Thursday, December 24, 2009

Suasana mesra ibadat di hospital rangsang pesakit bersolat

Oleh Dr Irfan Mohamad

SEJAK difardukan ke atas umat Nabi Muhammad SAW sejak kira-kira 1430 tahun pada peristiwa Isra dan Mikraj, solat menjadi suatu kewajipan yang tidak terlepas seseorang itu daripada melaksanakannya. Tidak kira apa juga keadaan selagi ia memenuhi syarat wajib solat, maka tanggungjawab menunaikannya perlu dilakukan.

Baik dalam keadaan senang atau susah, sihat mahupun sakit, solat adalah tetap fardu. Tiada alasan yang boleh digunakan untuk tidak bersolat, ketika sakit Islam memberikan keringanan dari segi pelaksanaan terutamanya bagi rukun fi’li (perbuatan) dengan kaedah tertentu.

‘Sembahyang lima waktu itu diwajibkan Allah ke atas hamba-Nya, maka sesiapa melaksanakannya, sedangkan dia tidak pernah mensia-siakan daripadanya sesuatu pun kerana meringankan kewajipan itu, nescaya baginya di sisi Allah suatu perjanjian untuk memasukkannya ke syurga. Dan sesiapa yang tidak melaksanakannya maka tidak ada baginya di sisi Allah suatu perjanjian. Jika Dia mahu, di azabnya, dan jika Dia mahu, dimasukkannya ke syurga.’ (Hadis riwayat Abu Daud, Nasa’i, Malik dan Ibnu Hibban)

Hospital adalah sebuah suatu institusi yang biasanya ramai orang mengelakkan melainkan terpaksa akibat penyakit yang dihidapi ataupun kerana bekerja di sana. Jika seseorang dimasukkan ke hospital, maka mereka secara automatik menjadi ‘orang sakit’ yang pada kebanyakan masa mempunyai ‘imuniti’ atau dikecualikan daripada melaksanakan tugas seperti biasa. Seseorang pesakit itu seharusnya tabah dengan dugaan yang sedang dihadapinya dan terus mengerjakan solat mengikut kemampuannya. Sememangnya menunaikan solat dalam keadaan sakit menuntut lebih kesabaran dan pengorbanan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.’ (Surah Taha: 132)

Apabila berada di katil hospital, pesakit akan mula teruji. Di sinilah peranan orang serta prasarana di sekeliling akan menjadi faktor penggalak atau perencat yang membuatkan seseorang pesakit itu mengekalkan kesungguhannya untuk beribadah atau mengambil keputusan untuk menundanya dengan alasan untuk melangsaikan segala hutangnya selepas sembuh. Antara alasan yang diberikan ialah sukar untuk bersuci dan berwuduk kerana khuatir ia memudaratkan kesihatan. Dalam hal ini, Islam telah memberi lagi kelonggaran tatacara bersuci bagi mereka yang sakit.

Firman Allah: “Dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau datang dari tempat buang air atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayamum kamu dengan tanah yang baik (suci): Sapulah mukamu dan tanganmu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun’. (Surah An-Nisa: 43)

Langkah proaktif hospital bagi mewujudkan suasana mesra ibadat ini amat penting bagi menggalakkan pesakit melakukan aktiviti ibadat mereka seperti biasa. Kesukaran dan ketiadaan prasarana beribadah mungkin menjadi sebab mengapa orang tua biasanya tidak mahu ke hospital apatah lagi dimasukkan ke wad kerana bimbang hasrat bersolat akan tergugat.

Sebagai sebuah hospital yang mengadaptasikan konsep mesra ibadat, Hospital Universiti Sains Malaysia cuba menerapkan beberapa elemen baik berbentuk fizikal secara langsung dan juga tidak langsung yang diharap mampu mewujudkan suasana kondusif bagi pesakit untuk terus melaksanakan ibadat mereka. Pemaparan arah kiblat yang mudah di dapati di siling, pembukaan ruangan bagi pesakit menjalankan ibadah di wad serta penyediaan buku panduan ibadah ketika sakit yang diletakkan di tepi katil pesakit diharapkan dapat memudahkan pesakit untuk melaksanakan kewajipan mereka mengikut kadar termampu.

Pengumuman masuknya waktu solat juga diberikan agar pesakit yang terlantar dan sukar untuk bergerak tetap mendapat maklumat. Bagi waris dan pelawat, surau turut disediakan.

Sungguhpun perkara kecil seperti buku panduan dan arah kiblat ini nampak remeh namun hakikatnya ia menyebabkan ‘pesakit atas pagar’ memilih untuk melaksanakan atau meninggalkan ibadahnya. Pesakit amat jarang bertanyakan doktor atau jururawat berkenaan cara mereka untuk bersolat dalam keadaan berbalut, bersimen atau dalam keadaan adanya kateter urin dan sebagainya, juga arah kiblat disebabkan soalan ini dianggap tidak relevan dengan profesion kedoktoran atau kejururawatan. Di sinilah buku panduan kecil atau penunjuk arah dapat memainkan peranan dengan tidak menafikan pentingnya seseorang perawat itu melengkapkan pengetahuan mereka demi membantu pesakit secara lebih holistik.

Dengan menunaikan solat, ia menunjukkan kita kasih kepada Allah dan tidak mensia-siakan amanah yang diberikan. Sesungguhnya bersolat itu lambang cinta seorang hamba terhadap Tuhannya.

Walaupun Islam tidak pernah memberatkan umatnya, konsep ini tidak seharusnya disalahgunakan untuk meringankan tuntutan solat. Istilah qada selepas sembuh bukan suatu ayat yang mempunyai jaminan bahawa kita akan mempunyai masa untuk melakukannya. Jika kita diberi peluang sembuh dan mampu melakukannya sekalipun, sejauh manakah pastinya kita bahawa ‘segala hutang’ kita itu akan diterima-Nya?

Penulis ialah Pensyarah Perubatan ORL, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kota Bharu, Kelantan

1 comment:

Anonymous said...

as salam...saya nak bertanya berkaitan denhan hospital mesra ibadah dan cabaran dalam perlaksanannya terutama mengerjakan solat dari sudut jururawat...pengalaman saya jururawat tidak membantu pesakit dalam hal hal menunaikan solat....mungkin sibuk atau kurang faham solat utk pesakit...minta pendapat..tkasih