Saturday, March 28, 2009

Perkasa sahsiah diri kembalikan kegemilangan Islam

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

UMAT Islam pernah menjadi umat cemerlang, gemilang, terpandang, dikagumi dan digeruni bukan Islam. Umat Islam hidup dalam suasana aman dan maju serta sedikit tiada rasa takut di hati untuk melaksanakan ibadat atau menjalani kehidupan seharian.

Inilah gambaran umat Islam yang hidup di bawah asuhan dan kepemimpinan Rasulullah SAW di Madinah. Hari ini kedudukan umat Islam jauh berbeza, sudah begitu lemah, mudah ditindas dan dianiayai musuh Islam tanpa rasa gerun sedikit pun.

Keadaan ini berlaku kerana sesetengah masyarakat Islam menyimpang daripada ajaran sebenar. Kita dapat perhatikan dalam kehidupan sehari-hari cara mereka berpakaian, bergaul dan bermuamalah.

Pelakuan ini menimbulkan pelbagai masalah seperti sumbang mahram, pesta seks, fitnah, minum arak, buang bayi dan pembunuhan. Umat Islam harus insaf dengan keadaan yang memilukan dan memalukan ini.

Kita mesti faham tidak ada yang dapat mengubah nasib selain kita sendiri yang berusaha mengubahnya. Hal ini pernah ditegaskan Allah dalam firman bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah diri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapa yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya." (Surah ar-Ra'd, ayat 11)

Bagi menjadi umat Islam cemerlang dan gemilang, bersemangat waja, kita perlu kita menghayati ajaran Islam dalam kehidupan. Allah berfirman bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)." (Surah al-Hujurat, ayat 11)

Apabila individu Muslim menjalankan amar makruf nahi mungkar, akan terbina akhlak dan sahsiah diri mengikut acuan Islam. Sesungguhnya umat yang baik, bermula daripada individu seperti dinyatakan Syeikh Said Hawa bahawa untuk menjadi umat yang baik mesti bermula dengan pembinaan sahsiah diri, memperteguhkan iman dan akidah.

Perkara ini yang pernah diterapkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW pada awal perkembangan dan kemunculan cahaya Islam di tanah Arab.

Di samping itu, umat Islam akan muncul sebagai umat yang kuat, tahan diuji serta digeruni jika menguasai pelbagai ilmu pengetahuan. Jika diperhatikan, sesungguhnya bangsa yang maju sejak dulu hingga kini adalah bangsa yang memiliki ilmu pengetahuan.

Lantaran pentingnya ilmu, Islam mewajibkan setiap Muslim menuntut ilmu pengetahuan. Memang benar seperti diungkapkan Dr Muhammad Ghazali, cukup untuk menegaskan Islam ialah agama ilmu dan akal. Islam menghendaki umatnya pandai memegang kalam dan otak dipenuhi beraneka ilmu.

Seseorang insan berilmu akan terjamin kesejahteraan hidup dan diredhai Allah serta mendapat kemuliaan di sisi-Nya seperti dalam firman yang bermaksud: "Diangkat Allah orang yang beriman daripada kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat." (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Senada dengan itu, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Bahawa ilmu pengetahuan itu menambah mulia orang yang mulia dan meninggikan seorang budak (hamba) sampai ke tingkat raja." (Hadis riwayat Abu Naim dan Anas)

Hari ini umat Islam perlu berdiri tegak atas landasan ajaran Islam sebenar sehingga terbentuk umat gemilang, terhormat dan boleh bersaing dengan bangsa yang sudah maju.

Kualiti umat penentu kecemerlangan negara


ATAS tekad dan usaha gigih tidak mustahil kita mampu menempuh cabaran seterusnya dan mencapai hasrat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020 nanti. - Gambar hiasan


PERBINCANGAN mengenai kualiti umat tidak seharusnya berlegar di sekitar produktiviti material dan kemahiran semata-mata tetapi kualiti yang dimaksudkan meliputi kejiwaan, intelektual dan spiritual yang digabungkan dengan kualiti fizikal seperti berketrampilan, rajin, beretika, beriman serta berwawasan.

Kualiti ditafsirkan sebagai ciri perkhidmatan seperti kesopanan, kemesraan dan ketetapan masa atau ciri luaran seperti daya ketahanan, kebolehpercayaan, estetik, peranan dan keselamatan. Semua ciri itu bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan individu bagi mencapai kejayaan sesebuah agensi dan seterusnya negara.

Bagaimanapun, usaha mempertingkatkan kualiti harus dilihat sebagai satu proses yang menyeluruh dan bersepadu membabitkan semua anggota sesebuah agensi atau persatuan.

Islam sendiri menekankan perlunya umat Islam berusaha dan berlumba-lumba membina masa depan serta mencari kejayaan seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Berlumbalah kamu mengerjakan kebaikan, di mana saja kamu berada, nescaya Allah akan mengumpulkan kamu semua, sesungguhnya Allah itu berkuasa atas segala sesuatu.”

Ternyata, Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW menghendaki kita supaya sentiasa berusaha mencari kemajuan dan kejayaan berteraskan prinsip Islam bagi mendapatkan keredaan Allah.

Mengimbas sejarah perjuangan Rasulullah SAW, pastinya kita melihat bagaimana kejayaan penuh gemilang dicapai Baginda hanya dalam jangka masa singkat. Lebih-lebih lagi jika diteliti detik dilalui pada permulaan sejarah kerasulannya di Makkah, seolah-olah tidak menjanjikan apa-apa kerana sentiasa berada di bawah tekanan pihak Musyrikin.

Apabila berhijrah ke Madinah, keadaannya berbeza sekali. Islam diterima sebilangan besar penduduknya berbanding usaha Baginda SAW ketika di Makkah. Kejayaan Rasulullah SAW bukan sekadar menyebarkan Islam dan membangunkan masyarakat, malah lebih daripada itu.

Baginda SAW mementingkan kualiti sebenar yang harus ada pada jiwa pengikutnya supaya negara Islam dibina Baginda benar-benar berada di atas pundak yang kukuh imannya kerana dengan Islam dan iman lahirnya amal salih yang berguna kepada setiap insan.

Penghidupan dihiasi akhlak Islam dan nilai hidup berteraskan syariat Allah berjaya mencipta tamadun manusia dan mampu dipertahankan sebegitu lama. Tamadun yang diciptakan Muhammad SAW menerusi wahyu Ilahi adalah tamadun bersifat syumul demi kejayaan dunia dan akhirat.

Perjuangan Rasulullah SAW bukan saja untuk membawa manusia meninggalkan dunia demi mengejar akhirat semata-mata, pengorbanan dan kepayahan dihadapi Baginda menegakkan Islam adalah untuk mencapai kedua-duanya sekali.

Benarlah sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan tuntutlah olehmu akan apa saja yang sudah disediakan kepadamu di akhirat dan jangan sekali-kali kamu lupa memperjuangkan nasibmu di dunia (untuk mencapai kemajuan) dan berbuat baiklah (kepada manusia) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu di samping itu jangan sekali-kali kamu melakukan angkara jahat di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang berbuat kerosakan.” - (Surah al Qasas, ayat 77)

Menghadapi proses pembangunan negara dan pembangunan insan, kualiti umat harus digilap supaya keseimbangan kemajuan negara disaingi ketinggian martabat umat itu sendiri. Umat Islam perlu mempunyai disiplin, menjaga peraturan, menghormati masa, tekun, sabar, beramal salih dan semangat daya juang yang kental.

Umat berkualiti adalah penentu kejayaan dan kecemerlangan negara. Tanpanya, segala halangan dan tentangan yang dihadapi bagi mencapai matlamat wawasan negara, tidak akan dapat ditangkis oleh umat yang lemah.

Islam sentiasa menekankan prinsip kesungguhan dan dedikasi berteraskan ilmu dalam mencapai kejayaan. Islam juga menitikberatkan umatnya melaksanakan pekerjaan secara bersungguh-sungguh tanpa rasa jemu dan kecewa.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu membuat sesuatu perkara, ia melakukannya dengan tekun.” - (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Kejayaan umat Islam mesti berasaskan kepada struktur perencanaan yang rapi, kualiti digarap dan ketahanan spiritual mantap, barulah seluruh umat manusia akan menikmati kehidupan berdisiplin, berilmu, inovasi dan produktif.

Segala bentuk kemajuan serta wawasan yang dicita-citakan tidak akan tercapai sepenuhnya tanpa adanya perancangan teliti dan konkrit. Abul ‘Ala al Maududi dalam karyanya menegaskan pentingnya umat Islam menjadi maju dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Istilah al Hadarah al Islamiyah (tamadun Islam) digunakan oleh beliau sebagai membuktikan bahawa umat Islam menjadi penyumbang utama kepada tamadun dunia sejak berabad lamanya dengan pencapaian gilang gemilang dalam pelbagai bidang. Ini membuktikan umat terdahulu lebih berkualiti dalam tindakan mereka bagi memastikan kelangsungan hidup umat masa hadapan yang cemerlang.

Umat berkualiti tidak selamanya memadai dalam menunaikan kewajipannya pada kadar yang dipertanggungjawabkan saja, malah bagi mencari manfaat, umat Islam hendaklah sentiasa menunaikan tugas melebihi daripada had yang sudah semestinya.

Justeru, umat Islam tidak sepatutnya mengambil jalan mudah dan memintas peluang dengan memijak orang lain. Kejayaan sebenar di sisi Islam adalah hasil usaha kudrat sendiri berlandaskan ciri agama.

Orang yang mempunyai wawasan hidup, tidak akan menerima kekayaan secara percuma lebih-lebih lagi diragui halalnya. Mereka berkeyakinan, kekayaan seumpama itu tidak akan kekal lama kerana mungkin di sebalik kekayaan itu berlaku penindasan dan kezaliman terhadap orang lain.

Jika kita meneliti perjuangan Rasulullah SAW, jelas menunjukkan kejayaan yang diperoleh, bukan sekadar kejayaan di dunia malah kejayaan di akhirat. Pengorbanannya paling tinggi. Perjuangannya penuh cabaran. Halangan yang ditempuh bukan sebarangan. Namun perjuangan tetap diteruskan.

Jika habuan dan keseronokan dunia yang diperjuangkan Muhammad SAW semata-mata, maka Baginda sudah lama mencapainya ketika di Makkah lagi. Sewaktu ditawarkan oleh Musyrikin kepada Muhammad SAW harta, kemuliaan, pangkat, wanita cantik, semuanya ditolak.

Rasulullah SAW berpandangan jauh. Baginda tidak menerima kekayaan yang singkat tanpa perjuangan bagi meraih kejayaan. Kejayaan sebenarnya ialah apabila Islam dapat disebarkan bukan saja di Tanah Arab malah ke Asia, Afrika, Eropah dan seluruh dunia hinggalah yang kita lihat hari ini.

Di sinilah letaknya kualiti perjuangan diasaskan Rasulullah SAW yang perlu diwarisi seluruh umat Islam jika ingin kejayaan hidup yang diredai Allah.

Kegigihan umat Islam dalam babak mencipta kemajuan akan menjadi mudah jika kepemimpinan negara sentiasa menerapkan nilai Islam dalam pentadbiran, ekonomi dan pendidikan.

Tokoh pemikir Islam, Malek Bin Nabi ada menyatakan tujuan kewujudan sesebuah masyarakat ialah merealisasikan kehendak Islam pada peringkat individu dengan peringatan bahawa kehidupan duniawi adalah jalan menuju kehidupan akhirat. Islam cara hidup paling relevan.

Islam mahukan umatnya cemerlang, bermutu, berkualiti tinggi, sentiasa terkehadapan. Jika perkara ini dapat dijadikan sumber ketahanan kejayaan umat Islam, tidak mustahil kita mampu menempuh cabaran seterusnya dan mencapai hasrat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020 nanti.

Friday, March 27, 2009

Politik wang wariskan pemimpin tidak berkualiti

Oleh Ghafani Awang Teh

Proses demokrasi tercalar, sistem bernegara tergugat jika perebutan kuasa jadi agenda utama

PERBUATAN merebut dan mencantas pihak lain untuk menjadi pemimpin adalah bercanggah dengan ajaran Islam dan hak asasi manusia. Rasulullah SAW menegah umat Islam daripada meminta-minta untuk menjadi pemimpin dalam urusan pentadbiran negara.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa suatu ketika Abdul Rahman Samurah ditegur Rasulullah SAW, sabdanya yang bermaksud: "Wahai Abdul Rahman Samurah, jangan engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Jika diberi kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan."

Hadis ini menjelaskan dalam Islam jawatan pemimpin adalah tanggungjawab yang berat. Ia bukan status yang direbut bagi mendapatkan sanjungan dan keistimewaan. Oleh itu, Islam menegaskan jawatan pemimpin tidak boleh ditagih mengikut desakan naluri dan nafsu semata-mata.

Bahkan, proses pemilihan pemimpin atau pentadbir perlu dilakukan dengan adil berasaskan kelayakan, karisma dan ciri kepemimpinan seperti bertakwa, berakhlak tinggi, bertanggungjawab, sabar, boleh merancang dan bijak melaksanakan tugas.

Allah mengingatkan kepemimpinan paling berkesan ialah kepemimpinan melalui teladan seperti ditunjukkan Rasulullah SAW. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya sudah datang kepada kamu seorang rasul daripada golongan kamu sendiri yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu, (dan) amat belas lagi penyayang kepada orang beriman." (Surah at-Taubat, ayat 128)

Pemimpin yang bersikap belas kasihan, penyayang dan prihatin terhadap kebajikan rakyat adalah bukti ketinggian iman mereka. Justeru, memegang kuasa melalui kemenangan politik wang hanya memberi keseronokan sementara untuk diri dan penyokong.

Budaya politik wang yang bertujuan memenuhi kepentingan diri dan segelintir puak memberi kesan penderitaan jangka panjang kepada negara dan rakyat. Sejarah silam tamadun Islam menunjukkan bagaimana pemimpin terbabit politik wang, tamak kuasa, mengutamakan puak dan keluarga serta mementingkan nafsu menjadi penyebab utama tumbangnya kerajaan Umaiyah, Abbasiyah dan Uthmaniyah.

Politik wang menimbulkan perpecahan di kalangan pemimpin. Mereka berusaha menjatuhkan rakan seperjuangan dan pihak lawan walaupun secara tidak sah demi mencapai matlamat dalam politik.

Perebutan sengit kadangkala melalaikan mereka melaksanakan tugas hakiki iaitu memberi perkhidmatan memuaskan kepada masyarakat. Gelagat dan tingkah laku buruk pemimpin ini boleh menimbulkan rasa bosan dan meluat di kalangan rakyat.

Keadaan bosan berterusan menggugat sistem bernegara kerana rakyat hilang kepercayaan dan keyakinan kepada pemimpin yang asyik mengejar atau mengaut kepentingan diri. Dengan perkataan lain, 'pemimpin bertelagah rakyat berpecah'.

Oleh itu, kita perlu insaf budaya politik wang mewariskan pemimpin tidak berkualiti, berakhlak dan berintegriti. Pemimpin yang berkuasa melalui politik wang melahirkan pemimpin yang mudah mengamalkan rasuah dan perbuatan keji lain. Lebih malang, amalan politik wang menutup proses demokrasi secara sihat kerana orang yang berduit saja berpeluang menjadi pemimpin besar.

Pihak yang tiada wang tidak berpeluang menjadi pemimpin walaupun benar-benar layak memimpin.

Kita juga perlu mengambil pengajaran ada pemimpin yang baik, tetapi terikut-ikut dengan kehendak dan tekanan penyokong dalam memenuhi agenda politik wang, maka pemimpin berkenaan tersungkur.

Kini orang Islam masih menjadi kuasa utama kepemimpinan negara. Kekuatan politik yang ada di tangan umat Islam menjadi ukuran kestabilan politik di negara ini. Oleh itu, apabila kuasa politik Islam lemah, maka pihak lain akan mengambil kesempatan.

Kita perlu ingat kelemahan kepemimpinan Islam menyebabkan pihak tertentu mengambil peluang memperhebatkan tekanan yang mencabar institusi Raja sebagai ketua agama Islam, mempertikai Islam dalam Perlembagaan dan pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini.

Prinsip ketiga pendekatan Islam Hadhari menetapkan kerajaan perlu berlaku adil dan beramanah. Untuk mencapai matlamat itu, amalan buruk dalam berpolitik seperti politik wang, menyalahgunakan kuasa dan rasuah perlu ditolak dan dihapuskan. Mereka yang mengamalkan budaya ini tidak wajar diberi ruang sebagai pemimpin.

Mereka yang berjaya menjadi pemimpin secara sah mempunyai amanah dan tanggungjawab besar di sisi Allah. Mereka bertanggungjawab menentukan hala tuju negara dan rakyat ke arah pegangan hidup selari dengan ajaran al-Quran dan sunah. Pemimpin yang menunjukkan teladan, amanah dan baik terus disanjung serta ditaati rakyat.

Sebagai peringatan dalam pencarian pemimpin elok kita renungi rakaman pertukaran pemimpin antara Nabi Musa dan Nabi Harun dalam al-Quran.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan berkatalah Musa kepada saudaranya Harun: "Gantikan aku dalam (urusan memimpin) kaumku, dan perbaikilah dan jangan engkau menurut jalan orang yang melakukan kerosakan." (Surah al-A'raf, ayat 142)

Penulis ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Masjid (Kesuma) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Istiqamah laksana amanah bela rakyat sifat pejuang sejati

Oleh Amran Zakaria

ISTIQAMAH antara sifat yang amat dititikberatkan Islam. Sifat ini yang akan menjamin kejayaan di dunia dan akhirat. Istiqamah adalah disiplin agama yang menganjurkan umatnya melakukan pekerjaan dan amalan berterusan.

Istiqamah adalah perkataan Arab bermakna terus diminta berdiri. Istiqamah dalam konteks ini merujuk kepatuhan, ketaatan dan ketekunan mengamal serta melaksanakan tugasan atas kepentingan agama serta ummah. Jelas, istiqamah sebagai disiplin adalah pelengkap penting dalam mencapai aspirasi yang dihasratkan.

Daripada Abi Amrah Sufyan Abdillah katanya: "Aku bertanya: Ya Rasulullah, ajar kepadaku mengenai Islam, perkataan yang tidak perlu aku bertanya seseorang pun selain daripadamu. Sabda Nabi SAW: Katakan aku beriman dengan Allah, kemudian istiqamah."

Namun keseluruhan makna yang dicadangkan mengenai istiqamah menjurus kepada terus menerus dalam kerja dan tugasan. Pemimpin yang beristiqamah melaksanakan tanggungjawab diamanahkan secara berterusan dan tidak bermusim.

Rasulullah SAW pernah ditanya amal yang disukai Allah. Baginda menjawab: "Amal paling disukai Allah adalah amal dilakukan secara rutin walaupun sedikit." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Tuntutan beristiqamah bukan saja menjadi kewajipan umat Islam, malah rasul dan nabi ditegaskan Allah supaya terus beristiqamah dalam menjalankan tugas serta kewajipan kerasulan dan kenabian mereka. Firman Allah bermaksud: "Maka beristiqamahlah engkau seperti engkau diperintahkan." (Surah Hud, ayat 112)

Allah mengingatkan Nabi Musa supaya terus beristiqamah ke jalan Allah serta tabah menghadapi cabaran dan ugutan Firaun. Firman Allah yang bermaksud: "Maka beristiqamahlah kamu berdua dan jangan kamu ikut jalan orang yang tidak tahu." (Surah Yunus, ayat 89)

Ibnu Taimiyyah dalam bukunya Al-Siyaasah as-Syar'iyyah pernah menegaskan kepemimpinan adalah amanah. Justeru, untuk memilih pemimpin tugas yang diamanahkan perlu dilaksanakan secara bijaksana. Pemimpin yang berkesan sentiasa istiqamah dalam perjuangan. Sifat pantang menyerah dan berterusan secara bersama bagi seorang pemimpin amat penting dan perlu diutamakan bagi memastikan gerak kerja tidak berciciran di tengah jalan. Pemimpin yang hilang daya, menjalankan tanggungjawab dan kegiatan secara bermusim ialah pemimpin yang tidak istiqamah. Apabila tiba masa memilih pemimpin, baru menunjukkan seolah-olah mereka bekerja.

Hakikatnya kedudukan pemimpin tidak ada bezanya dengan rakyatnya. Pemimpin tidak harus menganggap dirinya istimewa. Ia hanya orang yang didahulukan selangkah kerana mendapatkan kepercayaan melaksanakan tanggungjawab dan amanah.

Pemimpin yang baik memiliki sifat terbuka untuk dikritik. Mereka harus mendahului aspirasi rakyat dan terbuka menerima kritikan bersifat membina. Mereka tidak seharus menganggap kritikan sebagai alat pemusnah untuk menjatuhkannya oleh lawan.

Saidina Umar berkata: "Belajarlah sebelum kamu menjadi pemimpin". Maknanya, pemimpin perlu menimba pelbagai ilmu supaya sedia menghadapi kemungkinan yang datang. Pemimpin yang berterusan dengan amanah rakyat menjadi kunci kepada keyakinan serta kepercayaan orang bawahan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang pun pemimpin yang menguasai urusan kaum Muslimin, lantas tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk kebaikan mereka dan tidak jujur kepada mereka, melainkan dia tidak akan masuk syurga bersama mereka." (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam pemilihan kepemimpinan yang bersifat demokrasi, undi rakyat adalah kuasa penentu. Menggunakan wang untuk mendapat sokongan adalah mencabul hak demokrasi diamalkan.

Islam membenci pemimpin memberi wang (rasuah politik) dan mereka yang menerima wang). Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Semua jasad yang tumbuh daripada penghasilan yang haram, maka nerakalah yang lebih sesuai untuknya." (Hadis riwayat Tirmizi)

Pemimpin sejati sentiasa meletakkan dirinya berbakti untuk rakyat dan mengabdikan diri kepada Allah. Pemimpin perlu senantiasa memohon pertolongan Allah dan berbuat ihsan sesama manusia.

Umumnya al-Quran sudah memberi gambaran kriteria pemimpin yang harus dipilih, iaitu seperti ditegaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: "Dan sesungguhnya sudah Kami tulis dalam Zabur sesudah (sesudah Kami tulis dalam) Luh Mahfuzh, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-Ku yang salih." (Surah al-Anbiya', ayat 105)

Meletakkan pertimbangan iman dan akal dituntut ketika membuat pemilihan menentukan barisan kepemimpinan. Sikap untuk cuba sewajarnya mesti dikikis ketika membuat pemilihan. Renunglah masa depan ummah dan generasi akan datang. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." (Surah Muhammad, ayat 7)

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Amal Islam Hadhari (Damai)

Thursday, March 26, 2009

Nabi melaknat pemberi, penerima rasuah

Oleh Nik Salida Suhaila

Sifat tamak haloba meminggir hukum agama dalam melaksanakan urusan harian

SIFAT manusia sering pelupa, tentulah kita perlu sentiasa mengingatkan supaya tidak terus leka. Halangan dan rintangan dalam kehidupan kadangkala tidak tertanggung oleh sesiapa, apatah lagi wang ringgit di depan mata.

Itulah yang gawat dalam organisasi, akauntabiliti tidak dipandang lagi, kredibiliti sudah tidak bererti, yang tinggal hanyalah janji bakal dimungkiri. Hari ini, kepemimpinan dan pentadbiran goyah dengan amalan rasuah.

Ia adalah satu contoh amalan berbentuk 'mata pencarian' tidak halal dan daripada sumber haram sama sekali. Malangnya, ia berlaku di mana-mana saja lantaran kurangnya keinsafan segelintir manusia mengenai akibat memakan sesuatu yang tidak baik dan tidak berjaga-jaga mengenai keselamatan dirinya di akhirat kelak.

Suruhan Allah supaya kita mencari rezeki daripada sumber halal ada sebabnya. Amalan rasuah iaitu perbuatan memberi sogokan kepada seseorang sama ada dalam bentuk wang ringgit, imbuhan, perkhidmatan atau faedah lainnya untuk membolehkan sesuatu dihajati seseorang itu diperoleh adalah perbuatan dikeji Allah.

Mengambil harta orang lain dengan cara salah adalah perbuatan mengingkari perintah Allah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan janganlah kamu makan atau mengambil harta orang lain di antara kamu dengan jalan salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan atau mengambil sebahagian daripada harta manusia dengan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui salahnya." (Surah al-Baqarah, ayat 188)

Ia kerana perbuatan memberi sogokan untuk mendapatkan 'sesuatu' adalah sifat diwarisi daripada sifat syaitan, iaitu musuh kepada seluruh umat Islam di dunia. Implikasinya juga besar, iaitu manusia boleh berbohong, menyatakan yang salah dan menidakkan yang benar.

Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Rasulullah SAW juga melaknat orang memberi dan menerima rasuah. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Daripada Abdillah bin Amru: Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah." (Hadis riwayat At-Tarmizi)

Orang yang tidak bersyukur kepada Allah juga mudah mengikut jejak langkah syaitan durjana yang fungsinya menghancurkan keimanan umat Islam. Sifat memberi dan menerima rasuah contohnya adalah satu sifat tamak haloba yang meminggirkan hukum agama dalam menjalankan urusan harian.

Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Makanlah daripada benda yang baik, halal, yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika betul kamu hanya beribadat kepada Allah." (Surah al-Baqarah, ayat 172)

Satu-satunya tonggak boleh menghalang daripada berlakunya amalan rasuah dalam urusan harian adalah sifat amanah. Tidak semudah menyebutnya, amanah adalah sifat terpuji yang ditonjolkan Rasulullah SAW, khulafa' al-Rasyidin dan sahabat yang sentiasa mendampingi serta mengikuti akhlak Baginda.

Sikap amanah menjadikan kepemimpinan Rasulullah SAW diangkat sebagai kepemimpinan paling mulia untuk diteladani. Sifat pemimpin masa itu yang adil serta bijaksana mengatur strategi dakwah, sangat berkesan sebagai serampang dua mata kepada agama wahyu iaitu memimpin dan mendidik orang yang dipimpin.

Bukan sekadar memberi peringatan, Rasulullah SAW mendidik umat di bawah tadbirannya untuk mencontohi watak Baginda yang rendah diri tetapi besar hatinya, sikit harta tetapi banyak ilmunya, tenang bicara tetapi dalam maknanya dan kecil tanah jajahannya tetapi satu dunia dan akhirat ini sempadannya.

Kepemimpinan yang cemerlang itu menakutkan orang kafir Quraisy yang akhirnya menawarkan sesuatu kepada Rasulullah SAW supaya Baginda dapat bekerjasama dengan mereka tetapi ditolak.

Rasulullah SAW pernah ditanya bagaimana caranya supaya Allah mudah memakbulkan doa hambanya. Diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tabarani, "Daripada Saad bin Abi Waqas, ia berkata: Wahai Rasulullah serulah kepada Allah untuk menjadikan aku orang yang mustajab dengannya. Bersabda Rasulullah SAW: Wahai Saad, perbaikilah makananmu, nescaya kamu menjadi orang yang dikabulkan doanya. Demi jiwa Muhammad dalam genggaman-Nya, sesungguhnya seorang hamba yang memasukkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya, maka tidak akan diterima amal kebajikannya selama 40 hari. Dan barang siapa yang daging dalam badannya tumbuh daripada yang haram dan hasil riba, maka api neraka lebih layak baginya."

Seseorang pemimpin yang cemerlang dalam pentadbiran adalah paling amanah terhadap tanggungjawabnya dan tidak berkira mencurahkan bakti terhadap orang yang dipimpin. Kita boleh membayangkan dalam sebuah keluarga yang mempunyai suami atau bapa yang amanah, ia pasti kuat bekerja untuk mencari rezeki halal untuk isteri dan anak.

Isteri atau ibu yang amanah, tidak berkeluh kesah menjalankan tugas rumah tangga serta mengandung, melahir dan membimbing setiap cahaya mata dengan baik, sementara anak yang amanah tidak akan memungkiri janji kepada ibu bapa untuk menjadi insan terbilang.

Realitinya, kita boleh lihat bagaimana sebuah kehidupan tidak lagi sarat dengan sifat amanah, warganya pasti porak-peranda, kucar-kacir dan tidak mempunyai hala tuju yang jelas dalam menuju masa hadapan cemerlang.

Daripada Abi Hurairah, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila hilang amanah maka tunggulah kedatangan hari kiamat. Maka bertanya seorang lelaki: Bagaimana hilangnya amanah itu? Sabda Rasulullah SAW: Iaitu apabila sesuatu urusannya diserahkan kepada orang bukan ahlinya, maka tunggulah kerosakan dan kebinasaan." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Nilai, Negeri Sembilan.

Berdoa juga perlu mengikut adab serta syarat tertentu

DARIPADA Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Hai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima sesuatu melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan kepada orang mukmin seperti diperintahkan-Nya kepada rasul. Firman-Nya: Wahai rasul, makanlah makanan baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal salih. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah al-Mukminun, ayat 51)

Firman Allah lagi: Wahai orang beriman! Makanlah rezeki yang baik-baik yang kami rezekikan kepadamu. (Surah al-Baqarah, ayat 172). Kemudian Nabi SAW menceritakan mengenai seorang lelaki sudah lama berjalan kerana jauhnya perjalanan yang ditempuhnya sehingga rambutnya kusut-masai dan berdebu. Orang itu menadah tangannya ke langit dan berdoa: Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Padahal makanannya daripada barang haram, minumannya daripada yang haram, pakaiannya daripada yang haram dan dia diasuh dengan makanan haram. Maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya." (Hadis riwayat Muslim)

Berdoa itu tidak boleh dilakukan secara semberono (tidak berhati-hati) dan sembarangan, tetapi perlu kepada adab serta syarat tertentu. Orang yang berdoa sambil lewa dan menganggap berdoa itu adalah suatu yang remeh adalah orang doanya jarang dikabulkan sehingga kemudian timbul prasangka buruk kepada Allah.

Memakan makanan halal dan baik adalah satu bentuk ketaatan kepada Allah dalam memenuhi segala perintah-Nya. Maka apabila seseorang itu selalu taat kepada Allah dalam segala perkara dan sentiasa berada dalam kebenaran, Insya-Allah segala yang dimohon akan dikabulkan Allah.

Kita hendaklah berdoa dengan penuh keyakinan, harapan dan rasa takut. Merendahkan diri dengan suara lirih, tenang, tidak tergesa-gesa, penuh khusyuk dan tahu akan hakikat diminta. Ia berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut." (Surah al-A'raf , ayat 55)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorangpun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperoleh satu daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan doanya di dunia, disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan mencegahnya daripada musibah (bencana) serupa." (Hadis riwayat at-Tabrani)

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Wednesday, March 25, 2009

Peguam Syarie Menulis: Pemimpin dipilih perlu junjung ketinggian martabat agama Islam

http://peguamsyarie.org


KOMITMEN kepada Islam menjadi jati diri orang Melayu, tanpa Islam orang Melayu akan punah. - Gambar hiasan


Komitmen jadi penanda aras laksana tanggungjawab

PEMILIHAN kepemimpinan parti melihatkan pelbagai kemelut dan kontroversi tercetus. Namun penulis tidak berhasrat mencampuri urusan pemilihan kerana biarkanlah ahli parti menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Sebagai pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, penulis tidak dapat lari daripada bersemuka dengan ahli parti politik tidak kira daripada parti kerajaan mahupun pembangkang bagi membincangkan dan melontar idea memartabatkan Islam.

Bagaimanapun, dalam pemilihan kepemimpinan ini adalah penting pemimpin yang dipilih itu mempunyai komitmen tinggi kepada Islam yang menjadi jati diri orang Melayu. Tanpa Islam orang Melayu akan punah.

Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang berusaha menegakkan Islam dalam kepemimpinannya. Usaha yang dilakukan menjadi bukti komitmen seseorang itu terhadap Islam. Tidak perlulah diingatkan kedudukan istimewa Islam yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang bukan saja perlu dipertahankan malah dipertingkatkan lagi supaya menampakkan keindahan Islam sebagai sebuah tata cara kehidupan yang lengkap.

Kebelakangan ini kita melihat perkembangan positif apabila rakyat Malaysia mula mengambil berat dan peka terhadap hak diperuntukkan kepada mereka melalui undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Fenomena ini sangat baik kerana rakyat celik undang-undang adalah aset kepada perkembangan negara di samping tidak mudah diperkotak-katik orang yang ingin mengambil kesempatan terhadap mereka.

Ruangan kali ini cuba mengupas kedudukan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa yang tidak akan terjejas walaupun negara dalam keadaan darurat dan tidak aman.

Perkara ini jelas dalam perkara 150 (6a) menegaskan ada enam hak tidak boleh digugat walaupun negara dalam keadaan darurat iaitu hak berkaitan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa.

Secara tersirat, sudah tentu Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedudukan tinggi undang-undang itu berbanding undang-undang lain. Undang-undang itu menikmati kedudukan lebih tinggi dan tidak boleh diganggu-gugat melalui cara tidak diperuntukkan perlembagaan.

Hal ini termasuk Undang-Undang Pentadbiran Hukum Syarak, Undang-Undang Jenayah Syariah, Undang-Undang Keluarga Islam, Undang-Undang Tatacara dan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah. Oleh itu tiada sesiapapun boleh mempertikaikan undang-undang disebutkan.

Tidak keterlaluan dikatakan undang-undang Islam adalah lebih tinggi dan mendahului undang-undang lain dari sudut keutamaannya. Natijah daripada kedudukan tinggi ini, sudah sewajarnyalah jika ada pertelingkahan antara undang-undang Islam dan undang-undang lain, maka tafsiran yang memihak undang-undang Islam (yang dari segi kedudukannya lebih tinggi dari undang-undang lain) hendaklah dipakai.

Secara hipotesisnya, jika negara diisytiharkan darurat, semua undang-undang digantung pelaksanaannya, namun undang-undang Islam termasuk Undang-Undang Keluarga Islam masih berkuat kuasa.

Ini bermakna Mahkamah Syariah boleh beroperasi dan orang Islam masih boleh melaksanakan upacara akad nikah menurut Undang-Undang Keluarga Islam. Inilah keistimewaan diberikan Perlembagaan Persekutuan kepada undang-undang Islam.

Sebenarnya keistimewaan ini bukan hanya diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan. Sebelum Perlembagaan Persekutuan digubal, kedudukan Islam memang sudah gah di sisi masyarakat dan bukanlah perkara asing bagi penduduk negara ini.

Malah keistimewaan undang-undang Islam tidak pernah berganjak walaupun negara sudah dijajah beberapa penjajah selama ratusan tahun. Jika penjajah pun tidak berani menyentuh ketinggian undang-undang Islam, takkan selepas lebih 50 tahun negara merdeka dan diperintah anak watan, keutuhan undang-undang Islam diperlekehkan.

Seharusnya pendekatan yang diambil meningkatkan lagi kedudukan undang-undang Islam bagi mencakupi segenap lapangan kehidupan umat Islam. Adalah penting bagi rakyat bukan saja mengetahui hak mereka, malah memahami falsafah serta semangat perlembagaan mengikut kerangka dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan bukanlah matlamat tetapi hanya alat bagi kita mencapai keadilan dan kesepakatan antara rakyat. Ia adalah garis panduan bagi memudahkan rakyat memakmurkan negara.

Negara kita bukan bermula tatkala Perlembagaan Persekutuan diwujudkan tetapi kehidupan dan kesepakatan itu sudah ada jauh lebih dulu sebelum perlembagaan wujud.

Perlembagaan Persekutuan hanyalah mengesahkan susun atur yang disepakati antara rakyat negara ini. Ia adalah dokumen berharga dan manifestasi keharmonian rakyat. Perimeter digariskan Perlembagaan Persekutuan hendaklah dihayati kerana tanpanya negara mungkin goyah.

Berbalik kepada pemilihan Umno ini, penulis menyeru supaya pemimpin yang dipilih meletakkan keutamaan memartabatkan Islam sebagaimana yang dijunjung Perlembagaan Persekutuan. Keutamaan ini sepatutnya menjadi penanda aras kepada setiap pemimpin yang dipilih itu.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia
(PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.org

Iqra: Menyingkap teladan haiwan dalam al-Quran



Judul: Haiwan Teladan dari al-Quran
Penerbit: Pustaka Azhar
Penulis: Nor Azlin Japar
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM58.80 (12 buku)

ADA banyak cara untuk mendidik anak supaya mengikut perbuatan atau amalan baik dan salah satu daripadanya melalui pembacaan. Kisah menarik bukan saja boleh merangsang minat membaca malah, menggalakkan pencarian ilmu pengetahuan.

Himpunan 12 buku siri Haiwan Teladan dari al-Quran adalah bahan bacaan yang dicadangkan kepada ibu bapa sebagai kaedah membimbing anak melalui penceritaan. Ia kerana kisah dan teladan selalunya mudah diterima sebagai fakta benar oleh kanak-kanak.

Buku mengisahkan haiwan yang disebut dalam al-Quran seperti ular, burung merpati, lembu betina dan ikan menyingkap keistimewaan mereka dalam perjuangan menegak agama Allah serta teladan boleh dicontohi anak-anak.

Buku ini menggunakan bahasa mudah difahami dengan ilustrasi menarik yang pastinya akan mendorong kanak-kanak untuk mengetahui kisah haiwan yang menjadi fokus cerita.

Kepintaran dan kebijaksanaan haiwan itu dipaparkan dalam buku cerita Lembu Betina yang Suci, Merpati Hidup Semula, Orang yang Tidak Beriman Menjadi Beruk, Tongkat Menjadi Ular, Kisah Unta Betina, Mengikut Perbuatan Gagak dan Gajah Raja Abrahah.

Buku lain ialah Hukuman Nabi Daud, Pengorbanan Ikan Nun, Anai-anai Mengerit Tongkat Nabi Sulaiman, Qitmir Anjing yang Cerdik dan Jasa Burung Pipit.

Selain himpunan buku Haiwan Teladan dari al-Quran, Pustaka Azhar turut menerbitkan Himpunan Kisah Perjuangan Nabi iaitu 16 buku mengenai nabi dan rasul yang berdepan dengan cabaran serta tentangan musuh mereka.

Kisah yang dipaparkan bukan asing bagi kanak-kanak serta orang dewasa kerana ia adalah petikan sejarah yang sudah sebati dengan kehidupan umat Islam. Bagaimanapun, gaya persembahan buku dengan bahasa mudah dan gambar menarik memberi kelainan.

Setanding dengan buku cerita rakyat yang menjadi kepercayaan masyarakat, kelebihan Himpunan Kisah Perjuangan Nabi ialah kisah diketengahkan penuh dengan teladan untuk menyedarkan generasi hari ini sejarah perkembangan Islam.

Kesanggupan nabi dan rasul menghadapi tentangan musuh mereka membuktikan keimanan teguh kepada Allah dan ini perlu diberi penekanan dalam mendidik anak hari ini terutama ketika berhadapan pelbagai cabaran.

Set yang dijual pada harga RM78.80 itu antara lain menceritakan kisah Nabi Nuh dengan kapal besarnya, Nabi Adam dan korban Habil dan Qabil, Nabi Ibrahim berdepan kezaliman Raja Namrud serta kisah kedegilan penduduk bandar Sadum menerima ajaran Nabi Lut.

Kisah diketengahkan sesuai dibaca semua lapisan umur kerana walaupun ditujukan kepada kanak-kanak, perjalanan hidup nabi sewajarnya sentiasa diulang baca untuk mende-katkan kita kepada perjuangan mereka mengembangkan agama Allah.

Kewajipan berdakwah jadi tiang tegakkan Islam

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Ajaran Nabi Muhammad meliputi semua masyarakat atau bangsa menghuni alam semesta

AJARAN dan hukum hakam antara rasul ada beberapa perbezaan, namun perbezaan ajaran itu hanyalah daripada segi syariatnya selaras perubahan sikap manusia, situasi dan zaman ketika mereka diutuskan.

Apabila Rasulullah SAW diutus sebagai nabi akhir zaman, maka agama yang dibawa Baginda menjadi akidah, syariat, ikutan dan sistem yang sempurna lagi lengkap untuk seluruh umat manusia. Justeru, kewajipan menyeru manusia adalah bersifat sejagat dan menyeluruh kerana Islam adalah sumber cahaya kepada semua orang tanpa mengira warna kulit, bahasa atau bangsa.

Islam tidak terbatas kepada satu umat atau kabilah saja, lebih-lebih lagi Rasulullah SAW tidak diutuskan untuk bangsa Arab semata-mata, malah Baginda diutus untuk orang Arab dan juga Ajam (bukan berbangsa Arab).

Baginda SAW adalah nabi dan rasul kepada manusia serta jin, jadi perutusan Muhammad yang menjadi penutup kepada ajaran sekalian rasul menjadikan ajarannya meliputi semua masyarakat atau bangsa yang menghuni alam semesta ini.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Surah al-Anbia', ayat 107)

Perlu ditegaskan bahawa tugas berdakwah kepada Islam ini adalah antara kewajipan yang dituntut kepada umat Islam dalam usaha untuk menegakkan kalimah Allah. Perintah kewajipan berdakwah ini banyak disebut dalam al-Quran.

Allah berfirman yang bermaksud: "Serulah ke jalan tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik." (Surah al-Nahl, ayat 125)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Adakah ucapan yang baik itu melainkan mereka yang menyeru kepada Allah dan berbuat kebaikan seterusnya berkata, 'sesungguhnya aku daripada kalangan orang beriman'." (Surah Fussilat, ayat 33)

Al-Sheikh Muhammad Amin al-Kurdi dalam bukunya Tanwir al-Qulub menjelaskan, ayat itu menjadi dalil yang jelas kepada kewajipan menyeru dan menegah. Kewajipan berdakwah menjadi tiang atau paksi yang menegakkan binaan Islam, menyempurnakan peraturannya serta mengangkat martabat Islam hingga ke puncaknya.

Lebih menarik, berdakwah kepada Allah adalah amalan kebaikan dan kebajikan yang diperintahkan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang menyeru kepada petunjuk maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya, Allah tidak mengurangkan sedikit pun pahala daripadanya. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan maka dia akan berdosa seperti dosa orang yang melakukannya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dosa itu daripadanya." (Hadis riwayat Muslim)

Menyedari kepentingan tugas berdakwah kepada Allah di bahu setiap umat Islam, Sayyid Qutub dalam kitab tafsirnya Di Bawah Bayangan al-Quran ada menegaskan, tugas dakwah satu amanah yang cukup getir dan besar tanggungjawabnya.

Seluruh ruang lingkup kehidupan manusia bergantung sepenuhnya kepada hasil gerak kerja dakwah yang akan menentukan hala tuju hidup manusia, maju dan mundurnya bangsa, jatuh dan bangunnya masyarakat dan juga bakal menentukan nasib kesudahan umat.

Apabila umat betul-betul melaksanakan perintah Allah dengan berdakwah ke arah kebenaran dan keadilan Islam, maka mereka sudah menempa era gemilang dalam sejarah tamadun manusia. Sebaliknya, jika umat melalaikan tugas dakwah, mereka menempah tiket kesengsaraan dan penyesalan yang tiada titik penghujungnya di dunia dan akhirat.

Sudah tentu dosa dan kelalaian itu ditanggung oleh orang yang sudah dipertanggungjawabkan dengan tugas dakwah tetapi dia tidak melaksanakan amanah itu.

Ini bertepatan dengan perumpamaan yang digambarkan Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud: "Perumpamaan bagi seorang yang menegakkan hukum Allah dan membabitkan diri dalam tugas itu adalah seumpama satu kaum yang berkongsi menumpang sebuah kapal. Ada sebahagian mereka yang menumpang di sebelah atas kapal dan sebahagian lain lagi menumpang di sebelah bawahnya. Penumpang yang berada di bawah kapal apabila berhajatkan air, mereka akan naik ke atas lalu mengambil air itu. Lantas mereka berkata: Alangkah baiknya kalau kita menebuk lubang di bawah kapal ini, lalu kita mendapat air dengan mudah tanpa menyusahkan penumpang di sebelah atas.

"Justeru, jika mereka dibiarkan saja dan menebuk lubang di bawah kapal itu, nescaya semua penumpang kapal akan tenggelam binasa. Sebaliknya jika penumpang di sebelah atas menegur dan menghalang penumpang di bawah kapal berbuat demikian, nescaya mereka dan semua penumpang kapal akan selamat." (Hadis riwayat Bukhari).

Ada kalanya timbul juga persoalan di benak fikiran umat Islam dewasa ini iaitu apakah tugas berdakwah ke arah kebenaran ini hanya khusus kepada kelompok ulama yang ikhlas kerana mereka adalah pewaris nabi.

Orang ramai tidak dihalang menjalankan dakwah, malah sesiapa saja daripada kalangan umat Islam tidak kira apa kedudukan dan pangkatnya, boleh berdakwah dengan cara menunjukkan contoh teladan yang baik.

Apatah lagi Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sampaikanlah apa-apa saja yang diterima dariku walaupun sepotong ayat." (Hadis riwayat Bukhari).

Bersama YaPEIM: Kewangan kukuh faktor kejayaan perniagaan, berdaya saing

Oleh Prof Madya Dr Noor Azman Ali

KEMAMPUAN kewangan sudah dibuktikan sebagai salah satu faktor penentu kejayaan dan kelestarian sesebuah perniagaan. Kemampuan itu meliputi keupayaan mendapatkan, membelanja, mengurus dan mengawal sumber kewangan dengan berkesan.

Melainkan usahawan mempunyai sumber kewangan yang kukuh, memikirkan dan berusaha untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi memulakan perniagaan adalah tugas paling penting sebelum boleh memikirkan perancangan keseluruhan perniagaan.

Mendapatkan modal memulakan perniagaan memang penting, tetapi ia tidak menjamin yang perniagaan itu akan terus menjana sumber kewangan untuk meneruskan kehidupan. Ini bermakna, sumber kewangan yang perlu di sediakan adalah peruntukan sebelum memu-lakan perniagaan, melancarkan perniagaan, kelengkapan melangsungkan perniagaan dan kemampuan penghasilan untuk terus berdaya tahan.

Modal operasi yang lazim diperlukan untuk kelangsungan perniagaan termasuk upah dan gaji, sewaan, belian bekalan, utiliti, pengiklanan, susut nilai dan bayaran faedah. Adalah dinasihatkan bagi perniagaan kecil perbelanjaan permulaan perlu mampu bertahan dengan modal operasi selama enam bulan.

Selain modal sendiri, pengusaha perlu mampu mendapatkan bantuan kewangan daripada sumber yang berkenaan. Menurut kajian, 50 peratus mendapatkan bantuan institusi kewangan, dua belas peratus pinjaman persendirian dan tiga peratus pinjaman daripada bukan kenalan. Malah 41 peratus menggunakan pinjaman peribadi termasuk menggunakan kad kredit untuk membiaya perniagaan.

Harta peribadi seperti simpanan (termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, simpanan peribadi, elaun pekerjaan), gadaian semula hartanah, harta peribadi dan kad kredit. Keadaan ini mungkin perlu bagi peniaga yang tidak mempunyai harta cagaran atau sejarah kredit yang menyukarkan membuat pinjaman.

Peniaga perlu menunjukkan penyata kewangan kepada pihak yang ditemui untuk mendapatkan pembiayaan perniagaan seperti Penyata Kira-kira, Penyata Untung Rugi, Penyata Aliran Tunai dan Nota Penyata Kewangan. Penyata itu perlu disediakan mengikut prinsip perakaunan yang secara umumnya diterima untuk menggambarkan prestasi sesebuah aktiviti perniagaan pada tempoh tertentu.

Penyata kira-kira menunjukkan aset, tanggungan dan ekuiti syarikat di mana aset dan tanggungan semasa ditunjukkan berasingan dengan aset dan tanggungan jangka panjang. Maklumat ekuiti pula akan mengenalpasti sama ada syarikat berkenaan milik individu, tanggungan terhad atau di senarai awam.

Penyata untung rugi membentangkan prestasi keuntungan perniagaan berdasarkan jumlah jualan dan perbelanjaan bagi tempoh tertentu, dan boleh juga dibuat perbandingan antara dua tempoh. Penyata aliran tunai boleh disediakan dalam beberapa format bagi melaporkan maklumat tunai yang dijana dan dibelanjakan melalui aktiviti operasi, pelaburan dan pembiayaan dalam tempoh dinyatakan.

Perkara penting dalam pengurusan kewangan perniagaan adalah pembuatan keputusan perniagaan seperti pembelian, pelaburan, pembiayaan, penetapan harga dan perundingan perniagaan pastinya mempunyai implikasi kewangan.

Di samping itu, dalam urusan harian, penyimpanan rekod amat penting bagi memastikan penyata dapat disediakan pada tempoh ditetapkan. Usaha Pengurusan Risiko (ERM) adalah proses berterusan dalam memperkemaskan entiti keupayaan pengurusan risiko melalui strategi perniagaan, sumber manusia, proses, teknologi dan pengetahuan bagi menjadi lebih berkemampuan menjangka dan berkesan dalam menilai dan mengurus ketidakpastian.

Pendekatan sistematik dalam ERM dapat menilai kemampuan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengurus:

# Gelagat risiko dengan menetapkan objektif dan membangunkan mekanisma mengurus risiko berkaitan, memilih tindak balas risiko sama ada mengelak, mengurang, berkongsi atau menerima risiko;

# Menyedari dan kemampuan untuk mengenalpasti kemungkinan ancaman dan menetapkan tindak balas untuk mengurangkan kejutan dan kerugian atau kos luar jangkaan;

# Menyedari kemungkinan peluang, menetapkan tindakan dan menyediakan sumber berkaitan diperlukan.

Keseluruhannya, ERM membantu pengurusan untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan memperbaiki prestasi perniagaan. ERM juga membantu peniaga bersedia menghadapi kemungkinan ancaman menjejaskan perniagaan, mengambil tindakan untuk menghindari masalah luar jangkaan dan bersedia bertindak balas jika ancaman tidak dapat dielakkan.

Pihak memberi pinjaman mengenakan syarat tertentu bagi memelihara kepentingan syarikat daripada mengalami kerugian.

Oleh itu, nasihat umum kepada pengusaha perlu mendapatkan sumber pembiayaan supaya bersifat amanah, berintegriti, menjaga kedudukan kewangan baik, merancang perniagaan dengan pengetahuan serta kemahiran dan mendalami ilmu pengurusan risiko.

Pengusaha yang memerlukan pembiayaan perlu menunjukkan kemampuan untuk menjana pendapatan, menguruskan perniagaan dengan baik dan berkemampuan membayar balik pinjaman yang dijanjikan atau memberi pulangan diharapkan pelabur.

Kertas kerja Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Noor Azman Ali, pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) di PWTC, baru-baru ini