Thursday, October 15, 2009

Mengingati mati boleh beri keinsafan, tingkat amal ibadat

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

SEMUA makhluk ciptaan Allah SWT tidak akan kekal selama-lamanya. Apabila tiba masanya, semuanya akan mati yang menandakan berakhirnya sebuah riwayat kehidupan, hanya Allah SWT yang akan kekal abadi selamanya. Firman Allah SWT, "Di mana juga kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (apabila sampai ajal) sekalipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh" (An-Nisa': 78)

Biarpun pelbagai usaha dibuat terutama oleh mereka yang mempunyai kemudahan kewangan untuk mengelakkan bertemu dengan kematian, semua usaha tidak akan ke mana. Sebenarnya kita hanya menunggu giliran untuk dicabut nyawa oleh malaikat suruhan Allah SWT. Persoalannya bila, di mana dan bagaimana.

Ulama membahagikan kematian itu kepada dua, iaitu mati kecil iaitu tidur dan mati besar iaitu mati yang sebenarnya. Islam amat menggalakkan umatnya agar sentiasa mengingati mati. Dengan mengingati kematian, sudah pasti setiap kita akan lebih bersiap sedia untuk menempuhinya. Bersedia dalam erti kata melengkapkan roh dan jasad dengan amalan dan ibadat yang banyak.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Muslim, Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya sebelum ini aku telah melarang kamu daripada menziarahi kubur dan sekarang ziarahilah. Sesungguhnya dengan menziarahi kubur akan mengingatkan kamu kepada alam akhirat."

Ibadat sembahyang ada hubung kaitnya dengan ingatan kepada kematian. Setiap kali menunaikan ibadat solat, sekurang-kurang dua kali kita menyebut 'Yaumuddin' yang pastinya mengingatkan kita kepada Hari Kiamat, sebuah alam abadi yang bakal dihuni apabila tamatnya riwayat hidup alam fana ini.

Begitu juga sewaktu ketika dibaca doa Iftitah, kita menyebut kalimah 'wamamati'. Ia turut menginsafkan seseorang yang mendirikan solat agar sentiasa mengingati akan kematian. Dari sudut prinsip, kematian adalah suatu hala tuju kehidupan seseorang insan untuk menghargai tubuh badan dan roh yang dikurnia Allah SWT. Dengan rasa penuh tanggungjawab dan iltizam dalam diri, kematian akan membangkitkan kesedaran dan keinsafan untuk seseorang lebih hampir ke sisi Tuhan.

Wujud salah faham di kalangan umat Islam hari ini yang selalunya beranggapan bahawa orang yang lebih lanjut usia, lazimnya akan pergi terlebih dulu untuk menghadap Allah SWT. Salah faham begini bukan saja menafikan keadilan Allah, malah boleh membawa diri seseorang itu untuk berpaling daripada tuntutan agama yang sebenar.

Ramai di kalangan manusia yang lebih muda usianya lebih leka dan alpa dengan kenikmatan dunia yang sementara kerana beranggapan kemanisan hidup di dunia perlulah dikecapi dengan sepenuh-penuhnya, sebelum tibanya hari tua untuk melengkapkan diri dengan beramal ibadat, sebelum kematian menjengah.

Dalam satu lagi hadis Rasulullah yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim, Baginda bersabda, "Sebaik-baik manusia adalah mereka yang semakin lanjut usianya semakin baik amal perbuatannya. Sejahat-jahat manusia adalah mereka yang dilanjutkan usianya, tetapi semakin buruk pula amal perbuatannya."

Ibnu Umar pernah berkata, "Jika anda masih hidup pada waktu pagi, jangan tunggu hingga ke petang dan jika anda masih hidup pada waktu petang, jangan tunggu hingga ke pagi, sediakan dirimu pada masa hidup untuk bekalan waktu mati, dan pada masa sihat untuk bekalan waktu sakit.

Justeru, wasiat Nabi di atas sentiasa mengingatkan kita betapa kita bagaikan musafir yang sedang berlalu sementara di dunia ini, maka apakah persiapan bekalan yang telah kita buat bagi menghadapi Allah SWT pada hari yang penuh dengan persoalan di padang Mahsyar?

Kita tidak akan hidup kekal dan lama di dunia, oleh itu, jangan sekali-kali kita melakukan kejahatan. Jika kejahatan yang dilakukan boleh menyebabkan kita tidak mati, maka lakukanlah tetapi kejahatan yang kita buat ketika hidup di dunia, semuanya akan ditayangkan semula di hadapan Allah SWT. Walaupun kita melupakannya, tetapi Allah SWT sekali-kali tidak demikian.

Diceritakan bahawa Lukman Hakim mempunyai seorang anak lelaki yang cukup degil. Beliau terpaksa menempuh kesukaran dan kepahitan hidup untuk mendidik anaknya yang keras hati itu. Banyak usaha dan cara dilakukan untuk mengubah keadaan anaknya itu, tetapi semuanya gagal. Sehinggalah pada suatu ketika Lukman membawa anaknya itu menziarahi kubur setiap kali ada kematian. Lalu, tidak lama kemudian, anaknya itu mula insaf dan sedar akan hakikat sebuah kehidupan yang akan diakhiri dengan kematian.

Lafaz rujuk sah jika keluar daripada mulut suami secara ikhlas

Hak Muslim

Soalan:

Sebulan lalu saya bercerai dengan isteri dengan talak satu untuk kali pertama. Isteri tidak rela dengan perpisahan berlaku dan menyuruh saya merujuknya semula. Isteri juga melafazkan rujuk ke atas saya yang berbunyi "Saya rujuk semula dengan awak". Saya hanya mengangguk tanda setuju walaupun hati saya sebenarnya masih berbelah bahagi. Saya jadi keliru adakah sah rujuk yang dibuat isteri saya itu atau adakah sah rujuk yang saya buat walaupun dalam keadaan dipaksa.

Mamat,
Kuala Lumpur.

Jawapan:

Rujuk adalah penerusan kepada perkahwinan sedia ada yang dibuat suami menggunakan lafaz tertentu tanpa perlu kepada akad dan mas kahwin yang baru. Di dalam Islam, Allah meletakkan hak rujuk di tangan suami apabila berlaku perceraian talak rajie selagi isteri masih dalam edah. Allah Taala berfirman di dalam surah al-Baqarah, ayat 228: "Dan suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk) isteri pada masa edah mereka jika (suami) bertujuan hendak berdamai".

Saidina Umar R.A meriwayatkan, "Rasulullah SAW menceraikan Hafsah, kemudian Baginda kembali rujuk kepadanya". Menurut jumhur ulama, terdapat tiga rukun utama rujuk iaitu suami, isteri dan sighah (lafaz).

# Rukun pertama, suami hendaklah seorang baligh (cukup umur) . Tidak sah rujuk bagi suami belum baligh. Suami hendaklah seorang berakal dan tidak sah rujuk sekiranya suami dalam keadaan gila. Suami merujuk isteri hendaklah dengan sukarela. Tidak sah rujuk jika suami dipaksa dan ketika rujuk suami hendaklah kekal Islam.

# Rukun kedua, isteri hendaklah disetubuhi sebelum berlaku perceraian. Tidak boleh merujuk isteri yang diceraikan sebelum disetubuhi kerana isteri seperti itu tidak mempunyai edah. Isteri yang dirujuk itu mesti ditentukan secara khusus.

Jika suami menceraikan beberapa isterinya kemudian ia rujuk salah seorang daripada mereka dengan tidak ditentukan siapa yang dirujuknya, maka rujuk itu tidak sah. Isteri diceraikan dengan talak rajie. Jika ditalak dengan talak bain, maka tidak sah rujuk. Rujuk juga hanya boleh berlaku ketika isteri dalam tempoh edah.

Tidak sah rujuk selepas terbukti tamatnya edah isteri atau isteri berkenaan murtad ketika dirujuk.

l Rukun ketiga, sighah (lafaz) hendaklah menggunakan perkataan yang menunjukkan dituju kepada isteri seperti 'engkau' atau 'nama isteri itu' atau dengan isyarat tunjuk kepada isteri. Sighah pula tidak boleh digantungkan (ditaklik) dengan sesuatu. Contohnya suami berkata: "Saya rujuk awak jika awak suka." Atau: " Saya kembali kepada awak jika awak berhenti kerja." Kewujudan saksi hanya disunatkan.

Isteri yang diceraikan tidak boleh merujuk suami yang menceraikannya walaupun isteri masih suka kepada suaminya. Rujuk yang dilafazkan oleh suami dengan memenuhi semua rukun dan syaratnya adalah sah walaupun rujuk dibuat itu dalam keadaan bergurau.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang menyatakan bahawa tiga perkara yang tidak boleh dibuat main-main termasuk nikah, cerai dan rujuk. Apabila dilafazkan dengan jelas, maka ia akan menjadi sah. Seksyen 51(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (AUKI) memperuntukkan bahawa suami hanya boleh rujuk sekiranya berlaku talak rajie dengan satu atau dua talak yang tidak diikuti dengan habis tamat edah. Oleh itu suami tidak boleh rujuk jika sekiranya tempoh edah bagi talak rajie itu tamat.

Dalam Seksyen 51(9) AUKI jika sekiranya suami melafazkan rujuk tapi isteri tidak bersetuju dengan sebab dan alasan yang dibenarkan hukum syarak, seperti suami menderanya dan jika kembali boleh membahayakan diri isteri, maka mahkamah boleh memerintahkan satu jawatankuasa dilantik. Jawatankuasa ini akan diberi masa enam bulan untuk menilai sama ada wajar mereka kembali sebagai suami isteri atau sebaliknya. Seorang suami dilarang merujuk dengan maksud jahat seperti bertujuan untuk menyakiti atau menganiaya isteri yang hendak dirujuk.

Ini berdasarkan Surah al-Baqarah ayat 231: "Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan maksud memberi mudarat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka. Sesiapa yang melakukan demikian, maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. Janganlah kamu menjadikan ayat hukum itu sebagai ejekan dan permainan".

Dari segi hukum rujuk, wajar diperhatikan bahawa hukum asal bagi rujuk adalah harus tanpa dikaitkan dengan perkara lain. Adalah makruh hukumnya bagi rujuk jika perceraian itu adalah lebih baik kepada kedua-dua pasangan suami dan isteri. Sunat rujuk sekiranya suami bertujuan memperbaiki rumah tangga dan masih menyayangi dan ingin memperbaiki keadaan isterinya.

Manakala hukumnya adalah haram jika suami rujuk dengan tujuan membalas dendam atau menzalimi isteri. Merujuk kepada kes saudara, saudara mempunyai hak untuk merujuk isteri saudara tapi hendaklah dengan tujuan baik. Kuasa rujuk di tangan saudara sebagai suami tidak kira atas kemahuan isteri mahupun kemahuan saudara walaupun isteri tidak bersetuju dengannya. Bagaimanapun, rujuk yang dibuat oleh isteri adalah tidak sah. Rujuk juga perlu dilafazkan oleh suami menggunakan lafaz yang jelas menunjukkan berlaku rujuk.

Jawapan disediakan Exco Penerbitan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Yusmawati Abllah

Friday, October 9, 2009

Lebihan zakat patut diperluas bantu minoriti Islam rantau Asia

Oleh Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali

INSTITUSI zakat menjadi sumber dan jaminan sosial dalam memperkasakan ekonomi umat Islam. Sejarah membuktikan zakat dapat menjamin keperluan masyarakat. Pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz, beliau dapati tidak ada fakir miskin lalu wang zakat digunakan untuk membebaskan hamba.

Pada dasarnya, keuntungan zakat dilihat pada sebelah pihak iaitu orang menerima zakat dan bantuan. Mereka yang menghulurkan zakat seolah-olah dilihat tidak mendapat faedah daripada pemberian selain kerugian dan menantikan ganjaran di akhirat.

Sebenarnya hikmah pemberian zakat pasti kembali kepada pemberi kerana apabila seseorang mengeluarkan zakat, secara tidak langsung dia akan menyucikan jiwanya daripada sifat bakhil di samping menambahkan keberkatan harta. Tidak pernah terukir dalam tinta sejarah seseorang yang mengeluarkan zakat menjadi papa kedana.

Perkara yang sering terjadi orang tamak dan bakhil sering muflis dan miskin. Hikmah membayar zakat juga mengurangkan jurang ketara antara kaya dan miskin. Orang kaya dapat membantu golongan miskin seterusnya menghilangkan sifat cemburu, dendam, rasa rendah diri terhadap orang kaya kerana kebaikan mereka.

Antara asnaf yang layak menerima zakat ialah orang berhutang, namun bukan berhutang wang atau hutang membeli kereta dan rumah, sebaliknya usahawan yang mampu menjana ekonomi umat.

Oleh itu, Pusat Zakat dan Baitulmal harus membantu mereka bagi memperkasa ekonomi umat. Apabila mendapat keuntungan, mereka pula memberi zakat. Begitu juga dengan pemberian zakat kepada fakir miskin dengan harapan ia mampu mengubah cara hidup seharian.

Dengan wang zakat itu, mereka mampu menjadikannya modal untuk berniaga secara kecil-kecilan atau membeli peralatan untuk pertanian. Dengan cara inilah, mereka dapat mengubah cara hidup ke arah lebih sempurna tanpa mengharap bantuan zakat sepanjang hayat.

Malangnya, ada penerima menggunakan wang ke arah yang tidak menguntungkan diri dan keluarga seperti membeli televisyen dan radio serta telefon yang mahal.

Dalam hukum zakat, ada golongan yang berpegang kepada tafsiran sempit nas. Mereka berpendapat wang kertas yang digunakan pada hari ini bukan wang yang dinyatakan dalam al-Quran dan Sunnah. Wang itu tidak perlu dikeluarkan zakat dan tidak berlaku riba kerana yang dinyatakan dalam agama ialah wang emas dan perak saja. Ini pendapat jemaah di Lebanon yang dikenali sebagai al-Ahbasyh. Mereka juga menggugurkan zakat harta perdagangan seperti Nasaruddin al-Bani, Imam al-Syaukani dan Sadiq Hassan Khan al-Qanuji. Mereka juga berpendapat zakat fitrah harus dikeluarkan daripada makanan asasi saja.

Mereka menolak untuk mengeluarkan zakat dengan nilai wang daripada makanan asasi itu. Mereka berpendapat ia wajib dikeluarkan dengan makanan asasi seperti gandum, beras, jagung dan kurma. Sesiapa yang mengeluarkan zakat fitrah dengan wang dianggap batil sedangkan perkara ini menjadi perselisihan di kalangan ulama. Yusuf al-Qaradawi menyebutkan bahawa mengeluar zakat dengan nilai sama dengannya adalah bersesuaian dengan zaman dan ia lebih memudahkan untuk perkiraan serta memudahkan pihak pengurusan menerima dan mengagihkan zakat.

Zakat memerlukan ijtihad dan pengurusan yang profesional. Termasuk dalam hal ini ialah pemberian zakat tidak sepatutnya kepada warga negara Malaysia saja, malah juga kepada umat Islam minoriti di rantau ini. Kita bertanggungjawab menjaga kebajikan Islam minoriti di rantau ini. Kekayaan dan kemakmuran umat Islam di Malaysia perlu juga dirasai umat Islam minoriti di Kemboja, Vietnam dan pelarian Islam Rohinya.

Pusat Zakat Kuwait dan Qatar umpamanya sejak 1970-an memberi zakat kepada minoriti Islam di seluruh dunia termasuk umat Islam di Malaysia pada 1970-an. Oleh itu, perlulah pusat zakat di Malaysia dan Baitulmal memikirkan akan tanggungjawab ini dengan melebarkan pengagihan kepada minoriti umat Islam di rantau ini.

Waktu gempa di Padang menyamai 3 nas al-Quran

Oleh Ibrahim Abdullah

SEGALA kejadian di muka bumi ini adalah ketetapan Allah SWT. Demikian pula dengan musibah gempa yang berlaku di Padang, Sumatera. Kebetulan juga waktu terjadi musibah itu dengan kaitan surah dan ayat yang ada hubungannya dalam kitab suci al-Quran al Karim.

Cuba perhatikan gempa di Padang pada jam 17.16 petang, kemudian susulan gempa pada jam 17.58 petang dan esoknya terjadi gempa di Jambi pada jam 08.52 (waktu antarabangsa).

Jam 17.16 (iaitu surah ke-17, al-Israk, ayat 16) bermaksud: “Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah), tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.”

Jam 17.58 (surah ke-17, al-Israk, ayat 58) bermaksud: “Tidak ada suatu negeri pun (yang derhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu sudah tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuz).”

Jam 08.52 (surah ke-8, al-Anfal, ayat 52) bermaksud: “(keadaan mereka) seperti Firaun dan pengikutnya serta orang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat Allah, maka Allah menyeksa mereka disebabkan dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras seksaan-Nya.”

Tiga ayat Allah SWT di atas, yang ditunjukkan tepat dalam waktu kejadian tiga gempa di Sumatera. Mengenai azab Allah kehancuran dan kematian serta kaitannya dengan hidup mewah dan derhaka.

Dengan pelbagai ‘kebetulan’ yang Allah SWT sampaikan ketika musibah itu, Allah jelas hendak mengingatkan kita. Apakah ia sekadar kebetulan di sebalik rahsia kejadian tanpa mengandungi pengajaran? Apakah mesej Allah itu akan mengubah kita agar lebih berhati-hati dan taat perintah dan menjauhi larangan-Nya? Mungkin kita tidak peduli atau mentertawakan seperti kaum Musyrikin Quraisy mempersendakan risalah disampaikan kepada Rasulullah SAW? Semua terpulang kepada kita.

Manusia bukan makhluk tunggal di muka bumi ini. Manusia bersama makhluk lain yang juga memiliki hak sama untuk dapat hidup mengikut sunnatullah yang ditetapkan Allah SWT. Walaupun alam dengan isinya mungkin ditundukkan oleh manusia dengan ilmu pengetahuan, tidak bererti alam harus tunduk kepada manusia.

Alam tetap patuh dan pasrah (Islam) kepada Allah. Alam dengan segala isinya memiliki kehidupan sendiri. Harus disedari, kita dan alam memiliki hak yang sama untuk mengabdikan kepada Allah, tentu saja dengan cara sendiri. Sebenarnya sesama makhluk Allah, kita harus dapat harmonikan kehidupan dengan alam. Jika tidak, berlaku ketegangan, pertembungan dan saling menghancurkan.

Antara yang perlu kita perhatikan disebut al-Quran ‘tasbih bumi’ iaitu bumi juga makhluk Allah yang sentiasa bertasbih kepada Allah. Orang bertasbih menyucikan Allah daripada segala perbuatan yang tidak sewajarnya.

Kata Subhanallah yang selalu kita lafazkan selepas solat bererti Maha Suci Allah dengan segala sifat dan perbuatan-Nya. Ilmuwan Muslim, Zaghlul an-Najjar, dalam bukunya Shuarun min Tasbih al-Kainaat Lillah (Ketika Alam Bertasbih) menyatakan: “Al-Quran menegaskan langit dan bumi dapat berbicara, menangis dan berasa sakit serta pedih.”

Riwayat daripada Nabi SAW yang menjelaskan makna Surah al-Zalzalah, ayat 3, yang mengatakan: “Pada hari itu bumi menceritakan.” Baginda bertanya: Tahukah kamu beritanya? Mereka menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih tahu.' Baginda berkata: Sesungguhnya berita ia (bumi) bersaksi atas hamba atau umat yang berada di atasnya. Ia (bumi) berkata, melakukan ini pada hari ini, begini dan begitu.” (Riwayat at-Tirmizi).

Amat mengelirukan jika kita menganggap bumi sebagai benda mati yang tidak memberi reaksi terhadap apa yang dilakukan manusia di muka bumi ini. Jelas bahawa bumi tempat kita berpijak selalu bertasbih dan berdialog kepada Allah SWT.

Bumi menyucikan Allah dan memuji-Nya dengan cara yang tidak kita ketahui. Apakah akan terjadi jika manusia yang hidup di muka bumi ini tidak bertasbih kepada Allah. Betapa seksanya bumi menampung manusia kufur, berdosa, bermaksiat dan melupakan Allah. Bumi berasa berat dan menanggung beban yang tidak tertahan kerana dipijak manusia yang derhaka dan berdosa.

Gempa adalah reaksi bumi. Kita memerlukan pendekatan teologi dan spritual. Gempa membuat manusia sedar bahawa selain manusia, langit dan bumi berserta apa yang ada di dalamnya juga makhluk Allah yang memiliki hukum dan kehidupannya sendiri. Bumi agak marah kepada manusia yang tidak pernah tersedar, kufur, dan ingkar kepada Allah.

Firman Allah bermaksud: “Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan (yang dahsyat), dan bumi telah mengeluarkan beban (yang dikandungnya), dan manusia bertanya: “Mengapa bumi (menjadi begini?) (Surah al-Zalzalah : 1-3)

Persiapan minda, ilmu mantapkan pelaksanaan haji

Oleh Dr Ridzwan Bakar

KETIKA menziarahi seorang rakan sempena Aidilfitri baru-baru ini, beliau mengucapkan terima kasih kerana selepas membaca buku Haji Muda berjaya membuka hati dan fikirannya untuk menunaikan haji.

“Wan, aku dapat 2027 untuk mengerjakan haji,” katanya dengan riang. Ini bermakna, beliau terpaksa menunggu 18 tahun lagi sebelum hasrat murninya tercapai, berdasarkan sistem kuota dan pendaftaran haji di Lembaga Tabung Haji. Jika usia rakan ini 40 tahun, kiraan kasar, beliau menunaikan haji pada usia 58 tahun. Pada akhir tahun lalu, saya difahamkan jika seseorang mendaftar untuk menunaikan fardu haji, mereka ditetapkan pada 2025, untuk berbuat demikian. Justeru, dengan anggaran kuota 25,000 jemaah setahun, maknanya hampir 50,000 bakal haji mendaftar tahun ini saja.

Jika ini benar, Alhamdulillah. Peningkatan ini menggambarkan kesungguhan umat Islam melaksanakan ibadah haji. Di samping peningkatan ini, tabungan juga semakin kukuh. Ia boleh disalurkan bagi memartabatkan pelaksanaan sistem kewangan Islam dan pembangunan ekonomi ummah secara menyeluruh. Seronok sungguh apabila membicarakan bab Haji dan Umrah. Hati dan fikiran terasa lapang. Dengan sedikit perkongsian dan penerangan, rakan saya kelihatan ceria dan bersemangat.

Pada kesempatan lain, saya bertemu seorang berjawatan tinggi dan berduit. Beliau akan menunaikan haji mengikut pakej swasta RM25,000 tahun ini yang tentunya mempunyai nilai tersendiri.

Ada beberapa perkara yang perlu saya kongsi dengan pembaca. Berikut ialah soalan yang dikemukakan kepada saya:

l Perlukah menghadiri program Haji Perdana? Pegawai ini bertanya sama ada wajib menghadirinya atau tidak. Perkara ini sudah saya kupas dalam blog http://ridzwan-bakar.blogspot.com, pada musim haji lalu.

Ringkasnya, pilihan di tangan kita. Saya berpendapat, hadiri program ini walaupun mungkin kita tahu banyak perkara dan sudah berguru serta yakin dengan ilmu yang dimiliki. Latihan ‘kesusahan’ pada program ini memantapkan persediaan ibadah haji .

Hargailah usaha Tabung Haji bagi memantapkan persediaan ibadah rakyat Malaysia. Tidak salah belajar susah sedikit selepas bertahun kita menikmati kemewahan dan kenikmatan rezeki yang Allah beri. Proses latihan bertawaf dan saie boleh dijadikan ukuran tahap kecergasan kita.

Jika kita mudah mengantuk dan letih ketika latihan Haji Perdana, ia menjadi kayu ukur kita perlu segera memperbaiki kelemahan ini. Kita perlu mendapat nasihat doktor bagi memberi booster tahap kecerdasan diri.

Program Haji Perdana juga melatih kita bangun awal dan melaksanakan solat malam. Ia tarbiah tahap lanjutan selepas kita berjaya program tarbiah Ramadan. Dengan latihan dan amalan solat malam berterusan, insya-Allah kita mampu melakukan yang terbaik apabila berada di Makkah dan Madinah.

l Mohon cuti awal seminggu sebelum berangkat. Anda lebih rileks dan bebaskan minda daripada hal ehwal pejabat. Ambil kesempatan cuti dengan menyelesaikan semua keperluan keluarga seperti bayaran bil, pinjaman dan urusan anak. Ketika cuti ini juga, ajak isteri ke tempat riadah selepas Subuh. Buat senaman atau latihan bagi meningkatkan tahap kecergasan diri.

l Perlukah membawa telefon blackberry ke Tanah Suci? Nasihat saya, tidak perlu. Gunakan telefon bimbit pada tahap minimum. Hidupkan telefon bimbit apabila perlu saja. Jika boleh, tutup minda daripada urusan pejabat seminggu sebelum berangkat ke Tanah Suci. Ini memberi kita lebih kekuatan.

Urusan pejabat tidak akan selesai sampai bila-bila selagi kita bekerja makan gaji. Apabila sakit atau dimasukkan ke hospital, tiada siapa akan peduli hal kita yang menanggung sendiri kesakitan. Jika anda ke Tanah Suci kerana bertugas, teknologi terkini sedikit sebanyak mengganggu aktiviti dan tumpuan ibadah.

l Bermaafan. Kita tidak mampu untuk bertemu dengan semua saudara mara dan rakan pada hari lebaran ini. Menjadi adat kita akan bermaafan sebelum ke Tanah Suci. Bagi menjimatkan masa dan kos, saya nasihat aturkan program rumah terbuka.

Hubungi seberapa ramai saudara mara dan rakan supaya hadir. Juga maklumkan anda akan ke Tanah Suci tahun ini.

Majlis rumah terbuka boleh dimanfaatkan sepenuhnya di samping diselitkan agenda majlis doa selamat dan kesyukuran ke Tanah Suci. Ini sudah pasti menjimatkan tenaga dan wang.

l Kenduri haji. Hindarkan melakukan kenduri beberapa hari sebelum berangkat. Proses kenduri ini amat meletihkan. Kenduri awal akan dapat memberi sokongan emosi buat bakal tetamu Allah.

l Tingkatkan ilmu. Ruang menuntut ilmu di Malaysia amat luas. Kita mempunyai ramai ustaz yang mampu membantu. Kenal pasti bab haji yang kurang mantap. Fahami perjalanan haji daripada awal hingga akhir. Di samping itu, binalah kekuatan diri, berbincang dengan insan yang pernah ke Tanah Suci, berpengalaman dan mereka yang membuat kajian berkaitan haji.

Haji mabrur menuntut pengorbanan besar. Ganjaran syurga dijanjikan bagi mereka yang berusaha keras meniti haji mabrur. Semoga tulisan ini bermanfaat untuk persediaan awal jemaah tahun ini.

Penulis ialah pengarang buku Haji Muda

Sunday, September 20, 2009

Persoalan Agama: Solat sunat Aidilfitri berjemaah amat dituntut

BOLEHKAH ustaz memberi penjelasan mengenai sambutan Aidilfitri seperti ditetapkan agama kita? Selain saling bermaafan, apakah lagi bentuk amalan lain yang boleh dilakukan? Bagaimana dengan amalan menitikberatkan soal pemberian duit raya yang keterlaluan, sehingga meneng-gelamkan maksud Syawal yang sebenarnya. Apakah hukum memberi duit raya mengikut Islam?

INGIN TAHU,

Alor Setar, Kedah.

MENGKAJI sejarah Aidilfitri dan Aidiladha, ulama hadis menerangkan sebuah riwayat dari Anas bin Malik, apabila Nabi SAW sampai ke Madinah, orang-orang Ansar merayakan dua hari perayaan iaitu Nairus dan Mahrajan. Menurut penjelasan dari kitab Aunul Ma’bud kedua-dua hari mereka bergembira ini ditetapkan oleh pihak berkuasa pada masa itu. Lalu Nabi SAW dengan wahyu dari Allah SWT sudah menukarkan kedua-duanya kepada Aidilfitri dan Aidiladha. Nabi bersabda yang bermaksud: “Aku datang kepadamu sedangkan kamu menyambut dua hari raya yang menjadi hari kamu bergembira pada zaman jahiliah, maka Allah SWT sudah menggantikannya kedua-duanya dengan Aidilfitri dan Aidiladha.”

Menurut Syeikh Ahmad Ab Rahman al-Banna, maksud gantian ini disyariatkan oleh Allah SWT kerana kedua-duanya berkaitan secara langsung selepas pelaksanaan dua rukun Islam yang penting iaitu ibadat puasa selama sebulan sepanjang Ramadan dan haji yang dilakukan pada waktunya. Penetapan ini turut mengambil kira kecenderungan hamba-Nya yang gemar bergembira, maka dianugerahkan kegembiraan itu. Anugerah itu diberikan selepas berusaha sedaya upaya mentaati-Nya.

Dalam hadis yang lain yang turut mengukuhkan aspirasi raya sebagai suatu kegembiraan, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Bagi setiap Muslim yang berpuasa baginya dua kegembiraan iaitu kegembiraan bila dia berbuka dan kegembiraan bertemu dengan Allah SWT (Riwayat Muslim). Maksud berbuka dalam maksud yang lebih luas seperti yang difahami sebahagian ulama adalah berhari Raya.

Antara amalan yang menjadi amalan Nabi SAW dalam menyambut hari raya adalah seperti berikut:

l Menghadiri Solat sunat Aidilfitri secara berjemaah dan mendengar khutbah. Al-Imam al-Syaukani menjelaskan dalam Nailul Awtar, Nabi SAW sentiasa mengerjakan solat sunat berkenaan dan tidak pernah meninggalkannya. Malah baginda telah memerintahkan umatnya untuk mengerjakannya, termasuk hamba dan wanita yang haid pun digalakkan untuk menyaksikan solat itu dikerjakan oleh umat Islam.

l Mandi sebelum solat Sunat Aidilfitri. Menurut Said bin al-Musayyib mengatakan, sunnah sebelum solat itu ia merangkumi tiga perkara iaitu mandi sebelum solat sunat Aidilfitri, makan sebelum pergi solat dan pergi dengan berjalan kaki. (Riwayat al-Firyabi dengan sanad yang sahih seperti yang dijelaskan dalam Irwaul Ghalil)

l Berhias diri dengan cara yang dibenarkan tanpa mendedahkan aurat dan memakai pakaian dari buatan yang diharamkan. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathil Bari bahawa sahabat seperti Ibn Umar akan memakai pakaian yang paling baik pada hari Aidilfitri dan Aidiladha. Maka menjadi suatu yang dituntut agar umat Islam memakai pakaian yang elok pada kedua hari ini. Bagaimanapun hendaklah dijauhi pakaian-pakaian yang dibuat dari bahan yang haram seperti sutera kerana dalam sebuah hadis yang lain apabila Umar memberikan untuk nabi pakaian dari sutera untuk dipakai pada hari Raya, maka Nabi SAW dengan tegasnya bersabda: “Pakaian ini adalah pakaian untuk orang yang tidak berakhlak.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim ).

l Makan sedikit sebelum pergi ke tempat solat. Perkara ini berdasarkan sebuah hadis sahih dari Anas, bahawa Nabi SAW tidak akan berangkat ke tempat solat pada hari Aidilfitri sehinggalah baginda makan beberapa biji kurma terlebih dulu. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim )

l Memperbanyakkan takbir. Menurut sebuah riwayat dari Ibn Abi Syaibah dari Musannafnya Nabi SAW akan berangkat menuju ke tempat solat sunat Aidilfitri atau Aidiladha, dan baginda akan bertakbir hingga sampai ke tempat solat, malah akan sibuk bertakbir dengan nyaring hingga solat sunat Aidilfitri atau Aidiladha itu. Baginda Cuma akan berhenti sejurus sebelum memulakan solat sunat berkenaan.

l Mengucapkan tahniah kepada setiap Muslim yang ditemui dengan ucapan: “TaqabbalalLahu minna wa minkum yang bermaksud, semoga Allah SWT menerima amal salih yang kita lakukan sepanjang Ramadhan. Kata Ibn Hajar dalam kitabnya al-Mahamiliyyat dan Fathul Bari, ini adalah ucapan selamat yang paling sahih yang ditemui dalam riwayat-riwayat dari Nabi SAW.

Berkaitan dengan perbuatan yang menjadi amalan masyarakat Melayu dengan memberikan wang pada hari Raya ia hanyalah suatu amalan tradisi yang harus dilakukan.

Ini bergantung kepada niat seseorang, sama ada dia menghulurkan wang itu sebagai hadiah ataupun sedekah. Apa juga niat yang disematkan moga-moga ia termasuk dalam kebajikan yang dinyatakan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 215 yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: "Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).

Menurut Ibn Kathir dalam Sahih Tafsir Ibn Kathir sebuah riwayat dari Muqatil bin Hayyan, ayat ini menjelaskan keutamaan infaq ataupun belanja, saluran manakah yang harus diutamakan. Ayat ini ditutup dengan ingatan bahawa segala kebaikan yang dikerjakan, pasti akan dibalas oleh Allah SWT dengan kebaikan kerana Dia tidak akan menzalimi hamba-Nya, meskipun kebaikan itu hanyalah sebesar zarah saja.

Cuma penting bagi ibu bapa agar menjelaskan kepada generasi anak-anak kepentingan menjadi insan yang mulia yang menjauhi budaya meminta-minta. Mereka perlu diperjelaskan tentang ingatan Nabi SAW yang bermaksud: “Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ulul Albab: Semangat Aidilfitri kukuh perpaduan umat

SELAMA 13 tahun tinggal di beberapa negara di Asia Barat untuk menimba ilmu, melancong mahupun mengunjungi saudara-mara, penulis tidak pernah mendapat ucapan atau kad raya seperti lazimnya di Nusantara dengan budaya khasnya ‘Maaf Zahir dan Batin’. Di sana yang ada antaranya ‘Kullu ‘Am wa Antum Bikhair’ (Semoga sepanjang tahun anda berada dalam kebaikan), ‘Asakum min ‘Awwadah (yang ini lebih kurang sama dengan ‘minal ‘aidin wal faizin), atau ucapan taqabbalallahu ta’atakum (semoga Allah berkenan menerima segala ketaatan anda).

Di Nusantara ada budaya mengucap maaf zahir dan batin yang jika ingin diterapkan di Asia Barat canggung untuk menterjemahkannya menjadi ‘al-‘afwu zahiran wa batinan’ atau ‘samihni zahiran wa batinan’. Jika ia berlaku, sudah tentu mereka akan menanyakan maknanya. Mungkin dalam masyarakat lain juga kita tidak jumpa kata-kata ucapan Aidilfitri ‘maaf zahir dan batin’. Dalam bahasa Inggeris yang lazim hanya kata-kata ‘Happy ‘Ied. Tidak kita jumpa ucapan ‘Forgive me open and secret atau explicitly and implicitly’, mungkin.

Itulah budi bahasa masyarakat Nusantara yang diwarisi sejak zaman berzaman. Bahkan jika seseorang terinjak kaki di dalam bas atau keramaian, dia yang akan meminta maaf, ‘maaf, kaki saya terinjak’, bukan orang yang menginjak meminta maaf, ‘maaf, saya menginjak kaki anda”.

Indahnya berbudi bahasa masyarakat Nusantara mempunyai kelainan tersendiri jika dibandingkan dengan masyarakat lainnya di mana ada kalanya ia disalah faham oleh mereka.

Budi bahasa yang dimiliki masyarakat Nusantara adalah satu kebesaran Allah yang termaktub dalam ayat al-Quran bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.” (Surah al-Hujarat: 13)

Berbudi bahasa sepatutnya bahkan suatu kewajipan yang mesti dimiliki oleh setiap Muslim. Rasulullah SAW menegaskan maksudnya: “Sesungguhnya Allah mewajibkan (kalian) berbuat baik terhadap segala sesuatu, maka bila kalian hendak membunuh orang (dalam peperangan ataupun yang lainnya), bunuhlah dengan cara yang baik, dan bila kamu menyembelih (binatang), maka sembelihlah dengan cara yang baik, hendaklah kalian menajamkan pisau dan memperlakukan binatang sembelihan dengan lembut.” (Riwayat Muslim)

Demikianlah Islam memerintah berbuat ihsan termasuk di dalamnya berbudi bahasa kepada binatang dan menunjukkan contoh amalinya. Maka ihsan kepada yang lebih mulia kedudukannya daripada pada binatang tentu lebih diperintahkan dan lebih dijelaskan contohnya. Oleh kerana itu tuntutlah ilmu sebanyak-banyaknya mengenai ihsan kepada Allah, kepada sesama makhluk baik yang berakal atau tidak berakal. Sungguh rahmat Allah dekat dengan orang muhsin.

Dalam hadis yang lain, Baginda bersabda maksudnya: “Sesungguhnya seorang mukmin mengambil (melaksanakan) budi bahasa (adab) dari Allah. Jika Allah meluaskan budi bahasa baginya maka akan luas budi bahasanya dan (jika Dia) menyempitkannya (menahan dan tidak memberinya budi bahasa) maka sempitlah budi bahasanya.” (Riwayat al-Hakim).

Keindahan bermaaf-maafan pada Aidilfitri adalah satu perkara yang disukai Allah SWT seperti diperoleh maknanya daripada sebuah hadis maksudnya: “Sesungguhnya Allah indah dan suka kepada keindahan. Bila seseorang ke luar untuk menemui kawan-kawannya hendaklah merapikan dirinya. (Hadis riwayat al-Baihaqi).

Budaya saling memaafkan adalah sinar yang terpancar dari diri seorang muslim yang berakhlak mulia. Nabi bersabda maksudnya: “Kamu tidak akan memperoleh simpati semua orang dengan hartamu tetapi dengan wajah yang menarik dan dengan akhlak yang baik. (Hadis riwayat Abu Ya'la dan al-Baihaqi)

Melalui saling maaf memaafkan pada Aidilfitri kita akan dapat memperkukuh perpaduan kita dengan menghilangkan permusuhan dan dendam dan menghapuskan semua kesalahan sesama kita.

Ada baiknya, dalam suasana kemeriahan dan kesyahduan Aidilfitri yang mana kita semua dalam keadaan fitrah atau suci dan bersih daripada segala dosa berkat Ramadan, kita merapatkan barisan kita yang selama ini menjadi celah untuk diganggu oleh musuh-musuh kita agar kita selalu bermusuhan.

Ada baiknya, dalam suasana yang penuh keberkatan ini kita bertafakur dan merenungi ayat al-Quran berikut demi memperkukuh perpaduan umat kerana sebab perbalahan, perseteruan, pertelingkahan dan permusuhan di antara umat Islam tidak terlepas daripada maksud yang terkandung di dalamnya. Allah berfirman bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada kaum dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan.

Dan ketahuilah! Bahawa di antaramu ada Rasulullah; kalaulah ia menurut kehendakmu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu mengalami kesukaran; akan tetapi Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta dihiaskannya dalam hatimu, dan menjadikan kekufuran dan kefasikan serta kederhakaan itu perkara yang kamu benci; mereka itulah orang yang tetap menurut jalan yang lurus. Sebagai kurnia dan nikmat pemberian daripada Allah dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Jika dua puak dari orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah keduanya dengan adil, dan berlaku adillah kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.

Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.

Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak merendah-rendahkan puak yang lain, mungkin puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula kaum wanita ke atas kaum wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri; dan jangan kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah orang yang zalim. Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah kamu suka makan daging saudaranya yang mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Hujarat: 6-12)

Tidak ada ruginya jika kita mendahulukan perpaduan walaupun dengan mengorbankan kepentingan peribadi mahupun kelompok tetapi banyak ruginya jika kita mengetepikannya walaupun dengan sebab sekecil apa pun juga. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

Tuesday, July 14, 2009

Perspektif Ikim: Silap faham konsep berikhtiar galak masyarakat berhutang

Oleh Mohd Noor Omar

RAMAI orang berlumba mengejar kekayaan tidak kira apa latar belakang dan kerjaya. Dalam kesibukan mengejar harta dunia, pertimbangan antara pendapatan dan perbelanjaan menjadi semakin pincang. Hutang atau kredit yang suatu masa dulu satu penghinaan kini dianggap amalan biasa.

Sebut saja along, ramai menggambarkan kesengsaraan yang dihadapi apabila berurusan dengan mereka. Along sewenang-wenangnya membelakangkan pemerintah dan meletak undang-undang di tangan sendiri. Lebih malang, masyarakat membenarkan mereka berleluasa dengan mendapatkan perkhidmatan ditawarkan kerana desakan hidup. Walaupun along pilihan terakhir yang tidak sesuai, sesetengah masyarakat tiada lagi pilihan.

Ada pandangan menyatakan kaya ialah apabila kita mempunyai kemewahan merencana tindakan masyarakat dan amalan ekonomi semasa. Budaya berhutang menjadi kebiasaan di kalangan rakyat Malaysia terutama belia dan eksekutif muda mendapatkan apa dihajati.

Akibat permintaan tidak dikawal, penawaran hutang atau kredit juga tidak dipantau, pasaran kredit membabitkan permintaan dan penawarannya kini amat memberangsangkan termasuk penawaran kad kredit, pinjaman peribadi, skim pemilikan alatan, kelengkapan rumah dan aksesori kenderaan.

Hakikat perlu ditangani ialah amalan hutang semakin membimbangkan. Menurut perangkaan Sistem Perbankan Bank Negara Malaysia, nisbah pertumbuhan pinjaman meningkat daripada 6 peratus pada 2007 kepada 11.7 peratus (2008) berbanding peratusan peningkatan pendeposit daripada 16.2 peratus (2007) menguncup kepada hanya 10.9 peratus (2008).

Ternyata, sehingga akhir Jun 2008, RM520 juta hutang tidak berbayar membabitkan 7,298 peminjam diuruskan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), manakala bagi tempoh Januari hingga April 2009 pula membabitkan 16,626 individu.

Berdasarkan perangkaan Bank Negara, hutang kad kredit RM24.4 bilion setakat akhir Mac lalu. Peningkatan kos sara hidup terutama di bandar besar terus menggalakkan perkembangan amalan kredit.

Suasana itu berlaku kerana galakan memberi hutang. Akibatnya beban membayar balik melebihi pendapatan sehingga menjejaskan kemampuan menyediakan keperluan asas keluarga. Laporan menunjukkan ada kakitangan menghadapi lebihan 60 peratus potongan gaji. Namun, mereka yang berhutang tidak pula kaya atau bebas daripada masalah kewangan malah lebih tertekan serta menjejaskan kerja.

Walaupun pelbagai tindakan diambil pihak tertentu untuk memulihkan keadaan, ia tidak berubah jika kefahaman terhadap hutang tidak diubah. Orang berhutang secara tidak wajar dalam lingkungan sikap tidak mahu susah dan tidak faham maksud ikhtiar.

Penulis ialah pegawai penyelidik di Pusat Perundingan dan Latihan IKIM

Umat Islam patut rebut peluang status hab halal

Oleh Mohd Amin Jalil
rencanabh@bharian.com.my

KEDUDUKAN Malaysia sebagai negara Islam perlu dimanfaatkan secara berkesan untuk melonjakkan negara menjadi hab halal yang bukan saja mengeluar, malah mempromosi dan mengedarkan produk halal untuk pasaran global.

Naib Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim, berkata negara yang sudah lama terkenal di kalangan dunia Islam sepatutnya selangkah ke depan untuk menjadi hab halal, berbanding negara lain apatah lagi negara penduduk Islamnya sedikit.

Beliau yang juga Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) berkata, komitmen kerajaan terhadap industri halal melalui pelaksanaan dasar bersesuaian dan kewujudan komuniti peniaga Islam menyebabkan negara berada di landasan tepat untuk mencapai status itu.

Bagaimanapun, kelebihan itu tidak berguna jika umat Islam tidak merebut peluang untuk turut meraih keuntungan status hab halal.

“Hab halal tidak sepatutnya disempitkan kepada industri pengeluaran serta pemprosesan makanan saja kerana ia juga meliputi sektor perkhidmatan seperti perbankan dan insurans,” katanya ketika membentangkan kertas kerja pada Seminar Makanan Halal 2009 (Hafos 2009) di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini. Seminar anjuran Usim dengan kerjasama DPIM itu disertai 300 peserta yang terbabit dalam industri halal, ilmuwan dan mahasiswa. Sebanyak 15 kertas kerja dibentangkan pada seminar tiga hari itu.

Seminar bertujuan memberi peluang kepada peserta memahami dan mengetahui perkembangan terkini industri, aspek kepenggunaan serta penghasilan produk halal.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma'amor Osman yang turut membentangkan kertas kerja berkata, pasaran produk halal sangat besar dan mempunyai permintaan tinggi, termasuk di negara bukan Islam.

Katanya, produk halal bukan saja menepati syariat, malah memenuhi piawaian antarabangsa dari segi kebersihan dan keselamatan makanan. Sehubungan itu, katanya, pengeluar makanan halal perlu memastikan bukan hanya proses pengeluaran, malah bahan mentah yang digunakan adalah halal.

“Pengguna kini lebih bijak dan mahu produk yang bukan saja bersih dan selamat, malah halal.

“Pengeluar perlu mewujudkan keyakinan pengguna terhadap status halal produk,” katanya.

Naib Canselor Usim, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin pula berkata, Hafos yang dianjurkan Usim, universiti sains berteraskan Islam buat kali ketiga bertujuan memperjelaskan pengertian halal kepada masyarakat.

Katanya, isu halal menimbulkan dilema kerana walaupun pelbagai produk makanan di pasaran, tidak semua barang halal.

“Kekeliruan timbul dari segi status halal produk. Walaupun ada label kandungan produk, tiada siapa tahu sama ada maklumat itu benar atau tidak

“Kita bimbang ada pihak cuba ambil kesempatan mengaut keuntungan menipu label halal tanpa memikirkan kesannya kepada umat Islam. Oleh itu, kaedah saintifik perlu digunakan secara meluas,” katanya.

Mahasiswi Usim, Norazila Anuar, 20, berkata banyak ilmu pengetahuan yang diperoleh menerusi seminar itu terutama dari segi kefahaman terhadap produk halal, sama ada dalam bentuk makanan atau perkhidmatan.

Katanya, produk halal penting kerana dalam Islam, setiap aspek termasuk makanan perlu memenuhi tuntutan syariat, bukan sekadar bersih dan selamat.

“Umat Islam tidak boleh memandang mudah status halal makanan dan perlu memahaminya dengan tepat dan menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Noor Nariha Rahman, 19, berkata seminar ini memberinya peluang berkongsi pengetahuan dengan rakan lain untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

Penganjuran seminar dapat mendekatkan orang ramai, terutama mahasiswa dengan produk halal, sekali gus menyokong industri halal yang sepatutnya menjadi pilihan umat Islam.

“Banyak produk halal di pasaran tetapi tidak semua umat Islam memilihnya kerana dipengaruhi iklan dan promosi apabila membeli barang,” katanya.

Tajdid Iman: Hikmah Israk Mikraj dorong umat tingkat takwa

KENANGAN penuh hikmah atas jalan dakwah yang ditinggalkan Rasulullah SAW kekal menjadi inspirasi bagi umatnya hingga ke akhir zaman. Setiap mukmin akan sentiasa gigih berusaha menggali peninggalan Rasulullah SAW kerana tuntutan hatinya yang sentiasa mekar mengasihi Nabi SAW.

Maka dibentangkan kertas kajian mengenai sirah, kitab hadis sahih dan ketinggian ilmu al-Quran untuk dijadikan pegangan kehidupan. Proses penambahan ilmu itu akhirnya membuahkan keintiman jiwa kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW.

Tidaklah cukup seseorang mengutamakan membaca selawat saja dan tidak berminat dengan pencarian sumber maklumat, data dan fakta ilmu untuk mendapatkan gambaran terang mengenai keperibadian serta perjuangan Rasulullah SAW.

Cinta berputik kerana mengenali yang dicintai, memahami keperibadiannya dan menyelami pengorbanannya. Kita cuba menangis ketika membaca keperitan Rasulullah SAW memikul amanah dakwah, tetapi tidak mampu menitikkan air mata kerana tidak menyertai usaha dakwah Baginda.

Kita tidak memiliki cukup ilmu untuk memberi hujah kepada hati mengenai makna keperitan itu. Sesungguhnya seseorang memerlukan fakta, data, ilmu, penghayatan dan amal salih untuk menterjemahkan cintanya kepada Rasulullah SAW.

Salah satu fakta menggambarkan perjuangan dakwah Rasulullah SAW adalah peristiwa Israk dan Mikraj yang sentiasa diingati setiap Rejab. Walaupun ada beberapa pandangan berbeza menentukan tarikh sebenar peristiwa itu seperti dilaporkan kitab Al-Rahiq Al-Makhtum karangan al-Mubarakfuri.

Hal itu tidak menjejaskan hikmah di sebalik peristiwa Israk dan Mikraj sebagai panduan bagi mereka yang berjalan di atas jalan dakwah.

l Menilai semula hubungan dengan Allah.

Pendakwah bertugas membekalkan iman kepada masyarakat yang menjadi sasaran dakwahnya mesti memiliki bekal yang cukup untuk dirinya sendiri. Seorang doktor bertugas mengubat penyakit masyarakat diharapkan memiliki jasad sihat dan mental positif sebelum terjun ke medan berat.

Melalui perjalanan Rasulullah SAW naik ke tempat tertinggi bagi menerima titah amanah Allah yang mewajibkan sembahyang lima waktu sebagai ikatan kukuh antara hamba dengan Penciptanya, sesungguhnya ia memberi gambaran kepentingan ibadah ini.

Umar bin al-Khattab pernah mengirimkan arahan kepada panglima perangnya, Saad bin Abi Waqqash dalam peperangan al-Qadisiyah, katanya: “Wahai Saad, takutlah kamu kepada Allah dengan urusan solat pasukanmu. Kerana sesungguhnya bukanlah kekalahan yang aku khuatirkan melainkan hanya apabila kalian meninggalkan solat, kekalahan akan terjadi apabila solat ditinggalkan. Jika kalian meninggalkan solat maka akan cenderunglah zina, riba, khamar, ingkar kepada Allah dan akhirnya terkeluar daripada agama.”

Jika Umar, Saad dan sahabat yang berada di al-Qadisiyah begitu prihatin dengan ibadat solat mereka, mengapa pula kita yang daif, lemah lagi hina dibandingkan mereka tidak menunjukkan tanda-tanda risau dengan ibadah solat kita?

Ketika memperingati peristiwa naiknya Rasulullah SAW menghadap Allah, sememangnya ilmu dan penghayatan kita akan terus bertambah dalam menjalankan ibadat solat kerana kita sentiasa menambah baik maklumat sedia ada dengan maklumat baru dalam al-Quran dan hadis.

Dengan ilmu mengenai solat maka jalan mengenal Allah sudah kita fahami dan seterusnya hubungan ini akan sentiasa erat dan akrab. Akhirnya, ujian apapun yang menghadang di setiap simpang jalan dakwah tidak dirasai terlalu berat kerana hati sentiasa menikmati kemanisan berdekatan dengan Allah.

l Allah mengganti musibah dengan anugerah bagi sesiapa yang reda.

Sesungguhnya peristiwa Israk dan Mikraj Nabi SAW adalah musafir terbaik pernah dialami Baginda. Ia ibarat hadiah bernilai yang bermatlamatkan menghapus kesedihan demi kesedihan Rasulullah SAW selepas pemergian Abu Talib dan Khadijah.

Bukan hanya itu, tragedi keganasan dan penolakan dakwah dilakukan penduduk Taif kepada Rasulullah SAW dan Zaid bin Harithah menjadi ujian terhebat yang menumpahkan darah Nabi SAW sehingga kasut Baginda dibasahi darah.

Kemudian berlanjutan ujian dan musibah ke atas diri Rasulullah SAW seperti dilaporkan Imam Al-Bukhari dalam hadisnya: “Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, pernahkah engkau melalui suatu hari yang lebih dahsyat daripada peperangan Uhud? Rasulullah SAW bersabda: Aku pernah mengalami daripada kaummu apa yang pernah aku alami dan yang paling dahsyat ialah ketika di al-‘Aqabah iaitu ketika aku menawarkan diriku kepada Ibn Abdu Yalail bin Abdu Kallal. Dia tidak menyahut ajakanku dan aku beredar dengan penuh kesedihan.

Sedar-sedar aku sudah berada di Qarn Al-Tha’alib. Kemudian aku mengangkat kepalaku, tiba-tiba aku melihat segumpal awan menaungiku. Aku perhatikan lagi, tiba-tiba aku melihat Jibril dan dia menyeruku: Sesungguhnya Allah mendengar kata-kata kaummu dan tindak balas mereka ke atasmu.

Allah mengarahkan malaikat bukit supaya engkau suruh dia apa yang engkau mahu lakukan terhadap mereka. Lalu malaikat bukit itu menyeruku dan memberi salam kepadaku seraya berkata: Wahai Muhammad, apa yang kamu mahu, kalau kamu mahu aku hempaskan ke atas mereka al-Akhsyabain (dua bukit di Makkah) nescaya aku lakukan. Nabi SAW bersabda: Sedangkan aku mengharap supaya Allah mengeluarkan dari sulbi mereka orang yang akan menyembah Allah semata-mata, tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatu.”

Daripada peristiwa ini dapatlah kita mengambil pengajaran bahawa setiap ujian yang Allah bebankan kepada kita pasti akan diganti dengan penghormatan serta kemuliaan. Hanya saja kita tidak tahu bilakah kenikmatan itu akan diberi, apakah di syurga atau di dunia.

Allah berfirman bermaksud: “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang beriman bersamanya: Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Surah Al-Baqarah, ayat 214)

l Bebaskan Palestin, bumi umat yang bertakwa.

Ketika Israk, Rasulullah SAW singgah ke al-Aqsa dan melakukan solat bersama nabi. Al-Aqsa adalah bumi Allah yang diwariskan untuk orang beriman. Hal ini jelas ditegaskan dalam surah Al-Israk.

Mengapa Allah hanya menyebut kisah perjalanan Rasulullah dalam satu ayat saja dan selebihnya kisah kejahatan bani Israil? Jelas mesej dibawa surah ini, bahawa hanya umat beriman kepada Allah, al-Quran dan Rasulullah SAW, berbuat kebaikan di muka bumi saja berhak memimpin manusia. Tidak kira suku, bangsa dan bahasanya, kerana kemuliaan manusia terletak pada takwanya.



Penulis ialah Mufti Perlis