Tuesday, July 14, 2009

Perspektif Ikim: Silap faham konsep berikhtiar galak masyarakat berhutang

Oleh Mohd Noor Omar

RAMAI orang berlumba mengejar kekayaan tidak kira apa latar belakang dan kerjaya. Dalam kesibukan mengejar harta dunia, pertimbangan antara pendapatan dan perbelanjaan menjadi semakin pincang. Hutang atau kredit yang suatu masa dulu satu penghinaan kini dianggap amalan biasa.

Sebut saja along, ramai menggambarkan kesengsaraan yang dihadapi apabila berurusan dengan mereka. Along sewenang-wenangnya membelakangkan pemerintah dan meletak undang-undang di tangan sendiri. Lebih malang, masyarakat membenarkan mereka berleluasa dengan mendapatkan perkhidmatan ditawarkan kerana desakan hidup. Walaupun along pilihan terakhir yang tidak sesuai, sesetengah masyarakat tiada lagi pilihan.

Ada pandangan menyatakan kaya ialah apabila kita mempunyai kemewahan merencana tindakan masyarakat dan amalan ekonomi semasa. Budaya berhutang menjadi kebiasaan di kalangan rakyat Malaysia terutama belia dan eksekutif muda mendapatkan apa dihajati.

Akibat permintaan tidak dikawal, penawaran hutang atau kredit juga tidak dipantau, pasaran kredit membabitkan permintaan dan penawarannya kini amat memberangsangkan termasuk penawaran kad kredit, pinjaman peribadi, skim pemilikan alatan, kelengkapan rumah dan aksesori kenderaan.

Hakikat perlu ditangani ialah amalan hutang semakin membimbangkan. Menurut perangkaan Sistem Perbankan Bank Negara Malaysia, nisbah pertumbuhan pinjaman meningkat daripada 6 peratus pada 2007 kepada 11.7 peratus (2008) berbanding peratusan peningkatan pendeposit daripada 16.2 peratus (2007) menguncup kepada hanya 10.9 peratus (2008).

Ternyata, sehingga akhir Jun 2008, RM520 juta hutang tidak berbayar membabitkan 7,298 peminjam diuruskan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), manakala bagi tempoh Januari hingga April 2009 pula membabitkan 16,626 individu.

Berdasarkan perangkaan Bank Negara, hutang kad kredit RM24.4 bilion setakat akhir Mac lalu. Peningkatan kos sara hidup terutama di bandar besar terus menggalakkan perkembangan amalan kredit.

Suasana itu berlaku kerana galakan memberi hutang. Akibatnya beban membayar balik melebihi pendapatan sehingga menjejaskan kemampuan menyediakan keperluan asas keluarga. Laporan menunjukkan ada kakitangan menghadapi lebihan 60 peratus potongan gaji. Namun, mereka yang berhutang tidak pula kaya atau bebas daripada masalah kewangan malah lebih tertekan serta menjejaskan kerja.

Walaupun pelbagai tindakan diambil pihak tertentu untuk memulihkan keadaan, ia tidak berubah jika kefahaman terhadap hutang tidak diubah. Orang berhutang secara tidak wajar dalam lingkungan sikap tidak mahu susah dan tidak faham maksud ikhtiar.

Penulis ialah pegawai penyelidik di Pusat Perundingan dan Latihan IKIM

Umat Islam patut rebut peluang status hab halal

Oleh Mohd Amin Jalil
rencanabh@bharian.com.my

KEDUDUKAN Malaysia sebagai negara Islam perlu dimanfaatkan secara berkesan untuk melonjakkan negara menjadi hab halal yang bukan saja mengeluar, malah mempromosi dan mengedarkan produk halal untuk pasaran global.

Naib Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim, berkata negara yang sudah lama terkenal di kalangan dunia Islam sepatutnya selangkah ke depan untuk menjadi hab halal, berbanding negara lain apatah lagi negara penduduk Islamnya sedikit.

Beliau yang juga Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) berkata, komitmen kerajaan terhadap industri halal melalui pelaksanaan dasar bersesuaian dan kewujudan komuniti peniaga Islam menyebabkan negara berada di landasan tepat untuk mencapai status itu.

Bagaimanapun, kelebihan itu tidak berguna jika umat Islam tidak merebut peluang untuk turut meraih keuntungan status hab halal.

“Hab halal tidak sepatutnya disempitkan kepada industri pengeluaran serta pemprosesan makanan saja kerana ia juga meliputi sektor perkhidmatan seperti perbankan dan insurans,” katanya ketika membentangkan kertas kerja pada Seminar Makanan Halal 2009 (Hafos 2009) di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini. Seminar anjuran Usim dengan kerjasama DPIM itu disertai 300 peserta yang terbabit dalam industri halal, ilmuwan dan mahasiswa. Sebanyak 15 kertas kerja dibentangkan pada seminar tiga hari itu.

Seminar bertujuan memberi peluang kepada peserta memahami dan mengetahui perkembangan terkini industri, aspek kepenggunaan serta penghasilan produk halal.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma'amor Osman yang turut membentangkan kertas kerja berkata, pasaran produk halal sangat besar dan mempunyai permintaan tinggi, termasuk di negara bukan Islam.

Katanya, produk halal bukan saja menepati syariat, malah memenuhi piawaian antarabangsa dari segi kebersihan dan keselamatan makanan. Sehubungan itu, katanya, pengeluar makanan halal perlu memastikan bukan hanya proses pengeluaran, malah bahan mentah yang digunakan adalah halal.

“Pengguna kini lebih bijak dan mahu produk yang bukan saja bersih dan selamat, malah halal.

“Pengeluar perlu mewujudkan keyakinan pengguna terhadap status halal produk,” katanya.

Naib Canselor Usim, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin pula berkata, Hafos yang dianjurkan Usim, universiti sains berteraskan Islam buat kali ketiga bertujuan memperjelaskan pengertian halal kepada masyarakat.

Katanya, isu halal menimbulkan dilema kerana walaupun pelbagai produk makanan di pasaran, tidak semua barang halal.

“Kekeliruan timbul dari segi status halal produk. Walaupun ada label kandungan produk, tiada siapa tahu sama ada maklumat itu benar atau tidak

“Kita bimbang ada pihak cuba ambil kesempatan mengaut keuntungan menipu label halal tanpa memikirkan kesannya kepada umat Islam. Oleh itu, kaedah saintifik perlu digunakan secara meluas,” katanya.

Mahasiswi Usim, Norazila Anuar, 20, berkata banyak ilmu pengetahuan yang diperoleh menerusi seminar itu terutama dari segi kefahaman terhadap produk halal, sama ada dalam bentuk makanan atau perkhidmatan.

Katanya, produk halal penting kerana dalam Islam, setiap aspek termasuk makanan perlu memenuhi tuntutan syariat, bukan sekadar bersih dan selamat.

“Umat Islam tidak boleh memandang mudah status halal makanan dan perlu memahaminya dengan tepat dan menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Noor Nariha Rahman, 19, berkata seminar ini memberinya peluang berkongsi pengetahuan dengan rakan lain untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

Penganjuran seminar dapat mendekatkan orang ramai, terutama mahasiswa dengan produk halal, sekali gus menyokong industri halal yang sepatutnya menjadi pilihan umat Islam.

“Banyak produk halal di pasaran tetapi tidak semua umat Islam memilihnya kerana dipengaruhi iklan dan promosi apabila membeli barang,” katanya.

Tajdid Iman: Hikmah Israk Mikraj dorong umat tingkat takwa

KENANGAN penuh hikmah atas jalan dakwah yang ditinggalkan Rasulullah SAW kekal menjadi inspirasi bagi umatnya hingga ke akhir zaman. Setiap mukmin akan sentiasa gigih berusaha menggali peninggalan Rasulullah SAW kerana tuntutan hatinya yang sentiasa mekar mengasihi Nabi SAW.

Maka dibentangkan kertas kajian mengenai sirah, kitab hadis sahih dan ketinggian ilmu al-Quran untuk dijadikan pegangan kehidupan. Proses penambahan ilmu itu akhirnya membuahkan keintiman jiwa kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW.

Tidaklah cukup seseorang mengutamakan membaca selawat saja dan tidak berminat dengan pencarian sumber maklumat, data dan fakta ilmu untuk mendapatkan gambaran terang mengenai keperibadian serta perjuangan Rasulullah SAW.

Cinta berputik kerana mengenali yang dicintai, memahami keperibadiannya dan menyelami pengorbanannya. Kita cuba menangis ketika membaca keperitan Rasulullah SAW memikul amanah dakwah, tetapi tidak mampu menitikkan air mata kerana tidak menyertai usaha dakwah Baginda.

Kita tidak memiliki cukup ilmu untuk memberi hujah kepada hati mengenai makna keperitan itu. Sesungguhnya seseorang memerlukan fakta, data, ilmu, penghayatan dan amal salih untuk menterjemahkan cintanya kepada Rasulullah SAW.

Salah satu fakta menggambarkan perjuangan dakwah Rasulullah SAW adalah peristiwa Israk dan Mikraj yang sentiasa diingati setiap Rejab. Walaupun ada beberapa pandangan berbeza menentukan tarikh sebenar peristiwa itu seperti dilaporkan kitab Al-Rahiq Al-Makhtum karangan al-Mubarakfuri.

Hal itu tidak menjejaskan hikmah di sebalik peristiwa Israk dan Mikraj sebagai panduan bagi mereka yang berjalan di atas jalan dakwah.

l Menilai semula hubungan dengan Allah.

Pendakwah bertugas membekalkan iman kepada masyarakat yang menjadi sasaran dakwahnya mesti memiliki bekal yang cukup untuk dirinya sendiri. Seorang doktor bertugas mengubat penyakit masyarakat diharapkan memiliki jasad sihat dan mental positif sebelum terjun ke medan berat.

Melalui perjalanan Rasulullah SAW naik ke tempat tertinggi bagi menerima titah amanah Allah yang mewajibkan sembahyang lima waktu sebagai ikatan kukuh antara hamba dengan Penciptanya, sesungguhnya ia memberi gambaran kepentingan ibadah ini.

Umar bin al-Khattab pernah mengirimkan arahan kepada panglima perangnya, Saad bin Abi Waqqash dalam peperangan al-Qadisiyah, katanya: “Wahai Saad, takutlah kamu kepada Allah dengan urusan solat pasukanmu. Kerana sesungguhnya bukanlah kekalahan yang aku khuatirkan melainkan hanya apabila kalian meninggalkan solat, kekalahan akan terjadi apabila solat ditinggalkan. Jika kalian meninggalkan solat maka akan cenderunglah zina, riba, khamar, ingkar kepada Allah dan akhirnya terkeluar daripada agama.”

Jika Umar, Saad dan sahabat yang berada di al-Qadisiyah begitu prihatin dengan ibadat solat mereka, mengapa pula kita yang daif, lemah lagi hina dibandingkan mereka tidak menunjukkan tanda-tanda risau dengan ibadah solat kita?

Ketika memperingati peristiwa naiknya Rasulullah SAW menghadap Allah, sememangnya ilmu dan penghayatan kita akan terus bertambah dalam menjalankan ibadat solat kerana kita sentiasa menambah baik maklumat sedia ada dengan maklumat baru dalam al-Quran dan hadis.

Dengan ilmu mengenai solat maka jalan mengenal Allah sudah kita fahami dan seterusnya hubungan ini akan sentiasa erat dan akrab. Akhirnya, ujian apapun yang menghadang di setiap simpang jalan dakwah tidak dirasai terlalu berat kerana hati sentiasa menikmati kemanisan berdekatan dengan Allah.

l Allah mengganti musibah dengan anugerah bagi sesiapa yang reda.

Sesungguhnya peristiwa Israk dan Mikraj Nabi SAW adalah musafir terbaik pernah dialami Baginda. Ia ibarat hadiah bernilai yang bermatlamatkan menghapus kesedihan demi kesedihan Rasulullah SAW selepas pemergian Abu Talib dan Khadijah.

Bukan hanya itu, tragedi keganasan dan penolakan dakwah dilakukan penduduk Taif kepada Rasulullah SAW dan Zaid bin Harithah menjadi ujian terhebat yang menumpahkan darah Nabi SAW sehingga kasut Baginda dibasahi darah.

Kemudian berlanjutan ujian dan musibah ke atas diri Rasulullah SAW seperti dilaporkan Imam Al-Bukhari dalam hadisnya: “Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, pernahkah engkau melalui suatu hari yang lebih dahsyat daripada peperangan Uhud? Rasulullah SAW bersabda: Aku pernah mengalami daripada kaummu apa yang pernah aku alami dan yang paling dahsyat ialah ketika di al-‘Aqabah iaitu ketika aku menawarkan diriku kepada Ibn Abdu Yalail bin Abdu Kallal. Dia tidak menyahut ajakanku dan aku beredar dengan penuh kesedihan.

Sedar-sedar aku sudah berada di Qarn Al-Tha’alib. Kemudian aku mengangkat kepalaku, tiba-tiba aku melihat segumpal awan menaungiku. Aku perhatikan lagi, tiba-tiba aku melihat Jibril dan dia menyeruku: Sesungguhnya Allah mendengar kata-kata kaummu dan tindak balas mereka ke atasmu.

Allah mengarahkan malaikat bukit supaya engkau suruh dia apa yang engkau mahu lakukan terhadap mereka. Lalu malaikat bukit itu menyeruku dan memberi salam kepadaku seraya berkata: Wahai Muhammad, apa yang kamu mahu, kalau kamu mahu aku hempaskan ke atas mereka al-Akhsyabain (dua bukit di Makkah) nescaya aku lakukan. Nabi SAW bersabda: Sedangkan aku mengharap supaya Allah mengeluarkan dari sulbi mereka orang yang akan menyembah Allah semata-mata, tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatu.”

Daripada peristiwa ini dapatlah kita mengambil pengajaran bahawa setiap ujian yang Allah bebankan kepada kita pasti akan diganti dengan penghormatan serta kemuliaan. Hanya saja kita tidak tahu bilakah kenikmatan itu akan diberi, apakah di syurga atau di dunia.

Allah berfirman bermaksud: “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang beriman bersamanya: Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Surah Al-Baqarah, ayat 214)

l Bebaskan Palestin, bumi umat yang bertakwa.

Ketika Israk, Rasulullah SAW singgah ke al-Aqsa dan melakukan solat bersama nabi. Al-Aqsa adalah bumi Allah yang diwariskan untuk orang beriman. Hal ini jelas ditegaskan dalam surah Al-Israk.

Mengapa Allah hanya menyebut kisah perjalanan Rasulullah dalam satu ayat saja dan selebihnya kisah kejahatan bani Israil? Jelas mesej dibawa surah ini, bahawa hanya umat beriman kepada Allah, al-Quran dan Rasulullah SAW, berbuat kebaikan di muka bumi saja berhak memimpin manusia. Tidak kira suku, bangsa dan bahasanya, kerana kemuliaan manusia terletak pada takwanya.



Penulis ialah Mufti Perlis