunakan kekuatan pemikiran untuk mencapai kejayaan dihajati.

Beliau yang juga penulis buku Jangan Bersedih yang sudah banyak kali diulang cetak dan diterjemah dalam 30 bahasa di seluruh dunia menyemarakkan hati pembaca melalui cara menggalakkan mereka untuk menghargai peluang kehidupan yang tidak seharusnya dipersiakan.

Namun begitu, seperti biasa, cabaran dan dugaan adalah dua perkara yang sudah pastinya tidak dapat dielakkan dalam menjalani proses menjadikan angan-angan sebagai satu kenyataan dalam dunia realiti.

Justeru, langkah yang perlu diambil ialah menangani setiap cabaran dengan bijak serta berhikmah supaya angan-angan tidak hanya tinggal angan-angan.

Buku Kunci Kejayaan Minda mendedahkan kunci untuk mencapai kejayaan yang dipersembahkan dalam format mudah, ringkas dan tepat mengambil contoh ditunjukkan Rasulullah SAW serta sahabat yang menjadi contoh teladan terbaik.

Antara kunci kejayaan ialah keyakinan diri menghadapi cabaran kerana dugaan hidup akan melemahkan semangat tetapi perasaan yakin yang ada mengembalikan kekuatan untuk berhadapan dengan apa juga rintangan mendatang.

Setiap kunci dalam bentuk fakta ringkas mencabar pembaca untuk memikirkan mesej disampaikan seterusnya menggunakan pemikiran mereka menggambarkan arah kejayaan. Mutiara kata dalam buku ini juga boleh dijadikan sumber motivasi dan peringatan setiap masa.

Bukan mudah untuk mencapai kejayaan tetapi ia juga bukan sesuatu yang mustahil dengan syarat kita memanfaatkan akal fikiran kurniaan Allah dan dengan sedikit imaginasi serta angan-angan, semua perancangan bakal menghasilkan kejayaan.

Selain itu, buku dengan gambar kulit muka mentol yang bernyala turut memaparkan pengalaman mereka yang dulu mencapai kejayaan serta langkah diambil bagi menghadapi rintangan untuk dijadikan panduan pembaca dalam merancang pelan tindakan ke arah mencapai matlamat.

Seandainya sewaktu proses menuju kejayaan itu kita tergelincir daripada landasan sepatutnya, maka segeralah kembali ke pangkal jalan kerana kereta api yang tergelincir daripada rel tidak akan sampai ke destinasi dituju.

Buku Kunci Kejayaan Minda mengajak pembaca menggunakan kebebasan yang diberi Allah untuk menentukan nasib dan berusaha bersungguh-sungguh memastikan apa yang dicitakan tercapai menggunakan kuasa minda.