Thursday, April 30, 2009

Menonjolkan kembali ikatan persaudaraan sesama Islam

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh


UMAT Islam kini perlu bersatu menentang keganasan serta propaganda yang dicetuskan musuh.


Umat perlu bersatu elak terpedaya dengan strategi musuh cuba gagalkan perpaduan ummah

RUANG yang masih lapang, masa masih bersisa, peluang sudah terbentang dan doa sekalian umat manusia supaya sesama Muslim kembali hidup bersaudara bukan sekadar demi perpaduan dan kesejahteraan, tetapi lebih daripada itu.

Benar, Islam adalah agama mementingkan keamanan, redup hati dan sempurna sahsiah, tetapi ia bukan tuntutan ke atas seorang individu saja, tetapi buat semua.

Hari ini pertelingkahan serta perbalahan menjadi adat dan norma kehidupan lantaran manusia mula mengetepikan rasa kasih sayang sesama insan. Mengejar impian yang fana, menggadai untung nyata, mempertaruhkan janji luar biasa kerana tamak dan haloba lalu semangat persaudaraan digadai begitu saja adalah sikap tidak terjaga sedangkan Islam tidak hanya menganjurkan hubungan baik dengan Allah semata-mata, tetapi sesama manusia dan makhluk lainnya.

Allah berfirman bermaksud: "Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia dan mereka kembali mendapat kemurkaan daripada Allah dan mereka diliputi kerendahan. Yang demikian itu kerana mereka kufur dengan ayat Allah dan mereka membunuh nabi tanpa alasan yang benar. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas." (Surah Ali-Imran, ayat 112)

Islam menjamin asas persaudaraan dengan menyediakan hikmah pembinaan silaturahim bukan saja melalui hubungan kekeluargaan yang bermula dengan ikatan perkahwinan dan keturunan, tetapi kasih sayang sesama saudara seagama kerana ia memudahkan urusan dunia menuju ke akhirnya.

Asas persaudaraan dalam Islam adalah ikatan akidah teguh kepada keEsaan-Nya. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, oleh itu damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Justeru, adanya hak yang perlu dipelihara seseorang Muslim terhadap saudara seagama menunjukkan betapa Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna. Bahkan hak sama dikanunkan manusia untuk dijadikan peraturan dan perundangan supaya tiada sesiapa teraniaya.

Malah, Barat turut mendakwa hak asasi manusia adalah sesuatu yang dibina daripada norma kehidupan sejak azali yang bermula melalui hubungan sosial secara tidak terancang.

Kita dapat membayangkan betapa kalutnya dunia jika hak sebagai manusia tidak terbela, apatah lagi dunia hari ini tidak bersempadan, menjadikan fitnah dan buruk sangka mudah tersebar oleh sesiapa mengejar untung dunia. Sedangkan Islam menitipkan hikmah persaudaraan supaya tiada siapa dizalimi kerana kita semua adalah makhluk dan hamba tiada keistimewaan di sisi Dia melainkan yang bertakwa saja.

Ancaman demi ancaman ke atas umat Islam yang semakin melampaui batas kesabaran sebenarnya patut ditepis dengan menonjolkan kekuatan persaudaraan sesama kita supaya kuantiti dan kualiti menjadi nilai tambah terhadap keperkasaan agama Islam itu sendiri, bukannya dilemahkan dengan perbezaan tidak membawa kebaikan atau lencongan yang sengaja dicari kerana ego sendiri.

Sifat mazmumah yang membelenggu diri seperti hasad dengki, buruk sangka, balas dendam, takbur, riak, bongkak serta tidak reda dengan qada dan qadar Allah adalah punca putusnya silaturahim sesama Muslim hingga menghalang musyawarah ke arah penyelesaian sedangkan itulah dianjurkan al-Quran dan sunnah.

Umat Islam jauh terkebelakang berbanding bangsa lain yang mengejar peluang, bukan menjatuhkan sesama sendiri hingga akhirnya tiada siapa menang, malah diperolokkan dan dihina secara terang-terangan.

Baginda Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Jauhilah kamu akan sifat dengki kerana sifat dengki akan memakan kebaikan kamu seperti api memakan kayu atau memakan rumput." (Hadis riwayat Abu Daud)

Strategi demi strategi untuk menggagalkan persaudaraan sesama Muslim mengakibatkan umat Islam terpedaya, keamanan dicita lebur begitu saja, bahkan kehidupan aman sentosa menjadi kacau-bilau kerana propaganda begitu halus dicipta.

Lalu Islam yang sempurna dilihat orang lain sebagai agama menyebabkan umatnya bertelagah dan mencari identiti yang tidak tahu di mana letaknya. Penganut agama lain pula menggeleng kepala melihat kemunduran negara Islam di dunia yang hingga hari ini masih dibelenggu kesusahan.

Mereka pula menggembleng fikiran dan tenaga tanpa berkira waktunya untuk memastikan dunia mereka aman dan damai serta dipelihara. Seharusnya ayat Allah dijadikan panduan dalam kehidupan umat Islam.

Firman Allah bermaksud: "Dan orang yang beriman lelaki dan perempuan setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." (Surah at-Taubah, ayat 71)

Jika diselami aspek pembinaan masyarakat Islam, Baginda Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh menjalin hubungan sesama Islam tanpa mengira latar belakang keturunan, warna kulit dan kedudukan.

Sejarah juga membuktikan bahawa belum pernah berlaku penyatuan umat sehebat kejayaan dilakukan Rasulullah SAW sehingga berjaya membina ketamadunan ummah dalam tempoh singkat.

Bukan itu saja, golongan bangsawan turut dipersaudarakan dengan golongan hamba dan mereka sanggup berkorban harta, jiwa raga, hasil perasaan kasih sayang yang dipupuk, hingga benar-benar menusuk dalam sanubari sahabat.

Malah, setiap sahabat dapat merasai mengenai nikmat persaudaraan serta perpaduan dibina berteraskan agama Allah. Hal ini dapat dilihat daripada sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan di mana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain." (Hadis riwayat Muslim)

Justeru, perlu diingat kebatilan terancang pasti dapat meruntuhkan hak yang tidak diperteguhkan dengan kukuh di atas paksinya. Jika asasnya umat Islam yang menjulang panji kebenaran dan mereka berpecah-belah, tiadalah lagi upaya melainkan menunggu masanya saja.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Melakukan kerja halal seperti jaga maruah agama

Oleh Amran Zakaria

Pekerja curi masa ketika di pejabat, buat kerja peribadi akan diperhitung di akhirat


MENJALANKAN kerja yang halal bermakna membawa rezeki diberkati untuk menanggung kehidupan sendiri mahupun keluarga. Jauhilah daripada kerja haram dan subahat kerana kelak pintu keberkatan rezeki akan tertutup.

Daripada Anas bin Malik meriwayatkan, seorang lelaki daripada kaum Ansar datang menemui Rasulullah SAW dan meminta sesuatu kepada Baginda. Tiba-tiba Rasulullah SAW bertanya lelaki itu: "Adakah sesuatu di rumahmu? Jawabnya: Ada, ya Rasulullah. Saya mempunyai sehelai kain tebal, yang sebahagian kami gunakan untuk selimut dan sebahagian kami jadikan alas tidur. Selain itu, saya juga mempunyai sebuah mangkuk besar yang kami guna untuk minum."

Rasulullah SAW meminta lelaki itu membawa barang berkenaan dan menyerahkannya kepada Baginda. Setelah barang diterima, Rasulullah SAW melelongnya kepada sahabat yang hadir pada saat itu, Baginda menawarkan pada siapa yang mahu membeli.

Salah seorang sahabat menawar kedua barang itu dengan harga satu dirham. Tetapi Rasulullah SAW menawarkan kepada mereka barangkali ada yang sanggup membeli lebih daripada satu dirham. Kemudian ada yang menawarkan dua dirham dan Rasulullah SAW menyerahkan kedua barang itu kepada si pembeli dan menerima wangnya.

Wang itu lalu Baginda SAW serahkan kepada lelaki Ansar berkenaan, seraya berkata: "Belikan satu dirham untuk keperluanmu dan satu dirham lagi belikan sebuah kapak dan engkau kembali lagi ke sini." Tidak lama kemudian lelaki itu kembali menemui Rasulullah SAW dengan membawa kapak.

Rasulullah SAW melengkapi kapak itu dengan membuatkan gagangnya terlebih dulu, lantas berkata, "Pergilah mencari kayu bakar, lalu hasilnya kamu jual di pasar dan jangan menemui aku sampai dua pekan." Lelaki itu taat melaksanakan apa yang disaran Rasulullah SAW.

Selepas dua pekan berlalu lelaki itu menemui Rasulullah SAW melaporkan hasil kerjanya. Dia memberitahu Rasulullah SAW bahawa selama masa itu dia berjaya memperoleh wang sebanyak sepuluh dirham. Sebahagian perolehan digunakan untuk membeli makanan dan pakaian.

Selepas mendengar kata-kata lelaki Ansar itu, Rasulullah SAW bersabda: "Pekerjaanmu ini lebih baik bagimu daripada kamu datang sebagai pengemis, yang akan membuat cacat di wajahmu kelak pada hari kiamat."

Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud: "Demi Allah, jika seseorang di antara kamu membawa tali dan pergi ke bukit untuk mencari kayu bakar, kemudian dipikul ke pasar untuk dijual, dengan bekerja itu Allah mencukupi keperluanmu itu lebih baik daripada ia meminta-minta kepada orang lain." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Bekerja dalam Islam bukan sekadar memenuhi keperluan untuk belanja mengisi perut bahkan bertujuan memelihara harga diri dan martabat kemanusiaan yang seharusnya dipertahankan. Islam menghargai orang yang bekerja dengan tangannya sendiri.

Rasulullah SAW pernah ditanya: "Pekerjaan apakah yang paling baik? Beliau menjawab: Pekerjaan terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua jual beli yang dianggap baik." (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Seorang yang bekerja dan bersungguh-sungguh dalam pekerjaannya akan bertambah martabat serta kemuliaannya. Sebaliknya, mereka yang berat tulang dan lebih selasa menganggur, memberi imej buruk dan negatif pada pandangan serta penglihatan orang lain.

Diceritakan pada suatu hari Saidina Umar Al-Khattab melihat Zaid bin Maslamah sedang menanam tanaman di tanahnya, maka berkatalah Saidina Umar kepada Zaid: "Benar sekali perbuatanmu itu. Engkau tidak menggantungkan hidupmu kepada orang lain adalah cara terbaik untuk memelihara agamamu dan amat mulia untuk menjaga martabat dirimu."

Saidina Umar juga pernah memberitahu: "Sesungguhnya aku memandang seorang pemuda, maka aku kagum kepadanya. Lantas aku bertanya kepadanya apakah pekerjaan yang dilakukannya. Lalu dijawab tidak, maka jatuh nilai pemuda itu pada pandanganku."

Memang benar kehidupan sebagai buruh sangat berbeza dengan kehidupan eksekutif. Secara umumnya buruh dilihat memerah keringat sementara eksekutif bertungkus-lumus memerah dan mengeluarkan idea.

Jika semuanya itu dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan amanah nescaya ia akan menghasilkan produk yang sangat bermanfaat dari segi masa, kos dan tenaga sementara ruang lingkup kehidupan pula akan lebih sejahtera.

Di samping itu, kita hendaklah mengetahui setiap tugas atau kerja yang diberi Allah SAW kepada seseorang itu adalah menurut kemampuan mereka seperti firman Allah yang bermaksud: "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan apa yang terdaya olehnya." (Surah al-Baqarah , ayat 286)

Ayat itu menegaskan tidak ada sebab bagi seseorang pekerja itu mengeluh dan mengatakan bahawa tugasnya terlalu berat dan sukar. Seseorang pekerja itu boleh menyelesaikan segala tugas jawatannya, melainkan pekerja itu sendiri tidak mahu menunaikan tanggungjawabnya.

Bagi pekerja yang punya prestasi kerja tinggi, komited, menjaga akhlak, masa dan bermatlamat jelas untuk kepentingan keluarga, agama dan majikan, wajar dihargai serta disanjung tinggi. Islam memandang tinggi kepada golongan pekerja seperti ini.

Apalagi banyak antara mereka yang melakukan kerja dari subuh hingga larut malam bagi tujuan memenuhi keperluan keluarganya. Atas niat yang betul, mereka akan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

Pekerja mahu pun majikan wajib mentaati dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan penuh amanah. Seorang buruh wajib bekerja sesuai dengan akad yang disepakati bersama begitu juga majikan memastikan pekerja mendapat haknya.

Jangan sekali-kali kita lupakan bahawa bekerja mengikut kaedah Islam adalah berbeza mengikut pendekatan Barat. Dalam Islam, pekerjaan halal yang dipilih akan meletakkan status pelakunya pada tahap yang tinggi sehingga pahala diperoleh seperti pahala orang yang berjihad di jalan Allah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Barang siapa bekerja untuk anak isterinya melalui jalan yang halal, maka bagi mereka pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah." (Hadis riwayat Bukhari)

Kita hendaklah insaf dan sedar bahawa setiap kegiatan dan pekerjaan di dunia ini akan dihitung di akhirat nanti. Firman Allah yang bermaksud: "Tiap-tiap diri bertanggungjawab terhadap apa yang sudah diperbuatnya." (Surah al-Muddaththir, ayat 38)

Kita tidak boleh mengambil peluang mencuri masa dengan membuat kerja peribadi dalam waktu pejabat, melengah-lengahkan bayaran kepada pemborong, meluluskan permohonan yang sepatutnya ditolak kerana kita akan dihukum di akhirat kelak walaupun terlepas hukuman di dunia.

Sebaliknya, berbahagialah kita di dunia dan akhirat jika kita melaksanakan tugas menurut tuntutan Islam dan bergembiralah mana-mana pekerja yang mendapat keredaan Allah dengan ganjaran pahala.

Islam benci kepada mereka yang layak bekerja tetapi menjadi pengemis atau penganggur sementara yang mempunyai tanggungjawab perlu melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya dan amanah kerana Allah SWT.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Dewan Amal Islam Hadhari (Damai)

Hak Muslim : Isteri dicerai talak tiga berhak tuntut nafkah tempat tinggal

Soalan:

MERUJUK penulisan mengenai perceraian talak tiga pada ruangan ini minggu lalu, saya ingin bertanya mengenai hak isteri yang diceraikan dengan talak tiga. Sebagai isteri yang diceraikan talak tiga, bolehkah saya menuntut nafkah edah.

Bekas isteri,
Hulu Selangor

Jawapan:

Isteri yang diceraikan, walaupun dengan talak tiga masih berhak mendapat nafkah edah, tetapi nafkah tempat tinggal saja. Tempat tinggal adalah menjadi hak kepada semua wanita yang bercerai tidak kira cerai mati, talak rajie, talak bain atau fasakh. Kecuali jika isteri disabitkan sebagai isteri nusyuz dan isteri masih kecil atau isteri tidak disetubuhi.

Firman Allah bermaksud: "Tempatkanlah isteri (yang menjalani edahnya) di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu." (Surah at-Talaq, ayat 6)

Tujuan edah tempat tinggal adalah untuk meringankan beban ditanggung bekas isteri akibat perceraian. Dengan kata lain, apabila berlaku perceraian, bekas isteri mempunyai kediaman buat sementara waktu sebelum berpindah ke tempat lain.

Pada waktu sama, bekas isteri dapat membuat persediaan awal untuk menghadapi kehidupan baru tanpa bantuan bekas suami. Edah tempat tinggal juga bertujuan anak hasil perkahwinan mempunyai tempat tinggal sesuai, meskipun ibu bapa mereka sudah berpisah.

Isteri berhak tinggal di rumah didiami ketika berlaku perceraian walaupun rumah itu hak suami. Jika suami tidak mempunyai rumah, isteri boleh memohon suami menyewakan rumah sesuai supaya isteri boleh mendiaminya semasa dalam tempoh edah.

Dalam keadaan suami yang tidak mempunyai rumah sesuai untuk ditempatkan bekas isteri yang dalam edah dan isteri meminta dihantar ke rumah ibu bapanya lalu suami bersetuju, maka bapa atau ibu kepada isteri berhak mengenakan sewa rumah ke atas suami selagi isteri belum habis edahnya.

Seksyen 72 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan:

l Seseorang perempuan yang diceraikan berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal semasa dia berkahwin selagi suami tidak mendapatkan tempat tinggal lain yang sesuai untuk isteri.

l Hak tempat tinggal yang diperuntukkan dalam seksyen kecil (1) akan terhenti jika tempoh edah sudah tamat atau jika tempoh penjagaan anak sudah tamat atau jika perempuan itu berkahwin semula atau jika perempuan itu melakukan perbuatan keji yang nyata dan sesudah itu suami boleh memohon mahkamah supaya dikembalikan rumah itu kepadanya.

Seksyen itu menjelaskan suami masih bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal sesuai untuk isterinya dalam tempoh edah. Hak tempat tinggal akan terhenti apabila isteri memenuhi salah satu daripada kriteria di atas. Selepas itu, suami boleh menuntut kembali rumah itu.

Hak tempat tinggal dalam edah ini perlu dituntut bekas isteri dalam tempoh seberapa segera yang mungkin, selepas berlaku perceraian. Jika isteri tidak berbuat demikian, hak itu akan gugur dan tidak menjadi hutang kepada bekas suami.

Merujuk kitab Kifayatul Akhyar, disebut yang maksudnya: "Berlalu sebahagian masa daripada edah atau keseluruhannya dan isteri yang diceraikan tidak menuntut hak tempat tinggal, maka gugurlah hak itu dan tidak menjadi hutang ke atas suami yang menceraikan isterinya, seperti dinaskan as-Syafie."

Di sinilah letaknya keindahan dan kesyumulan Islam. Apa pun keadaan berlaku kepada puan, janganlah sesekali salahkan Islam. Islam itu baik, cuma penganutnya saja yang tidak memahami serta melaksanakan Islam seperti sepatutnya.

Jika suami tidak menyediakan tempat tinggal puan semasa tempoh edah, saya nasihatkan puan bersegeralah ke Mahkamah Rendah Syariah tempat puan bermastautin, failkan tuntutan nafkah edah dengan jumlah kiraan yang wajar untuk peruntukan tempat tinggal.

Jawapan disediakan Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang. Sila layari http://www.peguamsyarie.org

Wednesday, April 29, 2009

Hak ibu bapa tak terputus jika anak peluk Islam

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Keputusan jemaah menteri belum jadi peraturan, sedia terima pandangan

KEPUTUSAN Kabinet bahawa kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas seorang daripada pasangan itu menukar agamanya, diterima dengan rasa terkejut dan perasaan cemas 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Keputusan Kabinet itu mengundang pelbagai reaksi termasuk daripada NGO Islam, mufti serta pakar perundangan Islam. Dalam kenyataan bersama serta beberapa pandangan mufti dan badan profesional, menyarankan keputusan itu dikaji semula kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, keputusan Mahkamah Persekutuan serta hukum syarak.

Keputusan Kabinet mengecewakan NGO Islam kerana ia diambil tanpa perbincangan dengan pihak yang mungkin terkesan daripada pengumuman. Sebagai NGO Islam yang terbabit secara langsung dengan masalah berkaitan proses pemelukan Islam oleh penganut agama lain, sewajarnya maklum balas mereka diambil kira.

Hakikatnya, bantahan NGO terhadap keputusan itu bersandarkan kepada alasan merujuk kepada Perlembagaan Malaysia serta Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505).

Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan: "Agama seseorang di bawah 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya". Berdasarkan peruntukan itu persetujuan satu pihak memadai dalam penentuan status agama kanak-kanak bawah umur 18 tahun, atau ditetapkan penjaganya jika kanak-kanak itu tidak mempunyai ibu bapa.

Perkataan 'parent or guardian' pada perkara 12 (4) bermaksud ibu atau bapa atau penjaga, bukan ibu bapa atau penjaga. Ia bermakna ibu atau bapa sudah cukup untuk menentukan status agama anak.

Peruntukan itu diterjemahkan dalam kes Teoh Eng Huat lawan Kadi Pasir Mas (1990) 2 MLJ 300 dan keputusan Mahkamah Tinggi (1986) 2 MLJ 228. Dalam kes itu, seorang bapa membawa tindakan terhadap kadi yang mengislamkan anak perempuannya yang dilahir dan dibesarkan sebagai penganut Buddha ke mahkamah.

Seseorang belum mencapai 18 tahun tidak ada hak untuk memilih agamanya sendiri tanpa kebenaran ibu atau bapa atau penjaganya. Dalam membuat keputusan, mahkamah merujuk kepada laporan suruhanjaya dan menekankan soal keharmonian agama.

Perlu ditegaskan walaupun Islam ditetapkan agama Persekutuan mengikut Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan, hak penganut agama lain tetap dijaga mengikut Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Penentuan status agama anak apabila ibu bapa memeluk Islam perlu dilihat kepada aspek hukum syarak dan perundangan Islam. Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) memperuntukkan kanak-kanak belum mencapai umur 18 tahun boleh memeluk Islam jika ibu atau bapa atau penjaga mengizinkannya.

Peruntukan akta itu jelas bahawa ibu atau bapa atau penjaga mempunyai kuasa untuk membenarkan seorang anak bawah umur 18 tahun memeluk Islam tertakluk kepada keizinan bapa atau ibu atau penjaga anak itu.

Kes R Subashini lawan T Saravanan juga menjadi rujukan kepada NGO Islam untuk meminta Kabinet menilai semula keputusan kerana Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi negara memutuskan bapa kanak-kanak itu mempunyai kuasa mengislamkan anaknya berdasarkan perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan peruntukan itu, agama seseorang bawah 18 tahun hendaklah ditetapkan ibu atau bapa atau penjaganya. Justeru, dalam kes ini suami berhak mengislamkan anaknya walaupun ibu tidak bersetuju dengan pengislaman anaknya.

Mengikut hukum syarak jika bapa atau ibu yang menganuti Islam, anak mereka dengan sendirinya menganut Islam kecuali jika anak sudah berumur 15 tahun dan boleh memilih agamanya sendiri.

Ibu atau bapa tidak Islam seharusnya tidak bimbang jika pihak satu lagi memeluk Islam dan mengislamkan anak mereka bawah 18 tahun kerana hak mereka terhadap anak itu tidak terputus. Walaupun anak memeluk agama Islam, hubungan dengan ibu atau bapanya tidak akan terputus.

Seseorang yang masuk Islam adalah soal hidayah Allah. Persoalan sama ada seseorang memeluk Islam atas tujuan lain di luar batas kita untuk menentukannya kerana ia membabitkan soal niat atau hati.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bersama NGO Islam lain berharap keputusan dinilai semula dengan maklum balas daripada pihak terbabit secara langsung dalam proses pemelukan Islam penganut agama lain serta pakar seperti mufti dan pengamal undang-undang syariah.

Keputusan jemaah menteri belum lagi menjadi peraturan atau undang-undang, justeru masih ada ruang untuk mengkaji semula apa yang diputuskan demi menjaga kemaslahatan umat Islam dan pada masa sama mengekalkan semangat hormat menghormati antara pelbagai agama di negara ini.

Memetik kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, bahawa kerajaan bersedia mendengar sebarang pandangan masyarakat mengenai keputusan berkenaan bagi kebaikan semua pihak, diharap suara PGSM dan 100 NGO Islam lain mendapat perhatian sewajarnya.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Iqra: Panduan tingkat keharmonian rumah tangga

Judul: 501 Soal Jawab Perkahwinan Islam
Penulis: Zawiyah Hassan dan Rohayati Bakri
Penerbit: PTS Millennia Sdn Bhd
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM17.50 (Semenanjung) RM19.50 (Sabah/Sarawak).

ISLAM menggariskan undang-undang perkahwinan lengkap bagi memelihara kepentingan umat manusia. Segala peraturan dan disiplin dalam perkahwinan bertujuan memelihara kepentingan suami isteri serta zuriat mereka.

Perkembangan institusi perkahwinan membentuk masyarakat Islam daripada pelbagai bangsa dan keturunan bagi memakmurkan alam. Namun, kebelakangan ini berlaku kepincangan institusi keluarga mengakibatkan gejala sosial dalam masyarakat semakin menjadi-jadi. Antara punca gejala itu kerana tidak mengikut peraturan dan panduan ditetapkan Islam.

Buku 501 Soal Jawab Perkahwinan Islam memberi maklumat dan panduan bagi membantu mereka yang menghadapi masalah perkahwinan mencari penyelesaian terbaik seterusnya meningkatkan iltizam menjaga keharmonian rumah tangga.

Dibahagikan kepada empat bahagian, buku setebal 257 halaman membicarakan isu serta persoalan sebelum perkahwinan merangkumi tujuan perkahwinan, merisik dan meminang, sama taraf, bertunang dan haram berkahwin.

Bahagian dua pula mengupas persoalan berlaku ketika perkahwinan seperti isu berlainan pegangan agama, pernikahan dan kenduri kahwin, poligami serta hal membabitkan perceraian iaitu talak, rujuk, tebus talak dan nafkah.

Mutaah, nafkah anak serta penjagaan anak selepas perceraian dimuatkan dalam bahagian tiga yang turut membincangkan masalah wasiat dan harta pusaka. Bahagian empat ialah isu semasa antaranya harta sepencarian, sumbang mahram serta masalah dihadapi masyarakat hari ini.

Buku yang disusun dalam bentuk soal jawab itu cuba merungkai masalah daripada sudut agama kerana tidak dinafikan ada sesetengah pihak memandang ringan hukum hingga menjadikan ia satu budaya yang diterima masyarakat.

Contohnya, wanita bertunang pergi dan balik dari pejabat dijemput serta dihantar tunangnya. Bagi ibu bapa hari ini perbuatan itu dilihat biasa kononnya untuk memberi peluang mereka mengenali hati budi masing-masing sebelum menjadi suami isteri.

Pertunangan bukan tiket untuk pasangan melakukan sesuka hati. Itu bagi yang sudah bertunang tetapi ada juga yang belum mempunyai ikatan tetapi hubungan seperti pasangan suami isteri.

Justeru, buku 501 Soal Jawab Perkahwinan Islam sewajarnya menjadi teman kepada suami, isteri, pasangan bertunang dan pembaca umum supaya dapat memahami lebih lanjut mengenai perkahwinan serta bagaimana dapat dilayari rumah tangga supaya sentiasa mendapat keredaan Allah.

Iqra: Kaedah mendedah anak terhadap seks

Judul: Tanggungjawab Pendidikan Seks Menurut Islam
Penulis: Dr Abdullah Naseh Ulwan
Penterjemah: Ahmad Hasan Mohd Nazam dan Mohd Nizam Mohd Ali
Penerbit: Yamani Angle Sdn Bhd
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM20 (Semenanjung) RM22 (Sabah/Sarawak).

MAKLUMAT kini di hujung jari, baik ilmu pengetahuan bermanfaat, sumber hiburan, malah bahan terlarang boleh diperoleh melalui internet berserta teknologi canggih yang memungkinkan ia disebar luas ke seluruh dunia.

Bahaya bahan tidak ditapis memang diakui dan tidak dinafikan agak sukar menyekat atau menghalang kebebasan mendapatkan maklumat kini. Namun, pencegahan perlu supaya bahan tadi tidak mendatangkan kerosakan sebaliknya dimanfaatkan.

Seks kini menjadi perkara diperkatakan secara umum sedangkan dulu perkataan seks sebagai perkataan larangan. Kanak-kanak dilarang memperkatakan mengenai seks dan orang dewasa belum bersedia bercerita secara terbuka.

Kewujudan dunia tanpa sempadan menjadikan buku Tanggungjawab Pendidikan Seks Menurut Islam penting terutama bagi menyebar maklumat yang perlu diketahui bukan saja remaja, juga golongan dewasa mengenai pendidikan seks.

Penulis buku yang diterjemahkan ini, Dr Abdullah Naseh Ulwan yang juga seorang ulama, mengupas apa yang baik dan buruk untuk pendidikan seks anak.

Tanggungjawab mengenai seks tidak dinafikan, malah ia perlu menjadi perhatian pendidik untuk tahap umur lapan hingga 10 tahun, 10-14 tahun, 14-16 tahun serta usia akil baligh.

Perpaduan kukuh asas bentuk bangsa cemerlang

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Rapatkan segera saf untuk jadi ummah terbilang, angkat martabat Islam di mata dunia

PERPADUAN menjadi asas pembentukan negara, bangsa dan ummah terbilang. Rasulullah SAW menjadikan perpaduan asas pembentukan negara Islam Madinah dengan menyatukan kaum Aus serta mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar.

Ini antara resipi kejayaan Baginda dalam proses membentuk negara Islam contoh, seterusnya melahirkan ummah terbaik.

Bermula daripada penyatuan individu kepada penyatuan warga negara Madinah dan umat Islam seluruhnya daripada segenap pelosok dunia. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Orang mukmin bagi orang mukmin yang lain itu laksana satu binaan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Tidak dapat dinafikan sikap saling menolong dan membantu boleh memperkuatkan perpaduan ummah. Jika dilihat dalam konteks sejarah pembentukan negara Islam Madinah, persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar didasari semangat tolong-menolong sesama Muslim dalam memenuhi keperluan memulakan kehidupan baru.

Kehidupan lebih bermakna dan bahagia daripada tekanan dan cabaran dilalui oleh Muhajirin ketika di bumi Makkah. Semangat ini yang perlu diteruskan dalam keadaan masa kini bagi mendepani cabaran zaman kian hebat.

Ada 1001 faktor yang boleh menyebabkan perpaduan umat Islam menjadi lemah dan tergugat. Dalam keadaan terkini, politik keterlaluan menjadi antara faktor utama mengancam perpaduan umat Islam di kebanyakan negara Islam di seluruh dunia.

Hakikatnya, politik tidak dapat dipisahkan dengan Islam sebagai agama bersifat syumul (sempurna) menggariskan panduan lengkap dalam segenap perkara membabitkan urusan dunia dan akhirat.

Jika umat Islam terus berpolitik tanpa menghiraukan batasan ditetapkan Islam, akan tercetus perpecahan ummah yang secara langsung melemahkan kekuatan Islam sebagai agama suci dan tinggi.

Lebih teruk jika perjuangan politik hanya untuk kepentingan peribadi dan poket sendiri tanpa memahami kepentingan politik dalam menjamin kestabilan ummah serta ketinggian agama Islam.

Perbezaan ideologi yang ketara mengenai perkara furuk (sampingan) menyebabkan semangat perpaduan sesama umat Islam terus terancam. Kesannya, muncul pelbagai keadaan negatif seperti budaya fitnah memfitnah, prasangka buruk, cabar-mencabar, hasad dengki, fitnah, dendam dan mendedah keaiban orang lain yang membawa kepada bibit persengketaan dan perpecahan.

Sebagai ummah unggul, umat Islam perlu berusaha menjauhi perkara itu dan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi merapatkan kembali perpaduan ummah. Firman Allah bermaksud: "Sebenarnya orang beriman itu bersaudara, maka damaikan antara dua saudara kamu (yang bertelingkah itu)." (Surah al-Hujuraat, ayat 10)

Jika dilihat secara mendalam, tanggungjawab umat Islam amat besar dalam membantu sesama umat Islam yang berada dalam keadaan memerlukan.

Tidak dinafikan umat Islam turut berperanan dan bertanggungjawab membantu bukan Islam atas dasar kemanusiaan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain, tidak menzaliminya dan tidak membiarkan ia dizalimi. Siapa berusaha memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan membantu dan mempermudahkan hajatnya." (Hadis riwayat Muslim)

Mendepani keadaan semasa yang semakin mencabar ketika ini, umat Islam khususnya di negara ini harus merapatkan saf demi memelihara keutuhan ummah dan berusaha mencari jalan bagi memelihara kesucian agama serta kedaulatan negara.

Ketepikan buat sementara perbezaan khususnya politik bagi mengeratkan silaturahim. Jangan terus berpolitik sedangkan masalah umat Islam meruncing tanpa berkesudahan.

Lihat umat Islam yang dilanda masalah seperti di Palestin, Afghanistan, Iraq dan Selatan Thailand, pasti umat Islam di negara itu mengharapkan bantuan serta pertolongan saudara Islam.

Perbalahan sesama umat Islam menjadikan mereka lemah semangat dan hilang kekuatan. Perkara ini yang amat membimbangkan lebih-lebih lagi jika pertelingkahan itu semakin parah dan sampai ke kemuncaknya.

Allah mengingatkan menerusi firman-Nya bermaksud: "Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantah (berselisih), jika tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu." (Surah al-Anfal, ayat 46)

Perbalahan dan perpecahan membuatkan Yahudi dan Nasrani ditolak oleh Allah. Mereka saling berbantah dan berselisih dalam banyak perkara khususnya berkaitan agama.

Firman Allah bermaksud: "Dan jangan kamu menjadi seperti orang (Yahudi dan Nasrani) yang bercerai-berai dan berselisih (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh nabi Allah). Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar." (Surah Ali-'Imran, ayat 105)

Sesungguhnya tiada cara lain untuk mengeratkan lagi tali persaudaraan dan perpaduan umat Islam selain berpegang teguh kepada ajaran Islam, agama yang menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia serta akhirat.

Penulis ialah Felo Akademik Fakulti Bahasa Dan Komunikasi Universiti Darul Iman Malaysia.

Bersama YaPEIM: Sektor sukarela mampu tangani cabaran ekonomi umat Islam

UMAT Islam di negara ini dan seluruh dunia mempunyai kewangan yang besar dan jika berjaya digemblengkan berupaya menyelesaikan banyak masalah pokok ekonomi dan kewangan. Cabarannya ialah menyahut seruan Allah dalam al-Quran untuk mempraktikkan semangat persaudaraan dan pemikiran yang satu serta jitu dalam mengurus kewangan dan kapasiti kekayaan.

Paradigma ekonomi dan kewangan dunia juga mula berubah dengan menonjolkan kepentingan sektor sukarela sebagai peneraju dalam pengurusan ekonomi. Konsep asas wakaf ditonjolkan sebagai kaedah pokok menggembleng kekayaan dan kapasiti kewangan umat Islam.

Pembangunan ummah secara menyeluruh menjadi matlamat umum bagi umat Islam sejagat. Pembangunan menyeluruh menekankan keseimbangan antara semua perspektif kehidupan termasuk spiritual, kebendaan dan persekitaran.

Pada abad ke-19, umat Islam dijajah secara fizikal oleh kuasa Barat. Selepas merdeka pada abad ke-20, umat Islam dilanda penjajahan baru tanpa disedari. Laporan tahunan Bank Pembangunan Islam (IDB) menganggarkan negara ahlinya (hampir seluruh negara Islam di dunia) menanggung lebih AS$600 bilion pinjaman daripada sistem kewangan seluruh dunia.

Apa yang lebih menakjubkan ialah pada masa sama, jumlah deposit umat Islam seluruh dunia di negara Barat melebihi AS$1 trilion. Persoalannya ialah mengapa dan bagaimana umat Islam boleh membenarkan sistem bank konvensional di Barat mengawal kekayaan mereka sedangkan pada masa sama, kita perlu berhutang kepada Barat dengan membayar kos pembiayaan yang tinggi?

Jawapannya ada dalam al-Quran yang menekankan bahawa umat Islam adalah bersaudara dan Nabi Muhammad SAW menghendaki umat Islam bertindak sebagai satu entiti yang teguh. Jurang jarak fizikal tidak sepatutnya menjadi pemisah antara umat Islam di seluruh dunia.

Di sebabkan kita tidak dapat mengamalkan semangat persaudaraan dan bertindak sebagai satu entiti yang teguh, kita dihadapkan dengan segala dugaan serta cubaan dalam kehidupan.

Pelbagai bentuk organisasi dan institusi kini wujud untuk menyokong pembangunan ummah dan peniaga Muslim di Malaysia serta seluruh dunia. Setiap satunya berusaha memainkan peranan yang berkesan dalam usaha membantu ummah.

Namun, kesangsian terus wujud apakah institusi dan organisasi itu benar-benar menyumbang kepada pembangunan ummah serta peniaga Muslim.

Kepentingan sektor ketiga dalam ekonomi iaitu sektor sukarela sudah diakui dan kini ditonjolkan bukan saja dalam persekitaran ekonomi dan sosial umat Islam, malah di kalangan bukan Islam di seluruh dunia.

Sektor sukarela dilihat sebagai jawapan yang perlu ditonjolkan untuk mengatasi cabaran ummah dan peniaga Muslim masa kini. Ini pilihan semula jadi berasaskan prinsip Islam sejati.

Di kalangan bukan Islam, pilihan sektor sukarela menjadi penting apabila mereka menyedari kelemahan sektor swasta dan awam dalam mencapai matlamat pembangunan manusia secara menyeluruh.

Persoalannya ialah apakah bentuk sektor ketiga atau sektor sukarela paling berkesan untuk umat Islam dalam membangunkan ummah dan peniaga Muslim? Salah satu ialah regim kewangan baru dunia.

Dua pembaharuan yang ditonjolkan dalam regim kewangan baru dunia ialah penekanan konsep self governance berasaskan prinsip akhlak, etika dan pendedahan penuh dalam pengurusan perniagaan.

Penonjolan sektor ketiga dalam ekonomi selain awam dan swasta iaitu sektor sukarela yang juga model Islam unggul. Sektor ketiga kini menjadi penggenap penting kepada sektor swasta dan awam.

Sektor sukarela dimiliki umat sejagat, sektor yang hanya memperjuangkan kepentingan umat awam, jiran, masyarakat dan ummah, diterajui kumpulan pejuang umat sukarelawan profesional dan bebas daripada tekanan serta pengaruh.

Di Kanada satu akta khas diwujudkan khusus untuk pengurusan kewangan sektor sukarela. Di Australia satu akta dan standard khas diwujudkan untuk Kewangan Badan Sukarela. Di Amerika Syarikat, sektor sukarela menjadi de-facto dalam pelaksanaan skim kewangan yang menjanjikan keuntungan.

Usahawan terkaya di dunia, Warren Buffet dan Bill Gates memindahkan lebih dua pertiga kekayaannya ke dalam yayasan yang mereka uruskan. Ini menjadi penjana perintis dalam pemantapan sektor ketiga.

Di seluruh dunia sektor sukarela dilihat mengembangkan pengaruh dan saiznya untuk menguasai kehidupan manusia. Di Iran, sistem humus (seperlima) sudah wujud sekian lama sejak zaman Rasulullah SAW dengan setiap ahli qariah menyumbang seperlima pendapatan kepada masjid untuk membangun dan memastikan kesejahteraan setiap ahli kariah. Ini dibuktikan amat berjaya.

Di Masjid Regent Mosque, London, sistem takaful diwujudkan dengan ahli kariah menyumbang sebahagian pendapatan ke dalam tabung untuk digunakan bagi keperluan mendadak ahli kariah dipanggil tabung tabaruk.

Umat diuji dan dicabar untuk menunjukkan model Islam unggul. Tidakkah kita melihat ini sebagai cabaran jihad yang utama? Beberapa kaedah mengembangkan sektor ketiga mengikut model Islam sudah dikemukakan dan diamalkan.

Kertas kerja pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Universiti Tun Abdul Razak, Prof Dr Barjoyai Bardai pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga

Tuesday, April 28, 2009

Tajdid Iman: Usah merendah nilai Islam melakukan jenayah ilmu

Oleh Dr Juanda Jaya


BELAJAR dengan bimbangan pakar atau guru adalah cara terbaik untuk menambah ilmu. - Gambar hiasan


Al-Quran tetap benar tanpa perlu teori manusia serba lemah yang pasti belum berakhir

SAAT ini ramai manusia mengalami tekanan akibat kekejaman dunia, amukan tsunami ekonomi dan politik kucar kacir yang menjadikan kehidupan semakin susah. Kesan putus asa terhadap keadaan ini menyebabkan mereka tercari-cari agama untuk mendapatkan ketenangan.

Maka muncullah ajaran baru berjenamakan Islam moden bagi menyediakan khidmat menyejuk hati manusia yang tertekan ini. Daripada yang berharga murah meriah, hingga beribu gebu untuk satu pakej bimbingan mencari 'ketenangan jiwa', dengan kepelbagaian teknik profesional dan mempesona, daripada berjubah hingga bertali leher, secara tradisional kuno hingga menggunakan khidmat teknologi maklumat terkini serta canggih.

Pendekatan hipnosis ala karismatik Kristian Evangelical digunakan bagi menghipnosis, mengkhayalkan dan mempesona 'pengikut' dengan lantunan zikir yang ada kala membelai jiwa serta diiringi muzik klasik syahdu menusuk jiwa.

Ada pula yang ganas seolah-olah merempit, berpusing-pusing sambil menari, memukul dada dengan iringan 'alat muzik rock' sambil bernasyid memuja syeikh didakwa boleh menyinarkan lampu cahaya Allah SWT di hati mereka.

Muncul pula ajaran songsang yang mempercayai sudah muncul nabi baru membawa 'wahyu' hasil bisikan hatinya, yang kononnya boleh memberi kekayaan dan berkat bagi sesiapa mengikutnya.

Ada pula mengamalkan meditasi umpama yoga Hindu, disulami zikir hasil ciptaan 'nabi baru' yang sama sekali tidak pernah diajarkan Nabi terakhir, Muhammad SAW. Ada cuba mempercayai 'keberkatan' nombor tertentu, sebelum membina bangunan dan melakukan pekerjaan dan urusan.

Sedangkan Rasulullah SAW menyuruh umatnya mengkaji tafsiran al-Quran sebagai wahyu panduan, tetapi mereka pula menyesatkan umat dengan mengkaji nombor pelik terdapat dalam al-Quran. Gurunya amat terlatih menggoda, mesra 'alam' terlampau dan pandai mengambil hati.

Walaupun tanpa kelulusan diiktiraf mana-mana institusi agama tersohor, atau mungkin hanya bersahabat dengan ulama kontroversi pegangan agamanya, lantas ahli ekonomi dan pakar psikologi ini berani menceroboh dan bercakap mengenai akidah Islam serta tauhid yang murni.

Mereka menafsir nama dan sifat Allah SWT mengikut 'suara hati', padahal latar belakang pendidikannya mendatangkan keraguan terhadap tafsiran Islam mereka. Yang pasti, ia dibuat sesuka hati, sesuai pakej jualan agama baru mereka.

Akhirnya murid berasa cukup dengan mendengar suara hati dan tak perlu melalui kepayahan mujahadah menuntut ilmu. Usaha mengkaji al-Quran dan kitab hadis pun akhirnya tidak penting lagi dan ditolak.

Apa yang disampaikan itu sebenarnya suatu bentuk candu yang mendatangkan nikmat high and fly dan meresap ke dalam hati, mereka tidak perlu menulis, membaca dan mengkaji, hanya memadai mendengar suara hati.

Aneh dan sungguh hebat dakwaan palsu ini. Nabi yang dapat wahyu terus dari langit pun tidak dapat kemampuan sebegini. Sedangkan Baginda sepatutnya lebih layak tahu rahsia penciptaan manusia melalui dokongan wahyu langit, malangnya Allah SWT kekal menjadikan rahsia itu tidak akan disingkap untuk sesiapa.

Oleh itu apakah benar jika hanya dengan mendengar suara hati saja manusia boleh menghayati Islam. Adakah itu ilmu yang diwariskan Nabi SAW? Padahal sahabat Baginda SAW dan golongan salafus salih bersabar mencari ilmu melalui bacaan dan tadabbur ribuan ayat al-Quran dan jutaan hadis yang mesti dikaji, dihayati dan diamalkan.

Bukan kerana mereka tiada aktiviti lain selain bersama Rasulullah SAW dalam majlis ilmu, bahkan mereka adalah pejuang dan tentera yang tangkas, boleh diarah berperang serta-merta jika dikehendaki untuk memerdekakan Islam di belahan dunia lain.

Mereka juga adalah peladang dan petani yang memiliki ladang kurma yang luas, mereka juga adalah usahawan dan hartawan berniaga sampai ke luar negara mengambil masa berbulan-bulan.

Sesungguhnya Rasulullah SAW menegaskan bahawa Baginda SAW hanya mewarisi ilmu. Dan ilmu itu hanya ada pada ulama yang berautoriti. Jika seseorang hendak belajar ilmu perubatan, apakah relevan jika dia berguru kepada pakar ekonomi yang jahil ilmu perubatan? Bukankah pelik?

Tetapi masa kini, manusia tidak berasa pelik jika belajar akidah dan tauhid daripada seorang guru zikir, pakar motivasi atau seorang guru ekonomi. Janganlah merendahkan nilai Islam dengan melakukan jenayah sebegini. Ilmu Islam itu tinggi, mulia lagi bersyarat dan ada disiplin yang ketat bagi sesiapa yang mahu mengajar dan belajar.

Janganlah mempergunakan Islam untuk kepentingan dunia. Masih banyak lagi barang lain yang halal lagi bersih boleh dijual, jangan jual jenama Islam untuk melariskan produk. Itu perbuatan haram yang berat namanya.

Usaha untuk mengislamkan apa-apa saja produk tidak bermakna seseorang sudah bersih daripada fahaman sekular, seolah-olah mereka bangga dengan slogan jangan pisahkan Islam daripada ekonomi, politik, sains dan segala urusan dunia.

Padahal sebenarnya mereka boleh jadi tanpa sengaja atau memang sengaja mencampurkan yang hak dengan batil, nilai bukan Islam dicampur dengan Islam dan diberi jenama baru semata-mata untuk kepentingan tertentu. Islam yang asli dan bersih hanyalah Islam mengikut al-Quran dan al-Sunnah dalam bentuk serta caranya.

Jika bermaksud hendak mengkaji ilmu politik, sains, fizik, biologi, psikologi, pengurusan atau ekonomi dalam al-Quran, jangan sesekali memaksa idea dan hasil kajian itu kononnya setaraf nilai al-Quran kerana ia boleh mencemarkan kesucian wahyu al-Quran.

Lebih-lebih lagi jika kajian ilmu manusia dikaitkan terus dengan akidah. Ulama al-Azhar pernah menolak fahaman yang menyatakan kajian sains sudah membuktikan kebenaran al-Quran hasil pencarian seorang saintis Perancis, Maurice Bucchaiel.

Apakah al-Quran perlu kepada pembuktian sains? Sedangkan al-Quran itu wajib diimani walaupun tanpa pembuktian sains kerana ia wahyu Allah SWT yang maksum daripada kesilapan. Ilmu hasil pemikiran manusia tidak akan setanding dengan al-Quran, kerana manusia hanya menggunakan akal terbatas.

Bagaimana jika hasil penemuan mereka didapati tidak relevan lagi pada masa akan datang, apakah mereka akan mengatakan al-Quran juga tidak relevan lagi? Ada mendakwa ilmu sains saudara kembar al-Quran mengapa ilmu hasil pemikiran akal manusia yang kerdil boleh berkembar dengan wahyu Allah yang tidak akan tercapai seluruh akal makhluk pun?

Bukankah sains bersifat subjektif, berubah-ubah dan sementara bahkan dapat dipatahkan oleh hipotesis baru, sedangkan al-Quran bersifat benar, mutlak dan tuntas, tidak ada perubahan padanya. Walaupun tanpa teori Big Bang dan God Spot, al-Quran tetap benar dan tidak perlukan sokongan teori manusia yang lemah. Boleh jadi teori itu belum berakhir lagi, masih akan ada penemuan baru yang akan menguatkan ataupun malah menafikan teori lama.

Jadi, jangan kembarkan al-Quran dengan apa saja, apatah lagi ilmu orang kafir, atheis, liberalis, pluralis dan jangan cuba menyedut ilmu yang tidak bersumber daripada al-Quran dan al-Sunnah untuk membincangkan perkara akidah.

Tidak ada masalah jika mahu mentafsir ilmu psikologi atau pengurusan dan ekonomi berlandaskan asas Islam tetapi rujuklah kepada al-Quran yang ditafsir al-Quran sendiri dan hadis sahih. Jangan sewenang-wenang mengambil ayat al-Quran untuk membela idea yang direka cipta kemudian ayat itu dipaksa dan dikembarkan pula dengan tafsiran sarjana kafir dari Barat.

Sama seperti usaha menyampaikan Islam oleh segelintir hamba Allah SWT dalam kursus motivasi kepemimpinan yang anehnya tidak mengaku sebagai organisasi atau badan dakwah Islam padahal mereka sesuka hati mengeksploitasi al-Quran kononnya memberi pencerahan jiwa pesertanya.

Bahkan sampai ke tahap berani mentafsirkan manusia berasal daripada cahaya Allah SWT: "Jadilah cahaya yang menyinari siapa pun tanpa pilih kasih, kerana engkau tercipta dari cahaya di atas cahaya." Ayat ini memang indah dan mengagumkan sesiapa mendengar.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Allah cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tidak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca dan kaca itu seakan-akan bintang yang bercahaya seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang berkat, iaitu pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah barat, yang minyaknya saja hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu."

Siapakah yang dicipta dari cahaya di atas cahaya? Bukankah manusia asalnya hanya dicipta dari tanah dan kemudiannya air mani, manakala roh pula ciptaan Allah SWT? Al-Quran mencurahkan semua bahawa roh adalah rahsia Allah SWT, tidak akan disingkap untuk sesiapa hakikatnya.

Jangan disoal hal itu, apatah lagi mahu menafsir akhlak manusia berasal daripada sifat Allah Yang Maha Tinggi. Tidak pernah disebut melalui lisan Nabi-Nya perkara itu. Hanya Allah SWT berada pada cahaya di atas cahaya. Jika mahu menyamakan manusia dengan sifat dan zat Allah, walau tanpa sengaja, maka sudah tentu tidak wajar kita membela fahaman sebegini.

Azab berat menunggu insan putar belit hukum agama

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

Islam menetapkan perkara halal serta dilarang untuk elakkan kemudaratan kepada masyarakat

HARI ini hidup manusia banyak dikuasai nafsu. Ada masanya nafsu itu dilihat bersifat lebih buruk daripada kelakuan binatang. Sedangkan manusia diberi akal untuk berfikir dan membezakannya dengan haiwan.

Hidup kita ada peraturan dan batas perlu diikuti dan dipatuhi demi kesejahteraan serta keharmonian hidup. Tanpa peraturan, batasan dan undang-undang, maka dibimbangi hidup manusia akan jadi haru-biru serta kucar-kacir.

Allah SWT menggariskan beberapa peraturan yang perlu dipatuhi semasa hidup. Menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam yang mengaku beriman kepada Allah SWT untuk menjauhkan diri daripada perkara dilarang dan ditegah Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Apa yang dihalalkan Allah di dalam Kitab-Nya adalah halal, dan apa yang diharamkan-Nya adalah haram, dan apa yang tidak dijelaskan-Nya adalah kemurahan ('afiah), maka terimalah daripada Allah kemurahan itu, sesungguhnya Allah tidak lupa." Kemudian Baginda SAW membaca ayat (ertinya): "Dan Rabbmu tidak pernah lupa." (Hadis riwayat al-Hakim)

Allah SWT memberi peringatan kepada manusia dalam firman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu mengatakan apa yang disebut oleh lidahmu secara dusta: ini halal dan ini haram, untuk mengada-adakan pembohongan terhadap Allah." (Surah an-Nahl, ayat 116)

Firman Allah SWT itu jelas dan mudah difahami, iaitu benda yang halal tetap halal dan haram (yang dilarang) tetap haram. Manusia tidak boleh mengatakan halal itu haram dan sebaliknya. Azab amat berat menanti mereka yang melanggar larangan ditetapkan Allah SWT.

Melainkan mereka tidak takutkan seksaan Allah SWT kerana amaran sudah diberi tetapi masih ada yang tergamak melakukan perbuatan dilarang. Keberanian itu seolah-olah mereka tidak menghiraukan amaran diberi kepada mereka yang menderhaka perintah Allah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan barang siapa yang menderhaka Allah dan Rasul-Nya dan melanggar ketentuan-Nya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam neraka sedang ia kekal di dalamnya, dan baginya seksa yang menghinakan." (Surah an-Nisa', ayat 14)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apapun yang aku larang kalian mengerjakannya, maka jauhilah. Dan apa saja yang aku perintahkan kepada kalian, maka lakukanlah sesuai dengan kemampuan kalian." (Hadis riwayat Muslim)

Larangan Allah SWT semata-mata untuk kebaikan manusia juga kerana Allah SWT lebih mengetahui apa yang akan terjadi kepada manusia jika mereka melanggar peraturan diperintahkan-Nya. Contoh paling mudah ialah Allah SWT mengharamkan bagi orang Islam menjual dan meminum arak.

Arak adalah minuman memabukkan dan mereka yang dalam keadaan mabuk akan menjadi tidak waras hingga ada kalanya tindakan mereka mendatangkan mudarat serta bencana kepada diri sendiri atau orang di sekeliling.

Si peminum boleh bertindak di luar duga, seperti mencederakan orang tidak berdosa hatta sanggup membunuh sekali. Justeru, Allah haramkan bagi orang Islam menjual dan meminum arak.

Namun begitu, ada segelintir umat Islam yang berani melanggar peraturan ditetapkan Allah SWT. Mereka tidak takut Allah yang Maha Besar dan Maha Perkasa sekali gus tidak takut seksa yang dijanjikan kerana menderhaka kepada Allah SWT.

Banyak lagi peraturan dilanggar umat Islam antaranya memberi dan menerima rasuah, menipu dalam jual beli barang, melakukan zina, tidak berlaku adil kepada isteri apabila berpoligami, mengambil dan memakan riba, menyakiti jiran serta perlakuan lain yang dimurkai Allah SWT.

Di segi berpakaian pula, larangan yang selalu diabaikan umat Islam ialah memakai emas dan sutera bagi lelaki. Masih ada lelaki Islam yang gemar memakai sutera dan emas seperti rantai, jam tangan, pen, kancing baju terutama di kalangan mereka yang berada.

Diriwayatkan daripada Abu Mursa al-Asy'ari bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Dihalalkan sutera dan emas bagi kaum wanita dari umatku, dan diharamkan atas kaum lelakinya." (Hadis riwayat Ahmad)

Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW pernah melihat sebentuk cincin emas di tangan seorang lelaki, lalu Baginda menanggalkannya dan membuangnya seraya berkata: "Apakah seseorang di antara kamu sengaja mengambil bara api dan meletakkannya di tangannya?"

Kerap berlaku dalam masyarakat kita hari ini ialah perbuatan menceritakan atau mendedahkan aib orang lain. Perbuatan menceritakan dan mendedahkan keburukan orang lain semacam menjadi satu budaya di kalangan orang Islam, terutama mereka yang lemah imannya.

Allah SWT melarang dan mencegah hamba-Nya mencemarkan kehormatan seseorang di depan orang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya." (Surah al-Hujurat, ayat 12).