Tuesday, June 24, 2008

Perspektif Ikim: Pemimpin cemerlang miliki hikmah

Oleh Wan Roslili Abd Majid

UBAH GAYA HIDUP: Rakyat perlu memilih makanan sesuai dengan kemampuan ekonomi bagi menghadapi kenaikan harga di pasaran. - Gambar hiasan


Kesederhanaan ibu segala kelebihan melaksanakan urusan pentadbiran

HIKMAH atau kebijaksanaan adalah kurniaan terbesar Allah kepada manusia seperti dijelaskan dalam firman-Nya bahawa sesiapa yang dikurnia hikmah maka ia pada hakikatnya dikurnia kebaikan yang banyak.

Selain itu, al-Quran juga menceritakan kisah Luqman ibn Ba`ura (Luqman al-Hakim), hamba Allah yang dikurnia hikmah dan bagaimana hikmah dimanfaatkan oleh Luqman dalam kehidupannya terserlah melalui nasihat kepada puteranya.

Ibn Kathir menjelaskan Allah mengurniakan hikmah, iaitu petunjuk kepada Luqman untuk melakukan sesuatu berdasarkan ilmu serta kefahaman mendalam, bersyukur kepada Allah serta memuji-Nya atas segala nikmat dan kelebihan dikurniakan, suka melakukan kebaikan terhadap orang lain, selain membantu apa saja usaha kebaikan serta amal soleh.

Menurut riwayat, Luqman pernah membantu Nabi Daud dalam urusan pemerintahan dan menjadi hakim untuk mengadili perbicaraan kaum Bani Israel.

Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Mizan al 'Amal menegaskan bahawa hikmah dinisbahkan pada kekuatan akal. Kata beliau, hikmah dan tiga sifat lain iaitu keberanian, kesederhanaan dan keadilan adalah ibu segala kelebihan yang boleh melahirkan atau membentuk sifat terpuji lain.

Ciri kecemerlangan tertentu akan terpancar pada diri orang yang memiliki hikmah termasuk arif, kebijaksanaan dalam budi bicara; ketajaman fikiran, ketepatan pandangan, kepantasan kefahaman, kejelasan minda, kepantasan dan kemudahan dalam pembelajaran.

Hikmah dikatakan terhasil dalam jiwa apabila keupayaan fikiran menjadi mantap atau sempurna yang memberi maksud seseorang dapat membezakan antara benar dengan palsu, kepercayaan yang benar dengan salah dan antara tindakan benar dengan sebaliknya.

Hikmah atau kebijaksanaan dan keberanian, kesederhanaan serta keadilan yang diistilahkan sebagai ibu segala kelebihan adalah sifat utama yang mesti dimiliki pemimpin. Sifat utama inilah yang akan membimbing seseorang pemimpin melaksanakan urusan kepemimpinan dan pentadbiran negaranya dengan cemerlang.

Dengan hikmah contohnya, seseorang pemimpin akan didorong untuk sentiasa mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat pimpinannya sehingga mengatasi kepentingan lain, hatta kepentingan dirinya sendiri.

Hikmah juga membolehkan ia membezakan antara tindakan atau keputusan yang akan membawa kebaikan kepada rakyat atau kemudaratan kepada kehidupan sehingga menyebabkan mereka ditimpa kesulitan yang tidak putus.

Selain itu, hikmah diperlukan oleh pemimpin dalam mencari penyelesaian bagi sesuatu kemelut yang melanda negara serta rakyat dipimpinnya.

Merujuk kepada keadaan yang sedang melanda negara ketika ini, kelihatannya rakyat begitu mengharapkan supaya pimpinan negara dapat merumus tindakan penuh hikmah bagi melindungi kepentingan serta kebajikan mereka.

Mereka mengharapkan pemimpin dapat menunjukkan teladan terbaik dalam menangani kemelut sedang dihadapi. Mereka tidak sekadar memerlukan seruan mengubah gaya hidup supaya kemelut yang dihadapi dapat ditangani sebaik-baiknya.

Apa lebih diperlukan rakyat ialah bukti serta contoh yang jelas bahawa pemimpin sendiri menjalani kehidupan penuh sederhana dan ternyata sanggup mengorbankan kepentingan diri mereka demi memastikan rakyat tidak terjerumus dalam belenggu kesulitan dan penderitaan berpanjangan.

Bagi rakyat yang sudah terbiasa dengan kehidupan sederhana atau dibelenggu kemiskinan serta kedaifan, seruan supaya mereka mengubah gaya hidup sama sekali tidak memberikan sebarang makna kerana itulah bentuk kehidupan dijalani selama ini. Apatah lagi jika hanya mendengar seruan kosong tanpa sebarang bukti kukuh daripada pihak yang menuturkan nasihat berkenaan.

Apalah makna seruan itu kerana pada saat mereka berjuang bermati-matian bagi menyara diri dan keluarga, pemimpin dan anggota keluarga, penasihat serta pegawai utama kerajaan melayari kehidupan dilimpahi kemewahan dan keselesaan yang tiada sempadannya. Tidak mustahil bahawa isyarat yang diterima rakyat ialah hanya mereka saja perlu berkorban.

Contoh ditunjukkan Nabi Yusuf dalam mengurus pentadbiran kewangan negeri Mesir sebelum dan ketika bencana kemarau melanda amat wajar dijadikan teladan pemimpin negara ini. Selain kebijaksanaan baginda merancang penanaman bijirin selama tujuh tahun yang subur dan proses penyimpanan untuk jangka masa lama, Nabi Yusuf juga menunjukkan teladan baik kepada seluruh rakyat Mesir. Baginda, pemerintah dan tentera Mesir hanya makan sekali sehari, iaitu pada waktu tengah hari.

Zaman pemerintahan Sultan al-Mansur 'Ali, pemerintah muda Dinasti Mamluk Mesir juga wajar dijadikan renungan dan teladan. Disebabkan bimbang dengan kemaraan tentera Tartar, pemerintah Aleppo meminta bantuan Mesir untuk mempertahankan negeri dan wilayahnya.

Ibn al-Adim, sejarawan terkenal datang ke Kaherah pada 657 Hijrah, sebagai utusan negeri Syria untuk memohon bantuan yang dimaksudkan. Pemangku raja, Qutuz lantas mengumpulkan semua pegawai kanan tentera, panglima perang, kadi dan pegawai kanan kerajaan lalu mengadakan mesyuarat.

Salah seorang kadi terkenal dan sentiasa diminta pandangannya juga menghadiri mesyuarat berkenaan. Beliau ialah Sultan al-'Ulama' al-Izz ibn `Abdissalam bersama dengan ketua kadi. Jurucakap istana segera melaporkan kemaraan tentera Hulagu, penyerahan oleh segenap kota yang dilewatinya dan ketibaannya di Aleppo.

Jurucakap itu juga melaporkan bahawa Baitulmal sudah pun kosong dan tiada lagi simpanan. Sementara sultan yang memerintah pula masih lagi muda dan keamanan serta keselamatan negeri berada dalam keadaan bahaya.

Oleh demikian katanya, keutamaan paling penting pada masa itu ialah memilih pemimpin yang bertanggungjawab, disegani rakyat dan dapat berdiri teguh menghadapi musuh. Selain itu, Baitulmal memerlukan sumbangan orang ramai untuk membentuk tentera yang kuat dan menyediakan mereka dengan segala peralatan untuk mara menentang tentera Hulagu.

Lantas, Qutuz mengisytiharkan dirinya sebagai raja dan membuat keputusan memungut cukai yang besar daripada orang ramai untuk digunakan oleh tentera. Tiada sesiapa pun berani membantah kata-kata jurucakap istana.

Namun, dengan penuh ketegasan, Sultan al-`Ulama' `Izz ibn `Abdissalam mengutarakan pandangannya. Kata beliau, "Jika musuh menyerang negara Islam, setiap individu wajib mempertahankannya.

Diharuskan untuk dipungut apa juga bentuk cukai yang diperlukan untuk membiayai peperangan bagi mempertahankan negara, dengan syarat, tidak ada walau satu pun senjata dan pelana bersepuh emas, hud bersulam cantik dan pedang dihiasi batu permata yang masih ada dalam Baitulmal; juga dengan syarat, kamu menjual semua barang kamu yang berharga; dan setiap tentera hanya memiliki senjata serta haiwan yang ditunggangnya dan ia setaraf dengan rakyat biasa. Akan tetapi, tidak dibenarkan (haram) sama sekali bagi kamu untuk memungut wang daripada rakyat sedangkan tentera kamu dibenarkan menyimpan barang-barang dan senjata mereka yang berharga."

Raja Qutuz menerima pandangan Sultan al-`Ulama' al-Izz ibn `Abdissalam dengan hati terbuka dan beliau seterusnya menasihati baginda dengan kata-katanya, "Jika kamu mengikut jalan yang benar, aku dapat menjamin bahawa kamu akan memenangi peperangan itu, dengan izin Allah."

Nasihat diberikan Sultan al-`Ulama' al-Izz bukan saja menyelamatkan rakyat tetapi memberikan semangat tinggi kepada raja, panglima tentera dan seluruh anggota tentera. Bahkan, segenap rakyat bangun dengan penuh semangat dan keberanian untuk mempertahankan negeri mereka. Seperti dijangka, tentera Islam yang bertembung dengan tentera musuh di Palestin akhirnya mencapai kemenangan besar.

Penulis ialah Pegawai Penyelidik di Institut Kefahaman Islam Malaysia

Ufuk Minda: Pembudayaan insan Malaysia wajar ikut

Bersama Prof Dr Sidek Baba

MAKSUD budaya dalam pengertian mudah ialah gabungan budi dan daya. Budi adalah sesuatu yang murni dan baik terpancar daripada hati, sementara rasa adalah upaya diri menterjemahkan nilai murni dalam kehidupan.

Apabila percakapan seseorang santun dan sopan, ia dikatakan selari dengan budi. Apabila amalan dan perbuatan seseorang berasaskan amanah, jujur dan adil, ia adalah pancaran daya yang tinggi.

Fahaman sesetengah orang mengenai budaya hanya dikaitkan dengan seni dan hiburan sebagai sebahagian aspek budaya tetapi maksud budaya adalah lebih luas. Budaya menggambarkan cara hidup sesuatu bangsa yang berbeza dalam masyarakat berbilang. Yang perlu disuburkan ialah nilai budaya tinggi yang mengangkat martabat kemanusiaan hingga tahap tamadun.

Kini kita menghadapi pengaruh budaya popular Barat. Ia tidak saja terpancar daripada asas berbeza tetapi banyak bercanggah dengan budaya santun pernah wujud dalam masyarakat yang mengutamakan nilai dan etika baik.

Budaya santun bermaksud bagaimana pancaran seni tinggi memberi makna hebat terhadap kehidupan. Genre pantun, seloka, gurindam, bayt, nazam dan qittah umpamanya adalah seni puisi yang memancarkan kata santun, enak di dengar dan memberi kesan kepada jiwa serta emosi kerana terkandung mesej tersendiri.

Ada salah faham terhadap maksud budaya Barat di kalangan generasi muda Islam. Jika budaya itu diibaratkan suatu cara hidup, aspek positif dari Barat seperti kecintaan kepada ilmu dan kaji-selidik, kegemaran membaca, berfikir dan berbincang, tradisi mengutamakan cara hidup demokratis tidak dijadikan pedoman terbaik.

Sebaliknya, lagu yang tidak keruan, muzik hilang arah, pakaian kehilangan identiti, filem yang merangsang keganasan dan kelucahan dijadikan sumber ikutan serta kebanggaan hingga menyebabkan generasi muda hilang cinta kepada diri sendiri dan akhirnya lahir rasa ketagih terhadap seni popular yang merangsang nafsu-nafsi.

Pemahaman terhadap maksud budaya harus jelas dan sifatnya menyumbang kepada proses pembudayaan yang mendukung nilai tinggi dan beradab. Dalam tradisi Islam, proses pembudayaan bermula dengan pemerkasaan akidah sebagai asas membina sistem kepercayaan.

Ia dikembangkan dengan pengukuhan ibadah yang tidak saja memberi fokus kepada keteguhan nilai rohaniah tetapi terpancar dalam amal dan perbuatan. Amal perbuatan dipandu aturan dan batasan supaya tidak bercanggah dengan keperluan serta kepentingan syarak.

Pancaran aqidah yang tinggi mempertautkan keimanan manusia dengan Pencipta menghasilkan rasa kehambaan dan kekhalifahan tinggi. Ia perlu menjadi sandaran dalam melakukan aktiviti kehidupan yang memberikan batasan benar dan salah, makruf dan mungkar.

Puncak daripadanya lahir akhlak dan peribadi insan mendukung nilai adab yang akhirnya mampu mendukung lahirnya sebuah tamadun. Inilah asas terhadap proses pembudayaan dalam Islam.

Dalam situasi masyarakat berbilang, banyak asas budaya yang terpancar daripada tamadun mereka yang boleh disaring, diadaptasi dan pengharmonian supaya nilai tinggi daripada tamadun yang pelbagai mampu diolah dengan bijaksana, kreatif supaya dapat dicetuskan acuan budaya membimbing ke arah persefahaman serta kasih sayang.

Seni bunyi dan silat umpamanya boleh dikembangkan secara bersepadu supaya wujud seni memancarkan masyarakat Malaysia yang berbilang. Daripadanya wujud pengertian baik terhadap persamaan dan perbezaan. Persamaan dan perbezaan dapat diterima dengan baik jika wujud keramahan dan harmoni dalam memberikan apresiasi serta penghargaan terhadap seni tinggi sesuatu bangsa.

Oleh kerana budaya itu membawa maksud kehidupan atau cara hidup, penting proses pembudayaan di Malaysia dibangunkan secara murni dan sihat. Nilai murni yang disemai dalam sistem pendidikan seharusnya lebih kreatif untuk membentuk daya fikir dan apresiasi kerana tanpa nilai murni pelajar akan disemai dengan fahaman individu, kebendaan dan nafsu-nafsi yang akhirnya membuka jurang pemisah antara kaum dalam batas sosioekonomi sempit.

Proses pembudayaan dalam masyarakat Islam harus menjadikan nilai al-Quran sebagai teras yang sifatnya terbuka untuk menerima unsur budaya lain sesuai dengan fitrah insani. Bagi masyarakat bukan Islam, harus wujud kecenderungan memperkasa unsur budaya positif dan sihat berasaskan nilai murni supaya jalan fitrah yang menghubungkan kelainan dan perasaan dapat disambung.

Fahami konsep melancong dapat beri hidayah

Oleh Lokman Ismail

SESUNGGUHNYA melancong boleh dijadikan sebagai cara pengukuhan iman dan takwa dengan banyak pengajaran berkaitan perkara baik dan buruk dapat dilalui atau diperhatikan ketika berkunjung serta menziarahi sesuatu destinasi pelancongan.

Firman Allah yang bermaksud: "Tidaklah mereka menjelajah di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikirkan atau telinga dapat digunakan untuk mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati dalam dada." (Surah al-Hajj, ayat 46)

Jelas sekali tujuan melancong yang dianjurkan Islam ialah digerakkan mata hati untuk menilai, memahami dan mengambil pengajaran sepanjang pengembaraan. Minda pengembara hendaklah dibuka dan berdoa supaya Allah memberi hidayah serta kebaikan daripada aktiviti melancong itu.

Walaupun melancong lebih bersifat santai, tetapi tidaklah hingga kita lupa untuk berfikir kerana ketika merehatkan diri, minda masih perlu digerakkan secara positif supaya mendapat kebaikan ketika melancong.

Sesiapa tidak dapat merasai sebarang minat terhadap sesuatu pemandangan atau keadaan sehingga terbuka minda dan merasai kehebatan ciptaan Allah, itulah tanda hatinya sudah mati dan minda menjadi tertutup.

Melancong bukan sekadar ingin berhibur. Sesiapa melancong hanya semata-mata mencari keriangan, tidak akan mendapat manfaat di sebalik suruhan agama. Bahkan, keriangan yang diiringi dengan perbuatan maksiat menjadikan aktiviti melancong sedemikian haram dan amat dimurkai Allah.

Ketika melancong hendaklah menjaga nilai murni sebagai orang Islam. Elakkan daripada terjebak dengan aktiviti tidak baik di tempat orang. Aktiviti pelancongan yang membabitkan perbuatan haram ditegah sama sekali. Kecelakaan dan kemusnahan menimpa diri mereka yang ingkar perintah Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Ditimpakan kehinaan di mana saja mereka berada, melainkan mereka yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia." (Surah Ali Imran, ayat 112)

Ketika melancong, sudah tentu apa yang dilihat dan dialami tidak sama seperti di tempat kita. Allah Maha berkuasa menjadikan seluruh dunia itu tidak sama daripada segi bentuk muka bumi, iklim, tumbuh-tumbuhan dan kehidupan masyarakatnya.

Allah menyuruh supaya kita melihat setiap ciptaan-Nya. Seluruh ciptaan Allah amat sempurna dan cantik yang menyenangkan fikiran dan perasaan jika dilihat daripada sudut keimanan. Orang beriman semakin bertambah imannya setiap kali melihat kejadian alam yang memperlihatkan kelainan.

Firman Allah yang bermaksud: "Kau tidak melihat sekali-kali pada ciptaan Tuhan yang Maha Pemurah, sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang?" (Surah al-Mulk, ayat 3)

Pelancong seharusnya menggunakan kesempatan untuk mencari sesuatu yang baik sebagai tujuan supaya dapat dilakukan atau ditiru di tempat sendiri. Islam menggalakkan umatnya menimba sebanyak pengalaman untuk dimanfaatkan ke arah memperbaiki diri serta kehidupan.

Falsafah ini dapat difahami daripada maksud hadis Rasulullah SAW yang menyuruh manusia menuntut ilmu walau di mana saja. Semakin jauh kita mengembara, semakin banyak ilmu dan pengalaman dapat dikutip. Seperti kata pepatah, jauh perjalanan luas pengetahuan.

Sebelum berhijrah ke Madinah, Nabi Muhammad SAW pernah menyuruh sahabat mengembara dan meninjau keadaan di Habsyah dan beberapa tempat lain bagi mencari peluang untuk Islam bertapak dan berkembang di situ.

Mengembara juga harus digunakan untuk meluaskan peluang perniagaan. Nabi Muhammad SAW pernah mengembara berniaga dari satu tempat ke satu tempat. Apa dilakukan Rasulullah SAW membuktikan bahawa untuk berjaya dalam perniagaan perlulah memperluaskan pasaran ke seluruh dunia.

Sejarah mencatatkan antara punca kejayaan pedagang Arab dalam perniagaan ialah sikap suka mengembara memasarkan barang dagangan mereka. Pedagang Arab berniaga sehingga ke seluruh nusantara dan benua China. Melalui perdagangan jugalah agama Islam disebarkan.

Melancong juga memberi kesempatan untuk kita melihat kehidupan masyarakat di tempat masih mundur. Bahkan, di sesetengah tempat sering berlaku perbalahan sesama sendiri dan masalah jenayah berleluasa.

Apa yang dilihat itu dapat memberi pengajaran untuk melihat dalam diri sendiri. Kita akan berasa bersyukur dapat hidup di negara aman damai ini. Perkara ini dijelaskan Allah mengenai nasib golongan yang membelakangkan perintah-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Pergilah berjalan (mengembara) di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana akibat orang yang mendustakan Allah." (Surah al-Anam, ayat 11)

Allah berfirman lagi yang bermaksud: "Katakanlah: Jelajahilah muka bumi ini dan lihatlah bagaimana akibat (yang menimpa) orang yang berdosa." (Surah an-Naml, ayat 69)

Kita perlu insaf mempelajari perkara baru sepanjang pengembaraan. Allah memberi peringatan mengenai setiap apa yang menimpa manusia adalah hasil kelalaian manusia mematuhi apa yang ditetapkan ajaran agama.

Dengan kata lain, melancong adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. Sebab itu kita sering mendengar pakej pelancongan sambil belajar atau sekarang ini ada yang menyebut belajar sambil melancong. Ia membuktikan tujuan mencari ilmu lebih diutamakan dalam pakej pelancongan.

Monday, June 23, 2008

Tajdid Iman: Darjat keikhlasan penentu kualiti ibadat

Bersama Dr Juanda Jaya
juanda@kutpm.edu.my

Amal pula mesti bermutu tinggi mengikut tertib dan sunnah Rasulullah SAW

SAAT melakukan amalan muhasabah menilai amalan diri sendiri, perkara pertama penting untuk disoal kepada diri ialah mengenai kesucian amalan. Apakah sudah hadir niat yang ikhlas pada setiap amal dikerjakan? Layakkah amal ibadat itu dipersembahkan kepada-Nya? Apakah sudah sempurna kefahaman mengenai ikhlas?

Ikhlas membawa maksud tidak mencampurkan amal dengan niat meminta pujian manusia atau melakukan amal kerana takut dicela orang, hendak mencari nama, darjat, penghormatan, kerana inginkan perhiasan dunia dan pangkat yang tinggi.

Ramai orang yang beramal tersalah faham mengenai hakikat ikhlas. Mereka memilih untuk tidak beramal jika hati belum dapat membulatkan niat kerana Allah. Kata mereka yang jahil ini, "Buat apa beramal jika Allah akan tolak?"

Masalah utama yang akan muncul selepas timbul persoalan dangkal ini ialah orang ini sudah membuka ruang untuk syaitan duduk dalam hati dan meniupkan rasa was-was sehingga semua kebaikan tidak akan dibuat kerana takut tidak ikhlas.

Untuk menguatkan azam dalam beribadat, al-Fudhail bin Iyadh memberi petuanya: "Meninggalkan amalan kerana manusia adalah riak sedangkan melakukan amalan kerana manusia adalah syirik. Ikhlas itu ialah Allah menyelamatkan kamu daripada kedua-duanya."

Maknanya dibuat juga amalan itu sambil berjuang memantapkan niat semata-mata kerana Allah. Sesungguhnya niat menjadi penyelamat terhadap rentetan amalan yang kita lakukan setiap hari.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu bagaikan debu yang berterbangan." (Surah Al-Furqan, ayat 23)

Apabila membaca wahyu ini, terasa hati kita begitu sedih memandangkan amal yang menjadi debu itu dan tiada nilainya di sisi Allah. Mungkinkah sembahyang, puasa, sedekah, zakat, haji atau keelokan budi pekerti yang kita tonjolkan terhadap sesama insan tidak dinilai Allah.

Hakikatnya dalam beramal, seorang hamba dituntut untuk memenuhkan syarat tertentu. Syarat wajib dilakukan untuk mendapatkan darjat orang yang ikhlas di sisi Allah:

Membuka dua tingkap dalam hati. Tingkap 'ikhlas' kerana Allah dan tingkap 'benar' caranya mengikut sunnah Rasulullah SAW, bukannya amalan rekaan manusia atau amalan mengikut rasa hati sendiri.

Al-Fudhail bin Iyadh berkata lagi: "Sesungguhnya amal itu apabila dilakukan dengan ikhlas tetapi tidak benar caranya, maka ia tertolak. Dan jika dilakukan secara benar tetapi tidak ikhlas ia tidak akan diterima juga. Kedua-duanya mesti ada iaitu ikhlas dan benar."

Tatacara ibadah yang benar mestilah seratus peratus ikut cara Nabi SAW, bukan cara nenek moyang yang dipengaruhi budaya setempat, bukan cara syeikh yang suka menambah atau mengurang bahkan membuat sesuatu yang baru tidak pernah Rasulullah SAW amalkan.

Amal yang berkualiti. Bukan sekadar menunaikan kewajipan, tetapi memberi pengaruh ke atas seluruh tubuh badan, jiwa dan raga. Amalan sembahyang apabila dilakukan dengan berkualiti akan melahirkan sahsiah yang berdisiplin, rajin, jujur, amanah, dekat dengan Tuhan, jauh daripada maksiat, takut kepada akhirat dan berbekal untuk perjalanan ke alam barzakh.

Tetapi sembahyang yang hanya sekadar gerakan tanpa mempengaruhi apapun yang berada dalam jiwa dan raga orang itu maka sembahyangnya amat rendah kualitinya. Jika pun berpahala hanya Allah saja yang berhak menilai.

Kualiti sesuatu amal berkait rapat dengan pengaruh ditimbulkan dalam keperibadian seseorang. Tidak hairanlah jika ada orang yang sembahyang tetapi merampas harta saudaranya, berpuasa tetapi bercakap dusta dan menunaikan haji pun suka mengamuk sakan. Semua itu membuktikan rendahnya kualiti ibadah yang mereka kerjakan.

Beramal kerana mahu berbakti kepada Allah. Alangkah senangnya lidah melafazkan syukur kepada Allah, tetapi amalan dan perlakuan tidak menunjukkan sedemikian. Seorang hamba yang sudah melalui pelbagai rintangan untuk mendekati Allah jiwanya terlalu sensitif apabila menerima kenikmatan ataupun dilanda musibah. Kedua -dua keadaan ini tidak mempengaruhi sedikitpun kualiti amalannya di sisi Allah.

Ketika senang atau susah hatinya tetap dekat kepada Allah. Semua yang berasal daripada Allah baginya hanyalah nikmat belaka. Maka hanya rasa syukurlah yang menghiasi lidah dan hatinya. Jika begitu, dia tidak akan menyurutkan langkah ke belakang ketika susah. Ibadah dilakukan diiringi dengan kegembiraan, reda dan syukur kepada Allah.

Berhati-hati dengan rasa puas dan bangga. Amal boleh menyebabkan seseorang takbur dan sombong. Pandai menilai dan mengaibkan orang lain kerana kononnya ilmu dan amal yang dilakukannya lebih baik daripada orang lain. Selepas itu dia berasa berpuas hati dan tidak menemukan sebarang kecacatan dalam amalnya, berasa diri paling benar, paling tinggi imannya.

Maka lahirlah manusia yang terlalu yakin dengan kekuatan ilmu dan ibadatnya. Dia lupa siapakah sesungguhnya yang mencampakkan hidayah ke dalam hatinya, menggerakkan tubuh badannya untuk sujud, menuliskan catatan takdirnya hari ini, esok dan di penghujung hidupnya?

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan kamu tidak dapat menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah, Tuhan semesta alam." (Surah al-Takwir, ayat 29). Di sini kita boleh melihat belitan syaitan yang begitu halus merosakkan amal ibadat seorang hamba.

Allah berfirman lagi yang maksudnya: "Jika tidaklah kerana kurniaan Allah nescaya tidak seorang pun daripada kamu bersih selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya." (Surah Al-Nuur, ayat 21)

Orang yang sudah berpuas hati dengan amalannya akan dijangkiti penyakit malas untuk melakukan pembaikan. Ia berasa semua baik, jadi tidak perlu menambah ilmu dan amal. Lama-kelamaan dia pun terheret oleh arus semasa yang semakin mencabar. Amal dan ilmunya itu nyata tidak mencukupi untuk melawan kejahatan syaitan dan hawa nafsunya sendiri.

Menghadirkan rasa takut tidak diterima amal. Ketika melakukan sesuatu kebaikan yang diniatkan kerana Allah, seseorang hendaklah mendampingi niat itu dengan rasa takut, sedih dan harap supaya Allah menerima amalannya.

Keempat-empat perasaan itu bagaikan cahaya yang menghiasi hatinya iaitu, ikhlas, takut, sedih dan harap kepada Allah. Allah berfirman yang maksudnya: "Dan orang yang memberikan apa yang sudah mereka berikan dengan hati takut, kerana (mereka mengetahui) mereka akan kembali kepada Tuhan mereka." (Surah al-Mukminun, ayat 60)

Rasulullah SAW bersabda mengenai ayat ini yang maksudnya: "Mereka ini adalah orang yang berpuasa, solat dan bersedekah tetapi ia takut amalannya itu tidak diterima." (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Untuk apa seseorang itu beramal? Tentu saja kerana dia beriman kepada hari kiamat dan pembalasan yang akan diberikan kepada seluruh makhluk. Demi mengingati hari pengauditan yang begitu ketat dan mahkamah Allah yang Maha Adil sewajarnya kita mengamati kembali bekalan apa yang sudah dipersiapkan untuk ke sana.

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my

Sifat qanaah didik jiwa sentiasa bersyukur

Oleh Dr Abdul Rashid Ahmad

QANAAH ialah kepuasan hati dengan rezeki yang ditentukan Allah. Dikatakan bahawa Allah menentukan lima perkara pada lima tempat iaitu kemuliaan pada ketaatan, kehinaan pada maksiat, kehebatan pada ibadat malam, hikmat kebijaksanaan pada perut yang kosong dan kekayaan pada sifat qanaah.

Qanaah bukanlah bermaksud hilang semangat untuk berkerja lebih keras demi menambah rezeki dan produktiviti. Malah, ia bertujuan supaya kita sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jadilah kamu seorang yang warak, nanti kamu akan menjadi sebaik-baik hamba Allah, jadilah kamu seorang qanaah, nanti kamu akan menjadi orang yang paling bersyukur kepada Allah, sedikitkanlah ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati." (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Abu Bakar al-Maraghi pernah berkata, "Orang yang bijaksana itu mengurus urusan dunianya dengan qanaah, urusan akhiratnya dengan bersegera, ilmu dan bersungguh-sungguh."

Allah berfirman yang bermaksud: "Barang siapa yang mengerjakan amal salih, baik lelaki, mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik." (Surah al-Nahl, ayat 97)

Majoriti ahli tafsir mengatakan bahawa kehidupan yang baik di dunia ialah dengan qanaah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Tidaklah kekayaan itu dengan banyak harta, tetapi sesungguhnya kekayaan itu ialah kekayaan jiwa." ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ulama sudah mengemukakan beberapa cara untuk memiliki sifat mulia ini antara lain ialah pertama, berjimat dalam perbelanjaan dan merancang perbelanjaan. Kedua, percaya bahawa dengan qanaah mendatang kemuliaan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Lihatlah orang yang lebih bawah daripada kamu, jangan melihat orang yang tinggi daripada kamu, kerana dengan demikian kamu tidak akan lupa segala nikmat Allah kepadamu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila seseorang itu bersyukur dengan nikmat Allah yang dikurniakan kepadanya, maka dia tidak akan bersifat bakhil dan kedekut menghulurkan bantuan kepada orang yang memerlukan. Tegasnya, dia menjadi seorang yang pemurah dalam masyarakatnya.

Dalam sejarah umat Islam, tercatat beberapa kisah mereka yang murah hati antaranya, diceritakan bahawa Abdullah bin `Amir membeli sebuah rumah kedai daripada Khalid bin `Uqbah dengan harga 90,000 dirham.

Tiba-tiba pada malam itu, dia mendengar anak isteri Khalid menangis. Lalu dia bertanya kepada isterinya: "Apa hal mereka itu?" Kemudian dia diberitahu bahawa mereka menangis kerana rumah mereka yang dijual.

Lantas Abdullah berkata kepada pembantunya: "Pergi dan suruh mereka datang ke sini." Selepas mereka datang lalu dia terus menyatakan bahawa ambillah rumah itu kembali dan duit itu juga untuk kamu.

Dalam situasi dan ekonomi yang dihadapi umat manusia hari ini, alangkah beruntungnya umat Islam yang mendapat bimbingan daripada ajaran agamanya yang suci supaya tidak mengurus urusan dunia ini dengan kacamata keinginan nafsu semata-mata sebaliknya menjadi pengguna yang bijak , berhemat dan tidak tamak. Jadikanlah sifat qanaah yang mulia ini sebagai senjata untuk menghadapi ujian dan cabaran hidup dunia sementara ini.

Perubahan jiwa, minda asas kemajuan ummah

Oleh Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali

ISLAM agama yang progresif, berdaya saing serta memberi sumbangan besar kepada peradaban manusia. Malaysia adalah negara Islam yang sedang membangun dan mendapat perhatian dunia. Oleh itu, Malaysia berusaha gigih ke arah mewujudkan masyarakat maju berorientasikan pembangunan Islam.

Pembangunan mempunyai makna yang berbeza mengikut persepsi setiap orang. Namun, satu makna yang diterima umum ialah perubahan. Dalam Kamus Dewan, pembangunan diertikan sebagai proses membangun untuk mencapai kemajuan, usaha atau kegiatan untuk kemajuan dan perkembangan.

Menurut perspektif Islam, ada perkara yang tetap dan tidak berubah dan ada perkara boleh diubah. Oleh itu, pembangunan Islam merujuk kepada aspek peningkatan dan kemajuan umat Islam dari segi budaya serta sikap mereka terhadap agama atau isu dibincangkan.

Pembangunan dalam Islam meliputi bidang sosioekonomi, politik, pentadbiran atau budaya adalah satu sistem yang menyeluruh, berpadu, seimbang antara fizikal dan spiritual. Pembangunan juga diertikan sebagai apabila ilmu itu menjadi budaya.

Kenyataan itu bermaksud bahawa sesuatu bangsa akan mencapai kadar pembangunan yang tinggi apabila ilmu pengetahuan segala lapangan termasuk pembangunan, menggambarkan budaya dan warisan dalam bentuk yang asli.

Pembangunan merujuk kepada perubahan ilmu sehingga ia menjadi budaya. Ia juga merujuk kepada perubahan daripada satu keadaan kepada keadaan lebih baik, peningkatan kualiti hidup dan pembaharuan dalam kemajuan hidup.

Pembangunan adalah satu proses untuk menyusun sesebuah masyarakat atau negara ke arah memaju dan meningkatkan kualiti hidup manusia pada peringkat individu dan masyarakat. Dalam amalan pengurusan moden, kepemimpinan teguh dan budaya yang kukuh menghasilkan kecemerlangan.

Asas perubahan paling penting dalam memajukan sesuatu masyarakat adalah perubahan jiwa dan minda. Sememangnya perubahan jiwa sesuatu yang sukar. Adalah mudah untuk menukar gurun Sahara menjadi padang hijau, tetapi tidak jiwa manusia kerana ia memerlukan hikmah dan sabar.

Perubahan jiwa dan minda sebagai asas pemerkasaan dapat ditafsirkan sebagai perubahan budaya, terutama budaya dalam erti kata nilai hidup. Perubahan sosial itu berlaku apabila berlakunya perubahan budaya.

Dimaksudkan dengan budaya ialah penjelmaan nilai yang mampu menjadi wahana kebangkitan bangsa. Nilai dalam hal ini merujuk kepada hal yang dianggap penting oleh sesebuah masyarakat, diterima, dikongsi dan dihayati secara kolektif oleh seluruh warganya.

Ia merangkumi nilai ilmu, akhlak, ekonomi, kuasa, seni dan lain-lain yang disusun menurut urutan keutamaan. Oleh itu, pembangunan dalam Islam adalah keupayaan bersama meningkatkan kesejahteraan masyarakat keseluruhannya sama ada di dunia mahupun akhirat dalam satu proses yang harmonis dan dinamis.

Fokus utama pembangunan dalam Islam adalah pembangunan insaniah. Pembangunan Islam mempunyai dua tahap iaitu peringkat kerohanian seperti pembangunan yang mengarah kepada kesucian akal dan jiwa.

Tahap kedua, peringkat pembangunan fizikal dan kedua-dua peringkat mestilah seimbang. Pembangunan juga diertikan pencapaian sesuatu bentuk taraf kehidupan secara berperingkat membabitkan perubahan struktur keluaran negara, institusi, adat dan kebudayaan masyarakat.

Bentuk pembangunan Islam berbeza dengan pembangunan barat. Bentuk pembangunan Islam menjurus kepada pembinaan manusia itu sendiri, seimbang antara jasmani, akal, emosi dan rohani.

Antara bentuk pembangunan Islam ialah:

Pembangunan jasmani atau fizikal merangkumi pembangunan aspek diperlukan jasad manusia iaitu makan, minum, tempat tinggal, peralatan, kesihatan, alat komunikasi, pengangkutan dan sebagainya.

Pembangunan aspek rohani merangkumi pembangunan mental, jiwa, sikap dan emosi dalam diri manusia.

Pembangunan mental bermaksud mengisinya dengan ilmu pengetahuan bermanfaat kepada diri, manusia dan alam seluruhnya.

Pembangunan jiwa bermaksud menanamkan rasa keimanan kepada Allah, malaikat, rasul, kitab, hari akhirat, qada dan qadar.

Pembangunan sikap bermaksud mengasuh diri manusia dengan sikap positif dan membina serta mengikis sikap negatif.

Pembangunan emosi bermaksud menjadikan manusia seorang yang matang dan mampu mengawal diri berasaskan ilmu dan pengalaman dalam menghadapi satu-satu kejadian atau peristiwa.

Falsafah pembangunan Islam menekankan aspek tauhid iaitu mengesakan Allah yang membezakan falsafah pembangunan Islam dengan falsafah pembangunan Barat. Falsafah pembangunan Islam berteraskan kepada prinsip berikut iaitu tauhid, khalifah dan kejayaan.

Pada dasarnya. pembangunan Islam akan mantap apabila ia bertepatan dengan pemikiran Islam yang sebenar. Hal ini kerana ibadat, pemikiran dan pekerjaan yang betul akan melahirkan individu yang dapat memberi sumbangan kepada pembangunan Islam.

Oleh itu, aktiviti pembangunan dalam Islam hendaklah dijadikan sebagai ibadat yang menjadi pendorong kepada teras pembangunan Islam. Dalam mencapai pekerjaan yang dianggap ibadat ia haruslah niat kerana Allah, tidak melanggar syariat, pelaksanaannya mengikut syariat, hasilnya juga tidak bercanggah dan segala usaha itu tidak melalaikan daripada melaksanakan ibadat asas.

Pembangunan Islam membawa manusia mendekatkan diri kepada Tuhannya dan menghayati nilai Islam dalam kehidupan mereka. Ini berbeza dengan pembangunan sekular yang hanya mementingkan aspek ekonomi, pembangunan fizikal dan hanya mencari keuntungan duniawi semata-mata.

Fungsi utama Islam ialah untuk memimpin pembangunan manusia mengikut perspektif yang betul dan ke arah yang sebaiknya. Ia menyentuh semua aspek pembangunan ekonomi, tetapi dalam rangka pembangunan kemanusiaan secara seluruh.

Pembangunan Islam merujuk kepada pembangunan manusia dan ia penting kerana pembangunan manusia daripada perspektif yang betul akan menyebabkan kepada pembinaan manusiawi yang mantap.

Sunday, June 22, 2008

Ulul Albab: Tamadun lenyap tanpa akidah tauhid

Oleh Abdurrahman Haqqi

Kealpaan ummah berpegang syariat, ambil iktibar sejarah lampau punca keruntuhan

KAMUS Dewan mendefinisikan tamadun sebagai 'keadaan masyarakat manusia yang dicirikan atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran sosial, budaya, politik dan lain-lain dan peradaban'. Ia adalah pencapaian manusia dalam bentuk kota, sistem tulisan, kesenian, seni bina, kepercayaan, undang-undang dan politik.

Tamadun berasal dari bahasa Arab dengan kata dasar 'ma-da-na' (tamaddana, yatamaddanu, tamaddunan). Nama kota Madinah yang diasaskan Nabi pada tahun pertama Hijrah juga berasal daripada kata ini. Pada mulanya 'ma-da-na' mempunyai pengertian kehalusan budi pekerti dan akhlak mulia seperti orang kota, tetapi ia menjadi suatu istilah yang mempunyai beberapa makna termasuk:

Pemilihan sesuatu tempat untuk didiami;

Membangunkan sesuatu kawasan sehingga menjadi bandar;

Fenomena perubahan daripada liar kepada maju.

Oleh itu, istilah tamadun membawa erti kehidupan kota yang menghasilkan pencapaian yang tinggi dalam pelbagai aspek kehidupan manusia sama ada kerohanian atau kebendaan.

Tamadun juga disebut 'madaniyyat' yang menurut Farid Wajdi dalam Mausu'ah al-Qarn al-'Ishrin (Ensiklopedia Abad Keduapuluh) adalah "...dari kata akar 'madinah' atau bandar, iaitu suatu peringkat tertinggi dalam kehidupan kebendaan sesebuah masyarakat yang jelas kelihatan dalam aspek pembangunan, perancangan dan penyusunan bandar serta penyediaan kemudahan infrastruktur."

Dalam istilah Ibn Khaldun, tamadun disebut 'umran daripada perkataan `amara, ya`muru, umranan iaitu membangun, membina, hidup, berumur. Ia bererti suatu kawasan tanah di mana sekumpulan masyarakat yang tinggal menetap di situ dalam keadaan berkembang subur lagi makmur. Ia juga disebut hadarah daripada kata akar hadara, yahduru, hadratan yang mempunyai makna suatu wilayah yang mengandungi aspek kehidupan sosial dan nilai berdasarkan ajaran agama apabila dibentuk kehidupan bernegara dengan kota pertahanannya serta kehidupan secara kolektif yang tersusun.

Sepanjang sejarah umat manusia, sama ada diterima atau tidak, agama adalah asas tamadun. Peningkatan unsur maknawi (spiritual) akan mendorong kebangkitan fizikal. Rasionalnya semua tamadun di dunia ini ditegakkan berasaskan kepercayaan agama. Peningkatan atau kemusnahan sesuatu tamadun itu bergantung kepada keteguhan pegangan agama atau sebaliknya.

Al-Quran menceritakan keadaan umat manusia terdahulu. Mereka mencapai darjah tamadun yang tinggi sehingga menjadi bahan kajian yang sebahagiannya tidak dapat dicapai manusia zaman ini. Namun, kemajuan itu tidak dapat dipertahankan apabila arah kehidupan iaitu iman dan akidah tauhid dilupakan. Dengan sebab kemajuan mata benda itu, dengan sebab kehidupan mewah yang tidak dibatasi akidah tauhid akhirnya tamadun runtuh dan lenyap, hanya tinggal kesan yang menjadi peringatan saja.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran mengenai mereka ini maksudnya: "Sesungguhnya Kami telah mengutus (rasul-rasul) kepada umat yang terdahulu daripada engkau (lalu mereka mendustakannya), maka Kami timpakan azab kepada mereka berupa kesengsaraan dan kemelaratan, supaya mereka berdoa (kepada Kami) dengan rasa merendah diri (serta insaf dan bertaubat). Maka mengapa mereka tidak berdoa kepada Kami dengan rasa merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka telah menjadi keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan syaitan pula menampakkan keelokan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan. Kemudian apabila mereka melupakan peringatan yang diberikan kepada mereka, Kami pun melimpahkan semua pintu kemewahan dan kesenangan kepada mereka, sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat sebarang pertolongan)." (Surah al-An'am: 42–44)

Tamadun umat manusia di Barat dan di Timur sangat banyak. Namun, nasib mereka akan sama iaitu akan musnah jika mengingkari ajaran Allah. Sebagai contoh, kita perhatikan nasib akhir yang terjadi kepada kaum Nabi Nuh, kaum 'Ad, Fir'aun, kaum Luth dan lain-lainnya. Al-Quran menjelaskan maksudnya: "Sebelum mereka itu, kaum (Nabi) Nuh, 'Ad (kaum Nabi Hud), serta Fir'aun yang mempunyai kerajaan yang kuat, telah juga mendustakan Rasul masing-masing. Dan juga Thamud (kaum Nabi Salih), dan kaum (Nabi) Lut, serta penduduk Aikah. Mereka itulah golongan yang bersekutu (yang menentang kebenaran). Semua mereka itu tidak lain hanya mendustakan Rasul-Rasul. Maka berhak mereka ditimpa azab-Ku. Mereka tidak perlu menunggu lama melainkan satu pekikan suara yang tidak akan berulang lagi." (Surah Sad: 12–15)

Ingkar ajaran Allah digambarkan dengan mendustakan utusan-Nya iaitu Nabi dan Rasul. Semua akibat daripada kemurkaan Allah ini diturunkan dalam masa manusia sedang leka dan lupa dalam dunia hawa nafsu dan kemewahan kebendaan.

Bukti sepanjang sejarah manusia cukup meyakinkan kita bahawa kehidupan manusia tidak akan stabil dan tenteram selagi mereka tidak berjalan mengikut hukum dan petunjuk Allah. Jika ada usaha manusia untuk mencipta satu akidah, undang-undang atau apa jua ciptaan berlawanan dengan fitrah itu, ia pasti akan hancur sudahnya dan hukum Allah akan tetap berdiri tegak untuk selama-lamanya.

Dr Abdul Majid Aziz al-Zandani dalam Tauhid Pendekatan Saintifik mengatakan: "Sejak terdirinya negara 'Tauhid' di bawah pimpinan Rasul terakhir yakni Rasulullah SAW akidah tauhid kekal utuh, kesuciannya berteraskan kepada wahyu Allah dan ajaran Ilahi. Pada pokoknya ia bergantung kepada al-Quran al-Karim. Metodologi digunakan al-Quran untuk menyemai akidah berkenaan di dalam hati manusia ialah dengan mempersembahkannya kepada manusia ini secara sederhana dan logik. Al-Quran mengalihkan pandangan manusia kepada kejadian di langit dan bumi, serta mencuit pemikiran mereka untuk memikirkan mengenai tanda kebesaran Allah, di samping mencetuskan perasaan beragama yang tertanam secara semula jadi dalam diri mereka dan merasakan mengenai adanya dunia lain di sebalik dunia kebenaran ini.

Berdasarkan asas inilah Rasulullah SAW berusaha menyemaikan akidah tauhid di kalangan umatnya dengan menarik perhatian, mengarah pemikiran, menyedarkan akal, membangkitkan perasaan fitrah semula jadi serta menjaga semaian itu dengan pendidikan, dan menyuburkannya sehingga Baginda mencapai kejayaan yang tinggi, menyebabkan Baginda dapat memindahkan umat manusia dari menyembah berhala dan mensyirikkan Allah, menuju ke arah akidah ketauhidan Allah serta menurapkan hati sanubari mereka dengan iman dan keyakinan. Sementara itu, Baginda juga berjaya menjadikan sahabat sebagai pemimpin perintis pembaharuan, tokoh pembimbing dan kemuliaan hidup insan.

Baginda juga berjaya mewujudkan generasi yang berbangga dengan keimanan, dan bertaut dengan kebenaran, maka generasi itulah menjadi seumpama sang suria kepada alam dunia ini yang melimpahkan kebaikan untuk seluruh umat manusia.

Sebab itu, apabila Allah mengutuskan Nabi Muhammad SAW membawa Islam dengan berpandukan wahyu yang terkandung di dalam al-Quran, Allah SWT dengan jelas memerintahkan manusia kembali kepada akidah tauhid yang sebenarnya kembali fitrah asal manusia itu iaitu bertuhankan Allah dan taat kepada-Nya.

Tamadun Barat berhutang kepada tamadun Islam walaupun belum diperakui secara menyeluruh oleh Barat. Hal ini dijelaskan oleh Robert Briffault dalam The Making of Humanity: "Konsep kebebasan manusia, persaudaraan sesama insan dan persamaan hak di kalangan manusia termasuk hak untuk bersuara merangsang beberapa kejadian penting dalam sejarah seperti Revolusi Perancis,

Deklarasi Hak Asasi Manusia di Amerika dan perjuangan ke arah kemerdekaan di negara Amerika Latin. Sebenarnya konsep ini bukanlah hak cipta masyarakat Barat. Ia sebenarnya adalah ajaran dalam al-Quran yang dihayati orang Islam. Kemudian konsep ini mempengaruhi masyarakat Eropah. Besar kemungkinan, jika tidak kerana orang Arab, era kemodenan di Eropah tidak akan berlaku sama sekali."

Apabila dunia Islam lemah, bermula dari kejatuhan Turki pada kurun ke-19, maka gerakan penyelewengan itu semakin kuat, bukan saja dari dalam dunia Islam, bahkan lebih berbahaya ialah gerakan dunia Barat yang membawa sekali unsur penambah penyelewengan yang disukai iaitu kemajuan ekonomi dan tamadun hiburan. Melalui agenda penjajahan minda, akhirnya akidah Islam berhadapan sekali lagi dengan niat 'Perang Salib' yang masih lagi bersarang dalam dada.

Di Turki, gerakan sekularisme yang ditaja Kamal Ataturk membuahkan hasil, sehingga Masjid Aya Sofia yang menjadi lambang kemenangan Islam di atas Barat dijadikan muzium. Di dunia Arab, fahaman kebangsaan (Pan-Arab Nationalisme) digerakkan kuasa Barat untuk memisahkan diri dari kuasa Kerajaan Uthmaniyah. Bagaimanapun, negara Arab keluar dari mulut harimau masuk ke rahang buaya. Kerajaan Uthmaniyah lenyap oleh perbuatan orang Islam sendiri.

Di dunia Islam sebelah sini, apabila Kerajaan Melayu Islam Melaka jatuh, maka paderi Sepanyol dan Portugis digalakkan datang, di antara yang terkenal dan dipuja dalam sejarah Melaka ialah Saint Francis Xavier. Bagaimanapun, dia tidak berjaya mengalihkan akidah orang Islam di Melaka.

Keruntuhan sesuatu tamadun dalam ajaran al-Quran berpunca daripada penyakit 'lupa'. Allah berfirman maksudnya: "Maka tatkala mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu dan Kami timpakan kepada orang yang zalim azab yang amat berat, disebabkan mereka berbuat fasik (derhaka)." (Surah al-A'raf: 165) Wallahu a'lam.

Saturday, June 21, 2008

Juri akur kehebatan 4 peserta akhir AQ3


DORONGAN: Mohd Fakhrul Radhi bersama ibu bapanya, Dalilah Ariffin dan Khamarudin Ahmad selepas diisytihar johan Akademi al-Quran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

MASIH mengekalkan komen nakal mereka yang sering disambut gelak tawa penonton, juri program realiti terbitan TV9, Akademi al-Quran musim ketiga (AQ3), terpaksa akur dengan kehebatan empat peserta yang berjaya mengharungi cabaran mempelajari ilmu al-Quran hingga ke peringkat akhir.

Kurang kesalahan yang dilakukan peserta tatkala menjawab soalan dikemukakan pada dua segmen peringkat akhir AQ3 yang disiarkan secara langsung di TV9, malam Khamis lalu, menyebabkan ketiga-tiga juri tetap program berkenaan mengumumkan semua peserta akhir adalah pemenang.

Namun, dalam setiap pertandingan akan hanya ada seorang pemenang dan juri bahagian qiraat, Nazri Abdullah, berkata peserta paling sedikit membuat kesalahan pada malam itu akan bergelar juara AQ3.

Peserta akhir AQ dinilai daripada aspek qiraat, taranum, tajwid dan fasahah. Selain Nazri, juri AQ3 ialah bekas johan qari tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa, Radzi Kamarul Hailan selaku juri taranum dan pensyarah Darul Quran, Zamri Mohd Zainuddin (aspek tajwid dan fasahah).

Ternyata nasib menyebelahi peserta kedua yang menyampaikan bacaan, Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin yang diumumkan sebagai juara mengatasi tiga peserta lain, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Syamsul Abu Hasan Alshaari dan satu-satunya peserta wanita, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman.

Mohd Fakhrul yang mendapat markah 92.5 peratus membawa pulang kereta Proton Saga bernilai RM36,000, wang tunai RM30,000 dan rehal kristal berbentuk sebuah al-Quran bernilai RM1,000 daripada TV9.

Hadiah disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim. Hadir sama, Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Abdul Mutalib Mohamed Razak dan Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda.

Tempat kedua dimenangi Sharifah Khasif Fadzilah yang mendapat 91 peratus, ketiga, Ahmad Tarmizi (89 peratus) dan keempat, Syamsul (86.5 peratus). Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM20,000, RM10,000 dan RM2,000.

Radzi berkata, peningkatan mutu bacaan secara berlagu peserta akhir AQ3 menunjukkan peningkatan mengagumkan kerana mereka mampu meniru bacaan qari yang masyhur dan sudah bergelar dari Mesir.

"Kita di AQ3 menekankan peserta meniru cara bacaan qari terkenal yang menjadi rujukan mereka yang terbabit dalam bidang al-Quran. Ia selaras dengan sabda Rasulullah SAW supaya membaca al-Quran dengan lahjah Arab," katanya.

Bagi Zamri yang menilai peserta dari segi hukum tajwid dan kefasihan, sukar untuk mencari kesalahan hukum daripada bacaan yang disampaikan peserta kerana mereka menguasai bidang itu dengan baik.

Jika ada kesalahan pun katanya, hanya dari aspek harkat iaitu panjang bacaan dan sebutan huruf yang tidak jelas tetapi terlalu sedikit dilakukan peserta.

Juara AQ3, Mohd Fakhrul yang mengakui tidak begitu yakin nasib bakal menyebelahi dirinya kerana persaingan hebat diberikan rakan peserta lain pada malam itu melahirkan rasa syukur atas rezeki dikurniakan Allah.

Katanya, beliau menyertai AQ3 dengan matlamat menambah pengalaman dalam bidang pembacaan al-Quran hingga ke peringkat lebih tinggi dan menimba ilmu yang tidak pernah dipelajari sebelum ini daripada tenaga pengajar program berkenaan.

"Saya bersyukur kerana berjaya hingga ke peringkat akhir. Selepas menerima komen juri tadi, ada rasa tidak yakin untuk menang kerana saya juga melakukan kesalahan. Tambahan semua sahabat membaca dengan baik," katanya.

Beliau berkata, perancangan selepas ini ialah untuk melanjutkan pengajian dalam bidang usuluddin di Universiti Insaniah, Kedah, dan pada sama mengembangkan ilmu dengan mengajar al-Quran.

Bagi peserta paling muda, Syamsul, 22, yang melakukan kesalahan kerana tidak menepati soalan apabila memulakan bacaan surah al-Imran daripada ayat 48, bukan ayat 46 seperti diminta soalan berkata, hanya menyedari kesilapan itu pada saat akhir.

"Saya agak kelam kabut sikit dan kertas soalan diletak atas ayat 46. Kebetulan sudah ada tanda garisan pada al-Quran, saya tanpa rasa ragu terus membaca ayat itu. Apabila cepat sangat habis baca, baru saya sedar ada yang tidak kena.

"Masa atas pentas tadi ada juga rasa kesal tetapi selepas itu tidak kerana apa yang berlaku di atas pentas adalah atas rezeki yang ditentukan Allah. Saya sudah membaca sebaiknya dan ia bukan rezeki saya," katanya.

Darul Quran ambil pelajar OKU

Oleh Hasliza Hassan

Warga cacat penglihatan berpeluang dalami pengajian mulai November

ORANG kurang upaya (OKU) khususnya orang buta yang berminat mendalami ilmu al-Quran boleh mengikuti pengajian di Darul Quran apabila kerajaan membuka pengambilan pertama golongan berkenaan pada November ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata kemasukan pelajar OKU ke Darul Quran bagi membolehkan mereka mendapat bimbingan untuk mengembangkan bakat serta minat mempelajari al-Quran.

Katanya, usaha kerajaan itu bagi mendekatkan al-Quran kepada semua lapisan masyarakat termasuk OKU supaya kelebihan yang ada pada mereka dapat dimanfaat dalam usaha mengembangkan syiar Islam.

"Pengambilan terbuka kepada OKU ini kerana kita lihat ramai orang buta yang boleh membaca al-Quran dengan baik mengalunkan ayat suci di pasar malam untuk mendapatkan derma. Oleh itu, kita mahu kumpulkan mereka supaya dapat dibimbing melalui saluran betul.

"Dengan ilmu yang ada kita mahu mereka menyumbang kepada negara kerana jika lihat negara Arab, orang buta adalah imam dan qari yang hafaz al-Quran," katanya pada sidang media selepas program peringkat akhir Akademi al-Quran musim ketiga (AQ3) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam Khamis lalu.

Beliau berkata, pengambilan pelajar mengikuti pengajian al-Quran di Darul Quran dibuka kepada OKU berumur 18 tahun ke atas yang berminat dan memenuhi syarat ditetapkan.

Mengenai program realiti terbitan TV9 yang sudah memasuki musim ketiga, Mashitah mengalu-alukan usaha stesen televisyen berkenaan memartabatkan al-Quran dengan mendekatkan kitab suci itu kepada masyarakat.

Katanya, program seumpama boleh menarik penonton mendalami ilmu pembacaan al-Quran di kalangan beliau dan bagi mereka yang sudah mempunyai asas, dapat meningkatkan kemahiran membaca al-Quran secara berlagu dengan baik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda, berkata segmen baru diperkenalkan AQ3 berjaya menarik minat penonton apabila secara tidak langsung mereka juga menjadi sebahagian daripada peserta yang mempelajari ilmu pembacaan al-Quran.

Beliau berkata, bantuan belajar seperti grafik dan maklumat mengenai ayat yang akan dibaca membolehkan penonton bersedia di depan televisyen untuk mengikuti sesi pembelajaran bersama peserta AQ3.

Katanya, berdasarkan maklum balas diterima penonton gembira dengan pembaharuan dilakukan dan ia terbukti melalui peningkatan rating siaran mingguan yang mencapai 800,000 penonton berbanding musim lalu.

"Istilah yang digunakan juri akan ditunjukkan supaya penonton tahu apa dimaksudkan. Malah, sebelum bersiaran, kita akan meminta mereka bersedia dengan al-Quran. Oleh itu, setiap minggu penonton juga belajar mengenai ilmu al-Quran.

"Matlamat kita ialah pada akhir program AQ baik daripada musim satu hingga tiga ini, bukan untuk menentukan siapa yang menang atau menjadi juara tetapi memberi ilmu kepada pelajar serta penonton," katanya.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan rating penonton peringkat akhir AQ3 akan menunjukkan peningkatan antara 1.6 juta hingga 1.7 juta penonton melebihi 1.3 juta yang dicapai pada program peringkat akhir AQ musim kedua.

Bukhari berkata, AQ3 juga mengetengahkan kelainan melalui segmen pertama mewajibkan peserta membaca ayat lazim yang sama iaitu biasa didengar terutama ketika solat berjemaah tetapi dengan cara bacaan berbeza.

Beliau berkata, pendekatan itu satu kejayaan besar kepada TV9 kerana AQ kini menjadi program realiti yang mendapat sambutan masyarakat khususnya remaja untuk menambah ilmu pengetahuan dalam bidang al-Quran.

Ia membuktikan program AQ mempunyai keunikan tersendiri kerana tujuan utamanya tidak bertumpu kepada usaha mencari pemenang tetapi menjadi sumber maklumat serta ilmu yang boleh dimanfaat penonton daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.

"AQ adalah program realiti remaja yang memberi pengetahuan, bimbingan dan kekuatan. Seperti malam ini, semua yang berjaya masuk final adalah pemenang kerana mereka bukan saja membawa pulang hadiah tetapi ilmu serta sahabat.

"Selain memberi pendidikan, AQ membimbing kerana juri tidak hanya memberitahu, malah menunjukkan cara betul untuk menterjemahkan ilmu dalam bentuk bacaan tepat. Insya-Allah, TV9 akan meneruskan program ini pada musim depan serta memperkenalkan konsep baru," katanya.

Mengenai cadangan supaya diasingkan peserta lelaki dan wanita bagi membolehkan pembabitan lebih ramai peserta wanita, katanya, cadangan itu boleh dipertimbangkan tetapi semuanya bergantung kepada penyertaan.

Beliau berkata, melihat kepada sesi uji bakat yang diadakan daripada musim pertama hingga ketiga program AQ, kebanyakan yang hadir adalah peserta lelaki termasuk kumpulan mat rempit yang datang mempamerkan bacaan al-Quran mereka.

"Kita melihat minat ditunjukkan mereka yang hadir sesi uji bakat dibuat di seluruh negara sebagai perkembangan yang sihat untuk menjayakan usaha melahirkan generasi al-Quran," katanya.

Friday, June 20, 2008

Koloni semut beri pengajaran wujud masyarakat bersatu padu

SUATU kenyataan menakjubkan apabila menyaksikan ribuan semut tanpa mengguna tutur kata yang dapat didengari serta difahami manusia begitu teratur dan tersusun dalam menyempurnakan tugasnya.

Semut menggunakan isyarat seni tanpa bahasa untuk saling mengerti dan memahami. Dalam masyarakat semut sebenarnya, ada kesepakatan seni serta bererti iaitu kesepakatan, kerjasama, gotong-royong yang memudahkan usaha pembangunan masyarakat semut yang aktif dan padu.

Kesepakatan, bergotong royong, bantu membantu di kalangan masyarakat semut sebenarnya jika dipupuk dan distruktur dengan hati-hati di kalangan manusia secara positif, sihat dan membina boleh memudah serta melipatgandakan usaha pembangunan.

Tambahan usaha itu dituntut Islam yang mementingkan wujudnya persatuan kukuh hingga menjadi kuat seluruh masyarakat. Bijak pandai pernah berkata, “Ingatlah bahawa lautan itu berasal dari setitis air, sedang gunung berasal dari segenggam tanah ketahuilah pula bahawa kekuasaan dan pertolongan Allah itu akan datang dengan adanya kerjasama, persatuan, tolong-menolong dan kasih-sayang.”

Pepatah lama juga ada berkata, bersatu teguh bercerai roboh. Allah berfirman yang bermaksud: “Tolong-menolonglah kamu dalam membuat kebaikan dan ketakwaan dan janganlah tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan.” (Surah al-Maidah, ayat 2).

Tidak mungkin hati akan terpaut, mustahil jiwa akan bersatu jika dalam diri masih ada penyakit kotor dan dengki. Islam sebenarnya menghimpun seluruh umat dalam satu keyakinan, iktikad, ibadat, syariat, tujuan malah satu dalam segala-galanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Jangan kamu bercerai-berai sebab kamu akan lemah dan lenyap kekuatan itu.” (Surah al-Anfal, ayat 46)

Hilang kekuatan menyebabkan kelemahan di kalangan umat yang akhirnya menuju kepada kerosakan, kemusnahan dan kebinasaan. Islam dengan tegas menyatakan pendirian terhadap golongan pemecah persatuan ini.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang memecah-belahkan agamanya dan mereka adalah golongan yang berlainan, maka engkau Muhammad tidak boleh masuk dalam salah satu daripada golongan mereka itu.” (Surah al-An’am, ayat 159)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Jangan kamu semua termasuk golongan kamu Musyrikin yakni daripada golongan orang yang memecah belah agamanya dan mereka adalah golongan yang berlainan. Setiap golongan itu senang dengan pendirian yang ada di pihak mereka itu.” (Surah al-Rum, ayat 32).

Perselisihan dan pertelagahan jika dibiarkan berterusan akan melemah dan menghancurkan umat. Justeru, sebagai umat yang bertanggungjawab wajib segera mendamai perselisihan dan pertelagahan supaya tali persaudaraan kembali kuat dan kukuh.

Pernah diriwayatkan daripada Abu Darda, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sukakah kamu saya beritahu sesuatu pahala yang lebih utama daripada puasa, solat dan bersedekah? Iaitu mendamaikan antara dua puak yang sedang berselisih, sebab rosaknya perdamaian itulah yang akan menghancurkan.”

Justeru, setiap tutur kata dan tingkah laku yang hendak dibuat harus difikir dengan matang, tenang supaya sesuatu tindakan tidak menimbulkan perasaan kecil hati yang boleh mencetus perbalahan serta perpecahan.

Hukama pernah berpesan dan berkata, “Bersatulah menegakkan yang makruf kerana di situlah letaknya kebahagiaan dalam persaudaraan. Hati yang mencintai Allah tidak mudah dipecah-belah.”

Hayati firman Allah yang bermaksud: “Hai orang beriman, janganlah sesuatu golongan itu menghina golongan lain, sebab barangkali golongan yang dihina itu sebenarnya lebih baik daripada yang menghinakan. Jangan pula wanita itu menghinakan wanita lain sebab barangkali wanita yang dihina itu lebih baik daripada wanita yang menghina. Jangan pula kamu menodai dirimu sendiri dan jangan pula gelar-menggelar dengan gelaran buruk. Seburuk-buruk nama ialah berlaku fasik sesudah beriman. Barang siapa yang tidak mahu bertaubat mereka itulah orang yang menganiaya.” (Surah al-Hujurat, ayat 11).

Oleh Wan Abd Rahim Wan Mohamad