Tuesday, March 11, 2008

Perspektif Ikim: Kebahagiaan rakyat perlu diutama

Oleh Azrina Sobian

UTAMAKAN ILMU: Peluang pendidikan yang luas dan bermutu menjadi aset terbaik negara.

Setiap pemimpin mesti tunai tanggungjawab wujudkan negara 'paling gembira'

PENYELIDIK Universiti Leicester menjalankan satu kajian berkenaan 'kegembiraan' di kalangan 80,000 responden dari seluruh dunia. Hasil kajian yang dibuat pada 2006 menunjukkan Denmark adalah negara yang paling 'gembira' untuk dihuni, diikuti dengan Switzerland dan Austria.

BBC News juga menjalankan satu kajian hampir sama, dan hasilnya menunjukkan 81 peratus daripada penduduk di United Kingdom percaya kerajaan sepatutnya memberi tumpuan untuk membuatkan rakyat lebih gembira berbanding lebih kaya.

Berdasarkan kenyataan itu, apakah yang membuatkan penduduk sesebuah negara berasa gembira tinggal di negara berkenaan? Bagaimanakah pula kegembiraan itu diukur? Hakikatnya kegembiraan mempunyai makna berbeza antara satu insan dengan insan yang lain.

Kegembiraan yang dimaksudkan dalam kajian itu merujuk kepada tahap kepuasan penduduk sesebuah negara terhadap kehidupannya. Dalam hal ini, penduduk di negara yang mempunyai sistem kesihatan baik, mencatatkan keluaran negara kasar (KNK) yang tinggi dan peluang pendidikan luas, biasanya menunjukkan tahap kegembiraan tinggi.

Walaupun banyak perkara boleh dipertikaikan daripada kajian itu terutama dalam mentafsirkan makna kegembiraan, sedikit sebanyak hasil kajian memberi beberapa pengajaran. Pengajaran paling utama adalah kajian itu setidak-tidaknya menunjukkan serba sedikit apa yang diinginkan penduduk sesebuah negara supaya mereka boleh mendabik dada dan berasa bangga serta gembira tinggal di negara berkenaan.

Denmark misalnya, mendapat tempat pertama kerana beberapa sebab, kekayaan, keindahan alam semula jadinya, saiznya yang kecil, sistem pendidikan bermutu dan penyediaan perkhidmatan kesihatan baik.

Sebagai perbandingan, Amerika Syarikat mencatat kedudukan di tangga ke-23 kerana dipengaruhi masalah kemiskinan (akibat pengangguran) dan perkhidmatan kesihatan kurang bermutu.

Bersesuaian dengan keadaan semasa negara yang baru saja selesai pilihan raya, pemimpin yang menang perlu bekerja kuat memenuhi kehendak rakyat yang pastinya mahu sebuah negara boleh memberi kebahagiaan kepada mereka.

Rakyat dahagakan satu sistem pendidikan yang mampu menghasilkan orang berilmu yang bukan semestinya memiliki gulungan ijazah berjela. Mereka ini, seperti kata Prof Dr Syed Hussien Alatas, adalah insan yang menghambakan dirinya untuk memikirkan buah fikiran (idea) dan masalah dalam masyarakat dengan menggunakan kemampuan akliahnya.

Pada ketika ini, berapa ramaikah pelajar sekolah mahupun lepasan universiti yang benar-benar menggunakan akal mereka dalam menjalani hidup seharian? Apatah lagi, adakah akal itu digunakan untuk membantu membangunkan masyarakat?

Sayang sekali, anugerah paling berkuasa yang diberikan kepada manusia ini tidak dapat dimanfaatkan setinggi mungkin ke jalan yang baik. Kegagalan memanfaatkan akal pasti ada kaitannya dengan corak pendidikan diterima.

Perkhidmatan kesihatan yang bermutu memang didambakan semua orang. Bermutu bukan semata-mata merujuk kepada nisbah doktor-pesakit yang sesuai, teknologi canggih digunakan atau cantiknya hospital yang ada.

Pernahkah anda mendengar orang berkata, satu senyuman yang indah kadang kala sudah cukup untuk mengubat segala penyakit. Oleh itu, senyuman mesra disokong layanan yang cekap juga adalah disifatkan sebagai sebahagian daripada perkhidmatan bermutu.

Salah satu rungutan kerap didengar berkait dengan perkhidmatan kesihatan negara ini adalah dari segi kos. Kos yang berbeza memberi petunjuk kepada perkhidmatan berbeza. Perkhidmatan murah (biasanya disediakan kerajaan) memang baik, tetapi mutunya (terutama layanan) amat menghampakan.

Perkhidmatan mahal disediakan di hospital swasta atau hospital kerajaan tidak semua mampu merasainya. Oleh itu, sampai bila mereka yang tidak berkemampuan boleh merasa perkhidmatan kesihatan bertaraf lima bintang.

Selain pendidikan dan perkhidmatan kesihatan, ada banyak lagi perkara perlu diperbaiki bagi menjamin kegembiraan rakyat. Masalah alam sekitar, kenaikan harga barang, kemudahan awam untuk semua termasuk orang kurang upaya, masalah keselamatan antara perkara perlu dimasukkan dalam agenda membahagiakan rakyat.

Nyatalah bahawa banyak lagi perlu dilakukan untuk menjadikan rakyat Malaysia 'gembira'. Untuk memulakan langkah pertama, semua wakil mesti memperuntukkan sedikit masa memikirkan apa yang sebenarnya dimahukan rakyat. Cubalah meletakkan diri dalam keadaan atau hidup rakyat. Mungkin dengan cara itu, semua wakil terpilih dapat merasai kesusahan rakyat di kawasan masing-masing.

Justeru, inilah masanya untuk pemimpin yang dipilih pada pilihan raya baru-baru ini menunaikan janji membahagiakan rakyat. Tunaikan janji anda, jangan hanya menjadi juara di gelanggang pilihan raya, tetapi tersungkur ketika melaksanakan tanggungjawab.

Penulis ialah Felo Pusat Sains dan Teknologi Institut Kefahaman Islam Malaysia.

No comments: