Wednesday, March 5, 2008

Peguam Syarie Menulis: Wanita wajib taat suami selagi tak langgar syarak

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

KISAH segelintir wanita sudah berkahwin yang sanggup diusung lelaki lain untuk berhibur hingga ke bilik tidur yang didedahkan akhbar begitu mengejutkan. Malah, mereka sanggup bertukar pasangan antara satu sama lain, sentiasa terbuka menerima kenalan baru untuk dijadikan pasangan.

Ini perkara serius yang tidak wajar dipandang ringan walaupun ia dikatakan sebagai kes terpencil. Walau apa alasan mereka seperti tidak puas atau tidak menerima nafkah batin daripada suami, perlakuan sedemikian bukan jalan singkat yang perlu diambil bagi menyelesaikan masalah.

Menurut tokoh agama, Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz, tempat seorang isteri adalah di sisi suami dan isteri yang menjalin hubungan bersama lelaki lain tidak sepatutnya berlaku. Beliau berkata, perbuatan itu bukan saja tidak bermoral, malah lebih teruk daripada nusyuz iaitu tidak menghormati atau ingkar kepada suami. Seorang isteri sewajarnya tidak memandang lelaki lain selain suaminya.

Seorang isteri perlu taat kepada suami kerana wujudnya ikatan pernikahan, walau bagaimanapun tanggungjawab itu bukanlah mutlak tanpa batas sempadan. Antara syarat yang mewajibkan isteri mentaati suami ialah suami juga perlu menjalankan sepenuhnya tanggungjawabnya terhadap isteri.

Segala hak dan tanggungjawab saling bertimbal balik. Hak isteri adalah tanggungjawab suami. Sementara hak suami pula adalah tanggungjawab isteri. Antara lain yang mewajibkan isteri mentaati suami adalah arahan yang diberi suami tidak bertentangan dengan Islam.

Jika arahan suami bertentangan dengan ajaran Islam, arahan itu bukan saja tidak wajib dipatuhi, malahan suami patut diperbetulkan dengan cara bijaksana.

Mengenai tanggungjawab isteri mentaati suami boleh difahami daripada sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sekiranya aku (boleh) menyuruh manusia menyembah manusia nescaya aku akan menyuruh isteri menyembah suaminya." (Hadis riwayat Abu Daud)

Oleh itu, dapat dilihat di sini pentingnya isteri mentaati suami selagi ketaatan itu tidak terkeluar daripada landasan syarak.

Nusyuz daripada sudut hukum syarak bermaksud derhaka iaitu bermaksud isteri yang menderhakai dan tidak mentaati suami seperti diwajibkan Allah. Firman Allah bermaksud: "Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz). Hukum nusyuz bagi seorang isteri adalah haram. Ia adalah satu dosa besar bagi seorang isteri yang nusyuz terhadap suaminya." (Surah an-nisa', ayat 33)

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Jika seseorang lelaki mengajak isterinya ke tempat tidur, isterinya tidak datang dan suaminya tidur dalam keadaan marah, malaikat akan melaknat isteri berkenaan sehingga subuh."

Tidak ada peruntukan khusus dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam atau pun Akta Undang-undang Keluarga Islam terhadap dakwaan nusyuz. Cuma dinyatakan mengenai aspek peruntukan nafkah terhadap isteri yang nusyuz mengikut Seksyen 60 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 memperuntukkan:

"Tertakluk kepada hukum syarak dan pengesahan mahkamah seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu antara lain;

Apabila dia menjauhkan diri daripada suaminya;

Apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau

Apabila dia enggan bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain, tanpa apa-apa sebab sah mengikut hukum syarak."

Berdasarkan peruntukan itu, seorang isteri adalah tidak berhak menerima nafkah daripada suaminya jika beliau enggan mengikut perintah sah suaminya dengan melakukan satu atau semua perkara di atas. Namun demikian, mengikut peruntukan sama, seorang isteri tidak dikatakan nusyuz melainkan perbuatannya disahkan mahkamah terlebih dulu.

Bagaimanapun, Seksyen 60 (3) Enakmen yang sama memperuntukkan: "Selepas saja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz."

Oleh itu, walaupun isteri nusyuz atau enggan mengikuti perintah sah suaminya, tetapi kemudian dia bertaubat dan menurut semula kehendak suaminya, tidaklah dianggap nusyuz lagi dan dalam keadaan ini suami wajib memberi nafkah kepada isterinya.

Tindakan dilakukan wanita yang menjalin hubungan dengan lelaki lain sebenarnya lebih teruk daripada nusyuz kerana isteri sudah menduakan suami tanpa pengetahuan suami, malah yang lebih teruk lagi mereka mencampakkan diri ke lembah kehinaan dengan melakukan perzinaan.

Perilaku itu sewajarnya dibendung bukan di kalangan isteri saja, malah kepada pasangan mereka. Perbuatan mereka memberi kesan buruk kepada diri, agama dan masyarakat dan permasalahan ini akan menjadi lebih rumit jika isteri tadi mengandung serta melahirkan anak di luar nikah.

Adalah diingatkan kepada mereka, pulanglah ke pangkuan suami serta ke jalan yang benar. Jika sudah terlanjur, maka kembalilah kepada Allah dengan bertaubat nasuha serta berniat dengan bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya.

Zina sangat besar dosanya dan memberi kesan buruk kepada masyarakat. Firman Allah bermaksud: "Dan jangan kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu perbuatan yang keji dan satu jalan jahat (yang membawa kerosakan." (Surah al-Isra, ayat 32)

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Iqra: Panduan Al-Ghazali mantapkan jiwa remaja

Judul: Tip-tip Efektif Pimpinan Rohani Al-Ghazali Buat Remaja
Penulis: Deden Himawan
Penerbit: PTS Millennia Sdn Bhd
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM14.90 (Semenanjung) RM17.90 (Sabah/Sarawak)

SIAPAKAH Al-Ghazali menjadi pembuka tirai kepada perkenalan dengan tokoh kontroversi yang menjadi kekaguman umat Islam, tetapi ada kalanya turut dihina dalam buku Tip-tip Efektif Pimpinan Rohani Al-Ghazali Buat Remaja karya penulis Indonesia, Deden Himawan.

Hakikatnya, bukan hanya dalam dunia Islam, pengaruh Al-Ghazali yang terkenal dengan nama Latin Algazel turut meresap di kalangan ilmuwan Barat, di mana buku hasil karya beliau diterjemahkan dalam bahasa Latin.

Kira-kira 100 karya Al-Ghazali yang merangsang dan memberi ilham kepada beberapa ulama bagi menghasilkan karya yang sama hebatnya sudah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa di negara Islam.

Perselisihan pendapat karya Al-Ghazali menyentuh penggunaan hadis lemah, bahkan yang palsu. Sesetengah ulama tiada masalah dengan perkara itu selagi penggunaan hadis berkenaan tidak berkaitan dengan masalah hukum.

Bagaimanapun, dalam perselisihan pendapat karyanya, Al-Ghazali berjaya dalam beberapa perkara terutama yang menggabungkan dimensi mistik daripada agama diwakili tasauf dengan dimensi lahir bersumber hukum syariat menjadikan ajarannya selalu dikatakan sebagai tasauf yang bersyariat.

Menetapkan sasaran kepada kumpulan remaja, buku Tip-tip Efektif Pimpinan Rohani Al-Ghazali Buat Remaja yang dimulakan dengan riwayat tokoh terkenal itu diikuti dengan bab kedua yang membawa pembaca memahami tasauf menurut perspektif Al-Ghazali.

Antara isu dibincangkan ialah erti dan rahsia tasauf, tasauf berdasarkan syariat, kisah sufi dan tasauf memandang dunia, iman menurut pandangan tasauf dan konsep tuhan menurut tasauf.

Menariknya, cara Deden Himawan mendekati kelompok pembacanya secara bercerita, ada kalanya beliau bertanyakan soalan serta memberikan jawapan seolah ada interaksi antaranya dengan pembaca.

Begitulah beliau memulakan kisah keraguan yang menjadi titik tolak kepada pencarian kebenaran hakiki oleh Al-Ghazali. Walaupun bermula dengan kebingungan dan keraguan, Al-Ghazali yakin kebenaran hakiki pasti tercapai.

Semua itu diceritakan Al-Ghazali dalam kitab Munqidz seperti dibincangkan dalam buku Tip-tip Efektif Pimpinan Rohani Al-Ghazali Buat Remaja dalam bab tiga mengenai Konsep Pengetahuan dan Cara Mendapatkannya Menurut Pandangan Al-Ghazali.

Mengenali Al-Ghazali lebih dekat membawa pembaca meneroka banyak lagi kisah dikaitkan dengan tokoh terkemuka itu serta pendekatan beliau membimbing umat Islam memantapkan kerohanian mereka.

Tajuk dibahaskan turut diserikan dengan kartun serta sedutan daripada kitab Munqidz Min al-Dhalal sebagai fakta sokongan bagi memudahkan pemahaman selain menjadi unsur santai sebelum perbincangan diteruskan.

Membelek halaman buku itu satu persatu menemukan kita dengan pelbagai fakta bersifat terus kepada topik perbincangan dan tidak kurang memerlukan pembaca mencari maksud tersirat di sebalik kata-kata tersurat.

Sebagai bahan ilmiah, buku Tip-tip Efektif Pimpinan Rohani Al-Ghazali Buat Remaja bukan saja sesuai untuk remaja yang hati mereka memang ampuh dan memerlukan pedoman, malah sewajarnya turut dibaca dewasa.

Bukan saja untuk mengenali siapa Al-Ghazali atau mengkaji hasil penulisannya, tetapi juga sebagai santapan rohani yang akan menguatkan lagi keimanan serta melatih minda supaya rajin memikirkan apa yang ingin dicari dalam kehidupan seterusnya menetapkan matlamat ke arah mencapainya.

Bersama YaPEIM: Memperkuat hati dengan iman, akal

Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia

BERSIH HARTA DAN JIWA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin menyampaikan bantuan pendidikan kepada anak yatim dalam projek Skim Anugerah Kecemerlangan Pelajar Miskin/Anak Yatim Nasional (SANTUN) yang diperkenalkan YaPEIM.

Hawa nafsu didorong syaitan menzahirkan tingkah laku bertentangan hukum

UMUM mengetahui hati ibarat raja dalam diri manusia. Segala suruhan hati akan dipatuhi jasad. Jika hati kata mengantuk, mata dan seluruh anggota bersedia untuk tidur dan jika hati kata lapar, seluruh anggota tubuh bersedia mencari makanan. Itulah kuasa hati.

Benarlah sabda junjungan Nabi Muhammad SAW bermaksud: "Di dalam tubuh manusia ada seketul darah. Jika ia baik, maka baiklah seluruh jasad, namun apabila ia rosak, maka rosaklah keseluruhan jasad. Itulah hati."

Hati yang baik akan menzahirkan tingkah laku yang baik, manakala hati jahat biasanya akan menzahirkan tingkah laku yang jahat. Kadang-kadang berlaku di mana hati yang jahat menzahirkan tingkah laku baik. Keadaan ini dinamakan sebagai nifaq (munafik).

Satu persoalan yang timbul, adakah di sana wujudnya hati yang baik, namun tingkah lakunya tidak baik? Memang wujud keadaan sebegini. Contohnya, seorang ahli terapi sedang menjalankan sesi rawatan tiba-tiba melompat ke atas meja dan berperangai seperti monyet.

Lalu dia bertanya kepada pesakitnya: "Adakah saya ini monyet?" Pesakitnya menjawab: "Tidak!" "Kenapa?" tanya ahli terapi kembali. "Ia kerana tuan bertindak sedemikian dengan sesuatu tujuan."

Contoh ini menjelaskan bahawa hati yang baik mungkin dizahirkan dalam tingkah laku sebaliknya kerana ada sebab musababnya, seperti faktor paksaan atau menjadi mangsa kepada keadaan. Sebab itu dalam proses perundangan, latar belakang seseorang pesalah harus diambil kira sebelum sebarang penghakiman diberikan.

Di sebalik kekuasaan hati, umum mungkin tidak menyedari hati ibarat raja boneka. Boneka bermaksud hati hanya sekadar mengeluarkan arahan, namun arahan itu disediakan dan ditentukan penasihatnya terdiri daripada hawa dan nafsu jahat dan akal di sebelah pihak yang baik.

Konflik antara baik dan jahat adalah bersifat universal di mana ia wujud dalam semua agama dan ideologi. Dalam hati manusia, kedua-dua pihak ini bersaing untuk menguasai hati kerana dengan menguasai hati, hakikatnya mereka menguasai keseluruhan diri manusia.

Pihak baik diketuai akal, dipandu arah oleh ilmu dan makrifah, manakala di pihak jahat diketuai hawa dan nafsu yang didalangi musuh terbesar umat manusia iaitu syaitan. Hawa dan nafsu sebenarnya anugerah Allah kepada manusia. Tanpa nafsu makan, manusia akan mati kelaparan dan tanpa nafsu farj, manusia akhirnya akan pupus.

Secara fitrahnya, kedua-dua unsur itu dijadikan Allah untuk tunduk patuh kepada akal. Punca masalahnya ialah iblis yang bertindak mempengaruhi dan memanipulasi kedua-duanya demi kepentingan jahatnya.

Imam Al-Ghazali mengibaratkan hawa dan nafsu seperti pekerja yang sekali-sekala mendongak kepala melihat kepada tuannya. Apabila mendapati tuannya lalai, maka mereka bertindak menguasainya dan memperhambakannya. Maka jadilah akal manusia itu diperhambakan hawa nafsunya.

Berbalik kepada konflik tadi, cuba bayangkan hati ibarat satu bulatan. Pihak yang baik terzahir daripada tengah hati dalam bentuk cahaya yang menyinari keseluruhan hati. Cahaya itu disebut sebagai cahaya iman. Lebih kuat kuasa di pihak baik, maka makin kuatlah cahaya sehingga kadang-kadang cahayanya terpancar keluar pada wajah empunya hati itu.

Sementara pihak yang jahat pula menyerang daripada luar hati dalam bentuk kegelapan menghitam. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang menyatakan apabila seseorang melakukan dosa, satu titik hitam akan terbentuk di hatinya.

Rasanya pada ketika ini berapa banyak dosa yang kita sudah lakukan? Dengan senjata kegelapan tadi, hawa dan nafsu cuba menutupi lapisan hati supaya cahaya iman tidak dapat keluar. Bagi muslim yang peka dengan keadaan ini, mereka akan mengambil langkah memperkuatkan kembali cahaya iman tadi dengan menambah ilmu serta beramal.

Fenomena lemah dan kuatnya pancaran cahaya tadi menjelaskan keadaan di mana bertambah dan berkurangnya iman kita. Jika iman kita lemah, kita akan rasa berat untuk beramal, tetapi jika ia kuat, kita akan rasa ringan untuk beramal mendekatkan diri pada Allah.

Namun bagi hawa dan nafsu, sekali menguasai hati, mereka akan terus menguasainya. Mereka tidak akan memberi ruang kepada cahaya iman untuk kembali kuat. Segala usaha dilakukan dengan pertolongan syaitan melemahkan cahaya tadi seterusnya melenyapkan terus daripada hati.

Jika ini berlaku, maka malanglah bagi empunya hati itu kerana tiada yang lain dirasainya melainkan segalanya jahat belaka. Orang dengan ikhlas memberi nasihat, dianggap dengki dengannya. Hatinya ditutup Allah seperti firman-Nya bermaksud: "Allah menutup hati-hati mereka." (Surah al-Baqarah, ayat 7)

Ibarat tentera yang berjaya menawan kawasan pihak lawan, maka semua pos kawalan akan diambil alih, begitu jugalah apabila pihak jahat itu menguasai hati, mereka akan mengisi segenap ruang yang ada dengan bala tentera seperti hasad dengki, sombong, kedekut, malas, buruk sangka, dan segala macam sifat negatif.

Natijah daripada konflik rohani yang tidak bernoktah ini akan tampak pada tingkah laku kita. Jika pihak yang baik menang, hati akan menjadi baik lantaran memiliki penasihat yang baik, dan hati baik menzahirkan tingkah laku baik.

Demikian pula jika hati dikuasai pihak jahat, hati akan menjadi jahat, maka natijahnya adalah tingkah laku yang jahat juga. Hasil daripada konflik ini jugalah yang menentukan jenis nafsu yang ada pada kita sama ada nafsu tenang, nafsu mendesak kepada kejahatan dan nafsu yang menyalahkan diri.

Nafsu tenang terhasil apabila hati dikuasai pihak baik di mana hawa dan nafsu tunduk taat kepada arahan akal makrifah. Nafsu amarah dialami bila keadaan terjadi sebaliknya di mana hati dan akal dikuasai hawa nafsu.

Namun, bagi kebanyakan Muslim, keadaan hati mereka berubah-ubah. Kadang-kadang dikuasai iman dan ada kalanya dikuasai nafsu. Apabila hati dikuasai nafsu, kita pun melakukan dosa walaupun kita menyedarinya.

Apabila hati dikuasai iman semula, maka timbullah rasa bersalah. Dengan mengetahui hakikat hati, maka sewajarnya kita berusaha memastikan hati sentiasa dikuasai akal. Jangan kita biarkan ia diperkudakan nafsu. Kuasa dan pilihan di tangan kita dan ingatlah kita yang menentukan hala tuju perjalanan sama ada diredai Allah atau sebaliknya.

INTIPATI

Hati yang baik akan menzahirkan tingkah laku yang baik, hati jahat biasanya akan menzahirkan tingkah laku yang jahat, manakala hati yang jahat menzahirkan tingkah laku baik dinamakan munafiq.

Pihak baik diketuai akal, dipandu arah oleh ilmu dan makrifah, manakala di pihak jahat diketuai hawa dan nafsu yang didalangi musuh terbesar umat manusia iaitu syaitan.

Lebih kuat kuasa di pihak baik, sehingga kadang-kadang cahayanya terpancar keluar pada wajah empunya hati itu. Sementara pihak yang jahat pula membentuk kegelapan menghitam.

Jika iman kita lemah, kita akan rasa berat untuk beramal, tetapi jika ia kuat, kita akan rasa ringan untuk beramal mendekatkan diri pada Allah.

Nafsu tenang terhasil apabila hati dikuasai pihak baik di mana hawa dan nafsu tunduk taat kepada arahan akal makrifah. Nafsu amarah apabila hati dan akal dikuasai hawa nafsu.

Dengan mengetahui hakikat hati, maka sewajarnya kita berusaha memastikan hati sentiasa dikuasai akal dan tidak membiarkan ia diperkudakan nafsu.

Tuesday, March 4, 2008

Pencaci, pengeji gambaran jiwa kotor

Oleh Mohd Shukri Hanapi

SETIAP kata yang keluar daripada mulut mempunyai pengaruh dan implikasi besar terhadap orang lain. Apa saja kata yang keluar pasti akan memberi kesan mendalam di hati orang lain yang ditujukan dengan kata-kata itu.

Jika orang melemparkan kata kasar dan kotor kepada kita, hati akan panas membara. Jika orang bercakap menggunakan bahasa dan kata yang halus dan lembut, hati akan sejuk sesejuk air mengalir.

Imam al-Ghazali menyebutkan, "Kata-kata yang masuk ke dalam hati menerusi telinga adalah ibarat makanan yang masuk ke dalam perut menerusi mulut. Ada yang memberi manfaat dan ada yang menjadi mudarat. Ada yang menjadi penawar dan ada yang menjadi racun."

Dalam hal ini, Islam mengambil berat terhadap setiap perkataan yang diucapkan. Allah mengutuk dan membenci orang yang menggunakan lidahnya untuk mencaci atau mengeji. Allah berfirman yang bermaksud: "Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji." (Surah al-Humazah, ayat 1)

Hadis diriwayatkan daripada Abu Darda bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak ada yang lebih berat pada timbangan orang mukmin pada hari kiamat melainkan akhlak yang baik dan sesungguhnya Allah benci orang yang berperi laku dan berkata jahat (caci dan cela)." (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Perbuatan memaki, menghina, menyumpah dan sebagainya sangat ditegah dalam Islam. Ia hanya menimbulkan kebencian, pertelingkahan dan permusuhan sesama manusia. Islam menganjurkan umatnya supaya mengeluarkan perkataan yang baik, halus, berlapik, manis, indah dan sopan.

Allah berfirman yang bermaksud: "Berkatalah kepada manusia dengan kata-kata yang baik." (Surah al-Baqarah, ayat 83)

Perkataan yang baik bukan saja menggembirakan pendengar, malah boleh mendatangkan pahala seperti dijelaskan hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Perkataan yang baik itu adalah sedekah." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Orang yang suka menghamburkan kalimat kasar dan kotor menandakan orang itu memiliki jiwa yang kasar dan kotor. Rasulullah SAW menekankan bahawa seorang mukmin yang sejati tidak sekali-kali menghamburkan kata-kata kasar, kotor, memaki, mengeji dan seumpamanya.

Hadis diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bukanlah seorang mukmin itu yang jadi pencaci, pelaknat, bukan juga yang suka berkata kotor atau lidahnya suka menyebut kata-kata yang hina." (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Jika ditinjau sejarah kehidupan Rasulullah SAW, kita akan mendapati Baginda tidak pernah berkata kasar kepada sesiapa pun, sebaliknya Baginda sentiasa menjaga tutur kata serta cara bergaul dengan setiap masyarakat.

Sikap Rasulullah SAW itu hendaklah menjadi contoh ikutan umat Islam hari ini. Jika berkata, berbicara, bergurau, bergaul dengan orang lain hendaklah dengan cara baik, bersopan santun dan penuh berbudi bahasa.

Jika kita mengasihi orang lain dengan tidak menyakiti mereka, maka Allah merahmati kita. Tidak ada yang lebih berharga di dunia ini dan di akhirat nanti melainkan rahmat Allah.

Ufuk Minda: Membentuk kepemimpinan ummah mapan

Bersama Prof Dr Sidek Baba

RASULULLAH SAW adalah pemimpin yang terbukti mampu menawarkan perubahan akidah dan perubahan sistem terhadap masyarakat zamannya. Landasan itu diperkukuhkan oleh sahabat, tabi'-tabii'n, ulama ilmuwan dan khalifah terkemudian hingga prinsip dan nilai Qurani mampu membangun tamadun.

Di Madinah Rasulullah SAW membina asas contoh makna persaudaraan sejagat dan asas masyarakat majmuk berlandaskan suatu piagam unik yang menjadikan Madinah landasan tamadun atau umran hadhara (Ibn Khaldun).

Umat terkemudian menghadapi cabaran merealisasikan Islam dengan segala kepayahan kerana rasa persaudaraan semakin tiris dan pemahaman terhadap masyarakat majmuk berada pada tahap amat rendah. Lalu terlihat faktor agama terpinggir dan faktor bangsa menjadi sesuatu yang dominan.

Hampir 700 tahun Barat membina tamadun kebendaan, ia memikat umat Islam dan setengahnya menjadi penciplak setia tanpa melihat keperluan manfaat berbanding. Ada di kalangan umat membeku dalam lingkungan tradisi dan hilang keupayaan untuk melakukan tajdid atau islah yang mampu merintis perubahan dalam kerangka Islami.

Barat dan metodologinya dilihat sebagai musuh ketat sehingga hilang daya saring yang tinggi untuk memanfaatkan faedah berbanding sifatnya menyumbang. Malah, wujud secara rakus melulu dalam menciplak Barat sehingga faktor jati diri tidak menjadi pertimbangan lagi.

Inilah krisis mendepani umat yang memerlukan kepemimpinan berkualiti, responsif dan kreatif pada segenap lapangan.

Wujud bukti yang jelas bagaimana puncak kepemimpinan Islam di Sepanyol, orang Kristian dan Yahudi berasa terlindung di bawah kepemimpinan Islam. Islam tidak hanya dilihat sebagai suatu agama, tetapi digarap hasilnya sebagai sumber tamadun.

Islam mendukung risalah alamiah yang tidak saja menjadikan Islam dan umatnya sejahtera, tetapi pada masa sama memberi erti mengenai kemanusiaan itu sendiri. Pemikiran dan tradisi keilmuan umat Islam menyumbang kepada kebangkitan Barat dan Eropah.

Tamadun Islam menawarkan mereka ilmu mengenai sains dan teknologi, matematik dan perubatan, geografi dan falsafah sehingga mereka menemui kebijaksanaan membangun zaman dan tamadun baru.

Sejak abad ke-13 hingga kini, umat Islam berada di persimpangan antara kejatuhan yang parah, memperlihatkan kemampuan untuk terus bangun dan pada masa sama kehilangan lonjakan untuk memperkasa diri.

Ia menyebabkan faktor globalisasi menemui keberaniannya melebarkan jaringan penjajahan bentuk baru yang amat meresahkan umat Islam di mana-mana. Wujud kebimbangan mengenai terpinggirnya umat di semua lapangan hingga mencetuskan polimik tajam dan krisis keyakinan di kalangan umat Islam sendiri.

Kepemimpinan umat Islam di Malaysia harus memperkukuhkan dimensi sebagai sebuah masyarakat yang majmuk, penampilan sebagai kepemimpinan teras harus ada. Kepemimpinan teras tidak saja mempunyai upaya membangun masyarakatnya, malah turut menjadi sumber teladan dan ikutan orang lain.

Mengolah corak kepemimpinan berasaskan kerangka kaum adalah sesuatu yang lazim pada tahap faktor persaingan menjadi sengit. Tetapi, gagasan membangunkan masyarakat teras yang menjadi pelindung kepada yang lain seharusnya dijadikan keutamaan.

Hal ini boleh berlaku jika makna amanah kepemimpinan, maksud keadilan dan akauntabiliti dapat dilihat dalam perspektif yang luas dan merangkumi. Kepemimpinan umat Islam yang menjadi teras kepemimpinan di Malaysia seharusnya mampu mencerminkan wibawa lebih jelas supaya syak wasangka dan konflik dapat dielakkan.

Dalam tradisi Islam, kepemimpinan adalah suatu amanah yang menuntut nilai Islami menjadi faktor dapat diterima. Jika kepemimpinan umat Islam terdiri daripada mereka yang mempunyai asas ilmu kukuh, daya profesionalisme tinggi dan upaya strategik yang merintis ke arah kebijaksanaan, ia mampu memikat perhatian orang lain.

Pada prinsipnya yang menjadi isu di kalangan rakyat ialah asas mengenai hak untuk hidup dan bekerja, hak untuk diberi khidmat saksama dan hak untuk bersuara dalam etika diizinkan.

Kepemimpinan sebagai agen perubahan mestilah dipilih di kalangan mereka yang terbaik. Ia tidak saja memiliki prasyarat kepemimpinan yang sifatnya mewakili, tetapi mempunyai tekad politik tinggi ke arah perubahan dan kemajuan mapan.

Arah tuju pembangunan dan kemajuan Malaysia perlu mengambil kira acuan sendiri yang tidak menolak faktor positif dan menyumbang daripada tamadun orang lain.

Kepemimpinan era globalisasi tidak menjadikan pendekatan tradisional sebagai sesuatu yang mutlak dan membelenggu. Asas tradisi harus dijadikan mata rantai untuk melahirkan lonjakan ke arah kemajuan dan perubahan.

Asas tradisi seharusnya dijadikan kekuatan meneroka jalan perubahan lebih dinamik supaya antara sifat zaman dinamik berubah dengan faktor tradisi yang dijadikan pedoman boleh melahirkan sinergi amat bermakna menemukan maqasid syariah dengan faktor maslahah.

Jika sinergi ini dapat dicetuskan, pendekatan ketamadunan akan dapat diolah secara bersepadu, mengambil kira faktor tradisi yang menawarkan prinsip, pedoman serta faktor perubahan yang merintis jalan tamadun dan peradaban.

Perspektif Ikim: Akhlak sempurna jamin keadilan sosial

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan

HATI SUCI: Sifat keperibadian individu yang mulia membawa kepada suasana harmoni dalam mengendali urusan masyarakat. - Gambar hiasan

Individu gagal bimbing jiwa tak mampu tadbir urusan kehidupan masyarakat, negara

MENGHAYATI akhlak mulia dalam menjalani tugasan dan kehidupan adalah keperluan untuk membimbing individu termasuk ahli politik, korporat dan pentadbir dalam urusan bermasyarakat dan bernegara.

Islam mempunyai asas akhlak yang tersendiri bersumber daripada semangat falsafah tauhid. Akhlak membicara mengenai sistem perilaku ditentukan Allah untuk manusia dalam menjalani kehidupannya.

Justeru, semua kegiatan individu dalam urusan bermasyarakat mengikut Islam perlu menepati garis akhlak yang sudah ditentukan Allah. Kemampuan individu mengharmonikan segala aspek kelakuannya mengikut panduan akhlak akan membimbing mereka kepada keserasian hidup dengan fitrah kejadiannya.

Natijah daripada keserasian itu membolehkan individu berkenaan memperoleh kemuliaan dan kejayaan hidup di dunia, seterusnya di akhirat. Oleh itu, pembentukan individu dan masyarakat berakhlak sangat dianjur oleh Islam.

Nabi Muhammad SAW diutuskan untuk menyempurna akhlak manusia. Penyempurnaan akhlak manusia dalam semua urusan hidup mengikut Islam adalah syarat awal menjamin masyarakat kepada kecemerlangan semua aspek kegiatan, termasuk usaha membangun negara.

Mengikut Imam Al-Ghazali, akhlak adalah satu kajian berkaitan kepercayaan agama yang membicarakan mengenai kebenaran dan kebatilan berkaitan sesuatu amalan dan ia bukan sekadar sebagai satu bidang ilmu.

Matlamat utama akhlak ialah untuk mempengaruhi kelakuan sebenar seseorang individu. Setiap amalan baik adalah untuk menyuci jiwa semoga memperoleh pembalasan baik di akhirat. Kelakuan berakhlak bersamaan dengan tuntutan agama. Makin beramal seseorang individu dengan ajaran agama makin berakhlak individu itu.

Seterusnya Al-Ghazali menerangkan, akhlak adalah ilmu berkaitan roh, sifatnya dan ciri kelakuan manusia. Beliau dengan tegas menyatakan, akhlak ilmu amalan yang penting. Bagi beliau seseorang yang gagal membimbing jiwanya tidak akan mampu mentadbir urusan kehidupan orang lain.

Beliau menyarankan kemantapan akhlak mesti bermula dengan kefahaman berkaitan jiwa, kuasanya dan sifatnya. Menguasai ilmu itu adalah syarat awal untuk menyuci jiwa seperti disarankan al-Quran dalam firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya; Dan sesungguhnya hampalah orang yang mengotorinya." (Surah asy-Syams, ayat 9-10)

Manusia pada fitrahnya mengandungi sifat malakiah dan bahimiah. Kedua-dua sifat yang sedia wujud pada diri manusia penting untuk dibangunkan. Islam tidak menganjur kepada penghapusan sifat bahimiah dalam manusia.

Bahkan Islam mahu sifat bahimiah terus dibina dengan menuntut sifat malakiah mendidik dan membimbing sifat bahimiah. Sifat bahimiah menyediakan tenaga untuk manusia bergiat dan membuat perubahan dan sifat malakiah menjamin perubahan mengikut nilai akhlak yang dapat membawa kepada kemajuan mutlak tercapai.

Shah Waliullah, seorang ulama pada abad ke-18 ada mengutara beberapa asas akhlak yang dapat mengarah manusia bermasyarakat dan bernegara ke mercu kemuliaan, ke arah menterjemah keadilan dalam semua urusan kehidupan hingga terbina sebuah peradaban yang tinggi.

Empat ciri asas akhlak itu adalah:

Taharah. Penyucian diri manusia dalaman dan luaran. Individu Muslim digalakkan memiliki kesucian hati dan kebersihan luaran. Kesucian hati meliputi nilai akhlak yang murni seperti amanah, jujur, ikhlas, penyayang dan sebagainya.

Kebersihan luaran meliputi sikap positif seperti, disiplin, pemakaian kemas dan bersih serta pertuturan mempamerkan sahsiah yang tinggi. Memiliki nilai dalaman dan luaran menjadikan seseorang individu dapat menjalani urusan bermasyarakat dengan berkesan dan penuh disiplin.

Sifat keperibadian individu yang mulia itu akan dapat memainkan peranan positif kepada kegiatan kehidupan diceburi. Asas ini mampu dibina menerusi amalan ibadat wajib dan sunat seperti solat tahajud, solat witir, berzikir khususnya pada larut malam hingga hampir pagi. Kesucian hati hanya akan dibina selepas hubungan erat dengan Allah diamalkan.

Ikhbat. Menegak kebenaran menerusi ketaatan kepada Allah. Patuh dan cinta kepada kebenaran adalah satu daripada akhlak induk. Mereka yang tidak patuh kepada Allah menolak kebenaran, walaupun ia yakin sesuatu itu benar.

Justeru, keilmuan dan kefahaman yang benar akan mengawasi pandangan hidup dan segala tindak tanduk individu semoga semua tindak tanduk itu menepati arahan Ilahi. Kealpaan mendukung kebenaran menghasilkan individu yang munafik, iaitu tindakannya berbeza dengan apa yang dilafazkan. Jika sifat ini menjadi budaya dalam sesebuah masyarakat, ia adalah petanda awal kepada kemusnahan masyarakat itu.

Samahah. Sifat bertolak ansur, pemurah dan pemaaf. Sifat ini perlu dalam hidup bermasyarakat dan bernegara. Keutuhan dan kestabilan dalam sistem bernegara akan dapat dicapai jika sifat ini diamalkan setiap ahli masyarakat.

Kemajuan sesebuah tamadun adalah usaha bersama oleh setiap individu. Ia menepati sifat tabii kemanusiaan yang memiliki ciri manusia sosial. Justeru, sifat samahah adalah asas akhlak yang membawa kepada suasana yang harmoni dalam mengendali urusan masyarakat dalam sesebuah negara.

Adalah. Bersifat insaf dan adil. Menghayati semangat keadilan dalam semua aspek kehidupan adalah kemuncak kepada pembinaan tamadun manusia hasil daripada penghayatan ketiga-tiga asas akhlak terdahulu seperti taharah, ikhbat dan samahah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu supaya kamu dapat mengambil pelajaran." (Surah an-Nahl, ayat 90)

Kecapaian pelaksanaan semangat keadilan dalam penyelenggaraan setiap amalan pembangunan masyarakat adalah kemuncak keutuhan sistem bermasyarakat dan bernegara dan syarat awal kepada pembangunan sesebuah tamadun manusia.

Dalam usaha individu dan masyarakat menghayati nilai keadilan, golongan berilmu dikalangan masyarakat hendaklah memainkan peranan yang berkesan. Allah berfirman yang bermaksud: "Allah mengakui bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan selain daripada-Nya dan malaikat mengakui dan orang-orang berilmu yang tegak dengan keadilan." (Surah ali-'Imran, ayat 18)

Daripada perspektif kemajuan ekonomi dan pembangunan negara, pendekatan yang diambil menepati semangat falsafah akhlak Islam akan menjurus kepada pembangunan ekonomi dicapai menerusi pendekatan keadilan sosial.

Keadilan sosial bererti usaha ke arah pembasmian kemiskinan diberi keutamaan. Ia diikuti dengan penghapusan segala unsur kezaliman dalam perjalanan aktiviti ekonomi. Usaha itu akan mengurang jurang perbezaan antara yang kaya dan kurang bernasib baik.

Turut diberi perhatian menepati semangat keadilan ialah kemampuan negara meningkat keberkesanan dalam pengaliran harta kekayaan negara semoga lebih banyak peluang ekonomi dapat dicetus.

Ia sekali gus menyelesaikan masalah pengangguran. Pendekatan keadilan sosial dalam membangun ekonomi negara akan menjana kepada pertumbuhan ekonomi disertai kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan tercapai.

Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia

Monday, March 3, 2008

Terlalu fikir kesempitan hidup boleh jejas akidah

Oleh Hashim Ahmad

FAKTOR utama yang menjadikan manusia makhluk paling tinggi dan mulia berbanding makhluk lain ialah kerana ia dikurniakan akal oleh Allah. Dengan akal, manusia dapat berfikir, mengenali dan membezakan antara baik dengan buruk, hak dengan batil dan antara yang halal dengan haram.

Ketinggian dan keagungan ciptaan manusia berbanding makhluk lain jelas dinyatakan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: “Bahawa Kami (Allah) menciptakan manusia itu dalam sebaik-baik kejadian.” (Surah At Tin, ayat 4)

Namun demikian, sebahagian besar daripada manusia tidak mahu menerima hakikat itu. Ketinggian dan kemuliaan diberikan Allah kepada mereka dianggap remeh dan dipersiakan. Ada antara manusia menyalahgunakan akal yang dikurniakan Allah kepada mereka.

Manusia yang terbabit dalam kegiatan penagihan najis dadah, menjadikan minuman keras sebagai amalan hidup dan minuman utama mereka adalah antara manusia yang tidak mahu berterima kasih dengan nikmat pemberian akal kepadanya. Dadah dan arak adalah bahan yang memabukkan dan boleh menjadikan akal dan fikiran tidak tenteram serta tidak siuman.

Allah menjadikan manusia untuk menghuni alam ini ialah supaya mereka mengabdikan diri kepada-Nya. Firman Allah yang bermaksud: “Dan tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah (mengabdikan) diri kepada Ku.” (Surah az-Zariyat, ayat 56)

Sedar akan hakikat kurniaan akal fikiran dan tujuan ciptaan manusia untuk mengabdikan diri kepada-Nya itu, maka manusia tidak sepatutnya menyalahgunakan kurniaan ini. Sebaliknya, kita hendaklah menjadi makhluk yang bersyukur dan selalu tunduk, patuh serta bertakwa kepada-Nya, meninggalkan larangan dan mengerjakan segala apa yang disuruh.

Gunakanlah akal fikiran yang dikurniakan Allah untuk berfikir. Sesungguhnya berfikir itu boleh diibaratkan sebagai cermin. Dengan adanya cermin, kita dapat melihat yang mana cantik dan yang mana buruk. Begitulah juga halnya dengan berfikir. Dengan berfikir kita dapat menilai apakah kita berakhlak baik atau buruk; apakah kita masih diselubungi perasaan hasad dengki atau tidak.

Sesungguhnya kata-kata yang baik lahir daripada buah fikiran yang tajam dan bernas dapat dianggap sebagai zikir di sisi Allah. Kita dilarang memperkatakan perkara yang sia-sia. Diam itu lebih baik daripada memperkatakan yang sia-sia.

Namun demikian, diam kosong juga tidak ada maknanya. Sepatutnya kita menggunakan masa diam itu dengan berfikir supaya apabila kita bercakap nanti, segala apa yang diperkatakan itu adalah yang berfaedah dan bermanfaat. Moga-moga apa yang kita perkatakan itu pula dianggap zikir oleh Allah.

Satu perkara yang sangat dituntut supaya kita berfikir kebesaran Allah dan segala nikmat kurniaan-Nya. Dengan cara itu, manusia akan sentiasa memikirkan bagaimana untuk bersyukur dan menikmati rahmat Allah.

Di samping itu, manusia perlu hidup bermasyarakat. Kita digalakkan supaya bergaul mesra dan bantu membantu antara satu sama lain. Ini jelas daripada firman Allah yang bermaksud: “Bertolonglah kamu berbuat kebajikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan berbuat dosa dan aniaya. Takutlah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu sangat keras seksaannya.” (Surah al-Maidah, ayat 2)

Satu perkara yang perlu difikirkan setiap orang yang mengaku dirinya sebagai makhluk bermasyarakat ialah mengingati dan mengenangkan jasa dilakukan orang lain kepada dirinya. Dengan berbuat demikian, perasaan hasad dengki, dendam, cemburu, buruk sangka dan marah memarahi antara satu sama lain dapat dibendung.

Manusia yang tidak berfikir akan cepat dipengaruhi oleh harta benda yang melimpah ruah. Orang yang berfikir akan melihat kemiskinan sebagai ujian Allah supaya mereka sabar dan sentiasa mensyukuri nikmat yang diberi.

Memikir mengenai umur dan ajal juga digalakkan supaya kita sentiasa berada dalam keadaan sedia dan sentiasa menjaga diri daripada melakukan perkara yang mencari keredaan Allah. Manusia yang menggunakan akal fikiran, hidup mengikut syariat nabi dan rasul akan menjadi makhluk yang bahagia dan beruntung baik di dunia mahupun akhirat.

Untuk mencapai tingkat hidup yang diredai Allah, maka awasilah daripada memikirkan mengenai kemiskinan, kesusahan dan musibah yang menimpa diri, penganiayaan orang kepada kita dan hasrat untuk tinggal tetap di dunia ini.

Mereka yang sentiasa memikirkan kemiskinan dan kesusahan diri boleh menambah risau dirinya dan boleh menghilangkan rasa yakin terhadap qada Allah. Orang yang memikirkan perbuatan orang lain terhadap dirinya boleh menambah suburnya perasaan dendam dan dengki dan mereka yang sentiasa memikirkan untuk tinggal tetap di dunia ini pula akan sentiasa menunda amalnya serta lalai daripada mengingati mati dan hari akhirat.

Tajdid Iman: Balasan dosa ditangguh uji ketebalan iman

Bersama Dr Juanda Jaya
juanda@kutpm.edu.my

RAMAI manusia tertipu oleh kata hatinya sendiri selepas diputar belit pengaruh syaitan. Syaitan berbisik ke dalam hati manusia: "Allah Maha Penyayang, rahmat-Nya meliputi segala sesuatu. Selepas kamu melakukan dosa kecil, mengapa Allah tidak juga menurunkan apa-apa bala ataupun azab disebabkan maksiat kamu itu? Bukankah dosa yang kamu lakukan itu ringan saja? Lepas buat bertaubatlah! Habis cerita. Jangan takut, amal baik kamu banyak lagi."

Tidaklah semudah itu menanggalkan daki maksiat dalam jiwa raga kita. Jika dikiaskan maksiat seperti kotoran yang melekat pada kain, boleh dihilangkan dengan sekali cucian saja, alangkah mudahnya. Asalkan dicuci dengan taubat maka hilang serta-merta.

Sedangkan kain yang selalu diberus untuk menghilang noda tidak akan bertahan lama. Pasti koyak rabak akhirnya. Inikan pula hati manusia. Jangan diremehkan dosa kecil. Semakin kerap ia dilakukan walaupun dengan diiringi taubat, ia akan merosakkan hati dan seterusnya memberi kesan kepada amal perbuatan keseluruhannya.

Apakah kesan daripada melakukan dosa kecil?

Merangsang untuk melakukan dosa besar.

Jarang sekali ditemui seseorang yang tiba-tiba membunuh tanpa ada mukadimah pergaduhan atau pertelingkahan. Begitu juga orang yang berzina, pasti ada mukadimah rangsangan yang dilihat oleh matanya, ciuman atau sentuhan dalam pergaulannya.

Ibarat titisan air yang terus menerus boleh melubangi bongkah batu yang keras, maksiat dilakukan terus menerus akan memberi kesan kepada maksiat yang lebih besar lagi. Mata yang memandang gambar keji menjijikkan akan menyuruh kepada anggota badan yang lain untuk berzina. Sehingga Ibnu Abbas berpendapat: "Tidak ada dosa kecil jika terus menerus dilakukan. Kerana ia akan merangsang seseorang melakukan dosa besar."

Kadang-kadang perbuatan baik yang dilakukan hamba walaupun kecil dan ringan, bagi Allah ia sungguh bermakna. Demikian juga sebaliknya, dosa yang bagi manusia sedikit tetapi cukup membuat Allah murka hingga hari kiamat.

Seperti Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Adakalanya seseorang melepaskan sepatah kata daripada kata-kata yang diredai Allah yang dia tidak menyangka hal itu sedemikian rupa, tiba-tiba dicatat oleh Allah dalam keredaan-Nya sehingga dia berhadapan dengan Allah dalam keadaan diredai. Demikian pula ada kalanya seseorang bercakap sepatah kata daripada kata-kata yang membuat kemurkaan Allah yang dia tidak menyangka akan sedemikian rupa tiba-tiba dicatat oleh Allah dalam kemurkaan-Nya hingga hari kiamat." (Hadis riwayat Imam Malik dan al-Tirmizi)

Berasa aman daripada azab Allah.

Orang yang sentiasa melakukan dosa kecil beranggapan dia boleh berpegang kepada tali rahmat dan kasih sayang Allah sehingga tidak akan mungkin terjatuh ke dalam jurang kebinasaan. Tetapi sayang, dia sesungguhnya lupa terhadap sifat Allah yang Maha Adil saat membalas setiap kejahatan.

Bukankah sudah datang khabar daripada wahyu yang menyatakan perbuatan yang besar atau kecil semuanya tertulis dalam kitab catatan amal manusia? Setiap pandangan yang menyimpan syahwat, kebencian atau kedengkian segalanya dirakam dengan begitu rapi. Perkataan yang mewakili fitnah, ghibah dan kekotoran zina juga tidak luput daripada pemerhatian dua malaikat pencatat amal.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan diletakkan kitab catatan, lalu kamu akan melihat orang bersalah ketakutan terhadap apa yang tertulis di dalamnya, dan mereka berkata: "Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak pula yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada tertulis. Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang juga pun." (Surah al-Kahfi, ayat 49)

Tetapi mengapa manusia masih merasa aman daripada azab dan hukuman Allah? Mungkin kerana azab Allah itu tidak terus diturunkan serta-merta selepas mereka melakukan maksiat.

Cuba anda bayangkan selepas melayari laman web lucah seseorang terus dijangkiti penyakit mata merah yang rasanya gatal dan pedih bukan kepalang. Pasti tidak ada seorang manusia pun berani melihat benda keji seperti itu.

Ataupun selepas mengumpat, mengeji dan memfitnah orang lain tiba-tiba orang itu terkena kanser di mulutnya. Selepas puas makan harta anak yatim perutnya membuncit. Perkara ini tak pernah berlaku disebabkan kelembutan Allah kepada makhluknya.

Namun demikian, masih saja mereka yang bermaksiat itu berdalih: "Mengapa Allah tidak membalas kejahatanku ini? Aku masih hidup dengan limpahan nikmat-Nya, tidak ada musibah dan seksa yang menimpa diriku."

Lantas dia menyangka baik apa-apa perbuatan jahat yang dilakukannya. Padahal Allah hanya menangguhkan balasan atas kejahatannya itu untuk menguji sekebal mana imannya melawan libasan pedang maksiat.

Al-Quran menggambarkan manusia yang merasa aman daripada perbuatan maksiat dalam firman Allah yang bermaksud: "Mengapa Allah tidak menyeksa kita disebabkan apa yang kita katakan itu? Cukuplah bagi mereka Jahanam yang akan mereka masuki dan neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali." (Surah al-Mujadilah, ayat 8)

Mencemarkan jiwa dan menghilangkan rasa nikmat dalam beribadah.

Dosa kecil yang dilakukan terus menerus walaupun boleh dihapuskan dengan melakukan solat dan berpuasa seperti mana disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sembahyang lima waktu, Jumaat hingga Jumaat dan Ramadan hingga Ramadan menjadi penghapus dosa di antaranya. Jika kamu menjauhkan dosa besar."

Akan tetapi kekerapan melakukan dosa bagaimanapun akan membawa pengaruh buruk dalam keseluruhan peribadi seorang Muslim. Setiap perbuatannya yang mewakili kejahatan akan membekas di dalam jiwa.

Apabila perbuatan dosa itu semakin sedap dilakukan, maka akan dicabut nikmat dari dalam hati hamba ketika bermunajat kepada Allah. Dan digantikan dengan azab yang tidak nampak. Apakah bentuk azab itu?

Tahukah anda azab yang paling menyakitkan berbanding kanser, muflis, dipulaukan kawan, dijarah harta benda, dilucutkan daripada pangkat dan jawatan bahkan diaibkan di dada akhbar? Azab ini begitu berbahaya, mematikan kesucian jiwa hingga meranapkan binaan iman. Azab yang melanda hati. Iaitu apabila hati tidak merasai kemanisan berdekatan dengan Allah, apabila kenikmatan ibadat itu telah dicabut daripada rongga hati.

Selagi mana seseorang itu melakukan dosa dia tidak akan merasai nikmatnya beribadah. Apakah ada kekhusyukan ibadat bagi orang yang menyimpan amarah, dengki dan cemburu kepada orang lain? Adakah terasa nikmatnya berpuasa bagi orang yang tak pernah puas melayani hawa nafsunya?

Adakah berkesan ibadat zakat dan sedekah bagi mereka yang tamak kepada harta orang lain? Adakah nikmat merasai kelazatan al-Quran bagi orang yang suka membaca aib orang lain dengan begitu teliti.

Semua itu adalah akhir daripada rentetan panjang sejarah dosa kecil yang dilakukan, bermula secara senyap, sedikit dan tidak nampak. Akhirnya menjadi kebiasaan, terang-terangan tanpa rasa malu dan takut . Bermula melakukan dosa kecil berakhir dengan kejahatan besar yang menjadi penyesalan buat selama-lamanya.

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my

Projek sekolah rendah agama diutama

Oleh Hasliza Hassan




UNTUK SYIAR ISLAM: Dr Mohamad Khir melihat pelan Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding pada majlis pecah tanah sekolah itu, baru-baru ini. Turut memerhati (dari kiri) Pengarah Jais, Datuk Mohd Khusrin Munawi, Zainal Abidin dan Ismail.

Kerajaan tambah SRA ikut keperluan, permintaan penduduk Islam setempat

PENDIDIKAN Islam tetap menjadi teras dalam program memantapkan mutu pendidikan di Selangor dan pelbagai usaha dilaksanakan bagi memenuhi keperluan terutama kepada pelajar sekolah rendah agama (SRA).

Justeru, bagi memenuhi keperluan masyarakat yang mahukan anak mereka mendapat didikan agama sempurna, kerajaan melalui Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) cuba menyediakan SRA di kawasan dirasakan sesuai mengikut permintaan berdasarkan jumlah pelajar.

Penyelia Kanan Tertinggi Pengurusan Pendidikan Islam Daerah Hulu Langat, Ruzmi Mohd Rawi, berkata pembukaan taman perumahan baru dengan kepadatan penduduk yang tinggi menyebabkan keperluan kepada SRA turut bertambah.

Katanya, permintaan penubuhan SRA terus meningkat kerana ibu bapa sekarang ini mahukan tradisi anak mendapat pendidikan yang seimbang di sekolah kebangsaan dan sekolah agama seperti mereka lalui dulu diteruskan.

"Memang menjadi hasrat kita menyediakan SRA bagi memenuhi kehendak masyarakat yang menyedari kepentingan anak mereka mendapat didikan agama seperti fardu ain, fikah, akhlak, bahasa Arab dan al-Quran.

"Bagaimanapun, bukan semua tempat kita boleh bina SRA memandangkan faktor tanah serta kos pembinaan yang tinggi," katanya yang ditemui pada majlis pecah tanah Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding, baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo. Hadir sama, Pegawai Daerah Hulu Langat, Zainal Abidin A'ala; Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Markiman Kobiran dan calon Barisan Nasional (BN) DUN Dusun Tua, Ismail Sani.

Pembinaan sekolah yang mempunyai dua blok bangunan tiga tingkat dengan 20 bilik darjah itu menelan belanja RM7.7 juta dan antara 40 sekolah baru yang dibina di Selangor.

Pada masa ini, penduduk Sri Nanding serta taman perumahan berdekatan menghantar anak mereka mengikuti pengajian kelas agama di Kafa Integrasi al-Munir, Taman Sri Nanding yang terletak dalam kawasan surau taman berkenaan.

Ruzmi berkata, perancangan pembinaan SRA di Dusun Nanding dibuat atas permohonan penduduk kawasan itu beberapa tahun lalu tetapi projek itu tertangguh disebabkan proses pengambilan tanah dan kos pembinaan yang bertambah.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu pelajar di kawasan berkenaan meneruskan pengajian agama di SRA yang paling hampir dengan taman perumahan mereka atau di sekolah Kafa Integrasi.

"Kami bersyukur kerana hasrat menyediakan SRA di kawasan ini akhirnya menjadi kenyataan dan Pejabat Agama Daerah Hulu Langat yang bertanggungjawab dari segi pengurusan berusaha memastikan pelajar mendapat didikan terbaik.

"Cuma kita harap ibu bapa dan pelajar sabar menantikan bangunan baru nanti yang bakal memberi keselesaan kepada mereka dan guru dalam usaha membina modal insan cemerlang untuk agama, bangsa dan negara," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, sekolah yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun itu menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin dan berusaha memenuhi hasrat masyarakat terutama yang membabitkan bidang pendidikan yang menjadi agenda penting.

Katanya, sektor pendidikan adalah pelaburan jangka panjang dalam usaha mewujudkan masyarakat berilmu dan melahirkan tenaga kerja yang produktif serta berpengetahuan, selaras pembangunan pesat negara.

"Kerajaan berusaha menyediakan kemudahan pembelajaran yang kondusif bukan saja untuk sekolah kebangsaan, juga sekolah agama yang menjadi teras kepada usaha melahirkan generasi akan datang yang berdaya saing, berketrampilan dan berakhlak mulia.

"Bagi SRA Dusun Nanding, kesulitan yang kita hadapi ialah peningkatan kos yang asalnya hanya RM4 juta tetapi meningkat sekali ganda. Bagaimanapun, segala usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri melalui Jais, pembinaan sekolah ini akhirnya dapat dimulakan tidak lama lagi," katanya.

Sunday, March 2, 2008

Ulul Albab: Baiat jadi penyumbang kestabilan politik

Oleh Abdul Rahman Haqqi

Kontrak sosial dengan ketua negara terpilih atas dasar setia, taat selagi tidak lakukan maksiat

MUNGKIN kerana tidak begitu dikenali dalam bahasa Melayu, istilah 'baiat' tidak tersenarai dalam kamus berbahasa Melayu padahal dalam kajian politik Islam ia menjadi satu kajian tersendiri dan teori yang diamalkan pada zaman Nabi dan sahabat Baginda. Bahkan, dalam sebuah hadis, baginda bersabda maksudnya: "Sesiapa yang mati dan di lehernya tidak ada baiat, maka sesungguhnya dia melepaskan ikatan Islam daripada lehernya." (Hadis riwayat Muslim)

Menurut Ibn Khaldun, baiat adalah perjanjian atas dasar kesetiaan bahawa orang yang berbaiat menerima seseorang yang terpilih menjadi ketua negara sebagai pemimpinnya dalam melaksanakan urusannya dan semua urusan kaum muslimin. (al-Muqaddimah, 209)

Daripada definisi baiat yang diberikan Ibn Khaldun di atas dapatlah difahami bahawa baiat adalah satu perjanjian ikrar taat setia terhadap seseorang pemimpin yang akan mengurus semua urusan kepemimpinan (leadership) orang berkenaan sama ada dalam aspek keduniaan mahupun akhirat.

Perkara ini dibuktikan dalam satu kejadian sejurus selepas Nabi Muhammad SAW wafat. Jika ketika itu baiat Saidina Umar ibn al-Khattab terhadap Saidina Abu Bakar al-Siqqiq tidak diikrarkan, mungkin sejarah Islam akan melalui arah jalan yang lain sehingga umat Islam tidak seperti sekarang.

Dalam keadaan kelam-kabut di mana kepentingan berpuak kembali muncul selepas Baginda mangkat, Umar bangkit dan berjabat tangan dengan Abu Bakar seraya berkata: "Bukankah tuan orang yang diarahkan oleh Rasulullah untuk mengimamkan orang Islam dalam sembahyang sebagai ganti Baginda ketika Baginda sakit, maka tuanlah orang yang paling berhak menjadi pengganti Baginda. Tuanlah orang yang paling dikasihi oleh Rasulullah, maka kami berikrar taat kepada tuan sebagai Khalifah."

Baiat atau ikrar taat setia Umar ini kemudian diikuti oleh Abu Ubaidah ibn al-Jarrah kemudian sahabat Muhajirin dan Ansar yang ada dalam majlis Bani Saidah. Keesokan harinya barulah ikrar taat setia dilakukan oleh umat Islam Madinah dalam satu perhimpunan massa yang besar dan Saidina Abu Bakar pun berucap untuk julung kalinya dalam ucapan pelantikannya yang masyhur.

Baiat secara bahasa ialah berjabat tangan atas terjadinya jual beli, dan untuk berjanji taat setia. Baiat, bai'at, bai'ah atau mubaya'ah (kata kerjanya baya'a - yubayi'u) mempunyai erti perjanjian. Makna asalnya lebih kurang tukar-menukar sesuatu dengan yang dianggap sebanding. Jual-beli, di samping bai' dalam bahasa Arab, disebut juga mubaya'ah yakni pertukaran barang dengan wang yang senilai dengannya.

Baiat juga mempunyai erti janji taat setia seperti dalam kalimat 'qad tabaya'u 'ala al-amri' atau mereka saling berjanji atas sesuatu perkara. Dalam suatu hadis Nabi SAW bersabda: "Ala tubayi'uni 'ala al-islam" (Mahukah kalian membaiatku di atas Islam?)

Dalam konsep ilmu politik Islam melalui baiat seolah-olah orang yang berbaiat memberikan perjanjian kepada pemimpinnya untuk menerima pandangan mengenai masalah dirinya dan urusan kaum muslimin, tidak akan menentang sedikitpun dan selalu mentaatinya untuk melaksanakan perintah yang dibebankan atasnya baik dalam keadaan suka atau terpaksa.

Ketika membaiat seorang pemimpin dan mengikat tali perjanjian, manusia meletakkan tangan mereka pada tangan pemimpin berkenaan sebagai penguat perjanjian, sehingga menyamai perbuatan penjual dan pembeli, maka dinamakannya baiat iaitu ism al-masdar dari kata ba 'a, dan jadilah baiat suatu istilah secara bahasa dan secara ketetapan syarak. (Rujuk Ali Hasan, al-Bai'ah baina al-Sunnah wa al-Bid'ah)

Dan baiat secara syarak mahupun kebiasaan tidaklah diberikan kecuali kepada amirul mukminin dan khalifah kaum muslimin yakni pemimpin tertinggi mereka. Oleh kerana orang yang meneliti secara saksama dan cermat kenyataan yang ada baiat masyarakat kepada ketua negaranya, dia akan mendapati bahawa baiat itu terjadi untuk ketua negara. Dan pokok daripada pembaiatan hendaknya setelah ada musyawarah daripada sebahagian besar kaum muslimin dan menurut pemilihan ahlu al-halli wa al 'aqdi.

Dalam pelantikan Abu Bakar didahului oleh ikrar taat setia ahli mesyuarat dalam 'Parlimen' Bani Sa'idah; dalam pelantikan Umar didahului oleh surat wasiat Abu Bakar yang ditulis Saidina Othman bin Affan selepas Abu Bakar meminta pendapat sahabat; dalam pelantikan Othman didahului oleh ditunjukkan enam sahabat oleh Umar bagi memilih satu daripada mereka untuk menjadi khalifah; dan dalam pelantikan Saidina Ali ibn Abi Talib ketika negara dalam keadaan huru hara didahului oleh ikrar taat setia Sa'ad ibn Abi Waqqas, Talhah, dan Zubair; kemudian diikuti semua umat Islam.

Baiat adalah asas legitimasi kepemimpinan dalam Islam. Oleh itu, kita melihat bagaimana ia sangat berperanan dalam pelantikan Khulafa Rasyidin di atas. Walaupun cara pelantikan mereka berbeza tapi baiat ada dalam semua pelantikan.

Sebelum itu, pada zaman Nabi baiat banyak berlaku bahkan al-Quran merakamkannya dalam beberapa ayatnya yang mulia. Dalam ayat 10 Surah al-Fath disebutkan maksudnya: "Sesungguhnya orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad – untuk berjuang menentang musuh), mereka sebenarnya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan janji setianya itu hanya menimpa dirinya sendiri; dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberikan kepadanya pahala yang besar."

Begitu pula dalam Surah al-Mumtahanah ayat 12 disebutkan maksudnya: "Wahai Nabi! Apabila orang perempuan yang beriman datang kepadamu untuk memberi pengakuan taat setia, bahawa mereka tidak akan melakukan syirik kepada Allah dengan sesuatu pun, dan mereka tidak akan mencuri, dan mereka tidak akan berzina, dan mereka tidak akan membunuh anaknya, dan mereka tidak akan melakukan sesuatu perkara dusta yang mereka ada-adakan dari kemahuan hati mereka, dan mereka tidak akan menderhaka kepadamu dalam sesuatu perkara yang baik, maka terimalah pengakuan taat setia mereka dan mohonkanlah kepada Allah supaya mengampuni dosa mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Negara Madinah pada zaman Nabi berdiri kuat dan kukuh kerana diawali suatu baiat yang berlaku pada 622M. Ketika itu sekelompok penduduk Madinah sama ada yang sudah masuk Islam dan yang belum masuk Islam sedang menunaikan haji ke Makkah dan mereka berjumpa dengan Nabi di kawasan 'Aqabah, dekat Makkah. Mereka berkata: "Demi Allah yang mengutusmu dengan kebenaran, kami membaiatmu (ikrar taat setia) wahai Rasulullah. Demi Allah, kami adalah orang peperangan dan lihai dalam pertempuran yang kami warisi daripada nenek moyang kami. Kami dengan kaum Yahudi terikat perjanjian yang sudah akan kami putuskan. Tapi apa jadinya kalau ini kami lakukan, kelak Tuhan memberikan kemenangan kepadamu, lalu engkau kembali kepada masyarakatmu dan meninggalkan kami? Nabi tersenyum dan bersabda maksudnya: "Tidak, saya sehidup semati bersama kamu. Kamu adalah bahagian daripada saya, dan saya adalah bahagian daripada kamu. Saya akan memerangi siapa yang kamu perangi, dan saya akan berdamai dengan siapa saja yang kamu ajak berdamai."

Baiat Aqabah Kedua di atas menjadi asas terbentuknya masyarakat Muslim dan negara di Madinah. Peristiwa baiat ini dijadikan oleh ulama sunni sebagai satu daripada prinsip dalam prinsip umum teori pemikiran politik Islam, dalam hubungannya dalam pelantikan khalifah. (Dr J Suyuthi, Fiqh Siyasah, 73-4)

Muhammad Abu Zahrah dalam Tarikh al-Mazahib al-Islamyyah menulis bahawa baiat adalah syarat yang disepakati majoriti umat Islam, sunni dalam pemilihan ketua negara yang dilakukan ahl al-halli wa al-'aqdi sebagai wakil umat. Mereka mengadakan kontrak sosial dengan ketua negara terpilih atas dasar kesetiaan dan ketaatan kepadanya selama mana dia tidak melakukan maksiat. Oleh itu ketua negara harus melaksanakan haknya menjalankan undang-undang dan kewajipan mewujudkan keadilan sesuai dengan ketentuan kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya. (hal. 91)

Fakta sejarah dalam prinsip baiat di atas menunjukkan amalan kontrak sosial dilakukan oleh umat Islam generasi pertama. Selepas itu, beberapa abad kemudian ia dijadikan sebuah teori oleh Imam al-Mawardi (405H) pada abad ke-11 Masihi. Di Eropah, teori kontrak sosial baru muncul untuk pertama kalinya pada abad ke-16 Masihi yakni ketinggalan lima abad lamanya daripada sejarah Islam.

Dalam teori kontrak sosial Barat, seperti dalam A History of Political Tought karya G H Sabine, dinyatakan bahawa seseorang atau sekelompok manusia menyerahkan hak kekuasaan dirinya kepada seseorang atau kepada institusi yang disepakati. Imlpikasi teori ini adalah bahawa sumber kedaulatan negara berasal dari rakyat dan memperoleh legitimasi menerusi kontrak sosial antara kedua belah pihak. (Suyuthi, Fiqh Siyasah, 72)

Dr Abdul Muta'al Muhammad Abdul Wahid seperti dinyatakan dalam al-Bai'ah baina al-Sunnah wa al-Bid'ah mengatakan : "Ketiadaan imam adalah menjadi sebab munculnya kelompok mendakwa bahawa dirinyalah yang berhak dibaiat dan menjadi imam."

Ketika mengkaji baiat ulama membincangkan pengertian baiat menurut istilah yang biasa dikenal, berapa macamnya, apa erti sebenarnya, apa yang dimaksud dengan baiat itu? Apa hikmah yang terkandung di dalamnya, dengan apa baiat itu wajib, atas siapa baiat diwajibkan, syarat sempurnanya baiat, serta dengan apa baiat itu rosak.

Jika prinsip baiat diterapkan dengan benar dan betul maka ia akan menjadi penyumbang kepada kestabilan negara kerana dengan baiat legitimasi kepemimpinan berakar kuat, begitu pula sebaliknya. Dengan perkataan lain, pada hari ini prinsip baiat dalam sistem politik Islam adalah amalan demokrasi dalam pilihan rakyat dengan tujuan memberi mandat untuk memimpin rakyat dan meneraju negara. Walaupun dalam kedua-duanya ada persamaan dan perbezaan yang tidak boleh dielakkan. Wallahu a'lam.