Sunday, March 30, 2008

Ulul Albab: Insan muhsin mudah dapat rahmat

Bersama Abdurrahman Haqqi

Ihsan dalam konteks berlaku adil sama seperti larangan melakukan perbuatan keji

'MUHSIN' dalam Kamus Dewan bererti (orang) yang banyak kebaikannya, (orang yang) suci hidupnya, soleh. Dengan sifat yang sedemikianlah rahmat Allah dengan pengertian belas kasihan; kurnia, berkat; bahagia; dan hikmat sangat dekat kepadanya. Allah berfirman tafsirnya: "Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang memperbaiki amalannya (muhsinin)." (Surah al-A'raf: 56)

Ketika solat berjemaah, seperti dikisahkan dalam hadis sahih, seorang sahabat Nabi membaca doa dalam tasyahhudnya: "Ya Allah, berikanlah rahmat-Mu kepadaku dan kepada Nabi Muhammad dan janganlah Engkau berikan rahmat-Mu kepada selain kami." Setelah selesai solat, Rasulullah SAW berkata kepada sahabat berkenaan: "Engkau telah membuat sesuatu yang luas menjadi sempit."

Banyak pengajaran yang boleh dipetik daripada hadis di atas. Antaranya, di samping sebagai daripada satu dalil dibenarkannya 'berbida'ah hasanah' oleh umat, ia juga menggambarkan kepada kita bagaimana niat baik tidak cukup jika ia menyalahi ajaran atau panduan asas agama. Sahabat terbabit berniat baik dengan mendoakan baginda seperti itu, tapi ia menyalahi lunas agama Islam yang menetapkan, tafsirnya, "dan rahmat-Ku mencakupi semua makhluk." (Surah al-A'raf: 156)

Rahmat yang berasal daripada kata dasar 'ra-hi-ma' dalam bahasa Arab disebut al-Quran, seperti dikatakan al-Idrisi dalam Ramatan lil-'Alamin, sebanyak 340 kali dengan 32 bentuk kata seperti madi (kata kerja telah), mudari (kata kerja sedang), amar (kata kerja perintah), dan masdar (kata dasar). 340 kali adalah hampir dekat kepada jumlah hari dalam satu tahun qamariyyah (354-5) yang mengisyaratkan bahawa setiap hari daripada kehidupan makhluk dipenuhi rahmat Allah. Ini menunjukkan kepada kita betapa pentingnya rahmat dan nilainya dalam Islam kerana ia adalah dari salah satu al-Asma al-Husna yang 99 itu. Semua kehidupan makhluk ciptaan Allah bersumber kepada rahmat Allah yang mempunyai sifat 'Rahman' (Maha Pengasih) dan 'Rahim' (Maha Penyayang).

Nabi Junjungan juga diutus dengan tujuan penganugerahan rahmat kepada seluruh makhluk. Allah berfirman tafsirnya: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Surah al-Anbiya': 107) Dalam mentafsir ayat ini ada perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai siapa dan apa yang menjadi rahmat. Satu pendapat mengatakan rahmat adalah diri Nabi per se dan pendapat lain mengatakan bahawa rahmat itu adalah 'Risalah' yakni al-Quran yang dibawa Baginda. Bagaimanapun, kita boleh menyatukan kedua-dua pendapat ini dengan menyatakan Muhammad tidak terpisah daripada al-Quran dan al-Quran juga tidak terpisah daripada Muhammad kerana Allah menurunkan al-Quran melalui Muhammad dan Muhammad diutus dengan membawa al-Quran.

Rahmat bagi sekalian alam yang ada dalam pengutusan baginda untuk manusia mempunyai dua dimensi yakni dimensi rahmat keagamaan dan dimensi rahmat keduniaan.

Rahmat keagamaan dapat dilihat bagaimana keadaan orang kafir Quraisy yang berada dalam kejahilan menyembah berhala yang tidak boleh berbuat apa-apa dan melakukan perbuatan keji seperti membunuh anak perempuan yang baru dilahirkan. Dengan diutusnya Baginda, maka kafir Quraisy terselamat daripada kejahilan dan memperoleh kebenaran.

Begitu juga bagi orang yang memiliki al-Kitab (Yahudi dan Kristian) di mana mereka telah terpesong daripada ajaran tauhid sebenar yang diajarkan Nabi Musa dan Nabi Isa dalam kitab masing-masing yakni Taurat dan Injil. Dengan diutusnya Baginda, maka ahli al-Kitab terselamat daripada terpesong dan mereka kembali ke jalan yang benar dan lurus.

Di pihak lain, rahmat keduniaan yang ada dalam pengutusan Baginda adalah penyebaran perpaduan, persatuan dan persaudaraan di kalangan umat manusia kerana ajaran Islam mewajibkannya. Sebelum Islam datang, kafir Quraisy dan bangsa Arab secara amnya saling bermusuhan, gemar berperang dan mudah menumpahkan darah. Dengan diutusnya baginda, kebiasaan ini dapat dikawal dan diredam walaupun tidak seratus peratus dapat dihakis.

Rahmat diutusnya baginda tidak hanya berdampak untuk manusia saja tapi ia juga rahmat bagi seluruh alam termasuk binatang dan tumbuh-tumbuhan. Islam mewajibkan pengikutnya berbuat ihsan kepada binatang dan tumbuh-tumbuhan. Tidak boleh membunuh binatang sembarangan dan tidak boleh membakar tumbuh-tumbuhan sembarangan.

Kembali ke ayat 56 Surah al-A'raf di atas. Dalam nota penjelasan ayat ini, Tafsir Pimpinan ar-Rahman menyatakan: "Ayat suci ini menegaskan dasar 'ihsan', yakni apa jua pekerjaan dan amal perbuatan yang kita kerjakan hendaklah dibuat dengan sebaik-baiknya, dengan rapi dan sempurna, sama ada yang berhubung dengan dunia apa lagi yang berhubung dengan akhirat untuk mendapat rahmat Tuhan." Sebuah hadis menyatakan maksudnya: "Sesungguhnya Allah Ta'ala suka orang yang bekerja apabila bekerja ia sentiasa memperbaiki mutu prestasinya". (Riwayat al-Baihaqi) 'Memperbaiki mutu prestasinya' dalam hadis ini adalah terjemahan 'an yuhsina' dalam hadis.

Perkataan al-ihsan asalnya daripada perkataan ahsana, yuhsinu, ahsin, ihsanan dan dalam al-Quran terdapat sekurang-kurangnya 12 ayat yang mengandungi lafaz ini. Ia menunjukkan kepada perbuatan baik dan kebaikan yang lebih daripada sepatutnya atau yang sama maksudnya. Ada kira-kira sebanyak 38 ayat lagi menunjuk kepada pujian dan penghargaan tinggi kepada pelakunya dengan lafaz muhsin, muhsinun, muhsinin, muhsinat. Selanjutnya ada pula lafaz lain yang juga berkaitan dengan al-ihsan itu. Semuanya membawa pengertian menurut konteks ayat yang difirmankan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Ihsan diperintahkan dalam konteks perintah berlaku adil dan menolong kaum kerabat sama seperti perintah larangan daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar serta derhaka seperti dalam ayat 90 Surah An-Nahl tafsirnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya."

Dalam kisah masyhur kedatangan Malaikat Jibril AS yang mengajarkan agama kepada umat Islam pada zaman Nabi ada disebutkan pengertian ihsan secara spesifik yakni: "Kemudian dia bertanya lagi: "Maka sekarang khabarkanlah kepadaku daripada hal 'ihsan'?" Rasulullah menjawab: "Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olahnya engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau". (Hadis riwayat Muslim)

Orang baik yang dekat kepada Allah akan selalu dikenang pada masa hadapan. Dr Aidh al-Qarni dalam perkara ini menulis: "Di antara yang dapat membahagiakan seorang Muslim adalah ketika dia mempunyai umur kedua, iaitu mampu menjadikan dirinya sebagai kenangan manis. Sungguh menghairankan orang yang ingin dikenang sebagai orang baik, tetapi tidak pernah mengusahakannya, baik dengan hartanya, kedudukan mahupun amalnya.... saya kagum dengan orang yang tetap dikenang kebaikan, kemuliaan dan pengorbanannya walaupun dia telah meninggal dunia. Sehinggakan Umar pernah bertanya kepada anak Harim bin Sinan: "Apa yang diberikan Zuhai kepada kalian dan apa yang telah kalian berikan untuk Zuhair?" Mereka menjawab: "Dia memuji kami dan kami memberinya harta." Umar berkata: "Demi Allah, apa yang kalian berikan kepadanya akan hilang, sedangkan pemberiannya kepada kalian akan abadi." Maksudnya, pujian dan sanjungan akan tetap abadi sepanjang masa." (La Tahzan, 381)

Rahmat Allah adalah sangat luas oleh itu kita dilarang untuk berputus asa bagi mendapatkannya. Allah berfirman tafsirnya: "Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah." (Surah al-Zumar: 53) Imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sedang melakukan solat berjemaah. Selesai solat ada seseorang berdiri dan berkata kepada baginda: "Aku telah melakukan suatu dosa dan harus dikenakan hukuman, maka jatuhkanlah hukuman itu padaku." Rasulullah bertanya: "Apakah tadi engkau solat berjemaah bersama kami?" "Ya," jawab orang itu. Rasulullah pun bersabda: "Pergilah, Allah telah mengampuni dosamu."

Peristiwa di atas selari dengan maksud ayat 110 Surah al-Nisa: "Dan barang siapa yang berbuat dosa atau berbuat zalim terhadap dirinya sendiri, kemudian memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Rahmat Allah yang sangat luas jika kita tidak pandai menilai maka seolah-olah ia adalah sebuah taman yang sangat hijau, sayangnya kambing yang ada di dalamnya sakit; buah kurma yang sangat lazat namun sifat begitu mengekang; air yang sangat segar namun terasa pahit di mulut.

Rahmat Allah yang dijanjikan dekat kepada orang yang memperbaiki amalan akan menjadi petaka apabila mereka memiliki pendapat tetapi pendapat yang ada pada mereka tidak mampu mengalahkan Mereka memilik bacaan, tetapi bacaan yang ada pada mereka tidak boleh menuntun kepada kebenaran. Mereka memiliki petunjuk, namun petunjuk yang ada pada mereka, justeru, menunjukkan kepada penyimpangan. Mereka juga memiliki pengarahan, namun pengarahan yang ada pada mereka, justeru, membimbing mereka kepada pengingkaran.

Adalah memadai bagi orang baik yang mendapatkan rahmat Allah untuk meninggalkan perbuatan keji. Dermawan dan orang bijak Arab Hatim al-Toi berkata: "Bila sikap meninggalkan perbuatan keji memadai buat anda, maka tinggalkanlah."

Oleh itu, ingatlah! Ketika kita sedang memperbaiki amalan kita maka di sanalah rahmat Allah dengan pengertian belas kasihan; kurnia, berkat; bahagia; dan hikmat sedang dekat kepada kita.

No comments: