Saturday, October 18, 2008

Menilai diri sebelum berangkat ke Tanah Suci

Oleh Ibrahim Abdullah


JEMAAH haji berkumpul untuk berwuquf di Arafah iaitu kemuncak ibadat haji.


Ibadah haji beri kesan positif terhadap sikap, tindakan dan tingkah laku individu

UMAT Islam dari seluruh dunia tidak lama lagi akan menunaikan ibadah haji di tanah suci Makkah dan Madinah sebagai menyempurnakan rukun Islam kelima.

Firma Allah yang bermaksud : "Allah mewajibkan atas manusia untuk mengerjakan ibadah haji bagi yang mampu mengadakan perjalanan ke sana." – (Surah al-Imran, ayat 97)

Takrif haji secara bahasa bererti menuju atau menziarahi suatu tempat. Menurut istilah fikah ialah ziarah ke Baitullah di Makkah untuk melaksanakan ibadah dengan cara tertentu, dalam waktu dan tempat-tempat tertentu. Ibadah haji diwajibkan pada tahun kesembilan selepas Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah.

Ibadah itu sudah dikenal sejak dari zaman Nabi Ibrahim AS bersama anaknya Ismail yang diperintahkan Allah mengajak dan menyeru manusia menziarahi rumah Allah (Baitullah al-Haram). Waktu itu bangsa Arab di sekitarnya setiap tahun berduyun-duyun menuju Kaabah untuk melakukan ibadah haji dengan cara syariat Nabi Ibrahim. Pelaksanaan ibadah haji berjalan terus sampai zaman Nabi Muhammad SAW hinggalah hari ini.

Menunaikan haji hukumnya wajib bagi yang mampu dari segi mental, fizikal, harta dan keimanan mengenai cara melaksanakan ibadah berkenaan.

Setiap umat Islam mengharapkan dirinya untuk menunaikan ibadah haji. Apa lagi pahala ganjaran yang dijanjikan sangat besar bagi haji mabrur iaitu balasan syurga. "Tidak ada balasan bagi haji mabrur, melainkan syurga." – (Hadis riwayat Muttafaqa 'Alaih)

Begitu besarnya kerinduan akan kebesaran dari keagungan Allah di Baitullah. Bagi mereka yang sudah menunaikan haji, ingin semula mengerjakan ibadah itu berulang-ulang kali.

Walaupun Rasulullah SAW menegaskan bahawa ibadah haji itu cukup sekali (wajib), sedangkan yang kedua dan seterusnya adalah sunnah. – (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Hal itu tidak tidak menghalangi niat kaum Muslimin untuk terus menunaikan ibadah haji ke tanah suci. Semulia ibadah haji adalah mereka yang dapat mencapai dan meraih darjat haji mabrur. Hanya haji mabrur diterima Allah, iaitu ibadah haji yang dilaksanakan tanpa melakukan perbuatan kesalahan seperti diterangkan dalam al-Quran bermaksud: "Barang siapa yang berniat melakukan ibadah haji, maka tidak boleh mencampuri isteri, tidak boleh berbuat fasik, dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan haji." – (Surah al-Baqarah, ayat 197)

Upaya untuk mendapatkan haji mabrur dilalui berbagai cara. Di antaranya, sebelum berangkat haji seseorang mesti melakukan hal yang boleh membantu hajinya. Iaitu:

l Bekalannya yang digunakan adalah halal (harta)

l Berniat ikhlas kerana Allah semata-mata

l Ketakwaan

l Mengerti mengenai ilmu mengerjakan haji dengan mengikuti kursus haji, mengetahui rukun haji, wajib haji dan larangan haji.

l Mengerti mengenai ilmu ibadah selama dalam perjalanan seperti solat musafir, solat jamak dan solat qasar dan seterusnya.

Sepanjang masa di Tanah Suci, hendaklah memperbanyakkan zikir, talbiah dan menggunakan waktu sebaik-baiknya, beribadah dengan tenang, jangan mengganggu orang lain. Jika ada kesempatan hendaklah menyembelih korban.

Memang balasan syurga adanya di akhirat. Namun sesungguhnya balasan di dunia pun tetap ada iaitu dalam perilaku dan tindakan yang berubah kepada lebih baik. Seseorang yang ibadah hajinya meraih darjat haji mabrur, akan terlihat sekembalinya ke tanah air, sikapnya, tindakannya, akhlaknya dan ibadahnya.

Seseorang jemaah haji yang ternyata tidak ada perubahan sama sekali setelah dan sebelum berangkat ke Tanah Suci, boleh dikatakan ibadah hajinya adalah mardud (haji ditolak).

Darjat haji mabrur hanya boleh diraih dengan niat dan hati ikhlas semata-mata untuk beribadah kepada Allah di Tanah Suci. Hati mesti ikhlas dan lurus, tidak ada sedikitpun untuk kepentingan lainnya dalam melaksanakan ibadah haji itu.

Kerana itu, semua kepentingan duniawi mesti diketepikan dan ditinggalkan di tanah air, seperti pangkat, kedudukan, jabatan, dan harta, tidak perlu bermegah-megah di tanah suci, semuanya sama di hadapan Allah.

Di samping itu, jemaah haji mesti benar-benar ikhlas melakukan taubat seperti yang dilakukan Nabi Adam AS, selepas melakukan kezaliman kerana termakan buah terlarang iaitu khuldi.

Taubat yang semata-mata untuk meraih ampunan dari Yang Maha Kuasa, dilakukan Nabi Adam selama 40 tahun di Padang Arafah. Bayangkan untuk satu kesalahan dan kezaliman, Nabi Adam melakukan taubat di Arafah selama 40 tahun dengan sedikitpun tidak berani mengangkat kepalanya di hadapan Allah.

Dengan penuh rasa malu dan tidak berhenti-henti Nabi Adam memohon kepada Allah untuk diampuni atas kezaliman yang dilakukannya.

Selain itu, untuk meraih haji mabrur yang ditentukan oleh peribadi jemaah, peranan dan wibawa pembimbing jemaah haji (swasta) termasuk pihak bertanggungjawab (Tabung Haji) juga sangat penting. Justeru, pembimbing tidak hanya mengajarkan mengenai tatacara mengerjakan ibadah haji, tetapi juga didasarkan pada bagaimana meningkatkan kefahaman jemaah mengenai melaksanakan ibadat haji dengan baik dan betul. Sesuai dengan tuntutan Rasulullah SAW.

Mengenai jemaah haji yang berkali-kali mengerjakan ibadah haji ke tanah suci, Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dalam kitabnya 'Ihya Ulumuddin' memberikan tegurannya, seharusnya mereka yang pergi haji untuk kedua kali dan selebihnya itu hendaklah memperhatikan tetangganya dan saudara Muslim lainnya yang memerlukan pertolongan. Mereka yang berhaji dengan hal seperti itu sama dengan orang yang tertipu (ghurur).

Terhadap mereka yang berangkat mengerjakan ibadah haji kali pertama, al-Ghazali melontarkan tegurannya, di antara mereka banyak yang tidak membersihkan jiwa dan hatinya. Mereka banyak yang mengabaikan aspek ibadah haji berkaitan dengan fizikal dan mental, sehingga apabila sampai di Tanah Suci tidak mampu mengawal kesucian diri seperti berbantah, bertengkar, berkata keji serta berbuat fasik dan maksiat.

INFO: Tanda mendapat haji mabrur menurut ulama:

Ternampak perubahan pada sikap, wajah, akhlak dan cara hidup.

Amal ibadah bertambah baik dan tidak cuai melakukannya berbanding sebelumnya.

Sifat jahat dan keji seperti tamak, hasad, dengki, riak, takbur, bakhil, angkuh, membazir, boros dan sebagainya terus ditinggalkan.

Menjadi seorang yang berakhlak baik seperti bertawaduk, merendah diri, tolong menolong, dermawan, bercakap benar, amanah, jujur, bersedekah dan akhlak terpuji.

Ibadah haji memberi kesan positif terhadap sikap dan tingkah laku dari segi perjuangan, kegigihan, keadilan dan sebagainya.

Selalu mengerjakan ibadah puasa dan puasa sunnah dan ibadah lain.

Seseorang pernah berzina, minum arak dan sebagainya terus meninggalkannya sama ada dosa kecil dan dosa besar.

Kalau dulu dia sering mendedahkan aurat tetapi kini dia terus menutup auratnya sebagaimana dituntut oleh ajaran agama.

Seseorang yang baik akan bertambah baik lagi dalam urusan hidup seharian.

No comments: