Tuesday, September 23, 2008

Burung belatuk dedah kehebatan Ratu Balkis kepada Nabi Sulaiman

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my

TABUT iaitu kotak warisan Bani Israel yang mengandungi tinggalan anbia dipercayai tersimpan di Gereja St Mary di Aksum, Habsyah.

Tabut itu dibawa dari Jerusalem oleh anak Nabi Sulaiman dan Ratu Balkis, Menelik I.

Ketika Menelik berusia 22 tahun, dia meminta kebenaran daripada ibunya, Ratu Balkis untuk menziarahi bapanya, Raja Sulaiman di Israel.

Apabila tiba di Jerusalem, Raja Sulaiman menerima kedatangan Menelik I dengan penuh penghormatan.

Menelik I yang memerintah Aksum ketika itu, pergi ke Baitulmaqdis bagi mendapatkan pengiktirafan takhta daripada ayahandanya. Kepulangan Menelik I ke Aksum membawa bersamanya Tabut, sebagai tanda alat kebesaran pemerintah dan pengiktirafan takhta kepadanya.

Selama tiga tahun, Menelik I tinggal bersama bapanya dan mempelajari 10 rukun Musa. Disebabkan wajah Menelik I dan Raja Sulaiman seiras, ia menyukarkan bangsa Israel membezakan antara keduanya.

Pendeta Israel mencadangkan kepada Raja Sulaiman supaya menghantar pulang anaknya itu. Raja Sulaiman bersetuju menghantar pulang anaknya, tetapi dengan syarat 1,000 orang daripada setiap suku Bani Israel hendaklah pulang bersama Menelik I.

Selepas pulang ke Habsyah, Menelik I mengasaskan Dinasti Sulaiman dan kerajaan Aksum dengan mengamalkan agama Yahudi dan 10 rukun.

Pada kurun ke-4 masihi, Raja Ezana pemerintah kerajaan Aksum menerima pengaruh agama Kristian. Fellasha atau saki baki Yahudi Habsyah menganut agama Kristian tetapi meneruskan amalan agama Yahudi hingga kini.

Hubungan Habsyah dengan tanah Arab wujud sejak zaman Nabi Sulaiman dan negeri itu juga pernah berada di bawah pemerintahan Ratu Balkis, iaitu pemerintah kerajaan Saba’.

Masyarakat Ethiopia menggelarkan Ratu Balkis dengan nama Makeda atau Sheba yang bermaksud Saba’. Pada awalnya, Ratu Balkis dan rakyat jelata menyembah matahari sebagai tuhan mereka.

Di bawah pemerintahan Ratu Balkis, Habsyah menikmati kekayaan perbendaharaan negara, bala tentera yang kuat dan penguasaan ilmu pengetahuan.

Berita mengenai kehebatan Ratu Balkis dan istananya diceritakan seekor burung belatuk yang menjadi perisik kepada Nabi Sulaiman. Selepas mendapat berita mengenai kehebatan Ratu Balkis tetapi tidak beriman kepada Allah, Nabi Sulaiman berhasrat menyampaikan dakwahnya.

Sebenarnya, Ratu Balkis memeluk Islam ketika kali pertama berjumpa Nabi Sulaiman yang berada di Baitulmaqdis. Nabi Sulaiman, Ratu Balkis dan anaknya Menelik I beragama Islam. Ikuti sambungan Al-Risaalah 2 Musa Kalimullah dalam episod seterusnya.

Perspektif Ikim: Muhasabah diri untuk mengukur kekuatan iman

Oleh Wan Roslili Abd Majid

Ramadan ajar umat memberi maaf, jernihkan hubungan elak sengketa bawa kehancuran RAMADAN kini berada pada 10 terakhir. Bagi mereka yang melaksanakan ibadah puasa dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan mengharapkan keredaan Allah pastilah saat akhir ini menjadikan mereka lebih bersemangat menggandakan amal salih dan kebajikan.

Semua dengan tujuan bagi mencapai matlamat ibadah puasa disyariatkan, iaitu menjadi insan lebih bertakwa. Sehubungan itu, dalam usaha mencapai tahap berkenaan memerlukan hidayah serta petunjuk daripada al-Quran yang diturunkan pada Ramadan.

Allah berfirman yang bermaksud: "Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (mengenai datangnya daripada Allah dan kesempurnaannya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 2)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia." (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Bidayah al-Hidayah (Permulaan Jalan Hidayah) menegaskan bahawa permulaan jalan hidayah ialah ketakwaan zahir dan kesudahan jalan hidayah adalah ketakwaan batin.

Katanya, petunjuk hanya akan diperoleh oleh orang yang berusaha menyediakan dirinya supaya menjadi orang bertakwa. Beliau menjelaskan ketakwaan terbahagi kepada dua bahagian iaitu melaksanakan segala perintah Allah dan kedua, meninggalkan larangan-Nya.

Selepas berlalunya bahagian pertama dan kedua Ramadan, wajarlah kita bermuhasabah sama ada sudah benar-benar berusaha mencapai matlamat melaksanakan ibadah puasa, iaitu bagi menyemai ketakwaan dalam diri atau sebaliknya.

Ibadah puasa hanya dilaksanakan sebagai amalan menahan lapar serta dahaga bermula dengan terbit fajar sehingga terbenamnya matahari dan tidak lebih daripada itu. Jika itu keadaannya, maka jadilah kita sebagai sebahagian daripada orang yang rugi dan tercela.

Maka sesudah berlalunya Ramadan kelak, tiada sebarang peningkatan dicapai dalam jalinan hubungan dan ketaatan terhadap Allah. Ada satu kaedah dalam Islam yang menyatakan, "Apa yang tidak dapat dilakukan keseluruhannya maka usahlah ditinggalkan keseluruhannya."

Kita tidak akan dicela jika tidak dapat mencapai peringkat ketakwaan tertinggi tetapi kita dicela kerana tidak melakukan sebarang usaha, sedangkan kita masih berkemampuan.

Selain bermuhasabah mengenai hubungan dengan Allah, ketaatan dan ketakwaan terhadap-Nya, kita juga wajar menilai sejauh mana ibadah puasa dilaksanakan dapat mendorong untuk sentiasa memperbaiki serta mengukuhkan hubungan sesama manusia, iaitu salah satu sifat dan ciri utama golongan bertakwa.

Justeru, hitung dan nilailah sama ada kekusutan dan perbalahan yang mungkin berlaku sudah dileraikan. Atau sebaliknya, sehingga saat ini kita masih belum bertegur sapa dan bersedia memaafkan ahli keluarga, rakan sekerja, sahabat-handai dan jiran tetangga.

Amat malang bagi kita jika pada bulan yang menjanjikan keampunan Allah ini, kita pula masih bersengketa dan bermusuhan serta tidak bersedia untuk saling memaafkan antara satu dengan lain. Padahal kita cukup menyedari bahawa kesepakatan, perpaduan dan kesatuan amat penting bagi kemajuan, keutuhan serta kesejahteraan ummah.

Sebaliknya, perbalahan dan persengketaan hanya merugikan selain mengakibatkan kehancuran serta kemusnahan. Al-Quran merakamkan pujian terhadap orang yang lebih suka memaafkan dan menjernihkan hubungan.

Allah berfirman yang bermaksud: "Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang yang menahan kemarahannya, dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan ingatlah, Allah mengasihi orang yang melakukan perkara baik." (Surah Ali-Imran, ayat 133)

Sementara hadis daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidaklah sedekah itu mengurangkan harta dan tidaklah Allah menambahkan bagi hamba yang suka memaafkan (kesilapan orang lain) melainkan kemuliaan, dan tidaklah seseorang itu tunduk tawaduk kepada Allah melainkan Allah akan mengangkat darjatnya."

Al-Quran menggariskan peranan penting itu kerana ia akhirnya dapat mengelakkan kezaliman terhadap salah satu pihak dan menyatukan kembali kedua-duanya.

Dalam hubungan ini, tindakan al-Hasan bin Ali bagi mengelakkan perpecahan dan pertumpahan darah umat Islam terus berlaku, wajar dijadikan iktibar. Selepas Ali meninggal dunia, penyokong beliau terus memberikan bai'ah kepada puteranya, al-Hasan.

Penyokong itu mahu meneruskan niat mereka untuk membunuh Mu'awiyah namun dibantah oleh al-Hasan. Sebaliknya al-Hasan mengutus surat perdamaian kepada Mu'awiyah yang diterima oleh Mu'awiyah dengan perasaan gembira tidak terkira.

Lantas, Mu'awiyah berangkat ke Kufah pada Rabiul Awal 41 hijrah iaitu selepas enam bulan al-Hasan menjalankan tugas sebagai khalifah. Al-Hasan dan al-Husain memberikan bai'ah kepadanya dan langkah itu dituruti seluruh umat Islam. Dengan demikian, tertegaklah Kerajaan Umayyah secara rasmi dan Mu'awiyah menjadi khalifah bagi umat Islam keseluruhannya.

Umat Islam gembira dengan perdamaian yang dapat diwujudkan dan mereka bersyukur kerana segala bentuk fitnah serta pertumpahan darah dapat dihentikan serta-merta. Mereka menamai tahun itu sebagai 'Tahun Penyatuan'.

Sesungguhnya usaha mulia al-Hasan meninggalkan kesan yang baik terhadap keseluruhan umat Islam. Majoriti ulama' Ahli-Sunnah memuji tindakan yang diambil al-Hasan sehingga berjaya menyatukan kembali umat Islam yang dilanda persengketaan, kebencian dan permusuhan.

Mereka juga menegaskan bahawa tindakannya itu menegaskan lagi kenabian datuknya, Muhammad SAW yang bersabda, "Anak (cucu)ku ini adalah penghulu, semoga Allah mendamaikan melaluinya dua buah kumpulan yang besar daripada kalangan umat Islam."

Penulis ialah pegawai penyelidik di Institut Kefahaman Islam Malaysia

Monday, September 22, 2008

Konsep memperkasakan ilmu dalam Islam tiada batasan

Oleh Dr Sapora Sipon


ISLAM menyarankan umatnya menuntut ilmu dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat. - Gambar hiasan

Manusia sentiasa disuruh mendalami apa saja pengetahuan untuk manfaat hidup di dunia dan akhirat

ILMU adalah nikmat dan rahmat Allah yang tidak ternilai harganya memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Ilmu dapat menentukan atau meletakkan manusia ke tahap lebih tinggi dan mulia serta membimbing manusia mentaati Allah dan memberi kebaikan di dunia.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesiapa yang diberikan kebijaksanaan, sesungguhnya ia diberikan kebaikan yang amat banyak." (Surah al-Baqarah, ayat 269)

Umat Islam didorong supaya sentiasa menyediakan diri dengan ilmu yang bukan hanya terbatas kepada ilmu agama tetapi juga digalakkan mengkaji ilmu berkaitan hal keduniaan seperti ilmu sains, perubatan dan banyak lagi.

Dalam Islam, kedua-dua ilmu dunia dan akhirat wajib dituntut. Adalah salah jika menganggap bahawa manusia hanya wajib mempelajari ilmu akhirat, sedangkan ilmu keduniaan tidak wajib kerana manusia disuruh menuntut semua ilmu Allah sekalipun terpaksa menghadapi pelbagai dugaan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dia menundukkan untukmu apa-apa yang di langit dan apa-apa yang di bumi semuanya (sebagai kurnia) daripada-Nya. Sungguh pada demikian itu beberapa ayat (keterangan) bagi kaum yang berfikir." (Surah al-Jaatsiyah, ayat 13)

Sesungguhnya al-Quran menerangkan bahawa alam ini adalah kitab ilmu kepunyaan Allah di mana pengkaji akan bertambah makrifah dan khashiah (ketakutan) kepada pencipta-Nya seperti mana firman Allah yang bermaksud: "Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-Nya hanyalah orang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Pengampun." (Surah Faathir, ayat 28)

Konsep ilmu dalam Islam adalah konsep yang menyeluruh tetapi bersepadu. Keseluruhan konsep ilmu Islam merangkumi bukan saja ilmu yang diturunkan kepada nabi, tetapi juga kepada manusia lainnya sama ada melalui pemahaman wahyu atau pengkajian terhadap alam semesta, sejarah dan pengalaman dalaman manusia.

Kesepaduan ilmu Islam bermaksud bahawa isi dan proses keilmuan dipimpin oleh nilai dan aturan al-Quran serta sunnah Nabi Muhamad SAW.

Proses pencarian ilmu serta kegiatan ilmiah adalah satu kerja tertinggi yang mendahului kerja lain.

Banyak ayat al-Quran yang menekankan aspek kepentingan mencari ilmu.

Tuntutan ilmu tidak terbatas dengan berguru kepada orang Islam saja, malah boleh berguru dengan orang yang bukan Islam asalkan ilmu itu berguna.

Jelasnya, segala nikmat yang banyak tidak diberikan Allah dengan begitu mudah sekali tanpa sebarang usaha untuk mendapatkannya atau menggunakannya dengan lebih bermanfaat.

Manusia perlu mempunyai ilmu sebagai alat untuk menggunakan segala nikmat disediakan dengan berfaedah.

Tanpa ilmu, manusia tidak akan berupaya menggunakan segala nikmat disediakan dengan bijaksana. Tanpa ilmu, manusia tidak akan berdaya untuk mengetahui dengan lebih mendalam rahsia isi alam ataupun nikmat tersedia ada, lebih-lebih lagi nikmat di sebalik pandangan zahir.

Oleh itu ilmu sangat penting kepada sekalian manusia untuk hidup dilingkungi dengan kenikmatan Allah.

Ilmu agama atau akhirat dituntut supaya kita kenal diri yang sentiasa tertakluk kepada perintah Allah. Manusia juga perlu faham bahawa mereka bertanggungjawab melaksanakan tugas sebagai hamba dan khalifah Allah di atas dunia ini.

Firman Allah yang bermaksud: "(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku akan menjadikan seorang khalifah diatas bumi (Adam)..." (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Kepentingan menguasai ilmu pengetahuan boleh dilihat dalam kehidupan kita beribadah. Contohnya, kita melaksanakan kewajipan sebagai hamba Allah yang menunaikan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Jika melakukan ibadat tanpa ilmu, tanpa mengetahui peraturannya, tanpa mengetahui sah batalnya, maka ibadat itu ditolak atau tidak diterima oleh Allah. Ilmu Allah amat luas dan mencakupi pelbagai bidang.

Namun, untuk mendapat keredaan Allah manusia mestilah mempunyai ilmu yang hanya diredai-Nya yang tidak bertentangan dengan dasar syariah. Ini menuntut manusia berusaha menguasai ilmu seberapa banyak yang boleh untuk memperoleh segala nikmat yang ada.

Menuntut ilmu membawa kepada pelbagai kebaikan. Antara faedah menuntut ilmu adalah:

Makhluk Allah akan dapat membentuk keperibadian diri melalui ilmu pengetahuan. Melalui ilmu, manusia akan dapat menguatkan iman serta takwa kepada Allah.

Tanpa ilmu pengetahuan, seorang itu tidak dapat melakukan ibadat kepada Allah dengan baik. Kekurangan ilmu juga akan menjadikan seorang itu menjadi hina di sisi masyarakat.

Sesuatu perkara yang hendak dilakukan tidak akan menjadi sempurna tanpa memiliki ilmu yang berkaitan dengan-Nya.

Ini kerana menuntut ilmu adalah sangat penting sebagai asas atau panduan dalam setiap amalan sama ada dalam bentuk ibadat fardu ain atau fardu kifayah.

Dalam melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah, manusia perlu kepada ilmu pengetahuan. Manusia diwujudkan untuk menjadi wakil Allah dan mentadbir alam ini supaya bumi Allah ini menjadi makmur dan seterusnya membentuk masyarakat dan manusia yang diredhai oleh-Nya.

Melalui ilmu pengetahuan, manusia dapat membina bangunan yang mengagumkan, kediaman lebih selesa dan mencipta pelbagai jenis rekaan moden untuk kemudahan umat manusia menjalankan tugas mereka seharian.

Ilmu dapat menentukan kedudukan dan dapat mengubah mobiliti sosial individu daripada kehidupan sosial yang rendah kepada taraf lebih tinggi.

Orang berilmu sentiasa dihormati dan pandangan mereka adalah pandangan yang positif dan membina baik dari segi rohani dan juga jasmani.

Kesimpulannya, seruan kepada pencarian dan penguasaan ilmu pengetahuan sememangnya sudah lama disarankan dalam Islam.

Islam amat mementingkan ilmu dalam menentukan kejayaan umatnya. Kepentingan ilmu penting dalam menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat.

Penulis ialah pensyarah kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia.

Kerahsiaan Lailatulqadar uji ketakwaan ummah

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Tarikh malam istimewa disembunyi untuk rangsang kita pertingkat ibadat pada 10 terakhir Ramadan

LAILATULQADAR adalah salah satu dari malam Ramadan, di mana keistimewaannya dikatakan menyamai bilangan seribu bulan yang tidak ada di dalamnya Lailatulqadar. Ini dijelaskan sebagai mana firman Allah Taala dalam surah al-Qadr ayat 1 dan 2 yang bermaksud: "Sesungguhnya kami turunkan al-Quran pada malam Lailatulqadar. Tahukah kamu apakah malam lailatulqadar itu? Malam Lailatulqadar adalah lebih baik dari seribu bulan."

Gandaan pahala melakukan amal ibadat pada malam itu dikatakan mempunyai nilaiannya lebih 29,500 kali ganda kerana difahami dari ayat itu ganjaran pahala adalah lebih banyak dan baik melebihi seribu bulan.

Kebesaran Lailatulqadar adalah berdasarkan dua perkara. Pertamanya, kerana pada malam itu diturunkan al-Quran dan keduanya pada malam itu akan turun malaikat dalam suatu angkatan yang besar, penuh gilang gemilang untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang-orang berpuasa dengan ikhlas.

Lailatulqadar kerana pada pada malam itu akan turun malaikat untuk mengucapkan salam sejahtera kepada seisi penduduk bumi.

Ia juga dikenali dengan nama Lailatul Syaraf bermaksud malam kemuliaan dan Lailatul Tajalli yang bermakna malam Allah melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada orang yang berpuasa dan beribadat pada sebelah malamnya.

Penentuan tarikh dan malam sebenar berlakunya Lailatulqadar sering kali berlaku perselisihan pendapat di kalangan ulama.

Tetapi pendapat yang kuat menyatakan bahawa adalah pada malam ganjil sesudah hari yang 20 Ramadan iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan. Ini sesuai dengan sebuah hadis Rasulullah dari Ibnu Umar yang bermaksud: "Sesiapa yang ingin mencari Lailatulqadar hendaklah pada malam kedua 27."

Sebuah lagi hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim adalah bermaksud: "Carilah dengan segala upaya kamu malam al-Qadar pada malam ganjil dari 10 malam akhir Ramadan."

Jelas dari kedua hadis itu Lailatulqadar itu hanya berlaku pada satu malam saja dari Ramadan, dan ia adalah sebagai suatu perangsang kepada seluruh umat mukmin supaya berebut-rebut untuk mencari pahala dan ganjaran malam al-Qadar dengan melipat gandakan amal ibadat pada malam akhir Ramadan al mubarak ini.

Jelas penyembunyian tarikh Lailatulqadar akan menguatkan semangat dan kekuatan umat mukmin untuk terus berusaha mendapatkan ganjaran pada malam itu.

Allah sendiri selalunya menyembunyikan beberapa urusan agama yang lain atas hikmah tertentu seperti:

Allah menyembunyikan Lailatulqadar untuk menguji umatnya sejauh mana tahap amal ibadat mereka sepanjang Ramadan.

Allah menyembunyikan saat penerimaan doa (ijabah segala doa) pada Jumaat supaya kita berdoa sepanjang hari itu.

Allah menyembunyikan sembahyang Wusta dalam solat lima waktu supaya kita memelihara semua waktu solat fardu.

Allah menyembunyikan isim adzam di antara nama-Nya supaya kita menyebut kesemua nama-nama-Nya (Asmaul Husna)

Allah menyembunyikan makna maksiat yang sangat terkutuk supaya kita menghentikan melakukan apa juga bentuk maksiat.

Allah menyembunyikan siapa yang menjadi wali di antara mukmin supaya kita berbaik sangka terhadap semua orang mukmin.

Allah menyembunyikan kedatangan hari kiamat supaya kita selalu bersiap sedia.

Allah menyembunyikan ajal manusia supaya kita selalu dalam persiapan menemui-Nya.

Walau bagaimana pun berkaitan dengan Lailatulqadar, ulama bersepakat mengatakan ada beberapa tanda apabila berlakunya malam itu, di antaranya ialah:

Orang yang berkesempatan melihat malam al-Qadar akan dapat merasakan segala yang ada di bumi dan di langit bagaikan bersujud ke hadrat Allah.

Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan melihat suasana alam yang terang benderang walaupun berada dalam kegelapan.

Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan dapat mendengar salam malaikat dan tutur kata mereka.

Orang yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan diperkenankan segala doanya.

Dalam sebuah hadis lain turut dinyatakan di antara tanda malam al-Qadar berlaku ialah terbit matahari pada pagi hari dengan bentuk yang putih bersih bagai bulan penuh dan tidak mempunyai sinar yang terlalu panas, di mana tidak dirasakan kepanasan yang kuat walaupun matahari cerah memancarkan cahaya.

Bagaimanapun pahala ibadat pada malam al-Qadar akan tetap mendapat ganjaran dari Allah Taala biarpun tandanya tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Sesiapa yang ikhlas melakukan ibadat puasa dan amal ibadat lain panjang Ramadan, Insya-Allah akan menemui malam yang lebih baik dari seribu bulan itu.

'Amar makruf nahi mungkar' asas keharmonian masyarakat

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

MASYARAKAT yang baik ialah masyarakat maju, bertamadun, subur dengan suasana aman bahagia, terjalin ikatan mesra dan bersatu padu yang berasaskan akidah, syariat dan akhlak Islamiah. Tentu sekali masyarakat ini akan sentiasa menerima cucuran rahmat serta perlindungan Allah.

Beginilah masyarakat yang dibina oleh Rasulullah SAW di Madinah, padahal masyarakatnya terdiri daripada pelbagai rupa bangsa, aliran kepercayaan dan darjat, namun mereka dapat hidup dalam suasana penuh kekeluargaan.

Mengapa masyarakat pada zaman Rasulullah SAW boleh hidup dalam keadaan perpaduan yang utuh dan kukuh serta aman makmur? Bila diteliti helaian sirah Baginda, antara rahsianya ialah kerana Rasulullah SAW serta sahabat dan seluruh anggota masyarakatnya menegakkan amar makruf nahi mungkar (menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat mungkar) di tengah-tengah masyarakat.

Masyarakat Islam masa kini seharusnya mencontohi apa yang dipraktikkan Rasulullah SAW pada masa silam dalam membangun masyarakat harmoni yang tinggi nilai akhlaknya serta perpaduan mengagumkan. Dengan ini syiar Islam mampu berada di puncak kegemilangannya dan syariat Islam dengan mudah pula dapat ditegakkan.

Tidak dapat dinafikan lagi, Islam amat menitikberatkan kedamaian dan perpaduan masyarakat serta membenci perbalahan atau perpecahan. Lantaran itu, Islam menghulurkan tanggungjawab kepada setiap anggota masyarakat supaya menghidupkan amar makruf nahi mungkar kerana manfaatnya kepada kehidupan umat Islam yang sejahtera.

Firman Allah yang bermaksud: “Perintahlah orang lain supaya berbuat baik dan laranglah ia daripada berbuat jahat, serta bersabarlah terhadap cubaan yang menimpamu.” (Surah Luqman, ayat 17)

Berdasarkan maksud ayat itu, Allah dengan nada tegas mengarahkan setiap orang Islam supaya menjalankan tugas dakwah dengan penuh keinsafan dan keimanan, walaupun nanti memang tidak dapat lari daripada merempuh segala macam halangan. Ini tentunya memerlukan semangat, pengorbanan dan kesabaran tinggi. Bila tugas dakwah dijalankan seperti sepatutnya, maka akan lahirlah satu umat yang terpuji di sisi Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Kamu adalah umat yang terbaik yang telah dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar serta beriman kepada Allah.” (Surah al-Imran, ayat 110)

Dimaksudkan umat terbaik menurut Abul Khairi Al-Latifi dalam bukunya ‘Keruntuhan Martabat Umat Islam’ ialah, “.... individu-individu dalam umat ini memberi manfaat kepada individu lain”. Maknanya masing-masing saling nasihat-menasihati dan menjalankan amar makruf nahi mungkar ikhlas semata-mata kerana Allah.

Dalam usaha menerapkan nilai murni dalam masyarakat, Islam memberi garis panduan cukup sistematik dan terbaik untuk diteladani. Jika berlaku perbuatan maksiat, maka hendaklah dicegah dan dihalang mengikut ukuran kemampuan masing-masing.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa di antara kalian melihat perbuatan mungkar, maka cegahlah perbuatan itu dengan tangannya (kekuasaan), apabila ternyata ia tidak mampu maka cegahlah dengan lisan (nasihat atau larangan) dan apabila masih juga tidak mampu, maka hatinya harus mengingkari perbuatan itu, tetapi terakhir ini adalah termasuk orang yang lemah imannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Dr Afif Abdullah Fattah Thabbarah dalam bukunya Dosa Dalam Pandangan Islam menyatakan: “Mendiamkan perbuatan mungkar bererti ikut berdosa, dan dosanya akan dipikul oleh semua anggota masyarakat, kerana berdiam diri bererti merestui perbuatan itu.”

Di samping mencegah, agama Islam juga menunjukkan cara bagaimana sebaik-baiknya manusia menyeru manusia lain (masyarakat/kaumnya) ke jalan yang diredai Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Serulah manusia ke jalan Tuhanmu, dengan hikmah dan nasihat yang baik dan berdebatlah (berbincang) dengan mereka secara yang baik.” (Surah an-Nahlu, ayat 125)

Allah menunjukkan tiga cara berdakwah yang perlu sekali dihayati, iaitu menyampaikan dakwah dengan hikmah. Seterusnya memberi nasihat yang baik dan apabila berbincang dengan cara yang terhormat, baik terhadap orang Islam sendiri mahupun bukan Islam

Sesungguhnya masyarakat yang tidak menjalankan amar makruf nahi mungkar sebagai satu kewajipan, maka akan dilaknat Allah. Kisah kaum yang dilaknati Allah banyak diceritakan dalam al-Quran.

Mengikut Imam Ghazali, apabila masyarakat sunyi daripada amar makruf nahi mungkar akan terkeluar daripada kelompok orang mukmin. Mengulas ayat 71, surah at-Taubah, beliau berkata: “Apakah anda belum memahami ayat ini? Ayat itu mengatakan bahawa siapa saja yang tidak mahu menjalankan amar makruf nahi mungkar, bererti ia telah keluar daripada golongan orang beriman. Oleh kerana perbuatan amar makruf nahi mungkar adalah ciri khas dan sifat umat Islam.”

Rasulullah SAW pernah menegaskan yang bermaksud: “Suatu kaum yang melakukan perbuatan maksiat, kemudian mereka tidak mahu mencegahnya padahal mereka mampu bertindak, maka Allah pasti akan menurunkan seksa-Nya kepada mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Sunday, September 21, 2008

Ulul Albab: Gergasi ekonomi dunia ranap angkara riba

Oleh Abdurrahman Haqqi


KEKECOHAN berlaku di Bursa Saham di Sao Paulo selepas kehancuran Lehman Brothers, baru-baru ini.


Amalan mengaut faedah tanpa risiko nyata cetus ketidaktentuan sistem kewangan global

AYAT 279 surah al-Baqarah menegaskan maksudnya: "Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat)."

Bukti kebenaran wujud peperangan Allah dan Rasul-Nya terhadap pengamal riba dalam minggu ini adalah kehancuran Lehman Brothers dan Federal Housing Authority sebagai dua gergasi pengamal riba dunia berasal dari Amerika Syarikat (AS). Dan dalam hitungan hari selepas itu, Selasa lalu, satu lagi gergasi kewangan dalam sektor insurans yang beroperasi di 130 negara dan mempunyai 116,000 pekerja tidak termasuk pekerja separuh masa, American International Group Inc (AIG) sedang berada dalam proses untuk tumbang dan tinggal nama.

Bagaimanapun, ada 'tangan-tangan' yang berusaha untuk menyelamatkan AIG kerana ia dikatakan mempunyai keutamaan global sehingga 'pertolongan sesat' yang mulanya akan diberikan sejumlah AS$85 bilion oleh US Federal Reserve (Fed) sudah menjadi AS$500 bilion gabungan ta'awun 'ala al-itsm wa al-'udwan (bertolong-tolongan dalam berbuat dosa dan pencerobohan) bank-bank pusat Eropah, Britain, Jepun, Switzerland dan Kanada di samping Fed sendiri yang menambahkan jaminannya menjadi AS$265 bilion..

Jumlah wang yang begitu banyak yakni AS$500 bilion itu diperuntukkan untuk menyelamatkan satu sistem yang dimusuhi Allah yang mana jika ia diperuntukkan untuk kesejahteraan sebenar manusia sejagat sudah pasti akan lebih menguntungkan kepentingan kemanusiaan daripada kepentingan segelintir pengamal riba.

Penulis tertarik dengan komen yang dibuat oleh seorang profesor di Universiti New York, Nouriel Roubini terhadap 'double standard' kerajaan Amerika ke atas krisis Lehman Brothers dan AIG. Professor di Stern School of Business itu berkata, seperti dipetik Reuters, Khamis lalu: "We're essentially continuing a system were profits are privatized and losses socialized."

Sistem ekonomi kapitalis sebagaimana disifatkan Roubini ini adalah sistem orang kufur nikmat yang dianugerahkan Allah Ta'ala. Orang kufur nikmat yang tamak dan kemaruk harta dunia. Mari kita perhatikan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya manusia itu dijadikan mempunyai tabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah; dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut." (Surah al-Ma'arij: 19-21)

Firman Allah ini dijelaskan lagi dengan satu contoh dalam ayat yang lain maksudnya: "Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepada-Nya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepada-Nya. (Akibat syirik itu) jadilah mereka orang yang kufur nikmat yang Kami berikan kepadanya, dan (menjadi) orang yang hanya bersuka ria di dunia; kemudian mereka akan mengetahui kelak akibat buruk apa yang mereka lakukan." (Surah al-'Ankabut: 65-66)

Inilah yang berlaku dalam krisis AIG hari ini. Ketika mereka dalam keadaan memperoleh keuntungan sejak penubuhannya pada 1919 di China, mereka senyap dan berfoya-foya dengannya tanpa menghiraukan kepentingan orang lain. Tapi, ketika berlaku krisis yang berpunca daripada amalan riba yang diperangi Allah, mereka berteriak minta tolong sehingga seluruh dunia terkena kesannya termasuk mungkin insurans kereta anda dengan American International Assurance (AIA).

Pengalaman masyarakat antarabangsa moden membuktikan keburukan amalan riba sejak terjadinya krisis ekonomi 1929. Tapi mereka tidak serik-serik lagi kerana tujuan yang dicanangkan mereka belum wujud lagi. Tujuan yang akan membuat semua manusia menjadi hamba kepada segelintir manusia pimpinan Yahudi zionis seperti digariskan dalam protokol zionis dan pernah dikisahkan Shakespear dalam Merchant of Venice menerusi tokoh pengamal riba berbangsa Yahudi, Shelok.

Seorang pakar ilmu ekonomi, Prof G Haberler dari Universiti Harvard di AS menulis di dalam bukunya Kemakmuran dan Kemelesetan bahawa tiada suatu masalah yang menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan pakar ekonomi selain masalah yang berkaitan dengan nilai wang faedah atau faedah bank. Masalah ini masih suatu persoalan yang belum mencapai sebarang penyelesaian sehingga sekarang, dan ketika berlakunya kemelesetan terbesar di seluruh dunia kapitalis pada 1929, maka sistem perekonomian kapitalis hampir tumbang untuk selama-lamanya akibat merebaknya wabak pengangguran.

Pelopor dan pemimpin pakar ekonomi moden, Lord J M Keynes mengkritik sistem ekonomi klasik dan mengisytiharkan sikap bertaubatnya ke atas sistem itu, sambil melancarkan serangan yang tidak mengenal ampun terhadap faedah bank. Pandangan ini diikuti oleh muridnya, Sir Roy Harrod yang menerbitkan sebuah buku bertajuk Ke Arah Suatu Sistem Ekonomi Yang Bergerak Dinamik. Dalam buku ini, Harrod bukan saja membela pandangan Keynes, malah menokok tambah lagi dengan jelas dan terang dan beliau menyatakan bahawa sistem ekonomi bebas itu tidak boleh kekal dan tahan lama selagi masih wujud suatu puak tuan punya modal yang terus menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang melalui bank-bank di samping mengaut pendapatan yang dinamakan 'faedah' tanpa menghadapi sebarang risiko atau menjalankan suatu usaha dan pekerjaan yang membawa kebajikan. Puak itu menjadi beban yang terpaksa dipikul oleh penerima pinjaman yang terpaksa bekerja bertungkus-lumus menghadapi pelbagai bentuk risiko.

Oleh itu, Harrod berpendapat bahawa masyarakat perlu segera diselamatkan daripada pelbagai bentuk ancaman kejahatan yang ditimbulkan oleh puak minoriti ini dengan cara melakukan suatu usaha berkesan yang akhirnya melakukan larangan dan pengharaman kadar faedah. Dan pada ketika itu semua pemilik wang terpaksa melaburkan wang mereka melalui pelbagai cara yang produktif yang memberi faedah kepada masyarakat. (Rujuk al-Jammal, Ensklopedia Ekonomi Islam, ii/432-3) Al-Quran al-Karim begitu tegas dan lantang sekali menyatakan hukum haramnya riba. Ia yang diturunkan lebih 1,400 tahun yang lalu sudah mengisytiharkan perang terhadap pengamal riba dan pada hari ini masyarakat antarabangsa dilanda wabaknya seperti diberitakan dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW maksudnya: "Akan tiba suatu zaman, tidak ada seorang juga pun kecuali ia terbabit dalam memakan harta riba. Kalau ia tidak memakan secara langsung, dia akan terkena juga debu-debunya." (Hadis riwayat Ibn Majah)

Maka pada akhirnya, tidak ada jalan penyelesaian agar kita terselamat daripada bencana perang terhadap riba yang diisytiharkan al-Quran di atas selain sambungan ayat pada permulaan tulisan ini iaitu maksudnya: "Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa." Dengan perkataan lain, sempena Nuzul al-Quran 1429 H ini mari kita hapuskan riba! Wallahu a'lam.

Persoalan Agama: Tujuh ibadah terbaik diamalkan akhir 10 Ramadan

Bersama Jakim

Apakah amalan terbaik dilakukan pada 10 malam terakhir Ramadan.

Abdul Rahim Bakri
Muar, Johor

Antara amalan terbaik dilakukan pada 10 malam terakhir Ramadan ialah:

Melakukan solat sunat Rawatib, Tarawih dan sunat lain.

Memperbanyakkan berdoa seperti "Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, maka ampunkan aku".

Membaca, mempelajari dan mengkaji al-Quran kerana hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim menyatakan: "Jibril menemui Nabi Muhammad SAW pada setiap malam Ramadan dan bertadarus al-Quran"

Berzikir menyebut nama Allah, firman Allah SWT, "Berzikirlah kepada Tuhanmu dalam dirimu (hatimu) dengan penuh perasaan rendah hati dan takut dan bukan dengan suara keras pada waktu pagi dan petang, dan janganlah engkau sampai dikira orang yang lalai."(Al- A'raf :205).

Memperbanyakkan sedekah kepada kaum kerabat dan fakir miskin. Hadis riwayat Bukhari Muslim menyatakan Nabi Muhammad SAW paling pemurah membuat kebajikan lebih-lebih lagi pada Ramadan ketika Baginda SAW dikunjungi Malaikat Jibril.

Beriktikaf di masjid terutama pada 10 hari terakhir Ramadan kerana ini cara terbaik untuk menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang dilarang, sebaliknya memberi rangsangan untuk melakukan perkara yang disuruh. Diharap dengan beriktikaf akan ditemui lailatul qadar kerana ia berlaku pada 10 malam terakhir. Disebut dalam kitab Fath al-Qadir daripada Aishah r.a. berkata "Apabila masuk 10 hari terakhir Ramadan, Nabi banyak berjaga kerana ibadah, Baginda membangunkan keluarganya mengasingkan diri daripada isterinya."

Qiamullail iaitu bangun beribadat pada malam hari. Kelebihannya seperti difirman Allah Taala bermaksud "Dan bangun pada sebahagian daripada malam serta kerjakan "sembahyang Tahajud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat terpuji." (al- Isra': 79)

Daud manusia pertama dilantik jadi rasul, raja

Oleh Hasliza Hassan

NABI Daud ialah anak Yassa bin Ubid yang dikenali sebagai Yassa al Bitlahami kerana mendiami Baitul Laham. Yassa daripada keturunan Yahuza bin Nabi Yaakub yang mempunyai lapan anak lelaki dan dua perempuan. Nabi Daud ialah anak lelaki bongsu Yassa yang kacak orangnya, kulit kemerahan dan memiliki mata yang cantik. Nabi Daud dikurniakan Allah suara yang lemak merdu sehingga unggas dan bukit bukau turut terpesona.

Baginda rajin berusaha menyara hidup sehingga Rasulullah SAW menjadikan Nabi Daud contoh kepada umatnya kerana tidak bergantung kepada orang lain.

Sejak kecil Baginda mengembala kambing bapanya melengkapkan kerjaya seorang nabi. Mengembala kambing mendidik nabi dan rasul sifat sabar, berkasih sayang, belas kasihan dan menjadi pemimpin yang baik.

Nabi Daud juga kuat beribadah, sehari Baginda berpuasa dan sehari lagi berbuka. Ketika berusia 15 tahun beliau menewaskan Raja Palestin, Jalut yang gagah perkasa. Apabila Raja Thalut memerintah bani Israel dengan kejam dan zalim, Nabi Samuil memilih Daud sebagai raja. Selepas itu Daud dilantik Allah menjadi rasul sekali gus menjadikannya manusia pertama dilantik Allah sebagai raja dan rasul.

Nabi Daud mula popular di kalangan bani Israel selepas berjaya membunuh Raja Jalut menyebabkan Thalut cemburu dan bimbang tempatnya diambil alih Baginda.

Janji Raja Thalut untuk mengahwinkan sesiapa yang dapat menewaskan Jalut dengan puterinya Mairab tidak ditunaikan. Nabi Daud tidak berkecil hati kerana tujuan Baginda berjuang bukan untuk mendapat habuan. Namun, anak bongsu Thalut, Mikal jatuh hati kepada Nabi Daud dan Baginda bersetuju mengahwininya.

Cemburu Thalut kembali selepas Nabi Daud berjaya menewaskan tentera Palestin sekali lagi. Cadangannya untuk menghapuskan Nabi Daud diceritakan Thalut kepada anak lelakinya, Yunasan yang sangat sayang kepada Baginda. Niat itu diberitahu kepada Nabi Daud dan Baginda lari menyelamatkan diri keluar dari Istana Thalut. Nabi Daud mula diburu Thalut untuk membunuhnya, tetapi gagal.

Kebijaksanaan dan kemuliaan hati Nabi Daud membuatkan bani Israel mula mengasihinya. Akhirnya Nabi Daud dilantik menjadi raja bani Israel selepas Thalut mangkat. Dengan kebijaksanaan Baginda, 12 suku bani Israel disatukan di bawah pemerintahannya. Nabi Daud wafat pada usia 70 tahun selepas berjaya meletak batu asas kerajaan Israel yang kuat untuk anaknya, Nabi Sulaiman. Ikuti kisah menarik Nabi Daud dalam Al-Risaalah 2 Musa Kalamullah jam 10.30 malam ini di TV9.

Persoalan Agama: Alam semesta beri tanda kedatangan lailatulqadar

Bersama Jakim

Saya ingin tahu mengenai lailatul qadar yang pada pandangan saya bercampur baur antara fakta dan mitos. Bagaimana hendak tahu lailatulqadar berlaku. Melalui pembacaan dan pandangan sesetengah orang, antara tanda lailatulqadar ialah suasana ketika itu hening dan tenang, malah ada menyatakan pokok tunduk ke bumi dan air telaga beku. Betulkah? Apakah yang sebenarnya berlaku?

Salahuddin Samat
Bagan Dalam, Pulau Pinang

Lailatulqadar ialah satu malam yang amat agung pada setiap Ramadan. Ia juga malam perhubungan mutlaq antara bumi dan alam al-Mala'ul-A'la. Pada malam itu juga diturunkan al-Quran keseluruhannya ke langit dunia sebelum diturunkan secara berperingkat kepada Nabi Muhammad SAW seperti firman Allah "Sesungguhnya Kami sudah menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatul qadar." (Al-Qadr:1) Mencari malam lailatul qadar adalah sunat kerana Rasulullah SAW menurut hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Muslim menyatakan bahawa Baginda berusaha sedaya upaya pada malam 10 akhir Ramadan melebihi usahanya daripada malam lain.

Mengenai cerita dan riwayat yang dikatakan berlaku pada malam itu perlu kita selidiki mengenai sejauh mana ia bertepatan dengan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Banyak pandangan beberapa sahabat dan ulama mengenainya antaranya ialah pandangan Imam Ghazali. Menurut beliau malam ini boleh diketahui melalui:

Jika awal Ramadan pada Ahad atau Rabu, maka lailatulqadar pada malam 29 Ramadan.
Jika awal Ramadan pada Isnin, lailatul qadar pada malam 21 Ramadan.
Jika awal Ramadan pada Selasa atau Jumaat maka lailatulqadar pada malam 27 Ramadan.
Jika awal Ramadan pada Khamis, lailatulqadar pada malam 25 Ramadan.
Jika awal Ramadan pada Sabtu, maka lailatulqadar pada 23 Ramadan.

Selain tanda itu malam ini juga boleh dikenali dengan beberapa tanda iaitu:

Malam itu langitnya kelihatan suci bersih.
Bulan bercahaya segar dan terang benderang.
Udaranya nyaman, tidak sejuk dan tidak panas.
Langit tidak diganggu bintang.
Matahari pada waktu paginya memancarkan cahaya seimbang seperti cahaya bulan purnama.

Bagaimanapun, lailatulqadar ialah rahsia yang hikmahnya supaya umat Islam terus mencari dengan menggandakan amal ibadah. Rasulullah bersabda "Telah datang kepada kamu Ramadan bulan membawa berkat, Allah menyelubungi kamu, lalu ia menurunkan rahmat serta menghapuskan kesalahan-kesalahan. Allah SWT memperkenankan doa pada bulan itu. Allah juga melihat perlumbaan antara kamu pada Ramadan dan menyampaikan kebanggaan-Nya terhadap kamu kepada malaikat. Oleh itu hendaklah kamu membuktikan kebaikan kamu kepada-Nya. Sesungguhnya orang yang celaka itu ialah orang yang dijauhkan atau diharamkan oleh Allah daripada mendapat rahmat-Nya." (Riwayat Tabarani)

Saturday, September 20, 2008

Ulama pembimbing hala tuju masyarakat, negara

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Peranan pewaris nabi kawal keharmonian, beri sumbangan kekal ketuanan Islam di Malaysia

ULAMA adalah pewaris tugas dan peranan nabi serta rasul menyampaikan amanah Islam kepada seluruh umat manusia. Di tangan ulama penentu maju mundurnya sesebuah negara, terang gelapnya sesebuah bangsa, baik buruknya umat. Jika ulama berperanan seperti dilaksanakan nabi dan rasul, maka akan baik umat, jika tidak nescaya akan buruk dan binasa umat manusia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ulama ibarat pelita yang menerangi bumi, pengganti (pewaris) nabi dan rasul, ahli warisku dan ahli waris nabi serta rasul." (Hadis riwayat Ibnu Adiy)

Definisi tepat ulama ialah seorang yang luas dan mendalam ilmu agamanya dan berupaya menggarap, seterusnya mengembangkan ilmu bersesuaian dengan kepakarannya sehingga lahir beberapa disiplin ilmu lain sama ada dalam keagamaan mahupun keduniaan. Hasilnya, disiplin ilmu itu menjadi sumber rujukan utama umat zaman berzaman. Inilah ciri utama ulama berwibawa dalam Islam.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan orang yang tetap teguh serta mendalam ilmu pengetahuannya dalam ilmu agama berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datang dari sisi Tuhan kami. Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang yang berfikiran (ulul albab)." (Surah Ali-Imran, ayat 7)

Ciri terpenting yang dianggap sebagai garis pemisah antara ulama dengan golongan lain ialah keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Ulama mantap imannya dan tebal ketakwaan, tidak takut kepada sesiapa kecuali Allah ketika menegakkan kebenaran dan memperjuangkan yang hak. Ciri ini juga membezakan antara ulama dengan ilmuwan, sarjana atau intelektual biarpun dalam diri mereka terhimpun segala ilmu. Takwa dan iman yang bertapak kukuh dalam jiwa mendorong ulama sentiasa mendekatkan diri kepada Allah berbekalkan sebanyak mungkin amalan kebajikan kerana menginsafi bekalan ilmu saja belum memadai.

Tidak dapat tidak, amalan kebajikan wajib ditunaikan dalam kehidupan ulama seperti firman Allah yang bermaksud: "Dan apa juga kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah takwa (amal bakti untuk mencapai keredaan Allah). Bertakwa kepada-Ku wahai orang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya (ulul albab)." (Surah al-Baqarah, ayat 197)

Demikian tingginya kedudukan ulama yang mendapat kemuliaan di sisi Allah seperti difahami melalui firman Allah yang bermaksud: "Allah akan meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat." (Surah al-Mujadilah, ayat 11)

Justeru, dengan kemuliaan dan kelebihan dianugerahi Allah, ualama mempunyai peranan amat besar dan tanggungjawab getir dalam membimbing, membangun dan memimpin hala tuju masyarakat serta negara ke arah keredaan Allah.

Semakin kreatif dan profesional ulama, semakin meningkat tamadun dan peradaban manusia. Maka wajar ulama menjadi tempat rujukan apabila umat Islam menghadapi kekeliruan mengenai persoalan kehidupan. Ini selaras perintah Allah dalam firman yang bermaksud: "Maka bertanyalah kamu kepada orang yang mengetahui kitab Allah jika kamu tidak mengetahui." (Surah al-Anbiya', ayat 7)

Di Malaysia, ulama merujuk orang alim yang ditauliahkan kerajaan, pihak berwajib agama dan masyarakat Islam untuk menjalankan tugas keagamaan yang dipertanggungjawabkan seperti penasihat agama, mufti, timbalan mufti, kadi besar, kadi daerah, imam dan ustaz. Individu atau jemaah tidak sewajarnya cepat melatah dalam sesuatu isu diperdebatkan, terutama membabitkan hal ehwal Islam. Apa saja isu berbangkit, serahkan kepada mereka yang ditauliahkan supaya dapat dijauhkan segala kekeliruan dan dijernihkan kekeruhan yang mungkin merenggangkan persaudaraan sesama Muslim. Mereka yang sebenarnya memikul tugas besar untuk memberi sumbangan ke arah mempertingkatkan kesedaran masyarakat kepada penghayatan Islam dalam seluruh kehidupan. Ulama juga wajar menggerakkan usaha kerajaan supaya menggembleng tenaga dan menyusun langkah ke arah mewujudkan keharmonian rakyat yang bernaung di bawah kerajaan negeri. Ini bermakna umat Islam perlu memahami mufti bukan sekadar dengan fatwanya, kadi tidak hanya terhad di Mahkamah Syariah, imam tidak hanya terbatas di masjid dan ustaz pula bukan hanya di sekolah, kolej atau di universiti.

Peranan mereka amat besar dalam mengawal keharmonian dan kemuafakatan masyarakat di samping merangsang untuk memberi sumbangan bermakna kepada ketuanan Islam di bumi Malaysia ini.

Mereka juga sebahagian daripada rangkaian gerakan dakwah Islamiah sesuai dengan kedudukan pewaris nabi dan rasul dalam memikul tanggungjawab menyampaikan Islam supaya dapat difahami, dihayati dan diterjemahkan Islam dalam realiti kehidupan semasa.

Rasulullah SAW pernah memberikan perumpamaan indah berkenaan ulama dalam sabda Baginda yang bermaksud: "Ulama di bumi Allah itu sebenarnya dapat diibaratkan gugusan bintang di langit yang menyuluh dan menerangi kegelapan perjalanan umat manusia di lautan dan di daratan. Sekiranya bintang itu tidak berkerlipan, umat manusia tentu berada dalam serba kegelapan dan kesesatan yang nyata." (Hadis riwayat Ahmad)