Friday, August 22, 2008

Keindahan syurga dorongan perkasakan iman, ketakwaan

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

Bermohon kepada Allah supaya memimpin hati kita supaya cintakan kebaikan, banci kejahatan

SETIAP orang Islam akan merindui kehidupan bahagia dengan nikmat tidak putus, baik ketika hidup di dunia mahupun akhirat. Semua impikan kebahagiaan dan kesenangan. Justeru, siang malam ada antara kita bekerja gigih mencari harta untuk menikmati kebahagiaan hidup di dunia.

Pada masa sama, ada juga antara kita siang dan malam mencari kebahagiaan untuk hidup senang di akhirat dengan mengerjakan amal ibadat.

Kebahagiaan hidup di dunia dapat dirasai ketika di dunia, tetapi kebahagiaan akhirat hanya Allah saja yang tahu. Termampu kita lakukan di dunia ini ialah berusaha mendapatkan kebahagiaan itu dengan cara melakukan dan mengerjakan amalan diperintahkan dan menjauhi larangan Allah.

Amalan dilakukan itu hendaklah dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah. Kita hanyalah hamba-Nya yang serba lemah dan daif. Kita merindui syurga di akhirat. Itulah sebenar-benarnya kebahagiaan bagi kita umat Islam.

Kebahagiaan hidup di akhirat jauh lebih nikmat dan lazat daripada kebahagiaan hidup di dunia. Kebahagiaan hidup di dunia hanyalah sementara, kebahagiaan yang kekal buat selama-lamanya apabila berada dalam syurga. Sesungguhnya kehidupan di syurga tidak terucap dengan kata-kata betapa bahagia dan nikmatnya.

Dr Muhammad Ibrohim An-Nu'aim dalam bukunya Memesan Kerusi Tertinggi di Syurga mencatatkan: "Syurga adalah kenikmatan sempurna yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata sedangkan apa yang dikhabarkan Allah dan Rasul-Nya kepada kita mengenai syurga dan sifatnya membuat akal fikiran kita tercengang kerana tidak dapat membayangkan keelokan, keagungan dan kemuliaannya.

Dalamnya ada pelbagai kenikmatan yang belum pernah terlihat mata, belum pernah terdengar telinga dan belum pernah terdetik dalam benak manusia. Barang siapa yang memasukinya, nescaya ia akan merasakan kenikmatannya dan tidak akan sengsara, mengenakan pakaiannya yang tidak akan pernah usang serta mengalami masa remaja yang tidak akan pudar serta tempat tinggalnya tidak akan membosankan."

Mengingati sifat syurga yang Allah gambarkan melalui firman-Nya dalam al-Quran boleh menebalkan lagi kerinduan kita untuk mendapatkannya dan sekali gus merangsang untuk bersungguh melakukan amalan salih, bersikap zuhud terhadap kenikmatan dunia.

Amalan yang dapat menghantar seseorang itu menikmati syurga Allah adalah keimanan yang benar dan keyakinan kuat kepada Allah dan janji-Nya serta melaksanakan segala perintah-Nya tanpa ada keraguan sedikit pun seperti terlihat pada Khalifah Abu Bakar dan Umar.

Abu Said Al-Khudri meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya penghuni darjat yang tinggi itu, orang yang berada di bawah mereka akan melihat mereka seperti kalian melihat bintang yang terbit di ufuk langit. Sesungguhnya Abu Bakar dan Umar termasuk daripada kalangan mereka serta keduanya diberi nikmat lebih."

Amalan kedua yang dapat mengangkat darjat di syurga adalah takwa kepada Allah. Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, maka ia sudah memperbaiki hubungan antara dirinya dengan Rabb-Nya. Untuk mereka Allah akan menganugerahkan istana yang tinggi kepadanya.

Hal sama dikhabarkan oleh Rasulullah SAW bahawa di antara orang beriman ada yang memiliki istana di pinggiran syurga, di tengah syurga dan di atas syurga. Merekalah orang berjihad di jalan Allah dan memiliki akhlak yang baik.

Takut, tawakal, sabar, sembahyang, mengumandangkan azan atau menjawab azan, puasa Ramadan dan sembahyang tarawih, berdakwah di jalan Allah, membaca al-Quran, cinta kepada Allah dengan menjauhi kemungkaran dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Syurga itu mempunyai tingkatannya. Semakin tinggi tingkatannya, maka semakin luas dan banyak pula kenikmatannya. Tidak salah hari ini kita merindui syurga, akan tetapi merindui saja tidak memberi apa-apa makna jika tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya.

Merindui syurga adalah cita-cita tertinggi seorang mukmin sejati. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila kamu meminta kepada Allah, maka mintalah syurga Firdaus sebab ia adalah pertengahan syurga dan tempat yang paling tinggi di syurga." – (Hadis riwayat Bukhari, Termidzi dan Ahmad)

Bagi meraih syurga yang dicitakan itu, seharusnyalah mulai saat ini kita bersungguh-sungguh beramal dan tunduk kepada Rabbul Alamin. Perteguhkan iman dari semasa ke semasa dan waktu yang sama tingkatkan lagi darjah ketakwaan kepada Allah.

Mohonlah pertolongan kepada Allah semoga Allah memimpin hati kita setiap masa suka melakukan kebaikan dan jijik melakukan kejahatan serta kemungkaran.

No comments: