Sunday, August 10, 2008

Persoalan Agama: Ibu bapa wajar pisah tempat tidur anak sebelum 10 tahun

Soalan:
Saya mempunyai dua anak, seorang lelaki berumur dua tahun dan seorang perempuan berumur empat tahun. Ketika ini, mereka tidur sebilik bersama saya dan suami. Pada pandangan saya, ia tidak menjadi masalah kerana mereka masih kanak-kanak. Dari sudut Islam, saya ingin tahu bilakah masa sesuai untuk memisahkan mereka iaitu tidur di bilik berlainan?

Rozi Abdullah,
Kuala Krai, Kelantan.

Jawapan:
Firman Allah SWT dalam Surah an-Nur: 58 yang bermaksud "Wahai orang yang beriman, hendaklah hamba kamu dan orang yang belum baligh dari kalangan kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang Subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya..."). Ayat ini menunjukkan bahawa Islam menyediakan garis panduan kepada ibu bapa dalam mendidik anak dengan akhlak mulia seperti menghormati ibu bapa dan batas serta adab pergaulan antara anak dan ibu bapa sejak kecil. Pada masa sama, Islam membimbing ibu bapa supaya menjaga batas aurat terhadap anak supaya mereka tidak melihat sesuatu yang tidak baik daripada ibu bapa mereka.

Rasulullah SAW menganjurkan ibu bapa supaya mengasingkan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan. Ia dapat dilihat daripada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perintah anak kamu bersembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun, jika mereka tidak melakukannya sampai umur 10 tahun, pukul mereka, juga pisahkan di antara mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur." (Riwayat al-Hakim dan Abu Daud). Hadis ini menjelaskan selain itu Rasulullah SAW memberi garis panduan mengenai pemisahan tempat tidur anak lelaki dan perempuan apabila mereka mencapai umur 10 tahun. Walaupun hadis ini mengenai pemisahan antara anak lelaki dan perempuan, namun ibu bapa perlu menghindari anak daripada tidur sebilik dengan mereka. Perkara ini menjelaskan bahawa kanak-kanak perlu dididik dengan pendidikan akidah, syarak dan akhlak sejak kecil supaya mereka tidak terpesong daripada ajaran Islam.

Antara tujuan Rasulullah SAW menganjurkan perintah itu untuk menjaga keharmonian dan maruah ahli keluarga. Di samping ia bertujuan mendidik anak dengan akhlak dan batas pergaulan antara ahli keluarga supaya tidak berlaku perkara negatif seperti sumbang mahram. Tambahan pula dengan kemudahan teknologi yang ada pada hari. Oleh itu, wajarlah mereka dipisahkan dari tidur bersama ibu bapa atau adik-beradik lelaki dan perempuan lebih awal daripada usia 10 tahun.

No comments: