Thursday, October 9, 2008

Hak Muslim: Tidak tahan terpaksa bayar nafkah berterusan

excopgsm@yahoo.com

Gaji dipotong RM800 sebulan walaupun bekas isteri sudah berkahwin lain

Soalan:

SAYA bercerai dengan isteri pada Mac lalu dan mempunyai seorang anak berumur tiga tahun. Sehingga hari ini gaji saya masih dipotong sebanyak RM800 atas perintah Mahkamah Syariah walaupun tanpa persetujuan dan kerelaan saya. Disebabkan potongan yang begitu tinggi menyulitkan hidup saya, kerana saya juga perlu membiayai nafkah anak bersama isteri pertama, tiga menuntut di institut pengajian tinggi dan dua di sekolah menengah. Apakah prosedur sebenar potongan gaji dan adakah masih perlu saya memberi nafkah kepada bekas isteri selepas idah walaupun khabarnya beliau sudah berkahwin lagi? Bagaimanakah penyelesaian boleh dilakukan memandangkan saya tidak begitu yakin dengan hakim yang mengendalikan kes ini daripada peringkat awal lagi. Nampaknya banyak berat sebelah kerana hakim tidak mahu mendengar hujah daripada saya.

Duda keliru,
Kuala Lumpur.

Jawapan:

Menurut undang-undang, perintah potongan gaji adalah sebahagian daripada perintah penguatkuasaan, iaitu selepas suatu perintah dikeluarkan mengenai bayaran wang sebelum itu gagal dilaksanakan orang yang dikenakan perintah.

Sebagai perintah penguatkuasaan, mahkamah boleh memerintahkan bayaran itu dibuat dengan cara potongan gaji kerana kegagalan mematuhi perintah mahkamah sebelum itu.

Potongan gaji boleh diperintahkan jika ketika perbicaraan saudara bersetuju dengan kaedah atau cara bayaran itu. Jika saudara tidak bersetuju dan mengemukakan alasan munasabah kenapa cara potongan gaji tidak wajar dilakukan, kebiasaannya mahkamah akan mempertimbangkan cara lain.

Saya tidak pasti sama ada saudara ada menyatakan bantahan terhadap cara potongan gaji itu ketika kes dibicarakan sebelum ini. Walau bagaimanapun, jika bantahan sudah dibangkitkan dan mahkamah masih memerintahkan gaji dipotong, saudara boleh memfailkan rayuan di mahkamah lebih tinggi kerana tidak berpuas hati dengan keputusan hakim.

Rayuan mestilah difailkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan tertakluk kepada prosedur dan tatacara rayuan. Akan tetapi, jika tempoh rayuan sudah tamat, saudara boleh kembali ke mahkamah sama dan memfailkan permohonan untuk mengubah dan menyemak semula kadar nafkah yang diperintahkan sama ada berpatutan atau tinggi untuk seorang anak.

Saudara juga boleh mengemukakan alasan kenapa jumlah RM800 itu tinggi dengan mengemukakan butiran tanggungan dan komitmen lain, termasuk terhadap anak dengan isteri sebelum itu.

Mahkamah akan memanggil semula bekas isteri dan mendengar keterangan serta hujah kedua belah pihak sebelum membuat sebarang keputusan mengubah kadar nafkah anak atau mengekalkannya.

Untuk makluman saudara, nafkah isteri hanya wajib disediakan suami sehingga tamat tempoh edah. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan hak suami untuk memberi nafkah kepada isteri dalam edah terhenti apabila tempoh edah tamat ataupun apabila isteri hidup dalam perzinaan.

Seksyen 65 (2) memperuntukkan: "Hak bagi seseorang isteri yang sudah bercerai untuk menerima nafkah daripada suaminya yang dulu di bawah sesuatu perintah mahkamah hendaklah terhenti apabila tamat edah atau apabila isteri itu hidup dalam perzinaan dengan seseorang yang lain."

Saya menasihatkan saudara spaya mendapatkan nasihat daripada Peguam Syarie bertauliah di tempat saudara jika saudara masih tidak jelas dengan penerangan ini.

Jawapan disediakan Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang. Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo-.com. Sila layari http://peguam-syarie.blogspot.com

Afdal qada hutang' Ramadan sebelum mulakan puasa enam Syawal

Oleh Dr Abdul Basit Abd Rahman

HUKUM puasa sunat enam Syawal adalah sunat. Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal kerana 1 Syawal adalah Aidilfitri dan dilarang berpuasa pada hari itu. Abu Hurairah berkata yang bermaksud: "Nabi SAW melarang puasa pada hari Aidilfitri dan Aidiladha." (Hadis sahih al-Bukhari)

Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib Ramadan. Namun sering kali menjadi perbincangan kalangan ulama bagaimana sewajarnya puasa itu dilaksanakan sama ada secara berturut-turut atau terputus.

Pandangan lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah SAW menganjurkan puasa sunat enam hari ini, Baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya.

Maka puasa enam boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal. Adalah lebih afdal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang bertakwa." (Surah Ali-Imran, ayat 133)

Selain cara melaksanakannya, timbul juga perbincangan apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika mempunyai hutang puasa Ramadan yang belum diqada. Ada dua pendapat ulama dalam masalah ini.

Pendapat pertama, boleh melakukannya berdasarkan dalil bahawa Aisyah pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadan yang perlu diqada hingga ke bulan Syaaban akan datang. Aisyah berkata: "Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadan. Aku tidak mampu mengqadanya kecuali pada bulan Syaaban kerana sibuk (melayani) Rasulullah SAW." (Sahih Muslim)

Ulama yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah SAW, Aisyah tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau mengqada puasa Ramadan pada bulan Syaaban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadan.

Pendapat kedua, tidak boleh melakukannya berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang dikemukakan di awal risalah ini. Hadis itu berbunyi: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun."

Rasulullah SAW mensyaratkan berpuasa Ramadan terlebih dulu, kemudian barulah mengiringinya dengan enam hari dalam bulan Syawal. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadan. Jika ada puasa Ramadan ditinggalkan, ia perlu diqada terlebih dulu barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

Jika diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat) kerana menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan daripada memberi sedekah yang sunat.

Namun, jika seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qada kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadakan sebelum Ramadan tahun berikutnya, maka pendapat pertama boleh diterima berdasarkan apa yang dilakukan Aisyah.

Menurut Imam An-Nawawi, Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: "Qada puasa Ramadan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqada adalah secara bertangguh, tidak disyaratkan qada terus apabila boleh melakukannya."

Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: "Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadan, sunat dia mengqadakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qada Ramadan melakukan puasa sunat."

Sementara pendapat menggabungkan puasa qada dan puasa enam dan akan diberi ganjaran kedua-dua pahala dengan puasa yang satu, berlaku khilaf di kalangan ulama, sebahagiannya berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardu lain atau dengan puasa sunat lain. Jika dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardu dan sunat.

Ada kalangan ulama Syafi'iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperoleh apabila seseorang berpuasa qada sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperoleh kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan.

Selepas dikaji, pandangan ulama yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Quran dan al-Sunnah. Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai hamba yang tunduk kepada Allah, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang wajib dengan sunat lebih menunjukkan kesungguhan diri mencari keredaan Tuhannya.

Amalan sunat adalah sebagai penampal kepada kekurangan dalam amalan fardu. Sempurnakan dulu qada beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa depan.

Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib, diharapkan Allah akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat." (Sahih Al-Bukhari)

Wednesday, October 8, 2008

IAIS mahu jadi badan pemikir desak atasi isu

Oleh Hasliza Hassan

Membentuk suatu dasar baik muncul untuk kesejahteraan kerajaan, rakyat Bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS), Prof Datuk Dr Osman Bakar.

APAKAH matlamat utama penubuhan Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS) dan bagaimana ia berbeza dengan institut penyelidikan lain?

IAIS ditubuhkan pada Oktober 2007 adalah ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetapi dari segi falsafahnya, ia dikembangkan oleh Pengerusi IAIS yang juga bekas profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan tokoh sarjana Islam pada peringkat antarabangsa, Prof Hashim Kamali. Sebagai sebuah badan pemikir bebas bertaraf antarabangsa, skop aktiviti IAIS tidak terbatas kepada Malaysia tetapi untuk umat Islam sejagat. Matlamat utama penubuhan IAIS adalah melakukan penyelidikan yang menumpukan kepada isu berkaitan polisi kerajaan, kesan polisi kepada kehidupan masyarakat dan negara keseluruhannya. Penyelidikan itu nanti membolehkan kita mengetahui reaksi masyarakat terutama reaksi negatif mereka terhadap polisi kerajaan sama ada ia berpunca daripada polisi itu sendiri atau masalahnya terletak pada peringkat pelaksanaan. Sebagai badan penyelidikan kita mampu memberi pandangan yang membina dan boleh dimanfaatkan oleh semua, bukan saja kerajaan malah pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) lain. Bagi menjayakan aktiviti penyelidikan nanti, IAIS akan bekerjasama dengan kerajaan, pihak swasta dan NGO yang berminat untuk memberi maklum balas kepada polisi kerajaan. Dulu kita menumpang di bangunan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) dan kini sudah mempunyai bangunan di Jalan Elmu Off Jalan Universiti, Kuala Lumpur. Bangunan ini dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri pada 9 Oktober ini.

Apakah polisi negara yang ingin dikaji dan bagaimana hasil kajian itu nanti memberi manfaat kepada masyarakat serta negara. Jika penyelidikan tidak terhad kepada Malaysia saja, apakah IAIS juga akan melihat reaksi kepada polisi negara lain?

Apabila mengkaji polisi mengenai Malaysia, sudah pasti salah satu yang menjadi isu terpenting ialah pendekatan Islam Hadhari. Oleh itu kita akan buat kajian, memantau perkembangan dan melihat reaksi rakyat kepada pendekatan itu. Sempena perasmian bangunan IAIS nanti, kita juga melancarkan dua buku hasil karya Hashim mengenai Islam Hadhari yang membincangkan bagaimana pendekatan itu boleh dikembangkan di negara Islam lain. Berdasarkan maklum balas diterima ketika Perdana Menteri menghadiri forum pada peringkat antarabangsa, tidak dinafikan pendekatan Islam Hadhari mendapat reaksi positif dan masyarakat luar yang mengakui ia bukan sesuai untuk Malaysia tetapi juga negara Islam lain. Pada peringkat antarabangsa pula perhatian kita ialah kepada polisi yang ada hubung kait dengan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) serta isu global berkaitan kepentingan umat Islam seluruhnya. Selain itu, IAIS akan melihat isu membabitkan perundangan syariah dan ketiga, memberi tumpuan pada sains teknologi, alam sekitar dan etika. Contoh dalam bidang teknologi yang ada kaitan dengan etika seperti isu klon atau perubatan yang boleh menimbulkan kontroversi. Setiap prinsip akan dikaji, dikupas dan dihuraikan dengan lebih lanjut. Kemudian kita akan lihat jika ada mekanisme disediakan dan bagaimana sekarang pada peringkat pelaksanaan.

Sejak penubuhan pada Oktober tahun lalu, apakah IAIS sudah menjalankan sebarang penyelidikan dan jika ada apakah bidang menjadi tumpuan?

Sejak penubuhan, di bawah sains dan teknologi, saya sendiri menjalankan penyelidikan mengenai idea atau konsep sains baru global yang cuba menggandingkan atau menghubung kait aktiviti sains teknologi kepada prinsip etika dan kerohanian yang ada dalam agama. Kita ingin melihat sains dan teknologi dalam konteks nilai Islam dan sejagat. Susulan daripada itu ialah untuk menjalankan kajian yang dilihat perlu. Malah, kita juga menjalankan kajian mengenai wakaf. Banyak lagi isu dan kajian akan menyusul. Selain itu, IAIS menganjurkan seminar bulanan sejak April lalu di mana kita memanggil pakar dalam bidang tertentu membuat pembentangan. Contohnya kita menjemput pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengenai modul hubungan etnik dan kita ingin tahu impak sama ada ia mampu mencapai matlamat merapatkan hubungan kelompok etnik kita. Kita juga melihat kepada Islam sebagai faktor untuk mewujudkan perpaduan dalam masyarakat majmuk di negara kita. Pada masa sama, IAIS turut mengundang pembentang luar seperti dari Amerika Syarikat. Seminar bulanan ini dianjurkan berterusan dan hasilnya nanti akan dibukukan, diterbitkan untuk disebarkan. Mungkin ada hasil pembentangan itu nanti disusuli dengan penyelidikan lebih terperinci. Kita pilih isu berkaitan kesan kepada kepentingan masyarakat Islam di Malaysia dan seluruh dunia. Yang pasti penyelidikan kita bukan sekadar perbincangan akademik tetapi sesuatu yang boleh diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan. Apabila orang sudah mengenali IAIS, kita yakin ramai pada peringkat siswazah dan sarjana yang akan datang untuk membuat penyelidikan. IAIS akan sediakan projek dan sedia geran kepada yang berkelayakan untuk menjalankan penyelidikan.

Pada pandangan Datuk, apakah isu yang dirasakan terdesak dan perlu dibuat penyelidikan segera?

Ada, seperti dalam bidang pendidikan, kita ingin mengkaji keberkesanan pelajaran agama Islam di sekolah dan kolej. Dari semasa ke semasa kita perlu melihat semula sukatan pelajaran yang disediakan adakah sesuai dengan perubahan zaman serta perkembangan ilmu pengetahuan. Kajian ini akan melihat juga kaedah mengajar, adakah cara kita cara lama yang tidak menarik. Itu semua perlu dikaji termasuk soal perpaduan, adakah kurikulum kita sebenarnya memberi sumbangan besar terhadap objektif mencapai perpaduan di kalangan pelajar. Perlu ada kajian dan huraian sama ada penyampaian mengenai ajaran Islam berkesan atau hanya satu stereotaip terutama daripada generasi muda yang terdedah kepada pelbagai idea. Heboh mengenai orang memeluk agama Islam menimbulkan masalah perceraian dan kekeluargaan. Isu ini juga perlu ditangani. Kita ada pakar dalam bidang syariah, sosial dan pendidikan, kita gabungkan kepakaran kita untuk tangani masalah ini.

Jika kita lihat, apabila timbul isu sukar untuk kita menjelaskan atau menghuraikan sebab musabab kerana tiada penyelidikan dilakukan menyebabkan semua kenyataan yang dibuat tidak disokong oleh fakta, sebaliknya berdasarkan andaian saja. Mungkinkah IAIS melihat kepada kelemahan ini?

Memang kita maklum dan ini jugalah fungsi IAIS nanti untuk menyediakan maklumat supaya pada peringkat pelaksanaan dapat bekerja di atas landasan tepat bukan serkap jarang atau berdasarkan andaian. Apabila kita ada hasil kajian, kita boleh beri maklumat yang disokong dengan fakta dan lebih meyakinkan. Kita mahu lari daripada budaya serkap jarang dan mahu maklumat disampaikan adalah berdasarkan fakta, ilmu pengetahuan yang sahih. Perlu diakui, badan pemikir seperti IAIS memang tidak banyak di negara kita dan boleh dibilang dengan jari sedangkan di Amerika Syarikat mempunyai beratus badan pemikir. Masyarakat Islam pada peringkat antarabangsa juga kekurangan badan pemikir. Oleh itu, kita harap masyarakat mengalu-alukan kemunculan IAIS dan memanfaatkan badan pemikir yang menjalankan kajian demi kebaikan masyarakat Islam dan negara kita seluruhnya. Islam sebagai agama sejagat, kebaikannya untuk seluruh dunia. Itu menjadi cabaran jika kita tidak melihat daripada sudut yang sempit.

Apakah dengan hasil kajian itu nanti IAIS akan menjadi badan pendesak supaya pihak yang bertanggungjawab menerima pakai maklumat diperoleh. Bagaimana jika apa yang dikemukakan tidak dipersetujui dan diterima nanti?

Itu pentingnya kajian dan penyelidikan kerana kita ingin tahu di mana puncanya. Adakah kelemahan polisi itu sendiri atau pelaksanaan iaitu penguatkuasaan. Ada kalanya polisi sudah bagus tetapi dari segi pelaksanaan tidak. Ada kalanya polisi itu sendiri ada kelemahan. Apabila kajian sudah dijalankan dan hasilnya IAIS akan kemukakan kepada pihak berkaitan. Kita rasa IAIS boleh menjadi kumpulan pendesak kerana saya melihat badan pemikir di negara maju mereka bukan sekadar memberi maklum balas tetapi lebih daripada itu. IAIS juga lebih daripada itu dan yakin hasil kajian kita penting demi masa depan masyarakat Islam dan negara. Jika ada buah yang baik perlu dikongsi. Kita tidak boleh kata, kita sudah beri jika tidak mahu, sudahlah. Jika dasar itu dari segi pertimbangan sudah bagus kenapa ada reaksi negatif, itu yang kita kena kaji dan hasilnya kita akan beritahu kepada pihak berkaitan. Jika ia membabitkan pelaksanaan, kita kena jumpa pihak yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakannya. Kita mahu biar polisi lebih baik muncul untuk kebaikan kerajaan dan rakyat. Bagi IAIS yang penting kita ke depan dan menunjukkan keyakinan terhadap matlamat untuk membuat perubahan.

Peguam Syarie Menulis: Ambil iktibar daripada peristiwa pada Aidilfitri

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

Nahas jalan raya terus berlaku, jemputan hari terbuka utama orang luar daripada jiran

KITA baru saja sempurna mengerjakan ibadat puasa sebulan Ramadan dan Aidilfitri 1429 Hijrah disambut sudah seminggu. Semua umat Islam menzahirkan kegembiraan atas kejayaan itu dengan keluar beramai-ramai mengerjakan solat sunat Aidilfitri mengenakan pakaian baru.

Aidilfitri disambut meriah oleh segenap masyarakat Malaysia tanpa mengira umur dan tempat, termasuklah mereka yang bukan beragama Islam. Tiada salahnya orang bukan Islam ingin memeriahkan suasana perayaan Aidilfitri dengan syarat tidak melanggar batasan ditetapkan syarak.

Keunikan rakyat Malaysia ini sukar dicari di negara lain. Kegembiraan menyambut hari raya ada kalanya tercalar dengan pelbagai peristiwa sedih. Laporan akhbar dan statistik dikeluarkan pihak polis menunjukkan kes kemalangan jalan raya dan kematian maut sepanjang cuti hari raya meningkat hari demi hari.

Ada juga kes pergaduhan sehingga membawa perceraian hanya kerana berselisih faham memutuskan tempat beraya sama ada di kampung isteri atau suami. Tidak kurang juga kes anak mangsa perceraian menjadi orang paling sedih kerana ibu bapa saling berkelahi untuk membawa mereka beraya bersama.

Seharusnya kita mengambil iktibar atas perkara yang berlaku supaya hari raya yang suci dan mulia seharusnya dilalui dengan gembira serta kembali kepada fitrah murni sesama insan. Sebulan ini juga ramai yang akan mengadakan rumah terbuka meraikan saudara serta sahabat handai.

Rumah terbuka sudah menjadi budaya masyarakat Malaysia seolah-olah perayaan tidak akan lengkap tanpanya. Jika diperhatikan, perubahan budaya itu terutama di bandar secara tidak langsung menyebabkan satu kesan baru di mana tetamu hanya datang ketika rumah terbuka diadakan.

Ia berbeza dengan budaya silam. Namun, perubahan itu seolah-olah diterima ramai dan sebati dalam hidup kita. Kita tidak membantah pelaksanaan rumah terbuka tetapi konsepnya hendaklah tidak meminggirkan apa yang biasa diamalkan terdahulu dalam masyarakat Melayu Islam.

Apatah lagi keadaan ekonomi yang agak ketat memberi kesan kepada seluruh kehidupan kita. Penting untuk direnung adalah berusaha mengeluarkan perbelanjaan sewajarnya dan jangan keterlaluan sehingga boleh membawa kepada pembaziran.

Mengadakan rumah terbuka ini juga jangan kita lupa golongan tidak bernasib baik seperti fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang ditimpa musibah seperti kehilangan orang tersayang dan sebagainya. Kadang-kadang ada berlaku rumah terbuka diadakan tetapi jiran tetangga dan orang miskin berdekatan tidak dijemput sama. Ia adalah suatu yang tidak wajar dan perlu dielakkan. Raikanlah mereka juga kerana mereka ini adalah saudara seagama dan orang yang hampir dengan kita.

Tanggalkanlah pakaian adat yang kita pakai dalam meraikan Aidilfitri dan kenakanlah busana Islam ketika menyambut hari kemenangan itu. Lihatlah perspektif Aidilfitri ini dari kaca mata Islam yang sebenar. Aidilfitri adalah hari kebesaran Islam yang berbeza dari perayaan lain yang semata-mata untuk kemeriahan tanpa menyelitkan sebarang unsur agama di dalamnya.

Selepas berhari raya, ramai juga di antara kita yang memulakan ibadat puasa enam. Beruntunglah mereka yang tidak ketinggalan melakukan ibadah puasa enam ini kerana Allah menjanjikan ganjaran yang besar kepada mereka yang menyempurnakan puasa Ramadan dan diikuti dengan puasa selama enam hari pada Syawal. Jangan pula disebabkan terlalu banyak rumah terbuka kita tidak berkesempatan berpuasa enam.

Sebagaimana hari raya sebelum ini, Aidilfitri ini pasti ceria di kalangan kanak-kanak. Tentulah yang paling menyeronokkan tatkala menerima duit raya. Mereka berlumba-lumba menziarahi rumah ke rumah semata-mata untuk mendapatkan duit raya tersebut. Itulah sifat kanak-kanak yang mana kita sebagai orang dewasa tidak patut menyalahkan mereka. Namun sebagai ibu bapa, kita boleh memberi panduan dan menanam semangat menabung hasil wang kutipan duit raya.

Semailah sifat berjimat cermat ini sewaktu mereka masih di awal usia. Begitu juga janganlah mengajar mereka membazir dalam kehidupan seharian kita.

Tentu juga ada sebahagian kita yang meninggalkan kampung halaman untuk kembali semula ke bandar kerana tuntutan kerja di ibu kota. Kedua orang tua akan kembali kesepian mengenangkan anak cucu mereka di kota yang pulang hanya sekali setahun. Jenguk-jenguklah kedua orang tua kita sementara mereka masih ada. Jika kita harap anak kita nanti akan menziarahi dan memuliakan kita, maka tunjukkanlah teladan yang baik dengan memuliakan ibu bapa kita sementara mereka masih ada.

Sempena hari raya ini juga, rapatkan hubungan sesama adik-beradik, maaf bermaafan dan raikan saudara mara yang sudah tua. Menziarahi datuk, nenek dan lain-lain wajar diutamakan. Santunilah semua orang keliling kita dengan cara terbaik kerana ia adalah sebahagian tuntutan agama.

Sebenarnya banyak pengajaran yang dapat kita ambil sempena Aidilfitri ini. Bukalah mata, bukalah minda kita bagi menerima pengajaran ini dengan penuh ketulusan hati. Dengan cara itu kita akan kembali kepada fitrah manusia iaitu dalam keadaan suci bersih daripada noda dan dosa.

Semoga Aidilfitri ini disambut dengan baik dan menjadi titik tolak perubahan kita ke arah mencapai keredaan Allah. Moga kita tidak akan mengulangi kesilapan kita yang lalu dan mengambil pengajaran daripada apa yang telah kita lalui.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.org

Bersama YaPEIM: Islam memenuhi tuntutan fitrah manusia sejak awal dicipta

Oleh Penulis khas YaPEIM

KEHADIRAN dua bulan berkat Ramadan dan Syawal sememangnya dinantikan umat Islam sedunia. Ramadan adalah bulan ujian dan Syawal membawa bersamanya perayaan Aidilfitri meraikan kejayaan umat Islam melalui ujian Ramadan.

Sesuai dengan namanya, Aidilfitri adalah perayaan bagi meraikan tuntutan fitrah anugerah Allah kepada seluruh umat manusia. Fitrah makan dan minum, berkasih-sayang, menghubungkan silaturahim, mencintai keharmonian melalui tradisi bermaaf-maafan, berhias-hiasan serta kasih mengasihi sesama manusia tanpa mengenal darjat, taraf dan bangsa.

Aidilfitri adalah suatu hari di mana fitrah diraikan dan disyukuri. Islam tidak menjadikan keperluan beragama sebagai suatu yang misteri di benak manusia, permusuhan dan dendam sebagai akhlak dan undang-undang kehidupan, kemiskinan serta kemelaratan sebagai disiplin agama, mahupun kasta dan status sosial sebagai suatu sistem kemasyarakatan.

Islam sesungguhnya adalah agama yang memelihara tuntutan fitrah manusia sehingga diwujudkan suatu hari istimewa untuk meraikannya. Menariknya, meraikan fitrah tidak akan menjejaskan kredibiliti iman seseorang, sebaliknya meninggalkan fitrah dianggap suatu pengkhianatan besar terhadap agama.

Namun, berapa ramaikah daripada kita menyedari hakikat itu sedangkan inilah dia semangat fitrah yang seharusnya diketahui, dirai dan dihayati umat Islam semua lebih-lebih lagi pada Aidilfitri yang mulia.

Allah menegaskan bahawa 'fitrah' adalah 'ketetapan' Allah yang ditentukan kepada umat manusia sejak awal penciptaannya. Imam al-Ghazali, Ismail Raji al-Faruqi dan Sayyed Naquib al-Attas adalah kalangan sarjana Islam yang membincangkan secara terperinci berkaitan fitrah dalam karya ilmiah mereka.

Secara umumnya, mereka menyimpulkan bahawa fitrah sebagai suatu potensi dalam diri manusia yang cenderung kepada nilai positif sejagat meliputi kecenderungan kepada kehidupan beragama dan nilai dipegang agama.

Dalam konteks ini, al-Quran menjelaskan fitrah sebagai agama hanif, agama yang lurus, agama pertama ditakdirkan untuk dianuti seluruh manusia. Tidak hairanlah mengapa manusia mempunyai potensi yang asli terhadap nilai positif sejagat sememangnya didukung agama pertama itu.

Perbincangan mengenai Aidilfitri, sewajarnya umat Islam merenung kembali sejauh manakah Aidilfitri diraikan pada suasana menghayati fitrah. Pada hari ini, umat Islam bersuka ria, bergembira, menikmati juadah enak, memakai pakaian baru, menghias kediaman, ziarah menziarahi, bermohon maaf antara sanak saudara dan taulan, mengeluarkan zakat fitrah untuk disedekahkan kepada yang memerlukan.

Kesimpulannya, Aidilfitri adalah hari di mana nilai positif sejagat diraikan sebagai satu tuntutan agama. Adalah malang sekali andainya Aidilfitri semata-mata menjadi hari di mana kita membalas dendam terhadap nafsu makan dan minum yang dikekang pada Ramadan lalu.

Berpakaian baru dan menghias kediaman sekadar menunjuk-nunjuk. Ziarah menziarahi dan bermohon maaf sekadar suatu tradisi. Zakat fitrah, sedekah raya semata-mata kerana memenuhi tanggung-jawab peribadi dan sosial.

Mampukah semangat fitrah ini dihayati seandainya lebih ramai daripada kita memilih untuk duduk di rumah menonton rancangan menarik disajikan. Dari sudut ekstrim, ada antara kita memilih memulakan puasa sunat seawal dua Aidilfitri sehingga menghalang budaya ziarah menziarahi yang digalakkan pada Aidilfitri.

Sementara warga kota yang pulang ke kampung memandu kenderaan, berlumba-lumba di jalan raya dan seterusnya mengubah Aidilfitri menjadi hari yang ditangisi bukan dirai.

Sesungguhnya, Aidilfitri adalah bukti rahmat Allah kepada umat Islam. Dari sudut sejarah, Allah menggantikan dua perayaan jahiliah kepada dua perayaan yang mulia iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Melalui perayaan itu, syiar keagungan Islam disebarkan terutama apabila takbir dan tahmid berkumandang. Aidilfitri adalah hari persaudaraan dan kegembiraan dalam suasana mentauhidkan Allah, memenuhi tuntutan fitrah manusia sebahagian daripada keperluan agama yang perlu disyukuri.

Perlu diingat, fitrah manusia cenderung kepada kesederhanaan. Kewajipan mengeluarkan zakat fitrah mengingatkan individu Muslim hakikat bahawa persaudaraan Islam menganjurkan umatnya bersifat prihatin terhadap golongan kurang berkemampuan.

Dalam konteks ini, perkongsian bukan saja dari sudut mata benda, malah perasaan. Menunaikan zakat fitrah menyucikan jiwa si kaya daripada perasaan tamak dan bongkak, menyucikan jiwa si miskin daripada perasaan dengki dan iri.

Menanam antara dua jiwa rasa kasih, hormat dan seterusnya menimbulkan persaudaraan serta perpaduan. Ditambah pula apabila umat Islam berduyun-duyun berhimpun mendengar khutbah yang dibacakan imam dan bersama menunaikan solat sunat hari raya.

Uniknya Islam yang menyatukan amalan duniawi dan ukhrawi di bawah naungan tauhid. Semoga Aidilfitri menginsafkan kita hakikat keistimewaan agama fitrah ini.

Tuesday, October 7, 2008

Tajdid Iman: Ramadan tiada makna jika amalan merosot

Oleh Dr Juanda Jaya
Juanda@msu.edu.my


BERBELANJA dengan cara sederhana dapat menjimatkan belanja dan menjauhi daripada dipengaruhi amalan syaitan. - Gambar hiasan


Syawal sebenarnya gamit jiwa kembali kepada fitrah elak terjebak maksiat

RAMADAN sudah meninggalkan tapak semaian ibadat yang mekar di hati seorang mukmin. Jiwanya masih lagi dipengaruhi bekas amal salih, sabar dan reda menahan hawa nafsu, munajat dan sujud, tadabbur al-Quran dan sedekah, doa yang panjang, tangisan dan taubat pada akhir malam.

Semua itu amat bermakna bagi membersihkan jiwa. Maka, pada Syawal ini janganlah disurutkan langkah ke belakang dan dikotori jiwa dengan maksiat. Apatah lagi untuk memutuskan diri dengan 'pencen ibadat'?

Jika demikian tentu sia-sia madrasah Ramadan dalam membentuk karakter jiwa yang bersih, tahan lasak melawan hawa nafsu dan kuat mujahadah. Syawal yang mulia seharusnya menggamit jiwa untuk kembali kepada fitrah.

Dunia kembali kepada wajah yang jelek dan huru-hara akibat perangai manusia bersifat seperti syaitan. Kembali bergolak dengan kejahatan dan kezaliman di mana-mana, dosa dan maksiat dianggap sesuatu yang lumrah dan semakin lembik suara mengajak kepada amar makruf nahi mungkar. Apakah ini semua berlaku kerana berakhirnya Ramadan?

Tidak, sesungguhnya Ramadan dijadikan sebagai bulan pembekal iman dan penguat semangat ketakwaan orang mukmin. Kekurangan ilmu dan ketandusan kefahaman agama menjadi sebab dan punca sesetengah umat Islam tidak mampu menterjemahkan semangat Ramadan sepanjang kehidupan mereka.

Janganlah kerana berpegang secara silap kepada hadis Rasulullah SAW yang menyatakan syaitan diikat pada Ramadan maka ada yang pandai-pandai beranggapan dosa dan maksiat yang dilakukan kini bukan atas kemahuan mereka, tetapi kerana rasukan serta hasutan syaitan selepas rantai dilepaskan.

Bukankah manusia sudah dibekalkan dengan kekuatan dan senjata untuk melawan pengaruh syaitan? Allah menolong hamba-Nya dan memberi penjagaan serta bimbingan wahyu untuk menyelamatkan manusia daripada kejahatan makhluk itu.

Mengapa menuduh syaitan menjadi punca kemerosotan iman, padahal setiap insan dibekalkan akal, hati, mata dan telinga untuk menerima hidayah Allah? Rasul diutuskan dan agama diturunkan dengan sempurna.

Bukankah Allah memberi jaminan dan perlindungan kepada setiap hamba-Nya daripada gangguan syaitan? seperti firman-Nya yang bermaksud: "Bagi manusia ada malaikat yang selalu mengikutinya secara bergilir, di depan dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia." (Surah al-Ra'd, ayat 11)

Allah berfirman yang bermaksud: "Hampir-hampir neraka itu terpecah-pecah lantaran marah. Setiap kali dilemparkan ke dalamnya sekumpulan orang kafir, penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka: Apakah belum pernah datang kepada kamu (di dunia) seorang pemberi peringatan? Mereka menjawab: Benar ada. Sesungguhnya telah datang kepada kami seorang pemberi peringatan, maka kami mendustakannya dan kami katakan: Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu tidak lain hanyalah di dalam kesesatan yang besar. Dan mereka berkata: Jika kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu) nescaya tidaklah kami termasuk penghuni neraka yang menyala-nyala. Mereka mengakui dosa mereka. Maka kebinasaanlah bagi penghuni neraka yang menyala-nyala." (Surah al-Mulk, ayat 8-11)

Antara amalan yang membuat syaitan berputus asa menggoda manusia ialah dengan kembali kepada Allah selepas tersilap langkah. Sesungguhnya tipu daya syaitan itu amat lemah bagi orang yang sentiasa dekat dengan Allah dan menyedari bahawa ada Malaikat Hafazah dan Malaikat Rakib juga Atid yang menemani serta memerhati pergerakan amalan mereka.

Sehingga melalui lisan Nabi-Nya SAW dinyatakan setiap anak Adam pasti berdosa. Mereka tidak terlepas daripada gangguan syaitan, bahkan dalam aliran darah mereka melainkan orang yang menang dan kuat melawan pengaruhnya dengan pertolongan Allah.

Hal ini dinyatakan Baginda SAW yang bermaksud: "Bahawasanya Rasulullah SAW pernah keluar dari rumah Aisyah pada waktu malam, lalu aku (Aisyah) berasa cemburu terhadapnya. Apabila Baginda kembali dan melihat apa yang aku lakukan, Baginda bersabda: Wahai Aisyah! Apakah engkau cemburukan aku? Aku menjawab: Bagaimanakah orang seperti aku ini tidak cemburu kepada orang sepertimu? Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Kenapa begitu? Apakah syaitan merasukmu? Lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah aku mempunyai syaitan? Sabda baginda: Benar. Aku bertanya lagi: Apakah syaitan itu berada pada semua orang? Sabdanya: Benar. Aku bertanya lagi: Pada dirimu juga ada syaitan? Sabda Baginda: Benar, akan tetapi Tuhanku menolongku terhadap syaitan itu sehingga akhirnya dia menyerah kalah." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Betapa lemahnya manusia apabila Allah melepaskan genggaman-Nya ke atas hati mereka, apabila Allah memalingkan pandangan rahmat-Nya dari jiwa mereka dan apabila Allah membiarkan mereka menjaga diri sendiri tanpa kekuatannya-Nya.

Sebaik-baik jalan keluar bagi menyelamatkan diri ialah dengan menghapuskan dosa lalu dan kembali kepada Allah dalam keadaan bertaubat. Jika tersilap lagi, bangkitlah semula dan jangan berputus asa mencari jalan pulang.

Sikap optimis dalam mencari hidayah dan melazimi taubat kepada Allah adalah amalan terbaik yang membuat syaitan menangis berputus asa. Bayangkanlah, ketika syaitan sudah hampir mencapai matlamatnya untuk menyesatkan seorang insan, tiba-tiba dengan segenap kekuatan insan itu berpatah balik pulang kepada Allah. Pasti syaitan laknatullah tersungkur menghumbankan wajah mereka ke tanah menangis sambil berkata: "Oh alangkah ruginya, sedikit saja lagi aku hampir menyesatkannya!"

Amalan seterusnya yang membuat syaitan berputus asa ialah membentuk benteng hati bersama ulama dan orang salih. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa antara kamu yang menginginkan kebahagiaan syurga, hendaklah dia melazimkan diri dalam jemaah. Sebab syaitan suka kepada orang yang bersendirian." (Hadis sahih riwayat Imam al-Tirmizi)

Pergaulan sihat mesti dilandaskan iman dan takwa. Memilih sahabat adalah ibadat. Setiap insan mesti memastikan dirinya berada dalam lingkungan iman yang baik, amal salih berterusan dan ilmu semakin meningkat serta penghayatan mendalam dalam kehidupan seharian. Keadaan sebegini memusnahkan impian syaitan laknatullah menyesatkan manusia beriman.

Kedudukan ulama ikhlas dan orang salih yang warak kadang-kadang dipinggirkan disebabkan perbezaan pandangan serta tindakan mereka terhadap orang jahil. Setiap perbezaan dan khilaf dalam masyarakat adalah ketentuan Allah yang berlaku pada setiap zaman.

Sudah selayaknya orang yang faham dan alim berlapang dada atas perlakuan orang jahil seperti Rasulullah SAW diarah untuk merendahkan 'sayapnya' (menurut bahasa al-Quran) di hadapan orang kurang memahami.

Demi membentuk benteng teguh menangkis serangan syaitan laknatullah, tiada jalan terbaik selain mengikuti sunnah Rasulullah SAW, bersaudara dengan orang salih dan menimba ilmu daripada pewaris Nabi.

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui Juanda@msu.edu.my

Perspektif Ikim: Islam pilihan terbaik ganti ideologi buatan manusia

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan

Pendekatan untuk bermasyarakat, negara tidak bercanggah dengan fitrah kemanusiaan

PADA era pertembungan tamadun dan budaya seperti zaman globalisasi kini, Islam pada peringkat ilmu harus mampu diutarakan oleh ilmuwan Muslim sebagai paling sempurna, canggih dan sesuai dalam semua aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara sepanjang masa.

Pendekatan dan ramuan Islam dalam semua aspek penyusunan dan pengendalian bernegara perlu diketengahkan semoga mampu menjadi panduan kepada kepemimpinan negara melaksanakannya.

Tidak memadai, ilmuwan Muslim hanya mampu mencari kelemahan pendekatan sedia ada. Mereka patut mengemukakan pilihan kepada pendekatan Islam dengan cara lebih terperinci dan boleh dilaksanakan. Dengan cara itu Islam mampu berperanan mempengaruhi corak hidup individu dan masyarakat. Di samping kebangkitan kesedaran kepada Islam, kawasan Asia Pasifik dijangka menjadi kawasan paling maju pada abad ke-21. Jika arah haluan pertumbuhan ekonomi negara rantau ini dapat kekal dan diteruskan, Asia Pasifik boleh menghasilkan lebih daripada satu perlima Keluaran Negara Kasar (KNK) dunia menyamai KNK Eropah dan Amerika Utara.

Apabila kemajuan ekonomi menjadi kenyataan, negara Islam perlu merebut peluang dan tidak tercicir dalam arus kebangkitan itu. Lebih menarik jika panduan Islam diguna pakai menerajui negara. Dalam menangani perkembangan itu, negara yang didiami majoriti umat Islam di Asia Pasifik, kepemimpinannya perlu menggubal satu corak pembangunan negara yang syumul dan berkesan. Pendekatan itu mesti berasaskan nilai kemanusiaan dan pendekatan Islam sudah pasti menjadi panduan. Kepemimpinan negara perlu memiliki ciri yang membolehkan mereka membawa Malaysia maju antaranya:

l) Pemimpin perlu mendokong fahaman luhur, berakhlak dan jujur untuk memajukan rakyat dan negara. Tanpa sifat ini negara tidak mungkin maju dan rakyat tidak terbela. Sejarah membuktikan kemajuan negara berkait rapat dengan ciri kepemimpinan. Sifat mulia sangat terserlah di kalangan kepemimpinan Khalifah al-Rashidin dan Umar Abd Aziz. Punca keberkesanan dan kejayaan kepemimpinan mereka bermula dengan penghayatan sifat itu.

2) Kepemimpinan negara perlu menguasai ilmu dan pemikiran yang mantap berasaskan nilai kemanusiaan secara mendalam. Justeru, sistem pengendalian negara perlu bersandarkan asas fahaman jitu yang didukung syariat Allah. Sistem pengendalian negara yang berasaskan kefahaman tidak mantap dan menepati nilai kemanusiaan menghadapi keruntuhan serta menimbulkan pelbagai gejala kepada masyarakat .

Sistem marxis/komunis terpaksa berkubur kerana pendekatannya bercanggah dengan nilai kemanusiaan. Begitu juga tamadun sekular Barat diasaskan ideologi liberal kapitalis. Banyak kerenah kemanusiaan terpaksa wujud disebabkan pendekatannya turut bercanggah dengan fitrah kemanusiaan.

Sejarah dan keadaan sekarang membuktikan negara yang mencapai taraf perekonomian maju tidak dapat mengekal kecepatan kemajuan bahkan terpaksa menghadapi kemunduran jika kekuatan ekonomi tidak disertai dengan kekuatan nilai kemanusiaan. Keruntuhan akhlak masyarakat seperti rasuah, penindasan dan menipu adalah fakta utama yang melemahkan dan seterusnya meruntuhkan sistem sosial bernegara. Oleh itu, negara mesti berusaha gigih melalui sistem pendidikan dan sebaran media semoga semua berperanan secara berkesan bagi membina ahli masyarakat yang memiliki pandangan hidup, penghayatan akhlak dan penguasaan kemahiran hidup sempurna.

3) Kepemimpinan negara perlu dikendali ahli politik yang pintar serta berkemampuan. Kebolehan itu penting untuk menerajui negara. Kejayaan membangunkan martabat masyarakat bergantung kepada kemampuan pucuk pimpinan. Kejayaan kepemimpinan Rasulullah SAW dan Khalifah Al-Rashidin adalah bukti nyata. Kajian dilakukan Professor P Kotter dari Harvard Business School, menunjukkan 80 peratus kejayaan sesebuah organisasi termasuk negara bergantung rapat dengan mutu kepemimpinan.

Zaman berubah dan penuh dengan cabaran serta persaingan. Pemimpin perlu memahami suasana dalam negara berkaitan kekuatan dan kelemahan sistem, keupayaan rakyat dan sumber negara. Mereka harus mampu menggembleng semua lapisan rakyat untuk memajukan ekonomi ke peringkat tertinggi. Semua masyarakat perlu berperanan pada peringkat paling tinggi dalam usaha pembangunan.

4) Kepemimpinan harus mampu menerajui negara untuk berperanan secara berkesan pada peringkat antarabangsa. Pada zaman globalisasi mahu atau tidak, negara hanya boleh dimajukan jika mampu berperanan pada arena antarabangsa. Oleh itu, setiap aktiviti ekonomi perlu bermatlamat untuk menguasai pasaran, jika mampu pada pasaran antarabangsa. Kepemimpinan negara Islam tidak boleh memisahkan diri mereka dengan ajaran Islam. Untuk maju dan berjaya peringkat sejagat, Islam mempunyai pendekatan syumul berasaskan nilai kemanusiaan yang mampu bersaing, seterusnya mengatasi corak pembangunan negara sekular yang pendekatannya bercanggah dengan fitrah kemanusiaan.

Sebagai umat Islam, kita yakin kekuatan yang ada dengan pendekatan Islam dalam menyusun dan membangunkan negara kerana ia menepati fitrah kemanusiaan. Pendekatan lain dalam menyusun dan memajukan masyarakat dan negara yang bertentangan dengan fitrah kemanusiaan gagal mewujudkan peradaban manusia sempurna di dunia dan sudah pasti pembalasan negatif pada alam akhirat.

Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Empat syarat mohon ampun kepada Tuhan, sesama manusia

Oleh Mohd Zamri Shafie

"MAAFKAN saya", ungkapan yang dinisbahkan kepada manusia dalam memohon maaf sesama manusia. Ia cukup berat diucapkan kecuali menjelang hari raya. "Ya Allah! Ampunkanlah dosaku" suatu lafaz menjadi kelaziman seharian memohon keampunan Allah. Pepatah Melayu menyatakan, bumi mana tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak bergelora. Perumpamaan yang menyatakan persoalan, pasti semua orang ada jawapannya. Begitulah kehidupan manusia, terpalit dan dipalit dosa, kecil mahupun besar.

Sebagai manusia kita tidak dapat lari daripada melakukan dosa sama ada sesama makhluk atau dengan Allah. Tabir Ramadan hadir dengan kerahmatan, keampunan dan pembebasan daripada api neraka bagi hamba Allah yang beriman dan bertakwa.

Sepanjang Ramadan kita sering mendengar doa diajar Rasulullah SAW menerusi hadis diriwayatkan oleh At-Tirmidzi, An-Nasai'e dan Ibn Majah. Daripada Saidatina Aisyah katanya, wahai Rasulullah, jika aku melihat Lailatul Qadr, apakah doa yang boleh dibaca? Sabda Baginda SAW, katakanlah (berdoa): Ya Allah ya Tuhan kami! Sesungguhnya engkau yang maha pengampun, ampunkanlah (dosa) aku."

Berdasarkan doa ini, sebagai Muslim kita sewajarnya menyandarkan harapan kepada Allah supaya mengampunkan dosa yang dilakukan. Allah juga meletakkan keutamaan taubat seseorang dengan keampunan daripada-Nya sehingga keburukan mereka digantikan dengan kebaikan.

Keluasan keampunan Allah dan rahmat-Nya meliputi seluruh dosa orang bertaubat. Perkara itu dirakamkan menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hambaKu yang sudah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah juga yang maha pengampun, lagi maha mengasihani." (Surah az-Zumar, ayat 53)

Imam Nawawi dalam kitabnya Riadhus Solihin menyatakan ulama berpendapat bertaubat daripada setiap dosa yang dilakukan hukumnya wajib. Jika dosa itu berkaitan dengan Khaliq (Allah) dan dengan manusia. Ia terangkum dengan empat syarat taubat utama iaitu:

l) Berhenti daripada melakukan kemaksiatan kepada Allah.

2) Menyesali perbuatan yang sudah dilakukan.

3) Berazam tidak mengulangi perbuatan itu selama-lamanya.

4) Jika dosa itu berkaitan dengan manusia perlu diselesaikan seperti mengembalikan harta diambil dengan cara salah kepada tuannya. Jika barang sudah hilang atau habis digunakan perlu diminta halal daripada tuannya. Jika menuduh atau memfitnah wajar memohon maaf atas segala perbuatan.

Nilai kemaafan bagi setiap mukmin di sisi Allah dengan keutamaan kepada orang yang bertaubat kepada-Nya ialah darjat tertinggi iaitu kasih sayang Allah Tuhan semesta alam. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa menyucikan diri." (Surah al-Baqarah, ayat 222)

Firman Allah yang bermaksud: "Terimalah apa yang mudah engkau lakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang jahil (degil dengan kejahilannya)." (Surah al-'Araf, ayat 199)

Imam Ibn Abi Hatim dalam tafsirnya menyatakan hadis Nabi SAW. Daripada Yunus bin Abdul A'la, katanya tatkala turun ayat ini (ayat 199 surah al-'Araf), Rasulullah SAW bertanya kepada Malaikat Jibril apakah (maksud ayat) ini, wahai Jibril? Jawab Jibril: "Sesungguhnya Allah memerintahkan engkau supaya memaafkan orang yang menzalimi engkau dan memberi kepada siapa yang menghalang (menentang) engkau dan hubungkanlah tali kekeluargaan dan persaudaraan (silaturahim) bagi siapa yang memutuskannya." (Tafsir Ibn Abi Hatim)

Monday, October 6, 2008

Ganjaran besar puasa enam Syawal

Oleh Zahri Hamat


PUASA enam Syawal adalah sunat dilakukan dan besar ganjaran pahala serta tambahan kepada kekurangan yang diimbangi dengan zakat fitrah.


Mukmin laksana amalan sunat mendapat kebaikan berganda

DUA jenis amalan menentukan peribadi seseorang Muslim iaitu amalan wajib dan amalan sunat. Wajib bermaksud sesuatu yang dituntut untuk melakukannya dan berdosa jika ditinggalkan seperti solat fardu, puasa pada Ramadan dan membayar zakat.

Sunat pula bermaksud sesuatu yang dianjurkan untuk melakukannya dan tidaklah berdosa jika ditinggalkan. Antara contoh amalan sunat ialah solat, mengucapkan amin apabila membaca fatihah dalam solat dan banyak lagi.

Walaupun meninggalkan amalan sunat tidaklah menyebabkan berdosa, ia adalah amalan sangat disukai Allah.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah berfirman yang maksudnya: "Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, maka sesungguhnya aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada seorang hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai hanya dari ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya. Dan hendaklah hamba-Ku sentiasa bertaqarrub dirinya kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, nescaya adalah Aku sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan sebagai penglihatannya yang ia melihat dengannya, dan sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya, dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya. Dan jika ia meminta kepada-Ku nescaya Aku berikan kepadanya, dan jika ia memohon perlindungan kepada-Ku nescaya Aku lindungi." (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Antara ibadat sunat yang amat digalakkan selepas puasa wajib Ramadan ialah puasa enam hari semasa Syawal. Persoalannya, bilakah waktu terbaik melakukannya, dan bagaimanakah cara untuk menunaikannya jika puasa wajib belum lagi diganti atau diqada?

Puasa enam hari pada Syawal sebenarnya amat besar ganjaran yang ditawarkan Allah. Ia disebut secara jelas oleh Rasulullah SAW.

Dilaporkan daripada Abu Ayyub al-Ansari bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa berpuasa sepanjang Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari Syawal, maka seakan-akan dia berpuasa selama satu tahun." (Hadis riwayat Muslim, Abu Dawud, An-Nasa'i dan Ibnu Majah)

Ini bermakna dengan berpuasa sunat selama enam hari pada Syawal selepas berpuasa wajib pada Ramadan, seolah-olah mereka berpuasa sepanjang tahun.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah telah menggandakan setiap kebaikan dengan sepuluh kali ganda. Puasa Ramadan setara dengan berpuasa sebanyak sepuluh bulan. Dan puasa enam hari Syawal yang menggenapkannya satu tahun." (Hadis riwayat An-Nasa'i dan Ibnu Majah)

Hadis ini mempamerkan bahawa ganjaran diberikan Allah itu sepuluh kali ganda. Ini bermakna jika kita berpuasa selama 30 hari pada Ramadan, maka digandakan menjadi 300 hari, manakala puasa enam hari pada Syawal digandakan menjadi 60 hari. Ganjaran Allah adalah sebanyak 360 hari.

Persamaan yang lain, jika berpuasa selama sebulan pada Ramadan akan menyamai 10 bulan, kemudian diikuti puasa selama enam hari pada Syawal akan menyamai dua bulan. Justeru genaplah berpuasa selama setahun.

Ada dua pendapat ulama mengenai hal ini. Majoriti ulama berpendapat, puasa enam dilakukan secara berturut-turut selepas Hari Raya. Ia dimulai pada hari raya kedua dan seterusnya sehingga genap enam hari. Sebahagian ulama pula berpendapat puasa enam itu boleh dilakukan secara berselang-seli atau tidak terus menerus sepanjang Syawal.

Justeru, kita mempunyai kebebasan untuk membuat pilihan sama ada melakukannya secara berturut-turut ataupun berselang seli.

Bagaimanakah pula kaedah menunaikan puasa sunat pada Syawal jika puasa Ramadan masih belum diganti atau qada? Persoalan itu juga mempunyai beberapa pandangan. Pendapat pertama mengatakan adalah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa enam dengan berniat hanya puasa qada pada Syawal. Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus.

Pendapat kedua ialah jika seseorang melakukan kedua-duanya secara berasingan akan mendapat kelebihan di sisi Allah kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah, maka memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan antara yang wajib dengan sunat lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba.

Ada juga ulama berpendapat bahawa puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi puasa qada, ia boleh dilakukan dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tibanya Ramadan akan datang.

Lakukan ibadat sunat ini sama ada berpuasa secara berturut-turut atau berselang-seli. Begitu juga dengan puasa qada. Lakukanlah sama ada secara digabungkan puasa enam dengan puasa qada ataupun secara berasingan.

Terpulanglah kepada diri kita sendiri berdasarkan kemampuan masing-masing. Hal ini kerana ganjaran ditawarkan Allah amat besar. Ia juga adalah tambahan kepada kekurangan yang diimbangi oleh zakat fitrah.

Penulis ialah pensyarah Pusat Kajian pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia

Pondok Sungai Durian perkenal pendidikan moden

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my


MADRASAH Muhammadiah Pondok Sungai Durian guna pendekatan baru dalam proses pembelajaran.


Sistem tradisional, sukatan persekolahan YIK, teras pembelajaran lahir cendekiawan

SEBUT saja pondok terbayang rumah kecil beratap rumbia macam zaman dulu dengan kemudahan yang terhad. Begitu juga dengan pondok tempat pengajian ilmu agama, persepsi sama diberikan terutama dari segi infrastruktur.

Hakikatnya, pengajian pondok kini sudah melangkah ke fasa baru apabila sistem pendidikan serta kemudahan disediakan walaupun masih di belakang sistem sekolah berasrama penuh lain tetapi usaha dilakukan membolehkan pusat pengajian itu hampir menyamai sekolah asrama.

Contohnya, Pondok Sungai Durian (PSD) di Kampung Sungai Durian, Kuala Krai yang baru menyambut Jubli Emas penubuhannya 4 Jun lalu. Daripada pondok berkonsepkan tradisional, Pondok Sungai Durian atau nama lengkapnya Madrasah Muhammadiah Pondok Sungai Durian kini bertukar wajah.

Penasihat PSD, Dr Abdul Basit Abdul Rahman berkata, selaras perubahan masa dan keperluan pelajar, sudah tiba masanya sistem pondok yang ada sekarang ini diselaraskan dari aspek kurikulum dan sistem pelajaran.

Katanya, sistem lama seperti pengajian kitab dari kulit ke kulit masih perlu diteruskan tetapi menggunakan pendekatan baru dengan memperkenalkan peperiksaan bagi membolehkan pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Sistem pondok tradisional ialah mengaji kitab lama dari kulit ke kulit tetapi sekarang ini tanpa sijil pelajar tidak boleh menyambung pengajian. Oleh itu, pengajian kitab lama perlu ada ujian atau peperiksaan untuk mendapatkan sijil.

"Sambutan kepada pengajian pondok tidak pernah ketandusan. Maknanya masyarakat memang mengiktiraf sistem pondok dan kerana itu saya sarankan kurikulum dan sistem pendidikan di pondok diselaraskan bagi kepentingan pelajar," katanya.

Beliau berkata, PSD melaksanakan dua sistem pembelajaran iaitu sistem pondok cara tradisional dan sistem persekolahan mengikut sukatan Yayasan Islam Kelantan (YIK) bermula 8 pagi hingga 1 tengah hari.

Sistem pendidikan tradisional diberi perhatian penting oleh pentadbir PSD kerana sistem itu berkesan untuk melahirkan generasi pelapis yang berwibawa. Sistem itu mengambil kira beberapa faktor antaranya teks pengajian daripada kitab silam dihasilkan ulama di nusantara atau ulama Timur Tengah.

Kaedah pembelajaran tradisional ialah membaca kitab dari awal hingga akhir pada setiap mata pelajaran dan setiap pelajar diwajibkan menghafal matan serta mesti memperdengarkan kepada guru masing-masing.

Pengajian mengikut sistem pondok biasanya diadakan selepas solat lima waktu setiap hari mengikut jadualnya tersendiri sebagaimana sistem persekolahan. Tetapi ia lebih berbentuk umum kerana pengajian diadakan dalam masjid pondok.

Cara pengajiannya, murid-murid akan membentuk halaqat (bulatan) mengikut pelajaran yang diajar dengan bimbingan seorang guru, atau murid akan mengikut pengajian secara umum dengan seorang guru yang mengajar berpandukan kitab tertentu.

Dr Abdul Basit berkata, sistem pendidikan moden yang diperkenalkan PSD berjalan selama lima hari seminggu bermula dari Ahad hingga Khamis. Setiap hari kelas bermula pada jam 8 pagi dan berakhir jam 1 tengah hari.

Katanya, pelajar akan mengikuti tujuh mata pelajaran dalam kelas menggunakan sukatan pelajaran disediakan YIK dan pihak PSD juga membuat sedikit tambahan dalam sukatan berkenaan untuk mengimbanginya dengan sukatan pondok.

Secara keseluruhannya, mata pelajaran yang diajar di sekolah itu dibahagikan kepada tiga kategori umum iaitu Bahasa Arab, bahagian agama dan am.

Pelajar PSD akan menduduki tiga peperiksaan dalam setahun kerana PSD juga mengeluarkan sijil kepada pelajar yang berjaya dalam peperiksaan akhir sesi pengajian (Shahadah Thanawiah). Di samping itu, pelajar tingkatan empat diwajibkan menduduki peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMU) yang dikelolakan YIK.

"Cuma untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kita akan minta pelajar mendudukinya secara persendirian. Syukur, kebanyakan pelajar PSD yang mengambil peperiksaan SPM secara persendirian lulus dengan baik," katanya.

Beliau berkata, sambutan terhadap pelajar pondok tidak pernah ketandusan dan itu adalah bukti jelas menunjukkan orang ramai masih percaya terhadap sistem pendidikan yang dijalankan di pondok di seluruh negara.

Permintaan terhadap graduan lulusan pondok untuk berkhidmat sebagai imam, pendakwah dan guru agama membolehkan pelajar sekolah pondok mengembangkan kerjaya sebaik mereka menamatkan pengajian.

PSD menerima pelajar berusia 13 tahun hingga 15 tahun yang berhajat menimba ilmu pengetahuan di sana. Hingga kini, ada 600 pelajar di PSD dan 350 daripadanya adalah pelajar umum.

Mengimbau sejarah penubuhan PSD yang diasaskan Allahyarham Abdul Rahman Sulaiman pada 4 Jun 1958, pondok binaan kayu itu awalnya dibina dengan bantuan penduduk kampung serta kakitangan Jabatan Perhutanan tanpa sebarang bayaran.

Asalnya pondok itu mula beroperasi di Bukit Enggong, Guchil, Kuala Krai tetapi kemudian terpaksa dipindahkan ke Kampung Sungai Durian kerana lokasi itu tidak sesuai dengan sistem pengajian pondok, lebih-lebih lagi dengan bilangan pelajar semakin bertambah.

Pada peringkat awalnya, PSD hanya terdiri daripada sebuah bangunan dua tingkat dengan kemudahan asas dua ruang pejabat dan perpustakaan serta lapan bilik darjah dan kantin. Kini, PSD dilengkapi kemudahan asas yang boleh menampung keperluan pelajar dan penghuninya.

Kawasan yang dahulunya hanya empat ekar, kini bertambah 12 ekar hasil pembelian tanah daripada jiran sekitar pondok. Sekembalinya Abdul Rahman Sulaiman ke rahmatullah, pentadbiran PSD diteruskan oleh generasi kedua (adik serta anak-menantu Allahyarham).

Selepas 50 tahun beroperasi, PSD melangkah maju ke depan dan mampu berdiri sebagai salah satu pusat pengajian tradisional yang masih bertahan sehingga sekarang. PSD turut menjalinkan hubungan dengan institusi pendidikan lain antaranya Kolej Sultan Ismail Petra, Kolej Darul Ulum di Kedah dan Universiti Al-Madinah Antarabangsa (Mediu) di Shah Alam.

Dr Abdul Basit berkata, sistem pendidikan pondok sekarang ini melengkapi kekurangan yang ada terutama bagi mereka yang ingin belajar kitab dan mendalami ilmu agama dalam suasana lebih sistematik serta selesa.

Justeru katanya, PSD sentiasa berusaha menyediakan kemudahan infrastruktur seperti menyediakan kemudahan asas bagi pelajar setanding sekolah berasrama lain yang mendapat bantuan kerajaan.

"Masih ada yang menggunakan pondok lama kerana asrama masih tidak mencukupi. Bagaimanapun, PSD baru melancarkan dana untuk menambah bangunan memandangkan pondok lama memang tidak sesuai," katanya.