Saturday, March 29, 2008

Empat ketaatan bentuk Muslim sejati

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Umat Islam perlu buktikan dengan lidah, hati untuk perkukuh keimanan

ALLAH SWT menetapkan pelbagai jenis ketaatan dan larangan kepada umat Islam sebagai garis pemisah antara taat dan ingkar, antara Muslim dan kafir. Dengan ini, barulah dapat dilihat siapakah di kalangan umat Islam yang bersegera menunaikan perintah Allah SWT atau sebaliknya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Kemudian kami jadikan al-Quran itu diwarisi oleh orang yang Kami pilih daripada kalangan hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim terhadap dirinya sendiri (dengan tidak mengendahkan ajaran al-Quran), dan ada di antaranya yang bersikap sederhana, dan ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia besar (dari Allah semata-mata)." (Surah al-Fatir, ayat 32)

Perwatakan Muslim itu sendiri terbahagi kepada tiga golongan iaitu golongan Muslim yang menzalimi dirinya sendiri kerana tidak tunduk dan patuh kepada ajaran Islam, golongan bersederhana dalam pembawaan dirinya dan golongan Muslim yang bersegera melaksanakan kebajikan dan ketaatan kepada Allah SWT.

Lanjutan daripada itu, ketaatan amat penting dihiasi dalam diri setiap Muslim dan inilah ciri utama Muslim yang bertakwa kepada Allah SWT. Ketaatan adalah bekalan harta yang berharga dan berkekalan di sisi Allah berbanding harta dunia yang bersifat sementara.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah takwa (memelihara diri daripada keaiban meminta sedekah)." (Surah al-Baqarah, ayat 197)

Apabila dikaji dalam al-Quran, empat jenis ketaatan yang wajib dijunjung dan dilaksanakan setiap Muslim. Keempat-empat jenis ketaatan itu terungkap dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah SAW dan Ulil Amri (orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. (Surah al-Nisa', ayat 59)

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan Tuhanmu memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain daripada-Nya dan kepada kedua ibu bapa hendaklah kamu berbuat baik." (Surah al-Isra', ayat 23)

Ada empat jenis ketaatan yang wajib dilaksanakan setiap Muslim iaitu ketaatan kepada Allah SWT, Rasulullah SAW, ibu bapa dan pemimpin Islam.

Ketaatan kepada Allah SWT adalah inti pati terpenting dalam ajaran Islam. Ia membawa maksud setiap Muslim hendaklah meyakini dengan penuh kudus dihiasi perasaan cinta dan kasih kepada AllahSWT melebihi segala apa yang dicintai di dunia.

Ketaatan kepada Allah SWT perlu diterjemahkan melalui hati dengan kepercayaan mutlak kepada Allah SWT semata-mata, melalui lidah yang melafazkan keimanan dan ketundukan kepada Allah SWT melalui anggota yang tunduk sujud penuh rendah diri.

Dengan ini, hanya Allah SWT sajalah yang berhak dipuji dan dipuja sepanjang masa. Hanya Allah SWT berhak disembah dan diminta pertolongan. Begitu juga Allah SWT memiliki sifat kesempurnaan, tiada cacat celanya yang mampu mendatangkan manfaat dan mudarat kepada makhluk-Nya.

Keduanya, ketaatan kepada Rasulullah SAW menyingkap makna kepatuhan dan ketaatan terhadap apa juga yang dibawa Baginda SAW. Rasulullah SAW adalah pesuruh Allah SWT yang ditugaskan untuk membawa kerahmatan Islam kepada umat manusia seluruhnya.

Oleh itu, umat Islam dituntut taat kepada Rasulullah SAW kerana taat kepadanya bermakna taat kepada Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesiapa yang taat kepada Rasulullah SAW, maka sesungguhnya dia sudah taat kepada Allah." (Surah al-Nisa', ayat 80)

Perlu diingat ketaatan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW adalah ketaatan mutlak, tidak boleh disanggah dan dibangkang sama sekali dalam apa juga keadaan sekalipun. Ini menunjukkan setiap Muslim wajib menuruti segala titah perintah Allah SWT dan Rasul-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Tidaklah harus bagi orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata." (Surah al-Ahzab, ayat 36)

Ketiga ialah ketaatan kepada kedua ibu bapa yang menduduki tempat kedua selepas taat kepada Allah SWT dalam perkara ketaatan. Dalam al-Quran, perkara taat kepada ibu bapa diulang sebanyak empat kali menunjukkan betapa tingginya kedudukan ketaatan kepada ibu bapa di sisi Allah SWT.

Setiap Muslim diwajibkan taat kepada ibu bapa kerana merekalah yang melahirkan kita untuk mengharungi perjalanan hidup dan mereka bersusah payah membesarkan serta mendidik dengan penuh kasih sayang.

Taat kepada ibu bapa tidak cukup sekadar melafazkan ucapan terima kasih semata-mata, malah lebih daripada itu. Setiap anak diwajibkan berbuat baik kepada keduanya dengan rela hati sebagaimana mereka berdua berbuat baik kepada kita ketika kecil dulu.

Apabila seorang anak menjadi dewasa, maka tanggungjawab beralih kepada anak pula untuk menjaga dan memelihara ibu bapanya dengan perhatian, kasih sayang, perlindungan dan kebahagiaan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Keredaan Allah SWT terletak pada keredaan kedua ibu bapanya. Begitu juga kemurkaan Allah SWT bergantung kepada kemurkaan ibu bapanya." ( Hadis riwayat Hakim)

Akhirnya ialah ketaatan kepada pemimpin Islam yang datang seiring dengan ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Taat kepada pemimpin berbeza dengan taat kepada Allah SWT dan Rasul kerana ia bersifat relatif.

Dengan lain perkataan, umat Islam hanya diperintahkan taat kepada pemerintah selama mana pemerintah itu beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, menyuruh dan mengajak kepada kebaikan, keadilan serta berusaha ke arah kesejahteraan ummah.

Sebaliknya, jika pemerintah itu zalim, mengajak dan menyuruh kepada kemungkaran dan kebatilan, maka umat Islam tidak wajib mentaatinya dan seterusnya umat Islam bertanggungjawab untuk memperbetulkan kesilapan pemerintah dengan hikmah dan bijaksana.

Memadailah Abu Bakar al-Siddiq sebagai model ikutan kita dalam hal ini terutamanya dalam ucapan dasar beliau apabila dilantik sebagai khalifah: "Taatlah kalian kepadaku selama mana aku taat kepada Allah SWT dan Rasul. Tetapi jika aku berbuat maksiat, janganlah kalian taat kepadaku. Bantulah aku jika aku benar dan luruskanlah aku jika aku salah."

Dalam menghadapi arus persaingan hidup serba mencabar ini, kita mesti mengekalkan keempat-empat jenis ketaatan itu dalam hidup jika kita ingin bergelar Muslim beriman lagi bertakwa kepada Allah SWT. Hanya dengan ketaatan manusia mengecapi nikmat kebahagiaan sejati yang dijanjikan Allah SWT kepada mana Muslim yang bertakwa kepada-Nya saja.

No comments: