Friday, August 8, 2008

Ukhuwah Islamiah tunjang kekuatan ummah: Zahid

Oleh Nazura Ngah

USAHA MURNI: Ahmad Zahid (kiri) melancarkan Kad Privilege Sahabat Yapeim sambil diperhati Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yapeim, Datuk Ahmad Tajudin Abdul Rahman di Masjid Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.


Golongan muda disaran teruskan kelangsungan Sahabat Yapeim

MAJLIS Permuafakatan Sahabat Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) (Sahabat Yapeim) yang dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Masjid Wilayah Persekutuan, Isnin lalu membawa pengertian besar kepada 300,000 ahli Sahabat Yapeim di seluruh negara.

Menghargai penyertaan Sahabat Yapeim, yayasan itu menyediakan Kad Privilege Yapeim bernilai lebih RM100 yang diberi percuma, sekali gus menggalakkan lebih ramai penyertaan masyarakat dalam program atau skim anjuran yayasan yang ditubuhkan pada 1976.

Antara keistimewaan Kad Privilege Yapeim ialah khairat kematian RM500, manakala RM1,000 bagi kematian akibat kemalangan, diskaun di 1,000 klinik terpilih di seluruh negara, diskaun hotel dan tiket penerbangan, bantuan visa pelancongan dan perniagaan serta pemegang kad atau anak mereka layak dipertimbangkan untuk mendapat biasiswa pendidikan untuk kursus bahasa Inggeris bernilai RM5,100.

Ada sembilan kelompok Sahabat Yapeim iaitu rakan kongsi Yapeim (terdiri daripada penyumbang tetap Skim Amal Jariah Yapeim), panel perunding/forum pengurusan Islam, Kelab Maya Sahabat Ar Rahnu, Kelab Pengurusan Muda Islam, Kelab Santun, Sahabat Skim Khairat, kelompok melalui program/skim lain, jabatan/agensi kerajaan dan wakil media.

Sahabat Yapeim bertindak sebagai landasan bagi memastikan perjalanan institusi dan pelaksanaan program mengikut keperluan semasa negara dan pembangunan ummah. Di samping itu, ia bagi memaklumkan perkembangan terkini dan perancangan masa depan institusi dalam rangka mewujudkan kesatuan fikiran dan tindakan kepada semua kelompok terbabit.

Ahmad Zahid berkata, penyertaan 300,000 Sahabat Yapeim menggerakkan program, perancangan dan aktiviti demi memastikan umat Islam memperoleh faedah.

Namun, katanya, jumlah itu perlu ditingkatkan supaya perpaduan dapat diterjemahkan kepada kumpulan penyatuan akal fikiran, selain menggarap tenaga fizikal dan kerohanian.

Beliau menyarankan golongan muda menggemblengkan tenaga bagi meneruskan kelangsungan Sahabat Yapeim supaya agenda dirancang tidak tergendala.

“Jika ada perbezaan pendapat dari segi pandangan politik atau ideologi, sebagai umat Islam, kita mesti mengutamakan ukhuwah Islamiah sebagai tunjang kekuatan,” katanya.

No comments: