Thursday, October 16, 2008

Cinta palsu hancurkan nilai keinsanan

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
salidasuhaila99@yahoo.com

Hubungan luar biasa sesama manusia, Tuhan mesti ditunjangi perasaan ikhlas bukan nafsu

KEWUJUDAN manusia adalah keunikan alam anugerah Allah dan komunikasi antara mereka memperlengkapkan kelangsungan sebuah kehidupan, manakala hubungan manusia dan pencipta-Nya pula menempah kejayaan hakiki.

Manusia memiliki fitrah kejadian seni dan agung sebagai pembalut naluri yang berfungsi untuk membina kestabilan asas keinsanan seorang manusia. Cinta juga menepati satu angka daripada perangkaan fitrah manusia. Tanpa nilai cinta yang didefinisikan sebagai cetusan rasa daripada orbit naluri ke arah mengenali satu objek dengan penghayatan hakikat dan kewujudannya akan mengganggu fitrah manusia.

Kesenian cinta didasari runtunan fitrah tanpa dicabul oleh hawa syahwat adalah lambang kedamaian, keamanan dan ketenangan. Namun cinta sering kali diperalatkan untuk melangsaikan keghairahan nafsu dan hasutan iblis laknatullah.

Demi kemakmuran manusia sejagat, kita mesti menangani fenomena cinta dengan nilai fikrah suci dan iman yang komited kepada Allah. Cinta sebenar adalah perasaan luar biasa lahir dari satu hati dan jiwa kepada hati dan jiwa yang lain.

Justeru, tidak wujud cinta biasa, yang ada hanyalah cinta luar biasa kerana sesiapa memahami erti cinta, akan tahu hakikatnya yang luar biasa kerana kita akan mencintai orang lain lebih daripada seseorang itu mencintai dirinya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang ingin mendapatkan kemanisan iman maka hendaklah ia mengasihi seseorang kerana Allah."

Dan cinta, apabila luar biasa, tentulah tidak sama dengan cinta yang tidak didasari oleh kecintaan kepada Allah. Cinta luar biasa, semakin kita mencintai, makin kita cinta Allah.

Permasalahan cinta dihadapi secara serius oleh umat Islam hari ini ialah pertembungan antara cinta hakiki dan cinta palsu menyebabkan umat Islam menghadapi dilema perasaan yang kronik. Krisis cinta palsu memapah umat Islam ke medan pertembungan yang memusnahkan etika spiritual malah membunuh solidariti dan menodai sosial.

Individu Muslim sewajarnya peka terhadap kehadiran cinta yang menguasai jiwa. Cinta berteraskan nafsu dan syahwat adalah cinta palsu yang tidak akan ke mana-mana. Cinta kerana harta, adalah cintakan harta, cinta kerana pangkat adalah cintakan pangkat, cinta kerana keturunan adalah cintakan keturunan, bukannya cinta lahir dari hati yang ikhlas untuk bersama si dia sepanjang hayat.

Cinta harta sering membuat manusia menjadi lupa diri dan tanggungjawab. Harta jugalah sering menewaskan kekuatan pejuang. Justeru, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Demi Allah, bukan kefakiran yang aku takut menimpa kamu, tetapi aku takut kamu dibentangkan dengan kemewahan dunia seperti dibentangkan kepada umat pada zaman dulu, lalu kamu bergelumang dengan dunia dan merebutnya seperti mereka sebelum kamu lalu kamu binasa seperti mana mereka binasa."

Memiliki harta tidak dihalang syarak sebaliknya cinta harta itulah yang di pandang keji tetapi harta bermanfaat apabila ia menjadi alat bantu perjuangan menegakkan agama Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Berangkatlah sama ada ringan atau berat dan berjihadlah dengan harta dan jiwa kamu di jalan Allah, sedemikian itu terlebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui." (Surah At-Taubah, ayat 41)

Cinta pangkat dan kedudukan, jika turut melanda individu dalam gerakan Islam akan menyuburkan lagi persengketaan dingin yang melambatkan proses mencapai kemenangan. Kadangkala terfikir juga, untuk apa mengejar pangkat dan kedudukan sedang di akhirat kelak kita akan menjadi manusia hina dina?

Al Fudhail mengingatkan kita: "Kalaulah dunia ini terdiri daripada emas yang akan binasa dan akhirat dari tanah bakar (tembikar) yang kekal, sayugia kita memilih tanah bakar yang kekal berbanding emas yang binasa."

Kita harus tahu perasaan yang lahir dalam hati adakah ia mendorong kepada hidup bersama untuk mencapai reda-Nya atau sebaliknya? Jika kita kenal pasti cinta untuk mendapatkan kemanisan iman, maka teruskanlah dengan sebuah perkahwinan, jika sebaliknya, percayalah bahawa cinta itu buta dan akan menggelapkan sebuah kehidupan.

Jodoh hanya datang selepas kita berusaha ke arah itu kerana tidak ada kebenaran untuk mendapatkan mana-mana hak bersama sebagai suami atau isteri tanpa kebenaran sama ada tuan punya badan atau walinya. Jangan menyalahkan jodoh semata-mata kerana ia tidak datang bergolek.

Jodoh boleh diatur kerana ia hanyalah sebuah kejadian yang dirancang dengan izin-Nya, tetapi carilah cinta yang luar biasa.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Malaysia (Usim)

Wednesday, October 15, 2008

Penyakit uji keimanan, kesabaran manusia

Oleh Aminudin Mansor


PESAKIT yang dikunjungi pelawat akan berasa gembira dan tenang dan secara tak langsung meringan beban ditanggung. - Gambar hiasan


Umat Islam digalak ziarah, hulur bantuan ringankan beban orang sakit

SETIAP penyakit yang didatangkan Allah kepada kita umat Islam semuanya adalah ujian terhadap keimanan kita kepada-Nya. Ujian itu sama ada besar atau kecil bertujuan menghapuskan dosa jika kita bersabar.

Semua penyakit yang didatangkan Allah mempunyai ubat kecuali penyakit tua dan mati atau sampai ajal seseorang. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mereka bertanya: Ya Rasulullah, apakah kami berubat? Baginda menjawab; Ya Wahai hamba Allah, sesungguhnya Allah meletakkan penyakit dan diletakkan pula penyembuhannya, kecuali satu penyakit iaitu penyakit ketuaan." – (Riwayat Abu Sunnah)

Sementara itu, Allah juga memberi ganjaran kepada orang yang menziarahi orang sakit. Daripada Thauban, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang menziarahi orang sakit sentiasa berpeluang 'memungut' ganjaran dari syurga sehinggalah ia pulang." – (Hadis riwayat Muslim)

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa mengunjungi orang sakit atau menziarahi saudaranya yang seagama, maka memanggil akan dia oleh malaikat: Baik engkau dan baik perjalanan engkau dan sesungguhnya engkau telah menempatkan dalam syurga suatu tempat yang baik."

Dalam keadaan pesakit terlantar di katil hospital atau rumah, mereka akan rasa dihormati jika ada saudaranya, kaum kerabatnya dan kawan serta kenalannya datang menziarah. Kunjungan itu akan mengurangkan bebanan perasaan serta mengurangkan rasa sakitnya.

Tetapi seandainya tidak ada keluarga dan kawan menziarahi, dia akan berasa terasing, sedih dan pilu. Ini akan menambahkan lagi bebanan rasa sakitnya. Oleh itu, menziarahi orang sakit sangat digalakkan oleh Islam.

Cegahlah segala penyakit, sebab itu lebih utama daripada mengubatinya. Dalam kehidupan umat Islam, sesudah nikmat iman, tidak ada pemberian Allah yang lebih baik daripada nikmat kesihatan.

Oleh itu, jika menghidap penyakit segeralah diubati supaya tidak melarat dan mendatangkan lebih banyak mudarat.

Jangan sesekali meminta kepada orang biasa atau dukun pengamal mistik yang mengaku mempunyai ilmu ghaib. Barang siapa mendatangi mereka maka Allah tidak akan menerima sembahyangnya selama 40 hari.

Sementara itu, jangan berubat dengan benda haram, misalnya alkohol, binatang atau benda lain yang diharamkan Allah kerana Allah yang menciptakan penyakit tidak menjadikan yang haram sebagai penyembuh.

Uthman bin Abu al-Ass mengadu kepada Rasulullah SAW akan kesakitan dirasai pada jasadnya sejak ia memeluk Islam, lalu Rasulullah SAW bersabda kepadanya: "Letakkan tangan engkau pada bahagian jasad yang engkau merasai sakit dan katakanlah: Dengan nama Allah, sebanyak tiga kali, kemudian katakanlah sebanyak tujuh kali: Aku mohon berlindung dengan Allah dan kekuasaan-Nya daripada keburukan yang aku dapat dan aku berwaspada." – (Hadis riwayat Muslim)

Sementara itu, Rasulullah SAW juga mengajar doa menziarahi orang sakit. Daripada Ibnu Abbas, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang menziarahi pesakit yang belum tiba saat kematiannya, lalu ia berkata di sisinya, sebanyak tujuh kali: Aku bermohon kepada Allah Yang Maha Besar, Tuhan 'Arasy yang Agung, agar menyembuhkan engkau. Nescaya Allah akan menyelamatkannya daripada penyakit itu." – (Hadis riwayat Abu Daud)

Jelaslah sakit dan penyakit adalah ujian Tuhan kepada hambanya. Setiap orang akan merasa sakit sama ada sakit berat atau ringan. Setiap penyakit ada ubatnya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah tidak menurunkan suatu penyakit melainkan Allah menurunkan penyembuhan untuknya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Apabila anda sedang sakit, bersabar dan bertawakal sambil berikhtiar untuk berubat. Penyakit datang dengan tiba-tiba, sedangkan penyembuhannya memerlukan waktu yang lama. Harus diingat, doktor hanya mampu mengubati sedangkan yang menyembuhkan adalah Allah.

Bagi mengelakkan penyakit, selalu bersenam, jangan makan terlalu kenyang ini kerana terlalu banyak makan mengakibatkan timbulnya penyakit jantung, darah tinggi, hati dan paras kolesterol tinggi.

Umat Islam juga diingatkan mengelakkan penyakit yang mengaibkan dan berbahaya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan segala penyakit yang berbahaya."

Dan dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada mati sebab jatuh ke dalam telaga, mati akibat runtuhan, tenggelam, kebakaran dan aku berlindung daripada dibinasakan oleh syaitan ketika hendak mati, aku berlindung kepada-Mu, dan aku berlindung daripada mati kerana sengatan binatang yang bisa." – (Hadis riwayat al-Nasai dan al-Hakim)

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW sebagai seorang rasul memang dipelihara Allah daripada sebarang penyakit jelik. Bahkan Baginda mengingatkan kepada umatnya supaya berusaha mengelakkan dan menjauhi penyakit yang mengaibkan dan perkara buruk lain.

Sakit adalah takdir Allah yang menimpa kepada sesiapa dikehendakinya. Tidak ada orang yang meminta untuk mendapat penyakit. Tetapi apabila penyakit menimpa, maka hendaklah kita bersabar menerima takdir Allah dan berusaha supaya disembuhkan daripada penyakit itu.

Bersama YaPIM: Ar-Rahnu alternatif ummah elak riba dalam muamalah

Oleh Mohd Idham Mohamed Yunus

AMERIKA SYARIKAT dilanda krisis ekonomi sekali gus membuka tembelang dasar pasaran terbukanya. Buat pertama kali, Kongres Amerika meluluskan pelan penyelamat AS$700 bilion (RM2.5 trilion). Tindakan Kongres ini yang pada mulanya tidak meluluskan pelan penyelamat terbesar, sebenarnya bertentangan dengan falsafah liberalisme ekonomi mereka yang menjuarai dasar pasaran terbuka dan menolak campur tangan kerajaan.

Falsafah yang dibentuk daripada tokoh seperti Adam Smith dengan ideanya the invisible hand (tangan halimunan) kononnya mengangkat darjat pasaran terbuka yang boleh menentukan perjalanan ekonomi negara. Katanya, polisi dan ketetapan kerajaan hanya mengacau nafsu mereka untuk mengaut keuntungan maksimum. Inilah faham humanisme yang akhirnya meletakkan manusia sebagai penentu mutlak setiap keputusan.

Akhirnya, Amerika yang berkiblatkan dasar terbuka berasaskan akal kecundang dengan falsafah diperjuangkan mereka. Ketika krisis ekonomi 1997, apabila kebanyakan negara Asia termasuk Malaysia melaksanakan pelan penyelamat, dikecam habis-habisan oleh Amerika. Hari ini, ibarat 'paku dulang paku serpih'. Pada 5 September lalu, Kementerian Buruh Amerika melaporkan, pengangguran meningkat hampir 6.1 peratus lima tahun lalu. Peningkatan mendadak dan menakutkan sehingga lebih teruk daripada peristiwa 11 September. Bank besar di Amerika dijangka menyusul jatuh ibarat teori domino menyebabkan ramai yang mengeluarkan deposit mereka.

Sejauh mana kita sedar kesan dan tragedi kewangan Amerika? Adakah dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri, kita sekadar menutup mata dengan isu ini? Adakah kita menganggap kejadian di Amerika tidak menjejaskan kita? Jika kita bersikap begitu, ia satu kesilapan besar. Namun, masih tidak terlambat untuk kita faham dan bersedia dengan malapetaka ini.

Aidilfitri selain masa terbaik menyambung silaturahim, juga dilihat bulan meraikan fitrah baru. Kita mengharap ibadah Ramadan diterima Allah dan menjadikan kita seperti bayi baru lahir. Dalam konteks fizikal, kita boleh lahirkan sifat fitrah dengan tidak melakukan maksiat atau merokok. Selain roh dan jiwa, aspek pemikiran juga perlu difitrahkan. Sejauh mana umat Islam sedar musibah riba dan sistem ekonomi yang tidak berlandaskan syariah? Apa yang berlaku di Amerika adalah terjemahan musibah Allah terhadap riba yang sudah berakar dalam ekonomi mereka. Walaupun punca kejatuhan ekonomi di Amerika dipengaruhi banyak faktor lain, amalan riba adalah faktor dominan kerana sudah ratusan tahun menjadi fahaman falsafah kapitalisme mutlak terbit daripada akal mereka yang terhad.

Apa yang berlaku di Amerika menunjukkan bank melalui sistem simpanan berpecah, membenihkan duit melalui pinjaman yang diberikan kepada pelanggan. Duit bagi mereka adalah komoditi yang boleh dijadikan duit. Dalam Islam wang hanya alat membeli barang. Bank di Amerika juga memberi pinjaman semula kepada peminjam berpotensi tetapi mereka gagal membayar balik. Ini menunjukkan ketamakan bank hanya berniat mengejar keuntungan. Akibatnya, peminjam dan bank menanggung hutang bertimbun.

Riba adalah dosa berat dalam Islam. Imam Malik mengatakan al-Quran melihatkan riba dosa sangat berat kerana Allah dan Rasul mengisytiharkan perang terhadap mereka. Firman Allah, bermaksud, "Wahai orang beriman, bertakwa kamu kepada Allah dan tinggalkan saki baki riba jika kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya, " (Al-Baqarah : 278- 279).

Dalam hadis Nabi SAW, "Riba mempunyai 70 pintu, riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya." (Ibn Majah, 2/764 ; Al-Hakim, 2/37 Al-hakim: Sohih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim).

Ceti haram di Malaysia dikaitkan dengan keganasan dan pembunuhan. Kajian menunjukkan peristiwa ngeri itu berpunca daripada kegagalan membayar bunga yang terlalu tinggi.

Terbukti larangan riba oleh Allah dan Rasul adalah juga larangan kepada usaha mengaut untung bersandarkan kesengsaraan orang lain. Di negara ini, dasar kerajaan mewujudkan perbankan Islam yang menjadi pilihan kepada umat Islam dan bukan Islam. Institusi seperti YaPEIM merintis jalan menyediakan alternatif dalam penyaluran bantuan mikro kredit khususnya menerusi Skim Ar-Rahnu di rangkaian pajak gadai Islam milik YaPEIM di seluruh negara.

Umat Islam lebih maklum dengan hukum fiqh ibadat seperti dosa makan makanan haram dan minum arak. Konteks hukuman di luar fiqh ibadat juga perlu diamalkan termasuk muamalat yang terkandung di dalamnya dosa riba. Wujud kesedaran sistem kewangan Islam harus mendokong falsafah ekonomi Islam sebenar.

Apabila berlaku tragedi ekonomi di Amerika, apakah umat Islam sedia menawarkan sistem alternatif mapan atau menunggu orang lain menawarkan alternatif terbaik. Kita harus tidak memilih sesetengah hukum saja. Kadangkala kita sempurna menjaga solat dan puasa daripada terbatal namun kita cetek dalam memahami hukum agama dalam konteks aktiviti ekonomi kita.

Peguam Syarie Menulis: Isteri boleh tuntut fasakh jika suami abai nafkah

Islam sedia penyelesaian adil bagi jamin hak wanita dalam sesebuah perkahwinan

ANTARA tanggungjawab suami kepada isteri ialah menyediakan nafkah zahir dan batin. Nafkah adalah hak isteri yang wajib ditunaikan suami menurut kemampuannya. Ibnu Rusyd dalam kitabnya Bidayatul Mujtahid, (Juzuk 11, terjemahan, halaman 424) fuqaha' sependapat nafkah wajib ke atas suami merdeka dan nafkah kepada isteri perlu selaras dengan ketaatannya.

Nafkah batin diakui fitrah semula jadi manusia yang memerlukan kasih sayang dan belaian. Firman Allah an-Nisa ayat 19 bermaksud, "dan bergaullah dengan mereka (isteri kamu) menurut cara yang ma'ruf (secara layak)."

Firman ini jelas menunjukkan hak nafkah batin isteri amat penting dalam perkahwinan. Isteri yang tidak mendapat hubungan seksual atau perhatian dan kasih sayang mudah hilang arah sekali gus membuka ruang untuknya melakukan maksiat. Suami patut menjadi pelindung kepada isteri dalam memberikan jaminan daripada segala keburukan dan kemaksiatan.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 222, "Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangi mereka menurut jalan yang diperintahkan Allah kepada kamu...." Hadis Riwayat Muslim dalam kitab haji, bab haji Nabi 1218, daripada Jabir r.a. (hadis haji wada'), "Bertakwa kepada Allah dalam mengendalikan urusan perempuan (isteri). Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah. Hak kamu yang wajib ditunaikan isteri ialah tidak membenarkan sesiapa yang kamu benci memijak kakinya ke tempat tidurmu (memasuki rumahmu). Jika mereka melakukannya, pukul mereka dengan pukulan tidak terlalu menyakitkan (tidak mendera).

Kewajipan kamu pula ialah memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan baik. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu perkara yang kamu tidak sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang kepadanya iaitu kitab Allah.

Seterusnya Ibn Hazm dalam Kitabnya, al-Muhalla menyatakan wajib suami memberi nafkah batin (layanan) kepada isterinya sekurang-kurangnya satu kali suci daripada haid (sebulan sekali). Ayat al-Quran dan hadis serta pandangan ulama menunjukkan pentingnya tanggungjawab suami dari segi memberi nafkah zahir dan batin bagi menjaga kerukunan rumah tangga. Jika tidak perkahwinan akan hancur.

Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan suami atau isteri yang tidak menunaikan tanggungjawab nafkah batin kepada pasangannya boleh memohon cerai fasakh. Namun peruntukan ini mensyaratkan pengabaian itu adalah tanpa sebab yang munasabah mengikut hukum syarak lebih setahun.

Seksyen 53(1)(d) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor, 2003 memperuntukkan, "Seorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkahwin mengikut hukum syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu (d) suami atau isteri tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;"

Berdasarkan peruntukan itu, sesuatu perkahwinan boleh difasakhkan atas satu atau lebih alasan yang dinyatakan mengikut Seksyen 53. Jika memohon fasakh atas alasan dinyatakan di atas dan dibuktikan maka mahkamah ada bidang kuasa membubarkan pernikahan. Namun apa yang biasa timbul di Mahkamah Syariah hari ini terlalu jarang suami memohon fasakh atas alasan itu. Kebiasaannya wanita yang menggunakan peruntukan ini jika suami mengabaikan nafkah batin.

Tidak dinafikan, nafkah batin adalah soal peribadi dan rahsia mutlak wanita. Hanya isteri selain Allah mengetahui dia tidak bersama suami. Isteri harus bersumpah untuk membuktikan dakwaannya.

Fasakh atas alasan tidak menunaikan nafkah batin bersandarkan hukum syarak. Wahbah al-Zuhaily dalam kitabnya Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, juzuk. 7, halaman 535, menyatakan peruntukan fasakh atas alasan suami tidak menunaikan nafkah batin dibuat berdasarkan pandangan Mazhab Maliki. Menurut pendapat ini, tidak menunaikan nafkah batin diterima sebagai alasan memohon fasakh kerana dianggap penderaan terhadap isterinya. Penderaan merangkumi segala apa yang lahir daripada suami sama ada perbuatan, perkataan dan perbuatannya yang memudaratkan isteri dalam setiap keadaan walaupun suami tidak bermaksud menyakitinya.

Islam menegah perbuatan menzalimi kaum wanita. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 231 bermaksud, "Dan janganlah kalian pegang mereka (isteri )dengan maksud memberi mudarat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka."

Daripada zahir ayat Allah memberikan panduan yang wajib diikuti suami supaya dapat bergaul dengan isteri secara baik. Kesimpulannya, jika perkahwinan tidak lagi mendatangkan kebaikan, malah menimbulkan kemudaratan terutama berkaitan nafkah batin, ia wajar dibubarkan. Jika isteri reda ia tidak menjadi suatu masalah, jika sebaliknya wajar dielak supaya isteri tidak terdedah melakukan maksiat. Islam menyediakan penyelesaian ini bagi memastikan kemaslahatan umatnya terjaga dan terjamin. Undang-undang yang digubal turut mengambil kira faktor ini untuk menegakkan keadilan tanpa 'bias' kepada lelaki atau perempuan.

Iqra: Iblis tak pernah leka sesatkan manusia

JUDUL: Janji dan Sumpah Iblis
Penulis: Adil Akhyar
Penerbit: Pustaka Azhar
Pengulas: Jami'ah Shukri
Harga: RM10

BUKU ini menghuraikan mengenai tipu daya, janji dan sumpah iblis memerangkap dan membinasakan manusia yang lalai, hidup didasari nafsu dan tidak dibekalkan iman yang kukuh dari segenap segi. Sesungguhnya dengan keimanan yang teguh mampu menjadi benteng paling ampuh mematahkan serangan syaitan ini. Dengan runtuhnya keimanan itu pasti iblis dan syaitan itu akan terus menjadi teman karib manusia.

Yang nyata, kejahatan iblis ini tiada batasan dan tidak pernah berehat untuk mengajak manusia ke jalan kesesatan dengan terus berjuang tanpa henti sehingga pada saat malaikat mencabut nyawa seseorang. Malah, tipu dayanya lebih dahsyat supaya manusia mati dalam keadaan sesat dan tidak beriman.

Iblis mempunyai lima anak yang masing-masing menjalankan tugas tertentu.

Thabr bertugas ketika manusia ditimpa kecelakaan atau kematian dengan menyuruh merosakkan diri sendiri seperti mengoyakkan pakaian, menampar muka dan apa juga kebiasaan dilakukan pada zaman jahiliah.

A'war sebagai penghasut melakukan zina dengan menggambarkan manusia mengenai keseronokan dan keindahannya. Masut pula membisikkan manusia supaya berdusta dan berbohong. Dasim bertugas menghasut seseorang marah kepada keluarganya dan menuduh mereka mendedahkan keaibannya.

Zalanbur bertugas merayau-rayau di pasar serta menghasut penjual dan pembeli mengadu terhadap kecurangannya. Khazab mengganggu manusia ketika sedang bersembahyang manakala Walhan pula mengganggu manusia ketika berwuduk.

Sesungguhnya, wanita sering dijadikan sasaran dan dianggap makanan lazat kepada iblis untuk menghimpunkan lelaki ke medan 'kesesatan dan neraka'. Iblis menjanjikan janji indah penuh tipu daya memikat kaum lelaki supaya memfokus diri terhadap wanita yang penuh kenikmatan dan keseronokan.

Janji dan sumpah iblis untuk menyesatkan manusia dengan pelbagai cara iaitu sentiasa ingin menerbitkan perasaan marah, mencintai dunia, rakus dan tamakkan dunia, riak, syirik, ujub (kagum dan merasa hairan dengan keunggulan diri sendiri), buruk sangka, memandang rendah pada orang lain, suka kepada dosa, putus asa daripada rahmat Allah, kufur, sombong, mengumpat, lalai, dan membazir serta bermewah dalam hidup.

Semua sifat itu dijelaskan dengan terperinci dalam bab seterusnya menjadikan pembaca ingin terus membaca dan menghayati isi kandungan.

Namun, dalam usaha meningkatkan keimanan itu, keseluruhan umat juga perlu memperbanyakkan ibadat kepada Allah dengan kerap bertaubat dengan apa yang dilakukan, sentiasa memusuhi nafsu, rasa takut kepada Allah serta berzikir sebagai tanda keprihatinan kepada Allah serta mengingat-Nya. Dengan zikir ini ia juga mampu menjadi benteng kekebalan diri daripada gangguan iblis dan syaitan selain mendapat syafaat Rasulullah SAW.

Friday, October 10, 2008

Dakwah berhikmah bentuk kekuatan kerohanian

Oleh Dr Sapora Sipon


KESEDARAN mengenai keimanan dan ketakwaan kepada Allah perlu ditanam dalam diri setiap orang Islam sejak kecil. - Gambar hiasan


Rasulullah SAW buktikan kesabaran, seruan secara baik, berterusan mampu beri kejayaan

PEMBANGUNAN modal insan menjadi agenda utama dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK–9) kerana memberi fokus kepada usaha mempertingkat mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, kesihatan serta fizikal.

Mempertingkatkan mutu kehidupan dilaksanakan dengan mengamalkan sistem ekonomi, perdagangan dan kewangan yang dinamik. Ke arah itu, pembangunan sepadu dan seimbang perlu dalam usaha melahirkan umat berilmu dan beriman, bertamadun tinggi, berakhlak mulia, jujur lagi amanah serta bersedia menangani cabaran semasa dunia global.

Keperluan membangunkan modal insan melalui keseimbangan individu dinyatakan dengan jelas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap merasmikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke–48.

Beliau berkata, untuk membangunkan modal insan kita mahu memberi ilmu pengetahuan secukupnya, kita mahu mendidik mereka menjadi bangsa berpekerti mulia, mempunyai hemah yang tinggi, berjiwa besar, cintakan negara, mempunyai kekuatan jasmani dan kekuatan rohani. (Bernama, 31 Ogos 2005)

Dalam usaha melahirkan individu seimbang dari aspek rohani, jasmani dan intelektual bukanlah satu perkara mudah. Satu pendekatan bersifat menyeluruh dan sistematik perlu diambil. Dakwah dilihat sebagai seruan bersifat komprehensif dan terancang yang bukan saja menyeru manusia supaya melakukan kebaikan, mencegah kemungkaran dan mengajar ilmu agama berlandaskan wahyu tetapi ilmu yang memberi manfaat kepada kehidupan. Pendek kata, dakwah amat berkesan dalam membangunkan modal insan.

Keberkesanan dakwah dalam membentuk dan melahirkan individu mempunyai kekuatan jasmani dan rohani sudah dibuktikan Baginda Rasulullah SAW. Usaha Baginda yang tidak pernah kenal putus asa berjaya mengubah bangsa Arab Jahiliah yang rendah nilai moral dan akhlaknya menjadi satu bangsa bertamadun tinggi.

Dakwah Islam yang bertujuan membangunkan modal insan perlu disampaikan penuh hikmah, secara memberi peringatan, nasihat dan seruan. Ia perlu disampaikan dengan baik melalui dialog dan pertukaran fikiran.

Firman Allah yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Surah an-Nahl, ayat 125)

Berdakwah melalui kaedah berhikmah dapat dilihat melalui peristiwa Perjanjian Hudaibiyah. Perjanjian itu menjadi satu pengajaran besar yang wajib dijadikan petunjuk, betapa kejernihan hati nurani umat Islam di bawah pimpinan Rasulullah SAW yang berpegang kepada prinsip bahawa peperangan dan kekerasan bukan jalan pintas boleh membawa kejayaan.

Kalimah Allah yang terkandung dalam al-Quran disampaikan dengan penuh berhikmah, menyeru, menegur, memperingatkan dan menasihati manusia ke jalan kebaikan iaitu jalan menuju kedamaian dan jalan mendapat keredaan Allah.

Keperluan kepada usaha pembangunan insan lebih jelas terutama pada masa ini di mana berlaku pelbagai masalah kerohanian dan keruntuhan akhlak sehingga sampai satu tahap membimbangkan semua pihak.

Pelbagai jenis jenayah, masalah sosial dan bermacam perilaku negatif dihadapi masyarakat Malaysia sekarang. Keadaan itu tidak boleh dibiarkan terus berlaku kerana ia akan menghalang pencapaian negara maju seperti dihasratkan.

Usaha yang jelas dan menyeluruh dimulakan dari akar umbi perlu digerakkan oleh semua pihak dalam memastikan tahap pembangunan insan, rakyat dan negara berjalan seperti diinginkan.

Walaupun berdakwah dapat membantu dalam pembangunan modal insan cabaran dakwah yang semakin meruncing hari ini, memerlukan setiap umat Islam berperanan menjalankan dakwah dengan penuh komited dan tidak kenal letih atau jemu.

Ketrampilan intelektual pemimpin, ibu bapa dan masyarakat penting dalam menjana sumber insan yang cemerlang. Perkara ini dijelaskan melalui firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya yang takut kepada Allah di kalangan hamba-Nya ialah mereka yang beriman." (Surah Fatir, ayat 28)

Proses ini mengambil masa lama dan sentiasa berterusan kerana ilmu yang digarap tidak akan bertahan lama tanpa digilap dan dipancarkan.

Islam sebagai agama rasmi negara melalui Perlembagaan Persekutuan sepatutnya dijadikan umat Islam untuk melaksanakan dakwah Islamiah dengan bersungguh-sungguh. Kesedaran mengenai hakikat kehidupan dan rasa kecintaan, keimanan dan ketakwaan kepada Allah perlu ditanam dalam diri setiap orang Islam sejak kecil.

Ketakwaan yang lahir daripada keimanan kepada Allah penting bagi melahirkan individu berakhlak dan bermoral tinggi yang akan menjaga hubungan sesama manusia, menghormati perbezaan agama, bertolak ansur dan tidak bersifat mementingkan diri.

Dalam usaha berdakwah, badan dakwah perlu berperanan secara aktif seperti membuat penyelidikan bagaimana meningkatkan pembangunan insan berlandaskan teori dan praktikal bagi memastikan dakwah dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.

Kegiatan dakwah juga perlu dilakukan secara kontekstual iaitu bersesuaian dengan perkembangan semasa supaya orang yang didakwah dapat memahami apa yang ingin disampaikan kepada mereka.

Selain itu, mesej dakwah yang ingin disampaikan hendaklah jelas bagi mengelakkan kekeliruan ataupun salah faham yang akhirnya boleh mengakibatkan berlakunya penyelewengan akidah dan sebagainya.

Keberkesanan dakwah untuk melahirkan modal insan seimbang adalah satu tuntutan dalam Islam dan perlu dilakukan secara berterusan. Ia menjadi tuntutan umat Islam bertujuan melahirkan insan seimbang dalam semua aspek berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Allah.

Penulis ialah pensyarah kanan Program Kaunseling Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Gigih cari rezeki halal penuhi keperluan hidup juga amal salih

Oleh Wan Abd Rahim Wan Mohamad

LUMRAH kehidupan, ada yang diberi rezeki mencukupi bahkan setengahnya melebihi apa diperlukan. Di sebalik itu, ada juga golongan yang rezekinya amat terhad ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Sungguhpun begitu, nasib dan corak hidup serta jerat kemiskinan dapat diubah dengan kesungguhan berusaha mencari rezeki halal. Sebenarnya Islam meletakkan usaha ke arah memperoleh rezeki bagi memenuhi keperluan hidup sebagai amal salih.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada suatu makanan yang paling baik bagi setiap orang kecuali makanan yang diusahakan tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud adalah makan daripada hasil keringatnya sendiri.”

Umar al-Khattab pernah berkata: “Sesungguhnya saya pernah melihat pemuda yang saya kagumi, tetapi manakala saya tanyakan: Apakah usaha hidupnya? Lalu mereka menjawab: Tidak mempunyai pekerjaan. Jatuhlah harga diri anak muda itu pada mata saya.”

Sebagai seorang khalifah, suatu ketika Umar al-Khattab pernah mengusir orang yang duduk diam di dalam masjid. Dengan menggunakan tongkat di tangannya Umar berkata: “Jangan kamu duduk mencari rezekimu hanya dengan berdoa saja: “Ya Allah, berilah aku rezeki” kerana sesungguhnya langit tidak pernah menurunkan hujan emas dan perak.”

Orang yang berusaha serta bekerja adalah suatu kehormatan dan kemuliaan. Sebaliknya kehinaan bukan terletak pada pekerjaan yang dilakukan, sama ada sebagai kuli, buruh, pengangkat barang atau tukang sapu tetapi yang dikatakan hina di sisi Islam ialah sikap malas dan suka membuang masa.

Firman Allah yang bermaksud: “Orang yang lemah semangat dan pemalas itu adalah manusia yang berjiwa hamba. Padahal tiada suatu apa pun yang dapat dikerjakan oleh seorang hamba, selain untuk berbakti kepada tuannya, sedangkan untuk dirinya sendiri tiada ia mempunyai tujuan tertentu dan juga tiada mempunyai harga diri.” (Surah an-Nahl, ayat 75)

Jelas kerja adalah satu sifat dipandang mulia sementara menganggur dan pemalas dipandang hina. Sebagai umat Islam kita harus memegang tanggungjawab berusaha dan bekerja sambil mengharap pemberian Allah.

Lantaran itu di dunia Barat muncul manusia baru yang aktif, giat bekerja, berusaha untuk membangun manusia dan kemanusiaan dengan amal yang mereka lakukan.

Kemunculan Nabi Muhammad SAW yang diutus Allah mengubah jarum sejarah dengan ajaran yang menyatakan bahawa bekerja itu adalah mulia. Lebih bermakna lagi apabila kita bersyukur dengan nikmat diberi atau bersabar, selain tidak mudah berputus asa.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami yang menempatkan kamu di atas bumi ini dan kami jadikan untuk kamu di atas bumi ini penghidupan, malangnya hanya sedikit antara kamu yang bersyukur.”

Berkata juga hukama: “Jauh lebih mulia orang miskin yang sabar dan tekun berusaha serta menunaikan kewajipan kepada Allah, daripada orang yang berselimut kekayaan, tetapi lupa apa tujuan hidup ini.”

Hakikatnya, menjadi sunatullah dua kelompok besar kehidupan manusia di dunia ini iaitu antara kaya dan miskin mempunyai hikmah sosial amat tinggi nilainya bagi kemanusiaan. Usaha membasmi kemiskinan menggalakkan umat manusia tidak terlalu memilih pekerjaan, tetapi bersedia melakukan sebarang pekerjaan.

Namun, setiap hasil diperoleh harus dipergunakan pada jalan yang baik dan betul. Berkata hukama: “Harta dan kekayaan tidak menentukan keutuhan masyarakat, apabila orang yang memiliki harta sendiri tidak pergunakan hartanya kepada jalan yang baik, jalan yang diredai Allah.”

Ilmuwan juga berkata: “Alangkah baiknya menjadi orang kaya yang tidak berat kepalanya untuk tunduk kepada Allah dan tidak berat tangannya untuk menghulurkan bantuan kepada manusia lain yang memerlukan.”

Demi kemakmuran hidup dalam usaha mengurang kadar kemiskinan ada baiknya sebagai umat yang memegang tanggungjawab ini terus berusaha dan berkerja sambil mengharap pemberian Allah.

Etika, prinsip kepemimpinan tunjang politik Islam

Oleh Ibrahim Abdullah

Rasulullah serta sahabat buktikan urus kuasa ikut syariat cara terbaik tadbir negara

ETIKA politik Islam adalah sesuatu yang penting dalam membentuk pemerintahan dan negara kerana politik dipandang sebagai sebahagian daripada ibadah, maka perlu dilaksanakan berdasar prinsip ibadah.

Contohnya, dalam berpolitik mesti diniatkan kerana Allah dan oleh itu tidak boleh melanggar perintah dalam beribadah kerana pelanggaran terhadap prinsip ibadah boleh merosak kesucian politik.

Etika politik dipandang sangat perlu kerana berkait dengan prinsip Islam dalam mentadbir masyarakat dan negara. Politik sering menyangkut hubungan antara manusia, misalnya saling menghormati, menghargai hak orang lain dan tidak memaksa orang lain menerima pendapat sendiri.

Apabila hubungan masyarakat dan penyelenggaraan negara tidak sesuai dengan ajaran Islam, maka yang akan muncul adalah kekacauan, tidak aman, anarki dan perkara yang menjadi kecaman masyarakat.

Walaupun memilih pemimpin adalah hak setiap individu atau warga negara namun, Islam sebagai agama rahmat bagi seluruh alam sangat mementingkan suatu kepemimpinan yang berkesan dalam sebuah negara.

Bahkan selepas Nabi Muhammad SAW wafat, timbul persoalan politik berkaitan penggantian kepemimpinan. Mekanisme pemilihan pemimpin memang tidak ada pada zaman Rasulullah SAW. Nabi SAW tidak memberikan pedoman khusus atau model kepemimpinan bagi umat Islam.

Selama beberapa tahun sepeninggalan Rasulullah SAW, umat Islam mengalami beberapa model kepemimpinan, antara lain bercorak khalifah dan dinasti.

Sekarang kekuatan politik semakin berkembang dan muncul bentuk negara seperti republik, aristokrasi dan kerajaan. Kekuatan politik itu didorong semangat teologi Islam yang menyebutkan: "Wahai orang beriman, taatilah Allah dan taatilah rasul-Nya dan ulil amri (yang berkuasa) di antara kamu." (Surah an-Nisa', ayat 59)

Realiti politik dan ada semangat teologi Islam mendorong ahli falsafah serta etika politik Islam untuk membuat peraturan pemilihan seorang pemimpin pemerintahan yang membina negara ideal dalam beberapa karya.

Al-Farabi dalam al-Madinah al-Fadhilah, Ibnu Maskawih dalam Tahzib al-Akhlak dan al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyah. Keadaan ini bermakna pemikir Islam menyedari betapa Islam memperhati dalam menciptakan dan mengembangkan negara sempurna.

Untuk merealisasikan tuntutan itu, umat Islam dihadapkan dengan beberapa pilihan sistem politik antara lain demokrasi. Ia adalah antara mekanisme memilih pemimpin dan diandaikan sebagai mekanisme unggul dan telus untuk memajukan bangsa serta negara pada masa depan.

Di samping itu, wujud pula politik jahiliah yang tidak menghiraukan kebenaran. Kebodohan dalam berpolitik sering terjadi misalnya dengan sogokan dan rasuah politik yang melanggar sistem demokrasi.

Tokoh politik memecat pihak yang tidak sependapat dengannya, atau tidak bermusyawarah dengan baik antara mereka sedangkan Islam mengajar sebaliknya. Fenomena itu wujud kerana manusia memiliki nafsu mementingkan diri apatah lagi politik berhubung kait dengan kuasa.

Justeru, sesuai dengan prinsip Islam, sebaiknya umat Islam saling menasihati dan menyedarkan sesama sendiri supaya demokrasi dapat diamal serta diteruskan dengan baik dan lancar.

Pada masa awal Islam, kita melihat ada kelompok Muhajirin dan Ansar yang bertentangan dalam pemilihan pemimpin selepas Nabi SAW wafat. Kewujudan mereka wajar dilihat sebagai satu hikmah.

Dalam keadaan itu, yang penting ialah bersikap bijaksana, toleransi dan tidak memandang parti atau golongan sendiri sebagai paling baik, benar dan telus, demi menjamin keutuhan rakyat dan negara keseluruhannya.

Ajaran Islam secara tegas menyatakan kepemimpinan adalah kesinambungan yang tidak boleh diabaikan dalam pembangunan masyarakat, bangsa dan negara. Al-Quran banyak memberikan gambaran hubungan positif antara pemimpin yang baik dengan kesejahteraan masyarakat.

Keadaan ini dapat dilihat daripada Nabi Yusuf yang terkenal sebagai seorang dipercayai untuk memegang amanah mentadbir kewangan dan perekonomian negara.

Nabi Yusuf dengan bermodalkan kejujuran dan kecerdasannya berjaya menyelamatkan Mesir daripada krisis makanan dan ekonomi berpanjangan.

Demikian pula dengan kepemimpinan Rasulullah SAW yang mampu menciptakan revolusi peradaban, adalah kepemimpinan teladan yang tiada tolak bandingnya dalam sejarah tamadun umat manusia.

Begitu pula kepemimpinan sahabat Baginda dan khalifah selepasnya dengan baik dapat membawa perubahan masyarakat dan negara yang padu dan mantap.

Prinsip kepemimpinan Islam yang memberi tumpuan kepada pembinaan negara yang maju, aman serta berteraskan kepada kejujuran dan keikhlasan wajar diwarisi serta diterjemahkan dalam dunia politik hari ini supaya kepemimpinan berjalan mengikut syariat.

Thursday, October 9, 2008

Ilmu, ibadat mensejahterakan kehidupan

Oleh Nik Salida Suhaila

Untuk menjadi penghuni syurga perlu penuhi piawaian ditentukan Allah

TIADA siapa menginginkan kehidupan sengsara, derita dan penuh keperitan. Tetapi ada juga yang harus merasainya kerana itulah ditakdirkan Allah sebagai ujian. Kasih sayang Allah akan lebih terasa setelah Dia menghilangkan penderitaan jika kita berjaya melaluinya dengan tabah.

Bahkan, kita akan lebih menghargai kehidupan. Kehidupan sejahtera memang diimpikan semua, apatah lagi sejahtera di akhirat sana yang kekal abadi. Justeru, mencari kesejahteraan hidup di dunia semata-mata adalah merugikan.

Memang benar, akhirat belum tentu menjamin kesenangan semua orang kerana perhitungan Allah di Padang Mahsyar adalah pasti. Tetapi sebagai orang Islam, kita harus mengendalikan hidup di dunia dengan sebaiknya mengikut landasan syariat ditetapkan dengan harapan tugas di dunia membawa untung di akhirat.

Sejahtera merujuk kepada suatu keadaan yang baik, yang mana orangnya berada dalam kemakmuran, sihat dan aman damai. Kesejahteraan hidup adalah sesuatu yang penting dalam Islam sehinggakan ia menjadi ucapan kita kepada umat Islam lain hampir setiap masa dan ketika.

Lafaz salam iaitu 'Assalamualaikum' yang bermaksud salam sejahtera ke atas kamu wajib hukumnya dijawab dengan doa juga iaitu 'waalaikumsalam' yang bermaksud salam sejahtera juga ke atas kamu. Malah ada yang jauh berkirim salam melalui perantaraan tanda kasih yang kukuh termeterai antara umat Islam.

Setiap kali selepas solat pula kita berdoa, "Wahai Tuhanku, kurniakanlah aku kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat dan jauhkanlah aku daripada azab api neraka."

Dalam mencari kesejahteraan hidup, setiap manusia perlu mengetahui bahawa rasa selesa dan bahagia serta cukup dengan apa yang ada semata-mata bukanlah tanda hidup sejahtera. Sebaliknya, aspek dalaman dan luaran perlu dilengkapi sewajarnya.

Aspek dalaman dimaksudkan seperti kesihatan tubuh badan dan mental yang waras. Sementara aspek luaran pula ialah seperti ekonomi yang baik, kemampuan memenuhi keperluan masyarakat, bebas daripada ancaman bahaya jenayah, kebebasan asasi yang dipelihara, saling hormat, lengkap-melengkapi dan mengambil berat antara satu sama lain, alam sekitar yang kurang pencemaran serta kaya sumber asli.

Melihat kepada amalan ucapan dan doa untuk kehidupan sejahtera, kita melihat pentingnya kesejahteraan hidup. Sebagai umat Islam, kita bukan hanya hidup di dunia, tetapi juga di akhirat.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya dan ia Maha Kuasa untuk membalas amalan kamu dan Maha Pengampun kepada orang yang bertaubat." – (Surah al-Mulk, ayat 2)

Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin menceritakan kesejahteraan dalam syurga di akhirat kelak dengan berkata, ciri-ciri kebahagiaan di akhirat boleh dibahagikan kepada empat iaitu keadaannya kekal abadi selama-lamanya, kegembiraannya berkekalan dan tiada langsung kesedihan, sebab itu semua penghuni syurga adalah orang muda, tiada yang tua kerana kemudaan adalah kegembiraan serta tiada lagi kejahilan, kerana manusia sudah dengan pasti mengetahui yang haq setelah melalui kematian, hari kiamat dan hisab di Padang Mahsyar dan tiada lagi kemiskinan, kerana kekayaan yang diperkenankan Allah adalah petanda kehidupan yang sejahtera.

Allah berfirman yang bermaksud: "Tiap-tiap jiwa akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat akan disempurnakan pahalamu. Sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka dia beruntung. Kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan." – (Surah Ali-Imran, ayat 185)

Tetapi perlu diingat bahawa syurga itu milik Allah, jika berhasrat untuk menjadi penghuni syurga kita perlulah mengikut syarat dan piawaian yang ditentukan Allah, iaitu melakukan apa diperintahkan, menjadikan Islam sebagai aqidah dengan mengingati dan memahami Rukun Iman, menjadikan Islam sebagai syariat dengan mengingati dan menghayati Rukun Islam.

Selain itu hendaklah mengamalkan hukum yang ditentukan Allah kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk manusia. Islam hendaklah menjadi ibadat kerana ibadat bukti akidah kita kepada Allah serta menjadikan Islam sebagai akhlak dengan mencontohi Rasulullah SAW.

Sempena Syawal ini, molek benar andai kita bertekad untuk mencari kehidupan yang sejahtera di dunia dan akhirat. Mengharungi hidup di dunia yang penuh tipu daya sesungguhnya menjadikan kita sentiasa berhati-berhati kerana tidak rela menjadi si dungu yang tertipu dengan mudah.

Umat Islam perlu jadikan ilmu sebagai perisai menghadapi tentangan hawa nafsu yang datang bersilih ganti setiap masa sehingga kadangkala tidak memberi ruang untuk kita mengingati Dia. Paling penting, jadikan Islam sebagai akidah, syariat, ibadat dan akhlak, semoga kita sentiasa terpelihara di bawah lindungan-Nya. Sesungguhnya Islam adalah cara hidup.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Malaysia (Usim)

Budaya bertadarus wajar jadi amalan berterusan

RAMADAN memberikan umat Islam seribu satu pengajaran untuk direnungi bersama kerana hasil pentarbiahan Ramadan yang sempurna boleh menjadikan kita benar-benar beriman dan bertakwa kepada Allah.

Segala amalan dilakukan sepanjang bulan mulia itu sewajarnya diteruskan pada bulan lain dan tidak hanya terhenti setakat itu saja. Banyak amalan baik dilakukan sepanjang bulan puasa sepatutnya menghiasi keperibadian walaupun ganjaran tidak sehebat dikurniakan Allah semasa Ramadan.

Antaranya, amalan membaca al-Quran atau bertadarus yang menghiasi masjid sepanjang Ramadan sebaiknya diteruskan sebagai galakan kepada jemaah dan masyarakat untuk mendalami ilmu membaca al-Quran.

Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang, Saari Sungip, berkata sebagai kitab yang menjadi pedoman dan pembimbing umat Islam budaya membaca al-Quran secara beramai-ramai dapat mengeratkan ukhuwah.

"Alangkah baiknya umat Islam menjadikan al-Quran sebagai bacaan wajib harian seperti bahan bacaan lain seperti surat khabar, majalah, buku dan sebagainya. Bagi ibu bapa pula, Ramadan boleh menjadi permulaan kepada pembudayaan pembacaan al-Quran di kalangan ahli keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran Surau Nurussaadah AU3 di Taman Keramat Kuala Lumpur yang diadakan pada 26 Ramadan lalu.

Pada majlis itu, 12 qari dan dan 12 qariah termasuk empat kanak-kanak memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran dipimpin imam surau, Mat Zoki Ali. Peserta lelaki termasuk pengerusi surau, Mohd Azam Saleh, penasihat surau, Mej (B) Mahfudz Hayun, Prof Zailani Mohd Sidek dan Abdul Shukor.

Pengerusi Jawatankuasa Surau Nurussaadah, Mohd Azam Saleh, berkata program itu diadakan setiap tahun dan kali ini lebih meriah. Program itu juga sekali gus mewujudkan semangat ukhuwah di kalangan penduduk, selain minat mereka menyemarakkan Ramadan di surau.

Beliau gembira kerana sepanjang sebulan bertarawih, pihak surau turut mendapat khidmat dua imam di kalangan pelajar tahfiz.

Apa yang lebih menarik, selain bertarawih dan bertadarus, surau turut menganjurkan program solat hajat dan taubat menerusi program iktikaf yang dipimpin bilal surau, Nor Akbar Bakar.

Setiausaha surau, Mohamat Abu Bakar pula gembira kerana solat sunat tarawih dan tadarus kali ini mendapat sambutan daripada penduduk.

"Saya perhatikan jumlah jemaah semakin bertambah sejak dua pelajar tahfiz mengimamkan solat sunat itu. Ia petanda baik untuk menyemarakkan surau pada malam hari sepanjang Ramadan," katanya.

Katanya, solat berjemaah boleh dilakukan bersama ahli keluarga di rumah tetapi lebih baik jika dapat melaksanakannya di masjid atau surau. Di samping ganjaran pahala yang besar berbanding solat bersendirian, solat berjemaah juga dapat mengeratkan ukhuwah.