Wednesday, March 26, 2008

Iqra: Panduan Mukmin capai khusyuk

Judul: Rahsia Mencapai Khusyuk Dalam Solat
Penulis: Muhammad Aiman Al-Zuhairi
Penerbit: Pustaka Azhar
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM16.90

JIKA sedang menunaikan solat terdetik dalam hati nama empunya suara yang kedengaran, atau mata menjeling untuk memastikan siapa yang datang berdiri di sebelah, itu maknanya solat kita tidak khusyuk.

Takrif khusyuk ada banyak. Sesetengah ulama menyatakan khusyuk ialah memejamkan mata (penglihatan) dan merendahkan suara. Sementara, kata Ali bin Abu Talib, khusyuk ialah tidak berpaling ke kanan dan kiri dalam solat.

Kata Ibnu Sirin, khusyuk ialah tidak mengangkat pandangan dari tempat sujud, manakala Ibnu Jubair berkata, Khusyuk ialah tetap mengarahkan fikiran kepada solat hingga tidak mengetahui orang sebelah kanan dan kiri.

Tegasnya, takrif khusyuk yang lengkap ialah tunduk dan tawaduk serta tenang hati dan semua anggota kepada Allah. Khusyuk hadir dengan hati yang ikhlas, perasaan takut kepada Allah dan hadir hati dalam solat.

Allah berfirman bermaksud: "Bahawasanya semua mereka yang beriman dan mengerjakan segala amal yang salih dan berkhusyuk kepada Tuhan. Mereka itu adalah orang yang mempunyai syurga, mereka kekal di dalamnya." (Surah Hud, ayat 23)

Bagaimana untuk khusyuk dalam sembahyang adalah persoalan yang sentiasa menyelubungi umat Islam yang mengharapkan ibadat wajib dilaksanakan itu benar-benar diterima Allah dan menjadi asas kukuh kepada keimanan mereka terhadap Pencipta.

Hakikatnya bukan mudah menghadirkan diri dan hati dalam solat kerana ada saja usikan syaitan untuk membawa pemikiran kita jauh daripada Allah dan lalai terhadap ibadat yang dilaksanakan.

Buku Rahsia Mencapai Khusyuk Dalam Solat hasil tulisan Muhammad Aiman Al-Zuhairi menyingkap rahsia solat serta cara untuk khusyuk dalam solat bermula dengan hubungan umat Islam dan solat, rukun solat, kajian mengenai solat, khusyuk dalam solat dan rahsia solat.

Buku ini menyediakan pelbagai persoalan dan selok-belok mengenai solat sebagai rujukan untuk pembaca melaksanakan solat dengan cara yang betul, tepat serta sempurna supaya amalan itu diterima Allah.

Panduan yang diberi meliputi solat seorang diri, berjemaah di surau dan masjid selain membicarakan perkara yang berkait rapat dengan solat. Buku ini ibarat ensiklopedia solat yang patut dijadikan sebagai teman hidup.

Solat masalah pokok dalam hidup seorang mukmin dan kerana itu Rasulullah SAW menyifatkan solat sebagai tiang agama. Sesiapa yang menegakkan solat, ertinya dia sudah menegakkan keseluruhan hidup beragamanya.

Jika seseorang itu meninggalkan solat, ertinya dia sudah meruntuhkan keseluruhan kehidupan beragamanya.

Malah, Nabi Muhammad SAW turut mengingatkan bahawa pada akhirat nanti amalan yang mula dihitung Allah ialah solat. Jika persoalan solat beres, maka yang lain dianggap beres, tetapi jika sebaliknya, amalan lain seperti puasa, zakat, haji dan sedekah tidak dinilai Allah.

Antara cara menghasilkan khusyuk dalam solat seperti dihujahkan dalam buku Rahsia Mencapai Khusyuk Dalam Solat ialah dengan menganggap bahawa kita sedang berhadapan yang Maha Berkuasa, yang mengetahui segala rahsia.

Solat bukan saja bacaan, tetapi juga perbuatan yang perlu dilakukan dengan tertib serta memahami terperinci adab memulakan solat.

Semua maklumat dalam buku ini membantu kita melaksanakan ibadat solat sebaik yang mungkin, penuh khusyuk dan yang penting amalan itu menjauhkan daripada perbuatan keji serta mungkar.

No comments: