Friday, May 8, 2009

Gabungan usaha gigih, doa hasilkan kejayaan cemerlang

KECEMERLANGAN tidak datang bergolek tanpa usaha gigih, tidak datang melayang tanpa tekad dan azam yang kuat. Justeru, kecemerlangan seluruh warga Malaysia memerlukan cara tersendiri untuk mencapainya.

Selari dengan ajaran Islam, Allah menegur manusia supaya berani membuat perubahan dalam semua aspek kehidupan. Sikap ini dapat memajukan prestasi dan mutu keinsanan seseorang.

Firman Allah bermaksud: “Bagi setiap seorang ada malaikat penjaganya dari hadapan dan belakangnya, yang menjaganya dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.” (Surah ar-Ra’d, ayat 11)

Sejarah membuktikan Nabi SAW bukan menyampaikan risalah Islam semata-mata, bahkan Baginda berusaha melakukan perubahan untuk maju melalui sektor pekerjaan. Baginda ialah contoh pekerja dan pengurus unggul, berkeperibadian tinggi seperti bersifat jujur, amanah, taat dan tekun.

Baginda SAW juga bijak serta dedikasi ketika membantu perniagaan bapa saudaranya, Abu Talib dan Khadijah sehingga memperoleh keuntungan berlipat ganda.

Seandainya Nabi SAW melanggar etika kerja disyariatkan Islam seperti menipu, zalim dan menindas, pasti dunia pekerjaannya tercemar. Keperibadian mulia pekerja dan majikan perlu diberi penanda aras paling tinggi dan utama.

Jika pekerja dan majikan amanah dan tidak salah guna pangkat atau kuasa mentadbir, nescaya ia mendapat keredaan Allah, keberkatan rezeki, dipercayai pekerja dan organisasi serta membawa kemakmuran organisasi.

Imam Bukhari meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Orang yang paling kecewa (rugi) pada hari kiamat ialah orang yang mencari harta secara tidak halal lalu ia masuk ke neraka bersama hartanya.”

Maksud secara tidak halal termasuk mereka yang tidak amanah. Sifat in adalah pakaian khalifah Allah. Sebagai khalifah kita bertanggungjawab mengurus alam serta isinya supaya manfaat dan keberkatannya dapat dinikmati.

Bagi memakmurkan kualiti pengurusan dalam pelbagai aspek kehidupan sangat diperlukan. Kualiti adalah tuntutan bekerja secara profesional dan kemas melalui perancangan yang strategik dari sudut masa, wang serta tenaga.

Berteraskan nilai integriti, lima cabaran sentiasa mendepani organisasi cemerlang iaitu perubahan minda dan sikap mengejar kecemerlangan, etika yang luhur, pembangunan modal insan berilmu serta mahir, budaya kerja berasas prestasi dan daya kepemimpinan yang unggul.

Perubahan menuju hasanah (kebaikan) bermula dari dalam diri individu. Ramai selalu berdoa memohon kebaikan tetapi doa tanpa usaha adalah angan-angan. Begitu juga usaha tanpa doa untuk mendapat keredaan Allah atas usaha dilakukan membawa sia-sia.

Apa yang terbaik adalah gabungan antara doa dan usaha yang sempurna akan membawa kepada kejayaan diimpikan. Allah menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu hasil daripada kerja tekun dan dedikasi. Inilah antara maksud jihad yang dituntut Islam.

At-Tabrani meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mereka yang mencari harta dunia (kekayaan) dengan jalan yang halal dan menahan dirinya daripada meminta (tidak menjadi pengemis) dan berusaha mencari nafkah untuk keluarganya serta belas kasihan, kasih sayang terhadap jiran tetangga, nescaya pada hari kiamat ia akan berjumpa dengan Allah dengan mukanya berseri-seri seperti bulan purnama pada waktu malam.”

Umumnya manusia berperibadi cemerlang berjaya menyempurnakan tugasnya berdasarkan kekayaan ilmu pengetahuan, penghayatan, pengamalan ilmu serta sentiasa mencapai atau melepasi ukuran cemerlang.

Mereka juga digambarkan melalui tingkah laku yang berhemah, berbudi pekerti mulia dan menerima tanggungjawab sebagai amanah.

Sebagai individu yang menjadi warga organisasi, kita tidak dapat lari daripada menerima kesan perubahan. Jika tidak cepat bertindak menyesuaikan diri dengan perubahan dikhuatiri kita tidak mampu menyampaikan perkhidmatan seperti dituntut masyarakat luar yang berubah mengikut persekitaran.

Bagi melahirkan organisasi gemilang, individu yang menggerakkannya mesti terlebih dulu cemerlang. Justeru, mari muhasabah diri, sejauh manakah kedudukan kita dalam pekerjaan. Adakah kita sudah membawa perubahan kepada diri, keluarga, negara, organisasi dan kepentingan agama.

Mari kita tanam tekad dan azam menghayati tujuan bekerja menurut Islam. Tingkatkan usaha ke arah yang terbaik, sentiasa memperbaiki prestasi kerja, berusaha melaksanakan pelbagai tugas, mempunyai sifat positif terhadap diri dan pandangan pihak lain serta bersedia menerima teguran.

Kita perlu saling menghormati, bertolak ansur dan peka kepada kehendak pelanggan serta perubahan persekitaran.

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), beramallah kamu akan segala yang diperintahkan, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui perkara ghaib dan nyata. Kemudian Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu kerjakan.” (Surah at-Taubah, ayat 105).



Khutbah Jakim Online

Mengenang jasa ibu bapa tuntutan sepanjang hayat

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

IBU bapa mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah sehingga Allah memerintahkan kita berbuat baik kepada mereka selepas perintah mengabdikan diri kepada-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Islam menyanjung tinggi kedudukan ibu sehingga memberi penghargaan istimewa terhadap pengorbanan ibu kepada anak. Ibu insan paling banyak menanggung penderitaan demi kelangsungan hidup anak.

Pengorbanan wanita bergelar ibu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit atau harta benda. Segala kesusahan ketika hamil dan kesakitan melahirkan sukar digambarkan, tetapi tiba-tiba boleh menjadi kegembiraan apabila mendengar tangisan pertama anak.

Apakah memadai jasa dan pengorbanan ibu dihayati dan dikenang tatkala menyambut hari ibu? Sudah tentu tidak kerana sikap ini tidak menggambarkan kasih sayang sepanjang hayat tetapi hanya budaya sekali setahun.

Namun hari ibu yang disambut pada 10 Mei setiap tahun tidak bermakna ia harus dibiarkan berlalu tanpa pengisian bermakna. Sebagai anak, kita dituntut mengenang jasa dan pengorbanan ibu.

Firman Allah bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Ibunya mengandung dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. (Dengan demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada ibu bapamu. Hanya kepada-Ku tempat kembalimu.” (Surah Luqman, ayat 14)

Jasa ibu melahir dan membesarkan anak tidak dapat dibalas kerana pengorbanan memastikan kesejahteraan mereka amat besar sehingga meletakkan kedudukan syurga bagi anak di bawah tapak kaki ibunya.

Kisah Alqamah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW menjadi cerita yang terus diulang sebagai iktibar kepada generasi hari ini supaya menghormati serta menghargai ibu tidak kira dalam apa keadaan.

Alqamah ialah pemuda yang baik dan taat, rajin mendirikan solat, banyak berpuasa serta bersedekah, namun dia lebih mengutamakan isteri berbanding ibunya yang makan hati berulam jantung dengan perbuatan Alqamah.

Akibatnya dia tidak mampu mengucap dua kalimah syahadah pada penghujung hayatnya sehingga Rasulullah SAW bertindak untuk membakar Alqamah apabila ibunya yang berkecil hati enggan memaafkan anak itu.

Tindakan Rasulullah SAW menyebabkan ibunya segera memaafkan Alqamah yang kemudian dengan mudah mengucapkan dua kalimah syahadah. Selepas dimandi, dikafan, disolat dan dikebumikan, Rasulullah SAW berdiri di tepi kuburnya lalu bersabda yang bermaksud: “Wahai kaum Muhajirin dan Ansar! Sesiapa yang lebih mengutamakan isterinya daripada ibunya, nescaya akan ditimpa kepadanya laknat Allah dan juga tidak diterima daripadanya taubat dan tebusannya.” (Hadis riwayat Abu al-Laith)

Walaupun hatinya kecewa, kasih sayang ibu mengatasi segalanya sehingga sanggup melupakan perbuatan anak semata-mata untuk melihat mereka mendapat keredaan Allah. Oleh itu, anak sepatutnya sanggup berkorban apa saja demi ibu.

Islam mewajibkan anak menunaikan segala hak dan melayani ibunya dengan baik. Islam juga mengharamkan anak melakukan sesuatu yang boleh menyakitkan dan menyinggung perasaan ibunya. Pendek kata, ibu ialah insan paling berhak mendapat layanan terbaik daripada anak selaras pengorbanan yang dilakukannya.

Rasulullah SAW pernah ditanya seorang lelaki: “Ya Rasulullah! Siapakah yang lebih berhak saya berbuat baik? Jawab Rasulullah: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Ujar Baginda: Ibumu. Lelaki itu bertanya sekali lagi: Kemudian siapa lagi? Jawab Baginda: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Siapa lagi? Baginda menjawab: Bapamu.”

Hadis Rasulullah SAW mengangkat kedudukan istimewa ibu sehingga berbakti kepada ibu mengatasi berbakti kepada orang lain walau kepada bapa sekalipun.

Alangkah sedihnya melihat masyarakat hari ini apabila ada anak sanggup mendera, membiarkan malah mencederakan ibu bapa apabila kehendak hati tidak dipenuhi atau disebabkan nasihat untuk kebaikan diberi.

Anak yang menderhaka terhadap ibu bapa kerana hilang nilai keimanan dalam diri dan jiwa dikuasai hasutan nafsu. Tekanan hidup hari ini juga menjadikan hubungan kekeluargaan kian jauh dan institusi keluarga makin rapuh.

Namun, apa juga cabaran, itu bukan alasan untuk menidakkan hak ibu atau membolehkan anak melupakan tanggungjawab kepada ibu bapa mereka. Ada kala, ibu tidak memerlukan wang ringgit tetapi cukup perhatian diberi anak mereka.

Anak yang derhaka kepada ibunya pasti menghadapi pelbagai kesulitan hidup ketika di dunia dan akhirat. Selain itu, menderhaka kedua ibu bapa bererti menderhaka kepada Allah.

Daripada Abdullah Amru, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Keredaan Allah daripada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Hukuman sebat kes syariah, sivil perlu diselaraskan

Oleh Saufi Hamzah
sofeeham@bharian.com.my

HUKUMAN sebat sudah diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah Syariah) 1965 (pindaan 1984). Akta itu diwujudkan menurut kuasa diberikan mengikut Perlembagaan Persekutuan dalam Jadual Kesembilan Senarai II (Senarai Negeri).

Berdasarkan akta itu, kadar hukuman sebat yang sudah ditetapkan adalah enam kali sebatan saja. Mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah yang sedang diguna pakai, hukuman sebat diperuntukkan sebagai salah satu hukuman bagi pesalah jenayah syariah.

Contohnya, mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, hukuman sebat hanya dikenakan ke atas enam jenis kesalahan iaitu kesalahan berhubung doktrin palsu, perbuatan sumbang mahram, pelacuran, pelindung pelacur (ibu ayam), persetubuhan luar nikah, liwat dan musahaqah.

Oleh demikian, adalah menjadi budi bicara bagi seseorang hakim untuk menjatuhkan hukuman sebat dalam penghakimannya. Memang dalam sesetengah penghakiman kes jenayah syariah ada hakim menjatuhkan hukuman sebat terhadap pesalah jenayah syariah.

Namun, perkara yang sering bermain di minda kita adalah sejauh mana pelaksanaan hukuman itu dijalankan di Malaysia. Banyak kekeliruan timbul apabila menyebut mengenai pelaksanaannya. Kekeliruan itu harus diselesaikan secara bersama supaya kesepakatan dapat dicapai dalam mencari penyelesaiannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom ketika merasmikan Seminar Hukuman Sebat Jenayah Syariah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), berkata umumnya hukuman sebat dalam kesalahan jenayah syariah itu tidak diketahui sebilangan masyarakat.

“Perkara ini disebabkan beberapa faktor, antaranya ialah kurangnya pendedahan mengenai hukuman sebat dan hukuman ini tidak dilaksanakan secara meluas oleh mahkamah,” katanya.

Contohnya, pada 12 Januari 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 dan enam kali sebatan terhadap seorang lelaki dan wanita yang mengaku bersalah meminum arak.

Hukuman itu diperuntukkan mengikut Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987. Malangnya, kes itu diperalat pelbagai pihak. Keadaan itu menyebabkan timbul pelbagai anggapan mengenai keupayaan institusi agama melaksanakan perintah sebatan yang diputuskan.

Namun setakat ini belum ada apa-apa tindakan dibuat bagi menyelesaikan atau menangani masalah berkaitan sebatan itu.

Selain itu, timbul juga pertikaian berkenaan kaedah sebat yang dilaksanakan. Adakah kaedah sebatan seperti dilaksanakan Jabatan Penjara ketika ini boleh diguna pakai atau perlu satu kaedah lain yang bertepatan dengan hukum syarak diadakan.

Dalam pada itu, persepsi umum beranggapan hukuman dilaksanakan Mahkamah Syariah adalah ringan. Sering kali hukuman diputuskan berbentuk denda saja. Oleh itu, ia menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan statistik kesalahan jenayah syariah saban tahun kerana masyarakat menganggap undang-undang syariah sebagai remeh.

Pelbagai program sudah dilaksanakan kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menangani masalah itu. Namun, kesalahan jenayah syariah tidak juga berkurangan.

Jamil Khir berpendapat, satu kajian terperinci perlu dibuat oleh pakar dalam bidang perundangan syariah dan sivil bagi memastikan pelaksanaan hukuman sebat dapat dijalankan; satu kaedah atau peraturan berkaitan sebatan perlu diwujudkan bagi menjamin hukuman dilaksanakan dengan teratur dan berkesan selain kerjasama strategik perlu diwujudkan antara Jakim, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Mahkamah Syariah, Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Penjara, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain agensi berkaitan.

Pendapat itu disokong Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz yang berkata, peruntukan sebatan mengikut Undang-undang Jenayah Syariah negeri dan peraturan sebatan diperuntukkan mengikut Undang-undang Prosedur Jenayah Syariah agak jarang diketengahkan dan dilaksanakan.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan wujud pelbagai persoalan sama ada di kalangan pengamal undang-undang mahupun orang ramai, sama ada ia relevan dikekalkan mengikut undang-undang syariah atau sebaliknya.

Sehubungan itu, jumlah hukuman sebat yang dijatuhkan terhadap pesalah jenayah syariah masih kecil walaupun Mahkamah Syariah diberi kuasa untuk menjatuhkan hukuman itu mengikut enakmen, ordinan dan akta kesalahan jenayah syariah.

Timbalan Ketua Bahagian Penyelidikan (Seksyen Syariah) Jabatan Peguam Negara, Mahamad Naser Disa, berkata berdasarkan kajian, secara umum kebanyakan negeri, tiada satu pun hukuman sebat dijatuhkan ke atas pesalah itu walaupun selepas Enakmen Tatacara Jenayah Syariah mengikut model undang-undang seragam yang mempunyai prosedur hukuman sebat dikuatkuasakan.

“Setakat ini, Kelantan sudah melaksanakan hukuman itu manakala di Pahang, Perak dan Johor ada hukuman sebat yang pernah dijatuhkan tetapi tidak dapat dilaksanakan atas sebab rayuan yang dikemukakan,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pelaksanaan Hukuman Sebat Dalam Kes Jenayah Syariah: Masalah dan Penyelesaian pada seminar itu.

Beliau berkata, jumlah hukuman sebat yang sangat sedikit itu menyebabkan realiti sebenar mengenai masalah membabitkan pelaksanaan hukuman sebat oleh pihak penjara tidak dapat diketahui.

Justeru katanya, langkah penambahbaikan dalam konteks jenayah syariah juga sukar untuk diambil kerana hukuman sebat itu masih tidak dilaksanakan sepenuhnya.

“Walaupun masih ada beberapa masalah membabitkan pelaksanaan hukuman sebat, segala masalah itu bukanlah halangan besar kepada pelaksanaannya. Terpulang kepada kebijaksanaan hakim untuk menggunakan kuasa dan budi bicara memilih hukuman yang hendak dijatuhkan dengan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, pihak penjara perlu menjalinkan semangat dan rangkaian kerjasama yang termaktub dalam undang-undang dan komitmen melaksanakan hukuman Mahkamah Syariah dengan mematuhi setiap prosedur.

Mahamad Naser turut mencadangkan kaedah terperinci membabitkan hukuman sebat yang seragam digubal dan dikuatkuasakan di negeri dan Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, peguam syarie, Zainul Rijal Abu Bakar ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pelaksanaan Hukuman Sebat Dalam Kes Jenayah Syariah: Cabaran dan Halangan berkata, hukuman sebat syariah berbeza dengan sebat sivil.

“Walaupun peruntukan hukuman itu sudah lama wujud, pelaksanaannya masih belum meluas. Sudah sampai masanya hukuman ini dijatuhkan dan dilaksanakan sepenuhnya. Halangan yang wujud adalah yang bersifat metafora dan bukan sebenar.

“Hukuman sebat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa kerana agensi berkaitan seperti penjara sudah bersedia melaksanakannya. Malah, hakim syarie juga sudah melihat demonstrasi sebat syariah yang dijalankan pegawai penjara dan mendapati ia tidak bertentangan peruntukan undang-undang dan hukum syarak,” katanya.

Timbalan Penguasa Penjara, Jabatan Penjara, Masran Muhamad, ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Peranan Institusi Penjara Dalam Pelaksanaan Hukuman Sebat bagi Kes Jenayah Syariah: Satu Pandangan berkata, jabatan itu akan terus melaksanakan hukuman berdasarkan arahan daripada waran yang sah serta berlandaskan ketetapan undang-undang.

Katanya, bagi tujuan pendedahan, Jabatan Penjara mengalu-alukan kehadiran kakitangan Mahkamah Syariah untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman sebat di penjara.

Berikutan itu, kerajaan masih menunggu cadangan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, Jakim sebelum membuat keputusan mengenai langkah memperkasakan undang-undang jenayah syariah di negara ini menerusi pindaan.

Jamil Khir berkata, kajian akan dilakukan kerana persepsi umum beranggapan hukuman dilaksanakan Mahkamah Syariah ringan dan kerajaan tidak mahu undang-undang syariah di negara ini menjadi perbahasan yang tidak ada penghujung.

“Oleh itu, kita menyasarkan apabila masyarakat dan kalangan ulama, pengamal undang-undang termasuk Jabatan Penjara dan Polis Diraja Malaysia serta Mahkamah Sivil melihat satu kesepakatan yang baik, barulah kita laksanakan,” katanya.

Beliau berkata, anggapan umum ialah denda maksimum RM5,000 bukan kerana ia sedikit atau banyak, tetapi ada kesalahan besar tetapi hukuman tidak boleh dikenakan lebih daripada peruntukan diberikan.

“Kita harus rombak dan lihat supaya ia memberi keadilan daripada apa yang ditetapkan dalam bidang kuasa. Seminar ini akan bermula sebagai rangkaian atau permulaan berterusan ke arah memperkasakan lagi bidang kuasa jenayah syariah untuk kita laksanakan,” katanya.

Thursday, May 7, 2009

Kebersihan jiwa mampu tangani kemusnahan alam

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
salidasuhaila99@yahoo.com


LANGKAH pencegahan wabak Influenza A turut dilakukan di dalam kelas. - Gambar hiasan


Influenza A berlaku angkara alpa tanggungjawab sebagai khalifah

KEHIDUPAN dan kematian adalah ketentuan Allah. Dalam dunia serba fana, semua ada kepada yang berusaha, mampu memiliki apa dianugerahkan kepada makhluk semesta tetapi yang selalu dilupa ialah kehidupan dunia hanya sementara, tiba masanya perlu meninggalkan segala-galanya. Tambahan, apa yang ada di dunia ini menyebabkan manusia lalai dan lupa. Justeru, Allah mengutuskan Rasul dan Nabi sebagai penyampai peringatan daripada-Nya supaya manusia yang alpa kembali kepada fitrah. Ada yang menentang, ada juga yang taat.

Apabila ditimpa bencana dan wabak menguji manusia, ia bukan bertujuan menghukum atau mendera atas kesalahan dilakukan tetapi sebagai amaran kita melewati batas dan harus sentiasa beringat ujian untuk menguji keimanan.

Oleh itu, orang yang mengakui hakikat keesaan Allah harus menerima qada dan qadar di samping meningkatkan ketahanan diri daripada tipu daya serta berusaha memantapkan diri kerana setiap ujian itu ada hikmah di sebaliknya.

Namun, kesombongan juga boleh membuatkan manusia menghadapi bencana sebagai tanda kita harus akur dan mematuhi perintah-Nya serta insaf terhadap perilaku yang mencabar kekuasaan-Nya.

Firman Allah bermaksud: "Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia. Timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka sudah lakukan supaya mereka kembali insaf dan bertaubat." (Surah ar-Ruum, ayat 41)

Benar juga bahawa aksi dan lagak manusia adalah permainan serta hiburan. Firman Allah bermaksud: "Dan tidak dinamakan kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan melalaikan." (Surah al-An'aam, ayat 32)

Hari ini dunia digemparkan dengan wabak Influenza A yang virusnya begitu rakus menyerang manusia di beberapa negara dan ia penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan kematian. Sesiapa saja boleh terdedah kepada virus itu walaupun pelbagai cara dilakukan untuk mengelak ia berlarutan. Langkah pemantauan serta usaha awal menghadapi kemungkinan dijangkiti wabak dilakukan dengan pantas dan berkesan.

Namun, kita trauma dengan apa yang sedang berlaku sehingga selesema dan demam biasa pun menimbulkan kerisauan yang bukan sedikit. Itulah akibat tidak menjaga kebersihan dan tidak adil terhadap imbangan alam. Ia boleh dielak dengan pencegahan seperti mengelak kekotoran di ladang ternakan, tidak makan makanan memudaratkan kesihatan serta mengamalkan hidup berhemah. Firman Allah bermaksud: "Dan Allah mengasihi orang yang membersihkan diri mereka zahir dan batin." (Surah at-Taubah, ayat 108)

Dalam Islam, membersihkan diri tidak cukup dengan yang zahirnya saja, tetapi mencakupi kesucian akidah daripada syirik dan kufur. Perbuatan menjurus kepada mempercayai kuasa lebih besar daripada Allah menandakan akidah sudah tercemar dengan anasir mengganggu kesucian hati serta jiwa.

Kita juga harus membersihkan diri daripada dikotori nafsu yang bersifat zalim kepada diri serta orang lain. Nafsu memusnahkan hidup manusia dan membuatkan mereka ketagih kehidupan sia-sia sedangkan mereka tahu ada kehidupan sesudah itu yang kekal abadi.

Selain itu, kita boleh mengelakkan wabak dan bencana yang menghancurkan umat Islam dengan menjaga kebersihan akal daripada terlalu bebas sehingga mengetepikan wahyu dan sunnah yang diutus sebagai panduan hidup di dunia.

Ada penyakit yang menimpa jasad manusia akibat mengamalkan seks bebas, minum arak, makan makanan haramkan dan yang berpunca daripada akal dikotori pemikiran bebas, bukan berteraskan perintah serta larangan Ilahi.

Kehidupan sosial yang terjaga mengikut batasan syarak dan bersih daripada anasir melampaui keizinan hukum serta syariat akan menjamin kehidupan lebih baik. Bukan saja hubungan sosial secara umum juga membabitkan pergaulan antara suami dan isteri yang ada sempadannya.

Banyak bencana berlaku terhadap manusia kerana tidak berpegang teguh kepada perintah dan panduan disediakan. Selain itu, bersih daripada sifat keji antara cara mencegah kebinasaan manusia. Lalai mengingati Allah dan suka menzalimi manusia antara sifat bermukim di hati manusia yang sudah kotor dengan dosa.

Musuh manusia bukan iblis dan syaitan saja tetapi juga manusia memusuhi Penciptanya dan kotor jiwa sehingga sanggup melakukan perbuatan jahat seperti fitnah serta membunuh. Cabaran dan dugaan melanda dunia hasil tangan makhluk Allah ternyata menjadi pengajaran kepada orang yang berfikir. Kemusnahan manusia dan alam tidak berlaku tanpa sebab dan manusia perlu memohon pertolongan-Nya supaya bumi serta isinya selamat.

Ikhlas muhasabah diri cara berkesan baiki kelemahan ummah

Oleh Muhammad Rashidi Wahab

MUHASABAH adalah perilaku menghitung dan memperelokkan diri yang terbentuk dalam jiwa manusia menurut kaca mata agama. Ia juga boleh dimaksudkan sebagai mendidik diri sentiasa mencela segala kejahatan pernah dilakukan yang boleh menjadi penghalang untuk mendapat keredaan Allah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta berangan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak).” (Hadis riwayat al-Tarmizi)

Sesiapa yang bermuhasabah diri tidak meninggalkan ruang dan masa melakukan perkara batil. Menyibukkan diri dengan ketaatan akan menghapuskan masa untuk membuat kejahatan. Dia mencela jiwanya atas setiap kesalahan dan kekurangan dilakukannya terhadap Allah kerana takut kekuasaan-Nya. Jika inilah keadaannya, mungkin tiada jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan kebatilan. Berkata as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie: “Daripada takut akan timbulnya muhasabah. Daripada muhasabah timbulnya muraqabah. Daripada muraqabah hati akan sentiasa sibuk bersama Allah.” (Kitab al-Burhan al-Muayyad).

Muhasabah menghasilkan perasaan bertanggungjawab terhadap Allah, Rasul-Nya serta makhluk. Melalui muhasabah juga manusia berasa diri tidak diciptakan dengan sia-sia kerana kita pasti kembali kepada Allah apabila sampai waktu. Firman Allah bermaksud: “Setiap yang berjiwa (bernyawa) akan berasa mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga ia sudah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanya kesenangan yang memperdayakan.” (Surah ali-Imran, ayat 185)

Dalam kesibukan kita mengejar kekayaan dunia, jangan lupa untuk menyibukkan diri dengan mengingati Allah supaya kehidupan baik di dunia dapat dinikmati dan kesejahteraan akhirat tetap menanti.

Firman Allah bermaksud: “Maka segeralah kembali kepada Allah maka sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata daripada Allah untukmu.” (Surah adz-Dzaariyaat, ayat 50)

Golongan sufi sentiasa mengabdikan diri kepada Allah. Mereka beriman dalam perjalanan musafir ini menuju Allah dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas. Hati mereka sentiasa mengingati mereka akan kembali kepada Allah pada setiap masa. Firman Allah bermaksud: “Di tempat yang disenangi (penuh kebahagiaan) di sisi Tuhan (Allah) Maha Kuasa. ” (Surah al-Qamar, ayat 55)

Berkata Syeikh Ahmad Zarruq: “Lalai daripada bermuhasabah diri menyebabkan apa yang dilakukan menjadi silap. Kurang berbincang dengannya boleh membawa kepada adanya sifat reda nafsu atau rasa berpuas hati terhadapnya. Memerangi nafsu boleh menjauhkan daripada melekat pada diri dan tidak bersikap tegas terhadapnya menyebabkan dia menjadi pahlawan. Oleh itu lazimkan diri dengan sentiasa bermuhasabah dan berbincang serta beramal dengan apa yang sahih tanpa bertolak ansur terhadap perkara yang salah. Ketika beramal jangan mencari sesuatu yang tidak jelas.” (Kitab Qawaid al-Tasawuf)

Demikianlah pentingnya muhasabah dalam diri setiap individu. Tanpa muhasabah yang ikhlas seseorang sentiasa berasa diri tidak pernah melakukan kesalahan. Bermuhasabah dengan hati terbuka supaya kita boleh memperbaiki kebatilan dan kelemahan diri sebelum menemui ajal.

Hak Muslim: Wanita boleh semak nikah suami di pejabat agama

Soalan:

BAGAIMANA saya boleh menyemak pernikahan suami dengan isteri keduanya? Mereka bernikah tanpa pengetahuan saya. Minggu lalu saya terjumpa catatan lafaz taklik yang dibuat isteri kedua suami di komputer beliau. Lafaz taklik itu berbunyi: "Wahai suamiku. Aku isterimu membuat lafaz taklik terhadap dirimu jika aku mendapati engkau sengaja membuat hubungan sulit, berlaku curang terhadap diriku dengan perempuan di luar, sama ada berhubungan melalui telefon atau SMS dan juga jika engkau balik rumah binimu di Kedah dengan niat berjumpa dengannya bukan atas urusan kerja, maka dengan itu engkau melanggari akan lafaz taklikku ini, dengan serta-merta maka jatuh talak satu terhadap diriku." Adakah lafaz taklik itu sah?

Isteri duka,
Kedah.

Jawapan:

Persoalan pertama, puan boleh menghubungi pejabat agama Islam tempat asal isteri kedua suami atau pejabat agama tempat suami tinggal. Jika pernikahan itu didaftarkan, pihak berkenaan akan menyimpan rekod. Cuma dikhuatirkan pernikahan itu secara sindiket atau dibuat di luar negara. Jika demikian, sukar menyemak status pernikahan mereka.

Berhubung persoalan kedua, pada asasnya lafaz talak adalah hak suami. Firman Allah yang bermaksud: "Wahai Nabi! Apabila kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri (kamu) maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan edahnya." (Surah at-Talaq, ayat 1)

Lafaz taklik adalah lafaz talak taklik (talak tergantung) yang dilafazkan apabila suami mengaitkan talak dengan sesuatu sifat atau syarat sama ada mempunyai hubungan dengan isterinya, suami sendiri atau orang lain.

Hikmah dijadikan talak di tangan suami dan bukan isteri bagi menjaga hubungan perkahwinan dan tidak diputuskan sewenang-wenangnya tanpa sebab yang wajar kerana lelaki membayar mahar dan membiayai nafkah isteri serta menyediakan tempat tinggal.

Kebiasaannya suami lebih berhati-hati membuat pertimbangan dengan memikirkan akibat buruk perceraian. Wanita lebih dipengaruhi emosi. Apabila berlaku talak, diikuti beberapa perkara bersifat harta seperti mahar, nafkah edah dan mutaah. Semua bebanan ditanggung lelaki dan ini membuatkan dia berfikir panjang sebelum menjatuhkan talak.

Wanita sejak awal lagi sudah menerima perkahwinan dengan talak berada dalam kekuasaan lelaki, sedangkan dia juga boleh mensyaratkan kuasa talak pada tangannya sejak permulaan akad perkahwinan lagi jika lelaki bersetuju berbuat demikian.

Bagaimanapun, ijmak ulama mengharuskan suami menyerahkan talak kepada isterinya atau mewakilkan kepada orang lain. Contoh, suami menyerahkan talak kepada isteri dengan berkata: "Awak talaklah diri awak sendiri".

Nabi SAW pernah memberi pilihan kepada isterinya sama ada terus tinggal bersama Baginda sebagai isteri atau berpisah kerana turunnya ayat yang bermaksud: "Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, jika kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah) maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mutaah (sagu hati) dan aku lepaskan kamu dengan cara sebaik-baiknya." (Surah al-Ahzab, ayat 28)

Menurut pendapat golongan Syafie, penyerahan talak adalah memberi milik kuasa bagi seseorang mengikut pendapat baru (qaul jadid). Syarat dikenakan bagi isteri segera menjatuhkan talak dan apabila isteri memiliki dirinya sendiri, maka pemilikan itu tidak boleh ditarik balik.

Sementara menurut pendapat golongan Hambali, orang yang diwakilkan talak itu berhak menjatuhkan talak pada bila-bila masa dikehendaki melainkan jika suami mengehadkan tempoh tertentu.

Orang yang diwakilkan itu tidak boleh menjatuhkan talak lebih daripada satu melainkan suami menyatakan sebaliknya. Jika suami mewakilkan talak kepada isteri dengan syarat, maka talak akan jatuh sebaik saja syarat itu dipenuhi. Ini berbeza dengan pendapat golongan Syafie yang mensyaratkan ia perlu dilaksanakan dengan segera tanpa bersyarat.

Merujuk persoalan puan, ia tertakluk ketentuan dan persetujuan antara suami puan dengan isteri keduanya. Jika suami ada atau tidak mewakilkan atau menyerahkan kuasa talak kepada isteri keduanya itu, maka si isteri berhak menceraikan dirinya sendiri.

Cuma jika memegang kepada pendapat golongan Syafie, isteri perlu menjatuhkan talak ke atas dirinya dengan segera, tidak boleh digantung atau ditaklikkan dengan syarat.

Jika suami tidak menyerahkan kuasa talak kepada isteri keduanya, lafaz taklik dibuat isteri kedua itu berkemungkinan besar tidak sah menurut hukum syarak.

Cuma dalam persoalan ini, ia adalah antara suami dan isteri keduanya. Mereka yang perlu memanjangkan perkara itu ke Mahkamah Syariah untuk pengesahan.

Jawapan disediakan Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang. Sila layari http://peguamsyarie.org.

Amalan saling bermaafan damaikan hidup bermasyarakat

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

SIFAT pemaaf bukan saja menonjolkan peribadi Muslim berakhlak mulia dan berbudi pekerti tinggi, malah turut mencerminkan keindahan Islam sebagai agama samawi yang meraikan fitrah kejadian manusia.

Hakikatnya, maaf adalah ungkapan amat mudah diucapkan tetapi sukar dipraktikkan. Al-Quran menjelaskan meminta dan memberi maaf antara amalan murni yang melayakkan Muslim mendapat ganjaran tinggi di sisi Allah.

Firman Allah bermaksud: “Terima kemaafan dan suruhlah dengan perkara yang baik serta berpalinglah (jangan dihiraukan) daripada orang yang jahil.” (Surah al-‘Araf, ayat 199)

Sesungguhnya sifat pemaaf sudah sebati dalam jiwa dan akhlak Rasulullah SAW. Walaupun celaan dan cabaran hebat dihadapi terutama ketika dipulau dan dihalau dari Makkah, Baginda membalas baik individu yang menyakitinya.

Apabila berjaya membuka kota Makkah, sebagai pemerintah yang sentiasa mendapat petunjuk Allah, Baginda tidak membalas keburukan yang diterimanya dulu.

Sifat pemaaf antara aset penting menyebabkan Rasulullah SAW dipandang mulia oleh masyarakat Arab zaman itu meskipun sebahagian mereka menolak ajaran Islam yang dibawa Baginda SAW.

Ketinggian peribadi Rasulullah SAW bersesuaian dengan tujuan diutuskan Baginda ke dunia iaitu untuk menyempurnakan akhlak umat manusia. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.” (Hadis riwayat Ahmad)

Dalam konteks kehidupan kini, meminta maaf dan sifat pemaaf perlu disemai dalam diri. Ibu bapa memainkan peranan penting menyemai nilai murni itu dalam diri anak supaya mudah dipraktikkan dalam kehidupan mereka.

Malu untuk mengaku kesalahan menjadikan amalan meminta maaf lenyap dalam diri Muslim. Ia membimbangkan apabila sentiasa berada dalam zon selesa, manusia berasakan kesalahan sesuatu yang biasa sambil mengetepikan hak dan perasaan orang lain.

Justeru, sikap mudah rasa bersalah walaupun atas perkara remeh perlu ditanam dalam diri Muslim. Hakikatnya, tanpa sikap saling memaafkan, kehidupan manusia terus dibelenggu pelbagai masalah khususnya berkaitan kehidupan bermasyarakat.

Tidak dinafikan, amalan meminta maaf dan sifat pemaaf berkait rapat dengan ego manusia tergolong dalam kategori nafsu yang sentiasa mengarah kepada keburukan. Dengan ego menebal dalam diri, seseorang bersalah tidak sanggup berdepan dengan pihak yang teraniaya dan meminta maaf.

Sebenarnya amalan meminta maaf dan sifat pemaaf mempunyai kaitan dengan sifat sabar. Dengan bersabar, ego dapat ditundukkan, maka lahir perasaan mudah meminta maaf dan juga memberi kemaafan.

Tanpa tahap kesabaran tinggi dalam mendepani apa juga masalah dan cabaran, maka akan jauh manusia daripada amalan meminta maaf dan sifat pemaaf. Allah mengingatkan kita pentingnya sifat sabar dalam diri.

Firman Allah bermaksud: “Maka bersabarlah dengan cara kesabaran yang sebaik-baiknya.” (Surah al-Ma’arij, ayat 5)

Firman-Nya bermaksud: “Dan bersabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 46)

Amalan meminta maaf dan sifat pemaaf patut menjadi budaya rakyat negara ini yang hidup dalam masyarakat majmuk. Bagi orang Islam, sifat murni itu perlu dipraktikkan sesama Muslim atau mereka berlainan agama.

Sesungguhnya setiap manusia tidak terlepas melakukan kesilapan dan kesalahan. Firman Allah bermaksud: “Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 185)

Selain rasa tanggungjawab untuk meminta maaf kepada sesama manusia terhadap segala kesalahan dan keterlanjuran, kita juga bertanggungjawab untuk memohon keampunan daripada Allah pada setiap waktu dan ketika.

Tiada sesiapa pun di dunia yang bersifat maksum (terpelihara daripada dosa dan kesalahan) melainkan nabi dan rasul yang menjadi pilihan Allah sebagai contoh serta ikutan terbaik umat manusia.

Jangan mudah alpa dibuai keseronokan dunia sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai hamba yang sentiasa mengharapkan rahmat dan keredaan Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun kepada hamba-Nya yang tidak jemu memohon keampunan atas dosa yang dilakukan.

Firman Allah bermaksud: “Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nisa’, ayat 25)

Memohon keampunan kepada Allah penting untuk mendapat keredaan hidup dunia serta akhirat. Rasulullah SAW ketika Saidatina Aisyah bertanya: "Wahai Rasulullah, apa pandanganmu jika aku mengetahui malam berlaku Lailatul Qadr, apakah yang perlu aku ucapkan pada malam itu? Bersabda Rasulullah SAW: Ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka kepada pengampunan, maka ampunilah aku."

Penulis ialah Felo Akademik Fakulti Bahasa Dan Komunikasi Universiti Darul Iman Malaysia.

Wednesday, May 6, 2009

Konsep wakaf sementara mampu tingkat nilai hartanah ummah

KONSEP wakaf ialah urusan menyerahkan kekayaan peribadi untuk dimanfaatkan masyarakat. Wakaf selalu dikaitkan dengan tanah perkuburan dan pondok teduhan yang biasa disediakan oleh mereka berkemampuan untuk faedah penduduk setempat.

Bagi kebanyakan umat Islam di Malaysia, memberi wakaf bermakna menyerahkan harta yang biasanya dalam bentuk tanah atau hartanah kepada Baitulmal atau Jabatan Agama Islam Negeri sebagai amanah untuk diuruskan bagi kebajikan seluruh umat.

Prinsip boleh ditekankan ialah apabila kita mempunyai harta kekayaan melebihi keperluan dan tidak dapat menguruskan kekayaan itu untuk faedah masyarakat umum, maka kita harus serahkan harta kekayaan kepada Baitulmal atau Jabatan Agama Islam Negeri untuk diuruskan bagi kepentingan ummah dengan matlamat mendapat ganjaran di akhirat.

Konsep wakaf boleh dikembangkan dengan menjadikannya institusi amanah bagi pihak umat Islam untuk memastikan kekayaan diperuntukkan kepada mereka dapat diuruskan lebih sempurna.

Bayangkan di sebuah negeri, jika kerajaan ingin memberikan bantuan yang berdaya maju, bantuan itu boleh disalurkan ke institusi wakaf dalam bentuk kurniaan di mana faedah atau pendapatan darinya diagihkan kepada semua sasaran penerima faedah.

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar: “Saidina Umar membeli sekeping tanah. Beliau berjumpa Rasulullah SAW untuk meminta nasihat berkaitan dengannya. Beliau berkata: Ya Rasulullah, saya sudah membeli sekeping tanah di Khaibar. Saya belum pernah memiliki tanah yang begitu bernilai seperti ini. Jadi apakah yang patut saya lakukan ke atas tanah ini? Rasulullah SAW menjawab: Jika kamu suka, kamu boleh menyimpan hak milik tanah itu kekal di tangan kamu dan berikan hasilnya sebagai sedekah. Saidina Umar memberikan hasilnya sebagai sedekah dengan mengisytiharkan tanah itu tidak boleh dijual atau dipindah milik. Hasil pendapatannya diagihkan kepada kumpulan fakir miskin, sanak saudara terdekat, usaha pembebasan abdi dan apa juga program ke jalan Allah. Rasulullah SAW menjelaskan: Tidak berdosa untuk pentadbir tanah memakan sedikit hasil dari tanah itu (jumlah yang munasabah) atau jika mereka memberi makan rakan sejawat asal tidak menyorokkan harta itu untuk dirinya sendiri semata mata, iaitu untuk menyimpannya dengan matlamat menjadi kaya.”

Menurut Ibnu Aun, dalam prinsip wakaf apa yang penting ialah tanpa menyimpannya dengan niat untuk menjadi kaya. Harta kekayaan boleh diserahkan kepada Baitulmal dan Jabatan Agama Islam Negeri untuk diwakafkan secara kekal atau sementara. Mesir yang ada kepakaran dalam pelaksanaan sistem kehidupan Islam, menubuhkan kementerian khusus iaitu Kementerian Wakaf. Di Mesir, semua wakaf dihadkan tidak melebihi 30 tahun tetapi boleh diperbaharui.

Disebabkan tanah perkuburan adalah kawasan luas di tengah bandar raya, maka berjuta penduduk yang tidak mempunyai tempat tinggal memilih untuk tinggal atas tanah perkuburan yang diwakafkan keluarga kaya di Kaherah. Hartanah ini secara beransur-ansur berubah kegunaan apabila tempoh wakaf berakhir.

Kementerian wakaf mempunyai tanggungjawab besar untuk menguruskan harta wakaf bagi faedah kesejahteraan seluruh umat Islam khususnya yang berada di sekitar lokasi harta itu.

Banyak hartanah diwakafkan kepada masjid dan kemudian tidak diurus pengurus wakaf. Masalahnya ialah saiz dan had kegunaan hartanah ditetapkan pewakaf iaitu untuk tapak masjid dan kubur.

Ramai umat Islam berasa mereka tidak mampu untuk mewakafkan harta kerana ingin mewariskan harta mereka kepada anak. Jika konsep wakaf sementara boleh diperkenalkan, pasti lebih ramai umat Islam tampil ke depan.

Harta dalam bentuk tanah, wang, rumah dan lain-lain boleh diwakafkan untuk 20 hingga 30 tahun sementara menunggu diperlukan oleh pemiliknya. Harta wakaf itu boleh diuruskan secara berkesan oleh badan korporat sebagai pemegang amanah bagi memastikan ia mendatangkan hasil yang boleh dimanfaatkan untuk membangun umat Islam.

Harta wakaf dalam bentuk wang ringgit, tanah kosong, hartanah mahu pun harta intelektual boleh diwakafkan secara sementara untuk diuruskan permodalan wakaf dalam tempoh wakaf itu. Yang penting, hasil atau faedah disalurkan kepada kumpulan yang berhak.

Pemberi wakaf tidak terhad kepada individu Muslim, termasuk institusi, badan korporat dan badan kerajaan dengan andaian bahawa permodalan wakaf adalah badan profesional pengurus dana yang akan menjadi pemegang amanah kepada harta milik pemberi wakaf untuk manfaat kumpulan sasar ditetapkan.

Sambungan kertas kerja pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), Prof Dr Barjoyai Bardai pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga

Pemegang sijil halal mesti bertanggungjawab

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

RAMAI kita suka memilih makanan mengikut kemampuan, keinginan dan selera masing-masing tetapi tidak ramai mengutamakan apakah makanan itu halal serta bersih menurut syariat Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai orang beriman, makanlah barang yang bersih daripada apa yang kami kurniakan kepada kamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Baginda SAW menyebut mengenai seorang lelaki yang berjalan jauh dengan keadaan kusut-masai rambutnya dan berlumuran debu. Sementara kedua-dua tangannya menadah ke langit sambil berdoa, padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, maka bolehkah diperkenankan Allah doanya.

Makanan suci dan bersih akan menjamin kesihatan yang baik. Justeru, di samping memilih makanan yang berzat dan berkhasiat, sebaik-baiknya perlu ditekankan akan kebersihan serta kesuciannya dari segi syariat agama.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh daripada makanan haram, maka api nerakalah yang layak baginya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Seseorang insan mukmin yang prihatin terhadap kebersihan dan kesucian makanan lahir cahaya keimanan dalam dirinya serta terdorong memastikan kebersihan diri secara keseluruhannya termasuk pakaian dan tempat tinggal.

Ibadat solat juga mengajar kepentingan menjaga kebersihan diri. Allah tidak akan menerima solat hambanya yang beribadat dalam keadaan kotor dan hina.

Keadaan ini sesuai maksud hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Menjadi bersih kamu, kerana sesungguhnya Islam itu bersih.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Pemilihan makanan yang bersih dan halal menjurus kepada banyak perkara kerana pemakanan memberi kesan langsung kepada pembinaan sahsiah serta keperibadian.

Namun, itu bukan bermakna kita dihalang menikmati makanan cuma disuruh menjaga apa yang dimakan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Makanlah apa yang dikurniakan Allah kepada kamu dari benda yang halal lagi bersih. Bersyukurlah dengan nikmat Allah jika kamu benar-benar menyembah Allah. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang sembelihan bukan kerana Allah. Maka, sesiapa yang di dalam keadaan terpaksa memakannya, sedang dia tidak sengaja dalam mencarinya, sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang.” (Surah al-Nahl ayat 114-115)

Makanan yang haram, sama ada dari bahan dicampur najis dan benda subahat atau daripada punca tidak halal, maka datang tiga bahaya besar kepada si pemakannya.

Pertama, makanan mempengaruhi jiwa seseorang sehingga dia merasa lebih gemar melakukan kejahatan dan maksiat serta bencikan kerja ketaatan.

Kedua, doanya tidak akan dimakbulkan Allah dan ketiga, menyebabkan dia akan mendapat seksaan neraka Allah pada hari akhirat kelak.

Apa juga bentuk makanan yang halal dan bersih perlu diikuti dengan peraturan memakannya. Makanan seimbang umpamanya dapat menghindarkan diri daripada dihidapi penyakit tertentu.

Rasulullah SAW menyarankan perut manusia diisi dengan satu pertiga air, satu pertiga makanan dan satu pertiga lagi adalah udara.

Daripada aspek adab pemilihan makanan, kita perlu menghindarkan diri daripada mengambil makanan yang sudah lama terbuka atau tin berkarat.

Selain adab makan dan memilih makanan, Islam turut melarang umatnya berlebih-lebihan dalam makanan dan minuman. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada bahaya yang lebih dibenci Allah daripada perut yang dipenuhi dan ketat dengan makanan halal.”

Banyak jenis penyakit bermula daripada salah pemilihan makanan termasuk makan secara melampaui batasan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perut adalah sumber penyakit dan berpantang adalah sebaik-baik ubat. Biasakanlah setiap tubuh dengan apa yang lazimnya.”

Allah murka kepada hamba yang suka melampau batasan termasuk dalam soal pemilihan, adab dan cara makan. Balasannya, Allah akan menurunkan pelbagai penyakit, sama ada menyerang manusia secara keseluruhannya atau individu.

Kelalaian serta kealpaan mereka menguruskan nikmat kurniaan Allah seperti makanan yang menjadi sumber tenaga untuk manusia melakukan kegiatan harian termasuk beribadat kepada-Nya.

Pembongkaran media massa mengenai penipuan penggunaan logo halal dan bahan makanan haram dijual sebagai halal di pasaran negara dari semasa ke semasa membuktikan masalah itu belum dapat ditangani dengan berkesan.

Sebenarnya isu halal dan haram ini berkisar kepada tiga perkara asas iaitu sikap pengguna beragama Islam terhadap makanan dibeli, kesedaran penjual dan tindakan penguatkuasaan untuk membendung penipuan sijil halal.

Walaupun di negara ini permohonan sijil halal adalah secara sukarela, pemantauan perlu diadakan sekerap mungkin bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan menggunakan sijil halal yang diperoleh demi mengaut keuntungan daripada pengguna Muslim.

Menjadi tanggungjawab pihak berkuasa memastikan tahap kebersihan dan kesucian makanan menepati maksud sebenar dengan melakukan pemeriksaan berkala supaya syarikat pengeluar menjaga mutu kebersihan mengikut syarat ditetapkan.

Jangan hanya sebelum dikeluarkan sijil pemeriksaan teliti dibuat tetapi selepas itu, senyap begitu saja hingga berlaku penipuan penggunaan sijil palsu serta sijil yang sudah tamat tempoh.

Sijil halal membolehkan umat Islam meyakini kebersihan serta kesucian makanan yang dijual di premis berkenaan.

Persoalannya sekarang siapakah yang akan dipertanggungjawab jika umat Islam termakan makanan tidak halal tetapi mempunyai label halal?

Hikmah solat sunat

MENGERJAKAN solat adalah amalan terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah dan solat sunat dapat menutup kekurangan yang mungkin wujud ketika menunaikan solat fardu. Keutamaan solat sunat dibahaskan secara terperinci dalam buku Panduan Solat Sunat Cara Nabi.

Banyak kelebihan menunaikan solat sunat, selain menutup kekurangan solat fardu, mereka yang memperbanyakkan solat sunat menjadi ahli syurga, darjatnya ditinggikan serta menghapuskan dosa lalu, dicintai Allah dan mencegah perbuatan dilarang.

Solat sunat rawatib yang didirikan sebelum dan sesudah solat fardu lima waktu mempunyai fungsi berbeza. Contohnya, solat sunat rawatib qabliyah dilakukan sebelum solat fardu untuk menenangkan jiwa supaya dapat khusyuk ketika solat. Solat sunat selepas solat fardu, rawatib ba’diyah menyempurnakan kekurangan yang mungkin ada dalam solat fardu didirikan sebelumnya.

Bab solat sunat turut membicarakan surah yang pernah dibaca Rasulullah SAW sebagai ikutan umat Islam berdasarkan nas yang sahih. Malah, buku ini turut membimbing cara mendirikan solat sunat. Ternyata solat sunat mempunyai keistimewaan terutama kepada mereka yang sudah menjadikan ia amalan.

Kenikmatan yang dirasai selepas menjalinkan hubungan secara langsung dengan Allah tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Hanya mereka yang tahu perasaannya.

Bagi mencapai maksudnya, sudah tentu setiap amalan itu hendaklah dilakukan dengan sempurna dan bagi yang masih tidak memahami keperluan solat sunat serta cara melaksanakannya, boleh merujuk buku Panduan Solat Sunat Cara Nabi.

Mungkin masih ada yang belum faham apa yang dimaksudkan dengan solat witir yang membawa maksud jumlah ganjil iaitu tiga, lima serta seterusnya. Solat yang dikatakan sebagai penutup bagi solat malam juga sering menimbulkan kekeliruan.

Buku ini cuba menjelaskan apakah maksud solat witir berdasarkan dalil disyariatkan, tatacara pelaksanaan serta hukum berkaitan seperti membaca qunut dalam solat witir.

Tidak dinafikan, ada perbezaan pendapat dalam perbahasan fekah dan ia turut diketengahkan penulis buku Panduan Solat Sunat Cara Nabi supaya dapat memberi kefahaman kepada pembaca yang mungkin pernah membaca mengenainya.

Bukan semua solat sunat dibincangkan dalam buku ini kerana penulis memfokuskan solat sunat yang disandarkan kepada hadis yang sabit daripada Rasulullah SAW sesuai tajuknya bersolat menurut cara Rasulullah SAW.