Tuesday, July 8, 2008

Tajdid Iman: Ganjaran pahala sempurna bagi ummah rahsiakan amal ibadat

Oleh Dr Juanda Jaya
juanda72@hotmail.com

MESTI IKHLAS: Apabila amal dilakukan tidak boleh disembunyikan seperti sembahyang berjemaah seseorang mestilah mengawasi gerak hatinya supaya tetap membulatkan niat hanya kerana Allah.


Umat ikhlas sentiasa memelihara kualiti amalan sama ada dilihat atau tidak

IKHLAS tidak akan berada di hati orang yang gilakan pujian. Boleh jadi jasanya dikenang manusia tetapi di sisi Allah ia tiada bernilai walau seberat debu. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan Kami hadapkan segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu umpama debu yang berterbangan, tiada bernilai." (Surah al-Furqan, ayat 23)

Sesungguhnya ikhlas adalah rahsia antara Allah dan hamba-Nya. Tidak ada seorang pun yang mengetahui rahsia itu walaupun dia adalah malaikat pencatat amalan. Pengetahuan lupus atau tidaknya amalan manusia hanya berada pada ilmu Allah.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah berfirman, "Aku adalah yang paling tidak memerlukan sekutu. Barang siapa yang beramal sedangkan Aku disekutukan dengan selain-Ku nescaya Aku tinggalkan dia dengan sekutunya." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Apabila amal yang dilakukan tidak boleh disembunyikan atas sebab tertentu seperti sembahyang berjemaah, haji atau sedekah yang diisytiharkan untuk memberi teladan kepada masyarakat supaya mengikuti perbuatan baik itu, maka seseorang mestilah mengawasi gerak hatinya supaya tetap membulatkan niat hanya kerana Allah.

Tidak salah beramal di hadapan manusia kerana setiap amal mesti diberi ganjaran yang sesuai sehingga 700 kali ganda balasannya. Tetapi jika mahu mendapatkan pahala yang sempurna tanpa dikurangkan sedikit pun seseorang hendaklah merahsiakan amalnya itu daripada pandangan manusia.

Rasulullah SAW menyatakan bahawa di akhirat nanti ada tujuh golongan manusia yang akan dinaungi rahmat Allah, dua daripadanya adalah orang yang memberi sedekah dengan tangan kanan sedangkan tangan kirinya tidak mengetahui, dan orang yang bersendirian mengingati Allah (berzikir) sehingga menitislah air matanya." (Hadis riwayat Al-Bukhari, Muslim, Al-Nasai)

Sesiapa yang mahukan pujian dari yang Maha Terpuji hendaklah dia menyediakan amal perbuatannya semata-mata kerana mahu berkhidmat kepada yang Maha Terpuji. Hartanya, jiwa raganya, hidup dan mati diserahkan seluruhnya kerana mengharap reda Ilahi.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mencintai hamba yang bertakwa, yang kaya dan yang suka menyembunyikan amalnya." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Kisah teladan sahabat Rasulullah SAW, tabiin dan salafus saleh adalah yang terbaik untuk diikuti dan diberi keutamaan bagi mereka yang mahu menyembunyikan amal soleh.

Imam Muslim melaporkan dalam Sahihnya daripada Abu Hurairah. Ketika Nabi SAW berada dalam suatu peperangan yang Allah memberikan kemenangan dan harta rampasan kepada Baginda SAW. Pada saat itu baginda bertanya kepada sahabatnya: "Apakah kalian kehilangan seseorang? Mereka menjawab: Ya, iaitu si dia, si dia dan si dia (mereka menyebut nama yang hilang).

Baginda SAW bersabda lagi: "Apakah kalian kehilangan seseorang? Mereka menjawab: Ya, si dia, si dia dan si dia. Sekali lagi Baginda SAW bersabda: Apakah kamu kehilangan seseorang? Mereka menjawab: Tidak ada lagi, ya Rasulullah. Baginda SAW bersabda: Tetapi aku kehilangan Julaibib. Carilah dia di antara mayat yang ada."

Mereka pun mencarinya dan mendapatkannya di antara tujuh orang mayat musuh yang berhasil dibunuhnya. Rasulullah SAW mendatangi mayatnya dan bersabda: "Dia membunuh tujuh orang musuh dan mereka pun membunuhnya. Lelaki ini adalah sebahagian daripada aku dan aku sebahagian daripadanya. Lelaki ini adalah sebahagian daripada aku dan aku sebahagian daripadanya."

Abu Hurairah berkata, bahawa Nabi SAW meletakkan jasadnya di atas kedua lengan Baginda sementara lengan lelaki itu hanya tinggal satu. Lalu Baginda SAW menggali kubur, meletakkan jasadnya di dalam kubur dan tidak memandikannya.

Julaibib adalah seorang insan yang tidak dikenali antara sahabat Rasulullah SAW. Selepas mendapat syahid, namanya begitu harum hingga menjadi sebutan yang indah di mata sejarah, melalui lisan Nabi SAW beliau dikenang walaupun manusia tidak pernah mengenalinya sebelum itu.

Kisah kedua pula menceritakan mengenai Umar bin al-Khattab yang mencari Uwais bin 'Amir al-Qarny. Apabila bertemu Uwais, Umar berkata, "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Akan datang kepada kalian seorang yang bernama Uwais bin 'Amir bersama rombongan dari Yaman, Murad dan Qiran. Dia terkena penyakit kulit dan sembuh kecuali tinggal di satu tempat sebesar sekeping dirham. Dia mempunyai seorang ibu dan sangat berbakti kepada ibunya. Jika dia bersumpah atas nama Allah, tentu Allah akan mengabulkan untuknya. Jika kamu mampu supaya dia meminta ampunan untuk kamu maka lakukanlah." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Lalu Umar meminta Uwais berdoa memohon keampunan Allah untuknya dan Uwais melakukan permintaan Umar. Apabila Umar ingin memberi wang belanja dan sehelai kain, Uwais berkata: "Sesungguhnya aku sudah mendapatkan empat dirham dari pekerjaanku mengembala unta ini. Apakah kamu melihat aku meminta tambahan? Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya di hadapanku dan di hadapanmu ada beban yang berat, yang tidak dapat dipikul kecuali oleh orang yang menganggapnya ringan, kerana itu buatlah ia ringan, semoga Allah merahmatimu."

Penampilan luaran kadang-kadang boleh menipu, oleh itu Allah hanya melihat yang berada di dalam hati dan diamal dengan nyata. Tanda ikhlas itu jika dilihat orang atau tidak, dia tetap melakukan amal dengan berkualiti kerana Allah.

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda72@hotmail.com

Hati penentu baik, buruk amalan umat

Oleh Aminudin Mansor

Orang beriman sentiasa terdorong melakukan kebaikan dalam hidup

HATI ibarat raja dalam diri manusia kerana di situ letaknya keyakinan seorang hamba terhadap Tuhannya. Hati juga menjadi sasaran syaitan untuk menyesatkan manusia. Manusia mempunyai hati yang baik, sentiasa berada dalam ketenangan, kedamaian dan ketenteraman.

Secara zahirnya hati ialah organ berwarna perang kemerah-merahan terletak pada sebelah kanan perut yang tugasnya mengeluarkan hempedu, mengawal kandungan gula dalam darah, menawarkan kesan keracunan nitrogen, menghasilkan urea dan menyimpan glikogen.

Berkaitan hati, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Di dalam diri manusia ada seketul daging, apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota lahir manusia. Jika seketul daging itu rosak maka seluruh anggota lahir manusia itu akan rosak, itulah dia hati."

Allah menilai orang yang beriman dan beramal soleh melalui hati baik yang memiliki sifat mahmudah untuk dimasukkan ke dalam syurga-Nya. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah memasukkan orang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga di bawahnya sungai, sesungguhnya Allah berbuat apa yang Dia kehendaki." (Surah al-Haj, ayat 14)

Jelaslah orang beriman dan beramal soleh mempunyai sifat terpuji seperti berkasih sayang sesama Muslim, bersikap lemah lembut, pemaaf, tenang, berbakti terhadap ibu bapa, sabar apabila susah, syukur apabila senang, mengawal diri ketika marah, bertimbang rasa serta berakhlak baik.

Segala sifat terpuji berpunca dari hati. Oleh itu, sifat terpuji mesti dimiliki dulu yang boleh mendorong kita melakukan amal soleh dalam kehidupan di dunia. Semuanya akan dinilai oleh Allah dan diberi nikmat syurga.

Dalam kehidupan masyarakat Melayu ada banyak peribahasa berkaitan hati seperti 'ada hati' iaitu mempunyai perasaan, 'kecil hati' yang bermaksud merajuk dan berasa tersinggung, 'hati muda' bermaksud rasa muda dalam hati, 'rasa hati' bermaksud perasaan, 'terang hati' bermaksud mudah mengerti dan 'hati kecil' bermaksud perasaan dalam batin. Segala-galanya berpunca dari hati. Hati yang bertakwa dan bersih tidak ada sifat derhaka, khianat, dendam, dengki dan rakus.

Imam Al-Ghazali dalam bukunya Keajaiban Hati dan Keunikannya menyatakan, hati ibarat cermin yang dapat memantulkan pelbagai bentuk benda yang mengarah padanya sehingga tampak bayangan bermacam bentuk itu silih berganti, tanpa henti, ibarat sebuah telaga yang airnya dari pelbagai air sungai yang tidak terjamin kebersihan dan kejernihannya, dapat pula telaga itu berisi air dari kedalaman telaga itu sendiri melalui sumber mata air yang memancar dari dalam.

Oleh itu, hati melalui pintunya yang mengalir kepada pancaindera luar dapat menampung dan menyerap ilmu empiris, melalui proses pembelajaran; sedangkan melalui pintunya yang mengarah ke alam malaikat, ia dapat menyerap ilmu melalui jalan ilham.

Manusia mengawal (makrifat) kepada Allah adalah melalui hatinya, bukan melalui anggota tubuh jasmaninya. Hatilah yang dapat mengenal Allah dan mendekatkan diri kepada-Nya. Hatilah yang mengadakan interaksi dengan Allah, dan selalu berjalan menuju ke hadrat-Nya.

Sementara itu, hati yang diterima Allah, adalah apabila bersih dari yang selain Allah. Manakala, hati yang akan terhalang dari Allah adalah apabila ia sibuk dan tenggelam dengan selain Allah. Hatilah yang bakal dituntut, serta diajak berbicara, dan dicela, jika ingkar kepada-Nya.

Hatilah yang akan merasa bahagia dan beruntung kerana mendekatkan hubungan dengan Allah dan kebersihannya. Sebaliknya, hati yang akan dimainkan, dicaci, dimaki, diseksa pula adalah hati yang kotor berlumuran noda dan dosa.

Ali bin Abi Thalib berkata, "Sesungguhnya Allah mempunyai tempat air di bumi-Nya, iaitu hati. Maka hati yang paling dikasihi Allah ialah paling halus, bersih dan keras." Kemudian Ali mengatakan, "Yang paling keras hati itu mengenai agama, paling bersih mengenai keyakinan dan paling halus adalah kepada saudaranya."

Kata-kata lain mengenai hati, "Sebaik-baik kaya ialah kaya hati, sebaik-baik bekal ialah takwa, seburuk-buruk buta ialah buta hati, seburuk-buruk dosa ialah berdusta, seburuk-buruk usaha ialah memungut riba, seburuk-buruk makanan usaha ialah makan harta anak yatim, sesiapa memaafkan orang akan dimaafkan Allah dan sesiapa mengampuni orang akan diampuni Allah."

Jelaslah, tempat ilmu terletak di hati. Hati memiliki kemampuan untuk mengatur seluruh anggota tubuh. Jiwa yang tenang juga terletak pada hati seseorang.

Allah berfirman yang bermaksud: "Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku." (Surah al-Fajr, ayat 30)

Hati yang taat kepada Allah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Hati itu ada empat macam iaitu; hati yang bersih di dalamnya ada pelita bersinar, itulah hati orang mukmin. Hati yang hitam seluruh permukaannya, itulah hari orang kafir. Hati tertutup yang terlihat tutupnya, itulah hati orang munafik. Hati yang memiliki dua sisi, yang satu iman dan yang lain nifaq." (Hadis Ahmad dan Thabrani).

Kemampuan berfikir bezakan manusia dengan haiwan

BERSYUKUR atas jati diri kemanusiaan adalah penting. Apabila kita memahami hakikat kemanusiaan yang ada dalam diri, kita tidak mungkin melakukan perbuatan seperti perangai haiwan. Kita berusaha sekuat tenaga supaya bertindak berlandaskan akal dan fikiran.

Menurut falsafah, perbezaan manusia dengan haiwan itu tidak banyak. Manusia adalah haiwan yang berfikir. Oleh itu, daripada segi kemampuan berfikir, sesungguhnya manusia lebih unggul apabila dibandingkan dengan haiwan.

Apabila kemampuan ini tidak digunakan dengan baik, hilanglah keunggulan yang ada pada diri dan akhirnya kita seperti binatang, bahkan lebih buruk lagi.

Allah menganugerahkan pelbagai kelebihan kepada manusia. Anugerah terbesar dimiliki manusia berbanding makhluk lain adalah akal. Dengan akalnya manusia mampu mengambil pengajaran dan memanfaatkan semua kemudahan yang Allah ciptakan di dunia.

Manusia yang mampu menakluk semua makhluk di dunia ini. Allah memberikan pendengaran, penglihatan dan perasaan. Semua itu adalah modal supaya manusia mampu menduduki darjat yang paling tinggi di sisi Allah.

Keunggulan manusia melebihi jin dan syaitan. Oleh itu, janganlah sekali-kali merendahkan diri kita sehingga menyerupai binatang iaitu makhluk yang bergerak dan bertindak atas rasa dan sifat binatangnya.

Binatang, sehariannya hanya sibuk memenuhi keperluan makan, minum dan syahwat. Tidak ada tujuan lain. Pada sebelah pihak lain, syaitan menggunakan seluruh kesempatan diberikan Allah bagi menyesatkan manusia supaya mereka mempunyai teman di neraka. Seluruh waktu syaitan digunakan bagi melakukan maksiat kepada Allah.

Allah menjelaskan dalam mafhumnya yang bermaksud: "Dan sesungguhnya kami jadikan neraka jahanam kebanyakannya daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan bagi memahami (ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan bagi melihat (tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan bagi mendengar (ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai." (Surah al-A'raf, ayat 179)

Jagalah imej sebagai manusia. Gunakan kemampuan berfikir. Gunakan akal supaya kita mampu menjadi makhluk paling mulia. Apabila tidak mampu menjaga imej sebagai manusia pasti kemuliaan yang ada pada diri kita jatuh dan berubah menjadi hina.

Monday, July 7, 2008

Fitnah undang perpecahan masyarakat

Oleh Mohd Shukri Hanafi

Allah laknat individu sebar serta percaya berita palsu, pembohongan

PERBUATAN fitnah-memfitnah membayangi masyarakat akhir-akhir ini. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Akan muncul suatu ketika yang mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasanya sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah." (Hadis riwayat Muslim)

Fitnah, sengaja mengadakan keburukan dan kekurangan, menokok tambah keaiban serta kelemahan orang atau memalsukan kebaikan sehingga menjadi keburukan. Ia boleh berlaku dalam bentuk lisan, tulisan seperti surat layang, khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web dan e-mel.

Fitnah adalah perbuatan tercela dan dilarang keras. Firman Allah bermaksud: "Fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan." (Surah al-Baqarah, ayat 191)

Disebabkan terlalu banyak perkara palsu serta pembohongan dalam fitnah itu, pembuat fitnah biasanya menyembunyikan dirinya supaya tidak diketahui orang kerana ia tidak mahu bertanggungjawab dan menyedari perbuatannya itu adalah palsu belaka.

Pembuat fitnah tidak berjaya jika tidak dibantu oleh orang yang menyebarkannya. Sebab itulah kedudukan pembuat fitnah dan penyebarnya adalah sama, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW diperlihatkan dengan sekumpulan manusia yang sedang menggunting lidah dan bibir mulut mereka dengan gunting. Baginda SAW bertanya kepada

Jibril: "Siapakah mereka itu?

Jibril menjawab: Mereka adalah penyebar fitnah." (Hadis riwayat al-Tabrani)

Lazimnya perbuatan memfitnah ini berlaku akibat didorong perasaan tamak, iri hati dan mementing diri sendiri. Selain itu, ia juga boleh berlaku jika seseorang itu lebih mengutamakan kedudukan dan keduniaan melebihi kepentingan agama.

Implikasi fitnah lebih dahsyat daripada membunuh. Membunuh hanya membabitkan orang tertentu dan akan berakhir pada masa tertentu, tetapi fitnah boleh menjatuhkan maruah seseorang dan seterusnya menimbulkan perpecahan, perbalahan dalam jangka masa panjang dan sukar disekat.

Orang yang difitnah itu akan mempertahankan dirinya dan apabila tahap kesabarannya mula hilang, ia menyebabkan seseorang itu bertindak dengan lebih agresif dan di luar batas kemanusiaan. Oleh sebab itulah Allah melarang keras perbuatan fitnah-memfitnah ini.

Diceritakan kononnya pada zaman dulu ada seorang lelaki kaya pergi ke pekan dengan tujuan hendak membeli seorang hamba. Kemudian ditawarkan kepadanya seorang hamba lelaki yang tiada sebarang kecacatan kecuali ia gemar memfitnah. Oleh kerana lelaki itu menganggap memfitnah sesuatu yang ringan dan remeh, maka ia bersetuju membeli hamba lelaki itu.

Selepas agak lama berada di rumah majikannya, hamba itu mulalah berkata kepada isteri majikan bahawa suaminya ingin berkahwin lagi. Lalu hamba itu pun mencadangkan isteri majikan cepat-cepat menggagalkan perkahwinan itu dengan ubat guna-guna, iaitu mengambil beberapa helai bulu roma di leher suaminya.

Cara mengambilnya pula harus dengan menggunakan pisau yang tajam supaya tidak terasa sakit ketika suaminya tidur. Oleh kerana si isteri ini benar-benar percaya lantas ia berusaha mendapatkan pisau yang tajam.

Kemudian hamba itu pergi memberitahu tuannya dengan berkata isterimu akan membunuhmu sewaktu kamu sedang tidur, kerana itu tuan diharap berhati-hati dan perkara ini boleh dibuktikan dengan berpura-pura tidur.

Maka benarlah ketika si suami berpura-pura tidur, tiba-tiba si isteri datang membawa pisau yang tajam, dan ketika memegang leher suaminya, si suami segera bangun, merampas pisau daripada tangan isterinya lalu terus membunuhnya. Keesokan harinya keluarga si isteri menuntut bela atas kematian itu dengan berbunuhan antara kedua-dua belah pihak.

Kisah itu memberi dua pengajaran penting. Pertama, fitnah tidak boleh dianggap suatu perkara yang ringan dan remeh, kerana boleh menimbulkan perpecahan, perbalahan, kemusnahan harta dan nyawa dalam masyarakat. Kedua, perlu menilai terlebih dulu kesahihan berita di sampaikan oleh seseorang.

Sebenarnya untuk menilai kesahihan dan kebenaran sesuatu berita yang disebarkan, al-Quran sudah meletakkan garis panduan. Ada beberapa ayat al-Quran dapat dijadikan panduan dalam perkara ini.

Antaranya firman Allah bermaksud, "Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan." (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Allah sudah memberi peringatan dan tunjuk ajar kepada semua umat Islam supaya menyelidiki terlebih dulu berita disampaikan orang tertentu kepada mereka. Tidak kira sama ada berita itu disampaikan secara lisan, melalui media cetak atau elektronik.

Seseorang mukmin dilarang tergesa-gesa mempercayai sesuatu berita yang disebarkan atau jangan terlalu cepat menafikannya sebelum menyelidiki terhadap kebenaran sesuatu berita itu. Ini semata-mata untuk mengelak daripada melakukan kesalahan di atas kesamaran.

Maksudnya, kerana sikap tergesa-gesa membuat keputusan yang tidak baik berdasarkan sesuatu berita disebarkan, menyebabkan orang yang diberitakan itu mendapat hukuman, padahal ia tidak melakukan kesalahan pun. Dalam hal ini jelas berlaku penganiayaan dan kezaliman.

Selain itu, ada beberapa panduan menghadapi berita fitnah. Abu Laith al-Samarqandiy berkata, "Kamu harus menghadapi berita fitnah dengan enam cara. Pertama, jangan percaya kerana orang yang memfitnah itu tidak dapat diterima penyaksiannya. Kedua, kamu harus mencegah daripada fitnah itu, sebab mencegah kemungkaran itu wajib. Ketiga, kamu harus membencinya, kerana ia adalah maksiat dan dosa. Keempat, kamu jangan bersangka jahat terhadap saudaramu yang difitnah itu, sebab buruk sangka terhadap sesama Muslim hukumnya haram. Kelima, jangan kamu selidiki keadaan orang yang difitnah itu, sebab Allah melarang menyelidiki kejahatan orang dan yang keenam, jika kamu tidak menyukai perbuatan orang yang memfitnah itu, maka jangan mengikuti cakapnya, iaitu jangan memberitahu sesiapapun segala fitnah yang disebarkan itu."

Justeru, kita seharusnya beringat, dalam usaha menolak sebarang berita fitnah jangan pula sampai kita membuat fitnah terhadap si pembawa atau pembuat fitnah itu. Kita harus menjaga perpaduan sesama umat Islam dan bangsa lain.

Perbuatan memfitnah jelas dilarang oleh syariat Islam. Maka kita hendaklah berusaha menghindari berbuat fitnah. Fitnah jika dibiarkan akan terus melekat di hati seseorang.

INTI PATI

Bahaya fitnah

Kedudukan pembuat fitnah dan penyebarnya adalah sama, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

Perbuatan memfitnah ini berlaku akibat didorong perasaan tamak, iri hati dan mementing diri sendiri. Selain itu, ia juga boleh berlaku jika seseorang itu lebih utamakan kedudukan dan keduniaan melebihi kepentingan agama.

Fitnah boleh jatuhkan maruah seseorang dan menimbulkan perpecahan, perbalahan dalam jangka masa panjang dan sukar disekat.

Umat Islam diminta supaya menyelidiki terlebih dulu berita disampaikan orang tertentu kepada mereka. Tidak kira sama ada berita itu disampaikan secara lisan, melalui media cetak atau elektronik.

Ketebalan fitnah yang melekat di hati manusia dapat dibersihkan dengan solat, puasa dan zakat.

Selain ganjaran lebih besar barisan dalam solat bukti ummah bersatu

UMAT Islam wajib mempercayai adanya syurga dan neraka. Orang yang beramal soleh akan ke syurga manakala orang yang ingkar akan ke neraka. Semua orang Islam yang beriman berkeyakinan sedemikian.

Persoalan besar timbul ialah apakah kita menyedari bahawa gaya hidup dan tingkah laku sehari-hari itu termasuk sebagai persediaan sebagai ahli syurga atau sudah pun tergelincir sebagai ahli neraka.

Gaya hidup dan tingkah laku manusia yang beruntung ialah hidup yang selalu diisi dengan amalan salih iaitu melaksanakan hak Allah, mengerjakan kebajikan dan melakukan perbuatan membawa kebaikan kepada masyarakat atau manusia umumnya.

Sesungguhnya setiap kebajikan atau kejahatan yang dilakukan manusia akan dicatat, direkod dan dikumpulkan oleh Allah dengan perantaraan malaikatnya untuk dihitung dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Allah menjadikan hidup di dunia bukan dengan tujuan sia-sia atau secara main-main tetapi ada tanggungjawab tertentu. Kerana itulah manusia diberi akal fikiran supaya tidak terikut-ikut dengan gaya menyalahi fitrah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Maka adakah patut kamu menyangka bahawa kami hanya menciptakan kamu sia-sia saja? Dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami? (Surah al-Mukminun, ayat 115)

Justeru, kehidupan di dunia perlu selari dengan ajaran Islam dan menjauhi daripada gaya hidup penuh maksiat. Manusia yang bebas daripada budaya maksiat akan membentuk masyarakat bertamadun dan berintegriti.

Orang yang baik bukan hanya sekadar melakukan kebaikan tetapi mestilah meninggalkan segala keburukan dan mencegahnya. Seseorang itu tidaklah dinamakan baik apabila ia pada sebelah pagi memberi sedekah kepada orang miskin tetapi petang pula melakukan kejahatan rasuah atau penyalahgunaan kuasa.

Oleh itu, untuk mengelakkan rugi atau menyesal, gunakan kesempatan kehidupan yang dikurniakan untuk melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya dan menghindarkan perbuatan yang merosakkan masyarakat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Seorang lelaki melalui sebatang jalan dan ternampak satu ranting pokok yang berduri lalu dialihkan ke tepi. Maka Allah melimpahkan kasihnya kepada lelaki itu dan diberikan keampunan ke atasnya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Walaupun menjauhkan sebatang duri dari tengah jalan kelihatan mudah tetapi pekerjaan itu dianggap Allah sebagai satu kebajikan yang besar kerana boleh mengurangkan kesusahan dan penderitaan manusia sejagat.

Janganlah berangan ingin memasuki syurga Allah jika usaha dan gaya hidup dipenuhi budaya maksiat. Oleh itu, setiap kita yang mengaku beriman dan ingin ke syurga perlu membuktikannya dengan melakukan amal ibadah dan amal salih bersungguh-sungguh.

Antaranya memperbanyakkan amal soleh dan menjauhi kejahatan, memastikan kehidupan sehari-hari tidak bercanggah dengan hak Allah dan hak manusia, memperbanyakkan kebajikan dan memastikan kehidupan seharian tidak mencampuradukkan perkara halal dan haram.

Firman Allah yang bermaksud: "Tidaklah sama ahli neraka dan ahli syurga. Ahli syurga merekalah orang yang beroleh kemenangan." (Surah al-Hasyr, ayat 20)

Jemaah kena rebut 'bonus' saf hadapan

Selain ganjaran lebih besar barisan dalam solat bukti ummah bersatu

KELEBIHAN berada di saf hadapan ketika mengerjakan solat berjemaah perlu dihebahkan supaya jemaah berebut untuk berdiri di barisan paling dekat dengan imam. Apa yang diperhatikan, makmum tidak mengambil berat mengenai kedudukan mereka dalam solat.

Sedangkan, berada di saf hadapan mempunyai fadilat tersendiri dan ini yang perlu direbut oleh jemaah yang bukan saja ingin keredaan serta pahala daripada solat dilaksanakan tetapi juga markah bonus kerana datang awal untuk berada di barisan depan.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Bahawa adapun pada waktu awal pagi Jumaat lagi sudah berhimpun malaikat dalam setiap masjid dengan membawa sebuah buku catatan, lalu di dalam buku itu nanti akan dituliskan pahala yang akan diterima oleh orang yang terawal sekali datang, kedua datang dan ketiga datang, lalu begitulah seterusnya, namun ganjaran pahala lebih besar adalah bagi mereka yang duduk atau mengisi tempat di saf hadapan."

Sesungguhnya perbuatan enggan bersolat di saf hadapan banyak bersangkutan dengan sikap mementingkan `keselesaan' untuk berehat-rehat dan mengambil kesempatan untuk mendapat tempat duduk luas.

Padahal, tindakan sedemikian bertentangan dengan sunnah dan ajaran Islam. Syarat solat berjemaah ialah memenuhkan saf di depan bagi memudahkan makmum yang kemudian mengambil tempat mereka.

Sikap tidak mahu memenuhkan ruang kosong di saf depan dan berkeras untuk duduk di belakang akan menimbulkan masalah kepada jemaah lain. Mungkin ada yang ingin ke depan tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana tidak mahu berjalan di depan saudara yang sedang bersolat sunat.

Akibatnya, hasrat ke depan tergendala kerana terpaksa menunggu sahabat tadi selesai solat sementara mereka di luar tidak dapat masuk kerana bahagian belakang sudah penuh walaupun saf depan masih banyak kosong.

Nabi Muhammad SAW sangat mengambil berat dalam permasalahan ini di mana Baginda sering menyuruh makmum bukan saja merapatkan saf tetapi mengarah mereka berada di hadapan sebelum menunaikan solat.

Pada ketika akan mengimamkan jemaah, Nabi Muhammad SAW selalu saja berteriak dengan suara nyaring mengarahkan makmum dengan sabdanya yang bermaksud: "Hendaklah kamu merapatkan saf atau jika tidak Allah akan memecah-belahkan antara hati-hati kamu."

Tatkala hendak memulakan solat, Nabi Muhammad SAW selalunya akan berpaling terlebih dulu kepada sekalian makmum lalu bersabda lagi yang bermaksud: "Segeralah perbetulkan saf kaum dan berdirilah serapat mungkin, kerana bahawasanya aku melihat syaitan selalu masuk mencelah pada saf renggang dan kosong."

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: "Jika semua makmum mengetahui akan keutamaan berada di saf hadapan lalu dan mereka tidak akan memperoleh kecuali dengan cara mencabut undi, maka nescaya mereka akan sanggup mencabut undi kerananya."

Saranan supaya setiap makmum merapatkan saf sehingga bersentuhan lutut ketika duduk dan bersentuhan bahu pula ketika berdiri solat sebenarnya mempunyai hikmah tersendiri iaitu membuka ruang jemaah berkenal-kenalan antara satu sama lain.

Perhimpunan besar umat Islam setiap Jumaat membanjiri masjid adalah manifestasi jelas menunjukkan hubungan kukuh serta perpaduan erat kaum muslimin tidak kira kedudukan atau latar belakang mereka.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya hari Jumaat itu adalah penghulu bagi segala hari, ia mempunyai keistimewaan di sisi Allah, pada hari jumaat Allah SWT menciptakan Nabi Adam AS, pada hari Jumaat juga akan berlakunya kiamat, dan pada hari jumaat juga banyak pintu rahmat akan dibukakan serta pada hari Jumaat pula kebanyakan doa akan dimakbulkan oleh Allah.

Berada di saf hadapan bukan untuk solat Jumaat saja tetapi solat fardu lain. Justeru, berebut-rebutlah untuk berada di saf hadapan supaya beroleh kelebihan yang dianugerahkan kepada mereka yang datang awal serta memenuhi barisan paling depan.

Sunday, July 6, 2008

Ulul Albab: Perbezaan fatwa dan ijtihad

Oleh Abdurrahman Haqqi

SUMBER RUJUKAN: Mengikut Imam al-Ghazali ulama mestilah berpengetahuan luas berhubung hal agama.

Percanggahan pendapat ulama mazhab suatu rahmat asal selari syariat

DALAM perkembangan kehidupan perkampungan global hari ini, sesuatu yang terjadi di satu tempat akan diketahui oleh orang di tempat lain dalam sekelip mata menerusi kemudahan teknologi maklumat. Perkara ini berlainan berbanding apa yang berlaku beberapa dekad dulu sebelum dunia menjadi kampung global.

Sesuai dengan namanya, 'kampung global', dunia global diumpamakan sebuah kampung dengan setiap sesuatu yang berlaku di tempat itu akan cepat tersebar ke merata tempat.

Kampung yang dalam bahasa Arabnya disebut 'qaryah' mempunyai tempat sendiri dalam al-Quran kerana walaupun disebut kampung tapi ia dalam banyak penggunaannya adalah istilah bagi satu ketamadunan. Ia disebut 33 kali dalam kata tunggal, sekali dalam kata mutsanna dan 20 kali dalam kata jamak. Satu jumlah yang banyak bagi satu istilah yang patut ditumpukan untuk mengkaji sistem perkampungan atau perkotaan atau kenegaraan atau ketamadunan dalam al-Quran.

Kampung global juga mempengaruhi perkembangan fatwa di kalangan masyarakat Islam. Jika fatwa pada masa lalu hanya terdedah pada satu tempat dan diketahui kalangan tertentu, pada hari ini ia mudah tersebar di seluruh dunia walaupun ia dikeluarkan seorang ustaz dalam kampung yang terpencil.

Justeru, ada kalanya apabila fatwa itu disebarkan kepada masyarakat yang bukan tempat asal masyarakat fatwa berkenaan, kadang kala akan memicu ketidakharmonian masyarakat terbabit. Cuba sebarkan fatwa melarang perempuan memandu kereta di sini, apa yang akan terjadi? Begitu pula sebaliknya, cuba sebarkan fatwa bahawa wanita boleh memandu kereta di Arab Saudi sampai beberapa bulan lalu, apa yang akan terjadi? Sudah tentu di kedua-dua tempat itu akan terjadi gejolak pemikiran dan polemik pro dan kontra yang tidak akan selesai kecuali dengan turun tangannya agensi kerajaan sebagai pemutus perkara syarak seperti ditetapkan oleh kaedah syarak.

Dilema fatwa global yang menonjol dan memerlukan keberhati-hatian setiap umat adalah fatwa dibenarkannya membangun atau mendirikan gereja di tanah negara Islam bahkan yang sangat konservatif di negara Teluk. Di salah satu negara ini, sedikitnya lima gereja dibenarkan untuk dibangun. Pengeluar fatwa di negara terbabit mempunyai hujah tersendiri yang bagi pihak penentangnya tidak munasabah. Akhirnya, fatwa ini merubah paradigma pemikiran Islam tradisional yang melarang sama sekali pembangunan gereja di tanah Islam.

Jika kita perhatikan seketika, kalimah fatwa ialah satu perkataan Arab yang berasal dari "fata-yaftu-fatwan". Fatwa yang memberi pengertian "ifta'" itu maksudnya, iaitu perbuatan yang dikeluarkan seorang alim mengenai hukum bersangkut paut dengan hal syariah. Dalam lisan al-'Arab, Ibnu Manzur menerangkan bahawa "futan" atau "fatwa" iaitu dua perkataan nama yang digunakan di tempat "al-ifta'" yang bermaksud perbuatan dilakukan mufti mengenai sesuatu hukum atau satu keputusan hukum dikeluarkan seorang faqih (seorang yang berpengetahuan luas lagi mendalam dalam perundangan Islam).

Fatwa ialah satu keputusan hukum syariah yang dikeluarkan seorang mujtahid dengan pengertian keputusan itu sebagai menjawab masalah menjadi kemusykilan dalam hukum.

Imam al-Ghazali menerangkan bahawa ulama bersepakat iaitu harus bagi seseorang mufti yang mujtahid dan adil itu mengeluarkan fatwa dan mufti mestilah berpengetahuan luas berhubung hal agama iaitu ia mestilah seorang yang adil dan mengetahui hal periwayat hadis dengan baik. Dengan perkataan lain mufti wajib mengetahui sumber hukum dari al-Quran dan hadis iaitu ia hendaklah memahami isi yang terkandung dalam kedua-duanya mengenai halal-haram, cerita, contoh, nasihat; mengetahui ilmu bahasa Arab; mengetahui nasakh dan mansukh dan mengetahui hal qias dan al-ijtihad serta kedudukan tingkatan pihak berkuasa sumber perundangan Islam sama ada yang disepakati atau tidak disepakati oleh ulama.

Selepas kewafatan Nabi Muhammad, segala permasalahan hukum-hakam pada setiap zaman diutarakan kepada ulama. Ia dimulai sahabat, Tabi'in, Tabi' Tabi'in dan akhirnya membentuk aliran masing-masing yang didokong oleh imam yang dikenali sebagai mazhab. Selepas berlalunya zaman pembinaan mazhab, maka hukum-hakam lebih berjalan berdasarkan fatwa imam mazhab masing-masing. Selepas berlalunya zaman pendukung mazhab, fatwa yang dikeluarkan seseorang mufti mahupun ulama ketika itu lebih terikat dengan mazhab masing-masing.

Pada dasarnya, umat Islam seharusnya menghormati nilai keilmuan yang ditinggalkan oleh ulama silam yang telah membina aliran fikah masing-masing. Ini kerana mereka dibuktikan zaman yang mereka sangat beramanah dan berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu hukum atau fatwa pada zaman masing-masing. Sejarah mencatatkan bahawa keikhlasan dan pengetahuan mereka mengatasi ulama pada zaman ini. Malah, terbukti tidak ada segelintir pun dari kalangan ulama silam yang diperakui oleh umat pada zaman itu dengan sengaja mereka cipta hukum-hakam agar bercanggah dengan ajaran Islam yang telah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad. Bagaimanapun, fatwa juga berubah berdasarkan perubahan tempat, keadaan, zaman, motif dan risiko.

Dalam kertas kerja bertajuk "Kedudukan Mazhab Shafie Dalam Fatwa Masa Kini di Malaysia", Dr Saupi Man dan Dr Mek Wok Mahmud menulis bahawa apabila fatwa bersifat ijtihadi, maka sudah tentu hasil ijtihad yang terikat dengan zaman, tempat dan keadaan itu tidak akan kekal buat selamanya. Maka, hukum turut berubah sebagaimana diungkapkan ulama usul. Berdasarkan kepada syariat Islam yang bersifat syumul dan murunah (fleksibel) serta sesuai pada setiap zaman dan tempat. Maka, percanggahan pendapat ulama mazhab adalah suatu rahmat. Setiap ulama yang mewakili mazhab masing-masing cuba meletakkan hukum-hakam selari dengan kehendak Islam yang sebenar, sejajar tuntutan zaman dan keadaan.

Mengambil kira hasil ijtihad dan fatwa mana-mana ulama terdahulu sebagai zanni, maka perbezaan hukum dengan menyimpang daripada hukum silam tetapi tidak menyalahi kaedah mazhab. INTI PATI: Sejarah kewujudan, perbezaan mazhab

Selepas kewafatan Nabi Muhammad, segala permasalahan hukum-hakam pada setiap zaman diutarakan kepada ulama. Ia dimulai sahabat, Tabi'in, Tabi' Tabi'in dan akhirnya membentuk aliran masing-masing yang didokong imam yang dikenali sebagai mazhab.
Selepas berlalunya zaman pembinaan mazhab, maka hukum-hakam lebih berjalan berdasarkan fatwa imam mazhab masing-masing.

Pada dasarnya, umat Islam seharusnya menghormati nilai keilmuan yang ditinggalkan ulama silam yang membina aliran fikah masing-masing.
Telah terbukti tidak ada segelintir pun dari kalangan ulama silam yang diperakui umat pada zaman itu dengan sengaja mereka cipta hukum-hakam agar bercanggah dengan ajaran Islam yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad.
Fatwa juga berubah berdasarkan perubahan tempat, keadaan, zaman, motif dan risiko.
Berdasarkan kepada syariat Islam yang bersifat syumul dan murunah (fleksibel) serta sesuai pada setiap zaman dan tempat. Maka, percanggahan pendapat ulama mazhab adalah suatu rahmat.

Setiap ulama yang mewakili mazhab masing-masing cuba meletakkan hukum-hakam selari dengan kehendak Islam yang sebenar, sejajar tuntutan zaman dan situasi.
Mengambil kira hasil ijtihad dan fatwa mana-mana ulama terdahulu sebagai zanni, maka perbezaan hukum dengan menyimpang dari hukum silam sebagaimana sedia ada justeru membina hukum lain berdasarkan kaedah dan metod Shafie sendiri tidak dianggap menyalahi mazhab.

Tiga perkara penyelamat, membinasa manusia

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: "Tiga perkara yang menyelamatkan, iaitu takut pada Allah ketika bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku adil pada ketika suka dan marah, berjimat cermat ketika susah dan senang, dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri." (Hadis riwayat Abu Syeikh)

Ada tiga perkara yang memberikan keselamatan kepada manusia iaitu:

Sentiasa menjaga tingkah laku kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Mendengar semua yang dilakukan hamba-Nya.

Berlaku adil yang bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya tanpa diskriminasi dan beremosi. Ini termasuk memberikan hak kepada yang berhak, tidak terhad pada hubungan antara sesama makhluk malah dalam menjaga hubungan dengan Tuhan.

Berjimat cermat ketika susah dan senang kerana ini akan menyelamatkan seseorang itu daripada menyesal pada kemudian hari.

Rasulullah SAW berpesan ada tiga perkara lain akan membinasakan manusia iaitu:

Mengikut telunjuk syaitan yang sentiasa mendorong kepada kehendak hawa nafsu yang mengakibatkan kebinasaan diri.

Bersifat kedekut sehingga menyebabkan orang lain membenci dan menjauhinya.

Kagum dengan diri sendiri iaitu ujub dengan kelebihan diri serta suka menghina orang lain menyebabkan dia akhirnya disisihkan daripada masyarakat.

Sesungguhnya setiap perkara yang dilarang itu ada hikmahnya begitu juga dengan perkara yang baik, pasti ada kemuliaannya.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Persoalan Agama: Individu berdosa mesti taubat, mohon keampunan

SAYA seorang lelaki beragama Islam dan sedang menuntut di sebuah kolej dalam jurusan Teknologi Maklumat. Biarlah saya berterus terang untuk kebaikan diri dan iktibar orang lain yang menghadapi kerenah dan perangai seperti saya. Tiga soalan saya adalah seperti berikut:

A. Sebagai seorang pelajar lelaki, saya melakukan dosa dan terkutuk. Saya mempunyai sifat buruk, antaranya saya suka memakai subang, rantau, gelang, cincin emas atau perak. Selain itu, saya teringin sangat menindik dagu dan bulu kening serta teringin untuk mewarnakan rambut.

B. Selain itu, saya juga mempunyai sifat keji iaitu suka menonton filem lucah atau paling memburukkan, sekiranya saya menonton filem dan bila berasa ghairah, saya akan melancap hingga terpancut air mani. Saya juga pernah melakukan homoseks dengan seorang teman.

C. Saya juga pernah melawan dan membantah cakap ibu bapa dan guru. Saya kini begitu insaf. Soalan saya, apakah hukuman Allah SWT kepada perbuatan saya sekiranya saya benar-benar bertaubat dan menyesal di atas perbuatan saya yang lalu.

PERKARA yang disenaraikan saudara mempunyai hukum yang berbeza-beza.

Memakai subang, rantai, gelang, barangan emas dan menindik adalah haram kerana termasuk dalam larangan memakai perhiasan khusus untuk wanita manakala memakai cincin perak adalah harus.

Perbuatan haram lain yang disebut ialah melancap dan menonton filem lucah. Namun homoseks (liwat) dan menderhaka kepada ibu bapa termasuk dalam kategori dosa besar. Liwat sama hukumnya dengan zina. Dalam hadis dinyatakan bahawa keredaan Allah Ta'ala bergantung kepada keredaan ibu bapa. Ini bermakna seseorang yang menderhaka kepada ibu bapa berada dalam kemurkaan Allah sewaktu hayatnya atau setelah dia mati.

Seseorang yang melakukan dosa wajib segera bertaubat kepada Allah SWT seperti firman-Nya: "Wahai orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat yang suci dan ikhlas" (Al-Tahrimi 8). Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang bertaubat itu kekasih Allah; dan orang yang bertaubat daripada dosanya, sama seperti orang yang tidak melakukan dosa." Begitulah luasnya rahmat Allah sehingga al-Quran menyatakan semua dosa akan diampun kecuali dosa syirik perlu diucap semula kalimah syahadah.

Perkara utama dalam proses taubat ialah menyesali dosa yang dilakukan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "menyesal itu adalah taubat". Rukun kedua dalam proses taubat ialah meninggalkan dosa yang dilakukan itu. Ketiga, berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Dengan terlaksana ketiga-tiga rukun ini, sempurnalah taubat tanpa perlu ia membuat pengakuan di hadapan mana-mana individu. Dan Allah berjanji akan menerima taubat hamba-hambanya seperti dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan Dialah yang menerima taubat daripada hamba-hambanya dan mengampunkan kesalahan-kesalahan...." (Al-Syura: 25)

Cuma jika dosa yang dilakukan itu berkaitan orang lain seperti ibu bapa atau penganiayaan terhadap mana-mana individu, maka satu rukun lagi perlu disempurnakan, iaitu mendapatkan keredaan pihak terbabit dengan memohon maaf dan memulangkan hak sekiranya ada. Jika ini tidak dapat dilakukan disebabkan orang berkenaan sudah meninggal dunia umpamanya, maka harapan yang ada untuk mendapatkan keampunan ialah dengan memohon keampunan daripada Allah terhadap orang yang dizalimi itu dan juga melakukan kebajikan bagi pihaknya seperti bersedekah, wakaf dan sebagainya.

Ini adalah antara cara untuk mendapat keampunan daripada Allah." Wallahu Alam.

Persoalan Agama: Peraturan poligami pelihara kepentingan umum

Wan Zahid Wan Teh

SAYA mempunyai nafsu seks yang sangat kuat. Dalam hal ini bolehkah saya berpoligami bagi menyelesaikan masalah itu. Bolehkah jelaskan syarat membolehkan seseorang lelaki itu berpoligami?

NIKAH adalah satu daripada cara yang dianjurkan Islam bagi menjauhi maksiat terkutuk, iaitu zina. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa daripada kamu yang mampu (memberi nafkah) hendaklah berkahwin kerana ia dapat memelihara mata (dari memandang yang haram) dan kemaluan (daripada zina). Poligami adalah harus dalam Islam. Seseorang yang hendak berkahwin atau berpoligami perlu memastikan dia mampu memberi nafkah dan melaksanakan kewajipan lain seperti berlaku adil. Walaupun hukum asal berkahwin adalah sunat, namun ia boleh menjadi haram jika menimbulkan pengabaian kewajipan berumah tangga.

Bagi mengelak poligami disalahgunakan, sama ada disebabkan kejahilan atau kekurangan sifat amanah serta sikap bertanggungjawab di kalangan orang ramai, pemerintah membuat peraturan tertentu untuk berpoligami seperti yang terdapat dalam undang-undang keluarga Islam.

Mewujudkan peraturan seperti ini menjadi hak dan tanggungjawab kerajaan demi memelihara maslahah dan kepentingan umum. Peraturan ini wajib dipatuhi berasaskan ayat 59 daripada surah An-Nisa' yang memerintahkan orang beriman supaya taat kepada Allah, Rasul dan pemerintah mereka. Imam Al-Qurtubi, ketika mengulas ayat ini menulis: "Jika pemerintah memerintahkan perkara yang harus, maka mentaatinya adalah wajib dan tidak halal menyalahinya (al-Mufhim).

Banyak hadis yang mengukuhkan perintah di atas, antaranya hadis riwayat Bukhari yang bermaksud: "wajib ke atas setiap Muslim dengar dan taat kepada pemerintah, pada perintah yang dia suka atau tidak, selama mana dia tidak diperintah melakukan maksiat.....". Berasaskan dalil-dalil di atas, ulama membuat suatu rumusan berkaitan perkara ini seperti yang disebut oleh Sheikh Mustafa Al-Zarqa' dalam kitabnya al-fiq al-Islamifi thaubihi al-Jadid: "fuqaha" menyatakan bahawa perintah yang dikeluarkan oleh pemerintah wajib diterima dan dilaksanakan.... selama mana perintah itu (bukan maksiat) dan berlandaskan kepada kepentingan umum, yang mana penentuannya terpulang kepada budi bicara pemerintah sendiri, sesuai dengan satu prinsip dalam ilmu usul fiqah yang dipanggil 'al-Masalih al-Mursahah'.