Saturday, September 27, 2008

Mukjizat bantu Nabi Ilyasa', Zulkifli kembalikan akidah umat

Oleh Hasliza Hassan

PROGRAM Al-Risaalah 2 Musa Kalimullah meneruskan kembara dengan menyingkap kisah dua lagi nabi iaitu Nabi Ilyasa’ dan Zulkifli. Kehidupan Nabi Ilyasa’ amat ringkas. Baginda suka memakai pakaian biasa, bertongkat dan memiliki pembantu bernama Jihza yang setiap masa bersama dan menguruskan keperluan Baginda.

Ketika Nabi Ilyasa’ mengembara untuk menziarah makam Nabi Ayub, iblis menyesatkan Baginda dan hasrat menziarahi makam itu tidak kesampaian.

Ketika memimpin kaumnya, Nabi Ilyasa’ diberi Allah pelbagai mukjizat. Selepas pulang dari Timur Jordan melihat Nabi Ilyias diangkat Allah ke langit, Baginda mendiami Jericho seketika. Penduduk mengadu sumber air mereka rosak, berbau dan tidak boleh diminum.

Nabi Ilyasa’ berdoa kepada Allah dan selepas itu mencampakkan beberapa ketul garam ke dalam mata air. Berkat mukjizat Baginda, mata air itu menjadi bersih dan kembali tawar sesuai untuk diminum.

Nabi Ilyasa’ meninggalkan Jericho menuju ke Baitul Ilah. Penduduk di sana menyembah berhala menyuruh anak mereka mengejek Nabi Ilyasa’ dengan memanggil Baginda, si Botak. Ketika itu keluar dua binatang buas dari hutan berhampiran lalu menerkam kanak-kanak itu hingga membawa maut.

Sejak itu, penduduk kampung menghormati Nabi Ilyasa’ dan tidak lagi mengejeknya. Nabi Ilyasa’ kembali menemui Allah selepas memimpin kaumnya ke arah keimanan dan ketakwaan.

Nabi Zulkifli dikatakan ialah Ilyias bin Yasin, cicit Nabi Harun sementara ada pula mengatakan Baginda ialah Yusa’ bin Nun, Nabi Halqiya dan pendapat lain, Nabi Zulkifli ialah Uwaidaya bin Adrim. Baginda diberi gelaran Zulkifli bermakna ‘yang sanggup memikul tugas.

Nabi Zulkifli diberi tugas mengembalikan seorang raja yang gagah perkasa ke pangkal jalan dan bertaubat kepada Allah. Jika raja itu sanggup bertaubat, Allah janjikan kepadanya syurga. Baginda membawa surat kepada raja itu dan selepas menerimanya, dia bertaubat serta beriman kepada Allah.

Nabi Zulkifli dikatakan hidup pada zaman seorang nabi bani Israel. Selepas nabi itu tua dan tidak lagi berupaya memimpin dia mencari penggantinya. Sesiapa yang sanggup memenuhi tiga syarat akan menggantikannya sebagai pemimpin.

Nabi Zulkifli sanggup melakukannya dan selepas nabi itu wafat, Allah melantiknya menjadi nabi. Ketika berdakwah mengembalikan akidah kaumnya, Nabi Zulkifli juga menghadapi pelbagai cabaran. Namun berkat kesabaran, Baginda berjaya memulihkan akidah kaumnya dan mereka kembali ke pangkal jalan.

Friday, September 26, 2008

Baitulmaqdis jadi rebutan penganut tiga agama samawi

Oleh Hasliza Hassan

Pemerintahan Nabi Sulaiman adalah zaman kegemilangan kerajaan Israel. Ketika itu mereka berpegang teguh kepada agama dan tidak menyekutukan Allah.

Namun, selepas itu mereka menjauhkan diri daripada agama, malah mensyirikkan Allah dengan menyembah berhala Ba'al.

Kerajaan bani Israel berkecai semula. Mereka menjadi lemah, tidak berupaya mempertahankan diri dan tewas dalam peperangan. Kaum mereka sering menjadi tawanan perang dan Baitulmaqdis ditawan musuh silih berganti.

Pada 70 Masihi, Raja Rom, Titus mengepung Baitulmaqdis sehingga bani Israel kebuluran dan dihalau keluar dari Palestin. Pada 135 Masihi, Maharaja Adrianus membina semula Baitulmaqdis tetapi dibakar Parsi pada 614 Masihi.

Baitulmaqdis kemudian diserah kepada Khalifah Umar al-Khattab dan orang Islam memanggilnya Al-Qadsi. Pada 1099 Masihi tentera Salib menawannya daripada umat Islam, tetapi Salahuddin al-Ayubi merampasnya kembali pada 1187. Baitulmaqdis kemudian jatuh ke tangan Kerajaan Turki Alkhawarizmi dan Turki Othmaniah.

Al-Qudsi atau nama asalnya Jerusalem adalah bandar suci penganut Yahudi, Kristian dan Islam.

Bagi penganut Yahudi, di situlah rumah ibadah yang dibina Nabi Sulaiman iaitu Haikal Sulaiman. Bagi penganut Kristian, di situ juga Kanisah Al Qiamah sementara bagi umat Islam, terletaknya Masjid al-Aqsa.

Nabi Sulaiman wafat pada 933 Sebelum Masihi selepas memerintah Israel 40 tahun. Al-Risaalah 2 Musa Kalimullah yang meneruskan catatan mengenai Nabi Sulaiman dalam episod kali ini turut mengimbau sejarah Baitulmaqdis, iaitu bandar tua Baitulmaqdis yang menjadi ibu negara Palestin dulu.

Nama Jerusalem diberi suku kaum Amuri yang membina bandar itu berdasarkan nama tuhan mereka Syalim. Yurusyalim membawa erti bandar yang diasaskan oleh tuhan Syalim.

Baitulmaqdis menyimpan banyak sejarah selain Makam Nabi Daud, batu tergantung di Masjid Qabbah Assakhrah serta gua yang menjadi tempat Rasulullah SAW bersembahyang ketika Israk dan Mikraj.

Turut dipertontonkan ialah rumah ibadat yang dibina Nabi Sulaiman iaitu Haikal Sulaiman di atas Bukit Muria atau Bukit Muriah yang memakan masa tujuh tahun untuk disiapkan.

Zakat fitrah amalan bersih diri, santapan fakir

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir


ZAKAT fitrah diwajibkan kepada semua umat Islam yang memenuhi syarat.


Rukun Islam keempat wajib ditunai sebelum solat Aidilfitri, didik ummah tak terlalu sayang harta

SEBELUM Ramadan yang mulia dan penuh ganjaran pahala ini meninggalkan kita, satu tanggungjawab yang patut dilaksanakan ialah membayar zakat fitrah. Setiap umat Islam wajib membayarnya mulai sekarang dan waktu afdal ialah selepas sembahyang Subuh akhir Ramadan.

Selewat-lewatnya sebelum menunaikan sunat Aidilfitri di masjid. Membayar zakat fitrah itu dianggap makruh dan haram sesiapa membayarnya selepas terbenam matahari pada Aidilfitri.

Daripada Umar katanya: "Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada Ramadan kepada semua orang Islam, lelaki, perempuan, orang yang merdeka atau hamba, satu sha' kurma atau gandum." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Tujuan membayar zakat fitrah adalah menyucikan diri yang berpuasa daripada kata dan perbuatan keji. Kehidupan ini sentiasa terdedah dengan perbuatan atau perkara yang boleh mendatangkan dosa, apatah lagi jika kita berniaga.

Kita mungkin tidak sedar sumber kewangan dalam perniagaan diperoleh daripada jalan tidak bersih dan haram seperti terjual barang haram, tersalah kira, menjual barang kurang bermutu atau luput tarikh. Pendapatan daripada sumber itu dianggap tidak bersih dan haram.

Apabila mengeluarkan zakat, bererti kita mengeluarkan harta daripada sumber pendapatan yang tidak bersih itu. Yang tinggal adalah harta yang bersih dan halal seperti firman Allah bermaksud: "Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka." (Surah at-Taubah, ayat 103)

Islam menggariskan lapan perkara bagi orang yang layak atau boleh menerima zakat fitrah iaitu fakir, miskin, mualaf, riqab (budak yang akan memerdekakan diri), orang yang banyak hutang, berjuang di jalan Allah, ibnu sabil dan amil. Sementara orang yang tidak layak dan tidak boleh menerima zakat ialah lima kelompok iaitu kafir, orang yang ada pekerjaan dan harta, dalam tanggungan orang lain, hamba dan keturunan Hashim serta Abdul Mutalib.

Sama ada zakat fitrah atau harta, harus diingat mengeluar atau membayar zakat adalah perintah Allah. Ia antara lima Rukun Islam dan diwajibkan pada tahun kedua hijrah. Firman Allah yang bermaksud: "Dirikanlah sembahyang dan bayarkan zakat hartamu." (Surah an-Nisa', ayat 77)

Dalam sebuah buku dicatat bahawa Ikramah, berkata harta yang daripadanya tidak ditunaikan hak Allah akan menjadi ular yang tidak berambut di kepala pada Hari Kiamat dan mengejar pemiliknya. Dia (pemilik harta itu) akan meminta perlindungan daripadanya.

Diceritakan juga Hajar Ibnu Baian menukilkan sabda Baginda SAW bahawa jika seorang daripada saudara-mara meminta pertolongan daripada harta yang lebih daripada keperluannya dan dia tidak sanggup menolong, maka pada hari hisab harta itu menjadi ular dan membelit jasadnya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan orang yang menyimpan emas dan perak tidak menafkahkan di jalan Allah, maka beritahulah kepada mereka (bahawa mereka akan) mendapat seksa yang pedih." (Surah at-Taubah, ayat 34)

Harta yang dikeluarkan zakat darinya mendapat lebih keberkatan dan si pemilik harta berkenaan mendapat pahala dan hidupnya diberkati Allah. Tentu saja mereka yang ingkar membayar zakat menerima hukuman Allah seperti dinyatakan dalam firman di atas.

Mengeluarkan zakat tanda kita bersyukur kepada Allah atas nikmat-Nya. Sesungguhnya nikmat Allah yang dikecapi kini dan lalu tidak ternilai harganya dan tidak terbalas. Justeru, tidak ada sebab mengapa kita berat hati mengeluarkan zakat yang diwajibkan.

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman, nafkahkanlah sebahagian daripada rezeki yang sudah Kami berikan kepada kamu." (Surah al-Baqarah: 254)

Daripada Ibnu Abbas katanya: "Rasulullah SAW menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan sia-sia dan perkataan buruk, dan juga untuk menjadi makanan orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum solat hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang makbul dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedekah biasa seperti sedekah sunat yang lain." (Hadis riwayat Abu Daud)

Thursday, September 25, 2008

Hak Muslim: Suami juga kena tunggu habis tempoh idah

Jawapan oleh Tuan Musa Awang (Setiausaha Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM))
excopgsm-@yahoo.com

Perceraian elak lelaki salah guna sijil cerai untuk kahwin lain dan rujuk semula

Soalan:

SAYA dan isteri bercerai pada Ogos lalu. Dua minggu selepas tarikh cerai, saya ke Jabatan Agama Islam untuk mendapatkan sijil cerai. Saya ingin bernikah dengan wanita lain. Malangnya, saya dimaklumkan oleh kakitangan bertugas bahawa saya juga perlu beridah seperti bekas isteri. Saya menjadi keliru dengan kenyataan itu. Adakah kaum lelaki juga perlu beridah? Setahu saya edah itu khusus untuk wanita atau isteri saja. Harap dapat penjelasan.

Hamba yang keliru,
Pulau Pinang.

Jawapan:

Sebelum menjawab kekeliruan saudara, kita fahami dulu definisi, kategori dan hikmah idah menurut syarak. Idah ialah tempoh masa menunggu bagi isteri yang diceraikan suami. Hikmah idah adalah untuk menentukan rahim isteri bersih daripada benih bekas suaminya.

Dalam perceraian talak raj'i, idah memberi peluang kedua-dua pihak berfikir semasak-masaknya, apakah perceraian yang berlaku itu memberi manfaat untuk mereka atau sebaliknya.

Idah terbahagi dua iaitu idah isteri yang kematian suami dan idah isteri bercerai hidup. Tempoh idah isteri yang kematian suami ialah jika isteri mengandung maka idahnya selepas melahirkan anak dan jika tidak mengandung, idahnya selama empat bulan sepuluh hari sama ada disetubuhi suami semasa hidup atau tidak.

Idah isteri yang bercerai hidup pula ialah jika mengandung maka idah tamat selepas kelahiran bayi dan jika tidak mengandung, edahnya ialah tiga kali suci bagi perempuan yang masih datang haid. Jika isteri yang diceraikan masih tidak disetubuhi maka tidak ada idah baginya.

Haram bagi suami bersetubuh dengan bekas isteri yang berada dalam tempoh idah raj'i, kecuali selepas berlaku rujuk. Ketika dalam tempoh idah, suami masih bertanggungjawab memberi nafkah makan minum, tempat tinggal dan pakaian kepada bekas isteri.

Firman Allah yang bermaksud: "Jika mereka itu mengandung maka berikanlah nafkah kepada mereka sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya itu." (Surah at- Thalaq, ayat 6)

Arahan Allah ini ditaqninkan dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang memperuntukkan: "Tertakluk kepada hukum syarak, mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah isteri atau bekas isterinya."

Balik kepada soalan saudara, secara umumnya memang idah khusus untuk isteri. Tetapi suami juga ada tempoh idah dalam keadaan berikut:

Apabila suami menceraikan isteri dengan talak raj'i dan suami hendak berkahwin dengan perempuan yang haram dihimpunkan bersama dengan isterinya (contoh adik beradik isterinya) maka hendaklah suami menunggu sehingga habis tempoh idah isteri yang ditalak itu.

Jika suami sudah mempunyai empat orang isteri, kemudian menceraikan salah seorang daripadanya dengan talak raj'i, untuk dia berkahwin satu lagi maka dia mesti menunggu isteri yang diceraikan itu habis tempoh idah terlebih dulu.

Dari segi praktik perundangan, suami juga tidak dibenarkan berkahwin dengan wanita lain selagi tempoh idah talak raj'i dengan bekas isteri belum tamat. Jika dia tetap ingin meneruskan hasrat itu, maka dia hendaklah memohon kebenaran berpoligami dari mahkamah.

Ini adalah untuk mengelakkan penyalahgunaan sijil cerai dengan cara memanipulasi fakta dan keadaan. Berlaku kes di mana suami menggunakan sijil cerai itu untuk bernikah dengan wanita lain, tetapi kemudian dia kembali rujuk kepada isterinya yang masih dalam tempoh idah talak raj'i, tanpa memaklumkan kepada bekas isterinya itu bahawa dia sudah berkahwin lain. Akibatnya, dia mempunyai dua isteri pada masa sama. Perkara sebeginilah yang hendak dielakkan pihak berkenaan.

Bagaimanapun, menurut pengalaman saya, sijil cerai masih boleh dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam jika suami membuat satu akuan berkanun bahawa dia tidak akan berkahwin lain sehingga tempoh idah isterinya tamat.

Nasihat saya, saudara sabarlah menunggu sehingga tempoh idah isteri tamat. Manalah tahu, Allah menampakkan hikmah dalam tempoh idah itu, Allah memberi petunjuk wanita itu tidak sesuai untuk saudara? Atau Allah bukakan hati saudara dan bekas isteri untuk kembali semula ke perkahwinan sebelumnya.

Jawapan disediakan Setiausaha Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang. Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm-@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blog spot.com

Kuasa, kekayaan tak jejas ketakwaan, iman Nabi Sulaiman

NABI Sulaiman memohon daripada Allah supaya dikurniakan sebuah kerajaan yang besar dan luas. Allah memperkenankan permohonan Nabi Sulaiman itu yang tidak diberikan kepada kerajaan lain selepasnya.

Allah juga mempermudah angin yang bertiup mengikut arahan Baginda. Jika angin diperintah bertiup, nescaya bertiuplah ia dan apabila diperintah berhenti, angin pun berhenti. Baginda juga berupaya memerintah angin bertiup menjadi ribut kencang atau bayu lembut yang nyaman.

Baginda boleh mengarahkan angin bertiup membawa awan dan menurunkan hujan di kawasan kering dan gersang dalam wilayahnya. Bumi gersang itu pun bertukar subur menghijau membawa kemewahan kepada petani.

Pada waktu negara jiran mengalami kemarau panjang, negara Israel mewah dengan air hujan yang dibawa awan. Ribut taufan menjadi bala tentera Baginda ketika bertindak memecahbelahkan barisan pertahanan musuh.

Allah juga mempermudahkan jin berkhidmat kepada Nabi Sulaiman dan jin digunakan sebagai buruh lombong tembaga dan bijih besinya. Jin juga bekerja menyediakan perhiasan dan perabot untuk istana dan rumah ibadah Baginda.

Di samping itu, syaitan juga patuh kepada perintah dan arahan Nabi Sulaiman. Syaitan diperintah Baginda untuk menyelam di laut dalam, bagi mengeluarkan mutiara. Begitulah kekuasaan Nabi Sulaiman yang dikurniakan Allah kepadanya.

Nabi Sulaiman juga memahami bahasa serangga seperti semut. Ketika bala tentera Nabi Sulaiman terdiri daripada manusia, jin dan burung sampai di suatu lembah yang dikenali dengan 'Lembah Semut' seekor daripada semut itu mengarahkan semut lain supaya masuk ke sarang masing masing.

Mereka diminta berbuat demikian supaya tidak dipijak oleh bala tentera Nabi Sulaiman yang ramai. Nabi Sulaiman memahami bahasa percakapan semut lalu tersenyum dan ketawa. Lantas memuji Allah, Pencipta Alam yang memberi nikmat kepadanya dan kedua ibu bapanya.

Biarpun diberi Allah kekayaan dan kekuasaan namun Nabi Sulaiman tidak lupa daratan. Malah segala-galanya menjadikan iman dan takwa baginda kepada Allah, bertambah kuat.

Kisah Nabi Sulaiman dan mukjizat dikurniakan Allah kepada Baginda diceritakan dalam program Al-Risaalah 2 Musa Kalimullah dalam episod 26 di TV9, jam 10.30 malam ini. Penonton juga didedahkan dengan kisah Nabi Sulaiman dengan Puteri Balqis seperti diceritakan oleh al-Quran.

Melalui perkhabaran diterima daripada burung belatuk, ada seorang raja perempuan memerintah negeri Saba' dan mereka menyembah matahari. Lalu Nabi Sulaiman mengutus surat untuk berdakwah kepada pemerintah wanita itu.

Surat Nabi Sulaiman dimaklumkan Puteri Balqis kepada pembesar negara dan walaupun bersedia untuk menghadapi peperangan tetapi Puteri Balqis tidak mahu kerana memikirkan kesannya nanti kepada negara Baginda.

Sebaliknya Puteri Balqis lebih suka mengadakan hubungan baik dengan Nabi Sulaiman lalu mencadangkan supaya dikirim utusan membawa hadiah dan barang barang berharga kepada Baginda.

Nabi Sulaiman menolak hadiah dikirimkan seterusnya memaklumkan bahawa Baginda tidak mengharapkan harta benda. Malah apa diberi Allah kepa-danya jauh lebih baik daripa-da apa yang dimiliki Puteri Balqis.

Menurut pendapat yang masyhur, Nabi Sulaiman memperisterikan Ratu Balqis dan mengasaskan masyarakat Yahudi di negaranya.

Wednesday, September 24, 2008

Terap amalan murni pada Aidilfitri

Oleh Aminudin Mansor

Umat dituntut hidupkan malam raya dengan takbir, tahmid

SELEPAS berjaya menunaikan ibadat puasa dan kini pada penghujung Ramadan, umat Islam akan menyambut Hari Raya Puasa atau Aidilfitri minggu depan dengan penuh kegembiraan dan kejayaan.

Hari Raya Puasa hanya disambut setahun sekali dan tentulah akan disambut dengan penuh meriah. Bagaimanapun, Islam melarang umatnya membazir dan berbelanja secara berlebih-lebihan ketika merayakannya.

Islam menjaga keamanan dalam masyarakat dengan menggalakkan seseorang individu dan masyarakatnya bersatu daripada berada di dunia yang bersifat individualistik. Islam juga menyeru pengikutnya ke arah matlamat luhur.

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah." (Ali-Imran:10).

Oleh itu, umat Islam mestilah merayakan Hari Raya dengan penuh bermakna, melakukan kebaikan dan meninggalkan keburukan dan kemungkaran sewaktu merayakannya.

Amalan pada malam Hari Raya adalah disunatkan supaya membanyakkan amalan bertakbir pada malam hari raya. Takbir ini hendaklah dilakukan di mana saja dan dalam apa saja waktu sekalipun, sama ada selepas solat fardu, ketika menziarahi saudara-mara, di masjid dan sebagainya.

Waktu takbir Aidilfitri bermula dari saat matahari terbenam di akhir bulan Ramadan (awal Syawal) iaitu jika keesokan harinya ialah 1 Syawal. Takbir Hari Raya ada dua cara. Pertama ialah Takbir Mursal iaitu takbir yang dibacakan pada waktu yang tidak mengikut sembahyang. Kedua ialah Takbir Muqaiyyad iaitu takbir yang dibaca selepas sembahyang.

Takbir Hari Raya disunatkan untuk bertakbir sepanjang malam hari raya di mana saja, tidak kira dari rumah ke rumah, masjid, di sepanjang jalan dan sebagainya.

Bagi sesetengah kampung dan tempat, perkara ini sudah menjadi amalan yang baik dan diikuti dengan majlis tahlil serta berkunjung ke rumah jiran atau saudara-mara bagi merapatkan silaturahim.

Amalan dan nilai murni menyambut Hari Raya seperti ini harus dikekalkan. Biasanya anak-anak yang berhijrah ke kota akan pulang ke desa untuk bersama dengan keluarga pada malam Hari Raya.

Malam Hari Raya ini dikenali sebagai malam Lailatul Jaa'izah iaitu malam pengurniaan hadiah. Waktu bertakbir berakhir pada takbiratul ihram sembahyang sunat Aidilfitri.

Sembahyang sunat hari raya disyariatkan dalam tahun pertama hijrah. Dalam hal ini, Anas bin Malik pernah berkata: "Rasulullah SAW datang ke Madinah ketika itu, penduduk Madinah sudah mempunyai dua hari besar yang sentiasa mereka rayakan." Lantaran itu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah Tabaraka Wata'ala telah menggantikan yang dua hari itu dengan yang lebih baik bagi kamu, iaitu Hari Raya dan Aidiladha." (Ahmad, Abu Daud, Naasa'ei dan al-Baihaqi)

Allah SWT berfirman yang maksudnya:

"Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (puasa Ramadan), dan hendaklah kamu mengagumkan Allah atas petunjuk yang diberikan-Nya ke pada kamu, supaya kamu bersyukur." (Surah Al-Baqarah : 185)

Jelaslah bahawa Hari Raya adalah hari kebesaran untuk mengagungkan Allah dan bersyukur atas segala nikmat dan petunjuk yang diberikan-Nya. Cara bersyukur yang patut ditunjukkan ialah kesederhanaan dalam apa juga keadaan ketika menyambut Aidilfitri

Amalan dan nilai murni yang patut dilakukan ketika menyambut hari raya ialah menghidupkan malam dengan ibadat. Antara ibadat yang boleh dilakukan dalam menyambut Hari Raya ialah menghidupkan malamnya dengan pelbagai jenis ibadat.

Antara ibadat yang boleh dilakukan ialah banyakkan bertakbir, beristiqhfar dan memuji kebesaran Allah pada malam hari raya itu.

Amalan yang baik untuk menyambut hari raya ialah disuruh mandi, bersugi (menggosok gigi) dan memakai wangi-wangian. Disunatkan menjamah makanan sebelum pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya.

Dalam mengerjakan sembahyang Aidilfitri atau berziarah, kita disuruh memakai pakaian yang bersih dan cantik. Hassan bin Ali berkata "Rasulullah SAW. menyuruh kami memakai pakaian yang paling bagus dan baik serta memakai minyak wangi yang paling bermutu bergantung kepada kemampuan kami."

Amalan ini haruslah dilakukan oleh umat Islam kerana ia menunjukkan kebersihan dan kegembiraan ketika menyambut Hari Raya.

Umat Islam juga disuruh pergi menunaikan sembahyang hari raya iaitu setelah selesai mengerjakan sembahyang subuh dan hendaklah bersiap untuk pergi ke masjid. Pelbagai amalan yang baik boleh dilakukan sempena Hari Raya, antaranya mengeratkan hubungan silaturahim dengan berkunjung ke rumah saudara-mara yang lebih tua, sahabat atau jiran.

Menziarahi kubur juga boleh dilakukan pada Hari Raya seperti dilakukan oleh umat Islam di negara ini. Amalan ini juga boleh dilakukan sebelum hari raya.

Ziarah-menziarahi sangat digalakkan dan patut menjadi amalan murni di kalangan umat Islam Al-Alamah Ibnu Rajab telah menukilkan dalam kitabnya Al-Lata'if, katanya: "Orang yang arif telah saling menziarahi antara mereka."

Antara mereka berkata: "Aku ingin berbicara dengan kamu katanya, hari ini adalah hari raya". Kemudian meninggalkan sahabatnya itu dan datang lagi pada hari yang lain. Lelaki itu bertanya kepadanya, "Alangkah banyak Hari Raya kamu." Lalu dikatakan kepadanya: "Gagah perkakasan adakah engkau tidak mengetahui bahawa setiap hari di mana tidak bermaksiat dengan Allah adalah juga hari raya."

Kesimpulannya, sambut Hari Raya boleh dilakukan mengikut tradisi dan budaya Melayu serta berlandaskan Islam dengan melakukan sembahyang sunat Aidilfitri dan kemudian ziarah-menziarahi di kalangan ahli keluarga, sahabat dan juga jiran untuk mengukuhkan lagi ikatan silaturahim dalam kita umat Islam.

Iqra: Tujuh penyakit hati rosakkan peribadi

Oleh Jami’ah Shukri
bhnews@bharian.com.my

JUDUL: Merawat Tujuh Penyakit Hati
Penulis: Syed Mahazir Shariff Ahmad
Penerbit: Pustaka Azhar
Pengulas: Jami'ah Shukri
Harga: RM10

PENYAKIT hati sesuatu yang luas untuk diterjemahkan. Hati tidak saja organ penting kepada manusia malah ia menjadi tempat yang terdedah kepada jangkitan penyakit rohani sekiranya seseorang itu gagal menjaga kesucian hati mereka.

Persoalan penyakit hati menyelubungi manusia yang diperkatakan di dalam buku ini berkisar kepada tujuh, iaitu bangga diri, terpedaya dengan perasaan sendiri, sombong atau bongkak, suka menunjuk, buruk sangka, bakhil dan dendam.

Keseluruhan buku ini membicarakan dengan terperinci mengenai setiap jenis penyakit hati untuk memastikan kita bebas daripada belenggu penyakit hati yang pastinya boleh menghalang menjadi umat Islam sempurna.

Penyakit hati wujud atas pelbagai sebab dan perlu merawatnya dengan sentiasa mengingatkan terhadap nikmat Allah, mendengar al-Quran dan sunnah serta muhasabah diri.

Sesungguhnya, penyakit hati itu saling berkait antara sama sama lain. Jalan yang terbaik seseorang perlu membersihkan diri supaya hati tidak mudah ternoda serta memikirkan perkara yang menjurus kepada kehadiran tujuh penyakit itu serta beramal soleh supaya dijauhi dengan sifat mungkar itu.

Wajib ambil anak angkat dalam situasi tertentu

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Islam tetapkan hukum keadilan bagi pelihara keharmonian nasab, jaga hak harta

ANAK dalam keluarga adalah buah hati belahan jiwa atau penyeri kehidupan. Setiap pasangan yang melangsungkan perkahwinan mengharapkan kelahiran anak sebagai penerusan kepada sebuah keluarga, keturunan dan bangsa.

Namun demikian, tidak semua mahligai perkahwinan dianugerahi Allah dengan anak. Malah, ada yang sehingga menghembuskan nafas terakhir tidak juga dikurniakan cahaya mata walaupun sepanjang hayat mereka pelbagai usaha berubat secara moden mahupun tradisional.

Kebanyakan pasangan yang tidak mempunyai anak akhirnya mengambil keputusan untuk mengambil anak angkat selepas penantian mereka tidak mendatangkan hasil bagi menghilangkan kesunyian dalam rumah tangga mereka.

Anak angkat diambil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, mengambil anak saudara sendiri kerana saudaranya itu miskin serta mempunyai anak ramai ataupun dengan cara mengambil anak luar nikah sebagai anak angkat selepas ibu anak malang itu enggan memelihara anak berkenaan.

Anak angkat sudah dikenali sejak zaman jahiliah sebelum ada risalah Nabi Muhammad SAW. Ketika itu anak angkat dinasabkan kepada bapa angkatnya serta boleh menerima perwarisan. Malahan isteri anak angkat haram dikahwini oleh bapa angkatnya.

Justeru, umumnya anak angkat mendapat hak yang sama seperti anak kandung. Nabi Muhammad SAW sendiri pernah mengambil Zaid bin Haritsah bin Syarahil Al-Kalbi sebagai anak angkat sebelum beliau menjadi rasul, sehingga dipanggil dengan nama Zaid bin Muhammad. Tradisi itu berlanjutan dari zaman jahiliah hingga tahun ketiga atau keempat hijrah.

Allah kemudian memerintahkan anak angkat dinasabkan kepada bapa mereka (yang sebenarnya) apabila diketahui. Allah mengharamkan anak angkat dinasabkan kepada bapa angkat secara hakiki, bahkan anak juga dilarang bernasab kepada selain bapa mereka yang sebenarnya.

Allah mengungkapkan hukum itu sebagai bentuk keadilan yang mengandungi kejujuran dalam perkataan, menjaga keharmonian nasab serta menjaga hak harta bagi orang yang berhak memilikinya.

Islam tidak menggalakkan konsep anak angkat tanpa sebarang ikatan diiktiraf. Berbeza dengan anak susuan, anak angkat adalah dikira sebagai orang asing dalam rumah, maka semua batasan aurat perlu dijaga seperti wanita di luar rumah.

Ia adalah fenomena tidak sihat menurut Islam. Jika seseorang tahu statusnya sebagai anak angkat hanya ketika ia sudah dewasa, maka bermula daripada ia sedar semua batasan aurat mesti dijaga seperti dituntut Islam kepada lelaki dan perempuan bukan mahram.

Dari segi pembahagian harta bagi anak angkat, Islam menetapkan anak angkat tiada hak dalam harta pusaka. Jika hendak bagi juga harta kepada anak angkat, harta itu hendaklah dibahagi secara hibah ketika hayat bapa atau ibu angkat. Selain itu adalah dengan cara mewasiatkan harta kepada anak angkat, tetapi dengan syarat tidak boleh mewasiatkan lebih daripada satu pertiga harta yang ada.

Mengambil anak angkat untuk dijadikan sama macam anak sendiri dilarang oleh syarak seperti dilarang menukar bin anak angkat tersebut. Mengambil anak angkat seperti anak luar nikah yang tidak dipedulikan orang bertanggung jawab adalah digalakkan di sisi syarak.

Dalam sesuatu keadaan, hukum mengambil anak angkat ini boleh menjadi wajib apabila timbulnya ketakutan anak itu akan jatuh ke tangan orang kafir. Justeru bagi mengelakkan akidah anak itu terpesong, Islam mewajibkan anak berkenaan diambil serta dijadikan anak angkat.

Ada dua cara mendapatkan anak angkat iaitu mengambil terus daripada ibu bapa yang ingin memberikan anak mereka sebagai anak angkat atau kedua, dengan cara membuat permohonan kepada JKM.

Bagi menjadikan permohonan cara pertama di atas sah mengikut lunas undang-undang, permohonan pemohon hendaklah dilanjutkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara di bawah Akta Pendaftaran Anak Angkat 1952 (Akta 253). Permohonan untuk pengesahan itu hanya boleh dibuat selepas dua tahun anak angkat berkenaan dipelihara oleh keluarga angkatnya.

Permohonan cara kedua, sebelum anak angkat dibenarkan diambil, JKM akan mempertimbangkan permohonan pemohon terlebih dulu. Antara perkara dipertimbangkan JKM ialah latar belakang sosial pemohon serta kesanggupan menjadi keluarga angkat.

Selain itu, syarat dalam Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 juga perlu dipenuhi antaranya, ibu bapa angkat mestilah sekurang-kurangnya berumur 25 tahun dan sekurang-kurangnya 18 tahun lebih tua daripada anak angkat itu. Anak angkat itu hendaklah di bawah umur 18 tahun dan ibu bapa dan anak angkat hendaklah menetap di Malaysia.

Mengikut peruntukan undang-undang, pengambilan anak pelihara secara sendiri perlu dimaklumkan kepada JKM mengikut seksyen 35(1) Akta kanak-Kanak 2001 tidak lewat daripada satu minggu selepas pengambilan.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

Sahabat YaPEIM tingkat usaha beramal jariah

Oleh Penulis Khas YaPEIM

ALHAMDULILLAH, selamat berjumpa lagi dalam Ruangan Bersama YaPEIM yang dianjurkan dengan kerjasama Berita Harian. Terlebih dulu kepada semua muslimin dan muslimat, YaPEIM mengucapkan Selamat Berpuasa dan Selamat Menyambut Aidilfitri. Mudah-mudahan, Ramadan tahun ini lebih baik daripada sebelumnya.

Pelbagai perkembangan memberangsangkan sudah dan sedang berlaku di YaPEIM. Semuanya berkat bantuan Allah serta sokongan dan dokongan muslimin dan muslimat di seluruh negara yang sentiasa bersama YaPEIM bagi membantu meningkatkan taraf sosioekonomi ummah di negara ini.

Antaranya, penubuhan Majlis Pemuafakatan Sahabat YaPEIM (Sahabat YaPEIM) yang membabitkan kira-kira 300,000 keahlian. Sahabat YaPEIM adalah daripada Rakan Kongsi YaPEIM (penyumbang tetap Skim Amal Jariah YaPEIM); Panel Perunding /Forum Pengurusan Islami (pakar, pemikir dan tokoh dalam bidang berkaitan); Kelab Maya Sahabat Ar-Rahnu (Peserta Ar-Rahnu YaPEIM yang terbabit secara langsung dalam bidang perniagaan); Kelab Pengurusan Muda Islam (golongan muda yang berminat dengan Pengurusan Islami).

Tidak ketinggalan, Kelab Santun (peserta Skim Anugerah Kecemerlangan Anak/Yatim Miskin Nasional); Sahabat Skim Khairat (penerima manfaat Skim Khairat dalam bidang perniagaan); kelompok melalui program/skim lain; jabatan/agensi kerajaan serta wakil media yang bertanggungjawab terhadap program pembangunan sosioekonomi.

Sahabat YaPEIM dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 4 Ogos lalu di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Hadir sama, Ketua Pengarah YaPEIM, Dr Abd Malek Awang Kechil.

Sahabat YaPEIM menjadi ruang bagi YaPEIM memaklumkan perkembangan semasa, terkini dan perancangan masa depan institusi dalam rangka untuk mewujudkan kesatuan fikiran dan tindakan kepada semua kelompok terbabit.

Menjadi harapan YaPEIM supaya Sahabat YaPEIM akan merapatkan saf kepelbagaian kelompok sedia ada serta melahirkan pasukan yang mempunyai persefahaman tinggi dan saling melengkapi bagi merealisasikan misi besar YaPEIM – Membangun Ummah Melalui Budaya Beramal Jariah.

Ini selaras firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berperang untuk membela agama-Nya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh." (Surah as-Saff, ayat 4)

Bersempena itu juga, YaPEIM melancarkan Skim Sumbangan Amal Jariah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai saluran mudah kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk memberi sumbangan bagi Program Amal Jariah YaPEIM.

Skim baru dengan kerjasama syarikat telekomunikasi itu membantu memantapkan lagi penyediaan saluran beramal jariah menerusi YaPEIM selaras dengan kedudukannya sebagai institusi amal jariah utama di negara ini.

YaPEIM berharap rakyat Malaysia menyambut baik skim SMS ini dan bersama menyumbang bagi membantu meningkatkan taraf sosioekonomi golongan yang memerlukan di negara kita.

Pengguna hanya perlu mendail AJ1 atau AJ2 atau AJ3 atau AJ4 atau AJ5 dan hantarkan ke nombor 32728. Sebarang pertanyaan sila hubungi hotline YaPEIM 1 300 88 1006.

Di samping itu, YaPEIM turut melancarkan Kad Privilege YaPEIM untuk Sahabat YaPEIM yang memberi pelbagai kelebihan termasuk khairat kematian, diskaun rawatan perubatan dan kesihatan, membeli-belah dan pelancongan.

Ahmad Zahid menyifatkan kemudahan baru diperkenalkan YaPEIM bakal menggalakkan lagi penyertaan kelompok masyarakat dalam program serta skim anjuran YaPEIM dan menjadi satu lagi pencapaian produk anjuran YaPEIM.

Daripada sudut pengurusan, pendekatan YaPEIM ini boleh disifatkan sebagai usaha mesra pengguna yang bakal mendekatkan lagi YaPEIM dengan 300,000 Sahabat YaPEIM serta kumpulan sasar yang bakal menjadi Sahabat YaPEIM.

Memetik kata-kata Mahatma Ghandi:

Seperti kata-kata tokoh pengurusan: "Pelanggan adalah raja dan kita memerlukan mereka bukan mereka yang memerlukan kita."

Sementara itu, penulis buku Berani Gagal, Billie Lim berkata: "Untuk mengekalkan hubungan pelanggan ialah dengan memberikan keistimewaan kepada mereka."

Insya-Allah, mudah-mudahan Ramadan al-Mubarak ini menjadi madrasah terbaik untuk kita bermuhasabah diri ke arah mewujudkan umat lebih kuat dan mantap pada masa depan.

Tuesday, September 23, 2008

Tajdid Iman: Terakhir Ramadan momentum untuk perubahan

Oleh Dr Juanda Jaya
juanda72@hotmail.com

Al-Qadar hanya disediakan bagi mereka memiliki ciri keimanan unggul dan terpuji

MENDEKATI hari raya puasa, masa yang tersisa semakin sempit, baki peluang menghabiskan tadarus sentiasa dikejar. Pada malam hari ibadat bertambah nikmat, pada siang hari pula bertungkus-lumus mencari rezeki mengejar sasaran kerana mahu lebih banyak bersedekah dan menunaikan zakat.

Sepertiga malam dihidupkan dengan penuh pengharapan kepada Allah. Langkah semakin pasti menuju ke malam kemuncak penentuan bonus paling hebat tiada tandingannya untuk sepanjang tahun ini. Urusan dunia tidak menyurutkan langkah ke masjid, bahkan orang yang berpuasa mampu mengorbankan masa, wang dan kerehatan untuk beriktikaf sebagaimana saranan Rasulullah SAW.

Agaknya bilakah waktu yang paling sibuk sepanjang tahun ini? Sepuluh hari terakhir Ramadan adalah jawapan paling tepat sesuai dengan perkhabaran daripada Ummul Mukminin Aisyah: "Adalah Rasulullah SAW sentiasa bersungguh-sungguh dalam beribadah pada Ramadan, tidak seperti bulan lain. Dan pada 10 malam terakhir Ramadan Baginda semakin bersungguh-sungguh dalam beribadah tidak seperti pada malam lain." (Hadis riwayat Muslim)

Namun demikian, sebagai manusia lemah ada ketika datanglah lalai dan lupa, kesibukan itu beralih arah. Mulanya sibuk mengurus hal akhirat tetapi akhirnya tenggelam dalam urusan dunia yang meliputi hiburan tidak berfaedah, perhiasan melampau, memuaskan nafsu membeli-belah hingga timbul pembaziran, semata-mata atas slogan mahu menyambut raya.

Pada kebiasaannya, suasana akhir Ramadan terlalu mencabar keimanan kita. Jika dulu Rasulullah SAW dan sahabat mengencangkan kain mereka dan membangunkan ahli keluarga untuk beribadah pada 10 malam terakhir.

Kini manusia masih juga berjaga malam tetapi mereka berhimpun dalam bersesak-sesak membanjiri pasar, melepak sepanjang hari hingga ke akhir malam, sibuk yang tidak habis atas nama menunggu hari raya yang tetap pasti menjelma.

Janganlah kita hanya mengejar keutamaan ibadat pada awal Ramadan manakala akhir Ramadan ditutup dengan kelalaian. Puasa sebegini amat jelas dan terang tidak mengikut sunnah Rasulullah SAW.

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: "Nabi SAW biasanya beriktikaf selama 10 hari pada setiap Ramadan, kemudian pada tahun Baginda wafat, Rasulullah SAW beriktikaf 20 hari." (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Mungkin hikmah disediakannya malam al-Qadar yang jatuh pada akhir Ramadan menjelaskan kepada kita pentingnya memiliki sifat istiqamah dalam beriman dan beramal. Allah menjanjikan syurga kepada orang yang istiqamah dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang mengatakan: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap istiqamah. Maka tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan mereka tiada (pula) berduka cita. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya; sebagai balasan atas apa yang mereka kerjakan." (Surah al-Ahqaf, ayat 13-14)

Sesungguhnya malam al-Qadar hanya disediakan bagi mereka yang memiliki ciri keimanan unggul dan terpuji antaranya:

Tidak terpengaruh oleh persekitaran tidak sihat. Bagaimanakah persekitaran yang tidak sihat bagi orang mukmin saat berpuasa? Iaitu di mana kelalaian diutamakan, hiburan didahulukan daripada zikrullah, kepuasan nafsu mengalahkan kenikmatan ibadah dan maksiat menjejaskan kesucian puasanya.

Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Abdulllah bin 'Amru bin al-Ash supaya tidak terikut-ikut perangai kawan yang lalai yang bermaksud: "Wahai Abdullah, janganlah kamu seperti si polan yang biasa bangun pada waktu malam untuk solat, lalu kemudian dia meninggalkan solat malamnya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bijak mengatur strategi dalam beribadat ketika sibuk.

Menjelang raya tidaklah dilarang untuk melakukan persediaan patut, yang menjadi masalah ialah apabila seluruh tenaga dikerahkan untuk pesta kemenangan itu hingga menyalahi sunnah Rasulullah SAW. Jika tubuh badan letih, sudah tentu ia akan menjejaskan fokus ibadah kita. Namun hal itu bukanlah alasan untuk meninggalkan ibadat yang dianjurkan Baginda SAW.

Dalam kesibukan yang memuncak seperti ini, seelok-eloknya iman dan amal tetap terjaga dengan baik, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Amal yang paling dicintai Allah adalah amal yang berterusan walaupun sedikit." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sentiasa dalam keadaan berperang melawan nafsu.

Betapa beratnya berhadapan dengan dua keinginan, hati berbisik "Mendekatlah kepada Allah". Nafsu pula merayu: "Tidurlah, malam masih panjang, bukankah Allah Maha Pengasih dan Pengampun?" Kita hanya memilih di antara dua, tiada alternatif yang ketiga. Kuatkan iman atau ikutkan nafsu. Pilihan sebegini adalah mudah bagi sesiapa yang istiqamah dan amat sulit untuk orang yang lalai.

Genderang perang sudah ditabuh, mengingatkan orang mukmin siapakah musuh mereka. Antara tanda sempurnanya iman seseorang ialah dia merasai kehadiran musuhnya daripada segala penjuru dan berjaga-jaga supaya musuh tidak menembus benteng hatinya lalu merosak imannya.

Rasulullah SAW menceritakan tipu daya syaitan laknatullah yang bermaksud: "Syaitan mengikat tengkuk kepala seseorang ketika tidur dengan tiga ikatan. Pada masing-masing ikatan itu syaitan berkata: "Tidurlah malam masih panjang. Apabila orang itu bangun kemudian mengingati Allah maka lepaslah satu ikatan. Apabila ia berwuduk maka lepaslah satu ikatan lagi, apabila ia solat maka lepaslah semua ikatan. Sehingga pada waktu pagi dia bertenaga dan baik jiwanya, adapun jika dia tidak melakukan itu maka hatinya keruh dan dia menjadi malas." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Syarat kejayaan dan kecemerlangan seseorang itu bergantung kepada awal terbukanya mata. Apakah ia berzikir kepada Allah kemudian wuduk dan solat sehingga membuat syaitan putus asa terhadap dirinya, atau mungkin dia tenggelam dalam kenikmatan sesaat yang membawa kesan hingga ke seluruh masanya pada hari itu.

Jiwa jadi kotor maknanya mudah dipengaruhi bisikan syaitan untuk melakukan kelalaian seterusnya, hilang semangat dan menjadi malas, putus asa mungkin juga lalai sepanjang masa. Betapa berbahaya melepaskan saat penuh rahmat pada akhir malam menjelang datangnya fajar. Apatah lagi apabila terlepas peluang mendapat keutamaan beribadat pada malam 1,000 bulan.

Merasai pertolongan Allah ketika mengharap turunnya rahmat.

Layakkah kita mendapat kemuliaan malam al-Qadar dengan kelemahan diri melawan nafsu dan sedikitnya amal? Sudikah kiranya Allah menerima seorang hamba yang diliputi kotoran maksiat?

Rasulullah SAW mengajarkan satu doa yang elok dibaca selepas sembahyang yang bermaksud: "Ya Allah bantulah hamba untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan memperbaiki ibadatku."

Sesungguhnya Dialah yang menolong hamba-Nya, memberi hidayah dan menunjukkan jalan. Entah berapa kali Allah memalingkan kita daripada kesesatan dan kelalaian. Tidak bolehkah pada akhir Ramadan ini menjadi momentum yang paling baik untuk perubahan?

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui Juanda@msu.edu.my