Saturday, June 28, 2008

Mengingati kiamat bangkit keinsafan

Oleh Wan Abd Rahim Wan Mohamad

AL-QURAN adalah kitab dan mukjizat paling indah. Keindahannya bukan sekadar untuk diperdengarkan bacaannya tetapi diambil perhatian mengenai peringatan dan ancaman yang dijelaskan dalam ayatnya sebagai menambahkan ketaatan manusia kepada Allah pencipta semesta alam.

Allah berfirman yang bermaksud: "Apabila matahari digulung dan bintang berjatuhan dan apabila gunung dihancurkan dan unta yang bunting ditinggalkan tidak dipedulikan dan apabila binatang liar dikumpulkan dan lautan dijadikan meluap dan apabila roh dipertemukan dengan tubuh, bayi perempuan dikuburkan hidup-hidup ditanya kerana dosa apakah ia dibunuh, dan apabila catatan amal perbuatan manusia dibuka dan langit dilenyapkan dan apabila api neraka jahim dinyalakan dan syurga didekatkan, maka setiap jiwa akan mengetahui apa yang sudah dikerjakannya, sesungguhnya Aku bersumpah dengan bintang yang beredar dan terbenam demi malam apabila sudah hampir meninggalkan gelap dan demi subuh apabila fajarnya mula menyingsing, sesungguhnya al-Quran itu benar-benar firman Allah yang dibawa oleh utusan mulia yang mempunyai kekuatan, kedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai arsy ditaati lagi dipercayai." (Surah at-Takwir, ayat 1-21)

Rasa takut dan cemas terbayang menekan kita. Ketakutan meliputi seluruh alam dan mencemaskan jiwa serta menggoncang dada. Malah, ketakutan mencengkam seluruh bumi dan langit yang digerakkan lagi oleh ketakutan dan digentarkan pula oleh firman-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Apabila terjadi hari khiamat, tidak seorang pun dapat berdusta mengenai kejadiannya. Kejadian itu merendahkan satu golongan dan meninggikan golongan yang lain. Apabila bumi digoncang sedasyatnya dan gunung dihancur luluhkan sehancurnya, maka jadilah debu yang berterbangan." (Sural al-Waqiah, ayat 1-6)

Pada saat lain, ketakutan itu terlintas dalam bayangan dan bergoncang perasaan. Semua itu sebagai peringatan kepada kita untuk menambah ketaatan dan ketakwaan.

Firman Allah yang bermaksud: "Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu, sesungguhnya kegoncangan hari kiamat itu adalah suatu kejadian yang besar dan dasyat. Ingatlah pada hari ketika kamu melihat kegoncangan itu, lalailah semua wanita yang menyusui anaknya. Dan gugurlah kandungan semua wanita yang hamil, dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk akan tetapi azab Allah itu sangat kerasnya." (Surah al-Hajj, ayat 1-2)

Demikian gambaran demi gambaran yang ditampilkan Allah mengenai pemandangan hari kiamat. Sesekali perasaan takut merasuk ke jiwa dan pada saat lain berasakan kemantapan dan ketenangan.

Sesekali terbayang api neraka yang membakar dan sesekali pula hembusan sejuk angin syurga menerpa, lantaran itu pengenalan terhadap alam akhirat menjadi penting dan sempurna sebelum hari yang dijanjikan itu tiba.

Firman Allah yang bermaksud: "Hari kiamat; apakah hari kiamat itu? Tahukah kamu, apakah hari kiamat itu? Pada hari itu manusia adalah seperti anai-anai yang bertebaran dan gunung-gunung adalah seperti bulu yang dihamburkan." (Surah al-Qariah, ayat 1-5)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Pada hari ketika manusia lari daripada saudaranya, ibu bapanya, isteri dan anaknya setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkan."

Demikian paparan yang diungkapkan al-Quran mengenai peristiwa yang mengerikan. Ungkapan pemandangan kiamat tentu meresap, membangkit kesedaran dan keinsafan. Betapa hari kiamat senantiasa menjadi perhitungan dalam hidup. Ia begitu lekat dalam hati dan lisan. Lantas kita pun bersungguh-sungguh melaksanakan kewajipan dan ketaatan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Allah akan melipat petala langit di hari kiamat lalu menggenggam dengan tangan kanan-Nya seraya berkata; Aku Raja segala raja! Di manakah orang yang membesarkan diri? Di manakah orang yang menyombong diri? Kemudian Dia melipat bumi dengan tangan kiri-Nya seraya berkata: Akulah Raja segala Raja! Di manakah orang yang menyombong diri?"

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong kerana sesungguhnya kamu tidak akan dapat menembus bumi dan kamu tidak akan mencapai setinggi gunung." (Surah al-Isra', ayat 37)

Kesombongan itu menggelapkan jalan ke syurga, merosak pergaulan, merenggang pertalian, memecah perpaduan. Al-Quran sebagai mukjizat dan penawar selayaknya ditampilkan sebagai panduan, peringatan bukan sekadar bacaan dan nyanyian malah sebagai penyatuan serta keinsafan.

Justeru, al-Quran sebagai mukjizat dan penawar bukan saja untuk dihayati keindahannya, malah memberi petunjuk untuk membina ketaatan, menjadi orang beriman yang membela kebenaran, memelihara diri daripada dosa dan kemurkaan.

Mengingati hari akhirat memberi kesedaran dan keinsafan bahawa penghujung jalan terbentang suatu lagi perjalanan yang masih panjang.

Friday, June 27, 2008

Sabar hadapi ujian dijanjikan syurga

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

Kesenangan, musibah sebagai cubaan untuk menilai kekuatan iman umat Islam

SESEORANG yang ingin mengenalpasti sesuatu perkara atau benda, sama ada asli atau palsu, maka wajarlah terlebih dulu mengujinya dengan kaedah tertentu. Begitulah keadaannya keimanan yang terselit di dada seseorang, perlu sekali melalui proses ujian atau cubaan Allah untuk menilai sama ada teguh atau rapuh.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah akan menguji dan mencuba salah seorang di antara kamu dengan cubaan sebagaimana salah seorang kamu menguji kadar emasnya dengan api. Maka sebahagian mereka akan keluar dari ujian itu bagaikan emas kuning berkilat; maka itulah orang yang dipelihara Allah daripada bermacam syubhat. Dan sebahagian mereka akan keluar bagaikan emas hitam, dan itulah orang yang tergoda fitnah." (Hadis riwayat Thobrani)

Allah berfirman yang bermaksud: "Adakah manusia mengira, bahawa mereka akan dibiarkan saja, dengan mengatakan: Kami telah beriman, padahal mereka belum lagi mendapat cubaan?" (Surah al-Ankabut, ayat 2)

Sebagai seorang yang beriman, kita hendaklah yakin bahawa segala kesusahan atau pun kesenangan yang Allah berikan semuanya adalah ujian terhadap hamba-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan aku jadikan bagi kamu sekalian keburukan dan kebaikan sebagai fitnah (ujian) dan kepada Aku-lah kamu akan dikembalikan." (Surah al-Anbia', ayat 35)

Kita percaya masih ada segelintir di kalangan masyarakat Islam yang beranggapan seperti memiliki harta kekayaan yang banyak, rezeki melimpah ruah, berpangkat tinggi dan sebagainya adalah satu petanda Allah sayangkannya.

Anggapan mereka sebenarnya meleset sama sekali. Mereka belum cukup faham atau masih keliru mengenai konsep ujian Allah. Apa yang mereka miliki itu sesungguhnya adalah ujian untuk menilai sama ada ia tergolong dalam golongan orang bersyukur atau kufur.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan ketahuilah bahawasanya harta dan anak itu sebagai ujian bahawa sesungguhnya Allah pada sisi-Nya itu adalah ganjaran yang besar." (Surah al-Anfal, ayat 28)

Umat Islam tatkala menerima kebaikan dari Allah pasti akan melahirkan rasa kesyukuran, seperti Nabi Sulaiman ketika menerima penyerahan singgahsana kerajaan Saba' dari puteri Balqis, lalu Baginda mengucapkan: "Inilah sebahagian dari kurnia Tuhanku, sebagai ujian-Nya kepadaku, apakah aku bersyukur atau bersikap kufur.' (Surah An-Naml, ayat 40)

Selain itu, Allah juga menguji manusia dalam bentuk kesusahan seperti sakit, miskin, gagal mencapai matlamat, kerugian dalam perniagaan, kebakaran dan lain-lain.

Allah memaparkan beberapa contoh ujian Allah dalam bentuk kesusahan seperti firman-Nya yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami akan memberikan sesuatu percubaan kepada kamu, seperti ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan..." (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Berpandukan ayat itu dapat dirumuskan bentuk ujian Allah iaitu ketakutan untuk menghadapi musuh Islam dan menghadapi hari mendatang.

Kelaparan, kerana ketiadaan makanan atau mungkin juga tidak mampu untuk mendapatkan makanan akibat harganya terlalu mahal, tanam-tanaman tidak menjadi disebabkan musim kemarau atau bencana alam lain.

Kekurangan harta disebabkan ditimpa musibah seperti kebakaran, banjir besar dan taufan yang dahsyat serta hilang orang kesayangan disebabkan peperangan, bencana alam, serangan wabak penyakit dan kemalangan jalan raya.

Ternyata suasana yang sedang berlaku dalam negara kita sekarang adalah satu ujian Allah. Namun hakikat yang pahit ini, masih ramai yang tidak sanggup untuk menelannya. Jika kefahaman kita sudah mendalam mengenai konsep cubaan Allah, dan memiliki iman yang utuh, sudah tentu hal ini dapat dihadapi dengan lapang dada, fikiran waras dan emosi terkawal.

Peranan kesabaran seseorang sangat penting dalam menghadapi situasi buruk yang memang tidak disukai ini. Sama-sama berbincang mencari jalan bagaimana untuk berdepan dengan keadaan ini seterusnya cara mengatasinya.

Jika masing-masing saling menuding jari, maka masalah tidak akan selesai, bahkan akan menambahkan lagi kekusutan yang ada. Akhirnya boleh menimbulkan persengketaan dan perpecahan dalam masyarakat yang tidak ada titik kesudahan.

Islam sudah menunjukkan jalan terbaik bagi menghadapi ujian Allah seperti bersabar seperti pesan junjungan besar Nabi SAW yang sewajarnya diikuti dan diamalkan oleh setiap orang beriman.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sangat mengagumkan kepada seorang mukmin, sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin: jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu sangat baik baginya dan bila menderita kesusahan ia bersabar, maka sabar itu lebih baik baginya." (Hadis riwayat Muslim)

Di samping itu orang Islam juga harus bertawakal kepada Allah tatkala menghadapi ujian Allah. Bertawakal bermakna berusaha dengan segala upaya untuk mengatasinya kemudian menyerahkannya kepada Allah yang menentukan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan sepenuhnya urusanku ini, kuserah pasrahkan bulat-bulat kepada Allah, sebab Ia Maha memperhatikan semua urusan hamba-Nya." (Surah al-Mukmin, ayat 44)

Cubaan yang dihadapi Nabi Ya'kub kerana kehilangan Nabi Yusuf atas perbuatan busuk saudaranya, baginda bertawakal kepada Allah dengan penuh kehambaan sebagaimana tergambar dalam sepotong ayat yang bermaksud: "Ia berkata: Hanya kepada Allah kesusahan, keresahan dan keperihanku ini aku adukan." (Surah Yusuf, ayat 86)

Setiap orang Islam hendaklah sentiasa berikhtiar dengan penuh hikmah, mengikut syariat Islam, untuk mengatasi ujian yang menimpa dan supaya tidak berulang lagi pada masa depan. Elakkan daripada perasaan sedih, mengeluh, putus asa atau kecewa ketika berdepan dengan ujian Allah, sehingga sanggup menyalahkan takdir.

Seharusnya banyak bersabar dan mendekatkan diri kepada Allah, itulah penolong yang sejati seperti firman-Nya yang bermaksud: "Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat sekali kecuali bagi orang yang khusyuk." (Surah al-Baqarah, ayat 45)

Kita juga perlu insaf bahawa apapun ujian atau cubaan, semuanya menunjukkan bahawa Allah memelihara hamba-Nya supaya ingat selalu kepada-Nya. Seterusnya bagi orang kuat imannya, ia sangat berbahagia apabila berdepan dengan cubaan Allah kerana itu satu cara Allah menghapuskan dosa seseorang itu, jika dihadapinya ujian dengan kesabaran tinggi dan penuh keimanan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiada seorang Muslim yang menderita kelelahan atau penyakit, atau kesusahan hati, bahkan gangguan yang berupa duri melainkan semua kejadian itu akan berupa penebus dosanya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Beginilah Allah memilih hamba-Nya untuk menghuni syurga-Nya di akhirat nanti, dengan memberi ujian sama ada kecil atau besar. Hanya orang yang kuat imannya saja yang layak mendapat kesejahteraan yang abadi.

Firman Allah yang bermaksud: "Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan dapat masuk ke dalam syurga, padahal belum kamu mengalami duka derita yang pernah dialami dan menimpa orang terdahulu sebelum kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 214)

Apabila seseorang sanggup menghadapi ujian Allah dengan tabah, sudah tentu imannya bertambah kuat dan mantap, sering bermuhasabah diri dan memperbaiki kelemahan demi mencapai insan dikasihi Allah.

Bicara Kalbu: 'Kahwin lari' undang pelbagai implikasi

PENULISAN puan mengenai kahwin lari dan sorok-sorok minggu lalu menarik perhatian saya. Seorang kawan terbabit dengan kahwin lari dan saya nyaris terbabit sama. Apakah nasihat puan kepada mereka yang terbabit dalam hal ini? Apakah kesan daripada perkahwinan lari atau sorok-sorok ini.

Wanita Metropolitan,
Kuala Lumpur

KITA perlu berhati-hati dan berjaga-jaga terhadap hasutan syaitan. Perlu diketahui kehancuran rumah tangga adalah matlamat utama musuh nombor satu manusia itu. Jaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan seperti yang digariskan Allah serta Rasul.

Adab dan batas itu mesti dipatuhi semua, tidak kira lelaki atau perempuan, sudah berkahwin atau belum. Kepada isteri, jika ditakdirkan suami berkahwin lain sama ada dengan pengetahuan atau sebaliknya, jangan bertindak di luar batas kewarasan.

Sebesar manapun kesilapan yang dilakukan suami, kita mesti kembali kepada qada dan qadar Allah. Kalau bukan kerana jodoh, kita sendiri pun tidak akan menjadi isterinya. Begitulah juga perkahwinannya dengan wanita kedua atau seterusnya.

Nabi Muhammad SAW ketika berpesan kepada sepupunya Ibn Abbas bersabda yang bermaksud: "Ingatlah jika seluruh umat bersepakat untuk memberikan sesuatu kebaikan kepadamu, mereka tidak akan mampu berbuat demikian, kecuali kebaikan yang ditulis oleh Allah untukmu. Dan jika mereka bersepakat untuk memudaratkan kamu, mereka tidak dapat memudaratkan kamu, kecuali apa yang sudah ditulis oleh Allah ke atasmu."

Kesan positif dan negatif daripada kahwin lari dan sorok-sorok antaranya:

Kesan terhadap isteri dan anak ialah suami tidak berlaku adil dalam hak giliran bermalam, tidak mampu memberi nafkah, meninggalkan isteri dan anak tanpa nafkah, suami berubah tingkah laku menjadi pemarah dan isteri terpaksa bekerja kerana tidak menerima nafkah.

Kesan terhadap Isteri ialah suami enggan atau mengelak untuk mendaftarkan perkahwinan menyebabkan hak isteri dalam tempoh perkahwinan terabai dan tidak dilaksana oleh suami.

Keadaan akan bertambah rumit jika suami menghilangkan diri selepas dikurniakan anak bagi proses pendaftaran dan ia akan memberi kesan kepada persekolahan. Sukar untuk mengambil tindakan mahkamah seperti menuntut cerai.

Kesan terhadap suami pula, perlu berusaha berlaku adil serta menanggung beban kewangan (jika berpendapatan rendah), sukar membahagi masa untuk kedua-dua keluarga yang menjurus kepada berlaku pembohongan.

Seksyen 23(4) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan, apabila suami membuat permohonan berpoligami, maka isteri sedia ada hendaklah dipanggil oleh mahkamah supaya hadir.

Apabila permohonan didengar isteri pertama selepas mengetahui suami berpoligami tanpa kebenaran mahkamah bolehlah memfailkan tuntutan di mahkamah supaya suami berlaku adil dalam perkahwinan dan jika mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.

Persoalan lain membabitkan isu kahwin lari termasuk persoalan sah atau tidaknya perkahwinan seperti wali hakim dan wali mujbir selain keengganan suami mendaftarkan perkahwinan bagi mengelak tanggungjawab terhadap isteri.

Perkahwinan tidak didaftar mendatangkan masalah kerana isteri tidak boleh menuntut hak seperti mutaah, nafkah edah, nafkah anak serta tidak boleh ke sekolah kerana tiada sijil kelahiran.

Ada juga isteri membenarkan suami berkahwin lain tetapi menetapkan syarat seperti meminta nafkah bulanan banyak, pindah milik harta atas nama mereka dan tindakan lain menyebabkan suami mengambil keputusan kahwin sorok-sorok.

Jawapan disediakan oleh peguamcara dan peguambela, Sazira Abdul Aziz yang juga AJK Wanita JIM Muar, Johor. Persoalan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

Rangkuman ibadat lahir Muslim cemerlang

Oleh Mohd Shukri Hanapi

SETIAP manusia yang menjadikan Islam sebagai pegangan hidup meyakini bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah, manakala Nabi Muhammad adalah Rasul-Nya. Maknanya mereka mengakui status sebagai hamba Allah dan pengikut Nabi Muhammad SAW yang mengamalkan semua ajaran dibawa Baginda.

Memang hakikatnya, pengabdian atau perhambaan diri kepada Allah adalah fitrah yang tertanam dalam diri seseorang manusia. Allah berfirman yang bermaksud, "Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami telah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini." (Surah al-A'raf, ayat 172)

Sebagai hamba Allah, manusia mesti sentiasa mengabdikan diri atau beribadat kepada Allah. Ibadat itu pula tidak terhad kepada perkara keagamaan saja, tetapi merangkumi setiap aspek kehidupan manusia.

Ringkasnya, ibadat bermaksud merendah diri, tunduk, taat dan patuh, yakni pengabdian kepada Allah melalui perbuatan, perkataan dan pengakuan hati yang berlandaskan syariat Allah serta mengakui dan meyakini bahawa Allah saja yang layak menjadi tumpuan segala ketaatan.

Memandangkan semua perbuatan, perkataan dan pengakuan hati manusia yang berlandaskan syariat Allah itu dikira sebagai ibadat, ulama membahagikan ibadat itu kepada dua jenis, iaitu ibadat khusus dan ibadat umum.

Ibadat khusus ialah semua amalan khusus yang disyariatkan Allah sama ada berbentuk fardu atau sunat seperti solat, puasa, zakat, haji, doa, zikir dan membaca al-Quran.

Secara mudahnya, ibadat khusus merujuk kepada amal kebaikan membabitkan hubungan manusia dengan Allah. Ibadat itu wajib dan digalakkan ke atas setiap umat Islam yang mukalaf. Apabila ibadat khusus dilaksanakan, mereka akan diberikan pahala. Jika meninggalkan ibadat khusus yang bertaraf fardu, mereka akan mendapat dosa.

Melalui pelaksanaan ibadat khusus, manusia sebenarnya menegakkan hubungannya dengan Allah dan apabila terjalin hubungan dengan Allah, manusia sebenarnya menegakkan dan membangunkan pembangunan kerohanian mereka.

Ibadat umum pula, semua amalan kebaikan yang disyariatkan Allah bagi menghubungkan manusia sesama manusia dan manusia dengan sumber alam demi kebaikan dan keharmonian hidup bersama.

Melalui pelaksanaan ibadat umum, maka tertegaklah hubungan sesama manusia dan dengan sumber alam untuk membangunkan pembangunan material dan fizikal.

Jelaslah, ibadat khusus membawa kepada pembangunan kerohanian, manakala ibadat umum membawa kepada pembangunan material dan fizikal. Gabungan kedua-dua pembangunan inilah yang dikatakan pembangunan berteraskan Islam.

Kesan pengamalan ibadat khusus akan menghapuskan dosa dan kesalahan kecil seseorang. Di samping itu, ia juga melahirkan individu berakhlak mulia seperti taat dan patuh kepada Allah dan Rasul-Nya, bersyukur, kasih sayang, tolak ansur dan bersikap lemah lembut.

Adapun kesan pengamalan ibadat umum pula akan melahirkan masyarakat yang taat kepada pemimpin negara, hidup dalam suasana harmoni, bersatu padu, hormat menghormati dan seterusnya dapat meningkatkan ekonomi serta memajukan negara.

Oleh itu, untuk menegakkan pembangunan yang menyeluruh (pembangunan kerohanian, fizikal dan material), kedua-dua ibadat khusus dan umum perlu dilaksanakan sekali gus mengikut kaedah dan peraturan ditetapkan Allah.

Sesungguhnya setiap ibadat ada kaedah pelaksanaannya. Jika kaedah itu tidak dipatuhi dan diikuti dengan bersungguh-sungguh, maka amalan yang dilakukan tidak akan dikira sebagai ibadat. Malah ia hanyalah perbuatan yang sia-sia saja.

Kaedah pelaksanaan ibadat khusus yang membentuk pembangunan kerohanian tidak terlepas daripada ilmu fardu ain iaitu tauhid, fekah dan tasawuf. Dalam mengerjakan solat, puasa, haji dan sebagainya, ketiga-tiga unsur ini mesti dilaksanakan secara sepadu.

Contohnya, dalam mengerjakan ibadat solat, puasa dan haji, rasa ketauhidan kepada Allah mesti menjadi tunjang, manakala ilmu fekah pula menggariskan peraturan dan tasauf pula melahirkan perasaan khusyuk dalam beribadat.

Ibadat umum pula, kaedahnya ditentukan oleh tiga syarat utama iaitu niat melakukan amalan kerana Allah semata-mata; kewajipan pelaksanaan ibadat khusus tidak diabaikan dan ketiga, pekerjaan atau usaha dilakukan hendaklah sesuai dengan syariat Islam.

Oleh demikian, walaupun seorang peniaga itu dilihat mengerjakan perniagaannya dengan tekun dan bersungguh-sungguh, tetapi pada masa yang sama dia mengabaikan syarat di atas, maka segala-galanya itu tidak mempunyai sedikit nilai pun di sisi Allah.

Samalah dengan seorang pengurus atau pentadbir yang mengurus dan mentadbir sesebuah organisasi dengan dedikasi, ikhlas, jujur dan amanah, tetapi dia bersikap mengabaikan pengamalan ibadat khusus, maka amalannya juga tidak dikira sebagai ibadat.

Jelas di sini kedua-dua ibadat itu tidak boleh dilakukan sesuka hati dan sambil lewa saja. Ini kerana Islam mementingkan kualiti dan kecemerlangan melakukan ibadat. Ibadat dilakukan secara sambil lewa atau yang mempunyai maksud tertentu tidak akan diterima Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Apabila Allah menghimpunkan semua manusia pada hari akhirat, berserulah seorang penyeru: Sesiapa yang melakukan amalan kebaikan kerana Allah dan juga manusia, maka hendaklah dia mencari pahala amalan itu daripada manusia itu kerana sesungguhnya Allah tidak memerlukan sekutu yang lain." (Riwayat al-Tirmizi)

Ibadat yang dikehendaki oleh Allah ialah ibadat khusus dan umum. Ini bererti segala aspek hidupan Muslim sepatutnya menjadi ibadat kepada Allah. Ini bertepatan dengan fungsi kejadian manusia untuk pengabdian atau beribadat kepada Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah (beribadat) kepada-Ku." (Surah al-Zariyat, ayat 56)

Thursday, June 26, 2008

Personaliti: Juara AQ3 penuhi impian ibu bapa

Oleh Hasliza Hassan

BERBAKAT BESAR: Mohd Fakhrul menjadi johan dalam AQ3 membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan sebuah kereta Proton Saga.

Mohd Fakhrul Radhi harap tarik minat remaja mempelajari bidang al-Quran

KEJAYAAN ke peringkat akhir hingga diumumkan sebagai juara Akademi al-Quran musim ketiga (AQ3) adalah rezeki paling berharga kerana kejayaan itu membolehkan Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin, memenuhi impian ibu bapanya untuk melihat beliau mencipta nama sebagai pelajar cemerlang AQ3.

Justeru, tiada apa yang dapat dikatakan selain ucapan syukur tidak terhingga kepada Allah yang mengurniakan rezeki itu serta rasa terima kasih terhadap sokongan jitu kedua ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan.

"Perasaan gembira kerana dapat menggembirakan ibu bapa saya. Ini hasrat mereka untuk melihat saya bergelar juara AQ", kata anak keempat daripada lapan beradik kepada pasangan Khamarudin Ahmad dan Dalilah Ariffin.

Beliau yang sedang berurusan di Telekom Malaysia (TM) Alor Star ketika dihubungi berkata, gelaran itu turut menjadi cabaran kerana dirinya kini menjadi perhatian. Malah, ketika berurusan di TM, beliau turut ditegur pelanggan lain yang mengenali dirinya.

Mohd Fakhrul berkata, perubahan dilalui diterima secara positif kerana dikaitkan dengan program realiti yang memartabatkan ilmu mempelajari al-Quran secara tidak langsung akan menggalakkan masyarakat mempelajari ilmu berkenaan.

Malah, memang menjadi harapan beliau supaya kejayaan diraih dapat menarik minat terutama remaja untuk mempelajari bidang al-Quran yang mengandungi ilmu Allah supaya dapat dimanfaat dalam kehidupan di dunia dan akhirat.

Pada peringkat akhir AQ3, program realiti terbitan TV9 yang disiarkan secara langsung pada malam Khamis minggu lalu, Mohd Fakhrul bersaing dengan tiga peserta lain yang berjaya mara iaitu Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Syamsul Abu Hasan Alshaari dan satu-satunya peserta wanita, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman.

Pada malam penentuan itu Fakhrul memilih sampul surat warna kuning mengandungi soalan nombor lima yang meminta beliau membaca surah Ibrahim dari ayat 11 dengan riwayat kholaf serta taranum husaini, hijaz dan sikah.

Hasil bacaan yang berhati-hati, juri mengakui sukar mencari kesalahan dan mungkin itulah membolehkan beliau diumumkan sebagai juara AQ3 menewaskan tiga peserta akhir lain yang tidak kurang hebatnya.

Beliau yang berjaya mengumpul 92.5 peratus membawa pulang kereta Proton Saga bernilai RM36,000, wang tunai RM30,000 dan rehal kristal berbentuk al-Quran bernilai RM1,000.

Tempat kedua dimenangi Sharifah Khasif Fadzilah yang mendapat 91 peratus, ketiga, Ahmad Tarmizi (89 peratus) dan keempat, Syamsul (86.5 peratus). Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM20,000, RM10,000 dan RM2,000.

Mohd Fakhrul berkata, selain memenuhi impian kedua ibu bapa, matlamat beliau menyertai AQ3 adalah untuk menambah ilmu pengetahuan dalam ilmu pembacaan al-Quran daripada tenaga pengajar kerana walaupun mempunyai ilmu asas dan tahu serba sedikit mengenai taranum, beliau tidak mahir dalam teknik pembacaan.

Menyentuh mengenai minat membaca al-Quran, pelajar tahun dua pengajian Usuluddin di Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Kedah itu memberitahu, semuanya bermula seperti kanak-kanak lain apabila beliau mula belajar mengaji dengan neneknya.

Mengakui awalnya membaca al-Quran dirasakan sebagai budaya yang perlu disambung dari generasi ke generasi, minat mendalami ilmu itu berkembang secara perlahan-lahan. Ketika sekolah rendah, beliau mula berjinak-jinak mempelajari cara membaca al-Quran secara berlagu.

Kebetulan, apabila berjaya masuk ke Maktab Mahmud, Alor Star, beliau bertemu semula dengan pelajar senior, Shahrul Nizam Tajudin yang pernah membimbingnya mendalami ilmu al-Quran dan sempat berguru selama dua tahun sebelum guru tidak rasminya itu menyambung pengajian ke Universiti al-Azhar Mesir.

Selepas itu, Mohd Fakhrul mendalami al-Quran dengan guru al-Quran, Kassim Ahmad yang terus memberi tunjuk ajar hingga kini. Walaupun sibuk dengan kuliah, beliau masih meluangkan hujung minggunya untuk menemui Kassim bagi mempertajamkan kemahiran membaca al-Quran secara berlagu dengan betul.

Katanya, keistimewaan mereka yang mendalami ilmu al-Quran ialah selain dapat mengalunkan ayat suci itu dengan merdu, ia juga dapat mendekatkan seseorang itu kepada Penciptanya melalui pemahaman isi kandungan wahyu Allah yang kaya dengan bimbingan serta panduan.

"Itulah kelebihan dimiliki mereka yang terbabit dalam bidang al-Quran dan memahami maksud ayat di baca. Ramai orang boleh baca al-Quran tetapi ada yang tidak faham. Oleh itu, siapa yang dapat baca dan faham, kelebihan untuk mereka.

"Mendekatkan diri dengan al-Quran juga dapat membantu kita membentuk keperibadian dengan akhlak mulia kerana untuk mahir, banyak pantang larang perlu diikuti. Jadi, secara tidak langsung kita akan terdorong melakukan hanya yang baik saja," katanya.

Contohnya, mereka yang membawa al-Quran dari segi pemakanan perlu mengelak daripada memakan makanan syubahat iaitu yang diragui bagi memastikan kebersihan hati. Hakikatnya, kewajipan itu bukan kepada mereka yang mempelajari ilmu al-Quran kerana umat Islam memang disuruh makan hanya makanan yang halal dan bersih.

Beliau berkata, ilmu al-Quran mempunyai bidang yang luas daripada asas membaca al-Quran, membaca dengan cara berlagu, ilmu tafsir yang membolehkan memahami maksud ayat hingga kepada sejarah penurunan ayat serta penulisan al-Quran. Semua bidang itu boleh diterokai dengan meluas.

Mohd Fakhrul berkata, usaha mendekatkan masyarakat terutama remaja kepada ilmu itu perlu dipertingkatkan dengan memperbanyakkan program yang boleh menarik minat remaja seperti program realiti AQ.

Katanya, ramai remaja di luar sana yang berhajat memantapkan diri dalam ilmu al-Quran dan minat itu seharusnya dipandu ke arah yang boleh mendatangkan manfaat supaya semahuan serta kebolehan tidak dipersiakan begitu saja.

Berdasarkan maklumat katanya, mereka yang menghadiri uji bakat untuk program AQ bukan semua datang daripada latar belakang bidang agama, malah mat rempit turut mencuba nasib kerana minat serta pengetahuan asas sudah ada, hanya mencari tempat untuk memantapkan ilmu di dada.

"Perlu ada lebih banyak program yang boleh mendorong remaja mendekatkan diri dengan al-Quran. Dulu jika kata al-Quran hanya orang tua saja tetapi kini orang muda mula menguasai bidang ini. Sudah tiba masanya al-Quran terus dimartabatkan melalui pelbagai cara termasuk pengajuran program realiti seperti AQ," katanya.

Selain boleh membaca al-Quran dengan baik, Mohd Fakhrul yang bercita-cita menjadi pendidik dan pendakwah adalah ahli kumpulan nasyid Zulfan yang ditubuhkan bersama rakan di universiti dan bergerak aktif di Kedah.

Menurutnya, pembabitan dalam bidang nasyid adalah sekadar memenuhi minat selain menjadi cabang dakwah yang difikirkan dapat membantu menyebarkan syiar Islam melalui lagu berunsur dakwah yang mengajak pendengar ke arah kebaikan.

PROFIL

Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin

Tarikh lahir: 6 April 1986
Tempat lahir: Alor Star, Kedah
Status: Pelajar pengajian Usuluddin, Kolej Universiti Insaniah, Kedah

Iman rapuh dedah manusia kepada kelalaian

Oleh Dr Ahmad Redzuwan Mohd Yunus

MASYARAKAT Islam yang cemerlang ialah yang mengamalkan cara dan amalan hidup mereka selari pengertian akidah sebenar di mana segala urusannya berlandaskan pengabdian diri kepada Allah bukan unsur yang lain.

Pentingnya umat Islam menekankan nilai ini dalam kehidupan dijelaskan melalui firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah. Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan dengan demikian saja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya)." - (Surah Al-An'am, ayat 162-163)

Perlunya seseorang Muslim menjadikan nilai pengabdian kepada Allah sebagai unsur utama dalam kehidupan mereka kerana Islam ialah agama berteraskan akidah atau keyakinan luhur kepada Allah yang Maha Esa, malaikat, rasul, kitab, hari kiamat dan kepercayaan kepada qada' dan qadar ditentukan Allah.

Hasil daripada keyakinan ini akan membawa kepada lahirnya kesedaran dan kesanggupan insan untuk menunaikan segala kewajipan sudah ditetapkan oleh Allah, sekali gus menjauhkan segala larangan serta tegahan-Nya.

Keperluan ini dirasakan dalam kehidupan hari ini yang penuh mencabar dan didatangi pelbagai ancaman untuk dijadikan sebagai benteng diri, keluarga serta masyarakat supaya maruah dan nilai diri Muslim tidak tergadai.

Sebagai hamba Allah kita seharusnya tidak melupakan tanggungjawab mengukuhkan akidah termasuk mendidik anak mengenal Allah serta menitikberatkan ilmu lain untuk menjadi masyarakat mampu berdaya saing dengan masyarakat dunia hari ini.

Sesungguhnya kita mampu bersaing dengan bangsa lain kerana Islam adalah agama yang tidak menolak kemajuan, malah menggalakkan umatnya mengejar kecemerlangan. Namun, tiada gunanya jika kita cemerlang dalam kehidupan di dunia tetapi tidak mempunyai keimanan terhadap Allah hingga mengabaikan perintah atau melakukan perkara dilarang Allah.

Jika diimbas kembali sejarah dakwah Rasulullah SAW semasa beliau di Makkah, perkara pertama dilakukan Baginda kepada sahabatnya sebelum diajarkan syariat Allah ialah mendidik perkara bersangkutan akidah dan keimanan.

Perkara itu berterusan sehinggalah akidah sahabat mantap dan kukuh serta mudah menerima apa saja perkara ditetapkan Allah dan Rasul-Nya. Di sini jelas menunjukkan usaha untuk kualiti ummah dan masyarakat khususnya perlu diberi perhatian kerana apabila sudah mantapnya akidah maka mantap keimanan seseorang.

Jika masyarakat tidak menitikberatkan usaha itu, ia akan menyebabkan manusia berada dalam keadaan iman yang rapuh dan terdedah kepada kelekaan serta mengabaikan segala larangan Allah.

Bagi menanamkan akidah yang kukuh dalam diri, seseorang itu perlu berusaha mempelajari perkara ketauhidan dan keimanan bermula daripada mengenal Allah sehinggalah kepada kepercayaan terhadap hari akhirat serta qada' dan qadar.

Aspek pengukuhan diterjemahkan melalui amalan dengan melakukan perkara wajib diperintah Allah seperti solat, zakat, puasa dan menunaikan haji jika berkemampuan. Pada masa sama, menghindarkan diri melakukan perkara dilarang seperti berzina, minum arak, berjudi dan derhaka kepada ibu bapa.

Justeru, walau sibuk bagaimanapun, amalan yang memantapkan keimanan kepada Allah jangan sekali dilupakan kerana matlamat akhir kehidupan di dunia ialah mendapatkan keredaan Allah untuk hidup yang kekal abadi.

Tambahan, dengan pelbagai anasir yang boleh menggugat keimanan umat Islam terhadap Allah, usaha mengukuhkan jati diri Islam perlu dilipat ganda kerana tanpa benteng yang kukuh, sukar untuk menangkis serangan berniat memesongkan umat Islam dari jalan kebenaran.

Keseimbangan antara kehidupan dunia dan akhirat banyak bergantung kepada kesediaan umat Islam meningkatkan keimanan di samping sentiasa berusaha mencari keselesaan yang akan membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Masyarakat hidup dalam suasana harmoni mampu melahirkan generasi cemerlang yang mantap iman di dada serta sentiasa bersedia menghadapi ujian kerana keyakinan kepada Allah dalam semua perkara memudahkan perjalanan hidup manusia di dunia ini.

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Usah takut miskin kerana bersedekah

"APA itu miskin, bu? Budak-budak lain di taman kata kita miskin. Benarkah itu, bu?" tanya si anak.

“Tidak, kita tidak miskin, Aiko,” jawab ibunya.

“Apakah kemiskinan itu?” Aiko, si anak, bertanya lagi.

“Miskin berarti tidak mempunyai se suatu apapun untuk diberikan kepada orang lain.”

Aiko agak terkejut. Oh! Tapi kita memerlukan semua barang yang kita punya, apakah yang dapat kita berikan” katanya menyelidik.

“Kau ingat makcik penjual kuih yang menjaja keliling kampung ke sini minggu lepas? Kita memberinya sebahagian dari makanan kita kepadanya. Kemudian dia datang semula ke sini. Kita berikan dia tempat tidur, kerana dia tidak ada tempat untuk menginap malam itu?

“Rumah kita pun jadi sempitkan?” jawab Aiko. Tapi si ibu tidak mengaku kalah “Kan kita selalu memberikan sebahagian dari sayuran kita kepada keluarga Watari, bukan?” katanya.

“Ibulah yang memberinya. Hanya saya seorang yang miskin. Saya tidak punya apa-apa untuk diberikan kepada orang lain.”

Si ibu tersenyum dan memberikan pandangan pada anaknya. “Oh! engkau pun ada sesuatu. Setiap orang mempunyai sesuatu untuk diberikan kepada orang lain. Fikirkanlah hal itu dan kau akan menemukan sesuatu.”

Tidak lama kemudian, si anak mendapatkan jawapannya. “Bu! Saya mempunyai sesuatu untuk saya berikan. Saya dapat memberikan cerita-cerita saya kepada teman saya. Saya dapat memberikan kepada mereka cerita-cerita dongeng yang saya dengar dan baca di sekolah.”

“Sudah semestinya! Kerana kau pandai bercerita, seperti bapamu juga. Setiap orang senang mendengar cerita.”

“Saya akan memberikan cerita kepada mereka, sekarang ini juga!” kata Aiko.

Dialog itu terdapat dalam buku kumpulan kisah-kisah inspirasi Aiko and Her Cousin Kenichi. Dialog antara ibu dan anak itu, meneguhkan sebuah kesedaran besar, bahawa setiap kita boleh memberi. Ini lebih dari sekadar sebuah kesedaran sosial. Tapi kesedaran untuk menjadikan hidup ini lebih bererti kerana dapat membahagiakan orang orang lain.

Akhlak mengenai kesedaran terhadap kehidupan orang lain, dimiliki oleh qudwah yang tidak ada bandingnya, iaitu Rasulullah SAW. Malah utusan Allah itu disebut sebagai ‘orang yang tidak takut miskin kerana memberi’.

Dialah yang menanamkan prinsip menolong orang lain untuk menolong diri sendiri. Perhatikan bagaimana sabdanya, “Allah SWT selalu menolong seorang hamba, selama hamba itu menolong saudaranya.” Atau, sabdanya yang lain, “Barang siapa yang memberi kemudahan kepada saudaranya, maka Allah akan memberi kemudahan baginya di dunia dan akhirat.”

Itu adalah prinsip memberi dan menerima yang ditanamkan Rasulullah SAW. Memberi kepada sesama insan kerana kita percaya kita membuatnya untuk berlumba merebut ganjaran Allah SWT. Secara praktiknya, prinsip itu berubah menjadi memberi dan memberi. Sebab penerimaan itu tidak datang dari manusia, tetapi dari Allah SWT.

Mengajak untuk prihatin dan empati, memberi bantuan kepada orang lain, menolong atau memberikan jasa, mengeluarkan infaq dan sedekah, sering kali juga menimbulkan pertanyaan, “Bagaimana saya hendak bantu orang lain? Sedangkan saya sendiri dalam serba kekurangan, malah memerlukan dari orang lain?”

Kita memang mesti ingatkan bagaimana Rasulullah SAW menanamkan nilai bersedekah ini, nilai tertinggi sedekah ialah ketika dan saat kita dalam keadaan yang sangat sulit untuk mengeluarkannya.

Suatu hari, datang seorang lelaki kepada Rasulullah dan bertanya, “Ya Rasulullah, sedekah apa yang paling besar pahalanya?” Rasulullah mengatakan, “Yaitu engkau bersedekah dalam keadaan engkau sangat memerlukan, dalam keadaan engkau takut miskin dan dalam keadaan engkau bercita-cita besar mahu menjadi kaya.” - (HR. Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menjelaskan bahawa dalam situasi seseorang bertanya, “Apalah yang boleh saya bantu, kerana saya pun susah dan sangat memerlukan?” Maka rebutlah pahala dengan bersedekah walaupun sedikit.

Semakin seseorang di dalam dilema antara keinginan dirinya dengan apa yang akan disedekahkan, semakin tinggi nilai sedekahnya jika benar-benar dilakukan. Kesedaran memberi kepada orang lain, tidak semestinya berupa benda, material, wang ringgit, atau bantuan yang lahiriah. Tetapi boleh saja berbentuk buah fikiran, waktu, idea bernas, dan apa saja yang memberikan bermanfaat.

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir, AJK Wanita JIM Pusat dan boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com

Wednesday, June 25, 2008

Bersama YaPEIM: Membina belia lebih cemerlang

Oleh Penulis Khas YaPEIM

MEMBINA BANGSA: Usaha murni melahirkan belia cemerlang, gemilang dan terbilang harus didokongi bersama supaya menjadi kenyataan. - Gambar hiasan

Masyarakat caca-marba jika remaja dibiar 'hanyut' dengan budaya penjajah

KETERLALUAN dalam mengejar kebendaan yang bermaharajalela sekarang turut mempengaruhi dan mencetuskan krisis serius dalam bentuk kemelut kemanusiaan. Ia mengakibatkan terhakisnya ciri dan nilai kemanusiaan yang akhirnya membawa kehilangan jati diri serta misi kemanusiaan di dunia ini.

Harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mewujudkan budaya cemerlang, gemilang dan terbilang adalah suatu garis landasan ke arah memberikan matlamat yang jelas kepada masyarakat dan negara.

Kerajaan, pertubuhan belia, generasi muda dan kelompok dewasa hendaklah sama-sama saling sokong-menyokong bagi merealisasikan harapan untuk membudayakannya.

Mereka yang cemerlang mesti bersedia membimbing dan membantu rakan lain. Sifat bagai 'enau dalam belukar' perlu dijauhkan. Budaya saling sokong menyokong perlu ditanam dalam generasi muda.

Kegagalan untuk bersaing secara sihat akan hanya mendatangkan keburukan kepada masyarakat dan negara. Persaingan yang tidak perlu pula boleh melemahkan usaha menuju kecemerlangan.

Manusia dicipta secara fitrahnya mempunyai dua fungsi besar iaitu menyembah Tuhan dan mengamalkan segala perintah serta meninggalkan segala larangan agama serta menjadi pemimpin yang memakmurkan muka bumi.

Ini merujuk kepada hubungan manusia dengan alam dan penghuninya. Dua fungsi manusia ini jika dizahirkan akan menjadi sebahagian daripada pencetus ketamadunan dan memberi makna jati diri sebenar manusia.

Firman Allah yang bermaksud: "Kami telah menjadikan mereka itu sebagai pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebajikan, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan hanya kepada Kamilah mereka selalu menyembah." – (Surah Al-Anbiyaa', ayat 73)

Kualiti jati diri manusia sebenarnya boleh dilihat melalui kemampuannya menyumbang dan memberi manfaat kepada manusia lain. Dia tidak sekadar menjadi pengguna kebendaan tetapi sebaliknya mencipta sesuatu yang boleh dimanfaatkan bersama.

Kemelut yang ada hari ini menjadi semakin rumit khususnya dalam arus globalisasi yang melanda. Pelbagai cabaran mengancam dalam pelbagai bentuk lingkungan menuntut supaya kita semua berfikir, merenung, meneliti dan mengatur rencana bagi menghadapi cabaran getir ini.

Cabaran besar hari ini ialah untuk mengekalkan keutuhan negara, kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi, sambil menentukan negara membangun dengan acuan sendiri berlandaskan agama dan budaya kita.

Ia menjadi lebih mencabar kerana Malaysia ialah sebuah negara pelbagai bangsa dan agama. Setiap kaum mempunyai keperluan dan kehendak tersendiri. Kewujudan persaingan tidak sihat antara kaum dengan melupakan kontrak sosial akhirnya nanti menggugat keutuhan negara.

Penjajahan akal budi melalui dominasi ideologi, budaya dan agama membawa banyak implikasi sosial khususnya peleburan budaya, pemikiran dan bahasa masyarakat teras. Penjajahan budaya menghasilkan generasi hamba yang terkongkong dari segi minda akibat serangan pemikiran yang lebih bahaya daripada serangan bersenjata.

Generasi hamba ini akan mengagungkan budaya dan bahasa penjajah serta memperkecil, merendahkan budaya sendiri kerana menganggap tidak relevan dengan perkembangan zaman. Kita dilalaikan oleh hiburan melampau dan tidak berfaedah maka lahirlah masyarakat yang merelakan diri dijajah kerana kelemahan dalaman dan perpecahan sesama sendiri.

Oleh itu, perancangan pembangunan harus dibuat dengan teliti, mengambil kira aspek kemanusiaan dan kesan sosial kerana masyarakat akan menjadi carca-marba berikutan ketiadaan perancangan infrastruktur yang mengambil kira faktor kemanusiaan.

Kebelakangan ini, harta dan kekayaan menjadi mercu tanda kejayaan seseorang. Golongan berpendapatan tinggi semakin besar sehingga mewujudkan jurang dengan golongan miskin kerana ketiadaan semangat persaudaraan untuk membantu orang miskin dan menderita.

Mereka sebaliknya mulai mencari hobi baru yang melambangkan status barunya. Kemewahan yang dimiliki akhirnya menjadi pembaziran kerana tidak diletakkan pada tempat sebenar.

Firman Allah yang bermaksud: "Hai orang beriman, belanjakanlah (di jalan Allah ) sebahagian dari rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang hari yang pada hari itu tidak ada lagi jual beli dan tidak ada lagi persahabatan yang akrab dan tidak ada lagi syafaat. Dan orang kafir itulah orang zalim." – (Surah al-Baqarah, ayat 254)

Suasana dan perkembangan semasa yang semakin kompleks memerlukan kita mencanai generasi belia berdasarkan acuan yang tepat mengikut agama serta budaya Malaysia. Sejajar dengan ini, empat ciri penting perlu diketengahkan bagi mengisi agenda membina belia cemerlang, gemilang dan terbilang.

Pertamanya, membina generasi mencintai ilmu dan terdidik dengan didikan komprehensif dari segi akal, fizikal, emosi dan roh. Belia berjiwa merdeka mempunyai semangat tinggi untuk bersaing, berdikari, berbangga dengan agama serta sanggup mempertahankan prinsip kebenaran dan keadilan.

Keduanya, belia mesti berdisiplin tinggi dan menegakkan atas kesedaran sendiri dan kumpulan. Disiplin dalam erti kata sebenar ialah usaha yang dilakukan secara berterusan, berencana dan serius.

Ketiganya, belia mesti bijak meletakkan sesuatu pada tempatnya atas dasar kesucian jiwa dan raga. Mereka melaksanakan tanggungjawab dan peranan kepada agama, bangsa dan negara dengan saksama.

Belia juga mesti membina keazaman kental dalam diri untuk bersama membangunkan negara dan manusia. Mereka juga adalah generasi gagah, cekal dan tabah dengan segala rintangan yang datang. Namun mereka tetap seimbang dan sederhana dalam apa juga keadaan dihadapi.

Di samping itu, pembabitan belia dalam proses membuat keputusan mesti ditingkatkan supaya pemimpin belia diberikan suara dan terbabit dalam jawatankuasa peringkat nasional. Ia kerana pembabitan pemimpin belia dalam jawatankuasa akan membawa suara generasi belia.

Pergerakan belia juga adalah medan latihan bagi melahirkan kepemimpinan. Ia melatih generasi muda mempunyai dan menghayati idealisme, intelektualisme dan aktivisme. Pemimpin belia dididik bahawa kepemimpinan adalah amanah, bukannya habuan harus dibanggakan.

Kita juga harus memberi ruang kepada generasi muda memimpin dan membuat keputusan terutama membabitkan rakan sebaya. Mereka diajar berani mengetengahkan pandangan baru dan mengemukakan penyelesaian alternatif kepada permasalahan yang ada.

Pergerakan belia perlu sentiasa rapat dengan masyarakat dengan mengikis pendekatan elitis di kalangan ahli pergerakan. Pertubuhan belia harus lebih responsif terhadap permasalahan rakyat dan mampu membela kelompok terpinggir.

Pembinaan jati diri belia perlu lebih terbuka, tidak tertakluk kepada aspek budaya, ekonomi atau politik semata-mata. Ia perlu lebih menyeluruh serta dirasai semua lapisan masyarakat. Usaha murni melahirkan belia cemerlang, gemilang dan terbilang harus didokongi bersama supaya menjadi kenyataan.

Peguam Syarie Menulis: Penjara khas pesalah syariah perlu diwujud

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
excopgsm@yahoo.com

MAHKAMAH Syariah boleh menjatuhkan hukuman dalam kes jenayah yang diperuntukkan dalam Enakmen atau Akta Jenayah Syariah Negeri. Dalam bidang kuasa menjatuhkan hukuman kes jenayah, Mahkamah Syariah hanya boleh mengenakan hukuman maksimum denda RM5,000, penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan rotan tidak melebihi enam kali sebatan.

Had ini diperuntukkan oleh akta yang digubal Parlimen iaitu Akta Bidang Kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984. Akta itu sebenarnya mengongkong Badan Perundangan Negeri daripada menggubal hukuman lebih berat kepada pesalah syariah.

Akta itu hendaklah dikaji semula bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah supaya setara dengan bidang kuasa rakan mereka di Mahkamah Sivil. Banyak aspek lain seperti kaedah rotan, hukuman khidmat masyarakat, pembayaran ganti rugi dan sebagainya masih boleh dibincangkan untuk tujuan penambahbaikan. Namun begitu, ruangan kali ini hanya akan memfokuskan kepada aspek hukuman penjara saja.

Hukuman penjara bukan hanya dijatuhkan oleh Mahkamah Sivil di Malaysia, malah ia juga dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah di setiap negeri di Malaysia. Walaupun hukuman penjara oleh Mahkamah Syariah terhad kepada tempoh maksimum selama tiga tahun saja (berbanding Mahkamah Sivil yang boleh menjatuhkan hukuman penjara sehingga seumur hidup) namun hakikatnya memang mahkamah syariah mempunyai kuasa dan telahpun menjatuhkan hukuman penjara terhadap pesalah syariah seperti dibenarkan undang-undang.

Ada lebih 60 kesalahan jenayah syariah mempunyai peruntukan penjara seperti mengikut Enakmen Jenayah Syariah, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam dan beberapa undang-undang lain lagi.

Sebenarnya falsafah hukum penjara dalam Islam bermotifkan antara lain memberi peluang kepada pesalah menjalani sesi pemulihan dan bertaubat. Ia bukan bertujuan menyeksa pesalah dengan menarik balik hak kebebasan mereka.

Ia juga berbeza dengan hukuman penjara sivil. Sepatutnya pesalah syariah ini diberi ruang dan peluang bagi memperbaiki kesilapan lalu dengan penekanan kepada aspek akidah, akhlak dan syariah.

Malangnya, buat masa ini semua pesalah sama ada pesalah jenayah ataupun jenayah syariah ditempatkan dalam penjara yang sama. Bayangkan seorang pesalah jenayah syariah seperti berpoligami tanpa kebenaran ataupun melanggar fatwa mufti diletakkan dipenjara yang sama dengan pesalah dadah, rogol dan merompak.

Sudah tentulah keperluan kedua-dua pesalah ini berbeza. Mereka juga perlu menjalani aspek pemulihan melalui kaedah berlainan juga. Tetapi pentingnya keperluan berbeza ini seolah-olah tidak langsung mendapat perhatian pihak berwajib.

Pesalah syariah perlu diberi penekanan dalam aspek pemulihan akidah, akhlak dan tidak boleh disamakan dengan pesalah lain. Dikhuatiri pesalah syariah mungkin terpengaruh dengan pesalah lain dan apabila keluar kelak mereka bukannya insaf atas kesalahan dilakukan tetapi lebih teruk daripada itu, cuba melakukan kesalahan lain pula setelah mempelajarinya dalam penjara.

Oleh itu, sudah sampai masanya kerajaan memikirkan mekanisme untuk mengasingkan penjara pesalah syariah daripada pesalah jenayah lain dan modul khusus dibuat bagi memfokuskan dalam tempoh tahanan itu pemulihan akidah, akhlak dan adab dilakukan supaya apabila mereka keluar dari penjara dengan penuh keinsafan dan bertaubat tidak akan mengulangi kesalahan dilakukan itu.

Mungkin lontaran pandangan ini membawa implikasi besar daripada segi kewangan kerajaan dan perbelanjaan serta penjawat pegawai awam namun, ia dilihat sebagai perlu memandangkan kadar kesalahan jenayah syariah semakin hari semakin berganda.

Ia juga tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkenaan apatah lagi apabila melihat situasi di penjara sivil yang terlalu sesak tidak memungkinkan pesalah syariah mendapat program yang boleh menginsafkan mereka.

Mungkin juga dasar kerajaan untuk berhemat dalam perbelanjaan sekarang dikatakan tidak mewajarkan pandangan ini direalisasikan, namun keperluan mendesak ini perlulah disegerakan bagi menjamin dan memperbetulkan akidah serta akhlak umat Islam.

Keperluan penjara berasingan bagi pesalah syariah amat ketara buat masa ini kerana sistem penjara yang ada sekarang gagal mengekang pesalah mengulangi kesilapan mereka. Sering kali kita dengar pesalah mengulangi kesalahan mereka semata-mata ingin kembali ke penjara kerana mereka merasakan lebih selesa berada di belakang tirai besi.

Hal ini mengakibatkan kerajaan membelanjakan banyak wang awam bagi menanggung mereka di penjara. Sifat punitif hukuman penjara sudah dikesampingkan kerana tiada atau kurangnya nilai keagamaan disemai dalam modul pemulihan di penjara.

Bukanlah penulis mengatakan tiada langsung program keagamaan diadakan di penjara tetapi apabila dicampurkan antara pesalah berat dengan pesalah syariah, adalah tidak sesuai bagi mereka ini dikumpulkan bersama.

Bagi tujuan pemulihan terutama pesalah berkaitan kesalahan akidah, kaunseling agama oleh mereka yang terlatih boleh dilaksanakan. Untuk itu jabatan kerajaan lain boleh bersama-sama membantu seperti Jabatan Agama Islam, Jabatan Mufti dan Jabatan Kebajikan.

Di samping itu, badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan juga boleh membantu pihak penjara syariah dalam program yang akan diadakan di sana. Begitu juga penyelidik dan ahli akademik dari institusi pengajian tinggi boleh membantu menjayakan dasar ini. Kerjasama mantap ini sudah pasti akan membuahkan hasil yang baik bagi memulihkan pesalah syariah.

Pesalah syariah khususnya berkaitan akidah sebenarnya adalah orang yang ingin mencari hidayah Allah pada mulanya. Tetapi diakibatkan mereka tidak mempunyai asas Islam yang kukuh mereka terjebak dalam lembah kekeliruan dan menjangka apa yang diamalkan itu adalah benar.

Landasan yang benar tidak dibina untuk mereka semasa kecil, itulah sebabnya mereka mudah tergelincir daripada landasan Islam. Dengan adanya penjara syariah yang memfokuskan menarik kembali mereka ke jalan yang benar, peluang untuk mereka kembali adalah cerah.

Program penghayatan agama, kesedaran dan keinsafan, peningkatan akhlak Islamiah, pemantapan akidah dan nilai budaya Islam juga perlu dititikberatkan dalam modul dakwah di penjara syariah ini. Dengan cara itu pesalah syariah akan menginsafi kesalahan yang mereka lakukan dan peluang untuk membuka lembaran baru amat besar.

Oleh demikian, demi pemulihan ke atas pesalah syariah, adalah perlu kerajaan mengkaji mengadakan penjara berasingan bagi golongan ini. Pelaksanaan penjara berasingan akan membawa kesan besar kepada pesalah dan juga sistem keadilan syariah di negara ini.

Diharapkan mereka yang dibebaskan dari penjara syariah mampu menjadi orang yang beriman dan insaf atas kesalahan lalu. Itulah sebenarnya matlamat hukuman penjaga dalam Islam.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

Iqra: Keistimewaan Khadijah di sisi Rasulullah

Judul: Khadijah Cinta Abadi Kekasih Nabi
Penulis: Dr Muhammad Abduh Yamani
Penerbit: PTS Islamika PTS Publications and Distributors Sdn Bhd
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM36 (Semenanjung Malaysia), RM39 (Sabah/Sarawak)

KHADIJAH binti Khuwailid adalah perempuan yang layak mendapat apresiasi mulia daripada Muslim dan Muslimah terhadap apa yang dipersembahkan kepada Nabi Muhammad SAW. Beliau adalah Ummul Mukminin pertama yang berdiri di samping Nabi Muhammad SAW, menyokong, membimbing dan menyerahkan segala dimiliki bagi membantu perjuangan Baginda.

Wanita mulia ini tabah mendampingi Rasulullah SAW menghadapi seksaan dan kezaliman kaum Quraisy. Beliau mendampingi Rasulullah dan turut berasakan penderitaan akibat pemulauan dilancarkan kaum Quraisy.

Istimewanya Khadijah dapat dihayati melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Allah tidak memberikan pengganti untukku yang lebih baik daripada Khadijah. Dia percaya kepadaku di kala orang lain mengingkariku, dia membenarkanku di kala orang lain mendustakanku, dia menyerahkan hartanya kepadaku di kala orang lain menghalangiku dan Allah mengurniakan keturunan melalui rahimnya kala aku tidak dapat daripada perempuan lain (isteri-isteriku)."

Buku Khadijah Cinta Abadi Kekasih Nabi hasil karya Dr Muhammad Abduh Yamani menceritakan kisah hidup Khadijah, sejarah pancaran sinar kemuliaan bagi wanita mulia dan istimewa dalam hidup Rasulullah SAW.

Wanita pertama memeluk Islam itu dianugerahi Allah reputasi harum, perjalanan hidup istimewa, kecerdasan intelektual dan semangat tinggi. Beliau adalah insan pertama membenarkan, memperteguhkan dan mendampingi Rasulullah SAW.

Bab pertama buku berkulit keras dengan gambar sekuntum mawar kuning itu mengajak pembaca mengenali wanita agung ini secara selayang pandang sebelum diikuti dengan bab yang memberi jawapan kepada persoalan kenapa Khadijah yang dipilih menjadi pasangan Nabi Muhammad.

Mengapa Nabi Muhammad SAW memilih Khadijah yang jauh lebih tua daripada Baginda turut diceritakan kerana masih ada yang tertanya dengan niat baik dan tidak kurang cuba menimbulkan persepsi negatif.

Malah, orientalis yang bencikan Islam mengatakan alasan Rasulullah SAW memilih Khadijah kerana Baginda ingin mengaut harta dimiliki wanita hartawan itu. Perkara itu dibidas Dr Muhammad yang mematikan tanggapan bahawa harta bukan sebab Rasulullah SAW berkahwin dengan Khadijah.

Walaupun Khadijah adalah nama hebat dalam sejarah umat Islam, namun masih banyak yang belum diketahui mengenainya kecuali kedudukannya sebagai isteri pertama Rasulullah SAW. Sebagai wanita biasa hidup senang, Khadijah ikhlas meninggalkan keselesaan demi berdiri teguh di sisi suami baik semasa suka mahupun di saat getir.

Beliau reda dengan ketetapan Allah dan itulah kedudukan Khadijah, kedudukan di sisi Allah dan Rasulullah SAW yang tidak dapat dimiliki perempuan lain.

Hakikatnya, banyak lagi kisah menarik yang boleh menjadi inspirasi kepada wanita Islam hari ini terutama keimanan kepada Allah dan kepercayaan kepada Rasul-Nya selain kekuatan hati sebagai ibu dan wanita apabila berhadapan dugaan dunia.

Bagi isteri hari ini, pastinya berharap cinta yang suami mereka seperti cinta Rasulullah SAW terhadap Khadijah, tokoh wanita yang bertempat di hati Baginda. Rasulullah SAW memulihara cintanya kerana itulah Baginda sentiasa menyebut di hadapan semua isterinya.

Tahun kematian Khadijah dikenal sebagai tahun kesedihan dan pada tahun itu juga bapa saudara yang banyak membela Baginda SAW, Abu Talib, meninggal dunia.