Saturday, April 25, 2009

Ujian sebagai penilaian tentukan tahap kesyukuran manusia

Oleh Nawawi Subandi

APABILA ilmu seseorang bertambah, maka bertambah pula kerendahan hati dan belas kasihnya. Pertambahan ilmu meningkatkan semangat untuk terus menuntut ilmu kerana dia sentiasa mengerti bahawa dirinya kerdil memerlukan ilmu.

Jika amal seseorang itu bertambah, rasa takut pun akan mengiringinya dengan penuh berhati-hati. Oleh itu, dia terus berusaha gigih memperbanyakkan amalannya dan beristiqamah.

Jika bertambah umurnya, semakin berkurang ketamakan. Semakin bertambah harta kekayaannya, semakin dermawan dan mudah mengeluarkan sedekah. Tidak berasa bakhil dan kedekut di hatinya.

Jika seseorang bertambah kuasa, semakin dekat dan rendah dirinya terhadap orang kebanyakan. Dia datang ke khalayak ramai menghulurkan keperluan masyarakatnya. Semakin terpapar sifat tawaduknya.

Demikianlah serba sedikit tanda kebahagiaan hati seseorang manusia. Dia mengerti siapa dirinya dan di mana dia harus meletakkannya.

Ada juga yang apabila bertambah ilmunya, amalnya, bertambah pula kesombongan serta berasa cukup terhadap dirinya. Tidak lagi berburuk sangka terhadap dirinya. Meninggalkan muhasabah diri dan suka mengangkat muka terhadap amal orang lain.

Apabila bertambah umurnya, semakin bertambah pula kekalutannya mengumpul kekayaan. Jika bertambah kekayaan, bertambah pula kekikiran dan kebakhilan. Begitu juga kuasa dan pangkat yang menimbulkan rasa angkuh serta sombong.

Dia berasa dirinya cukup besar berbanding manusia kebanyakan. Dia mahu dirinya sentiasa dipandang tinggi lagi dihormati. Demikian sikap manusia yang sengsara hati dan jiwanya.

Hakikatnya, semua itu adalah cubaan dan ujian Allah SWT terhadap hamba-Nya, iaitu dengannya suatu kaum itu boleh menjadi bahagia, manakala sebahagian lainnya akan menjadi sengsara. Hidup ini penuh ujian dan cubaan, begitulah Allah SWT menghiasi kehidupan hamba-Nya.

Setiap yang diberikan, sama ada kekuasaan, kerajaan, nyawa, mahu pun harta, semuanya adalah termasuk dalam bentuk ujian. Nikmat juga termasuk dalam bentuk ujian daripada Allah SWT yang dengannya diperlihatkan sama ada seseorang itu mahu bersyukur atau kufur (mengingkari nikmat).

Allah SWT sentiasa menguji manusia sama ada dengan nikmat mahu pun musibah. Allah SWT berfirman bermaksud: "Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia akan berkata: Tuhanku sudah memuliakanku. Adapun apabila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: Tuhanku menghinakanku. Sekali-kali tidak (demikian)." (Surah al-Fajr, ayat 15-17)

Realitinya, bukanlah setiap manusia yang diberi kemudahan, kenikmatan dan keluasan rezeki itu orang yang dimuliakan Allah SWT dan di atas jalan kebenaran. Bukan juga orang yang disukarkan rezeki baginya itu dia dihinakan dan dimurkai Allah SWT.

Allah SWT berfirman bermaksud: "Setiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan hanya kepada Kami-lah kamu kembali." (Surah al-Anbiya', ayat 35)

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: "Dan Kami bahagikan mereka di dunia ini menjadi beberapa golongan, antaranya ada orang yang soleh dan ada yang tidak demikian. Dan Kami uji mereka dengan nikmat yang baik-baik dan bencana yang buruk supaya mereka kembali (kepada kebenaran)." (Surah al-A'raaf, ayat 168).

Friday, April 24, 2009

Pemberi, penerima riba umpama binatang buas

RIBA ialah kontrak yang dimeterai sebagai pertukaran barang tertentu, tetapi pada ketika kontrak dimeterai, pertukaran itu tidak diketahui kesamarataannya menurut ukuran syarak ataupun penyerahan salah satu atau kedua-dua barang berkenaan dilewatkan.

Adapun riba yang diharamkan ada dua jenis iaitu riba nasiah dan riba fadl. Riba nasiah bermaksud riba dengan penundaan pembayaran. Riba itu juga boleh dinamakan dengan riba ajal. Riba Fadhl pula bermaksud riba melebihkan atau menambah sesuatu. Sementara mazhab Shafie menambah riba yad yang bermaksud riba dengan penangguhan penyerahan.

Firman Allah bermaksud: “Orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (terkena) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.” (Surah al-Baqarah, ayat 275)

Islam mengharamkan riba dan menyatakan riba sebagai kejahatan terbesar serta dosa terberat yang dilakukan manusia. Rasulullah SAW juga melaknat setiap orang yang terbabit dengan riba kerana amalan itu mendatangkan kesan buruk terhadap individu, masyarakat dan negara.

Firman Allah yang bermaksud: “Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan riba) maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya menyatakan perang terhadap kalian.” (Surah al-Baqarah, ayat 279)

Daripada Jabir: “Rasulullah SAW melaknat pemakan riba, orang yang memberikan riba, orang yang menjadi penulisnya dan saksinya. Kemudian Rasulullah mengatakan: Mereka semua adalah sama.”(Hadis riwayat Muslim, Nasai, Abu Daud, Tarmizi dan Ibnu Hibban)

Antara kesan buruk riba terhadap individu adalah melahirkan individu bersikap ego. Pelaku riba hanya mengutamakan kepentingan peribadi dan memikirkan perihal diri sendiri saja. Sikap ego itu menghilangkan semangat pengorbanan mendahulukan orang.

Malah, ia melenyapkan rasa kasih untuk menjaga kebajikan kepada sesama masyarakat menyebabkan pudarlah ikatan persaudaraan antara sesama manusia. Pelaku riba umpama binatang yang buas.

Dalam kehidupan seharian, fikiran mereka hanyalah berlegar-legar di sekitar untuk mengumpulkan harta kekayaan dan menghisap darah saudara mereka. Riba juga menghilangkan nilai kemuliaan dan kasih sayang, menggantikan dengan sifat tamak.

Adapun bila ditinjau dari sudut ekonomi, bahaya riba sangat nyata dan jelas kerana ia membahagikan manusia menjadi dua kelompok iaitu kelompok yang hidup dalam kemewahan dan kelompok terjerumus dalam kefakiran.

Kelompok yang hidup dalam kemewahan ini bersenang-senang dengan hasil keringat orang lain. Masyarakat tidak pernah mendapat manfaat dan keuntungan daripada kemewahan mereka. Mereka merampas hasil susah payah orang lain dengan kejam melalui amalan riba.

Kelompok yang terjerumus dalam kefakiran pula adalah orang yang membanting tulang dan bekerja keras sedangkan hasil usahanya dinikmati pemilik harta. Dengan itu muncul bibit perpecahan dan pertentangan antara kedua-dua kelompok. Riba juga melahirkan aliran disebut kapitalisme dan komunisme.

Ditinjau dari aspek kemasyarakatan, riba melahirkan rasa permusuhan dan kebencian antara masyarakat. Riba juga menjadi penyebab hilangnya ikatan kemanusiaan dan persaudaraan pada pelbagai peringkat masyarakat serta menghancurkan prinsip belas kasihan dalam jiwa manusia.

Allah menyatakan perang terhadap pelaku riba dan memberi peringatan bahawa Dia akan menghilangkan keberkatan dan menghancurkan serta melaknat pelakunya.

Firman Allah yang bermaksud: “Allah memusnahkan (keberkatan riba) dan menyuburkan sedekah dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran dan selalu berbuat dosa.” (Surah al-Baqarah, ayat 276)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jauhilah tujuh perkara yang akan membinasakan. Salah satu di antaranya memakan riba.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebahagian besar bank konvensional di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah berada di bawah pengendalian Yahudi. Apabila mereka dapat menguasai ekonomi negara itu maka secara tidak langsung mereka juga turut menguasai politik.

Walaupun bilangan mereka amat sedikit di dunia ini tetapi dengan harta kekayaan dimiliki, mereka dapat membuat negara itu menjadi sekutu dalam melakukan kezaliman terhadap umat Islam di serata tempat.

Umat Islam di Malaysia hari ini perlu menghindarkan diri daripada terus terjerumus ke lembah riba yang mana ia adalah jarum suntikan Yahudi untuk memecahbelahkan dan melemahkan umat Islam. Bank juga disarankan menyediakan sistem perbankan Islam selari tuntutan syarak dan perkembangan ekonomi masa kini. Umat Islam mesti bangkit untuk menghapuskan riba.

Firman Allah bermaksud: “Barang siapa kembali mengambil riba maka mereka itu adalah penghuni neraka. Mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 275)

Filem wajar jadi wadah, senjata sebar risalah Islam

Oleh Amran Zakaria

MEMPERKATAKAN kerja dakwah bermakna kita melakukan usaha menyampai, mengajak atau menyeru manusia mengenali Islam, menerima dan menghayatinya yang dilaksanakan menerusi kaedah, cara serta pendekatan tertentu.

Pendekatan dakwah yang diambil seboleh-bolehnya tidak terlalu stereotaip. Adalah dicadangkan supaya pendekatan dakwah bergerak mengikut peredaran masa dan kecanggihan teknologi yang semestinya dimanfaatkan secara berkesan.

Teknologi yang amat berkesan dan berpengaruh hari ini ialah multimedia seperti video, audio, gambar, grafik, animasi dan teks untuk menyampaikan maklumat. Multimedia kini menjadi instrumen sangat berpengaruh dan berkesan.

Sejarah merekodkan filem pertama diperoleh dari Barat dibawa masuk ke dunia Islam oleh ahli keluarga kerajaan Uthmaniyah dan pengimport tempatan ketika peralihan abad ke-20. Filem pertama ditayangkan di Istana Sultan di Istanbul.

Sementara pekerja filem Islam menghasilkan filem mereka sekitar 1930-an. Sehingga Perang Dunia Kedua, jumlah penghasilan filem mereka tetap kecil. Pada 1960-an, industri filem dunia Islam mulai muncul, sekalipun jumlah penghasilannya jauh lebih kecil berbanding dihasilkan Barat.

Cita rasa umat Islam terhadap filem amat rendah dibandingkan dengan Barat yang sememangnya mengguna dan memanfaatkan filem untuk dijadikan senjata memusnahkan sosiobudaya masyarakat Islam mulai peringkat awalnya pengeluaran filem mereka.

Filem tidak dinafikan banyak menyalurkan maklumat dan memberi hiburan kepada penonton. Peranan filem penting terutama selepas Perang Dunia Kedua tidak dapat dinafikan. Melalui medium itu sesuatu maklumat menjadi lebih mudah untuk disampaikan kepada kumpulan sasaran.

Penyelidik Barat sudah lama membuat penyelidikan dan mencongak strategi bagaimana cara dan kaedah untuk merombak pemikiran masyarakat Muslim supaya melihat Barat sebagai bangsa yang dikagumi.

Mereka menuntut masyarakat Muslim untuk kagum dan hormat kepada bangsa mereka. Pendekatan itu sebenarnya menjadi senjata perang saraf untuk melumpuhkan idealisme orang Islam. Serangan Barat terhadap orang Islam melalui filem semakin berani.

Contohnya, filem Fitna yang diterbitkan produksi di Belanda dimiliki Ahli Parlimen negara itu, Geert Wilders. Filem itu memaparkan penganut agama Islam yang kononnya membudayakan keganasan dalam kehidupan.

Filem selama 15 minit yang disiarkan dalam laman web Liveleak.com pada 27 Mac 2008 mengkritik Islam dengan menunjukkan surah al-Quran berlatarbelakangkan imej keganasan bagi tujuan memaparkan kepada dunia takrif sebenar Islam melalui pemesongan mereka.

Firman Allah bermaksud: “Mereka ingin memadamkan (tersebarnya) cahaya (agama) Allah dengan mulut mereka, tetapi Allah enggan sebaliknya Dia akan menyempurnakan cahaya-Nya walaupun orang kafir tidak suka.” (Surah at-Taubah, ayat 32)

Sepatutnya kita lebih kagum dengan Islam dan berusaha menyampaikan keindahan Islam kepada orang lain dan memanfaatkannya berdasarkan sumber penyebaran yang boleh diguna pakai termasuk melalui filem.

Umat Islam seharusnya menggunakan medan tempur baru untuk mempertahankan diri melalui penghasilan seberapa banyak filem berorientasikan keagamaan yang berupaya menyebarkan risalah keamanan dan kedamaian seperti dianjurkan agama.

Filem yang memenuhi aspirasi umat Islam mestilah memenuhi ciri filem yang disyaratkan syariat seperti pandangan Syeikh Yusof Qardawi mengenai maksud filem iaitu alat untuk memberikan pendidikan disamping hiburan. Ia perkara halal dan baik bahkan membawa kepada perkara dituntut tetapi perlu menjaga daripada perkara ditegah oleh syarak.

Filem Sang Murabbi: Mencari Spirit Yang Hilang umpamanya adalah sebuah filem biasa, tetapi cukup hebat dan memberi kesan mendalam kepada penonton. Filem diadaptasi dan berkisarkan kisah hidup sebenar tokoh pendakwah dan Ahli Parlimen terkenal Indonesia iaitu K H Rahmat Abdullah.

Beliau adalah reformis dakwah yang cukup komited menyampaikan gambaran realiti Islam sebenar kepada masyarakatnya tanpa mengenal erti penat dan letih sepanjang filem ini hendak disiapkan.

Melihat kekuatan dan kejayaannya, filem wajar menjadi wadah menyebarkan risalah agama bagi menggantikan filem Barat yang kehilangan arah dan lebih tertumpu kepada usaha melemahkan saraf minda orang Islam.

Filem juga boleh menjadi saluran maklumat untuk menjelaskan pertuduhan Barat bahawa Islam agama yang menghidupkan keganasan sedangkan Islam agama menyeru kepada keamanan dan perdamaian untuk menciptakan keharmonian serta keindahan sebenarnya.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dewan Amal Islam Hadhari (Damai)

Mengaplikasi hikmah solat ketika memandu

Oleh Dr Irfan Mohamad

MENDIDIK pengguna jalan raya melalui pelaksanaan Ops Sikap, penguatkuasaan undang-undang tali pinggang sama ada bagi penumpang hadapan mahupun belakang, penggunaan topi keledar dengan bentuk dan cara selamat antara penekanan yang dijangka dapat mengurangkan kadar kemalangan.

Namun, paling penting ialah sikap pemandu yang menyumbang kepada bertambahnya statistik kemalangan jalan raya di Malaysia.

Islam adalah agama sejahtera dan membawa kesejahteraan kepada penganutnya. Ajaran dan aturannya menjadi panduan dalam segenap aspek kehidupan. Solat antara amalan konsisten yang dilakukan setiap hari. Malah, dalam solat itu sendiri mempunyai elemen jika diteliti turut mengajar manusia menjadi yang terbaik dalam hubungannya dengan Ilahi dan sesama insan.

Dalam hal memandu di jalan raya, seseorang yang menjaga dan melaksanakan solatnya dengan baik seharusnya akan memberikan watak seorang pemandu yang baik apabila berada di jalan raya.

Sebelum bersolat, kita dianjurkan memastikan tempat dan pakaian berada dalam keadaan bersih lagi suci. Begitu juga dengan persekitaran yang kondusif. Aspek membuat persediaan ini juga seharusnya diguna pakai ketika memandu.

Selain membuat pemeriksaan fizikal kenderaan terutama membabitkan perjalanan jauh, persediaan keadaan diri dari segi cukup rehat, tiada tekanan ketika memandu, keupayaan memandu dalam keadaan trafik teruk menjadi elemen penting.

Solat itu sendiri mempunyai rukun dan syarat sahnya. Sesiapa yang melanggar atau tidak melaksanakan, tidak sah ibadatnya. Apabila kita berada di jalan raya, pasti kita maklum segala peraturan seperti kawasan memotong, pematuhan lampu isyarat, kewujudan jalan sehala dan berada di lorong kiri jika tidak memotong.

Jika kita berulang kali belajar dalam solat lima kali sehari pentingnya mengikut peraturan, pastinya kita sepatutnya tidak sukar mengikut peraturan jalan raya yang sememangnya dibuat untuk memastikan keselamatan pengguna terjamin.

Ketenangan adalah kunci kebahagiaan. Begitu juga dalam solat seharian yang wajar ditunaikan dalam keadaan tenang. Tama’ninah dan tertib adalah sebahagian rukun solat. Justeru, apabila memandu, tidak boleh dan tidak perlu untuk kita memecut laju.

Kelajuan sememangnya membuat kita mudah hilang kawalan, selain membahayakan orang lain. Firman Allah yang bermaksud: “Jangan kamu campakkan diri kamu dalam kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Kebanyakan masalah di jalan raya disebabkan sikap mementingkan diri dan mengabaikan hak pemandu lain. Dalam solat, aspek menghormati makmum di sebelah amat ditekankan. Tidak boleh kita mengangkat suara sehingga mengganggu rakan di sebelah. Segala pergerakan dilakukan atas kapasiti dan ruang yang layak untuk kita saja.

Alangkah indahnya jika amalan itu turut diterapkan ketika memandu di jalan raya. Tiada lagi memotong barisan, memandu secara berbahaya dan memberi isyarat apabila hendak menukar lorong supaya pemandu lain mengetahui apa yang kita lakukan dan mengelakkan daripada kemalangan.

Solat juga mengajar kita fokus dan tidak membiarkan fikiran melayang memikirkan perkara lain. Fokus dalam solat atau khusyuk amat diberatkan kerana hanya dengannya ibadat solat itu akan mencapai kualiti seperti diharapkan.

Al-Quran juga ada menyebutkan bahawa solat adalah sesuatu yang berat melainkan kepada mereka yang khusyuk. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mu’minun, ayat 1-2)

Fokus ketika memandu akan dapat menghindarkan kenderaan dipandu melencong ke tempat tidak sepatutnya. Keadaan itu biasa terjadi jika kita memandu dalam keadaan terlalu letih atau banyak gangguan dalam kereta itu.

Diriwayatkan daripada Anas, “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda bermaksud: Apabila seseorang mengantuk ketika mengerjakan solat hendaklah ia tidur terlebih dulu hingga ia mengerti apa yang ia katakan (atau ia bacakan).”

Kita dilarang menunaikan solat dalam keadaan mengantuk dan memandu dalam keadaan mengantuk juga membahayakan. Selaras saranan Nabi Muhammad SAW, jika pemandu mengantuk hendaklah diganti pemandu lain atau berhenti untuk tidur sebentar sebelum menyambung perjalanan.

Sifat suka menunjuk-nunjuk akan kehebatan dengan kemampuan diri atau kenderaan dipandu satu daripada punca awal kemalangan. Contohnya, jika kereta dipotong, jangan kita berasa tercabar atau ingin menzahirkan bahawa kita sebenarnya lebih hebat.

Jika ini tidak mampu dikawal maka pada saat itulah nafsu akan mula menguasai diri. Pedal minyak ditekan hingga rapat semata-mata untuk menunjukkan yang kita tidak boleh ‘tewas’. Amalan suka menunjuk kehebatan diri sifat tercela dalam Islam apatah lagi jika ia dilakukan dalam solat.

Firman Allah bermaksud: “Maka kecelakaanlah bagi orang yang solat, orang yang lalai dari solatnya, orang yang riak.” (Surah al-Maa’uun, ayat 4-6)

Sampai ke destinasi dengan selamat adalah takrifan kepada kejayaan sebuah perjalanan. Orang yang menunaikan solat berjaya apabila menghayati roh dan pengajaran yang ada di dalamnya kerana tiada suatu apa pun diciptakan melainkan disertakan sebab dan faedahnya kepada manusia baik yang jelas di dunia apatah lagi akhirat nanti, sekiranya kita berfikir.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Otorinolaringologi (ORL) Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia

Thursday, April 23, 2009

Mukmin diingat supaya tak tangguh bertaubat

Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Penyucian jiwa tuntut umat mohon keampunan, tekad tidak mengulangi dosa lalu

SUDAH namanya manusia, sering melakukan kesilapan dan kesalahan. Ada disengaja, ada pula tidak disedari, tetapi akhirnya membuatkan seseorang berasa disakiti. Tidak terkecuali ada yang suka mempersenda hukum Ilahi, terlupa tiba masanya kita perlu berserah pada Empunya segala-galanya.

Kala itu, usah berasa terlambat, kerana kita sememangnya ketinggalan daripada orang lain yang puas memungut rahmat dan berkat kehidupan untuk dibawa sebagai bekalan kemudian hari.

Kehidupan di dunia penuh dugaan dan cabaran memungkinkan kita berbuat apa saja untuk memuaskan nafsu tidak baik, kadangkala hasad dengki membelenggu hati hingga tidak dapat menerima hakikat kelebihan orang lain.

Dunia ini penuh dengan permainan melalaikan, walau cuba mengawal diri daripada tipu daya, ada kalanya kita tertewas juga apatah lagi jika balasannya lambat tiba, tidak berasa janji Allah itu akan sampai akhirnya.

Firman Allah bermaksud: "Dan tidak dinamakan kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir?" (Surah al-An'am, ayat 32)

Benar manusia boleh dibohongi tetapi bukan Dia Yang Maha Kuasa. Sebab itulah negeri akhirat itu pasti, kepada yang tidak mensia-siakan kehidupan di dunia dengan kezaliman terhadap diri sendiri, pastilah kegembiraan ditunggu bagai tidak sabar dirasai, tetapi jika sebaliknya tentulah balasannya tidak tertanggung.

Akal dikurniakan Allah untuk berfikir supaya kita tidak mengulangi kesalahan sama berulang kali, sehingga menggagalkan misi dan visi sebagai hamba di dunia ini. Mana yang hak dan mana yang batil, usaha sendiri memilihnya, apa yang halal dan apa yang haram pula jangan dikompromi sehingga menjadikan hati kita buta.

Walaupun mencuba menjadi hamba yang baik dan taat, kadangkala kita lalai serta terlupa. Kata hati rupanya tidak semuanya memihak kepada kebenaran, bahkan ada kalanya membuka pekung di dada. Justeru, segala keterlanjuran jangan sampai kita tidak bertaubat, jika di akhirat ingin selamat.

Menyesali dosa yang dilakukan dan berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya adalah usaha perlu dilakukan jika benar-benar ingin bertaubat. Usah dikenang masa lalu jika itu membuatkan kita terus 'merindui' kejahatan dan kemaksiatan, sebaliknya kenanglah ia sebagai pengajaran tidak mungkin berulang.

Allah berfirman bermaksud: "Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan 'taubat nasuha', mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai." (Surah At-Tahriim, ayat 8)

Jangan pula taubat dipermainkan dengan mengulangi dosa dan kemungkaran. Sesiapa yang ingin bertaubat mesti menyesali dosa yang sudah dilakukan dan bertekad untuk tidak mengulanginya. Inilah dikatakan menyucikan diri, menghilangkan segala kotoran terlekat di hati mudah-mudahan kebaikan itu mendorong kepada pembersihan jiwa sebenar.

Kita juga harus berjanji mengelak daripada melakukan dosa selagi hidup melainkan jika tidak disedari. Seboleh-bolehnya hidup hendaklah dipandu dengan garis panduan dimuktamadkan Allah dan Rasul-Nya yang sememangnya membantu kita menggapai kebahagiaan hakiki serta abadi.

Segala bentuk maksiat dan ingkar terhadap perintah Allah hendaklah dimohon keampunan dengan taubat dan sebarang bentuk penganiayaan terhadap orang lain, walau apa juga bentuknya perlulah disertai kemaafan serta mengembalikan hak yang diambil.

Jika ia fitnah, bayarlah dengan membersihkan nama baiknya dan jika harta yang diambil, lunaskan dengan mengembalikan miliknya atau minta dihalalkan. Apabila hati sudah memperoleh cahaya, segala dosa ingin dibersihkan dengan rela, inilah masanya kita perlu terus berusaha.

Penangguhan akan memungkinkan seribu tragedi yang boleh menggagalkan hasrat pengampunan kita daripada Yang Esa. Usahlah ditangguh peluang, kerana ajal bila-bila masa akan datang dan syukurlah jika sempat menyedari dosa dan kejahilan serta tekad tidak akan mengulanginya.

Firman Allah bermaksud: "Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, sedang taubatnya itu sudah terlambat. Dan demikian juga halnya orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah an-Nisaa', ayat 18)

Mengingati bahawa hidup ini hanya sementara, maka perlulah berhati-hati apabila berbuat dan berkata, bimbang jika ada hati terluka. Bukan mudah meminta ampun atas segala dosa kerana hati yang disakiti lukanya sukar sembuh, bahkan parutnya pasti akan mengingatkan segala.

Sungguhpun begitu, selagi ada usia, selagi itulah pintu taubat sentiasa terbuka. Jangan kita sombong dan malu memohon ampun dan maaf daripada sesiapa, bahkan Allah Maha Pengampun terhadap hambanya.

Firman Allah bermaksud: "Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri dengan melakukan maksiat kemudian ia memohon ampun kepada Allah nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani." (Surah an-Nisaa, ayat 110)

Paling penting, jangan berputus asa, jika kita benar-benar mengharapkan rahmat-Nya, lakukan seberapa terdaya, selagi tidak menutup mata, mohonlah keampunan-Nya kerana pintu taubat sentiasa terbuka.

Firman Allah bermaksud: "Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat daripada hamba-Nya yang bertaubat serta memaafkan kejahatan yang mereka lakukan dan Ia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan." (Surah Asy-Syuura, ayat 25)

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Kasih sayang kunci kesejahteraan keluarga, masyarakat

SIFAT kasih sayang kunci perpaduan manusia. Seorang pemimpin pengasih dan prihatin, menyebabkan rakyat dan pengikut hormat serta menyanjunginya. Seorang ayah penyayang dan prihatin, akan dicintai dan dihormati anak dan isterinya.

Demikianlah rahsia kekuatan kasih sayang dalam kehidupan manusia. Kasih sayang akan mendekatkan antara benua, negara dan mengikat persaudaraan manusiawi sekalipun berlainan bangsa, agama, budaya, warna kulit serta pangkat.

Kasih sayang juga kunci kesejahteraan keluarga dan masyarakat. Oleh itu, penting kita usahakan supaya disayangi dan sekali gus menyayangi orang lain.

Jika kita seorang anak, usahakan kita disayangi ibu bapa. Jika kita ibu bapa, usahakan anak menyayangi kita. Dengan demikian, akan wujud dalam rumah tangga, orang tua sayang pada anak dan anak sayang pada orang tua.

Bagi pasangan suami isteri, kita mesti berusaha supaya pasangan disayangi dan menyayangi kita. Demikian juga dengan kepemimpinan negara, pendidik, ketua jabatan atau pemimpin masyarakat, perlulah berusaha menyayangi dan disayangi orang di bawah jagaan kita demi menjadi pemacu kesejahteraan sejagat.

Ambillah iktibar bagaimana kasih sayang seekor kucing dan ular seperti diceritakan Imam Malik bin Dinar. Menurut beliau ketika hendak makan, tiba-tiba seekor kucing menyambar sepotong daging daripada pinggannya.

Lalu beliau mengekori ke mana ia dibawa. Rupa-rupanya kucing itu mencampakkan daging berkenaan ke dalam lubang berbatu yang dihuni seekor ular buta yang kelaparan. Renungilah, betapa pengasih dan penyayang haiwan itu walaupun berlainan jenis.

Allah sengaja mempamerkan naluri sayang binatang ini untuk menjadi pengajaran manusia. Walaupun ada antaranya bersifat ganas, tetapi kasih sayangnya sangat tinggi.

Isu perceraian yang tinggi di kalangan masyarakat Islam memang membimbangkan, kegagalan ibu bapa mengawal tingkah laku jelek anak, peningkatan gejala sosial, kurangnya semangat kejiranan, tidak mengambil berat masalah masyarakat, seakan petanda perasaan kasih sayang dalam masyarakat sudah hilang.

Sebagai Muslim dan Mukmin berpegang dengan al-Quran dan sunnah, marilah kita menghayati semangat kasih sayang dan muhibah dalam kehidupan seharian demi mencapai keredaan Allah dan kebahagiaan dunia serta akhirat.

Semangat ditunjukkan kepemimpinan melalui ikrar mereka ketika majlis angkat sumpah, adalah tanda kasih sayang pemimpin untuk berbakti kepada rakyat serta memastikan pengurusan negara yang berkesan.

Semoga sumpah mereka akan diterjemahkan melalui tindakan serta gerak kerja yang pastinya menjadi bukti kepada kasih sayang mereka dan usaha ke arah mencari keredaan Allah di dunia dan akhirat.

Firman Allah bermaksud: "Kamu tidak dikira salah oleh Allah mengenai sumpah kamu yang tidak disengajakan, akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat." (Surah al-Maidah, ayat 89)

Sikap berputus asa, kecewa hampiri kegagalan

Oleh Lokman Ismail

Umat berusaha dan sabar menghadapi musibah mampu bina kejayaan lebih cemerlang

HIDUP di dunia penuh cubaan dan tidak semua dirancang dan diingini akan diperoleh dengan mudah biarpun sudah dilakukan segala usaha termampu. Justeru, hanya mereka bersemangat kental dapat menghadapi cabaran hidup dengan jayanya.

Seperti kata pepatah, yang pipih tidak akan datang melayang dan yang bulat tidak akan datang bergolek. Ia mengajar kita supaya berusaha dan terus mencuba biarpun sering berdepan kegagalan. Hakikatnya, kegagalan lumrah kehidupan. Allah menguji setiap hamba-Nya dengan pelbagai cara. Ada banyak hikmah di sebalik sesuatu kegagalan dan ia ujian menentukan tahap kesabaran seseorang.

Sesiapa yang bersabar, dia bakal beroleh kejayaan berlipat ganda di sisi Allah. Hidup di dunia adalah medan ujian menentukan siapa paling layak mendapat pembalasan baik daripada Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Allah berfirman bermaksud: "Mereka itulah yang diberikan pahalanya dua kali ganda disebabkan mereka sabar." (Surah al-Qasas, ayat 54)

Firman Allah lagi: "Hanya orang yang sabar akan disempurnakan pahalanya tanpa kiraan." (Surah az-Zumar, ayat 10)

Oleh itu, orang beriman melihat kegagalan dan musibah dari sudut positif. Dia sentiasa bersangka baik terhadap Allah. Malah bersyukur dan menerima takdir itu dengan berlapang dada, dijadikan pengukuh kepada rasa takwa.

Kegagalan tidak bermakna dia akan gagal selama-lamanya. Justeru, umat Islam dilarang sama sekali berputus asa. Setiap Muslim mesti terus berusaha untuk mencapai apa yang diharapkan kerana tidak ada kejayaan tanpa berusaha.

Sikap berputus asa tidak akan mengubah ke arah lebih baik. Sebaliknya, ia akan memburukkan keadaan dan menjauhkan seseorang itu daripada kejayaan. Orang berputus asa sebenarnya menjauhkan diri daripada kejayaan yang separuhnya sudah dicapai di sebalik kegagalan ditempuh. Setiap usaha tentu ada kebaikannya, biarpun tidak mencapai kejayaan diharapkan. Tidak tepat jika dikatakan usaha dilakukan hanya sia-sia disebabkan tidak mencapai sasaran ditetapkan. Setiap kebaikan dilakukan tidak hanya untuk satu matlamat atau kebaikan. Kebaikan diraih dari pelbagai sudut bagi setiap perkara kebaikan dilakukan biarpun matlamat akhir belum tercapai.

Umpamanya, pelajar yang belajar dan kemudian menduduki peperiksaan, tetapi gagal mencapai gred diharapkan, sudah tentu lebih baik daripada mereka yang tidak belajar langsung. Dia mendapat banyak kebaikan daripada proses pembelajaran diikuti.

Sesungguhnya, setiap Muslim dilarang keras daripada bersikap berputus asa daripada rahmat Allah. Sikap berputus asa bererti menolak qada dan qadar yang wajib diimani dan diyakini, manakala sabar memudahkan seseorang berusaha mencari jalan menghadapi kegagalan.

Apa yang terjadi kepada manusia sudah ditetapkan Allah. Namun, ia tidak menghalang manusia daripada berusaha dan berdoa. Hanya Allah mengetahui di sebalik qada dan qadar. Tugas manusia ialah terus berusaha melakukan sesuatu untuk kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Mereka yang mudah berputus asa bermakna imannya cacat dan tidak sempurna. Mereka tidak tahan ujian dan dugaan Allah. Orang yang mudah berputus asa tidak akan mencapai kejayaan hidup. Kekecewaan menghampirkan diri kepada kegagalan mutlak.

Individu yang teguh imannya tidak berputus asa dengan rahmat Allah. Dia mengetahui dirinya sudah menuju kejayaan sama ada ditunjukkan di dunia ataupun di akhirat kelak.

Firman Allah bermaksud: "Wahai anakku, pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah, sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf, ayat 87)

Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak menzalimi hamba-Nya. Setiap apa yang Allah jadikan itu ada sebabnya. Ujian diberikan Allah adalah tanda Allah menginginkan kebaikan untuknya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesungguhnya besar ganjaran seseorang berdasarkan besarnya ujian. Sesungguhnya Allah apabila mengasihi sesuatu kaum, mereka akan diuji dengan ujian. Barang siapa yang reda, maka baginya keredaan Allah dan barang siapa yang tidak bersabar, Allah tidak akan bersabar terhadap mereka." (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Firman Allah bermaksud: "Demi sesungguhnya Kami akan menguji dengan sedikit perasaan takut, kelaparan dan berlaku kekurangan harta benda dan jiwa (kematian) serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar." (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Oleh itu, kegagalan sepatutnya akan menjadikan seseorang itu lebih tekun dan gigih berusaha sehingga mencapai kejayaan. Kebanyakan individu yang berjaya cemerlang dalam pelbagai bidang pernah beberapa kali gagal sebelum itu. Mereka bersyukur kerana berdepan dengan kesukaran dulu. Bagi yang berfikiran positif, musibah dan kegagalan adalah peluang. Ketika berdepan masalah, banyak orang menjadi 'cerdik' dan akal panjang untuk mengatasinya. Keadaan mencabar memberi satu momentum melonjak ke arah lebih baik.

Kegagalan bukan disebabkan peluang tiada. Allah membuka seluas-luasnya peluang untuk manusia berjaya mendapat apa dihajati. Namun, liku-liku perjalanan untuk mendapat apa dihajati berbeza antara satu sama lain.

Orang berjaya sentiasa melihat kegagalan sebagai peluang membolehkannya membina kejayaan. Dia terpaksa bersusah payah untuk menukar kegagalan sebagai kejayaan. Apa dicapai itu lebih manis dan bermakna, yang memberi pengajaran hidup cukup berharga.

Hak Muslim: Suami dakwa alami halusinasi lafazkan cerai talak tiga

SAYA dan suami bernikah pada 20 Ogos 1993 berwalikan bapa. Kami belum dikurniakan cahaya mata. Pada 11 Januari 2005, kira-kira jam 11.45 malam, suami melafazkan cerai dengan lafaz, 'Aku ceraikan kau dengan talak tiga'. Kejadian itu berlaku di rumah kami. Ketika kejadian, saya dalam keadaan haid. Suami mengakui ada melafazkan cerai, tetapi mendakwa mengalami halusinasi ketika kejadian. Adakah jatuh talak dan bolehkah kami rujuk semula. Apa yang perlu saya lakukan.

Jawapan :

Kitab I'anat At-Talibin, juzuk keempat, halaman dua ada menyebutkan: "Dan adapun rukun talak itu ada lima iaitu suami, lafaz yang digunakan, diqasadkan talak kepada siapa talak itu ditujukan ataupun isteri, dan talak itu dijatuhkan dengan kekuasaan suami."

Jika puan dan suami masih suami isteri yang sah ketika kejadian, maka rukun suami sudah dipenuhi. Berkaitan rukun sighah atau lafaz digunakan, Kitab Kifayah Al-Akhyar juzu' menyebutkan: "Talak ada dua macam, iaitu yang nyata dan yang sindiran." Kemudian disebut lagi: "Ada pun talak yang nyata itu ada tiga lafaz, talak, firaq (cerai) dan saraah (lepas), dan talak yang nyata (sareh) tidak lagi memerlukan niat."

Lafaz cerai dengan perkataan talak adalah seperti firman Allah bermaksud: "Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk) dan memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik." (Surah al-Baqarah, ayat 229)

Sementara lafaz cerai dengan perkataan saraah pula seperti firman Allah bermaksud: "Dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya." (Surah al-Ahzab)

Dalam mensabitkan sesuatu lafaz talak, ikrar suami adalah penting. Kitab I'anat At-Talibin ada menyebutkan: "Ikrar dari segi bahasa bererti mensabitkan, manakala menurut syarak diertikan sebagai memberitahu hak seseorang atas dirinya. Ikrar disebut juga sebagai iktiraf."

Kitab Mughni Al-Muhtaj menyebutkan: "Rukun ikrar itu ada empat iaitu muqirrun (orang yang berikrar); muqarrun lahu (orang yang memberi ikrar untuknya oleh orang yang berikrar; sighah (ucapan atau kata-kata ikrar) dan muqirrun bihi (hak atau kepentingan diiktiraf oleh pihak berikrar)."

Kitab I'anat At-Talibin menyebutkan: "Perkara talak itu disabitkan dengan persaksian dua lelaki yang adil lagi merdeka, seperti mana ia disabitkan dengan ikrar adanya talak." Ia juga selari kaedah qawaid fiqhiyyah yang berbunyi, "Seseorang itu dipegang berdasarkan pengakuannya."

Bagaimanapun, ikrar atau pengakuan suami perlulah dibuat di mahkamah. Seksyen 17 (2) Enakmen Keterangan Syariah Selangor 1996 menyatakan: "Sesuatu ikrar hendaklah dibuat dalam mahkamah, di hadapan hakim atau di luar mahkamah di hadapan dua saksi lelaki yang akil baligh dan adil."

Mengenai rukun qasad (niat), oleh kerana lafaz cerai menggunakan lafaz yang jelas, maka ia tidak lagi memerlukan niat. Bagi rukun kepada siapa lafaz cerai ditujukan pula, talak boleh jatuh jika dilafazkan terhadap isteri yang sah, walaupun ketika itu isteri dalam haid.

Rukun terakhir iaitu wilayah 'alaih (keupayaan suami melafazkan cerai), maka mahkamah akan menyiasat ketika suami melafazkan cerai, adakah dia seorang yang waras, berakal, biasa dan normal, baligh serta melafazkan cerai dengan kerelaannya sendiri tanpa dipaksa.

Isu halusinasi yang dinyatakan suami, perlu dibuktikan kepada mahkamah tahap seriusnya hasulinasi itu, atau cuma dalih dan helah suami semata-mata. Dalam sesetengah kes, suami sengaja mencipta dalih dan mencari alasan selepas sedar dia tersilap menceraikan isteri dengan talak tiga sekali gus.

Puan dan suami perlu bersegera membawa perkara ini ke Mahkamah Rendah Syariah untuk pengesahan. Isu talak terutama talak tiga bukanlah perkara main-main. Dikhuatiri puan dan suami akan hidup dalam perzinaan sepanjang hayat.

Talak tiga bukan talak rajie (yang boleh dirujuk). Ia talak bain kubra (yang tidak boleh dirujuk melainkan dengan akad nikah semula selepas isteri berkahwin dengan lelaki lain, disetubuhi dan diceraikan).

Jawapan disediakan Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang. Layari http://www.peguamsyarie.org

Wednesday, April 22, 2009

Peguam Syarie Menulis : Perintah kes nafkah, hadanah tak boleh digantung

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip
http://peguamsyarie.blogspot.com

Perayu mesti patuhi arahan pelaksanaan bagi memastikan hak anak belum mumayyiz terpelihara

MERUJUK peruntukan undang-undang syariah, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati terhadap suatu penghakiman mahkamah sama ada keseluruhan atau sebahagian penghakiman itu boleh merayu kepada mahkamah lebih tinggi dengan memasukkan notis rayuan dalam 14 hari dari tarikh penghakiman dikeluarkan.

Ini bermaksud, jika kes itu diputuskan di Mahkamah Rendah Syariah, pihak tidak berpuas hati boleh merayu kepada Mahkamah Tinggi Syariah dan jika tidak berpuas hati pada peringkat Mahkamah Tinggi Syariah, boleh membuat rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah di negeri di mana penghakiman dikeluarkan.

Seksyen 139 (3) dan (4) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan: "Seseorang perayu boleh merayu terhadap keseluruhan atau mana-mana bahagian daripada sesuatu keputusan."

Notis rayuan hendaklah difailkan dalam 14 hari dari tarikh keputusan diumumkan dan hendaklah menyatakan sama ada keseluruhan, sebahagian saja atau bahagian yang mana, keputusan itu hendak dirayu."

Namun begitu, jika pihak yang membuat rayuan berhasrat untuk menggantung pelaksanaan perintah itu, pihak yang merayu boleh membuat permohonan ke mahkamah yang mengeluarkan penghakiman untuk menggantung pelaksanaan penghakiman sementara menanti rayuan diputuskan.

Contohnya, jika bekas suami diperintahkan mahkamah membayar sejumlah wang sebagai bayaran mutaah kepada bekas isterinya dan lelaki itu tidak berpuas hati dengan kadar bayaran diputuskan mahkamah, dia boleh memohon kepada mahkamah untuk menggantung pelaksanaan pembayaran mutaah sehingga mahkamah lebih tinggi memutuskan rayuan berkaitan jumlah yang perlu dibayar.

Memfailkan notis rayuan tanpa membuat permohonan penggantungan pelaksanaan perintah di mahkamah yang mengeluarkan perintah mengikut prosedur ditetapkan tidak akan menggantung pelaksanaan perintah itu.

Dengan hanya memasukkan notis rayuan tanpa membuat permohonan penggantungan ke mahkamah dan diluluskan oleh mahkamah, penggantungan tidak akan berlaku secara automatik.

Hakim berkuasa untuk membenarkan pergantungan permohonan pihak yang merayu atas alasan mencukupi. Seksyen 144 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan: "Pemfailan suatu notis rayuan tidaklah berkuat kuasa sebagai penggantungan pelaksanaan, tetapi mahkamah boleh, atas permohonan dan apabila sebab mencukupi ditunjukkan, menggantung pelaksanaan atas apa-apa terma yang difikirkannya patut."

Namun, bukan semua kes akan dibenarkan penggantungan pelaksanaan oleh mahkamah sementara menanti rayuan diputuskan mahkamah lebih tinggi. Berdasarkan Arahan Amalan no. 1 tahun 2005 yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menyatakan: "telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan mengenai perayu membuat rayuan dengan alasan tidak berpuas hati keputusan mahkamah yang dirayu dalam kes mal, menurut hukum syarak adalah memadai untuk menggantung pelaksanaan perintah sementara menunggu keputusan rayuan dan rujukan hendaklah dibuat kepada mana-mana kes yang sudah diputuskan oleh mahkamah lebih tinggi kecuali dalam kes nafkah, upah menyusu, tempat tinggal, hadanah dan serah anak yang belum mumayyiz kepada ibu."

Arahan amalan jelas menyatakan tidak semua kes boleh dibenarkan untuk digantung pelaksanaan sementara menanti kes rayuan diputuskan. Mengikut hukum syarak, kes seperti nafkah, upah menyusu, tempat tinggal, hadanah dan serah anak yang belum mumayyiz kepada ibu tidak dibenarkan untuk digantung pelaksanaannya.

Jika penggantungan dibenarkan, sudah tentu akan memberi kesan kepada pihak suatu lagi dan kepada anak masih kecil, terutama soal berkaitan hadanah atau hak penjagaan anak yang belum mumayyiz.

Bagi kes membabitkan nafkah anak, jika penghakiman sudah dikeluarkan mahkamah memerintahkan bapa membayar sejumlah nafkah anak dan rayuan dibuat ke mahkamah oleh bapa kerana tidak berpuas hati dengan keputusan bersama permohonan penggantungan pelaksanaan perintah.

Jika permohonan penggantungan pelaksanaan bapa tadi sebagai perayu dibenarkan sudah tentu akan menafikan hak anak mendapatkan nafkah daripada bapanya sementara menunggu keputusan rayuan di mahkamah lebih tinggi.

Justeru, panduan yang sudah diberikan melalui Arahan Amalan berkaitan penggantungan pelaksanaan perintah sementara menanti rayuan diputuskan adalah wajar dipatuhi kerana ia selari hukum syarak. Prinsip keadilan dalam Islam akan lebih terpancar jika pihak terbabit mengetahui undang-undang serta mendalami hukum syarak.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

Iqra: Panduan halang, tangani isu murtad

Judul: Tips Mencapai Ketenangan Jiwa Mengatasi Gelisah
Penulis: Ilyas Mohammad Umar
Penerbit: Pustaka Azhar
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM8

MURTAD masih menjadi isu sensitif serta perlu diberi perhatian serius bagi memastikan akidah umat Islam terus terpelihara daripada anasir atau perangkap yang ingin membawa mereka ke jalan kesesatan.

Buku Murtad Jangan Pandang Sebelah Mata hasil tulisan saudara Islam yang nama Cinanya, Ann Wang Seng adalah luahan rasa umat Islam yang mahu masalah murtad ditangani segera secara sistematik dan berkesan.

Bagi menangani masalah yang semakin meruncing tetapi dipandang remeh terutama oleh umat Islam sendiri, penulis mengajak pembaca memahami terlebih dulu punca kenapa penganut Islam keluar daripada agama itu.

Murtad Di Mana Silapnya yang dibincangkan dalam bab ketiga bahagian pertama buku selepas penjelasan status semasa murtad dan kewibawaan Mahkamah Syariah dicabar, memperincikan faktor dalaman menyebabkan berlaku kejadian murtad.

Satu faktor ialah kelemahan umat Islam hari ini yang berdepan masalah serta krisis akidah cukup serius lantaran kurang pemahaman, penghayatan serta pengamalan terhadap ajaran Islam disebabkan agama dan moral sudah tidak menjadi teras dalam pendidikan.

Menyentuh masalah saudara baru yang memeluk Islam kemudian ingin kembali kepada agama asal, tindakan itu disebabkan rasa kecewa dengan keadaan masyarakat Islam yang indah khabar daripada rupa selain tiada bimbingan berterusan untuk memantapkan akidah mereka.

Walaupun kebanyakan sebab musabab diketengahkan adalah perkara yang sudah diketahui, sikap tidak memandang serius menyebabkan ramai umat Islam kini bukan saja tidak mengamalkan ajaran agama malah, ada yang bertindak mengisytiharkan diri keluar Islam.

Jika dulu perkataan murtad sesuatu yang menjadi kepantangan tetapi kini, bukan saja saudara baru tetapi orang Melayu yang dilahirkan Islam sudah berani mencabar Mahkamah Syariah untuk memberi kebenaran mereka keluar Islam.

Menariknya lagi Murtad Jangan Pandang Sebelah Mata turut menyediakan fakta kes berkaitan isu murtad yang pernah hangat diperkatakan bagi memberi gambaran sebenar kepada pembaca supaya dapat dijadikan iktibar serta mengambil sikap berwaspada.

Buku ini adalah antara bahan bacaan perlu untuk umat Islam mendapat pelbagai pandangan daripada perspektif berbeza bagi memahami persoalan dan permasalahan murtad yang jika tidak ditangani, akan membawa kerugian kepada umat Islam sendiri.