Sunday, January 3, 2010

Ulul Albab: Apabila tahun baru sekadar pertukaran angka

Oleh Abdurahman Haqi


KITA perlu sentiasa bersyukur dengan kurnia Allah SWT kerana masih berpeluang menyambut tahun baru. Namun sebagai umat Islam, kita hendaklah sentiasa merenung masa lalu bagi menginsafi dan memotivasikan diri. - Gambar hiasan

Umat yang tak menghargai, mengenal nilai masa tidak akan jadi manusia berjaya

JIKA kita memerhati penggantian angka dari 2009 kepada 2010 kita hanya melihat satu makna. Tetapi jika kita memerhati penggantian makna dari 2009 kepada 2010 kita akan melihat banyak angka. Ini sama seperti kita melihat atau membaca satu ayat al-Quran tetapi banyak di dalamnya pelbagai tafsiran.

Dari sudut perangkaan penggantian dari 9 kepada 10 adalah perkara yang tidak lazim bukan seperti penggantian angka sebelumnya. Jika penggantian angka sebelumnya adalah kepada angka baru seperti 1 menjadi 2 dan 8 menjadi 9, maka penggantian angka 9 menjadi 10 adalah satu titik mula kembali kepada asal. Sebelum ditemukan angka 0, permulaan angka adalah 1 dan diakhiri dengan 9. Ketika saintis Muslim menemukan angka 0 yang sama dengan 'titik' dalam perangkaan Hindi, maka pengiraan angka mempunyai wadah atau tempat. Penemuan saintis Muslim dalam sistem angka inilah era digital pada hari ini berhutang budi. 10 adalah angka keramat seperti pernah disentuh sebelum ini. Ia adalah permulaan dua digit yang berkesudahan pada angka 99 dan gabungan antara angka mati dan permulaan angka hidup.

2009 yang penuh dengan suka duka baru saja berlalu dan 2010 juga akan dipenuhi dengan suka duka juga baru saja menjelma. Yang telah berlalu tidak akan kembali dan yang akan datang kita belum tahu apa yang akan terjadi.

Untuk memikirkan apa yang akan kita lakukan pada masa hadapan adalah sesuatu yang dituntut agar kita selalu dimotivasikan untuk membuat perkara positif yang membawa faedah kepada kita. Tetapi, memikirkan apa yang telah berlalu kemudian terkongkong dengan imaginasinya, maka ia tidak akan membawa kepada sebarang perubahan bahkan ia akan memudaratkan diri sendiri.

Pada suatu hari Saidina Umar ibn al-Khattab sedang berkumpul dan berbincang dengan sahabatnya. Untuk memecahkan suasana perbincangan beliau berkata: "Berangan-anganlah kamu sekalian. Salah seorang daripada mereka berkata: "Aku berangan-angan seandainya rumah ini dipenuhi oleh emas untuk aku nafkahkannya di jalan Allah." Lalu Umar berkata, "Berangan-anganlah kamu sekalian." Yang lain pula berkata: "Aku berangan-angan sekiranya rumah ini dipenuhi dengan permata agar aku boleh mendermakannya ke jalan Allah dan bersedekah dengannya."

Kemudian Umar berkata lagi: "Berangan-anganlah kamu sekalian." Mereka lalu berkata: "Kami tidak tahu lagi apa yang harus kami katakan wahai Amirul Mukminin." Umar berkata: "Aku justeru berangan-angan seandainya ada orang seperti Abu Ubaidah ibn al-Jarrah, Mu'az ibn Jabal dan Salim Mawla Abu Huzaifah agar aku dapat meninggikan kalimat Allah dengan bantuan mereka." Lain yang dilihat oleh Khalifah Umar, lain pula yang dilihat oleh beberapa orang sahabatnya dan kedua-duanya tidak salah dari sudut pandang Islam. Oleh itu tidak ada acara saling salah-menyalahkan dalam sesi perbincangan itu. Yang ada hanyalah penambahan minda hadirin dengan hujah yang dikemukakan.

Saidina Umar tidak melihat kepada kebendaan dalam memajukan dakwah demi peninggian agama Islam, i'la kalimatillah. Yang beliau utamakan ialah sumber manusianya.

Manusia lebih penting daripada benda kerana benda diadakan Allah untuk kepentingan manusia. Kemanfaatan seseorang manusia dilihat tanda arasnya daripada kepanjangan umurnya yang digunakan untuk faedah alam sekitarnya. Selagi ia berbuat baik kepada persekitarannya, sebanyak itu pula dia mendapat kebaikan bahkan dilipatgandakan oleh Allah. Begitu pula sebaliknya, jika kejahatan mendominasi kepanjangan hidupnya maka keburukan pula yang akan diterimanya.

Ketika Rasulullah SAW ditanya: "Siapakah manusia terbaik?" Baginda menjawab: "Orang yang panjang usianya dan baik pula amalnya." Baginda kemudian ditanya lagi: "Lalu, siapakah manusia terburuk?" Jawab Nabi: "Orang yang panjang usianya tetapi buruk amalnya." (Hadis riwayat Tirmizi)

Jika kita melihat penggantian 2009 kepada 2010 dari sudut sebutan angka saja, maka kita tidak akan melihat makna di dalamnya. Oleh itu kita mesti melihatnya dari sudut pandang makna kehidupan kita agar kita akan menghargainya kerana ia akan penuh makna. Makna yang paling menonjol ialah menghormati masa dan menggunakannya dengan sebaik-baiknya agar tidak termasuk insan yang rugi.

Masa adalah anugerah adil yang dikurniakan Allah SWT kepada makhluknya. Sesiapa yang bersyukur yakni dengan menggunakan sesungguhnya maka Allah akan tambahkan nikmat-Nya, tapi barang siapa ingkar maka azab Allah amatlah pedih.

Pendakwah yang disebut sebagai 'televangelist' Muslim semasa, Amr Khalid dalam buku Ghayyir Nafsak (Rubah Dirimu) ada menulis bahawa apabila kita membaca al-Quran, kita akan dapati bahawa Allah sering bersumpah dengan masa. Tuhan sememangnya tidak akan bersumpah melainkan sesuatu itu penting dan mempunyai nilai berharga. Allah swt berfirman maksudnya: "Demi malam apabila menutupi (cahaya siang) dan siang apabila terang benderang." (Surah al-Lail: 1-2) "Demi waktu Dhuha dan demi malam apabila telah sunyi." (Surah al-Dhuha: 1-2) "Demi fajar dan malam yang sepuluh." (Surah al-Fajr: 1-2) "Demi matahari dan cahayanya di pagi hari dan bulan apabila mengiringinya." (Surah al- Syams: 1-2) "Demi masa." (Surah al-Ashr: 1) "Maka sesungguhnya Aku bersumpah dengan cahaya merah pada waktu senja." (Surah al- Insyiqaq: 16)

Apakah yang menarik di sebalik masa ini hinggakan Allah bersumpah dengannya. Kembali kepada tujuan al-Quran diturunkan, maka Allah menginginkan kita supaya memerhatikan perkara ini agar mendapat pengajaran. Begitu banyak sumpah-Nya berkaitan dengan waktu. Maka umat yang tidak mengenal harga nilai masa tidak akan menjadi umat yang maju dan berjaya.

Ketika kita membaca: "Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia." Hati kita pasti terkesan dengan sebutan umat terbaik akan tetapi keadaannya sangat menyedihkan. Pada asasnya, seseorang umat akan menjadi terbaik dan berjaya hanya jika mampu memanfaatkan kurnia Allah sebaik-baiknya dan tidak menyalahgunakannya. Maka apatah lagi bagi kita umat Islam. Dapatkah kita memahami betapa pentingnya masa yang sering kita sia-siakan?

Penemuan pertama kaum Muslimin awal masa keemasannya adalah jam. Pada waktu itu mereka mengembangkan dan meletakkannya di tempat awam dan di ruang istana. Mereka begitu membanggakannya. Mengapa? Sungguh mereka berjaya kerana memerhatikan masa. Sungguh agung umat ini.

Namun kini kita tidak begitu. Seorang yang taat beragama sepatutnya menghargai waktu dalam kehidupannya. Apatah lagi da'i yang mengajak manusia ke arah perjuangan Islam. Kisah berikut adalah kisah benar yang berlaku kepada seorang tokoh Muslim yang berjumpa dengan warga asing. Muslim itu terlambat beberapa minit. "Anda muslim?" tanya warga asing itu. "Ya." "Anda solat?" tanyanya lagi. "Ya." "Berpuasa pada Ramadan?" "Ya." "Anda sudah menunaikan haji?" "Ya, tentu." "Anda solat Jumaat tepat waktu?" "Sudah tentu." "Sungguh aneh orang Islam. Agama mereka mengajarkan prinsip agung, sayang mereka tidak mengendahkannya."

Amma ba'du, masihkah kita menjadikan penggantian tahun ini hanya sebuah penggantian angka saja dengan tetap mengutamakan foya-foya? Wallahu alam.

Persoalan Agama: Umat Islam haram simpan patung perhiasan

Masyarakat perlu fahami syarat barang hiasan dibenarkan hukum syarak

Soalan:
KITA sememangnya diketahui tidak boleh menyimpan patung berbentuk manusia atau binatang dalam rumah. Bagaimana pula dengan replika robot pelbagai saiz yang menjadi kegilaan baik anak kecil mahu pun orang dewasa?

HUZN
Selangor.


Jawapan:
MENYIMPAN patung berupa manusia, selain daripada tujuan permainan, adalah haram. Sebagai contoh, patung yang diperbuat daripada tanah liat atau kaca untuk dijadikan perhiasan. Ini termasuk patung yang menggambarkan amalan sesuatu rakyat yang sering dibeli untuk dijadikan cenderamata yang diletakkan dalam almari perhiasan.

Perbuatan ini jelas dicela oleh Allah SWT seperti dalam surah al-Anbiya ayat ke-52 yang menceritakan mengenai pertanyaan Nabi Allah Ibrahim terhadap ayah dan kaumnya yang menyembah berhala: “Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: "Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu bersungguh-sungguh memujanya?”

Muhammad Ali al-Sabuni menjelaskan dalam Rawai’ al-Bayan, sebab Islam mengharamkan berhala disebabkan ia ‘dien tauhid,’ yang memusuhi perbuatan syirik. Sehubungan itu, mengadakan patung amat ditentang kerana ia adalah jalan yang menyebabkan manusia syirik kepada Allah SWT.

Menurut pengarang kitab Rawi’ al-Bayan fi tafsir ayat al-ahkam minal Quran, ada patung yang dibenarkan oleh Islam iaitu:

  • Apabila tidak membabitkan struktur badan sempurna. Ini satu kemudahan untuk kedai menjual pakaian supaya dapat meletakkan patung yang tidak mempunyai anggota badan sempurna untuk tujuan memperagakan pakaian.

  • Ia bukanlah merujuk kepada manusia dan binatang, seperti pokok, sungai dan robot. Ini disebabkan kejadian atau ciptaan seperti ini dibenarkan oleh Nabi SAW seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas dalam penjelasannya, yang bermaksud: “Jika anda terpaksa membuat lukisan, maka lukiskan gambar pokok, dan apa yang tidak mempunyai roh...(muttafaq ‘alaihi).

  • Ia adalah permainan yang dimiliki oleh anak-anak, terutama anak perempuan. Ini berpandukan sebuah hadis riwayat Muslim bahawa isteri Nabi iaitu Aisyah dikahwini baginda pada usia tujuh tahun dan Nabi SAW mula tinggal dengannya pada usia sembilan tahun dalam keadaan beliau masih lagi bermain dengan teman-temannya iaitu anak patung.

    Jadi kesimpulannya, memiliki patung untuk anak perempuan dan robot yang menjadi koleksi anak lelaki atau golongan dewasa adalah diharuskan. Cuma hendaklah mengelakkan pembaziran.

  • Persoalan Agama: Solat makmum lambat dua rukun daripada imam batal

    Soalan:
    APAKAH hukumnya jika seseorang itu sujud lama semata-mata untuk berdoa kepada Allah SWT ketika rakaat terakhir sedangkan dia masih solat berjemaah bersama imam?

    CT
    Kuala Lumpur.


    Jawapan:
    DALAM solat berjemaah, seseorang makmum wajib mengikuti pergerakan ataupun rukun fi'li yang dikerjakan imamnya. Perkara ini dinamakan sebagai mutaba'ah.

    Mengikut yang dimaksudkan adalah permulaan perbuatan makmum hendaklah terkemudian daripada perbuatan imam dan imam pula terlebih dulu selesai daripada makmum. Sekiranya makmum terlambat mengikut imam dengan satu rukun, hukumnya adalah makruh.

    Begitu juga sekiranya makmum terlambat mengikut imam daripada dua rukun yang panjang, seperti imam sudah mengerjakan rukuk, iktidal kemudian sujud dan bangkit daripadanya, sedangkan makmum masih berdiri tanpa sebarang keuzuran, maka batal solatnya.

    Tetapi, jika kelambatan makmum disebabkan keuzuran dimaafkan seperti bacaannya lambat, maka syarak membenarkan untuknya ketinggalan tiga rukun yang panjang.

    Namun, jika dia masih lambat, maka wajib mengikuti perbuatan imam dan meninggalkan perbuatan sedang dilakukannya. Kemudian hendaklah menambah kembali rakaat yang tertinggal selepas imam memberi salam.

    Mengenai kelewatan yang disebabkan doa yang dilakukan ketika bersujud itu, tidak dinafikan ada kepentingannya tetapi haruslah diingat seseorang yang mengerjakan solat secara berjemaah, dia tertakluk pada syarat tertentu seperti mengikut imam.

    Ini seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesungguhnya imam dijadikan untuk diikuti." (Riwayat al-Bukhari no 657 dan Muslim No 411).

    Persoalan Agama: Semua hidupan laut halal dimakan

    Soalan:
    SAYA mempunyai kekeliruan dan memerlukan jawapan untuk persoalan sama ada umat Islam dibenarkan memakan ikan yang beranak seperti ikan pari? Ini kerana saya pernah membaca satu rencana yang menyatakan ikan pari adalah dari spesies ikan yang beranak.

    Nurul Adilah
    Petaling Jaya.


    Jawapan:
    HUKUM memakan ikan pari dan semua makhluk yang ada dalam lautan adalah harus. Ini berdasarkan pertanyaan seorang sahabat Nabi, seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa seorang lelaki pernah bertanya kepada Nabi SAW yang bermaksud:

    "Sesungguhnya kami sering bekerja di lautan dan kami hanya membawa sedikit air untuk bekalan, jika kami mengambil wuduk dengannya, kami akan kehausan. Apakah boleh kami berwuduk dengan air laut itu? Jawapan Nabi SAW, air laut itu sifatnya menyucikan dan halal pula semua binatang laut yang mati daripadanya. (Riwayat Abu Daud no 83, al-Tirmizi no 69, al-nasaei no 59).

    Menurut pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji pada bab makanan, ikan dan sebagainya yang keluar dari laut halal untuk dimakan selagi ia tidak rosak dan busuk.

    Pengharaman makanan, termasuk makanan diperoleh dari laut, berlaku apabila ia memudaratkan.

    Perkara ini berpandukan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Maidah, ayat 4 bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka? Bagi menjawabnya katakanlah: Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang baik-baik."

    Maksud baik-baik itu menurut ahli tafsir al-Quran seperti Ibn Kathir yang diriwayatkan Said dam Muqatil iaitu haiwan yang hidup di darat adalah halal dimakan selepas disembelih terlebih dulu ataupun haiwan dari lautan tanpa pengecualian.

    Jadi persoalan ikan dilahirkan, seperti mamalia, bukan penyebab diharamkan kerana tiada dalil al-Quran dan sunnah menyatakannya.

    Saturday, January 2, 2010

    Kegemilangan tulisan Jawi perlu dikembalikan

    Oleh Mohamad Sofee Razak

    TULISAN Jawi adalah lambang jati diri, citra dan keunggulan umat Melayu. Peranan dan jasa agung dimainkan tulisan Jawi sebenarnya bermula sejak ia menjadi penyebar maklumat dan pendapat paling utama sejak puluhan tahun lalu. Cuma kebelakangan ini tulisan Jawi diketepikan peranan dan kehebatannya.

    Kehadiran kitab Jawi muktabar seperti Sayr as-Salikin, Sabil al-Muhtadin, Tajul Muluk, Matla' al-Badrain wa Majma' al-Bahrain dan kemunculan ulama legenda seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri dan Abdul Samad al-Palembangi serta ramai lagi berjaya mendaulatkan tulisan Jawi.

    Masyarakat hari ini boleh mengambil iktibar daripada kejayaan ahli fikir Islam terdahulu yang menguasai pelbagai bidang ilmu serta bahasa. Usaha menghidupkan bahasa Melayu berteraskan Jawi perlu dilaksanakan kerana kaitannya dengan bahasa al-Quran (Arab).

    Bahasa Melayu berteraskan tulisan Jawi kesan daripada penyebaran Islam yang berlaku di Nusantara suatu ketika dulu akan lenyap dan hilang jika tiada usaha dilakukan dalam memartabatkan semula penggunaannya.

    Menurut Azizi Abdullah (2006), daripada perspektif sejarah, tulisan Jawi berasal daripada tulisan Arab dan orang Melayu meminjamnya untuk mengganti tulisan Hindu yang sekian lama digunakan pada awal kemasukan Islam.

    Bukti kemasukan itu ialah pada batu nesan makam Sheikh Abdul Qadir ibnu Husin Syah Alam, di Langgar, Alor Setar, Kedah pada 290 Hijrah bersamaan 910 Masihi. Tiga ratus tahun kemudian, timbul pula tanda awal bahasa Melayu yang menggunakan tulisan Jawi pada batu bersurat di Terengganu dan diikuti penemuan lain selepas itu. Kemudian ia tersebar luas, digunakan di daerah bahasa Melayu dan daerah bukan bahasa Melayu, termasuk ke Pulau Jawa.

    Pejuang tulisan Jawi yang bertanggungjawab memberi nafas baru terhadap tulisan itu ialah ikon umat Melayu iaitu Pendita Za'ba yang mengumpulkan perkataan Melayu sejak 1918 bagi tujuan menyusun sebuah kamus besar.

    Hasilnya pada 1931, Za'ba menulis buku Rahsia Tulisan Jawi untuk warisan umat Melayu dan ternyata beliau berjaya meniup semangat tulisan Jawi dari semasa ke semasa. Akhirnya sebuah buku Daftar Ejaan Jawi-Rumi dapat disusun hasil perbincangan dengan beberapa rakan-rakannya.

    Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata tulisan atau skrip Jawi sudah sekian lama berperanan sebagai skrip pentadbiran, keagamaan dan budaya sejak berzaman, khususnya zaman Kerajaan Melaka pada awal abad ke-15.

    Peranan tulisan Jawi berkembang maju melalui sejarah tanah air dan Kepulauan Melayu (Nusantara) dan berperanan penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat serta perdagangan. Perjanjian penting antara Raja Melayu dengan pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris kesemuanya tertulis dalam skrip Jawi.

    Perjanjian antara Sir Stamford Raffles dengan pihak di-Raja Johor, Perjanjian Pangkor 1874, Pengisytiharan Merdeka 1957 antara lain juga tertulis dalam skrip Jawi. Tulisan Jawi pernah melalui zaman gemilang dalam pelbagai kemajuan bersifat sastera, pentadbiran dan perjuangan silam.

    Kegemilangan tulisan Jawi perlu dikembalikan semula memandangkan tulisan Jawi antara tulisan dunia yang masih bertahan dan kekal hingga ke hari ini. Tulisan jawi harus mampu bergerak seiringan tulisan perdana lain dan boleh bergerak sendirian segagah dulu.

    Kita perlu kewibawaan tulisan jawi asal, yang begitu berjasa kepada perkembangan agama, bangsa dan negara. Kita ingin melihat tulisan jawi kembali menjadi tulisan utama, nadi dan jantung maklumat di negara kita.

    Program J-Qaf (Jawi, Quran, Arab dan Fardu Ain) di sekolah rendah di seluruh negara sejak 2005 adalah berita gembira kepada generasi muda untuk mempertahankan warisan agung itu dan tamparan keinsafan kepada generasi lama yang meminggirkan tulisan Jawi sejak sekian lama.

    Semoga inisiatif bijak kerajaan menjadi pemangkin perkembangan dan kelangsungan tulisan jawi di Malaysia dan rantau ini. Tulisan Jawi sudah mewarnai sejarah perkembangan Islam dan menjadi tunjang kepada kekuatan intelektual Nusantara yang diakui sarjana tempatan dan Orientalis Barat.

    Namun begitu, tanpa komitmen, kesedaran dan sokongan padu orang Melayu sendiri, nasib dan hala tuju tulisan Jawi tidak akan ke mana. Syarikat konglomerat korporat, pertubuhan bukan kerajaan, perpustakaan, parti politik Melayu, sekolah, universiti, kolej, individu dan banyak lagi perlu memainkan peranan dalam usaha menjayakan inisiatif murni ini.

    Usaha dan tindakan itu bukanlah komitmen berbentuk sementara atau bermusim tetapi berterusan. Jutawan Melayu harus menggembleng tenaga dan dana menyumbang kepada kelancaran pemeliharaan, penerbitan dan kesinambungan tulisan Jawi di negara kita.

    Kahwin lari guna sindiket tanpa daftar semula menyusahkan waris

    Oleh Abdul Razak Idris

    PERNIKAHAN secara sah mengikut rukun dan hukum Islam diletakkan dalam agama Islam setaraf mendirikan sebuah masjid. Hari ini pernikahan antara pasangan lelaki dan wanita secara amalinya terikat dengan peraturan kariah sebelah wanita. Mengikut prosedur kariah, bakal pengantin perempuan bagi kebanyakan negeri, pihak pengantin lelaki perlu menyerahkan surat akuan sumpah mengaku sama ada bujang atau surat kebenaran untuk berpoligami bagi yang sudah berkahwin.

    Namun bagi pasangan yang berkahwin di sempadan dan nikah sindiket perkara ini sering diabaikan. Ini yang menimbulkan masalah di kemudian hari kerana urusan pendaftaran anak-anak dan pembahagian harta tertakluk kepada pendaftaran nikah kahwin mengikut enakmen setiap negeri.

    Nikah sindiket yang berlaku dalam masyarakat kita bukan perkara baru. Ia berlaku sejak peraturan tegas supaya setiap perkahwinan didaftarkan dan setiap bakal pengantin perlu mengikuti kursus anjuran pihak berkuasa agama setiap negeri. Perkahwinan sebagai suatu perkara suci perlu dilakukan mengikut undang-undang uli-amri dan sikap mengikut undang-undang logik perlu diubah kerana ia menimbulkan masalah kepada waris dan bukan kepada pasangan pengantin itu sendiri.

    Prosedur ini perlu dipenuhi bagi memberi kemudahan kepada anak-anak yang bakal lahir daripada sebuah perkahwinan mendapat pengiktirafan warga negara. Tindakan pasangan yang menggunakan sindiket akan mendedahkan diri mereka dengan tindakan mahkamah syariah dan mahkamah jenayah jika perbuatan yang tidak diredai undang-undang ini dilakukan.

    Kes mufarakah yang berlaku kepada satu pasangan di sebuah negeri baru-baru ini menunjukkan jika prosedur biasa dilanggar, inilah akibat yang perlu ditanggung oleh pasangan terbabit.

    Rukun nikah menetapkan agar wali dijemput untuk menikahkan pasangan bertujuan menghindar daripada fitnah dan dosa terhadap kedua ibu bapa kerana membelakangkan mereka. Zaman ini kerana cinta, ramai anak muda lebih suka kahwin lari di sempadan yang boleh menjalankan upacara nikah tanpa menyeberang sempadan.

    Ada juga yang tidak mendaftarkan pernikahan sampai ajal menjemput mereka. Apabila urusan harta ingin dilaksanakan, pengesahan nikah yang belum dibuat akan menimbulkan masalah kepada waris hingga urusan mengambil kuasa terbantut dan terbengkalai.

    Walaupun mengikut syarak pernikahan di sempadan sah ia tetap akan menimbulkan masalah jika ia tidak didaftarkan oleh pasangan terbabit. Setiap peraturan bukanlah untuk menyusahkan tetapi untuk memberi kemudahan dan kebajikan kepada pasangan. Cuba bayangkan jika pendaftaran tidak dibuat dengan betul apa akan jadi jika isteri yang kita nikahi itu rupanya masih mempunyai suami yang ditinggalkan sekian lama.

    Mungkin juga suami yang dinikahi itu mempunyai lebih daripada empat isteri. Itu yang boleh berlaku jika pendaftaran gagal dibuat oleh pasangan yang berkahwin di sempadan atau secara sindiket.

    Berkahwin mengikut undang-undang sama ada untuk poligami atau yang pertama kali lebih baik dari kahwin dua dan tiga tetapi menghadapi masalah hingga 'sikap sayang selasih hamba lurutkan, kerana kasih hamba turutkan' berlaku dalam masyarakat.

    Setiap perkahwinan adalah atas rasa kasih sayang yang suci dan perasaan itu biarlah berlandaskan agama dan hukum pemerintah. Perkahwinan bukan untuk sehari dua tetapi perjalanan panjang yang dianggap perjudian oleh sesetengah pihak. Jika bahagia bersyukur, jika kelak bercerai atau salah seorang pasangan meninggal dunia yang susah ialah pihak satu lagi dan perkara ini sedang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini.

    Kikis sikap malu, segan jika mahu lakukan amalan baik

    Oleh Mohd Adid Ab Rahman

    KEMULIAAN serta kualiti manusia bukan dilihat pada fizikal yang cantik atau kekayaan, tetapi iman serta amal salih yang diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Menjadi pakej lengkap setiap orang beriman pasti gemar melakukan kebaikan dalam semua perkara. Semakin mantap iman, semakin mudah berbuat baik sekali gus darjatnya semakin tinggi di sisi Allah.

    Di sinilah pentingnya kita mantapkan iman dan berlumba-lumba melakukan kebaikan sama ada kepada Allah, diri, masyarakat. haiwan dan alam. Semua yang dilakukan demi meraih kecintaan dan keredaan Allah sebagai kebahagiaan yang hakiki.

    Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bahagialah (kerana kebaikan yang amat banyak) bagi orang yang baik kerjanya, baik dan bersih hatinya, mulia pula lahirnya dan jauh manusia daripada kejahatannya. Bahagialah orang beramal dengan ilmunya, membelanjakan (untuk kebaikan) lebihan dari hartanya dan menahan lebihan daripada kata-katanya." (Hadis riwayat Tabrani)

    Ada individu enggan melakukan perkara baik seperti belajar atau mengajar ilmu bermanfaat kepada orang yang memerlukannya kerana malu. Sikap ini sangat mengelirukan, sebab malu hanya layak dalam perkara dilarang agama.

    Kita sering berjumpa manusia yang memandang ringan terhadap kebaikan yang sedikit. Mereka keberatan atau enggan melakukannya lalu dicipta pelbagai alasan tidak masuk akal untuk mengelak daripada dilihat sebagai seorang pemalas dan orang yang bersalah.

    Sedangkan Islam sangat menekankan perlunya manusia berlumba-lumba berbuat kebaikan. Walaupun hanya bersedekah sebelah daripada sebiji kurma yang dianggap perkara remeh namun sesungguhnya tetap diperhitung Allah sebagai amalan soleh.

    Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Hindarilah seksa neraka meskipun dengan bersedekah sebelah buah kurma. Siapa yang tidak mampu bersedekah separuh buah kurma sekurang-kurangnya dia bertindak dengan menuturkan perkataan yang baik dan bermanfaat." (Maksud Al-Hadis)

    Sekecil apapun perkara kebaikan yang dilakukan tetap dinilai dan diberi pahala oleh Allah dan begitu juga dengan kemungkaran, tidak akan dibiarkan begitu saja, pasti akan menerima balasannya.

    Allah berfirman yang bermaksud: "Siapa yang berbuat baik walau sebesar zarah kebaikan ia pasti melihat ganjarannya. Siapa yang berbuat sebesar zarah kejahatan pun ia pasti akan melihat akibatnya." (Surah Al-Zalzalah: 7-8)

    Jika ruang hidup yang memang terhad ini tidak diisi dengan amalan baik yang mendatangkan manfaat, bermakna kita sudah melangkah di jalan salah yang terpesong daripada tujuan hidup sebenarnya dan seolah-olah sengaja mencampakkan diri ke dalam golongan orang rugi daripada rahmat-Nya.

    Firman Allah bermaksud: "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang beriman dan beramal salih dan mereka pula berpesan dengan kebenaran serta berpesan dengan sabar." (Surah Al-Asr: 1-3)

    Jika enggan atau berlengah-lengah maka dikhuatiri nanti kita tidak berkesempatan melakukan amal soleh disebabkan mungkin ditimpa sakit atau meninggal dunia.

    Benarlah nasihat Hasan Basri: "Ayuh segeralah, segeralah! Sebab segala sesuatu itu tergantung daripada nyawamu saja, jika ini sudah diputuskan, terputuslah pula segala amalmu. Jika demikian, amalan mana lagi yang akan kau pergunakan untuk 'bertaqarrub' (mendekatkan diri) kepada Allah."

    Kita perlu sentiasa nyalakan semangat dan azam berlumba-lumba melakukan kebaikan selari suruhan agama supaya terhindar daripada segala kemungkaran.

    Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya mereka adalah orang yang selalu berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan dan selalu berdoa kepada Kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka sentiasa khusyuk kepada Kami." (Surah Al-Anbia: 90)

    Demi untuk menjadi insan mulia dan dikasihi Allah, kita perlu segera melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Sesungguhnya Allah selalu bersama orang yang bertakwa dan selalu menambah amalan salih. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa dan orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (Surah An-Nahl: 128)

    Sikap dengki boleh rosakkan perpaduan ummah

    Oleh Muhammad Abdullah @ Ab Shatar

    PERBUATAN menzalimi hak dan mencemarkan kehormatan sesama umat Islam dan bukan Islam amat dilarang Allah. Perpaduan yang dianjurkan Islam mengajak seluruh umat Islam bersatu padu dan berusaha menghidupkan budaya hormat-menghormati serta amalan saling melengkapi mesti diutamakan dalam semua aspek kehidupan seharian seperti maksud firman Allah, "Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga dekat, dan jiran tetangga jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang sombong dan membanggakan diri" (An-Nisa, :36).

    Perbuatan zalim ditakrifkan sebagai tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Perbuatan seumpama menceritakan perihal sulit kerjaya rakan sekerja di luar lingkungan tempat kerja, memburuk-buruk rakan setugas dengan niat mencemarkan reputasinya, ataupun menggunakan kuasa dan kedudukan untuk menjadikan rakan sejawatan diberikan tugas di luar kemampuan atau di luar bidang tugasnya.

    Organisasi dan jabatan yang berjaya sebenarnya memerlukan perpaduan dan suasana harmonis yang berlangsung antara rakan sejawatan bagi membolehkan wujudnya persekitaran kerja yang mantap serta bersepadu.

    Kerenah rakan sekerja antara virus paling berbahaya yang mampu merosakkan keberkesanan mana-mana matlamat organisasi sekiranya tidak segera diatasi majikan.

    Keprihatinan majikan dalam memerhatikan kerenah pekerja mengikut pengurusannya wajar ditekankan agar tidak berlaku sebarang unsur penindasan, manipulasi serta penganiayaan terhadap orang bawahannya.

    Allah Taala menciptakan manusia dalam pelbagai bentuk kebolehan, kemahiran yang berbeza dan sebagainya maka, menjadi tugas majikan untuk menggunakan variasi kebolehan pekerjanya

    untuk menjana organisasi selain tidak memungkinkan wujudnya persekitaran yang tidak sihat.

    Allah dalam memastikan manusia tidak berlaku zalim ke atas sesama makhluknya menjelaskan dalam firman-Nya, "Dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah), dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang membuat kerosakan". (al-Qasas: 77).

    Sifat suka memperkecilkan kebolehan atau memperlekehkan orang lain adalah antara sifat keji yang perlu dielakkan. Barang kali terbitnya perasaan sombong, megah dan riak kerana golongan ini memiliki kelebihan yang diberikan Allah dalam takdirnya berbanding orang lain.

    Sifat keji ini pasti membarah dalam diri menjadikan golongan itu lebih suka melihat orang lain dengan pandangan rendah dan hina sebagaimana maksud firman Allah, "Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang lelaki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim".( Al-Hujuraat: 11).

    Umat Islam perlu menyedari amaran Allah mengenai bahaya sifat mazmumah. Setiap perbuatan zalim dilakukan bakal mengundang kemurkaan Allah serta tetap diberikan balasan yang setimpal. Firman-Nya, "Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkannya (membalasnya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui. (Luqman:16)

    Seterusnya kehidupan kita kelak tidak terlepas dari rentetan bala Allah lantaran perbuatan menzalimi manusia lain. Perlu diingat! Doa orang yang dizalimi tidak terhijab dengan Allah SWT.

    Rasulullah SAW bersabda, " Dan takutlah engkau akan doa orang yang dizalimi, sesungguhnya (doa orang yang dizalimi itu) tidak ada di antaranya dan di antara Allah pendinding." (Bukhari).

    Balasan bala atas orang menzalimi hak manusia lain ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud, "Dan jagalah diri kamu daripada dosa yang bukan saja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya". ( Al-Anfal: 25)

    Friday, January 1, 2010

    Mengharapkan hijrah untuk kehidupan lebih baik

    Oleh Hasliza Hassan
    hasliza@bharian.com.my

    Iman, jihad, matlamat akhir ke syurga mampu bentuk masyarakat Islam berkualiti

    PERUBAHAN ke arah kehidupan lebih baik yang sering dikaitkan dengan sejarah hijrah Nabi Muhammad SAW bukan sesuatu yang mudah dilakukan dan tidak ramai berminat untuk keluar daripada zon selesa diduduki sekarang.

    Bagaimanapun, menurut perunding motivasi Human Touch Consultant, Mohd Zawawi Yusoh (gambar), hijrah akan menjadi mudah serta menyeronokkan jika perubahan itu bersandar kepada tiga komponen iaitu iman, jihad serta matlamat akhir untuk mencapai syurga.

    Katanya, pengertian hijrah yang membawa maksud bermula daripada awal juga perlu diubah kepada memulakan sesuatu dengan mengingati matlamat akhir kerana cara itu lebih berkesan untuk mendorong seseorang berubah.

    "Cerita sejarah hijrah Nabi Muhammad SAW adalah cerita lama tetapi akan menjadi baru jika umat Islam dapat menghayati cara hidup Baginda dalam niat untuk melakukan penghijrahan atau perubahan ke arah kehidupan lebih baik.

    "Al-Quran apabila bercerita mengenai hijrah selalu mengaitkannya dengan orang yang beriman dan ini menguatkan bahawa hijrah itu bermula dengan iman," katanya pada Majlis Sambutan dan Ceramah Maal Hijrah di surau di Balai Berita, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Beliau berkata, melihat kepada kedudukan diri, seseorang perlu bertanya apakah mereka sudah benar-benar beriman dan jika sebaliknya hendaklah berusaha memulakan hijrah dengan mempertingkatkan keimanan.

    Zawawi berkata, tiga konsep iman jika difahami akan menjadikan penghijrahan bakal dilakukan bermula dengan iman itu berakhir dengan mencapai hasil diharapkan akhirnya iaitu meraih syurga Allah pada akhirat kelak.

    Pertama, konsep iman ilmu al yakin yang mendorong seseorang itu berubah atas dasar iman serta ilmu. Maknanya, apa yang dilakukan semata-mata kerana Allah, bukan tujuan mendapat pengiktirafan atau layanan baik daripada pihak tertentu.

    Contohnya, majikan dan pekerja yang saling hormat menghormati antara satu sama lain bukan saja di pejabat tetapi di mana juga mereka berada, adalah sebagai memenuhi suruhan Allah bukan kerana terpaksa.

    Konsep iman ainul yakin pula adalah rasa yakin yang lahir seolah-olah apa yang diyakini itu dapat dilihat dengan mata kasar. Walaupun Nabi Muhammad SAW sudah tiada, hati kuat berasa untuk berubah dan mencontohi keperibadian Baginda.

    "Ainul yakin ialah kita percaya walau tidak nampak dengan mata kasar. Malangnya sifat manusia ini, sudah nampak baru yakin atau sudah terkena baru nak sedar. Mat rempit selepas kemalangan dan patah kaki baru hendak menyesal.

    "Sepatutnya walaupun Nabi Muhammad sudah tiada melihat kepada sirah Rasulullah kita tetap ingin menjadi seperti Baginda. Inilah yang dinamakan melakukan sesuatu kerana kita yakin balasannya nanti," katanya.

    Sementara iman haqqul yakin pula katanya, adalah keyakinan yang sudah sebati dalam jiwa seseorang itu yang dapat digambarkan melalui perasaan seolah-olah apa yang dilihatnya ialah apa yang Allah lihat dan apa yang didengarnya ialah apa yang Allah dengar.

    Dalam erti kata lain, Allah hanya suka melihat benda yang baik-baik dan itulah yang dilihat seseorang yang berhijrah. Begitu juga Allah suka mendengar perkara yang baik-baik saja dan itulah yang sepatutnya kita dengar.

    Zawawi berkata, walaupun asasnya perubahan seolah-olah sukar untuk dilaksanakan tetapi dengan keyakinan kepada janji Allah seseorang itu mampu melakukannya dengan syarat sentiasa berdoa bersungguh-sungguh, berusaha melakukan suruhan agama, kreatif dalam berusaha dan akhirnya bertawakal kepada Allah.

    Soal Jawab Agama: Takwa penuh ikhlas dihiasi sunnah Rasulullah lebih berkat

    Bersama Ustaz Zamanuddin Jusoh
    zaman@nstp.com.my

  • SAYA pernah mendengar mengenai pendapat yang mengatakan takwa terletak pada hati, bukan pada serban, jubah, janggut dan sebagainya yang melambangkan Islam. Sedangkan kita tahu bahawa semua perbuatan itu adalah sunnah Nabi SAW. Harap dapat penjelasan. Mat Kucai
    Seksyen 10, Wangsa Maju


    TAKWA secara ringkasnya ialah menunaikan perintah kewajipan dan meninggalkan segala larangan Allah. Benarlah apa yang saudara dengar mengenai takwa kerana Rasullullah SAW pernah bersabda: "Takwa adalah di sini, sambil mengisyaratkan ke hati Baginda SAW sebanyak tiga kali." (Muslim).

    Apabila ada perasaan takwa di dalam jiwa seseorang, maka dihiasi dengan pakaian yang disunatkan Nabi SAW atau sekurang-kurangnya pakaian yang menunjukkan tanda keislaman seseorang, tentulah lebih baik lagi. Firman Allah: "Sesungguhnya pada Rasulullah itu adalah contoh ikutan yang baik bagi mereka yang mengharapkan keredaan Allah." (Surah al-Ahzab ayat 21).

    Ibnu Abbas pernah mengatakan: "Pakailah dan ucaplah apa saja, apa yang menjadi perhitungan ialah dua perkara iaitu riak dan takbur terhadap Allah SWT." Bagi mereka yang melanggar perintah Allah dengan menggunakan alasan bahawa takwa hanya di hati tidak dapat diterima sama sekali. Pelanggaran hukum Allah adalah sesuatu yang bertentangan dengan sifat takwa.

    Sebagai contoh, dalam berpakaian kerana apa yang haram dan halal sudah pun jelas di hadapan kita. Sabda Rasullullah SAW: "Bagi lelaki tutuplah antara pusat dan lutut" (Darimi). Firman Allah: "Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang beriman agar mereka melabuhkan pakaian mereka menutupi tubuh mereka agar mereka dikenali dan tidak diganggu." (Al-Ahzab ayat 59). Saidina Umar berkata: "Kami adalah insan yang hanya dapat menghukum mengikut pandangan zahir sahaja."


  • Apakah hak seorang pesalah menurut Islam dan sejauh manakah seorang hakim dapat menilai terhadap kesalahan seseorang dan seterusnya menjatuhkan hukuman terhadap seseorang pesalah?
    Azrin Amin
    Kuala Lumpur

    Islam adalah agama yang menekankan prinsip keadilan yang memberi ruang kepada semua pihak bagi mengemukakan dalil dan hujah masing-masing. Pada masa sama manusia mestilah bersifat amanah dalam setiap kelakuan mereka selaras dengan firman Allah SWT: "Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan kamu supaya mengembalikan hak kepada empunya dan apabila kamu menghukum hendaklah kamu menghukum dengan adil dan saksama." (An-Nisa ayat 58).

    Syariat Islam tidak membenarkan seseorang itu dihukum selagi tidak terbukti kesalahannya dan setiap keterangan hendaklah dipelajari dan dikaji dengan teliti. Menjadi kewajipan kepada hakim untuk memberi ruang kepada tertuduh untuk mempertahankan dirinya. Sebuah kaedah ilmu fiqah menyebut: "Pihak pendakwa hendaklah mengemukakan keterangan dan bagi yang mengingkarinya hendaklah bersumpah."

    Hakim hendaklah berusaha agar setiap hukuman yang akan dijatuhkan itu diteliti supaya keputusan yang bakal diambil kelak tidak menzalimi mana-mana pihak. Apatah lagi jika ada pengakuan yang dibuat oleh tertuduh sebelumnya dirujuk semula.

    Maka di sini wujud keraguan terhadap kesalahan itu apabila pengakuan sudah ditarik semula. Sabda Rasullullah SAW: "Hukuman tidak boleh dilakukan dalam keadaan ragu-ragu, jika ada jalan keluar pada sesuatu masalah, maka berilah ruang padanya kerana hakim yang tersilap membebaskan pesalah lebih baik dari melakukan kesilapan dalam menghukum seseorang."

    Seorang sahabat bernama Maiz mengaku berzina kepada Baginda dan Rasullullah SAW tidak tergesa-gesa dalam menjalankan hukuman. Baginda memberi peluang kepada Maiz untuk menarik balik pengakuannya dengan berkata: "Mungkin kamu hanya mencium atau menyentuhnya saja." Imam Malik berkata: "Jika mereka yang membuat pengakuan terhadap kesalahannya kemudian menarik balik pengakuan itu, maka dia tidak akan dihukum". (Syarah Az-Zarqani pada kitab Muwatta' Imam Malik).

    Sebuah hadis dari Sahl Saad menyebut bahawa seorang lelaki datang kepada Baginda SAW dan mengaku berzina dengan seorang wanita.

    Baginda SAW terus memanggil wanita itu bagi mengesahkan dakwaan tetapi wanita itu menafikannya dan Baginda SAW menghukum lelaki tersebut dan membebaskan wanita tadi. (Imam Ahmad di dalam Musnadnya).

    Pernah dibawa kepada Baginda SAW seorang pencuri yang ditangkap dan dia membuat pengakuan tetapi barangan yang dicuri tiada padanya. Baginda berkata: "Apakah benar kamu mencuri? Lalu jawab lelaki itu: "Benar wahai Rasulullah dan mengulanginya sehingga tiga kali. Maka barulah Baginda SAW menghukum lelaki Itu. (Ahmad, Ibnu Majah, Abu Daud, Nasai dan Baihaqi).

    Islam juga tidak memberikan kebebasan sepenuhnya kepada seorang hakim untuk menjatuhkan hukuman kerana menjadi kewajipan bagi seorang tertuduh mempertahankan dirinya selagi mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian.

    Sebuah hadis sahih menyatakan bahawa Nabi SAW pernah berkata kepada Saidina Ali, ketika melantik beliau sebagai pemerintah di Yaman: "Wahai Ali, kelak kamu akan diminta untuk mengadili sesuatu kes, apabila datang kepadamu dua orang yang mengadu, janganlah kamu menghukum salah seorang daripada mereka sehingga kamu mendengar keterangan daripada kedua-dua pihak agar kamu dapat menilai manakah yang benar." (Tirmizi dan Abu Daud).

    Penulis ialah Eksekutif di Unit Agama NSTP dan boleh dihubungi dengan e-mel, zaman@nstp.com.my