Tuesday, October 21, 2008

Perspektif Ikim: Kewangan Islam mampu tangani kemelut ekonomi

Oleh Mohd Noor Omar

Sudah tiba masanya ummah memakmurkan peraturan berlandaskan keadilan, saksama

MUNGKIN tiada yang menjangka ekonomi Amerika Syarikat dan dunia akan sumbang sebegini teruk. Syarikat gergasi yang megah dengan aset berbilion dolar di Amerika mengalami kerugian, tidak dapat lagi meneruskan syarikat dan terpaksa gulung tikar kerana muflis.

Amerika terpaksa menampung kerugian bagi memulihkan syarikat tertentu supaya dapat meneruskan hayatnya. Pasaran saham dan medan agihan modal di Amerika serta negara lain juga terjejas teruk akibat kemerosotan yang dihadapi. Urus niaga saham sesetengah negara terpaksa digantung.

Apa yang berlaku sebenarnya selama lebih kurang 10 tahun lalu, banyak pihak tenggelam dalam kerancakan pertumbuhan ekonomi dunia yang dibiayai wang dan pulangan palsu. Aturan ekonominya berasaskan riba dan gharar kerana mata wang tidak disandar kepada nilai sebenar, ditambah kegagalan pentadbiran kewangan berhemah menjadi punca segala masalah ini.

Mata wang dan urus niaga dilaksanakan semata-mata untuk menjana pesta pertumbuhan ekonomi berterusan dengan sifat menghancurkan berbanding memakmurkan ekonomi. Keseluruhan aturan yang diamalkan bercanggah dengan roh kewangan Islam yang memberi penekanan kepada keadilan risiko dan pulangan. Pihak berkuasa Amerika pula seolah-olah tertidur diulit mimpi. Sekitar 200 agensi pengawalan dan penguat kuasa mengawasi Fannie Mae dan Freddie Mac, tetapi kedua-dua syarikat itu akhirnya terbelenggu dengan hutang hampir AS$5 trilion.

Pada asasnya, syarikat dokongan kerajaan ini membiarkan pelabur menyangka pinjaman perumahan yang mereka miliki, walaupun banyak lapuk, tetap dilindungi kerajaan. Keadaan ini menyebabkan agensi pengadaran kredit memberikan mereka markah tinggi termasuk kepada bon yang sebenarnya tidak boleh dipercayai.

Seperti jambatan reput yang menampung ribuan manusia, keruntuhannya menyebabkan bukan saja kesan ekonomi tetapi politik dan kemasyarakatan.

Banyak institusi kewangan memberi jenama baru hutang lapuk dan menjualnya semula di pasaran dunia. Ada institusi kewangan memberi pinjaman terlalu tinggi sehingga 30 kali jumlah aset yang mereka miliki dengan pelbagai andaian termasuk kemungkinan hartanah serta perumahan terus meningkat dan tidak mungkin jatuh.

Pihak berkuasa pula terus membisu tidak mengambil langkah yang perlu untuk mengawalnya. Apa yang berlaku menunjukkan ketempangan jelas pada pihak berkuasa dan peraturan yang berkongsi kefahaman aturan kewangan sama. Apabila pihak berkuasa tertidur, jangan pula kita terkejut jika ada pihak yang mengambil risiko terlalu tinggi. Perkara yang patut dipersalahkan bukan saja aturan ekonomi, malah pihak berkuasa.

Penyelesaian yang dicadangkan mesti kembali kepada prinsip asas ekonomi. Usaha kerajaan Amerika untuk membiayai syarikat tertentu hanya menyelamatkan mereka yang bersalah tanpa menghiraukan keperluan mencorak semula aturan keseluruhan ekonomi mereka. Kita juga harus sedar dunia bukan dominasi Amerika semata-mata. China kini menjadi ekonomi keempat terbesar dan terus berkembang dengan kadar hampir 10 peratus.

India dan negara lain membangun juga terus berkembang. Rakyat miskin di negara membangun tetap merasai kesan positif pembangunan ekonomi negara mereka. Dengan mengambil kira kedudukan ini, walaupun ekonomi negara Barat merudum, ekonomi dunia dianggarkan terus berkembang empat peratus. Negara yang mengamalkan aturan kewangan Islam menjadi perhatian walaupun dalam kadar menurun.

Kemerosotan ini mengajar kita pentingnya aturan ekonomi berlandaskan aturan ekonomi Islam yang adil. Urus niaga secara besarnya berasaskan jual beli hutang atau kredit perlu disusun semula.

Mungkin tepat pada masanya negara mengorak langkah memakmurkan aturan kewangan Islam yang berlandaskan kepada keadilan dan saksama. Namun, kebelakangan ini ada sebilangan pengamal perbankan yang berkecenderungan meniru dan mereka cipta produk kewangan mimikan kewangan biasa dengan mengetepikan falsafah dan roh muamalah Islam.

Dengan kata lain, ditakuti aturan ekonomi Islam juga dijangkiti penyakit sama jika tersalah langkah. Hadis tidak terkecuali menegaskan bahawa imbuhan harga atau imbangan pertukaran setimpal dalam faham pertukaran jual beli.

Pendekatan sama juga digunakan oleh Khalifah Umar Khattab dalam menetapkan kadar diyat (pampasan) baru apabila nilai dirham jatuh akibat daripada kenaikan harga barang. Perkara sama didapati juga dalam surat kerajaan khalifah keempat Saidina Ali Abi Talib. Mungkin sudah tiba masanya pihak berkuasa di negara ini mempertimbangkan aturan pentadbiran kewangan, akad dan institusi kewangan dengan lebih terperinci seperti penggubalan dan pengiktirafan setara bagi akad atau undang-undang Islam untuk pemakaian dan pengiktirafan dengan lebih luas. Halangan pentadbiran perundangan perlu dilihat semula bagi memberi ruang dalam pelaksanaannya di mahkamah terhadap kes pertikaian membabitkan akad muamalah Islam.

No comments: