Friday, November 6, 2009

Lebih 50 peratus jemaah Malaysia ada di Tanah Suci

Lebih 50 peratus daripada 26,000 jemaah haji Malaysia kini sudah ada di Tanah Suci sementara menunggu tibanya musim haji hujung bulan ini dan mereka diingatkan supaya jangan terikut-ikut dengan cara bangsa lain ketika melakukan ibadah di Masjidil Haram.

Sebaliknya, jemaah haji Malaysia hendaklah melakukan ibadah dengan tenang dan khusyuk seperti diamalkan selalu di tanah air, kata seorang guru agama jemputan Tabung Haji, Sapawi Che Mat.

Beliau berkata antara kejanggalan yang dapat disaksikan ketika di Masjidil Haram ialah wanita dan lelaki yang bersembahyang dalam saf sama ketika solat berjemaah.

Katanya perkara ini mungkin terjadi ekoran kesesakan di dalam masjid setiap kali waktu solat dan bagi mengelakkan perkara itu, jemaah haji Malaysia yang hendak bersolat di Masjidil Haram bersama mahram dinasihati supaya datang lebih awal.

Sapawi berkata satu lagi kejanggalan yang dapat diperhatikan ketika berada di Masjidil Haram ialah perbuatan jemaah haji negara lain yang berebut-rebut serta bertolak-tolak ketika hendak mencium Hajar-ul-Aswad.

“Mencium Hajar-ul-Aswad itu hukumnya sunat… kalau tak dapat cium cukup sekadar melambai tangan dan mengucup tangan itu. Jangan terlalu ghairah hendak menciumnya sehingga menimbulkan rasa kesal tidak dapat berbuat demikian sehingga terbawa-bawa apabila pulang ke tanah air nanti.

“Di Masjidil Haram kita akan bertemu dengan umat Islam dari pelbagai negara, bangsa, keturunan serta budaya dan sungguhpun semuanya beragama Islam, dari segi mazhab dan fahaman mereka mungkin berbeza daripada kita,” kata Sapawi yang juga berperanan membimbing jemaah haji dalam melakukan ibadah haji.

Beliau berkata apa yang penting bagi jemaah haji Malaysia ialah mereka melakukan ibadah dengan ilmu dan bukan dengan emosi selain menasihati mereka supaya mengukur kemampuan diri jika hendak melakukan ibadah umrah beberapa kali.

“Kita tak boleh halang mereka melakukan umrah beberapa kali, namun kita selalu ingatkan jemaah haji mengenai tujuan utama mereka datang ke Tanah Suci iaitu hendak mengerjakan haji.

“Jangan kerana terlalu ghairah hendak melakukan umrah, jemaah haji terlantar sakit dan apabila tiba musim haji mereka tidak berupaya untuk melaksanakan ibadah haji dengan sempurna,” katanya. - Bernama

Warga emas cemas lewat tersenarai

Oleh Azrul Affandi Sobry

HATI mana yang tidak gundah serta resah jika permohonan untuk menunaikan haji belum mendapat sebarang jawapan sedangkan dua lagi anak yang turut sama memohon sudah mendapat lampu hijau untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu pada tahun ini.

Selepas sekian lama menanam impian mengerjakan ibadat itu, pastinya detik menunggu nama disenaraikan dalam kumpulan jemaah haji 2009 adalah satu penantian yang amat meresahkan, tambahan pula apabila mendengar berita kebanyakan jemaah lain sudah menerima tarikh penerbangan masing-masing.

Begitulah keadaan dihadapi seorang jemaah haji dari Kota Tinggi, Johor, Hamkiah Nawawi, 69, apabila namanya tidak disenaraikan pada mulanya ketika dua lagi anaknya, Saadiah Abdul Ghani, 47, dan Ahmad Shukri Abdul Ghani, 34, sudah mengetahui tarikh penerbangan mereka seminggu sebelum Aidilfitri, baru-baru ini.

“Saya dan dua anak mendaftar bersama pada Mac tahun lalu tetapi apabila disemak semula, hanya nama dua anak saya yang tersenarai sebagai jemaah tahun ini. Sejak itu, saya tak pernah tenteram kerana dalam hati ini begitu tak sabar nak mengerjakan ibadat haji.

“Lama juga menunggu dan boleh dikatakan setiap hari anak saya hubungi Tabung Haji untuk mendapatkan kepastian mengenai status saya tetapi sehingga dua minggu sebelum tarikh penerbangan, barulah nama saya disahkan ada dan tersenarai bersama mereka (dua anak).

“Tak dapat digambarkan betapa gembiranya saya ketika itu dan impian untuk menunaikan ibadat haji ini akhirnya tercapai. Dalam usia yang sudah semakin tua ini, saya anggap, inilah hadiah terbesar daripada anak kepada saya,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, semalam.

Dia turut bersyukur kerana 10 anaknya dan sembilan menantu sanggup berkongsi wang untuk menampung mengerjakan haji meskipun hakikatnya sudah lama dia berkeinginan menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Anaknya, Saadiah pula berkata, mereka adik beradik sepakat berkongsi duit untuk membawa ibu tersayang ke Tanah Suci kerana mahu memastikannya dapat mengerjakan haji ketika masih hidup kerana hajat itu tidak dapat dilakukan kepada ayah mereka yang sudah meninggal dunia lebih 20 tahun dulu.

“Kali ini, kami mahu jasa ibu yang membesar kami dibalas. Kami nak dia melihat Tanah Suci dan mencapai impian murni ini selagi dia masih hidup. Kerana itu, kami sepakat berkongsi bersama meskipun bukan semuanya hidup senang. Apa yang penting, ibu gembira,” katanya.

Soal Jawab Agama: Perbezaan furu’ bukan pemecah belah

Zamanuddin Jusoh

SAYA mempunyai keluarga yang berfahaman salafi dan ada yang berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berwirid selepas solat, membaca qunut pada solat Subuh, bertahlil untuk arwah, talkin selepas disemadikan jenazah dan lain-lain lagi. Masing-masing mengamalkan fahaman tersendiri tanpa berlaku sebarang pergaduhan.

Contohnya apabila berlaku kematian, selepas jenazah disemadikan, ada yang menunggu untuk bertalkin dan ada yang terus meninggalkan kawasan perkuburan tanpa membaca apa-apa. Semuanya berlaku dalam keadaan yang baik tanpa sebarang kekecohan. Apa pandangan ustaz dalam hal ini ?

Anak Muda,

Arau, Perlis



Itulah yang sepatutnya berlaku kerana perbezaan dalam perkara furu’ (cabang) ini tidak harus mencetuskan sebarang permusuhan antara kaum Muslimin. Masing-masing hendaklah menghormati pandangan saudaranya kerana mereka mempunyai hujah dan alasan tersendiri dalam mengamalkan perkara furu’ ini selagi ia tidak bercanggah dengan landasan Islam yang sebenar.

Antara perkara furu’ yang disebutkan ulama ialah membaca al-Quran dengan nyaring di dalam masjid; melepaskan tangan ketika solat dan membaca wirid beramai-ramai selepas solat; membaca al-Quran untuk si mati, berzikir ketika mengiringi jenazah; mengangkat kedua-dua tangan ketika berdoa selepas solat, penggunaan tasbih dalam berzikir, bertawasul, selawat ke atas Nabi SAW selepas solat fardu, zikir Asma’ul Husna selepas solat; mengucapkan kalimah `Saidina` kepada Nabi SAW ketika azan, iqamah dan ketika membaca tasyahhud (tahayat) dalam sembahyang, dan kenduri arwah untuk si mati danperayaan Maulidur Rasul.

Pernah Imam Syafie ketika solat Subuh berhampiran makam Imam Malik tidak membaca qunut sedangkan ia sunat dibaca mengikut mazhabnya. Apabila ditanya beliau menjawab,“Aku tidak membaca kerana menghormati pandangan Malik yang tidak mensunatkan bacaan qunut”.

Imam Syafie pernah menyebut, “Jika disebut mengenai ulama, maka Imam Malik bintangnya”. “ Akan aku jadikan kitab Muwatta karangan Imam Malik itu sebagai hujah antara aku dengan Allah SWT”. Walaupun demikian, dalam beberapa masalah hukum beliau tidak sependapat dengan Imam Malik.

Imam Abu Hanifah pernah berkata: “Pendapat aku benar, tapi mungkin juga salah dan pendapat kau salah tapi mungkin juga betul. Jika prinsip ini diguna pakai, maka tiada sebarang masalah dalam menangani isu ini. Di sinilah rasionalnya kata-kata yang berbunyi, ‘Khilaf’ atau perbezaan pendapat antara umat Islam itu boleh membawa rahmat`.

Sejak akhir-akhir ini kita dapati seakan-akan ada gerakan untuk memecahbelahkan perpaduan umat Islam sehingga membangkitkan semula isu yang sudah diselesaikan oleh ulama terdahulu. Malah ada yang menyesatkan orang lain bila mana amalan yang sekian lama sebati diamalkan sebahagian masyarakat Islam dikatakan bidaah dan sesat sehingga menyebabkan pelakunya akan dihumban ke dalam neraka.

Persoalannya, apakah benar kenyataan yang menyebut semua perkara baru tidak dilakukan Rasulullah SAW ketika hayatnya sebagai bidaah dan sesat ?

Seperti diketahui umum bahawa amalan yang diamalkan sekian lama di negara ini adalah warisan daripada ulama terdahulu. Kitab yang dikarang Tuan Guru Haji Hashim Muhamad Su’ady Maakhiz Al-Sibyan Ila Tariqah Al-Jinan yang disemak dan diiktiraf oleh Syeikh Abdullah Fahim dan kitab Majmu’ah Musamma Bit Tuhfah Al-Watan Wal Ikhwan karangan Tuan Guru Syeikh Ahmad Sa’ed Al-Linggi merumuskan bahawa semua amalan ini, dibolehkan.

Malah Mufti Mesir, Fadilatus Syeh ‘Ali Jum’ah di dalam kitabnya Al-Albayan Lima Yusghil Azhan juga bersetuju dengan amalan sedemikian dan menyatakan bahawa ia tidak membawa kepada kesesatan.

Penulis ialah Eksekutif Unit Agama NSTP, boleh dihubungi melalui e-mel: zaman@nstp.com.my

Thursday, November 5, 2009

Tauliah ditetapkan Jais tak harus jadi pertikaian

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

JABATAN Agama Islam Selangor (Jais) perlu memberi dalil mengapa penceramah mesti ada tauliah. Jika tauliah menjadi persoalan, kenapa Jais tidak panggil penceramah untuk sesi temu duga supaya boleh dianugerahkan tauliah.

Malah, jika orang yang pakar dalam agama dan berpengetahuan, mengapa perlukah ‘lesen’ tauliah itu?

Inilah antara persoalan sinis dilontarkan sebilangan masyarakat berikutan tindakan Jais menahan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin kerana berceramah tanpa tauliah, baru-baru ini sehingga mengundang reaksi yang pelbagai. Mohd Asri sendiri mempertikai tindakan Jais itu kerana menganggap dirinya bukan orang asing di negara ini dan pandangan beliau boleh dibaca dalam akhbar perdana selain mengajar di Universiti Sains Malaysia (USM).

Hakikatnya, soalan bernada sinis ditimbulkan pihak yang memang tidak tahu, tidak faham atau sengaja tidak mahu faham keperluan tauliah kepada penceramah yang ingin memberi ceramah dan mengajar agama Islam terutama di Selangor.

Selain itu, ada yang mempersoalkan sama ada perlu pentauliahan bagi membolehkan penceramah mengajar agama sedangkan ilmu yang disampaikan adalah untuk kebaikan ummah.

Namun, bagi Jais yang dipertanggungjawab melaksanakan undang-undang dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, tindakan dilakukan adalah mengikut bidang kuasa diberikan atas perkenan Sultan sebagai ketua agama negeri.

Penolong Pengarah Perhubungan Awam dan Penerbitan Jais, Mohd Hidayat Abd Rani, berkata pentauliahan penceramah agama bertujuan memastikan hanya yang layak saja boleh berceramah atau mengajar mengenai Islam di Selangor.

Katanya, peraturan menetapkan penceramah perlu mempunyai tauliah bagi mengelakkan penyebaran ajaran bercanggah syariat atau ajaran sesat disampaikan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Apabila penceramah ada tauliah, ini memberi keyakinan kepada masyarakat kerana yang menyampaikan ajaran itu adalah orang yang diiktiraf pihak berwajib. Wujudnya peraturan itu juga membolehkan penguat kuasa mengambil tindakan jika ada pihak melakukan kesalahan.

“Semua ini sudah ada dalam undang-undang pentadbiran agama di Selangor dan sudah dilaksanakan sejak dulu. Jadi, tidak sepatutnya timbul pertikaian kerana tujuan peraturan ini demi menjaga agama dan kepentingan umat Islam,” katanya kepada Berita Harian pada pertemuan di pejabatnya, semalam.

Justeru katanya, mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2003, pihak yang mengajar agama Islam atau perkara mengenai Islam tanpa tauliah boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, perkembangan semasa di mana maklumat disebarkan dengan mudah dan tidak terkawal menyebabkan perlunya ada mekanisme yang dapat membantu masyarakat umum merujuk kepada pihak yang benar-benar diiktiraf.

Pada masa sama, ia juga dapat membendung gejala negatif yang boleh mendatangkan keburukan seperti kebanjiran penceramah agama tidak memiliki kelayakan atau ilmu untuk menyampaikan ajaran Islam kepada orang lain.

Merujuk Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008, syarat seseorang yang ingin memohon tauliah ialah beragama Islam daripada kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah berusia 18 tahun ke atas, berakhlak dengan akhlak Islam dan tidak pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah.

Pemohon sekurang-kurangnya memiliki pengetahuan agama pada peringkat Empat Sanawi atau setaraf dengannya, lulus ujian bertulis atau temu duga oleh Jawatankuasa Tauliah dan mendapat kebenaran majikan.

Kategori tauliah terbahagi kepada empat iaitu tauliah ceramah umum dalam pelbagai aspek dan di mana-mana tempat; tauliah mengajar agama Islam secara berkala; tauliah mengajar al-Quran dan tauliah khas diberikan kepada penceramah jemputan.

Tempoh tauliah tidak melebihi lima tahun berkuat kuasa dari tarikh dikeluarkan dan permohonan memperbaharui tempoh tauliah perlu dibuat enam bulan sebelum tarikh tamat kerana permohonan selepas tarikh tamat dianggap sebagai permohonan baru.

Mohd Hidayat berkata, tauliah khas selalunya dimohon oleh jawatankuasa penganjur, pengurusan masjid atau penceramah sendiri yang ingin mendapat kebenaran untuk menyampaikan ceramah di Selangor.

Katanya, Pengarah Jais juga sudah mengeluarkan surat kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri dan Jabatan Mufti pada 2006 menyatakan keperluan mendapatkan tauliah atau kebenaran memberi ceramah atau mengajar agama daripada Jais.

“Oleh itu, semua pihak sudah maklum dengan peraturan ini dan tidak sepatutnya ada yang mempersoalkan jika Jais mengambil tindakan terhadap mereka yang memberi ceramah tanpa tauliah atau kebenaran. Dan janganlah kata esok nak buat program hari ini baru buat permohonan,” katanya.

Beliau berkata, seramai 1,007 penceramah berkelayakan sudah menerima tauliah dari 2006 hingga September 2009 dan masih ada yang sedang diproses permohonan mereka termasuk ingin memperbaharui tempoh tauliah.

Mohd Hidayat berkata, ada juga permohonan ditolak kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan dan tauliah yang digantung atau ditarik balik atas sebab melanggar syarat serta sekatan dinyatakan dalam tauliah.

Kesalahan lain menyebabkan tauliah ditarik ialah memberi ceramah umum atau mengajar agama Islam secara bertentangan dengan syariah, ceramah disampaikan mendatangkan perasaan benci atau menyebabkan perpecahan.

Selain itu, tindakan penggantungan dan menarik balik tauliah boleh dikenakan kepada pemegang tauliah yang memberi tafsiran tidak tepat, keliru atau menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar, gagal mematuhi arahan atau perintah Jawatankuasa Tauliah dan berkelakuan dengan cara mencemarkan Islam.

“Bagaimanapun, tindakan tidak diambil sewenang-wenangnya. Sebaliknya, kita akan memanggil pemegang tauliah untuk memberi peluang mereka mengemukakan alasan dan jika tindakan dikenakan, mereka ini tidak boleh memberi ceramah atau mengajar.

“Begitu juga dalam hal pengurusan masjid yang memanggil penceramah tidak bertauliah mengajar di tempat mereka. Kita akan panggil untuk mendapatkan keterangan sebelum sebarang tindakan diambil termasuk melucutkan jawatan nazir masjid jika perlu,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat umum boleh mendapatkan maklumat lengkap mengenai penceramah yang sudah menerima tauliah termasuk tarikh tamat tempoh tauliah melalui laman web Jais di alamat www.jais.gov.my.

Lambaian Kaabah: Penyakit bukan penghalang jalani ibadah

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

PANGGILAN Allah tiada siapa dapat menolak dan pasti ada kemudahan selepas segala kepayahan terutama apabila tarikh untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci semakin hampir sementara beberapa hal perlukan tindakan segera.

Pengalaman melakukan persediaan akhir ada ketika memberi cabaran terutama apabila terpaksa mendapatkan suntikan influenza A H1N1 dalam masa singkat kepada pasangan Karim Sulaiman dan Siti Hawa Mohd Arif dan anak kelima mereka, Khair Naqib.

Namun, itu tidak menghalang kolumnis Berita Harian itu memenuhi impian menjadi tetamu Allah pada musim haji 1430 hijrah ini. Apatah lagi dengan keadaan kesihatan yang membataskan pergerakan, hatinya tetap cekal untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

“Keadaan fizikal pada tahap ini bagi saya adalah saat terbaik untuk menunaikan fardu haji kerana saya tidak tahu apa akan terjadi nanti. Oleh itu, saya bersyukur apabila permohonan serta rayuan kami untuk ke Makkah mendapat pertimbangan pihak Tabung Haji,” katanya pada pertemuan di rumahnya kelmarin.

Beliau berkata, walaupun peluang untuk menjejakkan kaki di Tanah Suci sebelum ini masih samar-samar, beliau dan isteri serta anaknya Naqib, 13, yang akan membantu ketika berada di sana tetap mengikuti kursus haji sebagai persediaan sejak tahun lalu lagi.

Desas desus mengatakan kononnya mereka yang menghidap penyakit kemungkinan tidak dibenarkan menunaikan haji musim ini disebabkan langkah berjaga-jaga terhadap virus H1N1, juga tidak mematahkan semangat walaupun terdetik perasaan gusar di hati.

Justeru, apabila menerima panggilan telefon mengesahkan pemergian mereka pada Sabtu ini, beliau berasakan memang sudah rezeki menyahut seruan Allah dan menjadi antara jutaan tetamunya yang bakal membanjiri kota Makkah.

Menceritakan mengenai tahap kesihatannya, Karim berkata, pada mulanya agak sukar untuk meyakinkan doktor yang merawat beliau supaya memberi kebenaran memandangkan belum ada pengalaman penghidap penyakit scleromyxedema menunaikan haji.

Bagaimanapun, melalui maklumat kumpulan sokongan yang sentiasa berkongsi maklumat mengenai penyakit dihidapi itu serta keazaman ditunjukkan selain persediaan sudah dilakukan, akhirnya doktor bersedia membenarkan beliau pergi.

“Saya sudah merujuk kepada panel kesihatan Tabung Haji dan mereka memerlukan pengesahan doktor yang merawat kerana tidak pernah berdepan penyakit seperti ini. Alhamdulillah doktor menyediakan laporan lengkap mengenai langkah yang perlu diambil jika sesuatu berlaku.

“Dalam laporan itu doktor menjelaskan secara terperinci seperti saya tidak boleh dibius daripada mulut tetapi menerusi hidung dan prosedur itu memang susah. Lagi satu, keadaan tubuh saya menyebabkan susah nak cari salur darah,” jelasnya.

Karim dirujuk ke Jabatan Dermatologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 2007 dan selepas menjalani pelbagai ujian serta pemeriksaan, pakar mendiagnosa beliau menghidap scleromyxedema. Penyakit itu juga dikenali sebagai lichen myxedematosus atau papular mucinosis.

Pada asasnya di peringkat awal, penyakit itu menyebabkan kulit menjadi tebal dan mengeras yang disebabkan kecelaruan kronik tisu. Pada peringkat seterusnya menyebabkan pergerakan pada sendi menjadi semakin sukar.

Lengan, tangan, kaki, jari dan muka adalah bahagian utama yang menerima kesan daripada scleromyxedema, seterusnya menyebabkan perubahan kepada anggota terbabit. Tanda scleromyxedema mudah dikenali termasuk kulit tebal, ketat, menegang, merah dan berkilat.

Menyedari cabaran bakal dihadapi sebagai jemaah haji yang pergerakan agak terbatas berbanding jemaah lain disebabkan penyakit dihidapi, Karim dengan semangat kental tergambar di wajah berkata, beliau akan berusaha mencapai haji sempurna berbekalkan doa dan tawakal kepada Allah.

“Cabaran awal yang saya jangkakan ialah perubahan cuaca kerana saya tidak boleh tahan panas kerana kulit akan merah serta merekah. Begitu juga dengan cuaca sejuk tetapi dengan izin Allah saya dan keluarga sudah bersedia dan akan mengikut semua nasihat doktor.

“Saya berdoa yang terbaik untuk saya dan keluarga di Tanah Suci nanti. Berdasarkan pengalaman ini dapat saya katakan kepada yang lain, sementara tubuh badan masih sihat dan kemampuan sudah ada, tanamkan niat menyahut seruan Allah,” katanya yang dijangka kembali ke tanah air pada 27 Disember nanti.

Wednesday, November 4, 2009

Iqra: Mengenali pejuang, cendekiawan Islam berpengaruh

Tajuk: 50 Tokoh Islam Yang Mengubah Dunia
Pengarang: Ahmad Amri Zainal Adam dan Nurasyikin Ahmad
Penerbit: PTS Millennia Sdn Bhd
Pengulas: Muhd Yusuf Abu Bakar

BANYAK maklumat yang boleh diperoleh apabila membaca buku 50 Tokoh Islam Yang Mengubah Dunia hasil tulisan bersama Ahmad Amri Zainal Adnan dan Nurasyikin Ahmad terutama tokoh pejuang, ulama, intelektual Islam zaman silam di Afrika, Asia Barat dan Nusantara yang membawa perubahan kepada masyarakat khususnya Islam.

Usaha penulis membahagikan empat bahagian mengikut kategori masing-masing memudahkan pembaca untuk menilai mereka mengikut keintelektualan, ulama, pejuang agama dan politik yang memberi pengaruh besar masyarakat Islam dan bukan Islam.

Penulis memilih Muhamad Iqbal, penyair dan pemikir agung yang mengubah pandangan masyarakat Islam di Asia Selatan, khususnya kepada pembentukan negara Pakistan selepas Perang Dunia Kedua. Kita melihat kebanyakan pemikiran baru Islam muncul selepas negara yang terjajah di Afrika, Asia Barat dan Nusantara, berusaha untuk memerdekakan diri selepas tahun 1940-an.

Nama Hassan Al Banna, Sayyid Qutb, penggerak Ihkwan Muslimin di Mesir yang pengaruhnya bukan saja di negara Afrika Utara itu, malah turut menjengah di negara termasuk Malaysia.

Buku ini turut memilih ulama seperti Said Hawa, Hamka, Yusuf al- Qardhawi, Nik Aziz Nik Mat dan Haron Din untuk dijadikan antara 50 tokoh berpengaruh dalam dunia Islam. Pemilihan tokoh lama dan semasa seperti Umar al Mukhtar, Ayatollah Khomeini, Ahmadinejad, Anwar Ibrahim dan Amien Rais membolehkan pembaca menilai perjuangan mereka kepada masyarakat Islam tempatan dan dunia.

Kehadiran mereka ini, menurut penulis berjaya mengubah dunia, mengembalikan sinar harapan umat bagi menyaksikan umat Islam kembali dihormati, dimartabatkan sebagai khaira ummah yang diidamkan.

Namun kita agak ragu mengenai pemilihan tokoh berdasarkan tajuknya kerana ada tokoh yang tidak terpilih untuk disenaraikan sebagai tokoh Islam yang mengubah dunia.

Mungkin penulis mempunyai pertimbangan lain yang tidak diketahui untuk tidak menyenaraikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat turut berpengaruh dan memberi pengaruh besar kepada dunia Islam. Mungkin segelintir kita boleh menafikan sumbangan beliau tetapi kalau kita ke luar negara terutama negara Islam sama ada di Afrika, Asia Barat, Asia termasuk Nusantara, nama Dr Mahathir akan disebut sebagai penyumbang besar kepada dunia Islam, yang menyebabkan kita berbangga.

Umar tak laksana hukum ketika marah

KHALIFAH Umar Abdul Aziz berkata kepada orang yang memarahnya. "Andaikan engkau tidak membuatkan aku marah, nescaya aku beri hukuman". Umar tiba-tiba teringat ayat Allah. "Dan mereka yang dapat menahan marah", kerana itu ketika ia mendapat kesempatan untuk menahan maka langsung dipergunakan.

Umar dalam peristiwa lain melihat seorang mabuk, maka ketika ditangkap untuk dihukum, tiba-tiba Umar dimaki oleh lelaki mabuk itu, maka Umar kembali tidak jadi menghukum. Ketika ditanya," Ya Amirul mukminin, mengapa setelah ia memakimu tiba-tiba engkau tinggalkan? Jawabnya, "Kerana ia menjengkelkan aku, maka andaikan aku hukum (pukul) mungkin kerana kemarahanku kepadanya. Saya tidak suka memukul seorang hanya membela diriku."

Bersama YaPEIM: Gagal syukuri nikmat Allah petanda sifat angkuh

Oleh Penulis Yapeim

BAYANGKAN, sedang kita enak bersandar di kerusi empuk dan menghela nafas panjang sambil menghirup kopi panas segar, masih ramai lagi umat di luar sana diuji dengan pelbagai dugaan berat, tidur di khemah, makan seadanya, berhujan, berpanas terik tanpa bekalan air bersih dan elektrik sama ada akibat musibah bencana alam mahupun keganasan manusia seperti di Palestin dan Iraq.

Namun, dalam keadaan seperti itu, berapa ramaikah daripada kita yang mahu merenung dan mensyukuri nikmat Allah sehingga berterus-terusan membuat kerosakan dan kehancuran di muka bumi ini.

Keselamatan, keamanan dan kebaikan yang diperoleh ini adalah tanda kekuasaan dan kebesaran Allah yang wajib kita syukuri. Bersyukur adalah pengakuan atas nikmat kurnia Allah dengan penuh tawaduk diiringi keyakinan bahawa syukur itu sendiri adalah nikmat Allah yang berhak disyukuri.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya, jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu." � (Surah Ibrahim, ayat 14)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Hendaklah kamu menjadikan hati sentiasa bersyukur, lisan selalu berzikir." � (Hadis riwayat Ahmad, Thabrani dan Ibnu Majah)

Apabila kita mampu menghayati konsep kesyukuran kepada Allah dengan sebenar-benarnya, maka barulah timbul rasa keinsafan, toleransi dan keprihatinan kepada nasib dan masa depan kita sebagai individu Muslim, keluarga dan umat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perumpamaan orang yang beriman di dalam kasih sayang dan prihatin antara mereka adalah seperti satu jasad yang jika sebahagian daripada anggota itu mengadu sakit, ia membawa seluruh jasad itu berjaga malam dan deman." � (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Bertanyalah kepada diri sendiri, apakah hati nurani kita tidak tercuit tatkala membaca berita umat yang ditimpa musibah atau dibunuh dengan ganas di Palestin dan di Iraq atau saudara kita ditimpa penyakit berat, miskin hingga hidup melarat tanpa makan minum dan tempat berteduh.

Perihal keprihatinan dan sikap mengambil berat nasib dan masa depan umat ini sudah tertanam dalam peribadi Rasulullah SAW sendiri yang tatkala berbaring sebelum melelapkan matanya menangis hingga telapak tangannya dipenuhi air mata.

Detik-detik terakhir sebelum menghembuskan nafasnya, Baginda SAW mengungkapkan kalimah "ummati, ummati, ummati" (umatku, umatku, umatku), begitulah keprihatinan Baginda SAW.

Allah berfirman yang bermaksud: "Orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), "Ya Rabb kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka." � (Surah Ali Imran, ayat 3)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Maka yang mana antara nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?" � (Surah Ar-Rahman, ayat 69)

Konsep kesyukuran ini juga merealisasikan sikap tunduk dan patuh hamba kepada sang penciptanya, sekali gus menjadikan kita insan kerdil yang sekuat mana sekalipun tenaga dan upayanya atau sekaya manapun hartanya, akhirnya akan kembali kepada Yang Maha Sempurna.

Kebimbangannya ialah apabila kita gagal menyatakan dan menunjukkan kesyukuran kepada Allah, kita akan tenggelam dalam kenikmatan dan keseronokan hidup sehingga akhirnya hanyut dan tidak lagi berupaya berpesan-pesan kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Rasulullah SAW memberi amaran bahaya fenomena ini dalam hadis yang diriwayatkan oleh Tirmidzi: "Demi jiwaku yang berada di dalam tangan-Nya, benar-benar kalian menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, atau Allah benar-benar akan mengirimkan bencana, lalu kalian berdoa dan tidak dikabulkan."

Pada ketika itu, janganlah kita menyalahkan alam jika kita ditimpa musibah bencana atau tragedi, janganlah menyalahkan orang lain jika terasa dianiayai, janganlah dituding jari kepada sesiapa melainkan melihat ke dalam diri sendiri.

Gagal mensyukuri nikmat Allah adalah petanda sifat angkuh dan sombong, sesungguhnya sifat angkuh dan sombong adalah milik Firaun, Haman, Qarun, Abu Jahal dan Abu Lahab!

Peguam Syarie Menulis: Penguat kuasa agama profesional kurang

Oleh Musa Awang


KES syarie memerlukan bukti kukuh sebelum dibawa ke Mahkamah Syariah. - Foto Azuddin Saad


Syor tambah anggota, perkenal skim latihan tingkat kemahiran kendali kes jenayah syariah

PEGAWAI Penguatkuasa Agama (PPA) dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri (Main) daripada kalangan anggota perkhidmatan awam negeri atau perkhidmatan bersama, diberi kuasa menjalankan penyiasatan, menangkap dan menahan orang melakukan kesalahan di bawah undang-undang Islam, sebelum didakwa dan dibicarakan di Mahkamah Syariah.

PPA adalah sayap kanan kepada Pendakwa Syarie (pendakwaan), bagi memastikan peruntukan dalam undang-undang syariah dilaksanakan. Mutakhir ini, tugas PPA bukan semata-mata menangani kes jenayah syariah.

Malah, tugas mereka mencakupi pelbagai bidang termasuk membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memeriksa makanan halal, membantu Kementerian Dalam Negeri (KDN) menguatkuasa Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986 dan terbitan berunsur Islam lain.

PPA juga berperanan memastikan undang-undang syariah, kaedah serta fatwa mufti dipatuhi dan dilaksanakan. PPA turut berfungsi menguatkuasakan undang-undang keluarga Islam, bagi kesalahan perkahwinan yang boleh menggugat ikatan kekeluargaan Islam.

PPA juga tertakluk kepada arahan tetap Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri dan arahan tetap Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama yang mengandungi manual atau tatacara menerima maklumat, menjalankan siasatan, menyediakan kertas siasatan, menyediakan laporan ringkas kes serta mengendalikan barang yang disita.

Adalah menjadi tanggungjawab PPA menghantar pesalah ke penjara atau pusat tahanan selepas dijatuhkan hukuman, seperti tugas polis di Mahkamah Sivil.

Pada 2007, sebuah akhbar tempatan mendedahkan di Johor hanya mempunyai seramai 76 PPA berbanding jumlah penduduk Islam Johor iaitu seramai lebih 2.1 juta orang. Daripada jumlah itu, hanya 18 pegawai berjawatan tetap, manakala 58 lagi adalah kontrak.

Menurut sumber, di Selangor kini hanya ada 68 PPA termasuk lelaki dan perempuan berbanding lebih 2.5 juta penduduk Islam. Jumlah penduduk itu tidak termasuk warga asing seperti Indonesia, Bangladesh, Singapura, Nepal, Pakistan, Sri Lanka, Myanmar, Filipina dan Thailand yang ada di negeri itu.

Pada Disember 2008, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (ketika itu), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan hanya ada 1,242 PPA di seluruh negara, dengan nisbahnya seorang penguat kuasa bagi 23,000 orang, dan keadaan itu amat membebankan PPA melaksanakan tugas.

Kekurangan PPA wanita juga menimbulkan masalah terutama membabitkan tangkapan pesalah wanita. Masalah logistik seperti kurang peralatan komunikasi, kekurangan pemandu, kenderaan operasi, peruntukan elaun lebih masa, elaun perjalanan terbatas dihadapi PPA, menjejaskan tugas pencegahan maksiat.

Dalam menjalankan tugas, PPA perlu mahir melaksanakan beberapa prosedur seperti siasatan dan menyediakan laporan lengkap sebelum dikemukakan kepada bahagian pendakwaan. Skim perjawatan PPA adalah skim hal ehwal Islam atau dilantik secara kontrak.

Sebelum pegawai ini mendapat latihan dan pengetahuan secukupnya, mereka sudah diarahkan ke bahagian atau jawatan lain atau ditamatkan kontrak. Akibatnya, usaha melahirkan PPA berpengetahuan dan berpengalaman terbantut.

PPA tidak dilatih melakukan kerja penyamaran seperti pegawai penyiasat polis dan ini mendedahkan mereka kepada risiko termasuk kes pendakwaan yang lemah. PPA juga tidak mempunyai kuasa menahan reman pesalah menyebabkan mereka sukar mendapatkan maklumat. Selepas mengambil kenyataan, pesalah terpaksa dibebaskan sehingga dituduh di mahkamah.

Di sesetengah negeri, Bilik Gerakan 24 jam (hotline) tidak dapat beroperasi seperti sepatutnya disebabkan kekurangan kakitangan. Malah, PPA tidak dibekalkan sistem komunikasi dan ciri keselamatan yang cukup ketika menjalankan operasi.

Sehubungan itu, usaha meningkatkan profesionalisme PPA di setiap Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) perlu disegerakan dengan menambah bilangan PPA di samping melatih kakitangan sedia ada.

Satu skim tertutup perlu diperkenalkan untuk PPA sama seperti polis atau agensi penguatkuasaan lain, supaya PPA ditukarkan hanya ke bahagian dalam lingkungan tugas mereka. Ini boleh mengasah kemahiran serta kepakaran mereka mengendalikan kes jenayah syariah.

Enakmen Tatacara Jenayah Syariah mungkin perlu dikaji dan dipinda dengan memasukkan peruntukan yang memberi kuasa kepada PPA menahan reman pesalah, dengan perintah daripada Hakim Syarie.

Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang mempunyai Bilik Gerakan 24 jam dikendalikan petugas khas bagi mengendalikan sistem maklumat sehenti boleh dijadikan model ke arah mempertingkatkan kecekapan dan keupayaan operasi PPA negeri.

PPA juga dibekalkan alat perhubungan walkie talkie antara bilik gerakan dan kumpulan operasi. Oleh kerana kekurangan anggota, maka mereka bekerja secara waktu anjal.

Penampilan PPA juga dipertingkatkan supaya sentiasa dirasai berada di tengah masyarakat, dengan mewajibkan pakaian seragam, memasang lambang, lampu amaran dan sistem peti suara di kesemua kenderaan operasi.

Tidak dinafikan kewangan menjadi halangan besar kerana penambahan perjawatan dan infrastruktur memerlukan peruntukan kos besar. Namun, kita perlu sedar masyarakat melihat dan menilai agensi agama dari semasa ke semasa.

Paradigma baru bahagian penguatkuasaan atau PPA ini adalah arca kepada usaha pencegahan jenayah. Karisma yang terbit dari bahagian penguatkuasaan ini mencerminkan kepada masyarakat bahawa seriusnya kita mahu membendung dan mencegah jenayah syariah.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sila layari http://www. peguamsyarie.org

Tuesday, November 3, 2009

Tajdid Iman: Hasad dengki tak lemahkan peranan ulama

Oleh Dr Juanda Jaya


AL-QURAN dan sunnah tetap menjadi panduan umat Islam walaupun berlainan mazhab. - Gambar hiasan


Umat perlu mantapkan akidah, bukan bersengketa soal fiqh atau ekstrem mazhab

"SEMUA permusuhan boleh diharapkan perdamaian kecuali permusuhan akibat hasad dan dengki." (Diwan Al-Imam Al-Syafie: 49)

Ungkapan, al-Imam al-Syafie jelas menggambarkan sifat semua manusia. Ia akan menjadi amat hodoh apabila menimpa mereka yang mendakwa diri alim dalam beragama. Ungkapan ini muncul daripada pengalaman Imam al-Syafie yang pernah menjadi mangsa permainan kejahilan pentadbir dan politikus yang jahat dan suka menyalahgunakan kuasa.

Akibatnya beliau disisih, dihalang daripada mengajar dan berceramah, hatta dalam rumahnya sendiri. Lebih sedih untuk tujuan mengaibkan kemuliaan imam yang digelar nasirus sunnah (pembela sunnah Nabi SAW) ini, beliau digari, dirantai dan diseret dari Yaman menuju ke Baghdad akibat dituduh perkara yang tidak pernah dilakukannya.

Semuanya hasil kelemahan dan kebodohan pemerintah yang hanya mendengar nasihat orang bodoh dan jahil tetapi berlagak serta berlakon umpama orang alim dalam disiplin agama. Tidak kira Muslim yang jahil atau alim, dari kalangan orang biasa atau ulama, sesungguhnya sifat hasad merosakkan akal dan jiwa, agama dan urusan dunia mereka. Disebabkan hasad, seseorang tidak boleh mengawal dirinya membenci, memusuhi dan mencuba menjatuhkan saudaranya sehingga lupa bahawa pernah turun ayat al-Quran yang mengingatkan supaya menghapuskan sifat dengki dari hati mereka.

Firman Allah bermaksud: "Dan orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa; Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara kami yang sudah beriman lebih dulu daripada kami dan janganlah Engkau membiarkan rasa dengki dalam hati kami terhadap orang yang beriman; Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hasyr: 10).

Hasad dengki di kalangan ulama memang wujud, bahkan penyakit hati inilah yang paling besar bahayanya, mengotori kesucian ilmu dan agama, menebarkan kebusukan dan kejahatan yang ditunggangi oleh nafsu iblis. Setiap manusia ada syaitannya, tak kira nabi dan rasul, inikan lagi manusia biasa yang digelar ulama. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang pun daripada kamu melainkan ia diiringi temannya daripada jin (syaitan) dan temannya daripada malaikat. Sahabat bertanya: Dan padamu juga, wahai Rasulullah? Sabda Baginda: Padaku juga, tetapi Allah Azza Wa Jalla membantuku terhadapnya sehingga dia tiada menyuruhku kecuali kebenaran saja." (Hadis Muslim)

Persaingan antara ulama untuk mendapat perhatian, kedudukan tinggi, kemuliaan dan kehormatan yang dijulang pengikut yang ramai menunjukkan ulama tetap manusia biasa. Siapa yang tak teringin dunia, kuasa dan nikmat yang berkekalan, bukankah ini tabiat semula jadi penciptaan manusia? Mengapa golongan kononnya berilmu ini terbabit juga dengan penyakit hati yang Rasulullah SAW sifatkan seperti pisau pencukur?

Puncanya kerana ilmu yang dituntut belum sempurna dan hakikatnya ia tidak akan sempurna sampai bila-bila kecuali ilmu itu diwarnai dengan iman dan akhlak hasil pengalaman terhadap sedikit titisan ilmu anugerah Allah SWT. Ilmu Allah SWT begitu luas dan tiada siapa mampu mencapai kesempurnaannya.

Jadi, sesiapa ulama yang menyangka dirinya lebih berilmu daripada saudaranya, sesungguhnya ia tertipu oleh ilmu sendiri. Bukankah guru kita sering mengingatkan dengan ajaran imam yang kita agungkan, al-Imam al-Syafie bahawa: "Kataku mungkin salah dan kata penentangku mungkin benar." Juga panduan dalam menilai yang benar, al-Syafie mengajarkan: "Jika (dalil penentang itu adalah) hadis yang sahih, maka itulah mazhab aku."

Perbezaan pandangan seharusnya tidak memicu permusuhan dan dendam pada mereka yang bergelar pewaris Nabi. Sifat tawaduk jelas terakam dalam keperibadian empat imam mazhab yang masih kekal hingga kini. Maka jangan sesiapa cuba mengeksploitasikan hal ini. Imam Abu Hanifah berkata: "Inilah pendapat Abu Hanifah dan inilah sebaik-baik pendapat yang kami capai dan orang yang mendatangkan yang lebih baik daripadanya, itulah yang lebih benar."

Imam Malik berkata: "Saya ialah manusia biasa, boleh benar boleh juga salah, maka perhatikanlah pendapat saya ini. Apa yang bersesuaian dengan al-Quran dan sunnah ambillah dan yang tidak sesuai tinggalkanlah."

Imam Ahmad Hanbal berkata kepada Abu Daud: "Janganlah engkau bertaklid kepadaku, jangan bertaklid kepada Malik, jangan bertaklid kepada al-Thauri dan al-Auza'i, ambillah pendapat dari tempat mereka mengambil (iaitu al-Quran dan al-Sunnah)." (Ilmu Perbandingan mazhab, Prof Dr Hasbi Ash-Shiddiqie)

Imam Al-Syafi'ie pula mengatakan: "Jika kamu dapati apa yang ada dalam kitabku menyanggah sunnah Rasulullah SAW, maka berpeganglah dengan sunnah dan tinggalkanlah pendapatku." (Syiar Alam Al-Nubala' al-Zahabi Jilid 10, halaman 34).

Malang sekali, pengikut yang mengaku pembela mazhab mereka saling bertikam, bersaing dan berdendam layaknya seorang jahil. Di kalangan orang awam lagi teruk keadaannya akibat momokan Wahabi. Padahal fahaman ini tidaklah sebagaimana tuduhan jahat yang dilemparkan orang jahil yang mengaku membela fahaman tertentu.

Fitnah yang ditujukan kepada ulama yang tidak sehaluan, amat mengecewakan kerana ia dicetuskan oleh sesama orang alim yang dikawal oleh emosi dan nafsu untuk mempertahankan habuan dunia.

Mengapa wajib mengamalkan mazhab tertentu, padahal zaman Rasulullah SAW tiada sebarang mazhab melainkan al-Quran dan Sunnah yang menjadi pegangan?

Lagi pula disebabkan kerana bergaduh pasal fiqh yang amat remeh, maka hadis yang sahih daripada al-Bukhari dan Muslim ditolak akibat ia tidak mengikuti selera arus perdana. Akhirnya bab akidah yang menjadi teras keimanan diremehkan, muncul ajaran sesat yang semakin hangat kebelakangan ini sehingga penguat kuasa agama kecut perut untuk ambil tindakan dan ia tak mampu ditangani dengan baik.

Penjahat sebenar dibiarkan bebas, tetapi ulama yang amanah dengan ilmunya dicemburui, disekat, difitnah bahkan kalau boleh dipenjarakan, sedangkan pintu dialog dan berbahas secara akademik dan profesional boleh dilakukan. Bukankah sejarah pernah mencatatkan dialog antara Tok Kenali dengan penentangnya pernah berlaku di pekarangan Istana Kelantan suatu ketika dulu, bahkan perkarangan Istana Selangor di tapak Kolej Islam Klang sekarang turut pernah memperlihatkan golongan ulil amri dan sultan berbahas secara akademik dan jujur dilakukan antara ulama yang berbeza pendapat diadakan bagi menjaga kesucian agama ini.

Belum lagi masalah umat yang semakin kompleks dengan isu maksiat remaja, keganasan rumah tangga, kes kekeluargaan syariah yang lambat, amalan rasuah hingga sikap dan akhlak umat Islam di jalan raya pun sampai kini belum dapat diatasi dengan berkesan, walaupun pelbagai usaha dilakukan. Malangnya jika orang yang berkhidmat untuk agama terheret dengan sifat saling mendengki bagaimanakah masa depan umat ini?

Jelas, kita perlukan pimpinan yang jiwanya besar dan jujur dalam menjalankan amanah untuk dirinya. Api hasad dengki itu merebak dengan pantas. Ia membawa kerugian amat besar kepada umat Islam. Kemajuan umat yang bergantung dengan toleransi akan terbantut dengan sikap hasad dan prejudis yang semakin menjadi-jadi. Betapa pentingnya memiliki sifat ketakutan kepada Allah SWT. Sifat khasyah (takut) kepada Allah SWT sudah dirakamkan dalam al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya mereka yang amat sangat takutnya kepada Allah di kalangan hamba-hamba-Nya adalah ulama."

Ini adalah pengiktirafan daripada Allah kepada ulama sebenar. Setiap pandangan, perbuatan dan pemikiran mereka dikawal dengan ketakutan dan ketundukannya hanya kepada Allah SWT, bukan takutkan kerusi dan gaji bulanannya. Maka dia tiada niat sedikitpun untuk menjatuhkan sesiapa demi meninggikan diri dan pandangan dirinya semata-mata. Inilah yang al-Imam al-Syafie fahamkan daripada al-Quran dan al-sunnah.

Penulis ialah Mufti Perlis