Sunday, October 5, 2008

Ulul Albab: Islam titikberatkan masalah pemakanan

Bersama Abdurrahman Haqqi

Manusia diperintah berhati-hati pilih makanan supaya tidak menjejaskan fungsi tubuh

KEGEMPARAN global terbaru yang berasal dari negara China selepas SAR ketika kita dalam kekhusyukan melaksanakan ibadat puasa Ramadan 1429H yang baru lalu adalah isu melamin dalam produk tenusunya. Kekecohan ini menyebabkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 26 September lalu seperti dipetik AFP mendesak langkah lebih tegas semua pihak dalam usaha menarik balik produk makanan yang dicemari melamin dari pasaran bagi memulihkan kepercayaan pengguna terhadap produk susu China.

Agensi makanan dan kesihatan PBB dalam satu kenyataan bersama menegaskan, keselamatan makanan bukan saja tanggungjawab pengeluar malah semua pihak. Di samping itu, China terus menerima tekanan apabila Kesatuan Eropah (EU) bercadang mengharamkan sebahagian produk makanan negara itu daripada memasuki pasaran rantau berkenaan.

Kerosakan dan bala bencana yang berlaku itu tidak terlepas daripada kebenaran firman Allah SWT dalam al-Quran yang maksudnya: "Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Surah al-Rum: 41)

Demi keghairahan mengaut keuntungan sehingga etika kebaikan universal yang disepakati masyarakat antarabangsa tidak diendahkan pengeluar barang tercemar yang sudah memudaratkan 53,000 kanak-kanak di China. Dalam pada itu, sepanjang September, umat Islam dunia melaksanakan salah satu rukun Islam yakni ibadat puasa yang antara hikmahnya adalah seperti disabdakan Nabi SAW maksudnya: "Berpuasalah supaya kamu sihat." (hadis riwayat Abu Naim) dan sabdanya lagi yang bermaksud, "Puasa adalah pelindung". (hadis riwayat Muslim, Ahmad, dan an-Nasa`i).

Islam sangat menitikberatkan masalah pemakanan kerana kehidupan manusia sama ada baik atau buruk berpunca daripada makanan itu. Pemakanan boleh mempengaruhi tugas utama manusia di muka bumi ini yakni ibadah kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman maksudnya: "(Kalaulah dia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana kami mentadbirkannya)." (Surah Abasa: 24)

Dalam ayat berikutnya dijelaskan dari mana asalnya makanan. Firman-Nya bermaksud: "Sesungguhnya kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan. Kemudian kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan; Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian dan buah anggur serta sayur-sayuran, dan zaitun serta pohon kurma, dan taman yang menghijau subur dan pelbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput; Untuk kegunaan kamu dan binatang ternakan kamu." (Ayat 25-32)

Makanan yang diproses daripada benda yang disebutkan al-Quran di atas akan baik seandainya ia dibuat dengan cara yang baik dan benar mengikut hukum syarak dan kaedah pemakanan. Pada umumnya, pencemaran makanan disebabkan tiga punca iaitu pencemaran disebabkan mikroorganisme seperti kuman dan bakteria, bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan dan pemprosesan makanan serta pencemaran fizikal seperti kotoran dan debu.

Di samping itu, ada juga pencemaran moralnya yakni hukum haram satu-satu makanan walaupun makanan itu tidak dicemari oleh salah satu daripada tiga punca di atas mahupun semuanya. Bagi seorang Muslim makan dan makanan bukan sekadar penghilang lapar dan dahaga saja atau sekadar enak di lidah, tapi lebih jauh daripada itu mampu menjadikan tubuhnya sihat jasmani dan rohani sehingga mampu menjalankan fungsinya sebagai 'khalifah fil Ardhi'.

Rasulullah SAW pernah berkata dalam suatu hadisnya bermaksud: "Seorang hamba Allah tidak akan berpindah dua kaki pun pada hari kiamat, sampai ia mampu menjawab empat hal: umurnya bagaimana dihabiskan, pengetahuan bagaimana diamalkan, hartanya bagaimana dinafkahkan serta tubuhnya bagaimana digunakan." (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Tubuh manusia boleh diumpamakan seperti mesin yang sangat rumit dan tidak ada tandingannya. Seperti halnya mesin yang memiliki pelbagai komponen, maka agar mesin itu dapat selalu berjalan dengan mulus perlu diperhatikan beberapa hal, antara lain perlu dipelihara dan dijaga kebersihannya, diberi waktu beristirahat, dan digunakan dengan hati-hati sesuai fungsinya.

Demikian pula tubuh manusia, yang memiliki mekanisme yang sangat rumit itu dan salah satu segi pemeliharaan tubuh itu dengan makanan. Dan tentu saja jika fungsi berkenaan ada yang salah, misalnya tubuh diserang penyakit maka manusia harus membetulkan dirinya, tentu ada sesuatu yang salah dalam segi perawatan dan pemeliharaannya kerana Allah SWT tak akan menghadirkan bencana disebabkan ulah (perangai) manusia itu sendiri, seperti dalam firmanNya bermaksud: "Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah daripada Allah dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri." (Surah al-Nisa: 79)

Begitu banyak hasil penelitian pakar yang menyatakan kesalahan dalam makanan boleh mengganggu beberapa kerja tubuh, hingga akhirnya baik langsung ataupun tidak langsung dalam jangka waktu tertentu dapat menimbulkan pelbagai penyakit, seperti: penyakit kronik pada jantung, paru-paru, darah tinggi, diabetes, penyakit lambung dan usus peptic ulcer disease, kegemukan, tekanan, tumor, dan barah.

Islam mengambil berat pemakanan yang halal bagi setiap penganutnya. Pada umumnya dapat dikatakan makanan halal adalah apabila ia tidak berbahaya atau mempengaruhi fungsi tubuh dan mental yang normal; bebas daripada najis dan produk itu bukan berasal daripada bangkai dan binatang yang mati kerana tidak disembelih atau diburu; bebas daripada bahan-bahan yang berasal daripada babi dan beberapa binatang lain yang tidak dapat dimakan oleh seorang muslim kecuali dalam keadaan terpaksa; dan diperoleh sesuai dengan yang sudah ditentukan dalam Islam.

Sebaliknya makanan itu haram apabila ia berbahaya dan berpengaruh negatif pada fizik dan mental manusia; mengandung najis atau produk berasal daripada bangkai, babi dan binatang lain yang tidak dapat dimakan oleh seorang muslim; dan berasal daripada binatang yang diizinkan, tetapi tidak disembelih dengan aturan yang ditetapkan (secara Islam) dan tidak dilakukan sepatutnya. (Lihat al-Qaradawi, al-Halal wa al-Haram fi al-Islam)

Oleh itu untuk memelihara keperluan agama, nyawa, akal, keturunan dan maruah, serta harta seperti dikenal sebagai al-daruriyat al-khams yang dilindungi agama, apa-apa pun yang halal pada asalnya boleh diharamkan. Dalam al-Quran, Allah SWT menyuruh manusia memakan apa saja di dunia ini yang diciptakan-Nya, sepanjang batas-batas yang halal dan baik (tayyibah). Banyak ayatnya yang memerintah manusia agar berhati-hati dalam memilih makanan, boleh memisahkan mana yang halal (dibolehkan) dan mana yang haram (tidak diizinkan), cara memperoleh makanan itu dan makanan itu baik dari segi kesihatan jasmani mahupun rohani.

Sebagai natijahnya, jika manusia mengikuti ajaran al-Quran dalam masalah makanan sudah pasti mereka akan terselamat di dunia dan di akhirat. Kerana pentadbiran makanan di dalam al-Quran adalah panduan dari yang memberi manusia nikmat makanan. Wallahu a'lam.

Persoalan Agama: Sembilan waktu paling sesuai puasa sunat

Bersama Jakim

SAYA bersyukur kerana dapat berpuasa penuh sepanjang Ramadan dan mahu berpuasa enam hari ketika Syawal. Saya kini bersemangat untuk menjadikan puasa sebagai amalan sepanjang tahun. Bolehkah saya melakukan begitu dan bilakah umat Islam digalakkan berpuasa selain Ramadan?

Adel Iskandar Hakim,
Mergong, Alor Star.

Puasa sememangnya satu ibadah yang dituntut. Ia adalah ibadah ketaatan dan keikhlasan kepada Allah SWT. Di akhirat kelak orang yang berpuasa dialu-alukan memasuki syurga melalui pintu ar-Rayyan. Malahan puasa juga adalah madrasah yang mentarbiyah manusia menjadi insan bertakwa kerana ia membiasakan manusia dengan sifat sabar, amanah, disiplin, mengurangkan makan, meningkatkan amal ibadat dan sebagainya. Oleh itu amatlah digalakkan untuk mukmin meneruskan puasa sunat selepas berlalunya Ramadan untuk mengekalkan kebaikan yang sudah kita lakukan ketika Ramadan seperti puasa enam hari pada Syawal.

Antara waktu digalakkan berpuasa sunat ialah;

Berpuasa satu hari dan berbuka satu hari. Ia paling afdal kerana Rasulullah SAW bersabda: "Puasa yang paling afdal ialah puasa Nabi Daud. Dia berpuasa satu hari dan berbuka puasa satu hari. Tidak ada yang lebih afdal daripada itu." (Riwayat Bukhari Muslim)

Berpuasa tiga hari setiap bulan dan lebih afdal berpuasa tiga hari bulan terang (hari ke-13, 14 dan 15). Pahala berpuasa pada hari-hari berkenaan ialah sama seperti berpuasa sepanjang masa dengan gandaan pahala.

-Berpuasa pada hari Isnin dan Khamis bagi setiap minggu.

-Puasa pada enam hari bulan Syawal.

-Puasa hari Arafah. Iaitu hari yang kesembilan bulan Zulhijjah bagi mereka yang tidak mengerjakan haji. Bagi seseorang yang sedang mengerjakan ibadat haji tidak disunatkan berpuasa pada hari itu sebaliknya disunatkan berbuka puasa walaupun dia kuat. Ini bertujuan untuk terus kuat berdoa dalam mengerjakan ibadah wajib berkenaan.

-Puasa lapan hari daripada bulan Zulhijjah sebelum hari Arafah bagi orang yang sedang mengerjakan haji dan orang yang tidak mengerjakannya.

-Puasa Tasi' dan Asyura (hari ke-9 dan 10) dan disunatkan menghimpun kedua-duanya.

-Puasa dalam bulan-bulan haram (iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab). Sebaik-baik bulan haram selepas bulan Ramadhan ialah Muharam, kemudian bulan Rejab, kemudian bulan-bulan haram yang lain, akhirnya barulah Syaaban.

-Puasa dalam bulan Syaaban. Cuma ada ulama yang tidak membenarkan berpuasa pada 15 terakhir bulan Syaaban dengan hikmahnya untuk membuat persediaan tubuh badan bagi berpuasa sebulan Ramadhan dan bagi meningkatkan perasaan hati agar berasa ternanti-nanti kehadiran Ramadhan dengan penuh pengharapan dan kegembiraan.

Persoalan Agama: Surah al-Fatihah dasar akidah

Bersama Jakim

KITA membaca Surah al-Fatihah sebanyak tujuh belas kali sehari apabila bersolat. Apakah keistimewaan dan kelebihan surah ini berbanding surah lain yang hanya sunat dibaca?

Haslinda Deraman,
Kota Bharu, Kelantan.

Setiap orang Islam wajib membaca surah yang mengandungi tujuh ayat ini sekurang-kurangnya tujuh belas kali sehari semalam dan berkali-kali ganda lagi tanpa had jika mengadap Allah SWT dengan solat tambahan (solat sunat). Ini berdasarkan hadis bermaksud: “Tiada solat kepada mereka yang tidak membaca Surah al-Fatihah” (Riwayat Bukhari). Hadis itu dalil mewajibkan seseorang muslim itu wajib membaca al-Fatihah dalam setiap rakaat solat yang didirikan.

Antara keistimewaan surah al-Fatihah ialah mengandungi dasar aqidah, kefahaman Islam, juga perasaan (terhadap Allah) dan tawajjuh kepada-Nya yang membayangkan sebahagian hikmat mengapa Surah al-Fatihah dipilih untuk diulang-ulang bacaannya dalam setiap rakaat.

Surah al- Fatihah juga di kenali dengan pelbagai nama berbanding dengan surah lain di dalam al-Quran seperti Ummul Kitab, Ummul Quran, Sab’u Mathani, Surah Solat, Surah Al-Hamdu dan lain-lain lagi. Perkara ini juga melambangkan betapa besar fadilat dan khasiat yang tersirat yang ada padanya.

Persoalan Agama: Syarat sah haji mesti baligh

Bersama Jakim

KETIKA berumur sembilan tahun, ibu bapa membawa saya mengerjakan haji. Kini saya berumur 25 tahun. Adakah saya wajib mengerjakan lagi haji apabila dewasa. Apakah hukumnya jika saya mengerjakan haji sekali lagi?

Intan Nurliana Bukhari
Johor Bahru.

Seseorang dikira hajinya jika dia memenuhi syarat wajib dan sah haji. Oleh kerana syarat wajib haji ialah pertama mesti seseorang itu beragama Islam, baligh, berakal, merdeka, berkuasa atau kemampuan.

Oleh itu, sesiapa yang sudah mengerjakan haji ketika kecil iaitu sebelum baligh perlulah mengulanginya sekali lagi. Kerana haji seorang kanak-kanak sah, tetapi tidak memadai untuk melepaskan tuntutan haji yang menjadi rukun Islam. Manakala haji yang dilakukan seseorang kanak-kanak yang belum berakal (belum mumaiyiz) dikira tidak sah, kerana menunai haji terhenti kepada syarat berakal.

Ini merujuk kepada hadis Rasulullah SAW yang disebut dalam kitab Mugni Muhtaj: "Sebarang kanak-kanak yang dibawa mengerjakan haji oleh keluarganya kemudian dia mati sebelum sempat mengerjakan ibadah itu, kanak-kanak itu dikira telah mengerjakan haji. Kalau dia sempat melakukannya maka wajiblah dia mengerjakannya. Begitu juga, seseorang hamba dibawa mengerjakan haji oleh tuannya, jika hamba itu mati sebelum merdeka, maka ibadah hajinya dikira. Jika dia dimerdekakan, maka wajib mengerjakannya".

Persoalan Agama: Bakal haji tak perlu risau dakwaan berlaku kejadian aneh

Bersama Jakim

SAYA bakal mengerjakan ibadat haji tahun ini. Saya akui sebelum ini banyak melakukan perkara yang melanggar hukum agama dan cuai menunaikan ibadat wajib seperti solat. Rakan saya memberitahu bahawa orang yang banyak melakukan dosa akan mengalami kejadian pelik di Tanah Suci seperti tidak nampak Kaabah. Ini menyebabkan saya bimbang mengerjakan haji. Betulkah apa yang rakan saya ceritakan itu. Jika betul, bagaimanakah cara mengatasinya?

Jemaah haji bimbang,
Kuala Lumpur.

Haji adalah Rukun Islam ke-5 iaitu tanggungjawab pelengkap sebagai seseorang Muslim selepas mengucap syahadah, solat lima waktu, puasa bulan Ramadan dan menunaikan zakat. Allah SWT berfirman ".... Dan sempurnakanlah haji dan umrah kerana Allah..." (Surah al- Baqarah 2:196)

Manakala syarat menunaikan haji pula ialah kemampuan untuk mengerjakannya. Oleh itu tidak perlu menunggu sehingga berasa diri benar-benar baik dan soleh baru bersedia untuk menunaikan haji sedangkan dari segi kemampuan kewangan, masa dan sebagainya telah mengizinkan.

Sebagai umat Islam, kita perlu tahu falsafah, faedah dan hikmah tersembunyi dalam mengerjakan haji. Antaranya mereka yang menunaikan haji ini digambarkan seperti menempuh kematian. Contohnya seperti meninggalkan rumah kediaman yang selesa, kaum keluarga tersayang, sahabat handai, kerjaya dan sebagainya kerana menyahut panggilan Allah SWT.

Hal seperti itu amat menakutkan gambarannya kepada kita sebagai manusia biasa tetapi perlu diketahui pemergian yang penuh pengorbanan dan kepasrahan itu telah dijanjikan sesuatu yang bermakna kepada setiap hamba Allah SWT seperti hadis yang berbunyi "Sesiapa yang melakukan ibadah haji dan sewaktu itu tidak pula bercakap dan melakukan perbuatan yang buruk, maka dia akan kembali bersih tanpa dosa seperti waktu dia dilahirkan". (al-Bukhari Muslim)

Sebuah lagi hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah rombongan Allah SWT, jika mereka mendoakan sesuatu maka Allah SWT akan memperkenankannya dan jika mereka memohon ampun akan diampunkan." (at- Tabari)

Oleh yang demikian, mengenai dakwaan dan kisah pelik yang berlaku dan dialami sesetengah jemaah haji, anda tidak perlu berasa takut, risau atau bimbang kerana takut mengganggu jiwa. Justeru, sebelum menunaikan haji perlulah membersihkan diri dengan memohon ampun dan bertaubat atas kesalahan-kesalahan lampau kerana kita sebagai manusia biasa tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan kelupaan. Perlu juga banyak berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT supaya dijauhkan daripada perkara yang memalukan, menakutkan atau yang boleh menjejaskan kesempurnaan pengembaraan dan amalan haji berkenaan.

Saturday, October 4, 2008

Kelahiran Islam ubah sikap taksub asabiah

Oleh Mohd Shukri Hanapi

Perpaduan antara semua bangsa perlu untuk pertahan kedaulatan negara

SEBELUM kemunculan Islam, umat manusia berada dalam keadaan berpecah-belah dan permusuhan. Tiada sebarang ikatan di antara mereka selain 'asabiah' (perkauman yang keji dan sempit). Pada ketika itu hanya wujud perkauman Arab, Parsi, Tauran dan beberapa bentuk perkauman lain.

Perkauman itu pula terbahagi kepada beberapa fahaman etnik, puak dan juga kabilah seperti Aus dan Khazraj di Madinah, Bani 'Adnan dan Bani Qahtan di Semenanjung Tanah Arab, golongan Asyuriyyin di Iraq dan Lubnan dan bangsa Barbar di Maghribi.

Apabila Islam muncul, keadaan itu mulai berubah. Semua umat manusia diseru supaya meninggalkan segala bentuk ikatan jahiliah yang sempit, sebaliknya disarankan bersatu membentuk satu umat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu iaitu agama yang mempunyai satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepada-Ku." (Surah al-Mukminun, ayat 52)

Firman-Nya lagi yang bermaksud, "Dan berpeganglah kamu semuanya dengan tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dulu (pada masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu jadilah kamu kerana nikmat Allah orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk." (Surah Ali 'Imran, ayat 103)

Begitulah Islam berjaya mengubah sikap taksub bangsa dan perkauman, malah menyeru semua kaum supaya bersatu menjadi satu umat yang bersaudara dan bersatu padu. Sebarang kelebihan sesuatu kaum itu hanyalah berdasarkan kepada kekuatan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Sesungguhnya Rasulullah SAW telah berusaha mewujudkan perpaduan dan persaudaraan yang menyeluruh di kalangan umat Islam yang terdiri daripada pelbagai kaum dan antara orang Islam dengan bukan Islam.

Usaha murni Rasulullah SAW dapat dilihat sebaik saja Baginda berhijrah ke Madinah. Selain itu, Baginda SAW juga menyatupadukan antara golongan Muhajirin dengan golongan Ansar. Usaha Rasulullah SAW menghapuskan fahaman perkauman ini menjadi asas pembinaan sebuah negara Islam seterusnya sebagai empayar Islam yang unggul dan terbesar.

Usaha Rasulullah SAW itu adalah selari firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam membuat dosa serta permusuhan." (Surah al-Maidah, ayat 2)

Bagi memperkukuhkan lagi negara yang dibina, Rasulullah SAW berusaha menjalin persepakatan dan kerjasama dalam hal dibenarkan syarak antara umat Islam dengan kaum Yahudi yang tinggal di Madinah. Proses penyatuan dan kerjasama itu dilaksanakan oleh Baginda SAW melalui Perlembagaan Madinah dengan cara diplomasi.

Melalui perlembagaan itu hak asasi manusia tanpa mengira agama, bangsa dan kedudukan terjamin. Di samping itu, ia menetapkan bahawa pertahanan negara adalah tanggungjawab bersama antara umat Islam dan kaum Yahudi. Namun begitu, kerjasama yang dilaksanakan Rasulullah SAW itu tidaklah berbentuk toleransi yang melulu terhadap orang bukan Islam.

Sebenarnya umat Islam diharuskan menjalin perhubungan yang baik dengan orang bukan Islam. Perhubungan ini harus dipupuk dengan persefahaman dan kerjasama yang sihat semoga suasana aman dan harmoni dapat dicapai demi untuk meningkatkan lagi pembangunan masyarakat.

Namun demikian, sejarah juga mengajar kita bahawa sikap berhati-hati tidak harus dilonggarkan sehingga persediaan kita untuk bertindak memulihkan kekeruhan dan ketegangan yang berlaku terjejas keberkesanannya.

Rasulullah SAW menunjukkan satu contoh unggul dalam menghapuskan fahaman perkauman. Oleh itu, kita sebagai orang Melayu beragama Islam wajar menjadikan usaha itu sebagai contoh dan panduan bagi mengembalikan kegemilangan perpaduan yang sudah lama dibina. Kita seharusnya menolak segala budaya berbentuk jahiliah sempit dan menerima segala amalan kebaikan.

Oleh itu, elemen perpaduan yang dilaung-laungkan selama ini, wajib diberi perhatian serius oleh semua pihak. Ia bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang remeh atau dipermainkan tetapi ia adalah syariat Islam.

Realitinya, tidak keterlaluan jika dikatakan kebanyakan umat Islam kini masih belum menghayati dan mengamalkan sepenuhnya seruan perpaduan ini. Umat Islam dilihat terlalu taksub kepada semangat kepartian, keturunan dan kedudukan pangkat masing-masing sehingga melupai seruan perpaduan Islam.

Jika sifat taksub masih membelenggu jiwa umat Islam, maka sukar untuk mewujudkan sebuah negara Islam yang kuat, maju, aman, berintegrasi pada peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam suasana harmoni serta bekerjasama sepenuhnya secara adil.

Sebagai seorang Islam yang beriman kepada Allah SWT, kita tidak seharusnya menjadikan perbezaan fahaman politik dan kedudukan pangkat sebagai punca perpecahan. Ini kerana agama lebih penting daripada parti politik dan segala ideologi ciptaan manusia.

Justeru, untuk mengekalkan kestabilan, kemajuan dan kemakmuran sesebuah negara, elemen perpaduan dan persaudaraan amat penting. Sesebuah negara tidak mungkin dapat berdiri teguh jika masyarakat tidak bersatu padu ibarat pepatah Melayu: "Bersatu kita teguh bercerai kita roboh."

Sesungguhnya perpecahan boleh mengundang banyak kerugian dan kelemahan kepada umat Islam. Sesebuah negara itu lebih senang dijajah apabila masyarakatnya tidak bersatu dan hidup tidak berpandukan al-Quran dan hadis.

Kewujudan perpaduan di kalangan umat Islam jelas merunsingkan musuh Islam. Malah isu perpaduan umat Islam diberi perhatian serius oleh mereka. Segala misi musuh Islam untuk menjajah negara umat Islam tidak akan berjaya selagi wujud perpaduan. Oleh itu jelaslah betapa pentingnya perpaduan dan persaudaraan ini.

Kesimpulannya, perpaduan yang kukuh pemangkin kepada kecemerlangan dan kegemilangan negara serta tamadun Islam. Justeru setiap umat Islam hendaklah menghayati dan mensyukuri nikmat perpaduan serta berusaha memeliharanya sepanjang masa.

Muslim perlu kuasai bidang ekonomi untuk perbaiki nasib

Oleh Ibrahim Abdullah

RASULULLAH SAW memerintahkan pengusaha perniagaan hendaklah dilakukan dengan sesama Muslim. Sabda Baginda yang bermaksud: "Janganlah kamu memakan makanan kecuali dari makanan orang yang bertakwa dan jangan sampai makanan kamu dimakan kecuali oleh orang yang bertakwa." (Hadis riwayat Abu Daud, at-Tirmizi).

Hadis itu tidak bermaksud mengharamkan untuk bekerjasama dengan bukan Muslim tetapi sebaiknya sebagai umat Islam harus memberi kepercayaan kepada saudaranya sendiri dalam kerjasama ekonomi supaya putaran wang kembali untuk kegunaan umat Islam.

Potensi umat Islam dalam bidang ekonomi sangatlah besar di seluruh dunia Islam. Tetapi sayang, umat Islam masih menjadi pengguna, bukan pengeluar. Usaha mengembalikan potensi ekonomi umat Islam mestilah dimulai dari memperbaiki kualiti sumber daya manusia itu sendiri.

Peningkatan kualiti sumber daya manusia hendaklah dimulai daripada cendekiawan dan pengusaha Muslim supaya terus membuat program barangan keluaran Muslim.

Salah satu hal yang perlu diberi perhatian utama dalam menegakkan potensi ekonomi umat Islam adalah menciptakan kualiti sumber daya manusia Muslim yang mantap.

Kedua, perancangan strategik yang mampu memenuhi keperluan umat secara telus dan mendasar sehingga umat Islam merasa bangga dan prihatin dengan hasil kerja saudaranya sesama Islam.

Ketiga, dari sudut kualiti tenaga kerja, persiapan pada peringkat bawahan sudah mampu dibekalkan dengan tenaga mahir serta berkemampuan.

Jepun menjadi negara maju kerana menguasai ekonomi. Yahudi menguasai dunia kerana potensi ekonomi. Umat Islam dapat mematahkan pengaruh ekonomi Yahudi yang begitu kuat hanya dengan kekuatan ekonomi, bukan dengan kekerasan dan keganasan.

Ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, sektor ekonomi dikuasai Yahudi, lalu Baginda SAW membuat dan membeli tanah lapang untuk dijadikan pasar wakaf. Sebelumnya ada tiga pasar yang dikuasai orang Yahudi iaitu Zabalah, Yasari dan Safasir.

Kemudian Baginda memerintahkan pedagang Muslim untuk berpindah ke pasar wakaf. Dalam tempoh lapan bulan, ketiga-tiga pasar Yahudi itu menderita kerugian besar. Demikian semoga hal ini menjadi aspirasi bagi umat Islam keseluruhannya.

Friday, October 3, 2008

Penawar histeria menerusi cakera padat

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my

Mohd Toha himpun ayat Ruqyah sebagai doa elak gangguan syaitan

KEJADIAN histeria mengganggu sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur, Kuantan dan 20 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab II di Jalan Merbau, Kota Bharu terus menjadi misteri yang hingga kini tiada penjelasan.

Namun bagi umat Islam, hakikat kewujudan syaitan, jin dan makhluk halus adalah ketetapan yang wajib diyakini. Malah, untuk mengatasi masalah membabitkan gangguan daripada alam ghaib sudah disediakan menerusi ayat yang diturunkan Allah dalam kitab suci al-Quran.

Firman Allah yang bermaksud: "Alif, Lam, Mim. Kitab al-Quran ini sebenarnya tidak ada sebarang keraguan (sebagai sesuatu yang datangnya daripada Allah dan sempurnanya); kemudian ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang bertakwa. Iaitu golongan yang beriman kepada perkara ghaib, mendirikan solat serta menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada mereka." (Surah al-Baqarah, ayat 1-3)

Justeru, sebagai memenuhi tanggungjawab fardu kifayah, penuntut ijazah bidang Usuluddin hadis di Universiti Al-Azhar Mesir, Mohd Toha Hassan Azhari terpanggil untuk berkongsi pengalaman melakukan penyelidikan dan kajian mengenai amalan mengubati sihir dengan ayat Ruqyah.

Beliau yang baru menghasilkan cakera padat Ayat-Ayat Ruqyah, iaitu ayat penawar sihir dan gangguan makhluk halus dengan kerjasama Inteam Records Sdn Bhd berkata, ayat itu sudah disusun ulama dalam usaha menghalang jin daripada mengganggu manusia.

"Sebenarnya memang ayat ini sudah lama digunakan untuk merawat gangguan syaitan, jin serta makhluk halus, tetapi mungkin ramai tidak mengetahuinya. Oleh itu, menjadi tanggungjawab bagi saya berkongsi pengetahuan bagi menangani masalah histeria yang berlaku kebelakangan ini.

"Sesetengah orang Islam lebih cenderung pergi jumpa bomoh atau pawang untuk mengubati sihir dan histeria tanpa mengetahui dengan pasti jampi serapah digunakan. Apa yang diketengahkan ialah ayat daripada al-Quran untuk diamalkan bagi mengelak gangguan makhluk halus," katanya.

Beliau yang berpengalaman mengubati pelajar terkena sihir berkata, kebanyakan gangguan yang berlaku adalah benar dan bukan lakonan pihak berkenaan kerana tidak ada faedah untuk seseorang berlagak seperti dirasuk atau diganggu makhluk halus.

Malah, pengalaman berdepan serta berdialog dengan jin mewujudkan rasa seram dalam hati, tetapi mengenangkan hasratnya adalah untuk membantu memulihkan mereka yang terkena sihir serta gangguan jin, perasaan itu diketepikan.

Menjelaskan mengenai minat mendalami ilmu mengubati penyakit akibat gangguan syaitan dan makhluk halus, anak tokoh terkenal dalam bidang al-Quran, Datuk Hassan Azhari, mengakui pengalaman bapanya sebagai pendorong.

Selain ilmu diajar bapanya, beliau turut mempelajari ilmu berkenaan daripada bacaan dan antara buku menjadi teman setianya hari ini ialah Buku Pendinding Manusia Daripada Gangguan Jin dan Syaitan serta Pedang Yang Tajam hasil tulisan Wahid Abdul Salam Bali.

Satu lagi buku yang dianggap sebagai direktori lengkap mengandungi panduan dan ayat al-Quran yang turut dijadikan rujukan ialah Petunjuk untuk Pengubat Daripada Gangguan Jin hasil karya Riyadh Mohammad Samahah

Mohd Toha berkata, punca sihir adalah gangguan syaitan, jin dan makhluk halus terhadap mereka yang lemah iman, tidak beramal dengan ajaran Islam atau menjadi mangsa pihak yang sakit hati serta menyimpan perasaan dendam.

Bagi histeria katanya, tidak mustahil perkara itu berlaku kerana dihantar oleh pihak tertentu dan alasan lain ialah manusia mengganggu tempat tinggal makhluk halus itu sedangkan hak mereka sewajarnya dihormati.

"Kita tidak mahu amalkan ilmu. Contohnya dalam tujuan mendirikan sekolah ada perkara perlu dilaksanakan seperti melihat kesesuaian kawasan untuk membina bangunan. Apabila terjadi perkara tidak diingini baru kita nak ambil peduli sedangkan dari awal kita sudah boleh mencegahnya.

"Begitu juga dengan ibu bapa, jangan ambil remeh soal azan di telinga anak yang baru lahir. Tidak dinafikan ada ibu bapa jahil menyebabkan anak yang lahir tidak mendengar bisikan nama Allah, maka membesarlah anak mendengar bisikan syaitan," katanya.

Katanya, sejarah sihir bermula pada zaman Nabi Sulaiman dan kisah itu dijelaskan dalam surah al-Baqarah, ayat 102, di mana syaitan menggunakan ilmu sihir yang akibatnya jelas membahayakan umat manusia untuk diajarkan kepada tukang tilik.

Beliau berkata, sebagai langkah pencegahan sewajarnya ayat Ruq-yah yang ada dalam 15 surah terpilih dalam al-Quran dijadikan amalan harian bukan saja sebagai pendinding untuk diri, malah sekolah serta rumah supaya terhindar daripada gangguan makhluk halus atau sihir.

Cakera padat dan album Ayat-Ayat Ruqyah adalah himpunan potongan ayat al-Quran yang menjadi doa khusus untuk mengubati sihir dan gangguan makhluk halus. Ayat itu dimulakan dengan surah al-Fatihah diikuti ayat terpilih surah al-Baqarah. Ayat lain daripada surah al-A'raf, Yunus, Taha, al-Mukminun, as-Saffat, al-Ahqaf, ar-Rahman, al-Hasyr, al-Jin dan surah tiga Qul.

Pada masa sama, Mohd Toha mengingatkan umat Islam supaya mengelakkan daripada berjumpa dengan bomoh yang tidak diketahui latar belakang cara rawatan serta jampi diamalkan bagi mengelak daripada tertipu hingga ada yang terpedaya menjadi mangsa rogol bomoh berkenaan.

Sebagai cadangan, beliau meminta pihak berkuasa seperti Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) mengiktiraf pusat perubatan Islam yang sah supaya tidak timbul rasa ragu-ragu di kalangan pengguna untuk mendapatkan perkhidmatan mereka.

INFO

Sembilan jenis sihir

Tafriq (sihir yang memisahkan suami isteri): Akibat sihir ini timbul perasaan marah dan benci. Apabila isteri tengok suami, pada pandangannya muka suami seperti hantu, begitu juga apabila suami melihat isteri.

Al-Mahabbah: Sihir ini dibuat oleh isteri kepada suami supaya suami taat, terutama jika suami kaya dan mempunyai banyak harta.

Takhayyul (sihir ini menyebabkan orang yang terkena sentiasa berkhayal): Mereka yang terkena sihir ini juga sering berimaginasi benda kecil, tetapi pada pandangannya ia besar.

Al-Junun (menjadi seorang yang tersangat lupa dan tersasul): Apabila orang yang terkena sihir ini bercakap, matanya terbeliak. Mereka juga tidak tetap di satu tempat dan saling bertukar kerja. Kerap dilihat merayap tanpa hala tuju dan tinggal di rumah kosong.

Al-Khumul: Mereka yang terkena sihir ini lebih suka bersendirian untuk tempoh masa panjang. Mereka juga benci pada perhimpunan, sentiasa dalam keresahan dan lambat melakukan sebarang pekerjaan.

Al-Hawatif: Sihir ini membuat seseorang itu mengalami mimpi ngeri, berasa diseru dalam mimpi dan mendengar suara bercakap ketika berjaga. Banyak waswas dan mereka yang terkena sihir ini banyak syak wasangka dengan orang yang rapat atau disayangi.

Al-Marad (sakit): Orang yang terkena sihir ini akan sentiasa sakit anggota badan, tubuh jadi kaku dan anggota tidak berfungsi secara tiba-tiba.

Nazif: Sihir ini berlaku pada orang mengalami darah istihadah (darah yang keluar selepas melewati tempoh darah haid). Apabila disihir, darah akan keluar secara berterusan hingga berbulan-bulan.

Ta'til tawaj: Sihir untuk rosakkan perkahwinan seseorang. Disebabkan sihir ini, wanita takut hendak kahwin, mudah marah, lupa dan kurang syahwat.

Wednesday, October 1, 2008

Bersama YaPEIM: Syawal kesinambungan tarbiah jiwa sepanjang Ramadan

Oleh Penulis Khas YaPEIM


Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan sumbangan Aidilfitri YaPEIM kepada 400 anak yatim sempena Majlis Berbuka Puasa YaPEIM di Bagan Datoh, baru-baru ini.


Umat Islam disaran sambut hari raya dengan kesyukuran tanpa dicemari perkara bercanggah

SAHABAT Rasulullah SAW, Anas pernah menceritakan bagaimana Rasulullah SAW mendapati penduduk Madinah bergembira dalam dua hari. Lantas Baginda SAW bertanya kepada mereka mengenai dua hari itu.

Mereka menjawab bahawa mereka menyambut perayaan dan bergembira pada hari itu mengikut amalan jahiliah. Baginda SAW menyatakan bahawa Allah sudah menggantikan dua hari itu dengan hari yang lebih baik iaitu Hari Raya Korban dan Hari Raya Fitrah.

Perkataan hari raya disebut juga dengan ‘ayd’ yang merujuk kepada suatu keadaan di mana seseorang itu kembali mengecapi suasana kegembiraan setiap tahun dan memastikan bahawa ia sentiasa mengulang-ulang kegembiraan tersebut. Jadi apabila digandingkan kalimah `ayd al-fitrah ia memberi maksud kembali kepada fitrah yang suci.

Dengan kata lain, seseorang itu menyatakan kegembiraannya mengecapi sesuatu yang fitrah, suci dalam dirinya. Ia adalah kesinambungan daripada proses pentarbiahan dan penyucian jiwa sepanjang bulan Ramadan dengan melakukan segala ketaatan kepada Allah.

Kedatangan hari raya menjadikan umat Islam dapat bergembira atas taufik Allah yang dikurniakan kepadanya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan yang mereka rayakan iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya dengan membawa bersama puasanya.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Hurairah)

Ia menunjukkan apabila mereka berbuka puasa setiap hari, mereka akan bergembira. Begitu juga apabila selesai menyempurnakan fardu puasa selama sebulan pada Ramadan dan menyambut hari raya, mereka bergembira buat kali kedua.

Kegembiraan yang disambut itu bagaimanapun adalah kegembiraan bersumberkan taufik Ilahi kepada mereka yang menjunjung titah perintah Allah sepanjang Ramadan. Nikmat ketaatan itu terzahir pada peluang dan ruang dikurniakan Allah kepada mereka untuk mengerjakan ibadah puasa dan menunaikan solat sunat pada waktu malam Ramadan yang mulia.

Justeru, kemunculan hari raya adalah untuk menyempurnakan kegembiraan yang baru saja selesai mengerjakan ibadah puasa pada Ramadan. Maka tidak hairanlah pada hari lebaran, orang mukmin akan bergembira dengan taufik Allah.

Ini bertepatan firman Allah yang bermaksud: “Katakan dengan kelebihan dan nikmat Allah, dengan itu maka bergembiralah kamu. Ia adalah lebih baik dari apa harta yang kamu kumpulkan.” (Surah Yunus, ayat 58)

Walau bagaimanapun, umat Islam tidak boleh bergembira secara solo atau bersendirian pada hari yang mulia sebaliknya, kegembiraan itu perlu dikongsi dengan orang lain terutama yang bertaraf miskin dan fakir.

Justeru, Islam mensyariatkan zakat fitrah yang wajib bagi setiap individu Muslim, anak dan isteri yang termasuk di dalam tanggungannya walaupun dia juga dikategorikan sebagai miskin. Islam mengkehendaki setiap Muslim membiasakan diri untuk menafkahkan hartanya sama ada ketika susah atau senang dan membiasakan diri menjadi penyumbang. Walaupun dia sendiri fakir, tetapi tetap menjadi penyumbang.

Nabi SAW bersabda bermaksud: “Zakat diberikan orang kaya akan digunakan Allah untuk membersihkan dirinya dari dosa. Manakala zakat orang miskin akan dikembalikan kepadanya oleh Allah dengan jumlah yang lebih banyak dari apa yang diberikannya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Imam Abu Daud)

Pada hari raya, setiap individu Muslim yang berjaya menyempurnakan perintah Allah pada Ramadan layak bergembira. Kegembiraan dan kesyukuran yang dirayakan itu, bagaimanapun, tidak boleh disambut dengan melakukan perkara bercanggah ajaran Islam.

Sambutan hari raya dalam Islam tidak perlu dimeriahkan dengan program berlandaskan tuntutan hawa nafsu. Hari raya perlu dimulakan dengan takbir dan solat sunat hari raya. Ia menunjukkan hari raya mempunyai hubungan rapat dengan makna dan tuntutan ibadah dalam Islam.

Pada hari raya itu mempunyai makna rabbani, hubungan dengan Allah. Bukanlah ertinya hari raya yang sebenar jika ada beranggapan boleh melakukan apa saja tanpa mengira batasan agama. Pada hari raya juga tidak bermakna seseorang Muslim memutuskan hubungan dengan Allah.

Kita perlu membetulkan suatu kefahaman bahawa tamatnya bulan Ramadan, maka tamatlah hubungan mereka dengan masjid, solat berjemaah, solat sunat dan membaca al-Quran.

Barangkali inilah yang dikatakan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi ketika menyindir kelakuan sesetengah umat Islam yang beranggapan sedemikian dengan katanya: “Sesiapa yang menyembah Ramadan, maka Ramadan telah pergi. Tetapi sesiapa yang menyembah Allah maka Dia sentiasa hidup tanpa mati.”

Justeru, tidak hairanlah kita melihat fenomena di tanah air apabila berada pada awal Ramadan, masjid dan surau penuh sesak dengan jemaah yang datang beribadah, tetapi apabila Ramadan mula melabuhkan tirainya, makin susut pengunjung masjid.

Jika kita menginsafi bahawa Ramadan adalah bulan terbaik untuk mentarbiah diri dan hati dengan makna keimanan, ketakwaan dan mencari kelebihan yang ada di sisi Allah, kita tidak akan dapati seseorang itu boleh memutuskan hubungannya dengan Allah walaupun Ramadan berlalu pergi.

Dia percaya bahawa latihan yang diterima pada Ramadan menjadikan dirinya terus membuat hubungan dengan Allah selepas Ramadan. Dia tidak akan memutuskan hubungan mesranya dengan Penciptanya.

Barangkali ada benarnya kata-kata salafussoleh bahawa seburuk-buruk kaum ialah kaum yang hanya kenal Allah pada Ramadan saja. Kita hendaklah menjadi rabbani sepanjang masa dan waktu, bukan menjadi orang yang melakukan ketaatan hanya pada Ramadan.

YaPEIM mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin kepada semua muslimin dan muslimat, marilah kita menyambut hari raya dengan penuh kesyukuran dan keinsafan, mudah-mudahan Allah menambah lagi nikmat kepada kita, keluarga, masyarakat dan negara tercinta.

INTI PATI

Kemunculan hari raya adalah untuk menyempurnakan kegembiraan yang baru saja selesai mengerjakan ibadah puasa pada Ramadan dan orang mukmin akan bergembira dengan taufik Allah.

Umat Islam tidak boleh bergembira secara solo atau bersendirian pada hari yang mulia sebaliknya, kegembiraan itu perlu dikongsi dengan orang lain terutama yang bertaraf miskin dan fakir.

Islam mensyariatkan zakat fitrah yang wajib bagi setiap individu Muslim.

Islam mengkehendaki setiap Muslim membiasakan diri untuk menafkahkan hartanya sama ada ketika susah atau senang dan membiasakan diri menjadi penyumbang.

Sambutan hari raya dalam Islam tidak perlu dimeriahkan dengan program berlandaskan tuntutan hawa nafsu sebaliknya perlu dimulakan dengan takbir dan solat sunat hari raya.

Latihan yang diterima pada Ramadan menjadikan diri Mukmin terus membuat hubungan dengan Allah selepas Ramadan.

Peguam Syarie Menulis: Aidilfitri bukan suatu adat, wajar dipenuhi ibadat

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Islam galak umat sambut Syawal dengan perkukuh semangat persaudaraan, bersederhana

IBADAT puasa di bulan Ramadan diibaratkan suatu ‘institusi’ atau sekolah yang mendidik jiwa umat Islam sepanjang sebulan berpuasa. Bukan saja menahan lapar dahaga juga mengekang hawa nafsu daripada merajai jiwa.

Malah disiplin institusi ini amat tinggi sehinggakan bukan saja di hadapan umat Islam berpuasa, tetapi apabila bersendirian juga amalan ini masih utuh. Inilah kejayaan Islam mendidik peribadi mulia dan amanah.

Manifestasi kemuliaan Ramadan dapat dilihat daripada sudut amalan umat Islam seperti bersolat tarawih, bersedekah, bertadarus al-Quran dan banyak lagi. Hampir sebulan mengikuti institusi Ramadan, kini tiba pula masa untuk meraikan Hari Raya.

Jelas kegirangan dan kegembiraan tersemat dalam hati Muslimin dan Muslimat sekalian kerana kemenangan di hari yang mulia ini. Pelbagai persiapan diadakan bagi menyambut hari itu dan selalunya kanak-kanak yang paling gembira ketika hari raya.

Dari segi bahasanya, Aidilfitri bermakna kembali kepada fitrah. Kita sebenarnya kembali kepada fitrah iaitu suci dan bebas daripada dosa. Tatkala Aidilfitri, umat Islam suci daripada dosa kerana madrasah Ramadan telah membersih segala dosa.

Namun tidak kurang juga kita yang kecundang dan gagal mendapat ‘ijazah’ dari madrasah Ramadan ini apabila mereka juga kembali kepada ‘fitrah’ iaitu sikap negatif yang diamalkan sebelumnya. Mereka kembali kepada kehidupan penuh dosa dan menindas golongan lemah. Golongan ini adalah golongan yang sangat rugi kerana tidak mengambil iktibar daripada ajaran Allah.

Pada hari kemenangan ini, jangan dilupa golongan yang tidak bernasib baik. Semangat persaudaraan Islam mesti diutamakan di samping mengeratkan silaturahim sesama umat Islam. Golongan kurang bernasib baik ini juga berhak merayakan Aidilfitri seadanya.

Bagi yang pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya. Patuhi peraturan lalu lintas dan utamakan keselamatan. Moga-moga selepas berhari raya kita dapat kembali ke tempat kerja masing-masing dengan selamat. Agama Allah memerlukan kita meneruskan perjuangan menegakkan kalimah-Nya di muka bumi ini sesuai dengan peranan sebagai khalifah.

Aidilfitri bukanlah suatu adat, tetapi ibadat berasaskan sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia suatu ibadat, adalah wajar hari besar ini dipenuhi dengan ibadat yang dituntut Allah. Bukanlah tidak boleh berseronok, tetapi tujuan utamanya untuk mengabdikan diri kepada Allah janganlah dikesampingkan.

Ia tidak hanya ziarah menziarahi, tetapi mengeratkan silaturahim, ia tidak hanya berborak-borak, tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiah. Ia bukan juga hanya menyanyi kegembiraan, tetapi menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa.

Pemborosan dan pembaziran semata-mata bagi menyambut Aidilfitri sebenarnya adalah tergelincir dari apa dianjurkan Islam. Islam menggalakkan umatnya merayakan hari kemenangan ini, tetapi dalam sukatan dan kadar tidak menjurus kepada pembaziran. Alangkah baiknya jika wang lebihan itu digunakan bagi manfaat perjuangan Islam dan membantu golongan memerlukan.

Ramai juga di kalangan umat Islam tidak mahu keluar rumah mengunjungi sanak saudara. Hal sedemikian seolah-olah menjadi budaya masyarakat Islam di Malaysia. Ia berlaku kerana umat Islam khususnya di kalangan muda mudi menumpukan perhatian kepada rancangan hiburan disediakan.

Bukanlah penulis mengatakan hiburan patut diharamkan di hari raya, tetapi rancangan disajikan itu menghakis semangat Hari Raya itu sendiri. Apatah lagi rancangan disajikan itu pula disiarkan pada waktu prima, sudah tentu muda mudi lebih tertarik kepada rancangan itu berbanding perkara lain. Malah golongan pertengahan dan yang berusia juga kadangkala terpengaruh dengan rutin ini.

Seperti lazimnya, Syawal akan dipenuhi program rumah terbuka yang menyajikan pelbagai juadah dan makanan. Ada kalanya sehinggakan kita tidak dapat memenuhi jemputan yang datang.

Dari sudut pembaziran makanan pun sudah cukup menyedihkan kita, apatah lagi jika dikaji kesan produktiviti, betapa lama masa yang diluangkan menghadiri majlis berkenaan. Bukanlah tujuan penulis menyanggah apa dilakukan sekian lama ataupun menyarankan ia diberhentikan, tetapi biarlah dalam semua tindakan itu dibuat dengan berpada-pada dan tidak disifatkan sebagai suatu pembaziran.

Malah, oleh kerana terlalu banyak rumah terbuka meraikan Aidilfitri, ada kalanya kita tidak berkesempatan menunaikan tuntutan agama seperti berpuasa enam. Berpuasa enam hari pada Syawal amatlah dituntut dalam Islam.

Dalam keghairahan meraikan Aidilfitri, sewajarnya kita merenung sejenak apakah kita akan berjumpa lagi Ramadan akan datang? Apakah pula persiapan kita menemui Tuhan Maha Pencipta? Kebeningan Ramadan sudah pasti dirindui dan syahdunya menunggu Ramadan tahun hadapan. Tiada janji pasti kita akan bertemunya lagi. Segala-galanya terserah kepada qada’ dan qadar-Nya.

Apa juga tindakan yang ingin kita lakukan, sewajarnya renung terlebih dulu sama ada sesuatu tindakan itu mempunyai asas hukum syarak atau sebaliknya. Segala perbuatan kita hendaklah mempunyai susur galur kepada sumber perundangan Islam sebenar.

Janganlah hanya mengikut tanpa memahami nas atau dalil sesuatu perkara. Jika kita tidak berkemampuan mendapatkan ilmu daripada sumber asal tanyalah guru yang mursyid bagi membimbing kita.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua ahli PGSM, peguam syarie, penyokong perjuangan PGSM dan seluruh Muslimin dan Muslimat sekalian.

Bagi pihak pimpinan PGSM, penulis menyusun sepuluh jari mohon keampunan di sisi-Nya dan kemaafan zahir dan batin terhadap segala kesilapan yang dilakukan sama ada dalam keadaan sedar ataupun sebaliknya.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.org