Monday, November 2, 2009

Jauhi ajaran sesat bertopengkan tasauf, tarekat

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Pengamal ajaran sebenar tak akan lakukan perbuatan bercanggah hukum syarak

ISU ajaran sesat bukanlah satu perkara asing dalam kehidupan umat Islam kerana ia datang seiringan dengan kehidupan manusia. Namun, masih ramai di kalangan umat Islam mudah terjebak dengan fenomena ajaran sesat.

Sehingga kini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyenaraikan 125 kumpulan ajaran sesat yang bertapak di negara ini, sebahagian besarnya berselindung di sebalik ajaran tarekat dan tasauf yang terkenal.

Pada hal tasauf menurut perspektif Islam adalah satu kaedah tertentu untuk mendekatkan diri kepada Allah. Al-Sya'rani mendefinisikan tasauf sebagai ilmu yang terhasil di dalam hati wali apabila mereka mempraktikkan al-Quran dan sunnah.

Sebagaimana ilmu yang terhasil daripada ulama fekah, setiap amalan yang dilakukan dengan panduan kedua-duanya akan menghasilkan pelbagai ilmu, adab, rahsia dan hakikat yang tidak dapat diungkapkan secara lisan dengan syarat amalan itu bebas daripada kecacatan dan kehendak hawa nafsu.

Tarekat pula menurut huraian ulama tasauf mempunyai beberapa pengertian iaitu umum, khusus dan lebih khusus. Pengertian yang umum bagi tarekat itu merujuk kepada jalan agama Allah iaitu jalan Islam itu sendiri. Ibn Khaldun menggunakan perkataan tarekat dengan makna ini.

Beliau menjelaskan asal ilmu tasauf itu ialah tarekat kaum sufi di sisi golongan terdahulu daripada umat ini dan pemimpinnya daripada kalangan sahabat, tabi'in dan golongan selepas mereka adalah tarekat kebenaran dan hidayah. Asal tarekat ialah tekun beribadah, menumpukan sepenuh perhatian kepada Allah, berpaling daripada perhiasan duniawi, bersifat zuhud terhadap apa yang dicari oleh orang ramai yang berupa kelazatan, harta dan pangkat serta menyendiri daripada makhluk dalam bersendirian untuk beribadat.

Pengertian khusus bagi tarekat pula ialah tata cara yang khusus atau himpunan adab dan ajaran yang diamalkan sesuatu kumpulan ahli tasauf. Tarekat dengan pengertian yang lebih khusus pula ialah perjalanan dan peningkatan tahap kejernihan rohani manusia dengan menempuh pelbagai halangan, melalui pelbagai peringkat dan maqam dan merasai pelbagai hal kerohanian.

Kadang-kadang, sesuatu ajaran tarekat dinamakan dengan nama pengasasnya sendiri, kemudian digabungkan dengan nama kumpulan tarekat yang terkenal di kalangan umat Islam sebagai satu pendekatan untuk mengaburi pandangan umat Islam mengenai ajaran dan kumpulan tarekat yang didukung itu, sedangkan pada hakikatnya terpesong daripada ajaran Islam sebenar.

Di antara ciri-ciri kesesatan yang menghiasi ajaran tarekat yang menyeleweng adalah pegangan terhadap istilah tasauf yang secara terang-terangan bercanggah dengan syarak di samping istilah falsafah, kebatinan dan takwil tasauf yang menyimpang jauh daripada kebenaran terhadap persoalan akidah dan ibadah.

Di samping itu, ajaran tarekat itu juga menganjurkan pengikutnya agar meringankan atau tidak melaksanakan amalan ibadat dan kewajipan syarak yang dituntut. Begitu juga pengikut ajaran tarekat yang sesat tidak segan silu melakukan maksiat. Lebih jauh dari itu, ajaran tarekat yang sesat juga membentuk gerakan politik bawah tanah yang boleh mengganggu gugat keharmonian dan kesejahteraan umat Islam.

Abu Yazid al-Bistami, seorang tokoh terkenal dalam bidang tasauf menjelaskan bahawa ada hubungan rapat antara syariat dan tasauf sehingga tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Menurutnya, syariat itu adalah asas utama yang diperlukan dan tidak boleh ditinggalkan dalam perjalanan menuju kepada Allah.

Beliau pernah berkata, jika kamu melihat seorang lelaki yang diberikan kekeramatan sehingga dia terbang di udara, maka janganlah kamu terpedaya dengannya sehinggalah kamu melihat bagaimana keadaannya atau sifatnya di sisi perintah dan larangan Allah, menjaga sempadannya dan menunaikan syariat.

Beliau juga dikatakan pernah mengajak anak muridnya untuk menemui seorang lelaki yang memasyhurkan dirinya dengan kewalian dan kezuhudannya. Apabila orang itu keluar dari rumahnya dan memasuki masjid, lalu dia meludah ke arah kiblat, tiba-tiba Abu Yazid berpaling meninggalkannya dan tidak mengucapkan salam kepadanya seraya berkata, "Bagaimana dia boleh dipercayai terhadap apa yang didakwanya itu".

Pada umumnya, setiap insan ingin mendekatkan dirinya kepada Tuhannya. Begitu juga, dalam kehidupan dunia, seorang anak akan berasa senang bila berada dekat dengan kedua-dua orang tuanya.

Oleh kerana itulah, pengamal tasauf haruslah orang yang bersih hatinya, suci perbuatan dan tingkah lakunya daripada hal yang subahat apatah lagi perkara haram, serta tidak terpesona dengan segala urusan dunia. Bagi pengamal tasauf, dunia hanyalah jambatan menuju Allah.

Demikian pengertian sebenar tasauf dan tarekat, jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu, setiap Muslim wajib berhati-hati dengan ajaran sesat yang bertopengkan tasauf dan tarekat yang semakin bercambah. Marilah sama-sama kita kembali kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah dalam usaha kita menjejaki keredaan Ilahi dunia akhirat.

Kaedah boleh diamal hindari mengumpat jadi budaya hidup

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

MENGUMPAT ialah menceritakan, menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain yang dilakukan sama ada disedari atau tidak.

Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui orang yang mendengarnya. Rasulullah menjelaskan mengenai mengumpat dalam sabdanya, bermaksud, "Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya" (Hadis Muslim).

Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan bangkai saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Ia hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpat. Selagi orang yang diumpat tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasan di akhirat. Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa.

Sabda Rasulullah, "Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaiban. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis Abu Daud).

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar di akhirat. Pada rekod amalan mereka, akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.

Sabda Rasulullah bermaksud, "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering". Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi. Diriwayatkan Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia.

Maka, dia berkata kepada Allah, "Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah menjawab, "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat nanti.

Memandangkan buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya.

Oleh itu, banyakkan zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat. Islam menganjurkan beberapa kaedah untuk menghindarkan diri kita daripada terjerumus ke dalam budaya hidup suka mengumpat ini.

Antaranya ialah:

# Jika kita mengingati bahawa apabila kita mengumpat, kita akan diumpat balik, sudah tentu kita tidak akan mengumpat. Elakkan berbuat jahat kepada orang yang tidak berbuat jahat kepada kita.

# Manusia perlu memenuhi keperluan intelek seperti mencari ilmu, berfikir, memerhati, menanggapi dan membuat spekulasi. Maka, orang yang melakukan sebaliknya bererti tidak memenuhi keperluan intelek. Tidakkah bererti apabila kita mengumpat bermakna jiwa kita jahat? Luar nampak cantik, tetapi di dalam sudah busuk dan berulat.

# Ingat dosa. Larangan Islam terhadap perbuatan mengumpat sudah cukup untuk memotivasikan diri setiap individu. Tidak ada manusia normal sanggup memakan bangkai seseorang.

Imam al-Ghazali ada menyatakan enam perkara mendorong seseorang itu mengumpat:

# Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi dan kehormatan seseorang;

# Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh dan rendah;

# Disebabkan dengki, dia iri hati dengan orang lain yang lebih beruntung dan berjaya, seperti dinaikkan gaji dan pangkat;

# Bergurau dan suka berlawak untuk mencela dan mengatakan kelemahan dan kecacatan hingga mengaibkan orang lain; dan

# Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak dan sombong kerana memandang rendah orang lain.

Lambaian Kaabah: Elak perbuatan mungkar boleh jejas ibadat haji

Oleh Mohd Shukri Hanapi


JEMAAH haji menunggu giliran untuk menaiki pesawat berlepas ke Tanah Suci.


Jemaah perlu semaikan sifat sabar dalam menempuh pelbagai ujian di Tanah Suci

UMAT Islam yang berkemampuan dan sudah cukup segala syarat, bakal menunaikan ibadat haji tidak lama lagi. Justeru, pelbagai persediaan dilakukan seperti kursus haji dan umrah sebagai bekalan kepada jemaah yang akan menunaikan ibadat haji nanti.

Di pihak keluarga bakal jemaah haji pula, tidak ketinggalan turut meraikan sanak-saudara yang akan menunaikan ibadat haji. Pelbagai perkara dilakukan bagi meraikan pemergian bakal jemaah haji itu.

Ada sebahagiannya mengadakan majlis doa selamat, sebahagian yang lain pula sibuk mengatur dan merancang segala keperluan yang perlu dibawa saudara mereka ke Tanah Suci. Bagi pihak pengurusan haji pula, beberapa persediaan dibuat untuk pemergian bakal jemaah haji ke Tanah Suci.

Ibadat haji merangkumi ibadat solat, puasa dan zakat. Lantaran itu ia diletakkan di tempat yang terakhir di dalam kewajipan yang wajib ditunaikan oleh seseorang Islam. Dengan erti kata lain, sebelum seseorang itu melaksanakan ibadat haji, maka ibadat solat, puasa dan zakat sudah dilaksanakan dengan baik selaras dengan kehendak syarak.

Oleh itu, jika harta atau wang yang dikumpulkan kerana hendak menunaikan ibadat haji itu cukup nisab dan haulnya, maka adalah wajib terlebih dulu dikeluarkan zakat kerana setiap harta yang hendak digunakan bagi menunaikan ibadat haji, mestilah ia harta yang suci dan halal, bukan yang ada di dalamnya hak orang lain, syubahat atau harta yang diperoleh secara tidak halal.

Jika diperhatikan dari segi kemampuan dan keupayaan, begitu ramai orang Islam yang memenuhi syarat tetapi masih belum mendapat rahmat untuk menjadi tetamu Allah. Maka beruntunglah sesiapa dirahmati Allah dibukakan hatinya untuk berkunjung ke Baitullah yang menjadi tumpuan umat Islam di seluruh dunia.

Lebih beruntung lagi bagi setiap yang menjadi tetamu Allah itu ialah sesiapa diterima ibadat hajinya oleh Allah sebagai haji mabrur. Ini kerana haji mabrur adalah jihad paling afdal dan balasannya tidak lain hanyalah syurga.

Oleh itu kita hendaklah sentiasa berusaha menjadi hamba Allah yang taat dan patuh terhadap segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya. Sehubungan itu, janganlah sekali-kali kita merosakkan ibadat haji yang dikerjakan dengan percakapan atau perbuatan tidak berfaedah atau menyakiti insan lain.

Kita harus mempunyai pertahanan diri yang kuat. Antaranya ialah untuk menanamkan sifat sabar dalam diri kita; sabar daripada perasaan marah; sabar daripada berbuat kerosakan; sabar di atas kesusahan yang bakal ditempuh dan sabar dalam menerima ujian daripada Allah.

Janganlah juga ibadat kita rosak kerana melakukan perkara mungkar serta kepercayaan yang bertentangan dengan ajaran Islam, seperti mengumpat, mencaci, memaki hamun dan mengutip batu di Tanah Suci untuk dibawa balik ke tanah air.

Oleh itu bagi setiap orang Islam yang ingin mengerjakan ibadat haji mestilah mengetahui segala rukun dan adab haji dengan betul supaya hajinya diterima oleh Allah.

Apalah gunanya jika ibadat haji yang mempunyai ganjaran dan kelebihan begitu besar seperti ganjaran orang yang berjihad di jalan Allah itu rosak dan binasa disebabkan perkara mungkar dan khurafat yang kita kerjakan. Malah ibadat haji yang kita kerjakan itu tidak diterima oleh Allah dan ia menjadi sia-sia.

Oleh yang demikian, bakal jemaah haji seharusnya mengambil perhatian berat berhubung perkara ini dan menghindarkan diri daripada melakukan perkara mungkar dan khurafat. Mudah-mudahan dengan kita menjauhi segala perkara mungkar dan khurafat itu ibadat haji kita akan diterima oleh Allah.

Allah berfirman yang bermaksud, "Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu bagi orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah, sesiapa mengingkari kewajipan haji, sesungguhnya Allah Maha Kaya tidak memerlukan sesuatu dari semesta alam" (Surah Ali 'Imran: 97).

Sunday, November 1, 2009

Ulul Albab: Muslihat jahat Israel kuasai Masjid al-Aqsa

Bersama Abdurrahman Haqqi


RAKYAT Palestin dihalang dengan pelbagai cara oleh tentera Israel daripada memasuki Masjid al-Aqsa yang pernah menjadi kiblat umat Islam.


PADA perhimpunan ilmiah tokoh agama dan cendekiawan semua agama di Mesir dilontarkan satu isu siapakah antara penganut agama samawi (Yahudi, Kristian dan Islam) layak masuk syurga. Pertanyaan ini ditanya kepada tokoh agama Yahudi, Kristian dan Islam yang berada di atas pentas.

Tokoh agama Yahudi dan Kristian tidak berani menjawab dan menyerahkan jawapannya kepada ulama Islam yang menjawab dengan mudah bahawa yang layak masuk syurga daripada semua penganut agama ialah Muslim. Kemudian beliau menjelaskan bagi orang Yahudi yang layak masuk syurga ialah siapa saja yang beriman kepada Nabi Musa AS dan bagi orang Kristian yang layak masuk syurga ialah sesiapa saja yang beriman kepada Nabi Isa AS. Tetapi bagi umat Islam yang layak masuk syurga ialah yang beriman kepada Nabi Muhammad SAW dan semua nabi, termasuk Nabi Musa dan Nabi Isa. Firman Allah yang bermaksud: "Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain daripada Rasul-Rasul-Nya." (Surah al-Baqarah: 285)

Ahad minggu lalu, tentera rejim Israel menceroboh Masjid al-Aqsa dan mencemari kesuciannya. Perkara ini bukan pertama kali dilakukan pengganas itu dan bukan juga yang terakhir kerana selagi ada Israel di sana, selama itu pula Masjid al-Aqsa berada dalam bahaya.

Kejadian pertama yang menimpa Masjid al-Aqsa dalam sejarah moden ialah pada 21 Ogos 1969. Pada hari itu, seorang lelaki berbangsa Australia, Dennis Michael Rohan membakar Masjid al-Aqsa. Api menyala besar dan membakar tembok serta mimbar besarnya yang dibina sejak zaman Nuruddin al-Zinki dan pernah digunakan oleh Salahuddin al-Ayyubi pada zaman pemerintahannya.

Api berkobar dengan dahsyat seolah-olah seluruh Masjid al-Aqsa akan musnah ketika itu. Sehinggakan bomba juga tidak menghulur bantuan. Tetapi Allah SWT menyelamatkan Masjid al-Aqsa dan melindunginya. Akhirnya api dapat dipadamkan.

Selepas itu orang Yahudi membuat pengadilan pura-pura terhadap Rohan yang mendakwa dia diutuskan oleh Allah untuk melakukan pembakaran itu, bersesuaian dengan berita daripada Kitab Zakaria. Kemudian Rohan dibebaskan Yahudi dengan alasan gila. Sejak itu, 21 Ogos diangkat sebagai Hari al-Quds sedunia.

Seorang paderi di Baitulmaqdis, Atallah Hanna yang juga tokoh Kristian Ortodoks Greek, Selasa lalu mendesak semua gereja di dunia membantu membela Masjid al-Aqsa daripada serangan Israel. Paderi itu menyeru seluruh umat Islam dan Kristian bersatu dalam mencegah serangan dan pencemaran terhadap Masjid al-Aqsa.

Seruan ini datang selepas pasukan khas Israel menyerang Masjid al-Aqsa di wilayah pendudukan Baitulmaqdis Timur dengan menembak peluru dan gas pemedih mata. Zionis juga melarang penduduk Palestin masuk ke kompleks Masjid al-Aqsa untuk melaksanakan ibadat. Masjid al-Aqsa ialah kiblat umat Islam yang pertama dan juga tempat berlaku peristiwa Israk Mikraj.

Masjid ini mempunyai pertalian sejarah dengan semua agama sejak zaman Nabi Allah Sulaiman. Malangnya. ia silih berganti dijajah oleh bangsa Yahudi, Rom dan Parsi hingga pada zaman Umar abad ke-7, ia dibebaskan daripada belenggu penjajahan.

Pada awal abad ke-12 Masihi, Masjid al-Aqsa kembali dijajah tentera salib, namun akhirnya dibebaskan oleh Salahudin Al-Ayyubi. Kini sejak 1948, Masjid al-Aqsa sekali lagi dijajah tentera Zionis. Ia masjid ketiga paling suci. Melalui dalil hadis yang sahih, diriwayatkan oleh al-Tabrani menyatakan sesiapa yang bersolat di masjid ini mendapat 500 kali ganda pahala.

Pada akhir zaman nanti, akan berdirinya ibu negara umat Islam di bumi ini dan kemajuannya akan membawa kepada tanda akhir zaman. Ini berdasarkan hadis Rasulullah diriwayatkan Nu'aim Hammad dalam kitabnya al-Fitan.

Al-Quds ialah nama lain bagi Baitulmaqdis iaitu kota lama terletak di Palestin dan wilayah Syam. Ia dinamakan al-Quds selepas penaklukan kembali umat Islam terhadap bumi Palestin. Di sebelah timur kota ini terletak Masjid al-Aqsa, manakala di baratnya terletak gereja Nativity di kawasan Khan al-Zeit.

Kota ini dianggap sebagai kota suci bagi Islam, Kristian dan Yahudi kerana ketiga-tiga agama ini mempunyai nilai kudus pada kota berkenaan. Bagi penganut Kristian, berdasarkan akidah mereka di sanalah tempat kelahiran Jesus dan di situ juga juga Jesus disalib dan akan dibangkitkan menjelang kiamat kelak. Yahudi pula mendakwa kota ini adalah janji tuhan Yahweh dan muncul Messiah yang dinantikan.

Tamat peperangan 1967 yang menyaksikan kemenangan rejim Israel dengan bantuan Amerika Syarikat, tentera Zionis memasuki Masjid al Aqsa dan menawannya. Kejayaan mereka dianggap sebagai mukjizat yang berupa petanda berakhirnya agama Islam. Mereka menyambutnya dengan menari sambil menyanyikan lagu: "Letakkan aprikot ke atas epal, agama Muhammad sudah hancur dan musnah. Muhammad sudah mati, yang tinggal hanya anak perempuan yang lemah."

Ketika itu juga Zionis mengisytiharkan tembok sebelah barat Masjid al-Aqsa (Tembok Buraq) sebagai milik mereka. Perlu diingat, penawanan Tembok Buraq bukan bererti penamat dan tindakan terakhir dalam perjuangan mereka menakluki al-Quds tetapi ia permulaan bagi mereka untuk merobohkan Masjid al-Aqsa dan membina semula The Mount Temple atau Haykal Sulayman.

Isu penaklukan Palestin dan kemusnahan Masjid Al Aqsa semakin parah apabila Eropah dilanda kebangkitan golongan Kristian Protestan yang melakukan penyemakan semula kitab suci mereka. Antara akidah yang disemak semula ialah perihal kedatangan Jesus di Baitulmaqdis menjelang alaf kedua tahun Kristian.

Melalui penyemakan semula kitab suci itu, mereka mendakwa Jesus hanya muncul dalam suasana seperti ia muncul buat kali pertama di Baitulmaqdis. Beliau tidak akan muncul selepas tegaknya Haykal yang disebut dalam Old Testment.

Oleh itu, untuk menyambut kemunculan semula kelahiran Jesus, Haykal perlu dibina dan orang Yahudi perlu dikumpulkan semula di Baitulmaqdis untuk disembelih oleh Jesus kerana golongan Yahudi membunuh Jesus.

Jumaat lalu ialah hari solidariti dengan Masjid al-Aqsa seperti yang diseru tokoh agama Dr Yusuf al-Qardhawi dan ini sekadar catatan semoga bermanfaat. Amin.

Persoalan Agama: Buka ruang berbincang sebelum izin nikah

Oleh Ustaz Zahazan Mohamed

SAYA jatuh cinta dengan seorang pemuda. Selepas menjalin hubungan dengan beliau dan mengikat janji setia untuk berkahwin, tiba-tiba keluarga memaksa saya berkahwin dengan lelaki lain. Apakah berdosa perbuatan melanggar janji dengan pemuda itu.

Gadis bimbang,
Hulu Langat.


Perkahwinan seperti disyariatkan Islam ialah akad yang wajib disempurnakan dengan keredaan pihak terbabit. Gadis perlu bersetuju, demikian juga walinya meredai dan juga perbincangan dengan ibu dan adik beradiknya selepas sempurna diselidik latar belakangnya.

Rasulullah SAW menganjurkan beberapa petunjuk agar wanita tidak dipaksa dalam pemilihan jodoh walaupun masih berstatus gadis. Nabi SAW dalam dua hadis berbeza meminta wali bertanya anak perempuan mengenai bakal suaminya dan izin gadis itu biasanya terletak pada diamnya kerana malu. (Riwayat al-Daruqutni).

Demikian pula dalam hadis yang berasingan Nabi SAW pernah membatalkan perkahwinan wanita dengan lelaki yang tidak disukainya.

Pada kesempatan lain, Baginda ditanya seorang wanita mengenai perintah ayahnya untuk mengahwini seseorang yang tidak disenanginya, lalu Nabi SAW menyuruh menerima kehendak ayahnya. Wanita itu masih bertegas meminta campur tangan Baginda supaya memberitahu si ayah dia tidak menyenangi lelaki itu.

Nabi SAW masih menyatakan "terimalah ketetapan ayahandamu!" Demikianlah secara berulang-ulang Nabi menasihatinya, namun dia tetap berkeras. Akhirnya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau berhak menolak."

Apabila Nabi SAW memerintahkan ayahnya memberikan kebebasan wanita ini untuk menuruti pilihannya, wanita itu berkata yang bermaksud: "Saya menerima kehendak ayah, cuma ingin beliau memahami mereka tiada kuasa terhadap urusan perkahwinan anak perempuan mereka."

Kesimpulannya, anak perempuan yang ingin dikahwinkan wajar diajak bermesyuarat, dihargai pandangannya dan diminta keredaannya.

Bapa juga perlu memahami kehendak hati anak sama menerusi tanda jelas atau tersembunyi.

Wali pula perlu reda dan memberikan kebenaran. Dalam hadis sahih Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa pun di kalangan wanita yang bernikah tanpa izin walinya, maka nikahnya adalah batal, batal, batal! (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Tirmizi).

Justeru, Muslimat tidak dibenar berkahwin tanpa izin wali. Hikmah hukum ini ialah untuk menjaga kepentingan wanita daripada dipermainkan kerana tanpa pengawalan ini dibimbangi ramai gadis menjadi mangsa penganiayaan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Mereka mungkin ditipu lantas diperalat golongan yang ingin mengambil kesempatan.

Oleh kerana itu, Islam meletakkan syarat ketat untuk melindungi wanita iaitu dengan memberikan hak kepada wali untuk mengahwinkannya selepas berunding dengan empunya badan.

Seterusnya, melengkapkan kedua-dua komponen di atas, Nabi SAW menambah satu lagi perkara yang penting sebelum mendirikan rumah tangga iaitu rundingan dengan ibu wanita yang bakal dikahwinkan. Ini sesuai dengan maksud hadis: "Ajaklah ibu berunding mengenai anak perempuan mereka." (Hadis riwayat Ahmad, Ab Razzak, Abu Daud dan al-Baihaqi).

Kepentingan merujuk pendapat bonda disebabkan mereka lebih memahami hati anak perempuan yang biasanya tidak difahami si ayah.

Apabila semua pihak sepakat sama ada ayah, ibu, bakal isteri dan calon suami, perkahwinan ini akan mencapai kebahagiaan dan ketenangan seperti difirmankan Allah SWT dalam surah al-Rum ayat ke-21 yang bermaksud: "Dan antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir."

Selepas memahami penjelasan di atas, saya yakin saudari dapat memahami tindakan mengikat janji dengan pemuda pertama tanpa keredaan ayah yang menjadi wali adalah menyalahi syariat.

Nabi SAW pernah bersabda bermaksud: "Setiap orang Islam mesti mematuhi janji selain janji yang membabitkan pengharaman yang halal ataupun sebaliknya." (Riwayat al-Daruqutni)

Oleh kerana perjanjian saudari dengan pemuda itu sesuatu mungkar yang diharamkan syarak, saudari tidak perlu bimbang kerana mengabaikannya. Wali perlu menjaga hak terhadap anak gadis selagi ia dalam ruang lingkup yang dibenarkan syarak maka bapa wajar membuka ruang perbincangan tanpa bertindak secara diktator terhadap kepentingan puteri mereka.

Selain itu, dapatkan nasihat dan idea ibu dan serta adik-beradik, terutama yang terkenal dengan kebaikan dan salih semoga keluarga yang diasaskan itu berkekalan dalam kebahagiaan dan ketaatan kepada-Nya. Wallahu a'lam.

Persoalan Agama: Kaki terdedah batal sembahyang

APAKAH hukum wanita yang bersolat sedangkan tapak kakinya kelihatan.

Pelajar Universiti,
Labuan.

Aurat seseorang perempuan dalam solat dan di luar solat adalah seluruh anggotanya melainkan wajah dan tapak tangan. Tapak kaki wanita juga aurat. Cuma waktu berdiri dianggap tertutup kerana melekat di lantai ataupun tempat solat, di mana dia berdiri.

Apabila sujud, tapak kaki yang terdedah itu menyebabkan solat terbatal. Dalam kitab Hasyiatul Bajuri, menjelaskan: “Selain muka dan dua tapak tangannya, ertinya rambut dan kedua-dua tapak kaki. Memadailah menutupnya dengan bumi ketika ia berdiri.”

Jika nyata daripadanya sesuatu daripada tapak kaki ketika sujud atau nyata tumit ketika rukuk atau sujud, batal solat.

Persoalan Agama: Hukum tahan berhadas kecil, besar ketika solat

APAKAH hukum menahan buang air kecil ketika solat.

Zakaria,
Negeri Sembilan.


Menahan air kecil antara perbuatan menahan hadas termasuk membuang air besar atau kentut. Hukum menahan hadas adalah makruh. Perkara ini boleh terjadi apabila seseorang masih mempunyai waktu untuk keluar solat bagi memenuhi keperluan itu.

Sabda Nabi SAW bermaksud: "Janganlah seseorang mengerjakan solat apabila makanan sudah dihidangkan dan apabila mendesak keinginan buang air besar atau kecil." (Riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud)

Hukum makruh ini berubah kepada harus jika waktu solat terlalu sempit kerana dia terlambat. Ia harus menahan hadas itu dan terus bersolat.

Jika menahan hadas boleh mengakibatkan bahaya seperti penyakit, wajib baginya memberhentikan solat.

Menurut kitab Busyral Karim Bi Syarhi Masa'ilit Ta'lim: "Makruh solat dalam keadaan menahan air kencing atau membuang air besar atau menahan angin. Disunatkan agar melapangkan diri sebelum solat , walaupun khuatir terluput daripada solat berjemaah. Ini bagi yang mendapati ada keluasan waktu.

"Jika tidak wajib baginya menyempurnakan solat kerana kehormatan waktu kecuali jika bimbang ditimpa mudarat, haram baginya meneruskan solat."

Friday, October 16, 2009

Soal Jawab Agama: Seksaan jika sengaja abai tunai Rukun Islam Kelima

Zaman@nstp.com.my

Soalan:

KINI semakin ramai di kalangan orang Islam yang kaya dan berkemampuan masih menangguhkan untuk mengerjakan haji. Sehingga ada yang meninggal dalam keadaan tidak menunaikan haji. Apa pandangan ustaz dalam hal ini.

Mejar Ghani
Perak.

Jawapan:

Mengerjakan haji ke Makkah Mukarramah adalah wajib bagi tiap-tiap individu mukalaf lelaki dan perempuan yang berkemampuan dan berkuasa melakukannya. Hadis Saidina Ali, katanya, bersabda Rasulullah SAW, "Sesiapa yang berkemampuan dari segi kewangan, bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikan dia ke Baitullah pada hal dia tidak pergi mengerjakan haji lalu dia mati, maka matinya adalah seperti mati Yahudi atau Nasrani." � (Hadis Tirmizi dan Gharib).

Thursday, October 15, 2009

Manusia sering salah guna kuasa, abai tugas khalifah di bumi

Oleh Muhammad Abdullah @ Ab Shatar

KEPELBAGAIAN pemberian Allah kepada manusia berbeza supaya wujud perbezaan bakat, kebolehan, kecerdasan akal dan kepetahan lidah yang akhirnya saling melengkapi untuk memakmurkan alam ini. Manusia dipilih Allah SWT menjadi khalifah di bumi seterusnya diberi amanah menegakkan agama Allah, mengurus serta memakmurkan manusia dan alam tanpa mengabaikan suruhan serta larangan ditetapkan Allah SWT.

Kekuasaan yang dipinjamkan Allah SWT adalah sementara dan pemilik kekuasaan sebenar ialah Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud: “Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan sesetengah kamu atas sesetengahnya yang lain beberapa darjat. Kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksa-Nya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi maha Mengasihani.” (Surah al-An'aam ayat: 165).

Anugerah kepemimpinan yang diberikan perlu dilaksanakan dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Pemimpin perlu adil, terbuka dan diletakkan kuasa pada tempatnya seperti maksud hadis: “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya.” (Riwayat Muslim).

Sebagai pemimpin yang diberikan amanah, sifat meletakkan kepentingan rakyat melebihi keutamaan sendiri selain rendah hati untuk duduk bersama rakyat sejajar dengan maksud hadis:

“Ya Allah! Siapa yang ditugaskan mengurus keperluan umat ini, lalu dia kasih kepada mereka maka sayangilah dia dan siapa yang rendah hati kepada mereka maka kasihahilah dia.” (Hadis Riawayat An-Nasa'i)

Sebagai rakyat, kewajipan ketaatan amat ditekankan Allah SWT seperti firman-Nya: “Wahai orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasulullah dan kepada ‘Ulil Amri’ (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisih) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya. Jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” (surah al -Nisa' ayat 59).

Segala kuasa individu harus tidak melebihi kehendak agama dan perintah Allah SWT. Kepelbagaian pemberian Allah berbeza. Tidak semua manusia dilengkapi dengan kepetahan berkata-kata. Memiliki kuasa lidah untuk memutarbelitkan kenyataan yang salah menjadi benar, menegakkan benang yang basah dan kepantasan lidah dalam menimbulkan fitnah adalah penyalahgunaan kuasa anugerah pemberian kefasihan lidah.

Bagi mereka yang diberikan kuasa tangan tidak menyalahgunakan dengan menghasilkan tulisan makian, hasutan, lucah dan semberono yang merosakkan pemikiran rakyat dan akhirnya mewujudkan kebencian di kalangan umat Islam.

Kekayaan adalah kuasa yang paling berpengaruh. Golongan ini perlu menggunakan nikmat Allah SWT itu ke jalan yang mampu menyumbang kepada roh kekuatan Islam. Sumbangan kepada program berfaedah kepada agama lebih baik daripada menganjurkan aktiviti yang menyumbang kemungkaran. Bahkan tidak boleh menggunakan kekayaan untuk membeli manusia yang boleh dibayar harga dirinya.

Melayu sebar Islam ke Afrika Selatan

Oleh Hasliza Hassan

Muslim, Kristian dan Yahudi hidup aman sejak 300 tahun lalu

BERCERITA mengenai Islam di Afrika tidak lengkap jika tidak dimulakan dengan menghargai masyarakat Melayu yang datang menyebarkan agama suci itu 300 tahun lalu, kata Presiden Majlis Kehakiman Muslim dan Majlis Haji dan Umrah Afrika Selatan, Maulana Igshaan Hendricks.

Beliau yang memberi ceramah mengenai Islam di Afrika Selatan di Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS), Kuala Lumpur berkata, masyarakat Melayu yang dimaksudkan ialah semua orang Melayu di rantau ini yang membawa Islam ke Afrika Selatan.

"Apabila saya katakan orang Melayu bukan satu saja kerana Melayu itu ramai termasuk Melayu di Malaysia. Saya bukan etnik Melayu tetapi saya tidak boleh bercakap mengenai Islam di Afrika Selatan tanpa bercakap mengenai masyarakat Melayu.

"Melayu sudah ada dalam masyarakat Afrika Selatan sejak 300 tahun lalu dan ia adalah tinggalan orang hebat yang datang ke Afrika Selatan," katanya memulakan sesi ceramah yang turut dihadiri Imam Masjid Raabie, Portlands, Afrika Selatan, Sheikh Ebrahim Gabriels dan Ketua Pegawai Eksekutif IAIS, Prof Dr Mohammad Hashim Kamali.

Igshaan berkata, sebagai kumpulan minoriti, umat Islam yang hanya dua peratus daripada 47 juta rakyat Afrika Selatan boleh berbangga kerana bebas menjalani kehidupan di kalangan masyarakat pelbagai agama.

Katanya, kejayaan itu adalah terjemahan daripada proses asimilasi kerana umat Islam tidak merasakan diri mereka lain tetapi menjadi sebahagian daripada masyarakat yang membentuk rakyat Afrika Selatan.

Sejak 300 tahun lalu umat Islam, Kristian dan Yahudi di Afrika Selatan hidup aman dan walaupun di Cape Town, 50 peratus penduduknya adalah orang Islam yang asalnya beragama Kristian, percakapan berkisar kepada aspek kemanusiaan sebelum merujuk kepada agama atau bangsa.

"Muslim dan Kristian boleh hidup bersama dalam suasana aman kerana perasaan kebersamaan hidup dalam sebuah negara. Mereka saling hormat menghormati antara satu sama lain. Malah, orang Kristian akan suruh anak mereka masuk rumah sebaik azan selesai," katanya.

Beliau berkata, itu semua adalah hasil daripada saling mengambil tahu dan kesediaan umat Islam meletakkan diri secara berhati-hati dalam masyarakat pelbagai agama di Afrika Selatan menyebabkan Islam menjadi agama yang diterima.

Igshaan berkata, orang Islam tidak boleh merasakan diri mereka golongan istimewa sementara orang lain tidak kerana Islam dijelaskan melalui nilai dan peristiwa 9/11 yang berlaku menjadi pengajaran kerana umat Islam terpaksa menerangkan semula Islam yang sebenar.

Katanya, polisi di Afrika Selatan mengajar umat Islam tidak merasakan diri mereka sebagai kumpulan istimewa malah penekanan kini ialah jika Muslim ingin menjaga moral maka mereka perlu membasmi kemiskinan serta membabitkan dalam semua program pembangunan negara.

Demi masa depan umat Islam, mereka tidak boleh mempunyai anggapan tanggungjawab hanya untuk menjaga kepentingan sendiri tetapi mereka juga perlu menyumbang serta berperanan supaya boleh menjadi sebahagian daripada rakyat Afrika.

"Umat Islam juga mesti belajar kerana kita adalah kerajaan untuk negara kita. Umat Islam tidak boleh nak kata mereka sebahagian daripada rakyat Afrika Selatan jika tidak bersedia menyumbang sebaliknya sedar bahawa agama adalah untuk Allah tetapi negara milik semua orang," katanya.

Beliau berkata, Islam yang ditunjukkan juga perlu serasi atau bersesuaian dengan keperluan politik, ekonomi, intelek serta ilmu pengetahuan dan ini boleh dicapai melalui gabungan ajaran Islam dengan perkembangan kontemporari.

Oleh itu katanya, jika rakyat Amerika Syarikat, India, Jepun atau negara lain mempunyai kepakaran yang tidak dimiliki umat Islam, mereka tidak sepatutnya menjadi takbur sebaliknya bersedia untuk mendalami kepakaran itu.

"Umat Islam tidak boleh bersikap konservatif sebaliknya perlu bersedia mendalami semua bidang. Perundangan Islam di Afrika Selatan yang wujud pada 1945 terus berhadapan pelbagai cabaran dan kami mengambil pakar luar yang ada bagi membolehkan kami menangani cabaran," katanya.

Bagaimanapun katanya, berdasarkan pencapaian umat Islam di Afrika Selatan, mereka boleh dikira sebagai kumpulan minoriti yang bijak meletakkan diri dalam dunia dan buktinya 10 peratus wakil di Parlimen Afrika Selatan adalah orang Islam termasuk bekas Menteri Kehakiman.

Malah katanya, sebagai masyarakat minoriti sejak 300 tahun lalu, umat Islam di Afrika Selatan boleh berbangga kerana tidak ada satu pun daripada 600 masjid dan 450 pusat Islam di sana dibina menggunakan wang kerajaan tetapi daripada sumbangan atau yang diwakafkan umat Islam sendiri.