Thursday, August 14, 2008

Hak Muslim: Bapa tidak boleh walikan pernikahan anak tak sah taraf

Anak lahir kurang 6 bulan dari tarikh nikah perlu kebenaran kahwin Mahkamah Syariah

Soalan:

SAYA ingin berkahwin akhir tahun ini dan sudah menghantar borang permohonan berkahwin ke pejabat agama Islam. Selepas beberapa hari, saya dimaklumkan permohonan tidak dapat diproses kerana pegawai jabatan agama Islam mendapati tarikh lahir saya tidak sampai empat bulan dari tarikh pernikahan ibu dan bapa.

Saya dikatakan sebagai anak tak sah taraf. Permohonan saya dirujuk ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan kebenaran berkahwin. Mengapa saya perlu berbuat demikian, sedangkan dalam kad pengenalan tertulis bahawa saya berbintikan bapa kandung. Bagaimana cara untuk saya memohon kebenaran dan apakah dokumen yang diperlukan? Harap mendapat penjelasan.

Kamaliah Al-Hasan

Jawapan:

Mengikut Undang-Undang Keluarga Islam yang berkuatkuasa di semua negeri termasuk Wilayah Persekutuan, permohonan kebenaran berkahwin asalnya adalah melalui pejabat Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam di mana tempat individu itu bermastautin.

Akan tetapi, ada beberapa kes perlu dirujuk oleh Pendaftar Nikah kepada Mahkamah Syariah untuk tindakan Hakim Syarie, bagi mengeluarkan kebenaran berkahwin terlebih dulu. Selepas kebenaran berkahwin daripada Hakim Syarie atau Mahkamah Syariah, barulah Pendaftar Nikah boleh memproses dan meluluskan kebenaran berkahwin itu.

Kes berkenaan ialah:

Permohonan untuk berkahwin di bawah umur. Bagi lelaki berumur bawah 18 tahun atau perempuan di bawah umur 16 tahun yang ingin berkahwin, mereka perlu mendapatkan kebenaran berkahwin di Mahkamah Syariah terlebih dulu.

Permohonan oleh seseorang janda berhias, iaitu perempuan yang bercerai sebelum disetubuhi suaminya atau dalam istilah Arab disebut qabla dukhul.

Permohonan bernikah secara wali hakim. Pernikahan secara wali hakim ini pula perlu dalam kes berikut:
- tiada wali yang sah dari segi nasab
- wali ghaib
- saudara baru atau mualaf
- anak tak sah taraf
- wali enggan
- wali dalam ihram haji/umrah
- wali tidak dapat dihubungi atas sebab darurat
- permohonan poligami

Berbalik kepada persoalan mengenai anak tak sah taraf. Maksud anak sah taraf ialah anak yang lahir daripada akad pernikahan yang sah, dalam tempoh tertentu selepas akad nikah atau disebabkan persetubuhan syubhah. Anak tak sah taraf ialah anak yang lahir daripada pernikahan yang tidak sah atau fasid menurut hukum syarak.

Secara syariatnya seseorang anak yang lahir boleh disabitkan nasab kepada ibu yang melahirkannya, sama ada secara sah taraf ataupun tidak sah taraf. Tetapi untuk anak itu disabitkan nasabnya kepada bapa, beberapa syarat perlu dipenuhi iaitu:

dengan sebab perkahwinan yang sah

disebabkan perkahwinan yang fasid

disebabkan persetubuhan syubhah

Fuqaha bersepakat bahawa anak dilahirkan oleh perempuan yang mempunyai suami secara sah boleh disabitkan nasab kepada suaminya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Anak yang lahir daripada hamparan (yang sah) berhak disabitkan nasab keturunan."

Hukum di atas adalah dengan syarat suami adalah orang yang boleh menyebabkan isteri hamil, anak dilahirkan selepas enam bulan dari masa akad nikah, iaitu menurut ulama Hanafi. Menurut ulama jumhur, masa enam bulan dikira dari masa ia dibolehkan melakukan persetubuhan.

Jika anak dilahirkan kurang daripada tempoh minimum masa mengandung, iaitu enam bulan, ulama bersepakat tidak sabit nasab daripada si suami. Keadaan lain di mana suami dan isteri boleh bertemu dan bersama selepas berlaku akad nikah.

Berdasarkan penjelasan itu jelas fuqaha berpendapat jika anak dilahirkan kurang dari tempoh enam bulan selepas akad nikah yang menghalalkan persetubuhan suami dan isteri, maka anak itu tidak boleh dinasabkan kepada bapanya. Maksudnya bapa itu tidak boleh mewalikan pernikahan anak dan perlu berwalikan hakim.

Dalam kes anda, permohonan kebenaran berkahwin hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah Rendah Syariah di tempat anak bermastautin. Antara dokumen diperlukan bagi permohonan adalah:

notis permohonan

afidavit sokongan

lampiran yang diperakukan seperti salinan kad pengenalan, pengesahan pemastautin (jika alamat dalam kad pengenalan berlainan dengan alamat bermastautin), borang permohonan berkahwin bagi perempuan dan lelaki dan lain-lain dokumen berkaitan. Dalam kes anda, elok dikemukakan sekali sijil kelahiran dan sijil nikah ibu bapa

surat sokongan daripada Pendaftar Nikah

bayaran yang secukupnya

wakalah peguam syarie bagi yang menggunakan khidmat peguam syarie.

Jika lengkap segala dokumen dan saksi yang dikehendaki hadir ke mahkamah pada hari ditetapkan, proses perbicaraan kes seperti ini adalah mudah dan kebiasaannya boleh diselesaikan dalam masa satu hari saja. Jika menggunakan khidmat peguam syarie, maka peguam akan menguruskan dan menyediakan segala dokumen diperlukan.

Jawapan disediakan Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang

No comments: